Kerani Wanita Stesen Minyak Ditetak Perompak, RM20 Ribu Dilarikan..

IPOH – Seorang kerani wanita sebuah stesen minyak cedera ditetak seorang perompak bersenjatakan parang yang melarikan wang tunai RM20,000 semasa mangsa dalam perjalanan untuk mendepositkan wang berkenaan.

Rompakan pada kira-kira 3 petang tadi berlaku semasa mangsa yang berusia 23 tahun memberhentikan keretanya di persimpangan lampu berisyarat di Jalan Bercham di sini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Azisman Alias berkata, rakan mangsa yang juga seorang wanita, bagaimanapun terselamat daripada serangan lelaki berkenaan.

Beliau berkata, dalam kejadian itu, empat lelaki bertopeng tiba-tiba keluar dari sebuah kereta yang berhenti di sebelah kenderaan mangsa dengan seorang daripada mereka memecahkan cermin tingkap dengan parang.

Beliau meminta orang ramai yang melihat kejadian itu menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di talian 05-2451500 bagi membantu siasatan.

– Bernama

PERKASA Protes di Kedutaan Amerika Dilabel "MILITAN"

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) hari ini membuat bantahan rasmi kepada kerajaan Amerika Syarikat berhubung kenyataan bekas dutanya ke Kuala Lumpur, John R Malott yang mendakwa kumpulan itu sebagai pertubuhan militan.

Memorandum berkenaan diserahkan oleh presidennya, Datuk Ibrahim Ali kepada pemangku timbalan duta, Brian McPhearson dan konsul politik, Jeremy B Nathan di Kedutaan Amerika di ibu negara hari ini.

Beliau diiringi oleh penasihat undang-undang PERKASA, Salehuddin Saidin, timbalannya, Datuk Rahman Bakar dan ahli majlis NGO itu, Samsuri Arshad dan Ahmad Sujak.

Delegasi lima anggota itu dibenarkan masuk ke kedutaan itu pada jam 2.22petang dan keluar lebih sejam kemudian.

“Saya percaya Mr Malott mendengar maklumbalas yang tidak tepat yang diberikan oleh seseorang yang rapat dengannya dan mempercayainya seratus peartus tanpa mencari kebenaran atau menyemak faktanya,” kata Ibrahim selepas pertemuan itu.

Ib
rahim berkata beliau mengambil masa juga untuk menjelaskan perkara sebenar berhubung PERKASA dan keterangannya itu disambut baik.

Menurut beliau, PERKASA juga menerangkan kepada wakil kerajaan Amerika berhubung dakwaan Malott bahawa perbicaraan liwat yang membabitkan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah konspirasi politik.

“Mr McPhearson berkata kepada saya yang beliau juga keliru dengan laporan berhubung perkara itu, dan beliau memberi jaminan bahawa pandangan Malott bersifat peribadi dan tidak mewakili pandangan rasmi kerajaan Amerikaa,” kata Ibrahim yang juga ahli parlimen Pasir Mas.

Lebih kurang 30 anggota polis termasuk empat yang lengkap bersenjata dengan 'sub-machine gun' mengawal di pintu masuk ke Kedutaan Amerika.

Selain kehadiran wartawan dan jurugambar, kira-kira 10 penyokong PERKASA juga berhimpun di luar pejabat kedutaan itu.

Apakah Operasi Lalang 1987 Akan Berulang? Tanya Senator

Keghairahan polis menyuraikan perhimpunan aman di seluruh negara pada hujung minggu lalu menimbulkan spekulasi teori konspirasi dengan seorang senator Pakatan Rakyat memberi amaran tindakan itu mungkin membawa kepada pusingan seterusnya Operasi Lalang.

Muhamad Yusof Husin, dari PAS berkata taktik yang sama digunakan oleh kerajaan BN pada 1987 apabila pihak berkuasa memastikan sentimen anti-kerajaan tidak merebak dengan menahan 106 orang mengikut Akta Keselamatan dalam Negara (ISA).

Beliau mengakui walaupun 'kemungkinan' tangkapan itu tidak berlaku boleh terjadi, namun perkara berkenaan membimbangkan.

Situasi tegang

Menurut Muhamad Yusof berdasarkan apa yang berlaku di seluruh negara pada hujung minggu lalu, tidak keterlaluan jika seseorang beranggapan pihak berkuasa cuba memperlihatkan “situasai tegang di negara ini.”

“Apabila aktiviti secara aman tidak dibenarkan, ia akan mencetuskan bantahan dan kemungkinan pihak berkuasa akan mengambil peluang ini menggunakan ISA dengan alasan memastikan ketenteraman awam dipelihara,” katanya di lobi Senat hari ini.

“Seperti Operasi Lalang pada 1987, semua pemimpin pemabngkang dan kakitangan NGO yang tidak menyokong kerajaan ditahan mengikut ISA ...ini satu kemungkinan. Kemudian kerajaan akan mengadakan pilihan rayadan pemimpin BN berada dalam kedudukan selesa kerana tiada pembangkang.”

Muhamad Yusof memberi amaran jika pihak berkuasa tidak menangani perkara itu dengan betul, ia mungkin mencetuskan peristiwa berdarah seperti tragedi Memali pada 1982 yang menyaksikan 14 orang terbunuh ketika bangkit menentang lebih 3,000 anggota polis yang cuba menahan orang kuat PAS, Ibrahim Mahmud, atau lebih dikenali sebagai Ibrahim Libya.

Pos Malaysia Tawarkan Kadar Sama Rata Untuk Kad Ucapan Perayaan : 5 Kupang



KUALA LUMPUR: Sempena musim perayaan yang akan tiba, Pos Malaysia Berhad menawarkan promosi kadar rata sebanyak RM0.50 sen bagi penghantaran kad ucapan perayaan ke semua destinasi dalam Malaysia.

Menurut kenyataan Pos Malaysia, promosi itu bermula semalam dan akan diteruskan sehingga 28 Februari depan.

Kadar rata itu adalah bagi penghantaran saiz serta bentuk kad dengan berat tidak melebihi 50 gram dan mencakupi semua perayaan utama termasuk Hari Raya Aidilfitri, Deepavali, Krismas serta Tahun Baru Cina.

"Promosi istimewa ini akan membolehkan warga Malaysia menghantar lebih banyak kad ucapan kepada sahabat handai dan sanak saudara dengan kadar lebih rendah berbanding pos biasa," kata kenyataan itu.

Selain itu, katanya, kadar rata bagi kad perayaan adalah kira-kira 16 hingga 28 peratus lebih rendah berbanding pos biasa dengan berat kurang daripada 50 gram.

Bagaimanapun, bagi kad perayaan untuk destinasi antarabangsa akan dikenakan kadar biasa untuk pos udara.

Untuk keterangan lanjut, orang ramai boleh melayari www.pos.com.my atau e-mel kepada csc@pos.com.my.

- BERNAMA

Tiada Cadangan Buang Replika Lang di Langkawi : DS Ustaz Azizan

ALOR SETAR, 2 Ogos - Menteri Besar Kedah YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak menafikan kononnya ada ‘suara-suara’ dari pihaknya yang mahu merobohkan replika burung helang yang tersergam di pintu masuk di jeti Langkawi.

“Ini tidak benar dan seingat saya tidak pernah mendengar hal ini dan ini kali pertama mendengarnya apabila ditanya di dalam dewan tadi,” katanya mengulas soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pokok Sena YB Dato’ Syed Sobri Syed Hashim kepada media selepas persidangan itu.

Katanya, pemerintah sekarang tidak kisah pun dengan replika batu yang dibina untuk keindahan dan sebagai daya tarikan pelancong ke Langkawi. Janji ini tidak ada dalam manifesto ketika kempen pilihanraya dulu.

Isu ini timbul ekoran sesi pertanyaan mulut di mana YB S. Manikumar sebagai Exco yang bertanggungjawab hal ehwal pelancongan menjawab soalan daripada Adun Air Hangat YB Mohd Rawi haji Abd Hamid yang bertanya mengenai sektor pelancongan di Langkawi. YB Dato’ Syed Sobri kemudian mencelah dengan soalan tambahan mengenai replika helang ini.

Bagi menjawab soalan itu YB S. Manikumar juga menafikan perkara itu terkandung dalam manifesto pilihanraya sama ada tahun 2008 atau 2004.

Kekasih Paris Hilton Dapat Kontrak Pembangunan Semula Pengkalan Udara Sg. Besi

Ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa jutawan Low Taek Jho, yang lebih dikenali dengan panggilan Jho Low, telah diberikan kontrak pembangunan semula pangkalan udara Sungai Besi.

Berucap pada ceramah di Taman Ehsan, Selayang malam semalam, Anwar membidas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib yang didakwanya tergesa-gesa menswastakan aset negara untuk mendapatkan keuntungan segera.

Menurut Anwar, senarai itu termasuk Lapangan Terbang Sungai Besi yang dianggap sebagai khazanah nasional kerana ia merupakan lapangan terbang pertama negara.

NONE"Ini Jho Low boleh pergi 'enjoy' dengan Paris Hilton. Arak pun jutaan ringgit. Najib dan Rosmah bagi projek. Tender? Tiada. Cadangan projek? Tiada. Bolehkah rakyat terima ini,” soal Anwar.

Pada Jun lalu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan kepada Dewan rakyat, lapangan terbang itu yang sekarang digunakan oleh tentera udara akan dipindahkan dan tapak berkenaan diswastakan dan dijual kepada Pembangunan 1Malaysia Bhd (1MDB).

Ini dilakukan tanpa tender terbuka kerana dakwa Ahmad Zahid masih melalui 'proses yang telus' kerana perjanjian itu tidak menjejaskan kepentingan kerajaan.

pkr taman ehsan selayang ceramah 020810


PKR mendakwa perjanjian itu bernilai RM500 juta dan dikaitkan dengan Low kerana pembabitannya dengan Lembaga Pelaburan Terengganu yang kemudiannya diperbadankan menjadi 1MDB.

Bagaimanapun pada wawancaranya dengan the Star minggu lalu, Low menafikan dakwaan berkenaan.

"Zaman baik macam Nik Aziz dikatakan rasuah, yang rompak naik jadi Tun, yang bunuh naik takhta, ini zaman edan, cukuplah kita bangsa Melayu, India, Cina, Kadazan, Iban, Orang Asli, Bugis, Bajau, semuanya mahukan perubahan, pembaharuan untuk yang lebih baik di semua peringkat, baru boleh pimpin orang lain.

Tutup mata

"Pemuda Umno pernah cakap kurang ajar sebab serang Tok Guru macam itu. Ini zaman edan. Ini peringatan, Ronggowarsito kata ini zaman edan - 'gila' kerana katanya pada zaman edan ini kamu kena berhati-hati, beringat-ingat dan berwaspada sebab yang baik macam Nik Aziz dituduh rasuah, penyamun dijadikan pejuang, yang baik dimasukkan penjara," katanya dalam Ceramah Perdana 'Merakyatkan Ekonomi Selangor' di Dewan Serbaguna Taman Ehsan.

Pa
pkr taman ehsan selayang ceramah 020810 anwarda ceramahnya malam semalam itu, Anwar juga mendakwa usaha mengheret bekas menteri pengangkutan, Tun Dr Ling liong Sik ke mahkamah atas percubaan menipu jemaah menteri pada 2002, hanya percubaan mengaburi mata rakyat.

Ditambah dengan wang ikat jamin RM1 juta yang dikenakan ke atas Ling, Anwar berkata pihak berkuasa cuba menunjukkan seolah-olah mereka serius dalam usaha membanteras rasuah.

"Semasa di Pulau Pinang, rakyat kata: 'Aiyo... RM1 juta begitu tinggi tapi saya kata jumlah itu terlalu kecil bagi Ling,” kata Anwar.

Sambil mengajuk bekas presiden MCA itu, Anwar berkata: "Huh? RM1 juta? Maksud anda RM10?"

Menurut Anwar lagi, terdapat dalang lain yang turut terbabit dalam skandal RM12 bilion Zon Bebas Pelabuhan Klang yang masih bebas.

"PNONEenyelewengan PKFZ adalah antara keuntungan kecil kepada BN. Terdapat banyak lagi penyelewengan besar yang tidak diketahui umum tetapi saya tahu.

"Banyak lagi pemimpin BN tidak ditangkap dan disiasat tetapi masih terus diberi jawatan tertinggi untuk sama bantu mengorek keuntungan agar dapat dibahagikan bersama pemimpin-pemimpin BN lain," kata Anwar.

Anggota Polis Hilang Dilaut Cina Selatan Ditemui


PASIR PUTEH: Anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat, L/Kpl Basri Abdul Majid, 45, yang dilaporkan hilang di Laut China Selatan pada Jumaat lalu ditemui mati lemas di perairan antara Kelantan dan Terengganu petang tadi.

Komander Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Tok Bali, Saifullizan Ibrahim, berkata mayat Basri ditemui 11 batu nautika dari Tok Bali oleh anggota peronda APMM pada 4 petang tadi.
"Terdapat beberapa kesan luka di beberapa bahagian badan beliau," katanya.
Basri dipercayai terjatuh dari bot yang dinaiki bersama lapan rakan ketika dalam perjalanan pulang daripada memancing di Pulau Susu Dara dekat Pulau Perhentian.

Kehilangannya disedari oleh rakannya sebaik tiba di Tok Bali.

- BERNAMA

Salahguna kepala surat: Exco minta polis siasat

Kemelut kepimpinan DAP Selangor bertambah kusut apabila exco kerajaan negeri, Ronnie Liu hari ini, tampil membuat laporan polis bahawa kepala surat dan cop rasminya telah disalahgunakan.

Liu yang juga ADUN Pandamaran berkata beliau telah dinasihatkan oleh jawatankuasa disiplin supaya membuat laporan polis hari ini berhubung salahguna kepala suratnya, didakwa oleh ahli Majlis Perbandaran Klang, Tee Boon Hock.

"Cop rasmi dan kepala surat saya telah disalahgunakan. Saya tidak pasti jumlah surat yang dikeluarkan menggunakan kepala surat dan cop rasmi itu...Saya mahu polis segera siasat. Saya mempunyai tiga surat seumpama itu dengan saya sekarang,” kata Liu di ibu pejabat polis di Shah Alam.

Liu juga menafikan bahawa surat yang terdapat di surat-surat berkenaan ditandatanganinya.

“Ia bukan kepunyaan saya dan saya tidak tahu siapa yang menandatangani surat berkenaan,” katanya.

Kepala surat dan cop rasmi berkenaan sebelum ini dilapor digunakan oleh Tee untuk mengeluarkan surat sokongan kepada 15 syarikat bagi mendapatkan kontrak bernilai lebih RM1.04 juta.

Tee sejak itu telah dipecat oleh DAP apabila didapati satu daripada syarikat berkenaan ada kaitan dengan anak lelakinya.

Menurut Liu, beliau memutuskan untuk membuat laporan polis hari ini kerana Tee mendakwa beliau diarah mengeluarkan surat tersebut bagi pihak dirinya (Liu).

Liu enggan menyatakan penerima surat-surat tersebut dan hanya memberi jaminan bahawa beliau akan mendedah kandungannya jika polis membenarkannya.

Exco Selangor itu menjelaskan bahawa beliau dipanggil oleh jawatankuasa disiplin berikutan tuduhan Tee tersebut.

"Bagaimanapun, saya berhasrat untuk memberi kerjasama sepenuhnya," katanya.

Liu kini berada di jabatan siasatan jenayah komersial di Shah Alam untuk memberi kenyataan berhubung surat berkenaan.

Apa Dah Jadi... FDI Negara Merudum 430%, Jangan Bodohkan Rakyat

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menyanggah alasan bahawa pelabur asing tidak ada wang untuk melabur sebagai punca kepada penurunan mendadak pelaburan langsung asing (foreign direct investment-FDI) ke negara ini. Alasan yang tidak matang ini tidak boleh digunakan oleh Tun Mahathir Mohamad sekalipun beliau cuba untuk membela kepimpinan anak didiknya, Datuk Seri Najib Tun Razak yang gagal memanfaat perlantikannya sebagai Perdana Menteri untuk menarik sokongan pelaburan asing.

PAS mempersoalkan keseriusan pengurusan ekonomi kerajaan pimpinan Najib yang menyebabkan FDI Malaysia jatuh sebanyak 430 peratus. Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Sekretariat Negara-Negara ASEAN, Malaysia hanya mampu meraih pelaburan bernilai USD1, 381 juta sahaja pada 2009 berbanding USD7, 318 juta pada 2008. Kejatuhan nilai pelaburan ini adalah yang tertinggi berbanding negara ASEAN lain.

Malaysia yang tersenarai dalam kumpulan ASEAN 5 ketinggalan dengan negara Indonesia, Filipina, Thailand dan Singapura.

Indonesia hanya mengalami kejatuhan sebanyak 91 peratus dengan nilai FDInya masih lebih tinggi dari Malaysia pada 2009 iaitu USD4, 877 juta berbanding USD9, 318 juta pada 2008. Thailand yang bergolak pada tahun lepas pula alami kejatuhan sebanyak 44 peratus iaitu dari USD8, 570 juta pada 2008 kepada USD5, 957 juta pada 2009.

Alasan bahawa pelabur asing tiada duit disanggah dengan peningkatan pelaburan ke negara jiran Malaysia iaitu Singapura yang memperoleh peningkatan sebanyak 32.87 peratus dengan nilai FDI 2009 berjumlah USD16, 256 juta berbanding USD10, 912 juta pada 2008.

Filipina turut mengalami peningkatan walaupun disibukan dengan isu pengganas dan proses pilihanraya. Negara jiran ini mengatasi Malaysia dengan memperolehi USD1, 948 juta pada 2009 berbanding USD1,544 juta pada 2008 dengan kadar peningkatan sebanyak 20.74 peratus.

Kita tidak lupa bahawa FDI Malaysia pada 1998 lebih rendah berbanding Thailand. Kemudian jatuh lagi pada 2005 iaitu lebih rendah dari Indonesia. 2008 FDI lebih rendah dari Vietnam dan tahun ini terus merosot, lebih rendah dari Filipina. Jangan pula selepas ini FDI Malaysia jatuh lebih rendah dari Brunei, Kemboja, Laos dan Myanmar yang secara puratanya di bawah USD500 juta sejak tiga tahun kebelakangan ini.

Data-data di atas, sekaligus membuktikan bahawa alasan yang dikemukakan oleh Mahathir adalah tidak releven dan cuba memperbodohkan rakyat.

PAS menyakini bahawa kejatuhan ini berpunca dari beberapa tindakan huru hara yang dicetuskan oleh BN sendiri bermula dengan perampasan kuasa dinegeri Perak yang menyaksikan para pelabur hilang keyakinan terhadap kestabilan politik di negara ini.

Seterusnya Najib juga gagal menjamin tahap keselamatan negara apabila dua enjin pesawat TUDM dicuri, dan kapal selam Scorpene yang dibeli gagal berfungsi dengan baik. Kes rasuah yang turut membabitkan nama Perdana Menteri Malaysia sekarang semasa dalam pembelian kapal ini pula mula disiasat Perancis akhir tahun lepas dan ini mencemarkan imej negara kerana kes ini mulai memasuki mahkamah tahun ini.

Tidak cukup dengan itu, kemasukan secara rahsia mantan Perdana Menteri Thailand dalam buruan, Thaksin Shinawatra yang gagal dikesan Polis Malaysia menimbulkan keraguan kalangan pelabur berkaitan keseriusan kerajaan melindungi negara ini. Malah Malaysia dikatakan menjadi negara transit kepada aktiviti pengedaran dadah, pelacuran, pemerdagangan orang dan pengganas. Imej buruk ini amat menakutkan pelabur asing. Ini tidak termasuk lagi dengan faktor kes jenayah dalam negara.

Tahun 2009 juga menyaksikan Anwar Ibrahim yang dilantik sebagai Ketua Pembangkang cuba diheret ke mahkamah dengan isu liwat. Kredibiliti beliau yang dihormati ramai pihak ini menjadi sebab pelaburan asing tertahan.

Selain itu pembabitan beberapa pemimpin BN dalam skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) juga menjadi tumpuan kerana ia melibatkan aset fasiliti perdagangan negara. Ketirisan yang berlaku dalam projek ini amat menakutkan pelabur asing kerana mereka juga boleh jadi mangsa kebuasan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab jika melabur dinegara ini.

PAS menyarankan agar kerajaan dibersihkan dari pemimpin-pemimpin yang korup dan tamak bagi meningkatkan keyakinan para pelabur dan rakyat terhadap potensi negara ini. PAS juga mahu agensi yang mempromosikan pelaburan ke dalam negara berusaha memikat perhatian pelabur asing dari Australia, New Zealand, India, Afrika, Rusia, Kanada dan negara-negara latin di Amerika Selatan. Dalam masa yang sama pelaburan dari Amerika Syarikat, Jepun, China dan sekitar negara ASEAN dipertingkatkan.

PAS juga yakin bahawa pelaburan dan nilai perdagangan mampu meningkat lebih tinggi walaupun tanpa perjanjian FTA.

PAS juga mengingatkan Mahathir agak tidak mengambil inisiatif yang membuta tuli membela Kerajaan BN dalam isu ini hanya kerana mahu berterima kasih kepada Najib kerana melantik anak beliau Mukriz menjadi Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri iaitu kementerian yang bertanggungjawab menarik pelaburan asing ke dalam negara.

Kerajaan BN juga haruslah ikhlas dalam membantu negeri-negeri Pakatan bagi mempromosikan program pelaburan mereka ke negara luar. Sehinga ke hari ini program NCER dan ECER belum lagi menunjukan kesan yang besar kepada negeri-negeri yang terbabit, apatah lagi bila ianya sudah dikuasai Pakatan. Tahap keinginan BN untuk memajukan negeri berkenaan begitu rendah. FDI negara akan terus jatuh merundum jika BN tidak mahu menerima hakikat yang mereka perlu bekerjasama dengan Pakatan dalam memajukan negara ini terutamanya melalui negeri-negeri yang dikuasai Pakatan.

Ustaz Idris Ahmad,
Ketua Penerangan PAS Pusat.

Adun Sungai Pinang beri syarat pada JK disiplin DAP

ADUN Sungai Pinang Teng Chang Kim tidak akan menghadiri siasatan jawatankuasa disiplin DAP jika beliau dipanggil atas kapasitinya sebagai Speaker DUN Selangor dan pengerusi jawatankuasa mengenai keupayaan, kebertanggungjawaban dan ketelusan (Selcat).

"Saya perlu memelihara maruah DUN Selangor, speaker dan pengerusi Selcat," katanya dalam sidang akhbar di pejabat speaker hari ini.

"Tidak mungkin bagi saya menghadiri siasatan tersebut atas kapasiti saya sebagai Speaker DUN Selangor dan pengerusi Selcat, walaupun jika saya akan dipecat kerananya," tambahnya.

Bagaimanapun, katanya, beliau sedia bekerja sama dengan jawatankuasa disiplin jika beliau dipanggil sebagai pemimpin parti atau ADUN Sungai Pinang.

Teng merujuk kepada kenyataan pengerusi jawatankuasa disiplin parti itu, Tan Kok Wai (kanan) semalam seperti yang dilaporkan oleh Malaysiakini.

Tan dilaporkan sebagai berkata: "Jadi, kali ini pengerusi Selcat akan dipanggil oleh jawatankuasa disiplin untuk menjelaskan perkara itu."

Teng membidas Tan kerana tidak profesional dan tidak boleh membezakan antara perkara yang membabitkan parti dan kerajaan negeri.

"Selepas enam penggal menjadi ahli parlimen, Tan tidak sepatutnya membuat kenyataan tersebut," katanya.

Teng juga berkata, beliau berhak mengkritik keputusan jawatankuasa disiplin, dengan alasan bahawa para pemimpin Pakatan Rakyat juga selalu mengkritik penghakiman kes menteri besar Perak dan speaker Perak.

Anwar Mohon Digugurkan Pertuduhan Lantaran "Hubungan Terlarang" Saksi & Timb. Pendakwaraya

Perbicaraan kes liwat II membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim ditangguhkan berikutan permohonan ketua pembangkang itu untuk menggugurkan pertuduhan terhadapnya dengan alasan seorang timbalan pendakwa raya dalam pasukan pendakwaan dikatakan mempunyai hubungan dengan saksi utama kes, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Sehubungan itu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 9 Ogos depan untuk mendengar permohonan itu.

Peguam utama Anwar -- Karpal Singh -- yang sebelum ini cuti sakit selama 15 hari sehingga menyebabkan perbicaraan terpaksa ditangguhkan sementara, hadir hari ini.

Walaupun mengikut jadual, Dr Mohd Razali Ibrahim dari Hospital Kuala Lumpur sepatutnya memberi keterangan dan disoal balas, namun 'hubungan romantis' antara seorang timbalan pendakwa raya yang mengendalikan kes liwat ini dengan saksi utama yang juga merupakan pengadu kes ini, Mohd Saiful Bukhari Azlan dingka mencuri tumpuan.

Peguam Anwar mendesak hakim supaya membuang kes ini berdasarkan hubungan timbalan pendakwa raya, Farah Azlina Latif yang digugurkan minggu lalu dengan Mohd Saiful.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail Isnin lalu memutuskan Farah Azlina digugurkan dari pasukan pendakwaan agar 'hubungan romantisnya' tidak akan menjejaskan kes itu.

Beliau juga telah dipindahkan dari bahagian pendakwaan, pejabat peguam negara.

Perbicaraan hari ini dimulakan dengan Karpal memfail permohonan supaya pendakwaan terhadap ketua pembangkang itu digugurkan.

Hujahnya - hubungan romantis Farah Azlina dengan Mohd Saiful mempengaruhi kes berkenaan.

Bagaimanapun, ketua pendakwa raya membantah permohonan berkenaan tetapi bersetuju supaya kes itu ditangguh seketika.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah bersetuju untuk mendengar permohonan Karpal tetapi disebabkan peguam belum bersedia, perbicaraan ditangguh seketika.

Sebelum itu, seorang lagi peguam Anwar -- Sankara Nair mendesak Peguam Negara memberikan maklum balasnya berhubung dakwaan penulis blog Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin, bahawa Farah Azlina mempunyai hubungan dengan Saiful.

Dalam pada itu, Anwar akan membuat laporan polis berhubung hubungan kedua-dua individu berkenaan.

Anwar tiba di mahkamah pada jam 9 pagi ini dengan diiringi oleh isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan beberapa pemimpin PKR termasuk, Saifuddin Nasution dan Dr Xavier Jeyakumar.

Selain Karpal, peguamnya yang lain yang turut hadir adalah Param Cumaraswamy dan Sankara Nair.

Anwar didakwa meliwat bekas pembantunya itu di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, Kuala Lumpur, antara 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Jika sabit kesalahan, Anwar boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan disebat.

Video Himpunan Gerakan Anti-ISA dihalang polis, lebih 30 ditangkap


Polis telah bertindak menyurai serta menghalang para aktivis daripada mengadakan upacara memasang lilin di lapan tempat di seluruh negara bagi membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang kini berusia 50 tahun.

Menurut laporan yang diperolehi, beberapa anggota polis diletakkan di beberapa tempat bagi menghalang upacara memasang lilin itu diadakan.

Di Dataran MBPJ, Padang Timur di Petaling Jaya - di mana upacara memasang lilin bermulajam 8 malam - anggota polis bertindak menyuraikan kira-kira 300 yang hadir sambil menyanyikan laguNegaraku.

Anggota polis kelihatan mengejar beberapa peserta upacara tersebut dari kawasan Dataran, di tengah-tengah laungan "Hidup, hidup! Hidup rakyat!” manakala anggota polis yang lain, membentuk barisan bagi menghalang orang ramai masuk ke kawasan dataran tersebut

Di Ipoh, anggota polis bertindak menutup Dataran Majlis Bandaraya Ipoh dan melarang orang ramai memasuki kawasan tersebut.

Di Pulau Pinang pula, anggota polis sebelum ini telah menampak notis - yang ditandatangani oleh OCPD George Town, Penolong Pesuruhjaya Gan Kong Meng - di sekitar Sudut Pidato di Georgetown, melarang sebarang perhimpunan haram diadakan di kawasan itu.

Sekurang-kurangnya lima orang terus ditangkap temasuk pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA, Syed Ibrahim Syed Noh, setiausaha agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) S Arutchelvan dan anggota Majlis Pimpinan Tertinggi PKR Badrul Hisham Shaharin.

Selain Ibrahim, Arutchelvan dan Badrul Hisham, turut ditahan dan dibawa ke balai polis Petaling Jaya termasuklah Suresh Kumar, Mohd Fiqtriey, Naqiuddin Sahar, Albert Ang Yik Chuan, Yew Hun Ng, Ng Yap Hwa, Tsuing Han See, Enalini Elumalai, Mien Lor, Thilaga Sokiapillay, Kohila Y, Bawani K, Parames E, Sivaranjani, Lee Wei Ni, E Sarawanen, Xavier Sim Yoon Han dan Aiman Siew Teck Meng.

Siti Kasim (kanan) dari Majlis Peguam berkata ini adalah kali pertama beliau melihat polis bertindak ganas, sehingga bertindak menangkap orang ramai walaupun mereka masuk ke sebuah pusat membelibelah Amcorp berhampiran.

Pengarah Suaram, Kua Kia Soong turut mengecam kekerasan polis dalam kejadian tersebut.

Pada sekitar jam 9:15 malam, polis menghentikan tindakan menyurai dan menangkap.

Dalam sidang akhbar sejurus selepas itu, ketua polis Petaling Jaya Arjunaidi Mohamed berkata pihak penganjur tidak mendapat permit polis dalam mengadakan perhimpunan malam ini.

"Tidak ada permit polis yang dipohon," katanya.

Beliau juga berkata pihak penganjur mendakwa telah mendapat permit daripada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

"Tetapi MBPJ bukan pihak berkuasa yang mempunyai kuasa untuk mengeluarkan permit tersebut," katanya sambil menambah MBPJ seharusnya tahu perkara itu.

Beliau juga mempertahankan tindakan polis kerana peserta perhimpunan itu enggan mematuhi arahan polis supaya bersurai.

"Kita telah meminta mereka bersurai, tetapi mereka enggan dan masuk ke dalam Amcorp Mall," katanya.

Arjunaidi berkata apabila keluar, mereka mengkritik dan mencabar polis yang kemudiannya menangkap mereka.

Menuutnya, seramai 25 orang dewsa - enam wanita dan 19 lelaki - ditahan kerana menyertai perhimpunan haram.

Katanya, walaupun terdapat kanak-kanak dalam perhimpunan tersebut, tetapi tidak ada yang ditahan.

Ketua polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar kemudiannya berkata polis menangkap 30 orang di Petaling Jaya - 22 lelaki dan lapan wanita.

Di Pulau Pinang, empat orang ditangkap termasuk Choo Choon Kai dan Kris Khaira dari PSM.

Seorang lagi - Darshan Singh - ditangkap kemudiannya. Manakala yang keempat ditangkap ialah Ong Jing Cheng dari Suaram.

Kesemua mereka kemudiannya dibebaskan sejurus selepas tengah malam selepas polis mengambil kenyataan mereka.

Lau Shu Shi dari Suaram juga ditahan selepas diserahkan waran tangkap, tetapi ia dikatakan berkaitan kes lain sebelum ini.

Di Kelantan, polis menangkap penyelaras upacara memasang lilin - Zaidi Musa dan Hamidi Musa - ditahan selepas ianya selesai diadakan.

Sementara itu, dalam kenyataannya, Suaram mengecam tindakan polis yang menurutnya terus menerus menyerang kebebasan bersuara, hak asasi yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan Deklarasi Hak Manusia Sejagat.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.