TERKINI DARI SEDAKASEJAHTERA.COM

JOM SAMA2...

JOM SAMA2...

Ketua Menteri Pulau Pinang Diserang Lagi...

Muka depan Utusan Meloya hari ini terus memainkan sentimen perkauman Melayu meloya sempit dan yang terbaru umno cuba mengheret Guan Eng dengan Agong pula kononnya khutbah kedua Jumaat menggantikan nama Guan Eng dari nama Agong.

Sebagai rakyat P.Pinang, sharpshooter terasa amat malu dengan sikap dangkal umno yang seolah gila talak meroyan tak tentu pasal.

Bukti tidak ada tetapi terus serang Guan Eng dengan tuduhan tersebut malah Guan Eng semalam menafikan dan beliau tidak tahu menahu pun dan telah arahkan YB Malik Kassim selaku Exco Agama untuk menyiasat perkara tersebut.

Tetapi seperti yang kita semua sedia maklum, kenyataan Guan Eng menafikan isu tersebut tidak disiarkan dalam surat khabar Melayu seperti juga kenyataan Guan Eng tentang bonus duit raya RM400.

Begitulah peranan surat khabar Melayu milik umno yang terus memperbodohkan orang Melayu terutamanya Melayu umno dari dulu...kini...dan selamanya....

Sebelum Ramadhan, Sharpshooter pernah solat Jumaat di Masjid Tok Lebai Hashim, Bukit Minyak. Ketika itu Khatib berkhutbah bukan membaca khutbah. Ada beza khatib berkhutbah dengan khatib membaca khutbah.

Khatib membaca khutbah bermakna khatib hanya membaca teks yang disediakan oleh Jabatan Agama Islam P.Pinang tetapi khatib yang berkhutbah adalah khatib yang berkhutbah tanpa teks dan beliau berkhutbah dengan niat memberi kesedaran kepada jamaah yang hadir.

Dalam khutbah keduanya dalam doanya khatib tersebut berdoa kepada Tuan Yang Terutama P.Pinang dan juga kepada Yang Di-pertuan Agong, Tuanku Mirzan Zainal Abidin. Malah khatib tersebut juga berdoa kepada Ketua Menteri P.Pinang, Lim Guan Eng agar Allah memberi taufik dan hidayah kepadanya, agar Allah membuka pintu hatinya untuk memeluk Islam dan dapat menjalankan pemerintahan dengan seadil-adilnya.

Persoalannya adakah ia satu kesalahan jika kita berdoa untuk Ketua Menteri yang bukan Islam agar suatu hari Allah akan memberi taufik dan hidayah kepadanya dan akan memeluk Islam.

Tidak ada salahnya pun malah memang ini dituntut oleh Islam tetapi malangnya lebai malang umno tidak boleh terima dan pada fahaman mereka yang jumud seolah-olah hanya Melayu yang Islam dan Islam itu Melayu. Ini adalah satu fahaman kurafat yang ditegah oleh Islam sama seperti hanya umno yang boleh perintah negeri dan negara.

Sementara itu di Masjid Tuan Guru, Tanjong Tokong, Guan Eng berhasrat untuk berkunjung ke masjid tersebut dan bertemu dengan pengurusan masjid tersebut untuk berbincang dan seterusnya ingin mengadakan majlis berbuka puasa bersama rakyat pada 20 Ogos 2010 Jumaat (hari ini).

Tetapi sekali lagi malangnya, Apa yang terjadi pihak pengurusan Masjid Tuan Guru
Tanjung Tokong menolak kehadiran Ketua Menteri Pulau Pinang ke masjid dengan memberi berbagai-bagai alasan oleh pihak pengurusan masjid.

Sekali lagi peristiwa Masjid Terapung Tanjung Bungah pada tahun 2008 memberi peringatan usaha menolak kehadiran Ketua Menteri ke masjid adalah salah satu agenda perancangan UMNO Bukit Bendera.

Sementera itu, Utusan Meloya melaporkan
semalam, kenderaan yang dinaiki Ketua Menteri, Lim Guan Eng diserang seorang lelaki dipercayai ahli pakatan pembangkang kerana tidak berpuas hati dengan cara kepimpinannya. Dalam kejadian pada pukul 7.35 petang itu, kenderaan dinaiki beliau baru sahaja membelok masuk ke kawasan Masjid Kampung Rawa dari Jalan Patani ke Lintang Kampung Rawa untuk menghadiri majlis berbuka puasa di masjid berkenaan.

Lelaki terbabit yang sebelum itu bersama seorang rakannya mengangkat kadbod tertulis
Save Lot 21, 22 For Muslim Cemetery untuk menarik perhatian Guan Eng, tiba-tiba dikatakan melompat ke bonet kereta dinaiki beliau.

Dia kemudian meletakkan kadbod itu pada cermin kereta berkenaan.
Tulisan tersebut dikatakan merujuk kepada permintaan tanah di sebelah Masjid Jamek Jelutong yang dimohon kepada kerajaan negeri untuk dijadikan tanah perkuburan Islam

Semasa kejadian berlaku hanya ada pasukan daripada Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di situ dan tindakan pantas mereka menarik lelaki berkenaan berjaya menyelamatkan keadaan.

Ketua Menteri kemudian menikmati jamuan di pekarangan luar masjid bersama kira-kira 60 penduduk kawasan termasuk Ahli Jawatankuasa masjid dan kakitangan pusat khidmat DAP Sungai Pinang.

Pada masa sama, seorang lelaki yang sangat dikenali rakyat negeri ini memerhatikan Guan Eng dengan reaksi yang amat marah.

Justeru, pasukan Cawangan Khas yang menyaksikan perkara itu meminta pihak pengurusan masjid menasihatkan Guan Eng supaya pulang lebih awal bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku dan beliau akur dengan permintaan itu.

Kejadian itu merupakan kontroversi terbaru melibatkan Ketua Menteri Pulau Pinang tersebut kerana sebelum ini sekumpulan peniaga bazar Ramadan di Komtar mengadakan demonstrasi selepas mereka tidak dibenarkan berniaga di kawasan tersebut walaupun boleh berbuat demikian sejak dua dekad lalu. Ekoran kejadian tersebut juga, seorang lelaki bertindak cuba membakar dirinya kerana kecewa dengan tindakan Guan Eng berhubung isu perniagaan di Komtar.

Baru-baru ini juga, seorang lelaki, Ali Ahmad Ariff, 63, terpaksa bersemuka dengan Guan Eng sendiri bagi mendapat penjelasan daripada mulut pemimpin itu sendiri mengenai beberapa isu khususnya yang melibatkan orang Melayu.

Lelaki tersebut yang juga dikenali Pak Ali sempat menepuk bahu kiri Guan Eng berikutan tidak puas hati dengan Ketua Menteri itu yang didakwa bersikap rasis dan menindas orang Melayu di negeri ini.

Kejadian itu berlaku di tempat letak kereta orang kenamaan (VIP) di tingkat dua Menara Komtar.

Inilah bahan cerita yang dimuatkan dalam Utusan Meloya yang berterusan menyerang Guan Eng.

Tetapi terus terang dikatakan, semasa sharpshooter pernah hadiri sidang media bersama Guan Eng di KOMTAR, beliau percaya dan berkata ini semua ada hikmahnya dan beliau akan terus bersedia menghadapi serangan berterusan dari UMNO dan BN.
Inilah ilmu yang ada pada Guan Eng yang banyak mendalami ilmu Islam. Semoga Allah membuka pintu hatinya...InsyaAllah...

Syabas diucapkan kepada Guan Eng yang terus mempertahankan dirinya dan menyerang balas terhadap UMNO dan BN.

Cuma ramai yang bertanya pada sharpshooter, mana hilangnya suara TKM 1 dalam isu Melayu yang berbangkit. Saya kata adaaaaaa...

Amizudin Ahmat (Din Binjai)

Apa Yang Baik PAS Lakukan Selalu UMNO Bangkang - TG Nik Aziz



KOTA BHARU – Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kesal dengan sikap pemimpin UMNO yang dilihat memberi bangkangan terhadap apa sahaja cadangan baik yang datang dari negeri itu.

Beliau yang juga Mursyidul Am Pas berkata, apa saja yang datang dari Kelantan ramai pemimpin UMNO cuba ‘menunjuk cerdik’ dengan pelbagai komen.

“Kalaupun nampak janggal, tiadalah mereka peduli asalkan nampak hebat di mata pandangan gerombolan mereka. Seingat saya, sepanjang dua dekad usia kerajaan Pas di Kelantan bermula tahun 1990 ini, itulah yang sentiasa kami hadapi.

“Cuti dua hari seminggu digelar sebagai ‘budaya pemalas’. Akhirnya orang yang sama menelan kembali ludahnya. Cuti 60 hari kakitangan wanita yang bersalin turut dipandang sinis, kemudiannya tanpa segan silu ditiru,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata, tindakan sama turut diambil Kerajaan Pusat terhadap pemerkasaan perbankan Islam yang turut bermula dengan langkah Kerajaan Kelantan memindahkan wang kerajaan dari bank riba ke perbankan Islam.

“Itu belum termasuk program kebajikan seperti Skim Takaful Kifalah, Skim Armalah, Ladang Rakyat dan panjang lagi senarainya.

“Sekarang apabila kerajaan Kelantan melancarkan mata wang syariah dinar (emas) dan dirham (perak) pada 12 Ogos lalu, maka bersatulah pemimpin UMNO untuk menghentam langkah ini. Ramadan yang sepatutnya menjadi bulan damai dan pesta ibadat menjadi pesta menghentam Kerajaan Kelantan,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya kerajaan pimpinan Barisan Nasional enggan memulakan sesuatu, jangan pula menidakkan usaha pihak lain.

“Saya ulangi penegasan yang dibuat sebelum ini oleh ahli Exco saya, Datuk Husam Musa bahawa apa yang dilancarkan Kelantan bukanlah mata wang, ia hanyalah pengenalan kepada sistem ‘barter trade’.

“Tukar suka sama suka dengan kerelaan tidak pernah dihalang di negara demokrasi ini. Setiap orang berkuasa ke atas barangannya dan berhak membuat keputusan.

“Apa yang salah ialah membuat keputusan ke atas barangan yang kita tidak berhak. Contohnya, memberi percuma dua blok minyak milik rakyat yang berharga ratusan bilion ringgit kepada kuasa asing atau merompak hak milik rakyat Kelantan ke atas telaga minyak dengan menafikan royalti,” katanya.

Beliau tertarik apabila seorang Timbalan Menteri baru-baru ini, heboh meluluskan lesen judi tiba-tiba mengeluarkan kenyataan bahawa ‘Dinar Emas dan Perak Dirham’ ini boleh menyebabkan kerugian.

-sinar harian

DS Anwar: Isu Khutbah Fitnah Terbaru Umno ...

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan isu khutbah Jumaat merupakan fitnah terbaru "yang dimainkan oleh Umno untuk menyemarakkan api kebenciandi negara ini.

"Tuduhan yang dilemparkan kepada kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang bahawa nama Yang di-Pertuan Agong telah digantikan dengan nama ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng telah terbukti merupakan satu pembohongan semata," katanya.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau yang juga ketua umum PKR berkata, pihaknya memandang serius perkara tersebut.

Anwar berkata, beliau sendiri memantau perkembangan tersebut, membaca teks khutbah yang diedarkan dan menerusi rakan-rakan di Pulau Pinang.

Bagaimanapun, katanya beliau mendapati tuduhan tersebut tidak berasas.

"Bahkan ianya merupakan satu fitnah demi laba
politik pemerintah yang kian hari kian terdesak," katanya sambil menambah pimpinan Umno berterusan menggunakan aksi politik perkauman sempit yang usang.

Katanya, ia juga menunjukkan kegagalan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memahami nurani rakyat Malaysia keseluruhannya yang mahukan sebuah negara yang kekal aman dan sejahtera.

"Kita yakin usaha pimpinan Umno ini tidak akan berhenti di situ sahaja. Mereka pasti menganyam fitnah yang lain pula demi memecahbelahkan muafakat masyarakat di negara ini yang mahu hidup dalam kerukunan dan sejahtera.

"Mereka menyedari rakyat Malaysia mempunyai keyakinan yang teguh untuk terus beriltizam dengan perubahan dan demi Malaysia yang Adil.

"Oleh demikian saya menyeru rakyat Malaysia untuk perteguh keazaman bersama Pakatan Rakyat dan mara mengharungi serangan yang tidak akan kunjung diam dari pimpinan Umno itu.

"Hanya dengan melakukan perubahan, politik perkauman sempit akan berjaya dihalang," tambahnya.

Raja Azmi Ditahan Sebagai Saksi Berhubung Saman Telah Dibebaskan Dengan Jaminan RM8,000.00

KUALA LUMPUR: Penerbit filem kontroversi, Raja Azmi Raja Sulaiman ditahan kerana kegagalannya untuk hadir ke Mahkamah Tinggi di sini, bagi memberi keterangan sebagai saksi dalam kes saman sivil berhubung penjualan tanah berharga RM5.9 juta.

Hakim Datuk Lim Yee Lan mengeluarkan waran tangkap terhadap penerbit filem ...Dalam Botol itu kerana kegagalannya hadir pada 12 Julai lalu yang menyebabkan prosiding mahkamah terganggu sekali gus mengakibatkan kelewatan perbicaraan kes tersebut.

Sedangkan sapina untuk memaklumkan kehadirannya ke mahkamah telah diserahkan pada 9 Julai lalu, pukul 8.15 malam yang diletakkan di bonet kereta mewah Mercedez Benz B170 bernombor pendaftaran WRC 9945 selepas Raja Azmi dikatakan enggan menerimanya.

Kereta berkenaan ketika itu berada di tempat letak kereta Hotel Flamingo, Jalan Ampang, di sini, iaitu di mana majlis perkahwinan kali kedua pemain badminton negara, Roslin Hashim, 35, bersama Norhayati Othman, 38, berlangsung.

Raja Azmi, 51, yang dibawa ke mahkamah pada pukul 9.25 pagi, Jumaat diiringi dua anggota polis. Dia bagaimanapun memaklumkan tidak tahu mengenai prosiding mahkamah kerana tidak menerima sapina.

Lim: Kamu katakan tidak menerima sapina tetapi peguam mengatakan telah menyerahkan sapina. Siapakah yang berbohong?

Raja Azmi: Saya tidak berbohong.

Lim juga memberitahu Raja Azmi bahawa perbuatannya boleh menyebabkan dia berhadapan dengan tuduhan menghina mahkamah.

“Kamu memandang ringan perkara ini. Kes ini bergantung kepada keterangan dan akuan bersumpah yang diikrarkan kamu. Saya akan melepaskan kamu dengan jaminan. Kamu perlu hadir pada prosiding seterusnya sehingga kes selesai,” tambah Lim.

Sementara itu, hasrat suami Raja Azmi, Jalani Mohd Sidek untuk menjamin isterinya tidak tercapai selepas peguam Su Tiang Joo memaklumkan bahawa bekas jaguh badminton negara itu telah diisytiharkan sebagai muflis.

Justeru itu, tanggungjawab sebagai penjamin digalas oleh rakan Raja Azmi iaitu Zahrin Aris.

Wang jaminan ditetapkan pada jumlah RM8,000 manakala perbicaraan akan bersambung pada 29 dan 30 November serta 13 hingga 15 Disember depan.

Sementara menunggu urusan jaminan selesai, Raja Azmi yang dilihat agak keletihan tertidur di bahu Jalani.

Turut berada di mahkamah ialah anak sulung mereka, Puteri Suraya dan suaminya Mohd Shadan Hashim yang juga pengarah filem. Mereka menunggu di mahkamah seawal jam 7.45 pagi.

Raja Azmi meninggalkan mahkamah pada pukul 10.50 pagi selepas urusan jaminan selesai.

Kes itu bermula selepas seorang pemaju tanah, Hamzah Abdul Majid memfailkan saman terhadap Raja Azmi dan Jalani berhubung penjualan dua saham tunggal milik syarikat mereka, Equal Alliance Sdn Bhd yang memiliki tanah seluas 35 ekar di Balakong, dekat sini yang dipersetujui pada harga RM4.9 juta.

Perjanjian urus niaga itu ditandatangani pada 21 Mei 1996. Bagaimanapun Hamzah mendakwa dia mendapat tahu pasangan itu telah menandatangani perjanjian untuk menjual hartanah yang sama kepada dua pihak yang lain pada 6 Jun 1996 dengan harga RM5.9 juta.

Dua pihak tersebut ialah syarikat pemaju hartanah, LBS Bina Holdings Sdn Bhd dan salah seorang pengarah syarikat tersebut, Joey Lim @ Lim Hock Guan.

Justeru itu, Hamzah yang mempunyai pertalian jauh dengan Raja Azmi melalui ikatan perkahwinan memfailkan saman kali pertama pada 10 Disember 1998 di mana Hakim Mahkamah Tinggi pada 4 Oktober 2001, Datuk Kang Hwee Gee memutuskan bahawa perjanjian dengan Hamzah adalah berkuat kuasa.

Kang juga memerintahkan pasangan itu untuk membayar ganti rugi kepada Hamzah kerana melanggar perjanjian sekiranya hartanah itu diperoleh oleh LBS Bina Holdings.

Hamzah seterusnya memfailkan satu lagi saman menamakan pasangan itu, Equal Alliance, LBS Holdings dan Joey kerana mendakwa semua mereka telah secara salah sama ada sendiri atau bersama untuk melakukan penipuan terhadapnya bagi menghalang dia mendapat hartanah tersebut.

Kes itu dibicarakan kali pertama pada 26 April lalu. Hamzah diwakili Su Manakalan peguam Tan Sri Cecil Abraham mewakili LBS Bina Holdings dan Joey diwakili peguam Alan Gomez. Raja Azmi dan Jalani tidak diwakili peguam.

Raja Azmi ditahan pada pukul 4.50 petang Khamis, semasa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, di sini berhubung dakwaan menerima mesej ugutan melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) daripada isteri Roslin iaitu Norhayati.

Dia yang memakai baju kurung moden merah biru terpaksa bermalam di lokap wanita Balai Polis Pandan Indah, di sini, sebelum dibawa ke mahkamah.

Syarahan 'Student Power': Siswa UM Pohon Kebenaran Untuk Teruskan


Sekumpulan pelajar Universiti Malaya (UM) akan menyerahkan petang ini surat memohon kebenaran pihak pentadbiran universiti tersebut untuk menganjurkan syarahan umum forum 'Student Power' Selasa ini

Kehadiran mereka adalah untuk memberi sokongan kepada pelajar tahun fakulti sains, Abu Ubaidah Amir Ab Maalek yang mengambil inisiatif untuk penganjuran syarahan tersebut.

Ini ekoran tindakan pentadbiran UM menarik balik kebenaran kepada Persatuan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial untuk menganjurkan syarahan 'Student Power', juga pada hari yang sama.

Sebelumnya, persatuan tersebut mendapat kebenaran dekan fakulti berkenaan untuk mengadakan syarahan tersebut.

Bagaimanapun, dekan berkenaan kemudiannya memaklumkan kepada pihak persatuan tersebut bahawa pentadbiran universiti tidak membenarkannya.

"Jadi, hari ini, kita akan hantar kertas kerja program untuk memohon kebenaran untuk meneruskan program tersebut," katanya ketika dihubungi Malaysiakini pagi ini.

Katanya, permohonan tersebut akan diserahkan kepada Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Pelajar UM, Prof Dr Rohana Yusof di pejabatnya selepas solat Jumaat hari ini.

Abu Ubaidah berkata, kira-kira 20 orang rakan-rakannya akan mengiringi beliau ke pejabat Prof Dr Rohana.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa kehadiran mereka nanti bukanlah satu demonstrasi.

Sebaliknya, jelasnya, kehadiran mereka adalah sebagai tanda sokongan terhadap usaha mengadakan program tersebut.

Syarahan 'Student Power' itu mengetengahkan seorang aktivis sosial, Fahmi Reza telah telah mendapat perhatian umum di kalangan anak muda dan mahasiswa di Malaysia.

Minggu lalu, Universiti Teknologi Mara (UiTM) turut mengharamkan ceramah pembikin filem muda berhubung kegiatan pergerakan mahasiswa sekitar tahun 1960-an.

Mengikut perancangan Fahmi Reza sepatutnya berucap di kampus UiTM di Puncak Perdana, semalam tetapi mereka dihalang.

Raja Azmi Isteri Jalani Sidek Ditahan Polis


KUALA LUMPUR, 19 Ogos — Tujuannya ke balai polis ialah untuk membuat laporan polis terhadap akhbar yang menyiarkan berita mengenai penglibatannya dalam kes perceraian pemain badminton negara Roslin Hashim, namun penerbit filem kontroversi Raja Azmi Raja Sulaiman dicekup polis kerana gagal hadir ke perbicaraan kes sivil.

Raja Azmi, 51, ditahan kira-kira pukul 4.50 petang tadi di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya selepas beliau membuat laporan polis mengenai perkara itu.

Ketua Polis Ampang Jaya ACP Abdul Jalil Hassan berkata Raja Azmi datang ke balai tersebut kira-kira pukul 4 petang dengan ditemani seorang rakan sebelum polis bertindak menahan beliau setelah mendapati namanya di dalam senarai dikehendaki.

“Pihak polis telah beberapa kali mencari beliau di rumahnya di Hulu Kelang berhubung kegagalan beliau menghadiri kes perbicaraannya, malahan hari ini dua kali iaitu kira-kira pukul 1 petang dan 2 petang, namun tetap tidak berhasil menemuinya.

“Ketika kami tiba di rumahnya tadi, kami percaya beliau berada di rumah namun tiada sesiapa membuka pintu, justeru apabila beliau hadir ke balai selepas membuat laporan polis, kami terpaksa bertindak menahannya,” kata Abdul Jalil kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau berkata Raja Azmi kini ditahan di lokap wanita Balai Polis Pandan Indah dan esok akan dibawa ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Bahagian Dagang), Jalan Duta pada pukul 8.30 pagi.

Pada 21 Julai lalu, Raja Azmi yang merupakan isteri kepada bekas jaguh badminton negara Jalani Sidek tidak menghadirkan diri di mahkamah yang sama dipercayai berhubung kes sivilnya melibatkan muflis pada 1991.

Muka depan beberapa akhbar tempatan hari ini melaporkan Raja Azmi merupakan punca Roslin bercerai dengan isterinya, Norhayati Othman yang baru dikahwininya pada 9 Julai lepas. — Bernama

Zahid Hamidi Semakin Tertekan Sebagai Pengerusi UMNO PP - Dakwa Nama KM Dalam Doa Khutbah Jumaat

Lim berkata Ahmad Zahid patut minta maaf jika dakwaan beliau dibuktikan tidak benar. — gambar fail

PETALING JAYA, 19 Ogos – Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guang Eng menegaskan, siasatan awal menunjukkan tiada masjid di negeri itu yang menggunakan nama beliau dalam doa khutbah kedua solat Jumaat bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

“Saya baru dimaklumkan, saya sudah pun menghubungi YB Abdul Malik (Kassim, Pengerusi Hal Ehwal Agama dan Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri), dan beliau memberitahu saya tadi bahawa memang tiada perkara seperti yang didakwa oleh Datuk Zahid Hamidi... tiada masjid yang menggunakan saya,” kata Lim pada majlis berbuka puasa dengan media di sini hari ini.

Bagaimanapun Lim yang juga Setiausaha Agung DAP memberitahu, beliau telah mengarahkan Abdul Malik agar menjalankan siasatan mendalam berhubung dakwaan Zahid, yang juga Menteri Pertahanan dan Pengerusi Umno Pulau Pinang hari ini.

“Jika dakwaan Zahid benar, saya telah mengarahkan agar tindakan tegas diambil ke atas pegawai-pegawai yang terlibat,” kata beliau.

Tambah Lim, sekiranya dakwaan Zahid tidak benar, beliau mahu Naib Presiden Umno itu memohon maaf secara terbuka.

“Saya tidak sedar dan tidak mengetahui wujudnya penggunaan nama saya dalam khutbah kedua solat Jumaat sebagaimana didakwa, dan sudah tentu nama saya tidak harus, tidak boleh digunakan... ini melibatkan nama Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” katanya lagi.

Terdahulu laporan Bernama menyebut Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang memprotes penggunaan nama Ketua Menteri Pulau Pinang dalam doa khutbah kedua solat Jumaat bagi menggantikan nama Tuanku Mizan.

Zahid mendakwa penggunaan nama ketua menteri itu dalam khutbah Jumaat dikesan sejak minggu lepas di beberapa buah masjid sekitar Tasek Gelugor, Permatang Pauh dan Jelutong.

The Malaysian Insider difahamkan ada masjid yang pernah menyebut nama Ketua Menteri apabila kerajaan negeri memutuskan pendiriannya menentang lesen sukan judi yang diluluskan oleh kerajaan pusat.

Beliau berkata tindakan menggunakan nama ketua menteri bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong dalam khutbah Jumaat adalah di luar daripada keputusan Majlis Raja-Raja.

Selain itu, Zahid turut mempersoalkan tindakan ketua menteri yang hadir pada majlis pengagihan wang zakat yang sepatutnya dilakukan oleh pemimpin Islam.

“Walaupun niat kerajaan negeri adalah untuk menggambarkan bahawa beliau (ketua menteri) seorang yang fleksibel tetapi mungkin ia mempunyai agenda tersembunyi bagi tujuan politik,” katanya.

Mengenai dakwaan bahawa Lim menghadiri majlis pengagihan wang zakat pula, kata Ketua Menteri, beliau hanya menghadiri majlis penyerahan sumbangan Ehya’ Ramadan peringkat Pulau Pinang 2010 yang diadakan di Dewan Serbaguna Jawi, Seberang Perai Selatan.

“Sumbangan disampaikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim (Ketua Umum Pakatan), bukannya saya... ini sumbangan daripada kerajaan negeri, saya hadir sebagai ketua kerajaan negeri,” kata beliau sambil menambah, ini kali pertama kerajaan negeri menyediakan sumbangan sempena bulan Ramadan.

“Sumbangan ini tidak pernah diberikan oleh kerajaan negeri masa lalu di bawah Barisan Nasional, sebanyak hampir suku juta ringgit disampaikan untuk masjid dan surau menjalankan aktiviti semasa bulan Ramadan,” katanya.


**********************

Laporan Utusan Malaysia


Nama Guan Eng ganti Agong

TASEK GELUGOR 19 Ogos – Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang membantah penggunaan nama Ketua Menteri, Lim Guan Eng dalam bacaan doa khutbah solat Jumaat bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin di beberapa masjid, baru-baru ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, penggunaan nama Setiausaha Agung DAP itu dalam khutbah Jumaat dikesan sejak minggu lalu di beberapa masjid sekitar sini, Permatang Pauh dan Jelutong.

Perkembangan itu, tegasnya, amat mengejutkan kerana seolah-olah ada usaha pihak tertentu untuk mencemarkan nama Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua agama Islam di negeri ini.

“Lazimnya dalam doa kedua khutbah solat Jumaat, ada dibacakan doa untuk ketua negeri atau ketua agama Islam dan umum mengetahui di Pulau Pinang kita merujuk kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua agama Islam.

“Penggunaan nama ketua menteri jelas mengingkari kuasa Yang di-Pertuan Agong seolah-olah ketua menteri pula menjadi ketua agama Islam,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat UMNO negeri di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO berkata, pihaknya mempunyai bukti berhubung perkara itu dan sedang meneliti sama ada wujud arahan tertentu daripada Jabatan Agama Islam Pulau Pinang atau Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP).

“Tindakan menggunakan nama ketua menteri dan digantikan dengan nama Yang di-Pertuan Agong juga sebenarnya di luar daripada amalan negeri-negeri lain di seluruh Malaysia selain bercanggah dengan keputusan Majlis Raja-Raja,” tegasnya.

Sementara itu, beliau turut mendedahkan terdapat pihak pengurusan beberapa masjid yang tidak lagi dibenarkan mengutip bayaran sewa bazar Ramadan yang beroperasi di pekarangan rumah ibadat itu sebaliknya kutipan tersebut disalurkan kepada pusat khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Ahmad Zahid berkata, tindakan menghalang pengurusan masjid memungut wang kutipan bazar Ramadan terbabit jelas mencampuri pengurusan hal ehwal agama Islam selain dilihat menyalahgunakan dana masjid untuk kepentingan politik.

“Kalau dulu kutipan wang bazar Ramadan disalurkan kepada masjid tetapi kenapa pula sekarang tidak boleh tetapi disalurkan pula kepada pusat khidmat ADUN? Ini dana masjid yang digunakan untuk aktiviti-aktiviti masjid bukan untuk tujuan politik,” tegasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid turut mempersoalkan tindakan Guan Eng menghadiri majlis-majlis pengagihan wang zakat kepada golongan memerlukan yang sepatutnya dilakukan oleh pemimpin Islam.

“Kalau pun kerajaan negeri mahu menggambarkan beliau (Guan Eng) sebagai pemimpin yang fleksibel tetapi kita percaya ada agenda tersembunyi untuk menggunakan Islam bagi meraih kepentingan politik,” katanya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Murah Giler: Sapa Nak Order Klik Image

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.