TERKINI DARI SEDAKASEJAHTERA.COM

Gempa Bumi di Chile : Tengok Gambar Aje.. Tak Faham

Berita Terkini.. Laporan Gempa Bumi di Chile

Gempa Bumi di Chile : Dah 85 Disahkan Terkorban




SANTIAGO 27 Feb. - Gempa bumi dengan kekuatan 8.8 pada skala Richter yang melanda bahagian selatan tengah Chile awal pagi ini telah mengorbankan 85 orang, meruntuhkan bangunan, kediaman dan hospital serta berlakunya tsunami.

Televisyen tempatan TV Chile melaporkan sebuah bangunan 15 tingkat runtuh di Concepcion, iaitu bandar paling teruk terjejas di mana rekanan besar dapat dilihat di jalan-jalan.

Bangunan-bangunan dijilat api, jambatan runtuh dan bangunan kediaman bertaburan dijalanan yang penuh dengan batu-batu dan kaca dari rumah-rumah yang rosak. Ramai yang gerun dengan gegaran kuat dan serentak itu cuba memanggil rakan-rakan dan keluarga mereka.

Presiden Michelle Bachelet berkata, lebih daripada 85 orang terbunuh di wilayah Maule sahaja dan jumlah tersebut dijangka meningkat. Talian telefon dan bekalan elektrik terputus menyebabkan usaha untuk memasuki kawasan kejadian sukar. - Reuters

Kepulauan Hawaii DiAncam Tsunami


WASHINGTON 27 Feb. - Tsunami yang berlaku hari ini dijangka akan menyebabkan berlaku kemusnahan di sepanjang pantai di semua pulau di kepulauan Hawaii, kata Pusat Amaran Tsunami Pasifik.

"Tindakan segera perlu dilakukan untuk melindungi penduduk dan harta benda," kata pusat itu dalam satu buletin. "Semua pantai berhadapan risiko ini tanpa mengira arah mana mereka berdepan."

Sebelum agensi itu mengeluarkan amaran berlaku tsunami di lautan luas Pasifik termasuk Hawaii dan merebak merentasi lautan dari Amerika Selatan hingga ke lingkaran Pasifik.

Dijangkakan tsunami pertama akan membadai Hawaii pada pukul 11.19 pagi ini waktu tempatan (4.19 pagi Ahad waktu Malaysia). - Reuters

Bukan Rosmah! Permaisuri Agong Wanita Pertama





http://darisungaiderhaka.blogspot.com/


Dalam temu bual dengan Bernama, Rosmah bercakap mengenai peranan penting yang boleh dimainkan oleh isteri pemimpin dunia. Katanya tugas mereka bukan sekadar mengiringi pemimpin pada majlis-majlis rasmi malah melampaui semua itu.

Dan dalam temubual itu Rosmah telah menggunakan gantinama kami bagi menggantikan namanya dan diri lain-lain wanita Pertama dunia.

Katanya "Kami boleh menjadi wanita pertama yang bekerja. Kami boleh memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan hubungan diplomatik. Kami boleh menjadi kawan. Jika sesuatu berlaku, kami boleh menggunakan saluran tidak rasmi, tanpa protokol.

"Saya sentiasa berusaha untuk mengenali wanita-wanita pertama setiap kali kami bertemu di persidangan antarabangsa yang dihadiri suami kami. Suami (pemimpin) kami boleh berinteraksi secara lebih rasmi dan serius tetapi kami, sebagai isteri mereka, boleh menganggap satu antara lain sebagai kawan,"

Bernama

Semua orang tahu Datin Rosmah ialah Isteri kedua Dato Seri Najib. Janda PM Malaysia, Dato Seri Najib ialah seorang insan bernama Puteri Zainah binti Iskandar, perempuan pertama yang bersama Najib membina kehidupan.

Puteri Zainah adalah wanita pertama yang berada di sisi Najib. Wanita pertama yang berada di kiri Najib atas pelamin yang kilau gemilau. Wanita pertama yang menjadi teman tidur Najib yang sah. Wanita pertama yang meyendukkan nasi ke pinggan Najib. Wanita pertama yang mengambil baju dan seluar Najib untuk ke pejabat.

Betapa pun ada kuasa yang cuba menafikannya, namun sejarah dan biologi tidak boleh menafikan bahawa darah wanita ini ada dalam tubuh tiga orang anak perdana menteri itu; Mohd Nizar, Puteri Norlisa dan Mohd Nasifuddin.

Sebelum Datin Rosmah Mansor menjelma dalam hidup Najib, Puteri Zainah atau lebih dikenali dengan Ku Yie inilah yang mengikut Najib ke majlis-majlis kerajaan. Yang menemani Najib menziarahi rakyat di Pekan dan seluruh Pahang semasa Najib menjadi Menteri Besar Pahang dulu. Ku Yielah yang menjadi pujaan dan kesayangan Tun Puan Rahah.

Rosmah harus sedar bahawa walaupun dia kini telah menjadi satu-satunya wanita yang sering berada di samping Najib, Dia tetap bukan wanita Pertama Negara.

Rosmah hanyalah seorang isteri kepada Perdana Menteri sahaja dan tidak layak menganggap dirinya sebagai Wanita Pertama Malaysia atau "First Lady".

Wanita Pertama Malaysia ialah Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong dan tidak boleh mana-mana pihak membuat tuntutan ke atas penghormatan itu hatta isteri Perdana Menteri sekali pun.

Dalam konteks gelaran Wanita Pertama Malaysia usaha meletakkan gelaran itu pada bukan yang hak adalah sesuatu yang tidak bermoral dan tidak bersopan.

Dan Professor Aziz Bari dalam kenyataannya juga telah mempertikaikan kewajaran Rosmah mengaku dirinya sebagai wanita Pertama Malaysia..

Prof Aziz Bari: Rosmah Bukan Wanita Pertama Malaysia

KUALA LUMPUR 27 Feb - Datin Seri Rosmah Mansor hanya bertaraf isteri kepada seorang Perdana Menteri sahaja dan tidak layak menggelar atau menganggap diri beliau sebagai Wanita Pertama Malaysia atau "First Lady" disisi Perlembagaan, kata pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof Dr Abdul Aziz Bari.

Dalam konteks gelaran Wanita Pertama Malaysia usaha meletakkan gelaran itu pada bukan yang hak adalah sesuatu yang tidak bermoral dan tidak bersopan menurut pakar perlembagaan itu.

"Wanita Pertama Malaysia ialah Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong dan tidak boleh mana-mana pihak membuat tuntutan ke atas penghormatan itu hatta isteri Perdana Menteri sekali pun.

"Rakyat negara ini harus faham protokol kepimpinan negara sebagaimana yang dipertuntukkan dalam Perlembagaan," Prof Abdul Aziz.

Menurut Perkara 32 (2) dalam Bab 1 berkaitan "Ketua Utama Negara bagi Persekutuan, dan isterinya" jelas dinyatakan, " Isteri Yang di-Pertuan Agong (digelar Raja Permaisuri Agong) hendaklah diberi keutamaan daripada segala orang lain di dalam Persekutuan selepas Yang di-Pertuan Agong".

"Oleh kerana Yang DiPertuan Agong mestilah seorang lelaki maka isteri baginda menjadi Permaisuri Agong dan bagindalah yang menurut Perlembagaan memegang gelaran Wanita Pertama Malaysia bukannya mana-mana pihak lain," jelas Prof Abdul Aziz lagi.

Ditanya mengenai laporan media yang sering mengaitkan Datin Seri Rosmah sebagai "Wanita Pertama", beliau menyatakan perkara itu menyalahi protokol negara dan tidak menghormati kedudukan mulia Permaisuri Agong.

"Dalam Perlembagaaan termaktub dengan jelas dalam Perkara 70 berkaitan kekananan Sultan, Raja dan Yang DiPertua Negeri selepas Yang DiPertuan Agong dan Permaisuri Agong," tegas beliau.

Perkara 70 (1) berhubung "Keutamaan Raja dan Yang di-Pertua Negeri" menyatakan "Tertakluk kepada keutamaan Yang di-Pertuan Agong dan Isterinya, Raja dan Yang di-Pertua Negeri bagi Negeri-Negeri hendaklah diberi keutamaan daripada segala orang lain dan setiap Raja atau Yang di-Pertua Negeri hendaklah, di dalam Negerinya sendiri, diberi keutamaan daripada Raja dan Yang di-Pertua Negeri yang lain".

Perkara 70 (2) pula menyatakan, "Tertakluk kepada Fasal (1), Raja hendaklah diberi keutamaan daripada Yang di-Pertua-Yang di-Pertua Negeri dan, antara mereka sendiri, mengikut tarikh mereka menjadi Raja, dan Yang di-Pertua-Yang di-Pertua Negeri hendaklah, antara mereka sendiri, diberi keutamaan mengikut tarikh mereka dilantik sebagai Yang di-Pertua-Yang di-Pertua Negeri; dan jika Yang di-Pertua-Yang di-Pertua Negeri dilantik pada hari yang sama, maka yang lebih tua hendaklah diberi keutamaan daripada yang lebih muda".

"Maksud kedua-dua fasal dalam Perkara 70 tersebut ialah selepas YDP Agong dan Permaisuri kekananan atau "seniority" Sultan, Raja dan Yang DiPertua Negeri adalah mengikut tarikh mereka dilantik memegang jawatan masing-masing. Umpamanya yang paling kanan selepas YDP Agong dan Permaisuri Agong ialah Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan diikuti oleh yang lain.

"Tidak disebut dalam Perlembagaan isu kekananan Perdana Menteri dalam hirarki kepimpinan negara. Kalau Perdana Menteri tidak disebut apa lagi isteri kepada Perdana Menteri!," ujar beliau.

Prof Abdul Aziz menasihati media dan agensi kerajaan supaya mempelajari sistem protokol negara sebelum memberi apa-apa gelaran kepada mana-mana individu.

"Malaysia bukannya sebuah republik seperti Amerika Syarikat di mana Presiden adalah Ketua Kerajaan dan juga Ketua Negara, dan isteri beliau adalah Wanita Pertama.

"Malaysia mengamalkan sistem raja berperlembagaan yang mana YDP Agong adalah Ketua Negara dan Permasuri Agong adalah Wanita Pertama.

"Saya berpendapat menamakan Rosmah sebagai wanita pertama hanya helah politik oleh kuncu-kuncu beliau untuk menaikkan namanya," jelasnya lagi.

Beliau diminta mengulas laporan BERNAMA bertajuk "Rosmah Tekankan Pentingnya Peranan Wanita Pertama" yang disiarkan semalam.

Suara-Keadilan.com

Sultanku Telah Selamat Kembali.. Syabas & Tahniah


Timbalan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berangkat pulang ke Kedah hari ini, selepas sebulan melaksanakan fungsi jawatan Yang di-Pertuan Agong.

Baginda yang juga Sultan Kedah diiringi Sultanah Kedah Tuanku Hamimah Hamidun berlepas dari Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada jam 11.30 pagi.

Baginda yang ditabalkan sebagai Sultan Kedah pada 20 Feb 1959, adalah Yang di-Pertuan Agong kelima dari 20 September 1970 sehingga 20 September 1975.

Hadir sama bagi mengucapkan selamat berangkat ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor serta Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Turut sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Jamil Khir Baharom dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Baginda memangku jawatan itu semasa ketiadaan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin yang menjalani rawatan susulan fisioterapi di Medical Park, St Hubertus, Bad Wiessee, Jerman sejak 26 Januari lepas.

Semalam, Tuanku Mizan selamat pulang ke tanah air diiringi oleh Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah serta anakanda-anakanda baginda.

Pada 30 November tahun lepas, Tuanku Mizan menjalani pembedahan lutut di Pusat Perubatan Klinikum Rechts Der Isar, Der Technischen Universitat Munchen, Munich. - BERNAMA

Markas PAS Taman Melewar Bakal Jadi Kolej Universiti


GOMBAK, 27 Feb: Tapak markas tarbiyyah PAS di Taman Melewar, akan dijadikan institusi pengajian tinggi yang menawarkan pelbagai kursus bagi memenuhi keperluan negara.

Ianya akan diberi nama Kolej Universiti Prof Dr. Zulkifli Ahmad yang pembinaannya telah pun bermula Disember lalu dan dijangka siap dalam masa enam bulan lagi.

Kampus itu dijangka memulakan 0perasinya pertengahan tahun ini selepas kurikulumnya diiktiraf Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Menurut Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub sewaktu meninjau kawasan pembinaan itu petang kelmarin memberitahu, pembinaan kampus tersebut memerlukan dana hampir dua juta dan berharap lebih ramai dermawan tampil menghulurkan sumbangan.

"Setakat ini kita mendapat laporan tidak ada sebarang masalah dalam proses pembinaan kolej ini. Cuma kita masih memerlukan kewangan untuk menampung kos pembinaan yang bernilai hampir dua juta ini. Jadi saya harap lebih ramai para dermawan akan menghulurkan sumbangan," katanya.

Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Mohamad Noor Mohamad yang turut bersama dalam tinjauan itu pula berkata, Majlis Pendidikan PAS Pusat kini dalam proses mengemas kini kurikulum institusi itu.

"Kita mahukan kursus-kursus yang ditawarkan adalah lebih menjurus kepada kursus-kursus keperluan industri dan bukannya kursus tradisi. Mengenai kelayakan, jika kursus kita menepati syarat-syarat saya rasa tiada masalah,"katanya.

Sementara itu. Ketua Dewan Muslimat PAS, Nuridah Salleh berharap pembinaan kolej tersebut adalah mesra wanita, dengan menyediakan kemudahan-kemudahan khusus untuk wanita seperti ruang solat dan rehat yang tertutup.

"Saya mewakili muslimat keseluruhannya berbangga dengan pembinaan kolej ini cuma apa yang kami harapkan, pembinaan bangunannya lebih muslimat. Supaya muslimat rasa lebih selesa untuk solat mahupun berehat," ujarnya.

Ditanya rasional kolej itu menggunakan nama Prof Dr Zulkifli Mohamad, Nuridah berkata, ianya bagi menghargai jasa Allahyarham sebagai tokoh yang disegani dalam parti dan sebagai ilmuan yang dikenali ramai.

"Kita memilih nama ini sebab ianya bersesuaian dengan hasrat kita melahirkan golongan profesional daripada kolej ini. Allahyarham bukan sahaja seorang politician malah seorang agamawan dan ahli akademik yang disegani ramai," katanya.

Bagaimanapun, salah satu dewannya akan kekal menggunakan nama Allahyarham Datuk Fadzil Nor seperti sebelum ini.

Turut bersama dalam tinjauan itu Yang Dipertua PAS Kawasan Batu, Ishak Surin dan juga Ketua Penerangan Dewan Muslimat, Salbiah Wahab.

PRIHATIN:Pemuda PAS Merbok Turun Padang


RM3 tampung keluarga

MERBOK - “Apa yang boleh saya beli untuk beri makan suami, lima anak dan ibu dengan wang sebanyak RM3”.

Itulah rintihan yang dinyatakan Puziyah Din, 51, semasa mengenang nasib malang keluarganya.

Menurutnya, hanya jumlah wang itu sahaja yang ada untuk dia gunakan bagi menampung belanja dapur dan membeli sesuap nasi untuk lapan ahli keluarga pada beberapa bulan lepas.

Katanya, keadaan itu dihadapinya seorang dan terpaksa membanting tenaga mengerjakan sawah padi bagi mencari sesuap nasi setelah suaminya, Abdul Rahim Puteh, 54, mengalami angin ahmar sejak empat tahun lalu.

Puziyah berkata, penderitaan mereka sekeluarga hanya tuhan yang lebih mengetahuinya dan dia tidak suka untuk menagih simpati daripada orang lain.

Menurutnya, ketika menyedari duit poket dan simpanannya hanya berjumlah RM3 pada beberapa bulan lepas dan tidak mencukupi menampung perbelanjaan mereka sekeluarga, dia berusaha mencari alternatif lain dengan membanting tenaga mengusahakan sawah dan terpaksa meminjam wang daripada jiran dan saudara mara.

“Suami lumpuh sebelah kanan badannya sejak empat tahun lalu dan tidak mampu menguruskan diri serta hanya bergantung dengan meminum susu khas.

“Susu itu pula berharga RM75 dan hanya mampu bertahan selama dua hari sahaja.

“Hanya air mata sahaja yang mengalir tatkala melihat duit hanya ada RM3 bagi membeli susu untuk suami, saya bertambah bingung bila terkenang nasib saya dan keluarga, tambahan pula tiga daripada anak saya masih belajar,” katanya ketika dikunjungi Sinar Harian di rumahnya di Kampung Tempoyak, di sini, semalam.

Sementara itu, anak ketiganya, Ramizun, 19, berkata, dia kini mengikuti pelajaran di Kolej Master Skills, Ipoh, Perak dan tidak sanggup meneruskan pelajaran kerana kasihan melihat ibunya membanting tulang mengusahakan sawah seorang diri demi menampung perbelanjaan sekolah dua adiknya dan kos rawatan bapanya.

Bagaimanapun, katanya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kuala Muda telah meluluskan Bantuan Kanak-kanak (BKK) kepada dua adiknya dan mereka mendapat bantuan bulanan sebanyak RM200 sebulan, awal tahun ini.

“Ia sedikit sebanyak bantuan itu meringankan beban ibu dan ayah juga turut menerima bantuan JKM sebanyak RM300 sebulan. Hati saya sedikit lega untuk menyambung pelajaran di kolej dan berazam untuk belajar bersungguh-sungguh demi mengubah nasib keluarga.

“Kini urusan penjagaan ayah diuruskan oleh ibu dan adik-adik memandangkan saya belajar di Ipoh. Sebelum ini saya telah dua tahun menjaga ayah dan menguruskan makan dan minum serta keperluan harian dia (Abdul Rahim) yang lain,” katanya.

Dalam perkembangan lain, kesengsaraan hidup keluarga Puziyah mendapat perhatian Pemuda Pas Kawasan Merbok yang turun padang memberikan sumbangan barangan keperluan dapur kepada mereka.

Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Pemuda Pas Kawasan Merbok, Mukhlis Ghazali berkata, keluarga Puziyah adalah antara sepuluh keluarga pada bulan ini yang dikenal pasti untuk menerima bantuan itu.

“Pemuda Pas berharap dengan bantuan yang tidak seberapa ini dapat meringankan beban keluarga Puziyah dan menunjukkan keprihatinan Pas Kawasan Merbok terhadap penderitaan rakyat. Aktiviti seperti ini kami adakan secara bulanan untuk menunaikan tanggungjawab sosial kepada masyarakat yang memerlukan,” katanya.

Wang Ehsan Kerajaan Kelantan Tak Campur: EXCO



Kerajaan Kelantan tidak akan menyekat langkah kerajaan Pusat untuk memberi wang ehsan kepada rakyat negeri itu melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP), kata Timbalan Pesuruhjaya PAS III Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah (kiri).

Beliau, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri, berkata apa yang menjadi tuntutan kerajaan negeri ialah wang royalti, bukannya wang ehsan.

"Soal dia nak bagi wang ehsan kepada rakyat Kelantan melalui JPP kita tidak sekat kerana itu hak mereka, malah kita tidak akan ambil tahu (kepada siapa wang itu hendak diberikan).

"Soal Kerajaan (Pusat) nak bagi wang ehsan serah pada dia, tetapi kita tetap tuntut royalti. kita akan usaha melalui pelbagai cara yang munasabah," katanya kepada pemberita, di Kota Bharu hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa kerajaan Pusat tetap mahu memberi wang ehsan kepada Kelantan kerana yakin ada rakyatnya yang mahu menerima pemberian berkenaan.

Kerajaan Kelantan bertegas mahukan kerajaan pusat membayar royalti minyak dan bukan wang ehsan walaupun pemimpin Barisan Nasional mendakwa, negeri tersebut tidak layak menerima royalti kerana dua telaga minyak yang didakwa milik Kelantan terletak lebih tiga batu nautika dari pesisiran pantai negeri itu.

Dua telaga minyak berkenaan terletak 150 batu nautika dari perairan Kelantan dan Kerajaan pusat bersetuju memberi RM20 juta wang ehsan kepada penduduk Kelantan, yang merupakan bayaran pertama sebanyak lima peratus daripada hasil dua telaga minyak pada 2008.

Perkara ini seperti yang termaktub dalam perjanjian Akta Peroleum 1974, iaitu bayaran lima peratus daripada hasil keuntungan minyak dan gas kepada kerajaan negeri.

- Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Murah Giler: Sapa Nak Order Klik Image

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.