KUALA LUMPUR 18 Okt. - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan Khamis depan bagi keputusan kes seorang pengurus pemasaran produk yang memfailkan saman fitnah RM18 juta terhadap media berkaitan laporan kes bunuh eksekutif pemasaran Noritta Samsuddin.
Mikko Kauko Johannes Jarva, 35, warga Finland, memfailkan saman terhadap beberapa syarikat akhbar dan editor mereka berhubung penyiaran artikel serta gambarnya dalam laporan kes bunuh Noritta kira-kira tujuh tahun lepas.
Hakim Datuk Lau Bee Lan menetapkan tarikh itu dalam kamarnya selepas pihak plaintif yang diwakili peguam S.N. Nair dan peguam defendan-defendan yang diwakili Nad Segaram mengemukakan hujahan masing-masing.
Pada 9 April 2004, Jarva menamakan New Straits Times Press, New Straits Times Sdn. Bhd., Tan Sri Abdullah Ahmad, Berita Harian Sdn. Bhd., Datuk Hishamuddin Aun, Datuk Ahiruddin Atan, Mohd. Zian Johari, Utusan Melayu Berhad dan bekas Ketua Pengarangnya, Datuk Khalid Mohd sebagai defendan-defendan.
Dalam peryataan tuntutannya, Jarva mendakwa bahawa dia ditahan polis pada Disember 2003 berhubung penyiasatan terhadap pembunuhan Noritta dan diletakkan dalam tahanan sebelum direman selanjutnya di Balai Polis Brickfields.
Jarva berkata, sepanjang tempoh itu beliau bertegas menyatakan dirinya tidak bersalah.
Bagaimanapun, dia mendakwa kesemua defendan, tanpa mempedulikan dirinya tidak bersalah berhubung dakwaan kesalahan itu, telah menerbitkan dan/atau menyebabkan penyiaran gambar dan menulis cerita yang mengaitkan dirinya secara langsung.
Jarva berkata, penerbitan itu langsung tidak betul, palsu, menyakitkan hati dan tiada benarnya kerana dia akhirnya tidak didakwa polis kerana tidak bersalah dan dalam kes itu, pada peringkat berkenaan, identiti dirinya patut dilindungi oleh kesemua defendan. - Bernama