Insiden amuk: Pas gesa MCA minta maaf
Mohd Taufek (tiga,kiri) bersama Ketua Pemuda Pas Negeri, Khairil Anuar Wafa (kiri) dan Ketua Dewan Penyokong Pas, Yao Con Seng (dua, kanan) menunjukkan laporan polis yang dibuat

SEREMBAN – Pas Negeri Sembilan mendesak MCA negeri itu memohon maaf kepada umat Islam kerana didakwa mengaitkan kejadian amuk di Putrajaya dengan agama Islam, selain turut mengaitkan komponen Pakatan Rakyat (PR) itu dengan kejadian berkenaan. Pas mendakwa kenyataan keterlaluan itu dikeluarkan Penolong Setiausaha MCA Negeri Sembilan, Jason Lee menerusi laman  Twitternya baru-baru ini.

Malah, dalam satu majlis bersama rakyat anjuran MCA di Temiang pada 19 Jun lalu, kira-kira 8.30 malam, beberapa pemimpin MCA turut didakwa memberi gambaran buruk tentang undang-undang Islam, termasuk hukum hudud menerusi ceramah dan tayangan multimedia diadakan.