ALOR SETAR 6 Jun - Setiap kali hujan lebat, kira-kira 500 penduduk di Taman Satria, Jalan Langgar di sini bimbang memandangkan kawasan taman perumahan mereka sering dilanda banjir kilat.
Hari ini, sekali lagi kawasan mereka mengalami banjir kilat setelah hujan lebat melanda bandar raya itu dalam tempoh lebih sejam.
Seorang penduduk, Rozaidi Zainol, 28, berkata, masalah banjir kilat tersebut bermula sejak tahun lalu apabila projek pembesaran jalan raya yang menghubungkan Alor Setar-Durian Burung rancak dijalankan.
"Longkang besar di tepi jalan telah dimasuki pasir akibat kerja-kerja melebarkan jalan sehingga laluan air tersekat.
"Setiap kali hujan lebat melanda, kami memang gusar kerana air akan naik kerana tidak dapat mengalir ke longkang besar," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurutnya, air kumbahan turut memasuki bilik air rumah mereka sehingga menyebabkan tidak selesa untuk tinggal di rumah setiap kali hujan.
"Segala benda kotor akan masuk ke dalam bilik air dan ia tidak baik untuk kesihatan anak-anak kecil.
"Jika terkena air kumbahan tersebut kulit akan menjadi gatal dan kami harap masalah ini akan dapat diselesaikan segera," katanya.
Seorang lagi penduduk, Zainol Mad Isa, 52, berkata, dia telah membuat aduan kepada pihak yang bertanggungjawab untuk membersihkan longkang yang dipenuhi pasir itu.
"Malangnya, tiada tindakan yang diambil dan kami terus tidak lena tidur apabila hujan lebat melanda.
"Kami tidak tahu sampai bila masalah ini akan terus membelenggu penduduk di taman ini kerana aduan yang dibuat pun seolah-olah tidak dilayan," tambahnya.
Sumber-UM
takpa YB Datuk Mahfuz pun duduk di Taman Satria, nanti pelan-pelan kot...
ReplyDelete