Apa Muslihat PERKASA Tidak Mahu Jadi Ahli Bergabung BN???

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) setakat ini lebih berminat untuk tidak bergabung atau menjadi ahli bersekutu dengan mana-mana parti politik kerana "mahu kekal bebas tanpa terikat dengan mana-mana pihak".

"Apa jua dasar yang baik untuk rakyat, selari dengan perlembagaan negara, PERKASA akan bagi sokongan kepada mana-mana pihak," kata setiausaha agungnya Syed Hasan Syed Ali

Dalam kenyataannya melalui SMS kepada Malaysiakini petang ini, Syed Hasan bagaimanapun menyerahkan keputusan muktamad untuk memohon menjadi ahli gabungan BN kepada perwakilan mesyuarat agung PERKASA pada Mac tahun depan.

"Ia (merupakan) perkara dasar, maka keputusan terletak kepada perwakilan mesyuarat agung PERKASA," katanya menjawab soalan sama ada pertubuhan Melayu itu berminat menjadi ahli bergabung dengan BN setelah keahlian baru itu diluluskan parti itu tengah hari tadi.

Selain meluluskan ahli bersekutu secara keahlian langsung Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak juga mengumumkan keputusan dewan tertinggi parti yang meluluskan menerima mana-mana NGO, pertubuhan atau persatuan untuk menjadi ahli bergabung dalam parti itu.

Najib bagaimanapun menegaskan bahawa peraturan atau keputusan tentang ahli bergabung akan diputuskan oleh dewan tertinggi BN selepas mengambil kira pandangan parti komponen.

Sebelum itu, bercakap kepada Malaysiakini, Syed Hasan berkata sukar bagi pertubuhan itu menjadi ahli gabungan kerana ahlinya terdiri daripada pelbagai latar belakang politik.

Malah, beliau juga sendiri masih belum faham apakah maksud dan pendekatan sebenar "ahli gabungan" seperti mana yang diumumkan oleh Najib itu.

"Kita tengok (dahulu) apa pendekatan BN. Dan apabila sudah faham, kita akan berfikir semula... Sukar untuk menerima jemputan (sebagai ahli bergabung) sebab ahli kita pelbagai latar belakang," katanya.

Sementara itu Ketua Wira PERKASA Arman Azha Abu Hanifah pula menjangkakan kemungkinan perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat dewan tertinggi NGO dua minggu lagi.

Pertubuhan yang diketuai ahli parlimen Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali itu sering dikaitkan dengan Umno - tulang belakang BN - terutamanya oleh pembangkang.

Kenapa Rosmah Mansor tidak dilantik semula sebagai Canselor Unisel Selepas Kontraknya Tamat

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor selaku Canselor Universiti Industri Selangor (UNISEL) menyampaikan Anugerah Canselor kepada pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan Mohamad Hafiz Rosli (kanan) semasa Majlis Konvokesyen Unisel ke-lima di Dewan Utama, Kampus Bestari Jaya di sini Sabtu.- foto BERNAMA

KUALA SELANGOR: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memperkenankan hasrat Datin Seri Rosmah Mansor untuk tidak dilantik semula sebagai Canselor Universiti Industri Selangor (Unisel) selepas kontraknya tamat Februari ini.

Rosmah memberitahu demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Istiadat Konvokesyen Unisel Kelima di Kampus Bestari Jaya di sini, Sabtu.

"'Ingin saya maklumkan bahawa ini adalah merupakan tugasan terakhir saya dalam Majlis Konvokesyen Unisel.

"Permohonan saya untuk berundur diri sebagai Canselor sehingga tamat tempoh lantikan telah mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Selangor," katanya.

Turut hadir pada majlis itu termasuk Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Kontroversi kedudukan Rosmah di universiti milik kerajaan negeri itu mula tercetus selepas Pakatan Rakyat berjaya merampas Selangor daripada Barisan Nasional pada pilihan raya umum 2008.

Isteri Perdana Menteri itu pernah menyatakan mahu melepaskan jawatannya kerana dianggap 'tidak kena' jika terus memegang jawatan di negeri diperintah parti pembangkang.

Bagaimanapun beliau terpaksa menanti sehingga Sultan Selangor membuat keputusan.

Atas Apa Alasan Pun Orang Ramai Mempunyai Hak Berhimpun Di Masjid : Hakim

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini membebaskan 15 orang, termasuk ahli parlimen Batu Tian Chua atas dakwaan terlibat dalam perhimpunan awam yang dianjurkan Gabungan Pilihan Raya bersih dan Adil (BERSIH).

bersih rally 271207 05Hakim Jagjit Singh berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie bahawa perhimpunan pada 10 November 2007 itu haram.[Imbas foto kejadian]

"Masjid negara adalah tempat beribadat, dan tiada sesiapa mempunyai kuasa untuk menyuraikan hadirin, atas apa alasan pun orang ramai mempunyai hak berhimpun di masjid," katanya.

Jagjit menyampaikan keputusan itu selepas mendengar pengakuan daripada 36 saksi sepanjang perbicaraan yang mengambil masa tiga tahun.

Selain Tian Chua, dua lagi pemimpin Pakatan Rakyat yang didakwa, anggota parlimen Padang Serai N Gobalakrishnan dan bekas naib presiden PAS dan pemidato terkenal Mohamad Sabu.

Semua mereka ditahan tiga bulan selepas perhimpunan itu.

Takbir, ciuman gembira

Kesemua mereka ditahan ketika berarak bersama 40,000 orang lagi daripada beberapa tempat sekitar Kuala Lumpur ke Istana Negara bagi menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menuntut pilihan raya yang bersih dan adil.

Selepas saja Jagjit mengumumkan keputusan itu, mahkamah bergema dengan suara takbir daripada orang ramai yang hadir.

Gobalakrishnan kelihatan terlalu gembira dengan keputusan itu dan lantas mencium pipi peguam Jason Tay.

Mereka yang lain: Mohd Salim Yeslam, 25, Ahmad Razali Abd Rahman, 53, Razali Abdul, 37, Mohd Asri Ahmad, 37, Muhd Harith Fatillah Shahabudin, 27, Saleh Mohamad Tahir, 50, Azahar Yusop, 46, Sulaiman Ahmad, 60, Taib Abdullah, 36, Mohd Abi Salam Ariffin, 28, Ishak Othman, 36, dan Mohd Zad Abdullah, 42.

Dua lagi merupaka tertuduh juvana dari Kedah.

Kesemua mereka didakwa terlibat dalam perhimpunan haram di beberapa tempat, merangkumi laman Masjid Negara, Jalan Istana, Jalan Raja Laut dan sekitar pusat membeli-belah SOGO di Jalan Tuanku Abdul Rahman Rahman antara jam 1 hingga 4 petang pada 10 November 2007.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.