Video Himpunan Gerakan Anti-ISA dihalang polis, lebih 30 ditangkap


Polis telah bertindak menyurai serta menghalang para aktivis daripada mengadakan upacara memasang lilin di lapan tempat di seluruh negara bagi membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang kini berusia 50 tahun.

Menurut laporan yang diperolehi, beberapa anggota polis diletakkan di beberapa tempat bagi menghalang upacara memasang lilin itu diadakan.

Di Dataran MBPJ, Padang Timur di Petaling Jaya - di mana upacara memasang lilin bermulajam 8 malam - anggota polis bertindak menyuraikan kira-kira 300 yang hadir sambil menyanyikan laguNegaraku.

Anggota polis kelihatan mengejar beberapa peserta upacara tersebut dari kawasan Dataran, di tengah-tengah laungan "Hidup, hidup! Hidup rakyat!” manakala anggota polis yang lain, membentuk barisan bagi menghalang orang ramai masuk ke kawasan dataran tersebut

Di Ipoh, anggota polis bertindak menutup Dataran Majlis Bandaraya Ipoh dan melarang orang ramai memasuki kawasan tersebut.

Di Pulau Pinang pula, anggota polis sebelum ini telah menampak notis - yang ditandatangani oleh OCPD George Town, Penolong Pesuruhjaya Gan Kong Meng - di sekitar Sudut Pidato di Georgetown, melarang sebarang perhimpunan haram diadakan di kawasan itu.

Sekurang-kurangnya lima orang terus ditangkap temasuk pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA, Syed Ibrahim Syed Noh, setiausaha agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) S Arutchelvan dan anggota Majlis Pimpinan Tertinggi PKR Badrul Hisham Shaharin.

Selain Ibrahim, Arutchelvan dan Badrul Hisham, turut ditahan dan dibawa ke balai polis Petaling Jaya termasuklah Suresh Kumar, Mohd Fiqtriey, Naqiuddin Sahar, Albert Ang Yik Chuan, Yew Hun Ng, Ng Yap Hwa, Tsuing Han See, Enalini Elumalai, Mien Lor, Thilaga Sokiapillay, Kohila Y, Bawani K, Parames E, Sivaranjani, Lee Wei Ni, E Sarawanen, Xavier Sim Yoon Han dan Aiman Siew Teck Meng.

Siti Kasim (kanan) dari Majlis Peguam berkata ini adalah kali pertama beliau melihat polis bertindak ganas, sehingga bertindak menangkap orang ramai walaupun mereka masuk ke sebuah pusat membelibelah Amcorp berhampiran.

Pengarah Suaram, Kua Kia Soong turut mengecam kekerasan polis dalam kejadian tersebut.

Pada sekitar jam 9:15 malam, polis menghentikan tindakan menyurai dan menangkap.

Dalam sidang akhbar sejurus selepas itu, ketua polis Petaling Jaya Arjunaidi Mohamed berkata pihak penganjur tidak mendapat permit polis dalam mengadakan perhimpunan malam ini.

"Tidak ada permit polis yang dipohon," katanya.

Beliau juga berkata pihak penganjur mendakwa telah mendapat permit daripada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

"Tetapi MBPJ bukan pihak berkuasa yang mempunyai kuasa untuk mengeluarkan permit tersebut," katanya sambil menambah MBPJ seharusnya tahu perkara itu.

Beliau juga mempertahankan tindakan polis kerana peserta perhimpunan itu enggan mematuhi arahan polis supaya bersurai.

"Kita telah meminta mereka bersurai, tetapi mereka enggan dan masuk ke dalam Amcorp Mall," katanya.

Arjunaidi berkata apabila keluar, mereka mengkritik dan mencabar polis yang kemudiannya menangkap mereka.

Menuutnya, seramai 25 orang dewsa - enam wanita dan 19 lelaki - ditahan kerana menyertai perhimpunan haram.

Katanya, walaupun terdapat kanak-kanak dalam perhimpunan tersebut, tetapi tidak ada yang ditahan.

Ketua polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar kemudiannya berkata polis menangkap 30 orang di Petaling Jaya - 22 lelaki dan lapan wanita.

Di Pulau Pinang, empat orang ditangkap termasuk Choo Choon Kai dan Kris Khaira dari PSM.

Seorang lagi - Darshan Singh - ditangkap kemudiannya. Manakala yang keempat ditangkap ialah Ong Jing Cheng dari Suaram.

Kesemua mereka kemudiannya dibebaskan sejurus selepas tengah malam selepas polis mengambil kenyataan mereka.

Lau Shu Shi dari Suaram juga ditahan selepas diserahkan waran tangkap, tetapi ia dikatakan berkaitan kes lain sebelum ini.

Di Kelantan, polis menangkap penyelaras upacara memasang lilin - Zaidi Musa dan Hamidi Musa - ditahan selepas ianya selesai diadakan.

Sementara itu, dalam kenyataannya, Suaram mengecam tindakan polis yang menurutnya terus menerus menyerang kebebasan bersuara, hak asasi yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan Deklarasi Hak Manusia Sejagat.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.