Timbalan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berangkat pulang ke Kedah hari ini, selepas sebulan melaksanakan fungsi jawatan Yang di-Pertuan Agong.
Baginda yang juga Sultan Kedah diiringi Sultanah Kedah Tuanku Hamimah Hamidun berlepas dari Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada jam 11.30 pagi.
Baginda yang ditabalkan sebagai Sultan Kedah pada 20 Feb 1959, adalah Yang di-Pertuan Agong kelima dari 20 September 1970 sehingga 20 September 1975.
Hadir sama bagi mengucapkan selamat berangkat ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor serta Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.
Turut sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Jamil Khir Baharom dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan.
Baginda memangku jawatan itu semasa ketiadaan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin yang menjalani rawatan susulan fisioterapi di Medical Park, St Hubertus, Bad Wiessee, Jerman sejak 26 Januari lepas.
Semalam, Tuanku Mizan selamat pulang ke tanah air diiringi oleh Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah serta anakanda-anakanda baginda.
Pada 30 November tahun lepas, Tuanku Mizan menjalani pembedahan lutut di Pusat Perubatan Klinikum Rechts Der Isar, Der Technischen Universitat Munchen, Munich. - BERNAMA
0 comments:
Post a Comment