Perlantikan Baru Suhakam: Tan Sri Hasmy Agam Sebagai Pengerusi

Tan Sri Hasmy Agam ketika dalam sidang akhbar di Institut Diplomasi dan Hubungan Luar baru-baru ini.

KUALA LUMPUR: Pengerusi Eksekutif Institut Diplomasi dan Hubungan Luar (IDHL), Kementerian Luar Tan Sri Hasmy Agam hari ini dilantik sebagai Pengerusi baru Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak juga mengumumkan pelantikan anggota-anggota baru Suhakam, iaitu Muhammad Sha'ani Abdullah, Profesor Datuk Dr Khaw Lake Tee, James Deva Nayagam, Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi A.Majid, Jannie Lasimbang dan Detta anak Samen.

Pelantikan itu untuk tempoh tiga tahun berkuatkuasa pada 26 April lepas, menurut Perdana Menteri dalam kenyataan akhbar beliau kepada Bernama di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata menurut subseksyen 5(2) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 (Akta 597), Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan pelantikan anggota Suhakam tersebut.

"Selaras dengan subseksyen 6(1) Akta 597, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan Tan Sri Hasmy Agam dilantik sebagai Pengerusi Suhakam," katanya.

Pengerusi Suhakam sebelum ini ialah bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman. -BERNAMA

Menteri : Tiada Kompromi Lagi Dengan Tuntutan PPPBRM. Kita Tunggu Dan Lihat...

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kementeriannya tidak akan berkompromi lagi dengan tuntutan Persekutuan Persatuan Peniaga Barang Runcit Malaysia.

Beliau mengulas ugutan daripada peruncit di seluruh negara bahawa mereka akan menghentikan jualan gula, minyak masak dan tepung gandum selepas 15 Jun jika pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib mewajibkan mereka memiliki lesen runcit barang-barang kawalan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

"Kita sudah berjumpa dengan mereka dan juga memenuhi sesetengah tuntutan awal mereka,” katanya.

Sebagi contoh, menurut Ismail Sabri bayaran RM10 untuk lesen yang dicadangkan pada awalnya telah ditarik balik dan lesen itu sekarang akan diberikan percuma.

"Untuk memudahkan proses itu, kami akan menghantar pegawai ke kedai mereka untuk mengeluarkan lesen dan ia boleh dilakukan ketika itu juga,” katanya.

Penguatkuasaan lesen barangan terkawal itu juga telah ditunda ke 1 Julai seperti yang dituntut oleh persekutuan itu.

Menurut Ismail lesen berkenaan penting bagi memantau kegiatan segelintir peruncit yang mengambil kesempatan subsidi gula dan menjualnya di pasaran gelap.

Katanya lagi, jika peruncit memulaukan penjualan barangan terkawal itu, pengguna masih boleh membelinya di tempat lain.

"Hypermarket, supermarket, pasar tani masih menjual gula. Sebagai alternatif, kedai di stesen petrol juga akan dipertimbangkan,” katanya.

Minggu Depan Gula, Tepung & Minyak Masak Tiada Di Pasaran: Kenapa PPPBRM Tak Bincang Dengan Menteri Berkenaan??

Persekutuan Persatuan Peniaga Barang Runcit Malaysia mahu menghentikan perniagaan penjualan tiga barang kawalan iaitu gula, minyak masak dan tepung gandum berkuat kuasa 15 Jun ini.

Keputusan itu dinyatakan oleh persekutuan itu semasa sesi dialog dengan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek di Wisma MCA hari ini.

Dr Chua pada sidang akhbar kemudian berkata persekutuan itu menjelaskan bahawa keputusan mereka bukannya sebagai membantah pelaksanaan lesen barang kawalan oleh kerajaan tetapi kerana keuntungan yang tidak setimpal.

"Pada masa ini, keuntungan penjualan tepung gandum, gula dan minyak masak yang diperolehi oleh peruncit amatlah sedikit ditambah lagi dengan barang kawalan ini perlu memohon lesen dan mengakibatkan pendapatan peruncit terjejas.

"Keuntungan setiap satu kilogram gula yang diterima oleh peruncit adalah tiga sen, 20 sen bagi setiap lima kilogram minyak masak manakala tiga sen bagi setiap kilogram tepung gandum," katanya.

Turut hadir ialah Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Donald Lim Siang Chai, Presiden Persekutuan Persatuan Peniaga Barang Runcit Malaysia, Lean Hing Chuan dan penasihat persekutuan Yeo Chee Soong.

Dr Chua berkata beliau difahamkan bahawa setiap kedai mempunyai sembilan hingga 11 lesen yang perlu dipohon antaranya lesen premis, lesen beras, lesen gas, lesen timbang, lesen papan tanda, lesen peralatan kebakaran dan lesen kawalan barangan sempena hari sambutan.

"Kami terkejut dengan beban peruncit kerana mereka perlu memohon dan membayar lesen RM1,107 setiap tahun," katanya.

Bagaimanapun Dr Chua merayu kepada persatuan ini agar memberi pertimbangan semula keputusan mereka kerana beliau yakin kerajaan akan mengkaji semula pelaksanaan lesen itu.

"(Timbalan presiden) Liow akan membangkitkan isu ini pada mesyuarat Jemaah Menteri pada akan datang," katanya.

Bulan Sabit Merah Iran Akan Kirim 2 Kapal Bantuan ke Gaza Akhir Minggu Ini

Bulan Sabit Merah Iran telah memutuskan untuk mengirimkan dua kapal bantuan ke Gaza bulan ini dalam sebuah tawaran terbaru untuk mematahkan perintah yang dikenakan terhadap wilayah Gaza Palestina.

Pengarah Bulan Sabit Merah untuk urusan luar negara Abdul Rauf Adibzadeh mengatakan kepada pejabat berita negara IRNA pada malam minggu bahawa keputusan untuk mengirim kapal-kapal itu diambil setelah pertemuan dengan kementerian luar negeri.

"Satu kapal akan membawa sumbangan dan kapal yang lain akan membawa pekerja bantuan. Kapal-kapal akan dikirim ke Gaza pada akhir minggu ini," kata Adibzadeh.

Dia mengatakan Bulan Sabit Merah menyerukan relawan Iran untuk bertindak sebagai pekerja bantuan dan mendampingi kapal.

"Sukarelawan yang ingin pergi ke Gaza dan membantu rakyat tertindas di Palestin yang diduduki boleh merujuk ke laman web Bulan Sabit Merah untuk mendaftar," kata Adibzadeh.

Dia mengatakan rancangan awal adalah untuk mengirim kapal bantuan melalui negara perantara, namun berdasarkan keputusan oleh masyarakat Iran, mereka akan mengirim langsung bantuan. Dia menambahkan bahawa bantuan tersebut akan terdiri dari bahan makanan dan ubat-ubatan.

Bulan Sabit Merah Iran sebelumnya telah mengirimkan sebuah kapal yang membawa bantuan makanan dan ubat-ubatan ke Gaza pada bulan Disember 2008, tapi dicegah dari menjangkau wilayah tersebut oleh Angkatan Laut Israel.

Sumber: (fq/aby)

PAS cadang wujud tentera OIC kawal misi kemanusiaan

KUALA LUMPUR, 7 Jun: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mencadangkan agar diwujudkan pasukan tentera di kalangan negara-negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) bagi memayungi misi kemanusiaan ke Gaza.

Tegasnya, misi bantuan tersebut mesti diteruskan, namun perlu dipayungi oleh tentera yang diwujudkan oleh OIC atau pihak antarabangsa demi keselamatan anggota misi dan memastikan bantuan sampai ke Gaza.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang juga mahukan Malaysia menggunakan pengaruh OIC, NAM dan PBB bagi mengheret pemimpin rejim Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) walaupun secara paksa.

Ini, katanya kerana tindakan kejam zionis Israel sejak sekian lama adalah tidak bertamadun, mencabul undang-undang antarabangsa, melampau fitrah kemanusiaan dan lebih teruk daripada binatang.

"Fitrah kemanusiaan ada kesihan belas terhadap manusia bahkan kepada binatang," katanya ketika membahaskan usul mengutuk keganasan rejim zionis Israel di Dewan Rakyat, sebentar tadi. Usul tersebut dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pagi tadi.

Tindakan Israel itu juga, katanya aalah manifestasi ideologi zionisme yang mahu membina sebuah negara Israel agung di bumi Palestin sehingga mengenepikan piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Kita mempunyai tanggungjawab bersama sangat besar, ketepikan kepentingan politik, bersatu atas sifat kemanusiaan," katanya lagi.

Kontroversi Rombakan Kabinet: Tan: CSL Hanya Kemuka Nama Anaknya Sahaja Timb. Menteri

Rombakan kabinet baru-baru ini menimbulkan kontroversi apabila ahli parlimen Gelang Palang, Tan Ah Eng menemplak presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang dilaporkan berkata nama Tan tersenarai untuk jawatan timbalan menteri.

Menurut Tan, Chua hanya menyenaraikan satu nama kepada Perdana Menteri dan Datuk Seri Najib Razak tidak mempunyai pilihan kecuali memilih anak Chua, Tee Yong bagi mengisi jawatan timbalan menteri pertanian.

"Saya semak dengan PM malam semalam, beliau berkata semua nama yang dibekalkan oleh Chua diterima,” kata Tan yang juga adalah timbalan ketua wanita MCA.

"Saya tuntut keadilan!” katanya pada sidang media di lobi parlimen kerana ingin menjelaskan bahawa namanya tidak dicadangkan bagi jawatan timbalan menteri seperti yang didakwa oleh presiden MCA.

Katanya juga, perdana menteri tidak pernah mempertikaikan kebolehannya sebagai seorang MP.

"Perda
na Menteri memberitahu saya bahawa beliau menghormati keputusan presiden MCA dan menerima semua nama yang dibekalkan,” katanya sambil menambah bahawa nama langsung tidak dikemukakan kepada Najib.Chua pada 2 Jun lalu memberitahu wartawan bahawa hanya terdapat 15 ahli parlimen MCA untuk dipilih dan nama Tee Yong dan MP Gelang Patah, Tah Ah Eng juga diserahkan kepada Najib untuk Perdana Menteri membuat pilihan.

Mengulas perkara yang sama, hari ini, Chua terus mempertahankan bahawa dua nama diserahkan kepada Perdana Menteri untuk pertimbangannya - iaitu nama anaknya Chua Tee Yong dan juga nama Tan.

Jom Boikot Barangan Israel: "Anak Muda di Gaza Dibunuh Dengan Peluru, Di sini Dengan Hiburan" Timb. Presiden

KUALA LUMPUR, 7 Jun: Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa meminta kerajaan Malaysia melakukan serangan ekonomi ke atas rejim zionis Israel.

Malaysia, katanya perlu melakukan usaha kolektif bersama negara antarabangsa bagi melumpuhkan ekonomi Israel.

"Maka usaha kolektif perlu dilakukan bagi menyekat dan melumpuhkan ekonomi negara haram Yahudi," katanya yang juga Ahli Parlimen Bachok semasa membahaskan usul mengecam tindakan rejim zionis Israel terhadap misi kemanusiaan ke Gaza di Dewan Rakyat, petang ini. Usul itu dikemukakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pagi tadi.

Kempen boikot juga, katanya perlu diperhalusi dan dijalankan secara sistematik dengan mengambil kira nasib pekerja negara ini di syarikat berkaitan.

Selain itu, beliau turut mencadangkan agar Malaysia memenuhi kebajikan pelajar Palestin di Malaysia seperti bantuan biasiswa dan kesihatan sebagai sokongan perjuangan rakyat Palestin.

"Bagaimana kita harus membantu rakyat Palestin khasnya golongan muda. Saya ingin mendapatkan penjelasan berapa banyakkah biasiswa atau kemudahan pelajaran yang diberikan kepada rakyat Palestin yang datang belajar di Malaysia," katanya.

Tambahnya, pintu sempadan Rafah yang kini dibuka perlu digunakan sebaik mungkin menyalurkan bantuan perubatan seperti dibuat kepada negara Bosnia.

Beliau juga menggesa agar kerajaan Malaysia menjadikan isu Palestin sebagai agenda kerajaan dan memperhebat program kesedaran kepada rakayat.

Menurutnya, kerajaan juga perlu mengurangkan program hiburan agar anak muda tidak lupa isu Palestin ini.

"Anak muda di sana dibunuh dengan peluru, di sini dengan hiburan," ujarnya.

Memang Betul Pertumbuhan Malaysia 10.1 di Bandingkan Dengan Suku Pertama Tahun 2009, Tapi Kalau..... ahhh Keliru!!!

Pertumbuhan negara pada 10.1 peratus seperti yang dicanangkan oleh kerajaan tidak mencerminkan situasi yang sebenar kerana ia dibandingkan dengan suku pertama tahun 2009, di mana ketika itu ekonomi Malaysia masih berada dalam krisis.

Menurut Ketua Serantau Penyelidikan Ekonomi, Standard Chartered, Tai Hui jika tempoh masa 2008 diguna-pakai, pertumbuhan negara adalah hanya sekitar 3.5 peratus.

"Sekiranya anak anda pulang dari sekolah dan memberitahu bahawa dia dapat 75 markah dalam peperiksaannya, tetapi pada semester lalu dia mendapat 50 markah, anda tidak begitu kagum kerana sebelum ini dia pernah mendapat 100 markah,” katanya dalam satu seminar hari ini.

"Berita yang baik ialah ekonomi negara sedang berkembang tetapi persekitaran perniagaan hanya bertambah baik sedikit sahaja berbanding sebelum krisis.

Kata Tai Hui, buktinya kebanyakan firma masih berhati-hati dan tidak melabur lanjut, meskipun mereka yakin bahawa ekonomi berada dalam pemulihan.

Ada Lagi.... DS Anwar akan diheret ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen Pada 11.30 Pagi Esok

Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan diheret ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen pada jam 11.30 pagi esok, seperti yang dirancang.

Menurut setiausaha akhbarnya, Eekmal Ahmad, ini kerana ucapannya berhubung kontroversi penyerahan dua kawasan yang kaya dengan minyak yang dikenali sebagai blok L & M kepada Brunei telah ditunda ke jam 4.30 petang esok.

Anwar akan dikehendaki menjelaskan kenyataanya yang mengaitkan 1Malaysia dengan konsep One Israel kepada jawatankuasa itu yang dianggotai sebahagian besarnya oleh MP dari BN.

Dalam dakwaanya itu, Anwar yang juga ketua umum PKR berkata Apco Worldwide adalah firma yang bertanggungjawab mencetuskan kedua-dua idea 1Malaysia dan One Israel.

Beliau juga mendakwa mempunyai bukti bagi menyokong kenyataannya itu.

Siapa Perlu Bertanggungjawab?? - Bila Hujan Lebat Banjir Kilat di Taman Satria, Jalan Langgar Disebabkan Projek Pembesaran Jalan

Risau setiap kali hujan lebat


Rozaidi Zainol menunjukkan limpahan air longkang di hadapan rumahnya disebabkan sistem perparitan yang terhalang akibat projek pembesaran jalan raya yang menghubungkan Alor Setar-Durian Burung, semalam.


ALOR SETAR 6 Jun - Setiap kali hujan lebat, kira-kira 500 penduduk di Taman Satria, Jalan Langgar di sini bimbang memandangkan kawasan taman perumahan mereka sering dilanda banjir kilat.

Hari ini, sekali lagi kawasan mereka mengalami banjir kilat setelah hujan lebat melanda bandar raya itu dalam tempoh lebih sejam.

Seorang penduduk, Rozaidi Zainol, 28, berkata, masalah banjir kilat tersebut bermula sejak tahun lalu apabila projek pembesaran jalan raya yang menghubungkan Alor Setar-Durian Burung rancak dijalankan.

"Longkang besar di tepi jalan telah dimasuki pasir akibat kerja-kerja melebarkan jalan sehingga laluan air tersekat.

"Setiap kali hujan lebat melanda, kami memang gusar kerana air akan naik kerana tidak dapat mengalir ke longkang besar," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurutnya, air kumbahan turut memasuki bilik air rumah mereka sehingga menyebabkan tidak selesa untuk tinggal di rumah setiap kali hujan.

"Segala benda kotor akan masuk ke dalam bilik air dan ia tidak baik untuk kesihatan anak-anak kecil.

"Jika terkena air kumbahan tersebut kulit akan menjadi gatal dan kami harap masalah ini akan dapat diselesaikan segera," katanya.

Seorang lagi penduduk, Zainol Mad Isa, 52, berkata, dia telah membuat aduan kepada pihak yang bertanggungjawab untuk membersihkan longkang yang dipenuhi pasir itu.

"Malangnya, tiada tindakan yang diambil dan kami terus tidak lena tidur apabila hujan lebat melanda.

"Kami tidak tahu sampai bila masalah ini akan terus membelenggu penduduk di taman ini kerana aduan yang dibuat pun seolah-olah tidak dilayan," tambahnya.


Sumber-UM

Biar Betul Bro.. Menteri Baru Nie Kata: "Tak Perlu Siasat Semula Skandal PKFZ, Sudah Mencukupi..."

Menteri Pengangkutan yang baru, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata siasatan ke atas skandal PKFZ adalah “mencukupi” dan tidak perlu bagi isu itu disemak semula.

“Saya berpendapat sudah ada cukup siasatan dan kajian yang telah dijalankan berhubung isu itu. Jadi, saya tidak fikir adalah perlu untuk semak semula siasatan,” katanya.

Beliau juga menjawab secara kabur sama ada akan terus membuat tindakan susulan berhubung isu berkenaan.

"Saya kena teliti dahulu apa sebenarnya PKFZ,” katanya selepas upacara menerima tugas daripada Datuk Seri Ong Tee Keat yang digugurkan dari kabinet minggu lalu.

-Sumber: Malaysiakini

PM bentang Usul Kecam Israel di Dewan Rakyat : Malaysia Gesa Dunia Sepakat Heret Israel ke ICC

Malaysia menyarankan agar negara-negara dunia sepakat membawa usul kepada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu untuk merujuk perbuatan ganas rejim Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Gesaan itu terkandung dalam usul khas yang dibentang di Dewan Rakyat hari ini oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Malaysia juga akan mendesak supaya Rejim Israel membayar ganti rugi serta pampasan ke atas semua harta benda, bahan makanan, alat-alat binaan dan perubatan, termasuk kapal-kapal yang telah di tawan serta semua barangan persendirian ahli konvoi yang telah di rampas secara haram oleh tentera Rejim Zionis.

"Di samping itu Malaysia juga mendesak agar Israel membayar ganti rugi akibat dari kesan trauma secara psikologi, mental dan fizikal serta apa-apa pampasan yang difikirkan layak oleh Mahkamah Antarabangsa," kata Perdana Menteri.

"Tidak cukup dengan itu, anggota konvoi ini juga telah diculik dan diperlakukan seperti penjenayah. Mereka diikat berbelas jam tanpa diberi hak secara sewajarnya seperti makanan, minuman, bersolat dan keperluan ke bilik air. Bagi Malaysia, tiada sebarang alasan untuk mereka bertindak sedemikian terhadap misi yang merentas kepercayaan agama, sempadan bangsa dan fahaman politik," katanya.

Usul yang mengandungi 15 ketetapan itu mencadangkan, antara lainnya, agar peristiwa keganasan Israel pada 31 Mei menyerang kapal Mavi Marmara yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza dirujuk kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) untuk mendapatkan "advisory opinion" (pendapat berbentuk nasihat).

"Seperti dilaporkan, 9 orang yang terkorban itu telah ditembak dari jarak dekat dan apa yang lebih menyayat hati, ada yang ditembak dari arah belakang. Ini mempamerkan sikap pengecut yang tidak dapat dimaafkan," katanya.

Najib juga mencadangkan supaya Turki, yang kehilangan sembilan aktivis kemanusiaannya akibat dibunuh komando Israel, menimbang untuk mengambil tindakan di bawah peruntukan Statut Rom, ICC.

Usul khas itu juga mengecam sekeras-kerasnya pemimpin Israel Benjamin Netanyahu kerana membenarkan tentera rejim itu bertindak di luar batasan kemanusiaan terhadap rakyat pelbagai negara, termasuk Malaysia, yang menyertai misi bantuan itu yang dikenali sebagai "Freedom Flotilla".

Menurut Najib, sekiranya perbuatan yang sama dilakukan oleh negara lain, nescaya negara tersebut akan dikenakan pelbagai tindakan tegas oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

"Ini jelas membuktikan betapa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bersikap berat sebelah dalam melaksanakan amanah yang telah diberikan kepada mereka."

Sehubungan itu, Israel dituntut supaya tidak menghalang sebarang konvoi bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin, khususnya di Gaza, selaras dengan Resolusi 1860 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Kenapa Ibrahim Ali Tak Setuju?? - 5 MP Bekas PKR Dah Tubuh Blok Ke 3, Konsensus Bebas DI Parlimen.

KUALA LUMPUR, 7 Jun — Lima bekas Ahli Parlimen Bebas, yang keluar Parti Keadilan Rakyat sejak awal tahun ini, hari ini mengumumkan pembentukan Konsensus Bebas di Dewan Rakyat.

Kelima-lima wakil rakyat berkenaan ialah Datuk Seri Zahrain Hashim (Bayan Baru), Tan Tee Beng (Nibong Tebal), Mohsin Samsuri (Bagan Serai), Zulkifli Noordin (Kulim-Bandar Baharu) dan Wee Choo Keong (Wangsa Maju).

Mereka berkata konsensus itu akan berperanan sebagai “blok ketiga” untuk menawarkan suara yang berkesan di Parlimen.

Seorang lagi wakil rakyat Bebas ialah Datuk Ibrahim Ali.

Ibrahim, Presiden Perkasa dari awal tidak bersetuju dengan pembentukan blok wakil rakyat Bebas.

Apakah Presiden & Timbalan PAS Tiada Keserasian??? Kita Tunggu Muktamar Nanti, Apakah Ini Turut Disentuh??

Muktamar PAS sentuh keberkesanan gandingan Hadi, Nasharudin?

Nasharudin dikatakan gagal menjadi timbalan yang berkesan kepada Hadi semenjak dilantik semula tahun lalu. — gambar fail

KUALA LUMPUR, 7 Jun — Muktamar Tahunan PAS kali ini di Kota Baru tidak melibatkan pemilihan, tetapi ia disebut-sebut akan tetap panas lagi menarik tumpuan dengan fokus terhadap keberkesanan kepimpinan barisan kanan sebagai persiapan menghadapi pemilihan tahun depan dan juga pilihan raya umum ke-13.

The Malaysian Insider difahamkan pemimpin yang akan menjadi tumpuan dan berada dalam senarai teratas sebutan perwakilan ialah Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa, yang menewaskan dua pesaingnya dalam pemilihan setahun lalu.

Pada Jun lalu, Nasharudin dengan mudah mengetepikan kedua-dua naib presiden ketika itu Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu.

Turut disebut-sebut akan menjadi tumpuan persidangan ialah Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali, yang turut didakwa mempunyai “hubungan rapat” dengan Umno tetapi awal tahun ini terlepas daripada hukuman ringan jawatankuasa disiplin.

Seorang perwakilan mendakwa keberkesanan gandingan Presiden dan Timbalan Presiden PAS akan disentuh memandangkan ada pihak dalam parti berpendapat bahawa Nasharudin, yang juga Ahli Parlimen Bachok, tidak memainkan peranan sebagai gandingan secara berkesan kepada orang nombor satu sejak dipilih semula sebagai timbalan presiden tahun lalu.

“Kami mahukan seorang timbalan presiden yang berkesan kepada presiden, yang dapat memainkan peranan dengan baik sebagai timbalan presiden,” kata pemimpin ini yang akan menghadiri muktamar sebagai perwakilan.

Perkara tersebut akan ditimbulkan pada muktamar bagi memperkuatkan kepimpinan PAS bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang selaku rakan dalam Pakatan Rakyat.

“Kami mahu PAS dilihat sebagai rakan mantap dalam Pakatan Rakyat... untuk itu, timbalan presiden (harus) menjadi gandingan mantap kepada presiden,” kata perwakilan dengan merujuk kepada gandingan kepimpinan bekas presiden Allahyarham Datuk Fadzil Mohd Noor dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Ada kawasan yang hendak membawa usul, ada yang hendak memberikan nasihat ketika perbahasan dengan harapan akan ada perubahan (dalam tempoh setahun ini).

“Jika tiada perubahan, langkah susulan akan diambil semasa pemilihan tahun depan,” kata perwakilan itu dengan merujuk kepada pemilihan tahun depan.

Tindakan ini dilihat bukan sesuatu yang mengejutkan memandangkan pada Oktober lalu, kira-kira empat bulan selepas pemilihan parti, Mursyidul Am PAS telah mendesak diadakan muktamar khas untuk menukar beberapa pemimpin kanan parti termasuk Nasharudin.

The Malaysian Insider juga difahamkan sentimen itu masih wujud sehingga sekarang dan akan dibawa ke muktamar minggu ini.

PAS hanya dijadual mengadakan pemilihan pada tahun depan.

Pemerhatian The Malaysian Insider menunjukkan Nasharudin yang mendapat “sokongan” kumpulan ulama dan “restu” Hadi semasa pemilihan tahun lalu kelihatan masih mempunyai hubungan rapat presiden.

Nasharudin menghadiri majlis perasmian Dewan Perhimpunan Penyokong PAS yang diadakan di Klang bulan lalu.

Gerak-geri beliau memperlihatkan masih menjalin hubungan sihat dengan Hadi dengan memainkan peranan sebagai seorang timbalan presiden.

Perwakilan itu memberitahu The Malaysian Insider Nasharudin sudah tidak “serapat” dengan Hadi berbanding dulu.

Malah perwakilan itu mendakwa Hadi juga ada meluahkan pendapatnya mengenai isu kepada rakan-rakan rapatnya tetapi kesahihan belum dapat disahkan.

Mengulas isu tersebut seorang ahli jawatankuasa PAS Pusat Dr Dzulkefly Ahmad mengakui ada mendengar dakwaan sedemikian.

Bagaimanapun beliau hanya menyifatkannya sebagai satu “persepsi politik” semata-mata.

“Ia kemungkinan satu perspesi sahaja, yang mungkin tidak dikongsi oleh semua orang,” kata Ahli Parlimen Kuala Selangor ini dan juga bekas pengarah pusat penyelidikan PAS.

Pemilihan jawatan timbalan presiden tahun lalu juga dilihat sebagai saingan kumpulan profesional yang mahu memperkukuhkan Pakatan Rakyat dan kumpulan ulama yang sedia bekerja dengan Umno demi kepentingan Islam, yang dikaitkan dengan kerajaan perpaduan.

“Bagi sesetengah daripada kami, pendirian Nasharudin masih belum jelas (dalam isu kerajaan perpaduan).

“Isu kerjasama dengan Umno tidak ditangani dengan sepenuhnya,” kata seorang lagi pemimpin PAS dengan merujuk kepada kenyataan Nasharudin yang menyentuh tentang hubungan PAS-Umno Mac lalu, pada majlis yang turut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Berucap pada majlis pelancaran buku Natrah: Cinta, Rusuhan dan Air Mata, Nasharudin dipetik berkata yakin usaha mewujudkan perpaduan di kalangan parti politik yang mewakili umat Islam boleh dicapai jika semua pihak berusaha bersungguh-sungguh ke arah itu.

Beliau berkata, semua pihak tidak harus bersikap mengalah walaupun beberapa usaha sebelum ini bagi mewujudkan persefahaman antara parti politik terbesar umat Islam iaitu PAS dan Umno terhenti di separuh jalan.

Muktamar tahunan kali ini akan diadakan di Kota Baru sempena 20 tahun pentadbiran kerajaan negeri Kelantan di bawah pimpinan Nik Aziz.

Justeru, The Malaysian Insider difahamkan pentadbiran Kelantan juga tidak akan terlepas daripada kritikan dan pandangan panas para perwakilan.

Husam merupakan salah seorang Exco dalam pentadbiran itu, yang kebelakangan ini dikaitkan secara langsung dengan isu-isu menyentuh kerajaan negeri Kelantan dan kepimpinan Nik Aziz.

Ini termasuk pemberian konsesi balak, pelantikan blogger Syed Azidi Abdul Aziz atau mesra dikenali Kickdefella ke dalam Perbadanan Menteri Besar Kelantan dan dipecat akhir tahun lalu.

Isu menantu Nik Aziz, Abdul Ariffahmi Abd Rahman yang diminta melepaskan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif PMBK juga dipercayai akan disentuh.

“Bagaimanapun perwakilan akan berhati-hati apabila menyentuh Tok Guru disebabkan populariti beliau di luar parti,” kata seorang ahli PAS dari Kelantan.

Dalam pada itu, Mohamad yang turut dilantik sebagai ahli jawatankuasa PAS pusat walaupun tewas tahun lalu berkata, beliau berharap perwakilan akan berani meluahkan pandangan mereka ketika muktamar kali ini.

“Muktamar sepatutnya bukan tempat membodek. Jangan syok sendiri sampai rakyat meluat dengan kita. Ahli-ahli mesti berani bersuara tentang penyelewengan, kalau ada,” katanya.

Mohamad menambah, pimpinan juga mesti terbuka dengan teguran perwakilan.

“Kalau ada masalah di Kelantan atau Kedah mestilah dibincangkan di muktamar,” kata Mohamad dalam pertemuan dengan The Malaysian Insider baru-baru ini.

Sumber: The Malaysian Insider

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.