UMNO Beroleh Satu Lagi Lubuk Baik Punya....


Dengan pendapatan bersih pukul rata RM5 billion setahun KWAP semacam diisytiharkan sebagai satu lagi lubuk yang lumayan untuk pemimpin – pemimpin UMNO memerah hingga kering , seperti mana telah terjadi dalam kesemua agensi – agensi milik pusat di peringkat pusat ,

begitu juga oleh pemimpin – pemimpin UMNO di peringkat negeri sehingga tak banyak anak – anak syarikat kerajaan negeri di bawah pemerintahan BN yang untung.

Sukar untuk ditolak Najib atau mana – mana pemimpin UMNO tidak akan melakukan apa – apa ke atas tabung dana ini.

Saiz dana KWAP naik RM66 bilion

2010/07/15
KUALA LUMPUR: Saiz dana Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) meningkat 27.9 peratus atau RM13.4 bilion kepada RM61.5 bilion pada 2009 berbanding RM48.08 bilion pada 2007, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Beliau berkata prestasi pendapatan yang kukuh serta sumbangan yang stabil daripada Kerajaan Persekutuan, badan berkanun, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi, telah mendorong peningkatan saiz aset itu.
KWAP juga memperoleh pendapatan bersih sebanyak RM5.70 bilion, yang diterjemahkan sebagai pulangan bersih pelaburan sebanyak 10.4 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2009 berbanding RM560.0 juta pada 2008, kata Ahmad Husni dalam ucaptama bagi mengumumkan keputusan kewangan KWAP 2009 dan pelancaran portal laman baharu di sini hari ini.

Daripada RM5.70 bilion itu, RM3.24 bilion merupakan pendapatan pelaburan kasar, kata beliau dan menambah, sentimen pasaran ekuiti tempatan yang meningkat pada akhir tahun lepas, membolehkan KWAP memasukkan semula elaun-elaun pengurangan nilai bagi pelaburan ekuiti berjumlah RM2.48 bilion.

“Sebagai pemegang amanah, KWAP mempunyai obligasi untuk mengekalkan tahap tadbir urus yang baik. Keperluan untuk membuat pendedahan adalah penting kerana ia mempromosikan ketelusan dan akauntabiliti,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KWAP Datuk Azian Mohd Noh berkata saiz dana KWAP diunjurkan meningkat melebihi RM70 bilion menjelang akhir tahun ini.
Setakat Jun 2010, beliau berkata dana KWAP kekal sebanyak RM66 bilion.
Azian berkata sumbangan daripada kerajaan, badan berkanun dan PBT, akan menyumbang kepada pertumbuhan saiz dana itu.

KWAP yang diperbadankan pada 1 Mac, 2007, ditubuh mengikut Akta Kumpulan Wang Persaraan 2007, menggantikan Akta Kumpulan Wang Amanah Pencen 1991.

Dengan perbadanan KWAP, kesemua kuasa, fungsi, aktiviti, aset dan liabiliti Kumpulan Wang Amanah Pencen diambil alih sepenuhnya oleh KWAP.

Objektif KWAP ialah untuk menguruskan dana yang ditubuhkan mengikut Seksyen 13 Akta Kumpulan Wang Amanah Pencen 2007, ke arah mencapai pulangan optimum ke atas pelaburannya.

Sementara itu, beliau yang ditanya mengenai spekulasi jutawan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary merancang membeli PLUS Highway, Husni berkata beliau tidak mempunyai maklumat mengenainya. - BERNAMA

Setahun Berlalu, Apa Muslihat SPRM Mengucap Takziah Kepada Keluarga Teoh? Ada Udang Sebalik Mee Ka...

Sehari sebelum ulangtahun pertama kematian Teoh Beng Hock, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil langkah yang dilihat luar biasa dengan secara terbuka menyatakan yang ia turut berkongsi kepiluan dan kesedihan dengan keluarga mendiang ekoran insiden malang itu.

Ianya terkandung dalam kenyataan tiga perenggan - dalam bahasa Mandarin - yang diemelkan kepada pihak media hari ini.

"Saya mewakili diriku sendiri dan semua kakitangan SPRM. Kami berkongsi kesedihan dan kekecewaan bersama-sama dengan keluarga Teoh terhadap apa terjadi pada 16 Julai 2009," kata ketua pesuruhjaya SPRM, Datuk Abu Kassim Mohamed dalam kenyataan tersebut.

"Walaupun setahun sudah berlaku sejak berlakunya insiden malang itu, kami masih merasa kesedihan dan kepiluannya. Sebagai seorang ayah dan yang paling tua dalam keluarga, saya dapat merasai betapa dalamnya kepiluan yang tidak tertanggung apabila anggota keluarga," tambahnya.

Abu Kassim berharap keputusan inkues kematian Teoh dapat diketahui secepat mungkin.

"Sebagai pesuruhjaya SPRM, saya menegaskan bahawa kami akan mematuhi keputusan inkues tersebut. SPRM tidak akan berkompromi atau melindungi sesiapa sahaja yang terlibat dalam kes ini."

Beliau juga berkata, langkah-langkah seperti meningkatkan keselamatan saksi dan penambahan prosedur yang berkaitan dengan saksi, telah diambil bagi memastikan sejarah itu tidak akan terulang.

Selepas Teoh, 30 - pembantu politik kepada exco Selangor, Ean Yong Hian Wah, dijumpai mati pada 16 Julai tahun lalu selepas disoal siasat semalaman di pejabat SPRM Shah Alam, imej suruhanjaya itu telah tercemar teruk, terutama di kalangan masyarakat Cina.

Sejak itu, SPRM telah mengambil inisiatif untuk memulihkan imejnya di mata rakyat, termasuk merekrut kakitangan di kalangan mereka yang boleh bertutur bahasa Cina serta memperuntukkan RM500,000 untuk menerbitkan sebuah siri TV mengenai SPRM dalam bahasa Mandarin.

Ulasan GB

Begitulah tajuknya, apa muslihat sebenar SPRM memohon maaf setahun setelah kematian Teoh Beng Hock?

Inkues masih berjalan, dan rakyat sedang mengikuti perekmbangan inkues dengan penuh teliti.

Daripada keterangan-keterangan saksi SPRM, rakyat berpersepsi, SPRM masih terus menyembunyikan sesuatu, melakukan cover-up terhadap jenayah seorang pegawai kanannya dengan rekaan satu sandiwara sejak hari mula Teoh ditemui mati bahawa - Teoh kononnya terjun bangunan.

Keterangan dan siasatan ahli patologi lansung terbabas. Tidak ada rakyat yang waras boleh menerima keterangan mereka yang sarat dengan andaian-andaian yang tidak logik.

Ya, benar-benar kini perlu disiasatkan, apa motif dan muslihat sebenar SPRM?

Apakah mereka telah mengetahui "keputusan" inkues yang bakal tidak berpihak kepada keluarga Teoh? Atau apa?

Tiada siapa boleh menyekat rakyat dari berteka-teki seperti di atas kerana SPRM sendiri yang telah memulakan langkahnya.

Thierry Henry, Penyerang Bolasepak Perancis Bersara

HARRISON (New Jersey): Penyerang antarabangsa Perancis, Thierry Henry mengesahkan beliau akan bersara daripada kejohanan antarabangsa selepas membuat 123 kemunculan dan menjaringkan 51 gol untuk negaranya.

Beliau yang muncul pada sidang media dia Arena Red Bull, susulan perpindahan rasminya ke Liga Bolasepak Amerika Syarikat, iaitu New York Red Bulls, penyerang berusia 32 tahun itu menjelaskan pendiriannya.

“Saya sudah menyarung jersi Perancis sebanyak 123 kali dan seringkali rasa seram sejuk apabila mengenakan jersi biru itu.

“Tetapi kita perlu tahu bila hendak berhenti. Ramai pemain muda muncul,” katanya yang tiba di AS dari kelab Sepanyol, Barcelona, yang turut menangkis dakwaan bahawa kariernya sampai ke penghujung. - AFP

Berpantang Maut Sebelum Ajal: 4 Hari 3 Malam Terkandas DiLautan Seorang Diri, Dipukul Ombak 3 Beradik

YAN - Empat hari tiga malam terkandas di tengah laut tanpa makan minum diiumpamakan seorang nelayan, Abdul Rahman Abdul Rani, 48, seperti mati hidup semula.

“Saya sendiri tak sangka akan selamat balik,” katanya dari Kampung Singkir Paya, dekat sini.

Abdul Rahman berkata, ketika kejadian lewat petang 5 Julai lalu, dia belayar seorang diri membawa bot yang baru dibelinya di Kuala Juru, Seberang Perai ke Kuala Singkir Laut, di sini.

“Saya pergi berdua dengan seorang rakan, Abu Osman Mustafa dan kami balik berasingan. Ketika berada kira-kira tujuh kilometer dari pantai Kuala Muda, datang ombak besar menyebabkan saya terpaksa melabuhkan sauh untuk menstabilkan kedudukan bot,” katanya.

Ombak itu, kata Abdul Rahman disusuli taufan selama kira-kira sejam.

“Saya tterkandas apabila enjin bot tidak berfungsi akibat dimasuki air dan terpaksa menunggu hingga hari cerah,” katanya.

Esoknya, Abdul Rahman tiba-tiba mendapati botnya sudah berada di tengah laut. “Daratan langsung tidak kelihatan. Pulau Pinang yang sebelum itu dapat dilihat juga sudah hilang entah ke mana. Sauh pula tergantung kerana saya berada di laut dalam,” katanya.

Apa yang menemani Abdul Rahman ketika itu hanya ayat al-Quran, zikir serta wajah isteri dan anak-anaknya yang bersilih ganti.

“Esoknya, satu lagi ombak besar yang dipanggil ‘ombak tujuh beradik’ setinggi kira-kira lima meter, menghempas bot saya. Saya ikat tong ikan pada lengan untuk ganti pelampung dan sembunyi pada dek yang sedikit terlindung. Ketika itu, hanya maut yang terbayang,” katanya.

Meskipun begitu dahsyat serangan ombak berkenaan, namun Abdul Rahman terselamat.

Pada hari ketiga, keadaan cuaca yang cerah membantunya mendapat petunjuk arah. Abdul Rahman menggunakan papan tudung kotak sebagai ganti layar untuk membawa botnya ke arah daratan.

“Saya basahkan badan dengan air laut kerana saya sudah hilang banyak air akibat tidak makan dan minum. Tapi dengan berkat zikir dan ayat al-Quran, saya tidak pula berasa lapar,” katanya.

Pada hari keempat, Abdul Rahman dapat melihat daratan yang akhirnya diketahui adalah Pulau Bidan.

“Dari sana, saya dibantu sebuah bot pukat tenggiri untuk pulang ke Kuala Singkir. Saya selamat sampai kira-kira jam 6.15 petang Khamis, 8 Julai selepas empat hari tiga malam terkandas,” katanya.

Sepanjang tempoh itu, kata Abdul Rahman, dia mengalami beberapa kejadian misteri termasuk mendengar bisikan supaya turun dari bot kerana sudah ‘sampai’ ke darat. “Setiap kali nak lelap, ada suara suruh saya minum air laut jika mahu terus hidup. Saya juga dengar orang bercakap-cakap di dalam bot sedangkan saya seorang diri ketika itu,” katanya.

Abdul Rahman berkata, dia juga ditemani sekumpulan ikan senangin dan tenggiri yang mengelilingi botnya pada hari ketiga.

Sementara itu, Abu Osman, 57, berkata, Abdul Rahman sepatutnya tiba di Kuala Singkir kira-kira jam 8 malam 5 Julai.

“Kerana dia tidak sampai hingga jam 10 malam, saya buat laporan polis setengah jam kemudian,” katanya.

-SinarHarian

Harga Baru Teh Tarik....RM1.25 Secawan??

KUALA LUMPUR, 15 Julai – Harga bagi teh tarik – minuman paling popular di Malaysia, sepatutnya hanya naik 1.25 sen segelas berikutan pengurangan subsidi harga gula sebanyak 25 sen.

Harga baru teh tarik itu mengambil kira kesan pengurangan subsidi minyak dan pelarasan harga semasa iaitu RM1.0155.

“Ini adalah anggaran sahaja – perubahan harga mungkin berbeza berdasarkan faktor lain,” kata kenyataan mengenai rasionalisasi subsidi Jabatan Perdana Menteri.

Kenyataan itu berkata kesan pengurangan subsidi terhadap teh tarik ialah RM0.0030, manakala untuk barangan lain ia lebih rendah, seperti RM0.0024 untuk sekeping roti canai, RM0.0060 untuk beras, RM0.0630 untuk daging dan RM0.0105 untuk mi goreng.

Kerajaan hari ini mengumumkan subsidi untuk petrol, diesel, petroleum gas cecair (LPG) dan gula akan dikurangkan sebagai langkah pertama program rasionalisasi subsidi secara berperingkat berkuatkuasa esok.

Subsidi untuk petrol RON 95 dan diesel akan dikurangkan sebanyak lima sen seliter dan LPG dikurangkan sebanyak 10 sen sekilogram. Ini bermakna harga bagi petrol RON 95 ialah RM1.85 seliter manakala LPG akan dijual pada harga RM1.85 sekilogram.

Untuk gula, pelarasan harga ialah sebanyak 25 sen sekilogram.

Kenyataan itu turut memberi perbandingan harga minyak di rantau ini yang menunjukkan harga petrol di Malaysia adalah paling murah, iaitu RM1.85 untuk RON95 berbanding Thailand (RM4.12), Indonesia (RM2.48) dan Filipina (RM6.60).

Harga baru gula di Malaysia iaitu RM1.90 juga adalah jauh lebih murah dari Thailand RM2.60, Indonesia (RM3.68) dan Filipina (RM3.46).

Harga gula yang murah di Malaysia itu telah menyumbang kepada peningkatan masalah penyeludupan. Pihak berkuasa merampas lebih 200 metrik tan gula dalam 109 tangkapan berhubung kes penyeludupan pada 2009, dan pada 2008, dianggarkan RM628 juta minyak diesel subsidi untuk nelayan, dinikmati rakyat asing.

– Bernama

Kereta mewah ‘Sultan Melaka’ dirampas

SERDANG, 16 Julai — Polis merampas sebuah kereta mewah jenis Rolls Royce (RC) bernilai RM2.85 juta yang menggunakan lambang nama “Sultan Melaka” sewaktu majlis perasmian bangunan oleh sebuah syarikat pelaburan tempatan di Bandar Puteri, Puchong dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang Supt Abd Razak Elias berkata hasil siasatan mendapati kenderaan mewah yang tertulis “D.Y.M.M Tuanku Raja Noor Jan Shah” itu disewa daripada sebuah kedai jual kereta terpakai dengan menggunakan nama Sultan Melaka supaya mampu menarik kepercayaan pelabur asing.

“Kami juga menahan tiga lelaki berusia 20 hingga 35 tahun yang mendakwa pemandu dan penganjur majlis itu untuk siasatan lanjut. Setelah diperiksa, seorang daripada mereka positif dadah jenis ketamin,” katanya.

Abd Razak berkata polis akan mendapatkan keterangan daripada Raja Noor Jan Shah, yang sebelum ini pernah mendakwa dirinya waris Kesultanan Melaka, sama ada beliau mengetahui namanya digunakan oleh syarikat pelaburan berkenaan.

“Kes ini juga akan dirujuk kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk siasatan lanjut dan lelaki yang ditahan itu disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya,” katanya.

Majlis kira-kira pukul 1 tengah hari itu disedari sepasukan anggota polis yang melakukan rondaan di sekitar kawasan itu dan mendapati kenderaan mewah yang dipamerkan itu menjadi tumpuan ramai terutama kira-kira 150 pelabur asing dari Hong Kong, China dan Vietnam.

“Setakat ini, polis hanya menahan seorang individu atas kesalahan positif dadah dan dua lagi dibebaskan. Namun siasatan lanjut sedang dilakukan termasuk mendapatkan keterangan daripada wakil syarikat pelaburan berkenaan,” katanya. — Bernama

Diculik Perisik Amerika Ketika Mengerjakan Umrah

SHAHRAM menunjukkan isyarat menang sebaik tiba di Lapangan Terbang Khomeini dan disambut anggota keluarganya, semalam.
SHAHRAM menunjukkan isyarat menang sebaik tiba di Lapangan Terbang Khomeini dan disambut anggota keluarganya, semalam.

Shahram Amiri dakwa disoal penyiasat AS, Yahudi program nuklear Teheran

TEHERAN: Seorang rakyat Iran yang mendakwa diculik perisik Amerika Syarikat tahun lalu, tiba di Teheran semalam dan menafikan beliau adalah saintis nuklear selain mendedahkan disoal siasat Israel ketika penahanannya.

Shahram Amiri yang hilang dari Arab Saudi pada Jun 2009 ketika mengerjakan umrah tiba di lapangan terbang antarabangsa Khomeini selepas muncul di Pejabat Kepentingan Iran di Washington, dua hari lalu.

Sebaik tiba, Shahram memberitahu pemberita bahawa beliau adalah seorang penyelidik biasa, menolak dakwaan awal bahawa beliau adalah seorang saintis nuklear.

Saya tidak ada kena mengena dengan Natanz dan Fordo, kata Amiri yang merujuk kepada dua loji pengkayaan uranium Iran.

Ia adalah alat yang digunakan Amerika untuk tujuan tekanan politik. Saya tidak lakukan sebarang penyelidikan nuklear. Saya penyelidik biasa di sebuah universiti yang terbuka kepada semua dan tiada rahsia di sana.

Penafian adalah kejadian terbaru yang mendapat liputan media dunia selama beberapa bulan dan bermula dengan misteri kehilangan beliau, diikuti dengan rakaman video konflik seorang lelaki mendakwa sebagai Shahram dan memberitahu dirinya diculik.

Shahram berkata, beliau dikenakan penderaan mental dan fizikal menyifatkan penculikannya adalah perang psikologi terhadap Iran dan membuktikan semua penipuan itu sengaja dilakukan Amerika.

Katanya, ketika siasatan, penyiasat dari Israel turut hadir dalam beberapa sesi dan ia adalah bukti bahawa mereka merancang untuk membawa dirinya ke negara Yahudi itu.

Iran juga mendakwa Shahram diculik Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika manakala media negara itu melaporkan bahawa beliau dibawa ke Washington. Amerika menafikan semua dakwaan itu.

Akhbar Washington Post pula melaporkan, CIA membayar Shahram AS$5 juta untuk mendedahkan maklumat mengenai program nuklear Iran.

Wang itu didapati daripada sebuah program rahsia berdasarkan matlamat memujuk saintis dan orang lain memberi maklumat program nuklear Iran. AFP/Agensi

PM Najib: Subsidi Bukan Untuk Kumpulan Sasaran,Lebih Kepada Warga Asing.... Bayar Untuk Apco Takpa....

Sumber HARAKAHDAILY

Harga petrol, diesel, gula dan gas LPG naik berkuatkuasa mulai tengah malam ini (15 Julai).
Petrol RON 95 dan diesel naik 5 sen. RON97 tidak lagi diberikan subsidi. Ia tertakluk kepada apungan secara terkawal, dengan harga ditentukan oleh mekanisme harga automatik, berikutan penyelarasan harga subsidi yang diumumkan kerajaan hari ini.

Manakala harga gula pula naik 25 sen kepada RM1.90, dengan gas LPG naik sebanyak 10 sen sekilogram.

Perdana Menteri ketika mengumumkan kenaikan memberikan alasan.

Pertama, kesemua subsidi ini tidak menepati sasaran – ia memberi faedah juga kepada pihak yang tidak layak, iaitu warga asing dan rakyat yang berpendapatan tinggi yakni mereka yang mampu untuk membayar petrol tanpa subsidi. Fokus kita sepatutnya ialah bagi membantu golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana bukan mereka yang memandu kereta import yang mewah. Subsidi gula yang berlebihan pula memberi faedah kepada industri-industri dan bukannya keluarga. Hampir dua kali ganda subsidi gula ini digunakan oleh sektor perniagaan berbanding isi rumah.

Persoalannya, walaupun dikatakan kenaikan ini adalah demi mengelakkan pengaliran subsidi kepada sasaran yang salah, tetapi akhirnya beban akan ditanggung oleh rakyat berpendapatan rendah.

Kerajaan perlu menjelaskan secara tepat bagaimana penjimatan dari subsidi ini akan dibelanjakan untuk faedah golongan berpendapatan rendah. Masih kita ingat ketika kenaikan harga petrol dan diesel secara besar-besaran beberapa tahun dahulu, dijanjikan wang penjimatan akan digunakan untuk memajukan perngangkutan awam tapi janji tinggal janji.

Kini dijanjikan pula penjimatan subsidi akan diagihkan kepada bidang pelajaran dan kesihatan. Umum sedia maklum kos pendidikan di Malaysia dan belanja untuk mendapatkan rawatan di hospital-hospital kerajaan adalah di antara dilema bagi rakyat berpendapatan rendah.

Kedua, barangan yang bersubsidi tinggi selalunya membawa kepada aktiviti penyeludupan kerana pemberian subsidi telah menjadikan barangan ini paling murah di rantau ini. Pada tahun 2009 sahaja, ramai penyeludup telah ditangkap ketika cuba membawa keluar lebih 200 tan metrik gula. Sebenarnya, jumlah yang tidak dapat ditangkap kerana penyeludupan ini adalah lebih besar. Diesel terus diseludup dan dijual secara haram di negara jiran. Pihak berkuasa telah meningkatkan pengawalan untuk menghalang penyeludupan, tetapi selagi adanya perbezaan harga yang besar, penyeludup akan terus dengan kegiatan haram ini.

Kalau benar bagai dikata, jelas rakyat bawahan telah terpaksa memikul beban ekoran ketidak mampuan pihak keselamatan menguatkuasakan undang-undang dan menjaga kedaulatan sempadan negara. Apa jaminan selepas kenaikan ini penyeludupan tidak akan berlaku lagi? Kalau penyeludupan masih berlaku, apakah harga akan dinaikkan lagi?

Ketiga, kita perlu menukar cara kita menggunakan bahan bakar dan gula. Penggunaan bahan bakar yang berlebihan akan mengurangkan sumber negara dengan cepat dan tidak menyumbang kepada usaha kita melindungi alam sekitar. Dengan 40 peratus rakyat Malaysia yang berlebihan berat badan atau obes – dan peningkatan jumlah penghidap diabetes – kita perlu menangani apa yang dilihat sebagai satu isu kesihatan. Mengurangkan penggunaan gula di kalangan anak-anak khususnya, adalah langkah yang tepat.

Benarkah harga bahan bakar di Malaysia terlalu murah sehingga dibazirkan sewenangnya oleh rakyat? Selalu kita dengar kempen jimatkan elektrik dan air tapi tidak pernah kita dengar ada kempen jimatkan penggunaan petrol dan gas.

Petrol dan diesel yang diisi ke dalam kenderaan adalah berdasarkan keperluan dan perjalanan juga berdasarkan keperluan. Amat jarang dan hampir tidak pernah terdengar rakyat yang secara suka-suka membazirkan petrol dan gas.

Hujah yang mendakwa gejala berat badan berlebihan dan diabetes mempunyai kaitan dengan harga gula perlu diperkemaskan dengan kajian saintifik dan disokong dengan fakta ilmiah. Saya berpendapat fakta ini terlalu umum dan sangat lemah untuk dipertahankan.

Potong Subsidi Boleh Jimat RM750 Juta Setahun Tapi Belanja Untuk JPM RM4 Billion Bagi tahun 2010

PM terima RM4 bilion biaya operasi 2010

Pentadbiran Datuk Seri Najib Razak hari ini mendedahkan telah memperuntukkan dana sejumlah RM3.956 bilion untuk membiayai operasi Jabatan Perdana Menteri (JPM) tahun ini.

Dalam jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen DAP Nga Kor Ming, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz berkata, peningkatan kos adalah ekoran langkah mewujudkan “agensi-agensi baru” dan juga jawatan-jawatan sokongan.

Bilangan kakitangan awam di Jabatan Perdana Menteri juga meningkat daripada 21,045 orang pada 2003 kepada 43,544 orang tahun ini.

“Menghabiskan RM4 bilion bagi hanya satu jabatan kerajaan menelan kos lebih lima kali ganda berbanding pembiayaan kerajaan negeri Perak.

“Negara berhadapan dengan defisit sejak 15 tahun lalu, kita masih mempunyai jumlah tenaga kerja sektor awam paling ramai di dunia dan begitu juga anggota Kabinet,” kata Nga.

Wakil rakyat Taiping ini mendakwa tujuan beberapa jabatan kerajaan dalam Jabatan Perdana Menteri sendiri memerlukan penjelasan lanjut.

“Salah satu agensi yang diwujudkan ialah menguruskan pejabat bekas perdana menteri Tun Abdullah Badawi? Sejak bila bekas perdana menteri-perdana menteri memerlukan pejabat? Jadi, apabila Najib berhenti daripada menjadi perdana menteri, kita perlu mewujudkan satu pejabat bagi beliau?

“Bagaimana dengan Tun Dr. Mahathir? Di mana pejabat beliau? Adakah kita memerlukan satu lagi pejabat bagi beliau?” kata Nga.

Peruntukan belanja mengurus JPM tahun ini telah meningkat melebihi sekali ganda daripada 2003 berikutan pertambahan agensi di bawah pentadbirannya.

Ia termasuk kemasukan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi, dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) ke bawah tanggungjawab jabatan itu pada tahun lepas.

Selain itu, pewujudan agensi baru termasuk Urusetia Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman, Unit Kerjasama Awam Swasta, Pejabat Urusetia Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah (Ahmad Badawi), Sekretariat Majlis Penasihat Ekonomi Negara, Pejabat Pengerusi Majlis Penasihat Ekonomi Negara dan Unit Pelaksanaan dan Prestasi (Pemandu), telah meningkatkan jumlah kakitangan jabatan itu.

Peruntukan perbelanjaan mengurus JPM tahun ini adalah sebanyak RM3.9 bilion berbanding 2003 dengan RM1.5 bilion untuk perbelanjaan, malah peruntukan belanja mengurus JPM tahun lepas terpaksa ditambah sebanyak RM130 juta daripada peruntukan asal yang diluluskan iaitu sebanyak RM3.6 bilion, dengan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM3.7 bilion, katanya.

Sebelum ini, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi terletak di bawah bidang kuasa JPM pada 2004 sebelum diletakkan di bawah Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan pada 2008 manakala LPKP pula di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi sebelum kedua-duanya dirombak dan diletakkan di bawah JPM pada tahun lepas.

Nazri berkata dengan ini jumlah kakitangan itu untuk tahun ini adalah seramai 43,544 orang di mana daripada jumlah tersebut, kumpulan pengurusan tertinggi adalah seramai 384 orang, pengurusan dan profesional seramai 9,736 orang dan sokongan seramai 33,424 orang.

Ini jauh lebih banyak berbanding dengan jumlah kakitangan jabatan itu pada 2003 yang hanya seramai 21,045 orang dengan 136 orang di bawah kumpulan pengurusan tertinggi, pengurusan dan profesional seramai 4,781 orang dan sokongan seramai 16,128 orang, katanya.

Selain itu, jabatan dan agensi sedia ada di bawah JPM turut mengalami pertambahan perjawatan termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Unit Permodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu), Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Bahagian Pendidikan Awal Kanak-Kanak (Permata), katanya. -TMI


Penjimatan subsidi diperuntukkan bagi sektor penting pendidikan dan kesihatan

Penyelarasan harga barang yang diumumkan hari ini akan membolehkan kerajaan mengurangkan perbelanjaannya melebihi RM750 juta untuk tahun ini dan diperuntukkan untuk sektor lebih penting seperti pendidikan dan kesihatan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Ini termasuklah pengumuman kerajaan baru-baru ini bahawa semua pelajar yang mendapat 9A+ dan pelajar miskin yang layak mendapat biasiswa dan meningkatkan perbelanjaan untuk menyediakan kemudahan kesihatan seperti Klinik 1Malaysia, termasuk klinik bergerak 1Malaysia,” kata beliau.

Selain itu, kerajaan akan meneruskan Projek Penyeragaman Harga Barang Perlu di Sabah dan Sarawak bagi mengurangkan beban rakyat luar bandar, kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Najib hari ini mengumumkan bahawa subsidi bahan api, khususnya petrol, diesel dan petroleum gas cecair (LPG), serta gula, akan dikurangkan sebagai langkah pertama program rasionalisasi subsidi secara berperingkat-peringkat berkuat kuasa esok.

Katanya langkah itu diambil agar impaknya hanya minimum bagi individu keluarga tetapi memberi manfaat jangka panjang kepada negara.

“Pengurangan dalam perbelanjaan daripada perubahan ini akan membolehkan kita menggunakan dengan lebih baik sumber untuk keluarga, masyarakat dan pertumbuhan perniagaan,” katanya.

“Kerajaan telah membuat keputusan yang sukar tetapi berani. Dengan memilih untuk melaksanakan perubahan subsidi sederhana, kita telah mengambil langkah penting dalam landasan yang betul ke arah mencapai komitmen kita bagi mengurangkan defisit fiskal tanpa membebankan rakyat Malaysia.

“Langkah-langkah ini bagi membuktikan tanggungjawab fiskal kita. Ia akan meningkatkan kestabilan kewangan Malaysia, sementara ia juga melindungi rakyat,” katanya.

Ini menandakan permulaan pelaksanaan program rasionalisasi subsidi kerajaan yang banyak diperkatakan dalam usaha mengurangkan beban subsidi negara oleh kerajaan yang semakin meningkat, mengelak masalah penyeludupan dan menjadikan ekonomi negara lebih kompetitif.

Menurut Najib, penyelarasan harga bahan api dan gula ini adalah yang paling minimum berbanding dengan cadangan yang telah dikemukakan oleh Makmal Rasionalisasi Subsidi kerana kerajaan mahu mengimbangi di antara kepentingan rakyat dan keperluan mengurangkan defisit negara.

Sebaliknya, beliau berkata subsidi bagi pelajaran dan kesihatan akan terus dipertahankan, dan walaupun berlaku penyelarasan, kerajaan masih lagi membelanjakan lebih kurang RM7.82 bilion setahun untuk subsidi bahan bakar dan gula.

Menurut beliau, keputusan ini dibuat kerajaan setelah mengadakan proses perundingan dengan rakyat, bukan hanya dengan pembuat dasar di Putrajaya, tetapi beribu-ribu rakyat Malaysia melalui Hari Terbuka Makmal Rasionalisasi Subsidi, undian online, undian pesanan ringkas dan borang maklum balas menyatakan sokongan bagi menyemak semula pemberian subsidi secara berperingkat.

Najib berkata, pemberian subsidi perlu dikaji semula bagi mengelak herotan dalam dagangan dan memastikan subsidi diberikan kepada golongan yang layak.

“Ia bagi memastikan subsidi diberikan kepada golongan yang layak dan membolehkan banyak hasil negara digunakan untuk pelaburan yang akan memberikan faedah jangka panjang bagi keseluruhan rakyat.

“Keputusan untuk menyelaraskan harga minyak dan gula ini, khususnya diasaskan daripada tiga perkara penting, antaranya kesemua subsidi ini tidak menepati sasaran, iaitu memberi faedah kepada pihak yang tidak layak seperti warga asing dan rakyat yang berpendapatan tinggi.

“Subsidi gula yang berlebihan pula memberi faedah kepada industri-industri dan bukannya keluarga kerana hampir dua kali ganda subsidi digunakan oleh sektor perniagaan.

“Selain itu, barangan yang bersubsidi tinggi, yang menjadikan ia paling murah di rantau ini, selalunya membawa kepada aktiviti penyeludupan,” kata Najib.

“Cara penggunaan bahan bakar dan gula juga perlu ditukar kerana penggunaan yang berlebihan akan mengurangkan sumber negara dengan cepat dan tidak menyumbang kepada usaha kerajaan melindungi alam sekitar.

“Dengan 40 peratus rakyat Malaysia yang berlebihan berat badan atau obes – dan peningkatan jumlah penghidap diabetes – kita perlu menangani apa yang dilihat sebagai satu isu kesihatan,” kata Najib. – Bernama


Ulasan GB

UMNO BN sudah menyerang rakyat. UMNO BN sudah menipu rakyat. UMNO BN sudah menzalimi rakyat.

Ayuh, bunyikan semboyan! Tentang UMNO BN habis-habisan.

Doakan agar UMNO BN segera dihancurkan Allah s.w.t.

Kenyataan Ahli PKR Masuk UMNO Disanggah Sama Sekali

KENYATAAN MEDIA

AHLI KELUAR PARTI BUKTI GAGAL PIKUL AMANAH RAKYAT

Tindakan masuk parti UMNO serta komen melalui media bahawa Parti Keadilan Rakyat tidak menyokong dalam hal-hal berhubung kebajikan rakyat oleh bekas ahli Sdr. Hassan Haroon dalam akhbar SINAR HARIAN mukasurat S7 bertarikh 12 Julai 2010 (Isnin) disanggah sama sekali sebagai tidak benar dan boleh dipertikaikan. Kenyataan beliau itu dibidas, malah hujah dakwaan kononnya pimpinan Cabang Keadilan Batu tidak memberi sokongan dalam hal dan isu kebajikan tidak timbul.

Makluman tentang pengumuman beliau telah masuk parti Umno hanya diketahui setelah disiarkan dalam akhbar Sinar Harian. Dia hadir mesyuarat agung tahunan Umno tanpa memberitahu Cabang Batu. Dia seterusnya seakan cuba mengelak dari menjawab secara langsung. Ternyata dia tidak menyatakan apakah punca sebenar untuk bertindak umum keluar parti seterusnya masuk UMNO secara terbuka semasa berlangsungnya Mesyuarat Agung UMNO Bahagian Batu di PWTC yang dirasmikan oleh bekas Naib Presiden UMNO Mohd Ali Rustam pada Ahad 11 Julai 2010.

Sebagai ahli jawatankuasa kebajikan Cabang, pengumuman yang dibuat oleh dia dilihat tindakan yang membelakangkan parti maka status keanggotaannya akan dipecat setelah dimaklumkan kepada Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat. Tindakan ini diambil setelah mengambilkira beliau isytihar keluar parti.

Dia sepatutnya berterusan komited mengalas tanggungjawab yang telah diamanahkan untuk jaga kebajikan masyarakat. Ternyata tindakan dia telah mengakibatkan masyarakat setempat melahirkan kekecewakan kerana mengkhianati kepercayaan masyarakat dan parti untuk kepentingan diri.


Yang Berhormat Chua Tian Chang (Tian Chua)
Ahli Parlimen BATU
Parti Keadilan Rakyat

Apakah KDN, PDRM, KDRM dan Jabatan Pendaftaran Negara Pengkhianat Negara?


Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar mengesyaki terdapat sindiket haram pemberian kad pengenalan kepada warga asing berstatus penduduk tetap melibatkan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Imigresen.

Mahfuz pada sidang media di lobi Parlimen hari ini berkata, keraguan itu timbul apabila ianya didedahkan kepada beliau dan Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaffar oleh individu yang ditawarkan untuk membuat permohonan taraf warganegara tersebut.

Mahfuz menjelaskan, berdasarkan maklumat yang disampaikan kepadanya, terdapat beberapa 'program' yang diadakan khusus untuk warga asing ini yang kebanyakannnya warga Indonesia dan Kemboja bagi membolehkan mereka memperolehi kad pengenalan.

Menurutnya, pada 3 Julai lalu,bertempat di Dewan Zentrum, Setiawangsa, warga asing yang telah membuat permohonan ini dipanggil untuk diserahkan 'kad pengenalan' mereka.

Manakala pada 10, 15 dan 17 Julai, bertempat di Kompleks Integrasi Warisan, Salak Tinggi diadakan operasi dan diberikan taklimat kepada warga Indonesia dan Kemboja ini, mereka boleh memohon dan mengisi borang untuk permohonan warganegara.

"Mereka ini tidak pernah memohon tetapi dipanggil melalui agen yang telah pun dikenal pasti oleh pihak yang menganjur itu. Mereka diberitahu ini merupakan peluang untuk mereka menjadi warganegara. Mereka diberitahu apabila mereka memperolehi kad pengenalan nanti mereka hendaklah menyokong kerajaan,” katanya yang juga Naib Presiden PAS.

Tambah Mahfuz lagi, sewaktu operasi 'permohonan kad pengenalan' itu berlaku, aktivis Pakatan Rakyat sempat mengambil gambar semasa operasi tersebut berlangsung dan mereka telah membuat laporan polis kerana mengesyaki seolah-olah terdapat sindiket mengeluarkan kewarganegaraan kepada pendatang asing.

"Saya mengesyaki mereka yang terlibat itu akan memenuhi senarai daftar pemilih bagi Pilihan Raya Umum ke 13 akan datang. Ia juga mungkin memenuhi senarai dua juta daripada orang Melayu yang mendaftar sebagaimana diuarkan kerajaan memandangkan mereka mempunyai nama Islam yang mempunyai persamaan dengan nama-nama orang Melayu di sini. Jadi, kes ini mengulangi kes di Sabah yang membabitkan projek M dalam salah satu kawasan pilihan raya," katanya.

Kes yang berlaku di Sabah, katanya dibawa ke mahkamah dan dibuktikan oleh hakim memang berlaku pendatang asing yang diberikan kad pengenalan untuk mendaftar sebagai pemilih.

"Saya mengesyaki jika mereka tidak memberi keuntungan, kad pengenalan akan ditarik balik. Jadi saya menganggap isu ini sebagai pemerdagangan orang untuk kelangsungan politik Umno dan BN. Isu ini amat besar kerana melibatkan keselamatan negara," tegasnya.

Turut bersama pada siang media itu, Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr. Lo' Lo' Ghazali, Ahli Parlimen Kota Raja, Dr. Siti Mariah Mahmud, dan Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.