Jom Infaq!!!

Jom Infaq!!!

TERKINI DARI SEDAKASEJAHTERA.COM

Kejadian Sebenar diceritakan Saksi: Di Sebalik Kejadian Remaja Ditembak Polis


Pada hari Isnin 26 April, jam 4 petang, saya telah menerima panggilan dari Ustadz Nasaruddin, Pemangku Ketua Pemuda PAS kawasan Shah Alam. Dia memberitahu saya bahawa seorang remaja yang berumur 15 tahun telah ditembak mati oleh Polis di Seksyen 11 Shah Alam awal pagi tadi. Penduduk sedang berkumpul di Surau Seksyen 11 untuk menunggu jenazahnya dan semua menyuarakan ketidak puasan hati atas tindakan Polis. Remaja berkenaan anak salah seorang ahli Qariah yang dikenali masyarakat tempatan.

Mendengar berita tersebut saya pun telah bergegas ke Surau berkenaan dan mendapati sudah ramai berkumpul di situ. Saya melihat ramai di antara mereka terdiri daripada remaja belasan tahun. Sebahagian dari mereka menunggu di luar kawasan Surau sambil sebahagian yang lain berada di dalam kawasan Surau tersebut. Setiba sahaja saya, qamat Salat Asr telahpun didengari dan Salat hendak dimulakan. Saya mengambil wudu’ dan seterusnya menyertai jemaah. Setelah selesai salat, saya mendapatkan penjelasan dari Ustadz Nasaruddin mengenai apa yang telah berlaku. Beberapa orang turut mendengar dan memberi penjelasan termasuk seorang penduduk yang telah menyaksikan sendiri peristiwa berkenaan kerana kereta yang dipandu arwah terbabas di hadapan rumah beliau.

Mengikut keterangan mereka, pada jam lebih kurang 1.30 pagi, beberapa das tembakan telah kedengaran di jalan 11/2. Apabila disiasat, didapati sebuah kenderaan sedang dikejar kenderaan polis. Akhirnya kenderaan yang dikejar terbabas dan melanggar tembuk rumah dan pemandunya, Aminulrasyid Amzah, mati terkena tembakan di kepalanya. Seorang penumpang telah keluar dan berjaya melarikan diri.

Saya kemudianya membuat panggilan telefon kepada Dato’ Khalid, Ketua Polis Negeri dan meminta penjelasan dari beliau. Dato’ Khalid menegaskan bahawa siasatan sedang dijalankan dan anggota polis yang terbabit telah dipindahkan ke kerja-kerja pejabat. Menurut beliau, siasatan dibuat oleh polis Negeri, bukan oleh polis Shah Alam, bagi menjamin ketelusan. Begitu juga tegas beliau, bahawa siasatan dibuat di bawah Kanun Keseksaan 302, iaitu tuduhan membunuh sebagai bukti seriusnya pihak polis ke atas kes ini.

Dalam keadaan asyik mendengar penjelasan tambahan dari mereka yang berada di Surau, tiba-tiba beberapa orang membawa seorang remaja ke hadapan saya sambil berkata kepada saya, “dia lah penumpang yang bersama arwah yang telah melepaskan diri”. Orang semakin ramai berkumpul dikeliling saya dan memandangkan keadaan semakin bercelaru, saya menasihati remaja tersebut untuk ke tempat lain dahulu dan ‘stay low profile’. Saya mengambil nombor telefon bimbitnya dan berjanji akan memanggilnya kemudian untuk bertemu dalam suasana dan keadaan yang lebih tenteram untuk mendapatkan penjelasan berhubung peristiwa berkenaan daripada beliau. Saya berpesan supaya dia berhati-hati supaya tidak ditahan polis kerana dikhuatiri penjelasan beliau akan dipengaruhi pihak polis untuk sealiran dengan kenyataan yang telah dikeluarkan mereka. Kenyataan yang dikeluarkan polis melalui TV dan radio, saya diberitahu, berbunyi “seorang yang disyaki penyamun ditembak polis awal pagi di Seksyen 11 Shah Alam….sebilah parang dijumpai di dalam kereta disyaki digunakan sebagai senjata untuk menyamun….suspek kedua berjaya melepaskan diri..”

Selepas Maghrib saya berhubung dengan remaja berkenaan dan kami bertemu bersama beberapa orang sahabat sebagai saksi. Remaja tersebut memberitahu bagaimana arwah telah mengambil kereta kakaknya pada lewat malam sambil semua sedang tidur dan menjemput beliau. Mereka telah ke sebuah kedai di Seksyen 11 dan seterusnya ke Seksyen 7 setelah mendapat panggilan dari seorang rakan lain yang mengalami kerosakan motorsikal di situ. Dalam perjalanan ke tempat kerosakan tersebut, berhampiran restoran Ali’s corner, mereka tergesel dengan sebuah kereta mewah yang sedang parkir di situ. Kemalangan ini menyebabkan arwah ketakutan dan beliau terus membawa kereta untuk melarikan diri. Pada masa yang sama mereka dapati ada motorsikal yang mengejar mereka. Apabila sampai di Seksyen 12, di jalan dari bulatan Istana Kayangan menuju SIRIM, motorsikal berkenaan terlanggar kereta yang dipandu arwah di bahagian belakang dan terus terbabas.

Arwah terus membawa keretanya dengan laju dan pada ketika itu mereka telah memintas sebuah kereta peronda polis. Kereta peronda tersebut terus membunyikan sirennya dan mengejar mereka, melalui SIRIM terus ke bulatan dan menuju ke Masjid Negeri, sampai ke Seksyen 9 dan kembali ke bulatan Istana Kayangan. Dari bulatan Istana Kayangan mereka berpatah semula ke Seksyen 11 memasuki simpang berhampiran Caltex, Esso dan terus memasuki jalan 11/2. Tiba-tiba kedengaran tembakan beberapa das. Kereta terhoyang hayang disyaki tayar telah terkena tembakan. Arwah terus memandu dalam keadaan tayar ditembak sehingga tiba-tiba beliau rebah ke atas ribanya. Kereta terus menyimpang ke kiri dan terbatas melanggar tembok sebuah rumah.

Apabila di pegang kepala arwah, didapati berlumuran darah. Terasa kepala berlubang dan darah membasahi tangan dan bajunya. Remaja ini terus keluar dari kereta, terpaksa keluar dari pintu sebelah arwah, kerana pintu sebelah dirinya telah terhimpit. Terpaksa mengalih mayat arwah supaya dapat melepasi diri dengan tujuan menyerah diri. Tak sempat apa-apa, sebaik sahaja keluar beliau diterajang seorang anggota polis dan beliau terus melarikan diri.

Sambil mendengar penjelasan beliau, tiba-tiba abangnya muncul entah dari mana. Memarahi beliau kerana tidak pulang ke rumah. Apa dah jadi ini, kata abangnya, bagaimana adik saya digelar penjenayah. Kami menenangkan abangnya sambil memberitahu niat kami adalah untuk menolong adiknya. Dia terus meminta adiknya pulang ke rumah, ayah menunggu katanya. Kami ikut sekali. Setibanya di rumah mereka, ayah dan ibunya kebinggungan. Kami menenangkan mereka dan memberitahu mereka anak mereka bukan penyamun.

Seterusnya saya membawanya bersama abangnya untuk membuat laporan polis. Jam sudah hampir pukul 10 malam. Saya ingin menentukan bahawa laporannya sama seperti ceritanya kepada saya sebelum ini. Tiada paksaan untuk mengubah ceritanya. Selepas laporan disiapkan saya bersamanya dan abangnya bertemu pegawai yang bertugas. Saya bertanya apakah SOP untuk pihak polis menggunakan senjata api menembak orang yang disyaki. Dia menjawab, hanya sekiranya nyawanya atau nyawa orang lain terancam.
Remaja saksi utama dibenarkan pulang ke rumah. Saya telah berhubung dengan YB Gobind Deo terlebih awal dan meminta dia mengambil kes ini. Dia berjanji akan berjumpa remaja berkenaan pada esok harinya, iaitu Selasa jam 10.30 pagi di mahkamah Shah Alam.

Selepas itu saya ke rumah arwah untuk bertemu keluarganya. Ibunya kesedihan. Abangnya kebinggungan. Bagaimana ini semua boleh berlaku. Mendengar percakapan ibunya berhubung arwah yang merupakan anak bongsunya, saya merasa sebak. Saya tak boleh bayangkan kesedihannya. Semakin ramai datang berkumpul. Saya berundur pada jam 12 tengah malam.

Esok pagi jam 9.30 pagi saya mengadakan sidang akhbar di pejabat saya. Dalam sidang akhbar tersebut saya menyatakan 3 perkara seperti berikut :-

1. Arwah bukan penyamun dan penjenayah. Warga Seksyen 11 mengenali beliau dan tidak akan menerima alasan sedemikian rupa dari mana pihak sekalipun.
2. Arwah tidak cuba melanggar anggota polis seperti yang didakwa. Arwah telah ditembak semasa memandu melarikan diri dan bukan semasa mengundur kereta untuk melanggar anggota polis. Itu satu pembohongan sepertimana juga kisah kononnya ada sebilah parang di dalam kereta.
3. Saksi yang merupakan rakan sepanjang peristiwa malang tersebut perlu diberi perlindungan dan tidak ada usaha dilakukan supaya ceritanya diubah untuk bersesuaian dengan kisah yang dilaporkan pihak polis. Saya meminta Polis bertindak secara profesional dalam kes ini dan jangan berusaha untuk melindungi anggotanya.

Shah Alam menjadi medan berlakunya pembunuhan Teoh Beng Hock sebelum ini. Malaysia juga menyaksikan sebelum ini kes Kugan yang telah mati di dalam tahanan. Norizan Salleh yang ditembak secara rambang sebanyak 5 kali tetapi masih hidup untuk menceritakan pengalaman ngerinya. Harap jangan dilupa juga kisah Altantuya bersama bom C4. Ini semua kes-kes yang tergantung yang menjadi tanda tanya masyarakat. Entah banyak mana lagi kes yang tergantung sebegini yang tidak diketahui umum.

Apa yang pasti, kita tidak boleh membenarkan kes Aminulrasyid berkesudahan sebegitu rupa. Kita doakan semoga roh Allahyarham ditempatkan bersama orang-orang yang soleh yang beroleh rahmat.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Penerbit TV2 RTM Dakwa Campurtangan Politik - Laporan Empangan Bakun

Seorang lagi penerbit televisyen - kali ini darrpada TV2, RTM mendakwa campur tangan politik dalam penerbitan dokumentarinya berhubung laporan empangan Bakun.

Rencana itu didakwa diarah tidak disiarkan kerana bimbang akan memberi kesan kepada peluang Barisan Nasional (BN) untuk mengekalkan kerusi parlimen Sibu pada pilihan raya kecil 18 Mei ini.

Dalam rencana di blognya, penerbit dokumentari itu, Chou Z Lam, mendedahkan rancangan itu diarah tidak disiarkan oleh Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ibrahim Yahaya.

"Pengarah berita RTM, Datuk Jumaat Engson berkata dokumentari itu ditarik balik kerana ia mempunyai elemen yang sensitif yang mungkin memudaratkan BN pada pilihan raya kecil Sibu akan datang dan juga pilihan raya negeri Sarawak,” kata Chou.

Chou se
baliknya dimaklumkan bahawa dokumentari itu akan ke udara 'pada masa yang sesuai'.

Dakwaan Chou (kanan) itu timbul kurang seminggu selepas penerbit ntv7, Joshua Wong meletakkan jawatanya kerana mendakwa terdapat campur tangan politik yang melampau dengan kerjanya.

Dokumentari sembilan bahagian Chou adalah untuk rancangan "Galeri Mandarin Nasional" di TV2 dan bermula Isnin lalu sehingga 7 Mei menerusi slot waktu 12.20 petang hingga ke 12.30 petang. Dua episod pertama bermula Isnin lalu.

'Rakyat didahulukan' atau 'politik didahulukan'?

Episod seterusnya yang dijadualkan hari ini yang memaparkan impak sosial pembinaan empangan Bakun di kawasan pribumi di Belaga yang terpaksa dipindahkan ke Sungai Asap dan Sungai Koyan pada tahun 1998 dihentikan.

"Ini adalah contoh campur tangan kerajaan dalam berita semasa dan selepas pilihan raya kecil Hulu Selangor,” kata Chou.

"Saya amat bersimpati dengan penduduk di Sungai Asap yang telah saya wawancara berhubung masalah yang mereka utarakan tidak dapat dikongsi bersama majoriti rakyat di timur dan juga barat Malaysia,” katanya.

Chou berkata tindakan itu amat bertentangan dengan gagasan 1Malaysia yang dicanangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menekankan kepentingan rakyat didahulukan.

"Jika pilihan raya kecil Sibu dan pilihan raya Sarawak adalah punca dokumentari itu ditarik balik, RTM sebenarnya melaksanakan 'politik didahulukan',” katanya.

Chou berkata beliau cuba membawa perkara itu ke perhatian timbalan menteri, Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Heng Sai Kee agar beliau dapat membantu membatlkan arahan berkenaan.

Namun jawapan yang diberikan oleh pemimpin MCA itu ialah pihaknya tidak akan campurtangan dalam hal ehwal RTM.

Chou juga merayu kepada Ibrahim (kanan) untuk mempertimbangkan semula larangannya itu demi kredibiliti RTM dan kepentingan penduduk pribumi di Sarawak.

Ketika dihubungi Malaysiakini, ketua pengarah penyiaran itu menafikan bahawa beliau yang membuat larangan berkenaan.

“Saya tidak membuat arahan itu...awak sepatutnya tanya kepada Chou,” katanya dengan ringkas.

MP Klang Mempersoal Tindakan SPRM Dilihat Melindungi Datuk Seri Ong Tee Keat Kaitan Rasuah PKFZ


Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago mempersoal tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dilihat cuba melindungi Datuk Seri Ong Tee Keat dari dikaitkan dengan skandal rasuah Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Beliau berkata tindakan itu jelek berikutan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kuala Dimensi Sdn. Bhd, Datuk Seri Tiong King Sing sudah menyerahkan segala bukti berkaitan, malah hal itu dinyatakan pada sidang Parlimen.

“Dia (Tiong) telah memberi beberapa bukti yang mengatakan duit itudiberi kepada orang pertengahan dan ada orang nampak wang itu diberi kepada Tee Keat. Saya terkejut dengan kenyataan SPRM,” katanya kepada TV Selangor, hari ini.

SPRM membuat pengumuman semalam yang mereka menutup kes siasatan terhadap Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat yang didakwa menerima 10 juta daripada Tiong .

Tee Keat kemudian mengesahkan beliau menerima surat makluman pada 22 April lalu yang mengatakan SPRM tiada bukti yang dapat mengaitkan beliau dengan dakwaan itu.

Tahun lalu, SPRM memanggil Tee Keat untuk disoal siasat berhubung skandal PKFZ atas dakwaan beliau menerima RM10 juta daripada Tiong untuk aktiviti MCA.

Ketika itu, Tee Keat adalah Presiden MCA manakala Kuala Dimensi adalah kontraktor utama bagi pembinaan PKFZ. -TV

Kenyataan Akhbar YB Nasir Berhubung Soalan Bidang Kuasa Sultan


Oleh:
YB. MOHD NASIR BIN MUSTAFA
ADUN KUBANG ROTAN

Saya bertanyakan empat soalan lisan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri Kedah baru-baru ini, di mana dua daripadanya menjadi kontroversi berpunca dari bantahan yang dibuat oleh Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Mahadzir Khalid.

Dua soalan tersebut ialah:
Sejauh manakah bidang kuasa KDYMM Tuanku Sultan sebagai Ketua Agama Islam di negeri ini dihormati oleh kerajaan Pusat?

Setakat manakah tahap tidak boleh campur tangan kerajaan negeri Kedah dalam pentadbiran hal ehwal agama Islam, nyatakan perkara tidak boleh tersebut?

Setengah-setengah soalan ditanya bukan bertujuan untuk mendapatkan penjelasan hanya kerana penyoal tidak tahu. Secara ikhlas dan berterus terang, saya mahu pihak yang menjawab menjelaskan perkara sebenar yang berlaku. Itulah hakikatnya yang saya lakukan.

Penjelasan terhadap soalan (a):

Dalam soalan (a) saya mahu dijelaskan, apakah Kerajaan Pusat sebenarnya tidak menghormati bidang kuasa KDYMM Sultan Kedah sebagai ketua agama Islam. Sebagai contoh, Kerajaan Pusat melalui JAKIM telah memanggil imam-imam seluruh negeri Kedah di SP Inn pada 4 April 2010 hari Ahad di rasmikan oleh YB. Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir bin Hj Baharom (B) Menteri di Jabatan Perdana Menteri dari Kerajaan Pusat.

Soalan ini timbul kerana kekeliruan saya terhadap tahap campur tangan Kerajaan Pusat terhadap pentadbiran Agama Islam di negeri Kedah. Bahkan bagi saya campur tangan pihak Kerajaan Pusat boleh mengelirukan pegawai Jabatan Agama Islam Negeri Kedah (JAIK) berhubung bidang kuasa pentadbiran agama peringkat negeri dan Kerajaan Pusat.

Penjelasan terhadap soalan (b):

Dalam soalan (b) saya mahu memberitahu bahawa Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat tidak pernah dengan sesuka hati dan sewenang-wenangnya mengambil tindakan terhadap pegawai-pegawai masjid hanya kerana sebab politik kepartian, seperti tuduhan yang dibuat oleh ADUN Bakar Bata, Dato’ Ahmad Bashah Md Hanipah baru-baru ini.

ADUN Bakar Bata dalam laporan akhbar Sinar Harian bertarikh 6 April 2010 bertajuk ‘Pegawai Masjid Dipaksa Bersara’ telah menghasut pegawai-pegawai masjid tertentu supaya tidak mengisi borang M4 seperti yang diminta oleh Pejabat Agama Daerah Kota Setar. Tindakan ini terang-terangan telah mencampuri bidang kuasa KDYMM Sultan.

Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat sedar bahawa pentadbiran agama adalah di bawah bidang kuasa Sultan, sebab itu mengambil sikap tidak campur tangan.
Dengan itu tuduhan bahawa pelantikan dan pemecatan imam adalah kerana ‘arahan politik’ Kerajaan Negeri adalah tidak benar dan berniat jahat.


Kedua-dua soalan tidak mempertikaikan kuasa Sultan

Sama ada secara tersurat atau tersirat, soalan saya langsung tidak mempertikaikan bidang kuasa Sultan seperti yang dilaporkan oleh media arus perdana. Apatah lagi kata-kata yang bermaksud menghina Sultan.

Saya yakin semua pihak yang waras jika membaca atau mendengar soalan lisan ini bersetuju bahawa tidak wujud walau sepatah perkataan yang mempertikai kuasa KDYMM Sultan, kecuali pihak pembangkang (BN) dan media-media tertentu yang dikuasai mereka. Mereka cuba mengalih dan menyembunyikan isu sebenar perihal campur tangan mereka dalam pentadbiran agama Islam negeri Kedah.

BN membantah untuk menutup tindakan mereka tidak hormat bidang kuasa Sultan

Pertikaian Ketua Pembangkang terhadap soalan dalam Sidang DUN bukan kerana saya ‘mempertikaikan kuasa Sultan’ tetapi kerana menyedari bahawa hasil dari soalan ini akan mendedahkan tindakan-tindakan mereka selama ini yang mencampuri dan tidak menghormati bidang kuasa KDYMM Sultan.

Oleh itu, mereka telah berhempas pulas untuk memastikan soalan saya tidak dijawab dengan harapan tertutuplah salahlaku mereka yang cuba saya bongkarkan.
Penjelasan Terhadap Kenyataan PKDK

Desakan oleh YDP Persatuan Kerabat Diraja Kedah supaya saya memohon ampun kepada KDYMM Sultan tidak timbul kerana:

YDP PKDK mungkin tidak meneliti soalan lisan saya sehingga mengeluarkan kenyataan menuduh bahawa soalan saya menghina Tuanku Sultan.

Salah faham ini berlaku mungkin kerana YDP PKDK tidak berada di dalam persidangan Dewan dan hanya membaca serta mendengar melalui laporan media.

Berdasarkan laporan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 28 April 2010 desakan yang sama dibuat oleh Ketua Pemuda BN Kedah, Encik Badrul Hisham Hashim menambahkan keyakinan saya bahawa kenyataan yang dikeluarkan oleh PKDK telah dipengaruhi oleh unsur-unsur politik kepartian.

Kesimpulannya, saya mengharapkan semua pihak bertenang dan tidak terperangkap politik murahan pihak pembangkang (BN) yang sudah ketandusan isu.

LIHAT VIDEO DI BAWAH


Bertarikh 27 April 2010

diposkan oleh : Haji Zulkifli Yahya

Dengarlah Rintihan Seorang Ibu : Insiden Remaja Mati Ditembak Polis

'Jangan lapor yang bukan-bukan', Saya tahu siapa anak saya, rayu ibu Aminulrasyid




Statement Datuk Noh Omar, bersimpati dengan kejadian yang menimpa pelajar sekolah - Aminulrasyid Amzah - yang mati ditembak polis awal pagi semalam

Ramainya Orang HEBAT Yang Sertai PKR dalam Masa Terdekat... Lagu Ni Dok Ada Kalut BN, Takkan Nak Biaq Kut....


KUALA LUMPUR : Kehadiran anak bekas Timbalan Perdana Menteri, Tamrin Tun Ghafar dalam ceramah Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Hulu Selangor yang lalu nampaknya tidak habis di situ.

Walaupun Tamrin yang juga bekas Exco Pemuda Umno tidak berceramah pada malam itu, namun ia sudah cukup membuatkan pemimpin Umno seperti cacaing kepanasan sehingga bersuara mempertikaikan kehadiran beliau.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Rais Yatim suatu ketika dahulu pernah membakar jambatan dan enggan kembali kepada Umno dilaporkan kecewa dengan tindakan Tamrin yang menghadiri ceramah Pakatan Rakyat pada malam itu.

"Sikap Tamrin langsung tak mirip bekas Timbalan Presiden UMNO (Ghafar Baba) itu,” kata Rais Yatim.

Terdahulu, penyokong Pakatan Rakyat dikejutkan dengan kehadiran anak bekas Timbalan Presiden Umno itu, pada ceramah Pidato Perdana Pemuda Pakatan Rakyat di Sungai Buaya pada malam 24 April lalu.

Thamrin Ghafar Baba merupakan bekas Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia dan mantan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Sementara itu, Tamrin ketika ditemu bual lidah rasmi PKR, Suara Keadilan baru-baru ini, mendakwa menyokong Pakatan Rakyat selepas melihat penyelewengan berleluasa yang dilakukan oleh pimpinan UMNO dan Barisan Nasional selama lebih 50 tahun mentadbir negara.

Berikut ialah sebahagian Pimpinan Barisan Nasional yang Keluar parti bersama ribuan penyokong masing-masing sejak setahun lalu (sekadar menyebut beberapa nama).

Dr. Streram Sinnasamy yang juga Pengerusi MIC Cawangan Seri Sentosa menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR)
Ketua Pemuda MIC Cawangan Bandar Bukit Mertajam, M. Pristiraj, 29, Dan Ketua Wanita Mic Cawangan Sungai Rambai, Askusala Kumari, 35.

Bekas Ketua MCA Bahagian Bukit Mertajam, Tony Peh Choon Peng

Bekas ketua cawangan Umno Bukit Bendera Mentakab, Pahang, Datuk Alimudin Syawal mengesahkan beliau telah keluar dari Umno untuk menyertai PKR.

Timbalan Ketua Bahagian PPP Teluk Kemang, S Karupusammy. Tindakan itu seterusnya melumpuhkan PPP Negeri Sembilan (N9) kerana kekuatan PPP N9 terletak di Bahagian Teluk Kemang.

Intelektual berbangsa Cina, Yong Thye Chong, atau lebih dikenali Sebagai Kim Quek turut menyertai Parti Keadilan Rakyat.
Berikut pula ialah bekas pemimpin Barisan Nasional yang bergelar menteri dan bertaraf pimpinan tertinggi yang berhijrah menyertai PKR setakat ini.

Timbalan Ketua Wanita MCA merangkap Setiausaha Parlimen dan Dr Tan Yee Kew
Ahli Parlimen Segambut dan Timbalan Menteri Pembangunan Tanah Dan Koperasi serta Pengerusi Gerakan Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Tan Kee Kwong

Ahli Parlimen Kota Bahru dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim
Menteri kesihatan, Datuk Chua Jui Meng

Setiausaha Parlimen Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri merangkap Naib Presiden MIC, Datuk S. S. Subramaniam.

Datuk Kalakau Untol, Timbalan Menteri Persekutuan merangkap bekas Senator negeri Sabah sehingga 2005.

Bekas Ahli Parlimen Sungai Besi, Fan Seong Than yang juga adik kepada bekas Ahli Parlimen Kampar, Fan Yew Teng, menyertai PKR pada 24 April lalu.

Fan Seong Than berkata, beliau menyertai PKR kerana beliau hilang keyakinan terhadap MCA dan pemimpin baru MCA, Chua Soi Lek yang memenangi jawatan Presiden parti itu baru-baru ini.

"MCA memilih seorang pemimpin (Datuk Seri Dr Chua Soi Lek) yang terang-terang dibuktikan terlibat dengan skandal seks.

Saya tidak ingin memberi komen kerana rakyat bukan bodoh, mereka boleh berfikir sendiri apa mungkin telah berlaku dalam MCA hinggakan boleh mendapat keputusan sebegini," kata Fan.

Kini Pakatan Rakyat menantikan keputusan keluar parti oleh mantan Timbalan Presiden MCA, Tan Sri Lim Ah Lek.

Lim dipercayai menangguhkan untuk keluar parti beberapa minggu lalu bagi mengelakkan BN terjejas dalam PRK di Hulu Selangor.

Sebelum ini, Bernama melaporkan bahawa Lim boleh memaafkan atau tidak membangkitkan sama sekali skandal sex DVD membabitkan Chua Soi Lek tetapi zaman internet tidak membenarkan masyarakat melupakan insiden itu dan ianya di luar kawalan.

Lim berpendapat reputasi MCA telah terjejas kerana mempunyai seorang presiden yang terbabit dalam skandal seperti itu.

KTMB Lancar Gerabak "Wanita Sahaja Sepanjang Masa" Bagi Laluan Sentul - Port Klang. Kerajaan Kelantan Dah Buat Lama Dahhhh...


BUAT pertama kali Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menyediakan koc komuter khusus bagi penumpang wanita bagi laluan Sentul-Pelabuhan Klang mulai Rabu.

Gerabak yang bertemakan "Wanita Sahaja Sepanjang Masa" boleh dikenal pasti menerusi pelekat berwarna merah jambu yang lekat pada tingkap dan pintu komuter.

Menurut KTMB, lokasi koc di platform dapat dikenal pasti melalui kain rentang yang dipasang pada platform serta tiang platform yang berwarna merah jambu.

"Namun penumpang wanita tidak diwajibkan menggunakan koc ini kerana mereka boleh memilih untuk menggunakan koc-koc biasa yang lain," menurut kenyataan KTMB.

Statistik KTMB menunjukkan 60 peratus pengguna perkhidmatan komuter adalah terdiri daripada golongan wanita.

Kanak-kanak lelaki berumur kurang daripada 12 tahun yang membuat perjalanan bersama ibu atau keluarga wanita mereka juga dibenarkan menaiki koc merah jambu ini.

Koc untuk wanita diletakkan di bahagian tengah komuter manakala koc di hadapan dan belakang merupakan koc biasa yang boleh digunakan bersama antara penumpang lelaki dan wanita.

Menurut KTMB, penyediaan koc khusus untuk wanita adalah bertujuan memberi keselesaan dan jaminan keselamatan kepada penumpang wanita daripada risiko gangguan seksual atau terpaksa bersesak-sesak dengan penumpang lelaki. BERNAMA

Zaid Ibrahim Akan Memfailkan Petisyen Pilihan raya


Calon PKR yang tewas, Datuk Zaid Ibrahim akan memfailkan petisyen pilihan raya supaya keputusan kerusi parlimen Hulu Selangor, Ahad lalu diisytiharkan sebagai tidak sah dan terbatal.

Beliau memberikan alasan pembelian undi dan pemindahan pengundi sebagai hujah petiyennya itu.

“Dalam keadaan seperti, kami akan memfailkan petisyen pilihan raya sebaik sahaja pasukan perundangan saya bersedia,” katanya pada sidang media di rumhanya.

“Mana-mana pengundi di Hulu Selangor yang ingin menawarkan sebarang maklumat yang relevan boleh berbuat demikian di mana-mana pejabat PKR, DAP atau PAS.”

Zaid juga berkata beliau akan menyaman akhbar bahasa Melayu, milik Umno - Utusan Malaysia yang melabelkannya sebagai kaki botol.

“Saya bukan khaki botol. Apa yang saya minum adalah tidak lebih daripada apa yang diminum oleh (Dr) Mahathir (Mohamad) dan pemimpin Umno lain,” katanya.

“Suruhanjaya Pilihan Raya sepatutnya tidak membebarkan kempen berniat jahat dan palsu berkenaan.”

Wong Ho Leng DAP, Lwn Robert Lau Hui Yew BN, Di Sibu

Bakal Calon PR di Pilihan raya keci Sibu yang akan berlangsung..

SIBU Apr 27 10: Pengerusi DAP Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Assek, Wong Ho Leng, diumumkan sebagai calon DAP untuk bertanding dalam pilihan raya kecil Parlimen Sibu. Pengumuman rasmi calon DAP itu dilakukan Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng, pada majlis makan malam di Good Happiness Restaurant di sini, sebentar tadi.

Sementara itu di Kuching, peguam Robert Lau Hui Yew diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Sibu pada 16 Mei ini, kata Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Kerusi Parlimen Sibu menjadi kosong berikutan kematian Robert Lau dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 8 Mei ini sebagai tarikh penamaan calon dan 16 Mei sebagai hari pengundian. Dalam pilihan raya umum 2008, Robert Lau mengekalkan kerusi itu dengan majoriti 3,549 undi, dengan menewaskan pengerusi DAP Sarawak Wong Ho Leng dan Lim Chun Chuang dari Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Sibu mempunyai 54,695 pengundi berdaftar termasuk 2,537 undi pos. SPR akan membuka 45 stesen mengundi dengan 110 saluran mengundi yang akan diuruskan oleh 1,149 petugas SPR. (AK)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Murah Giler: Sapa Nak Order Klik Image

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.