Kes Dadah: Pelakon Ini Dan Tunangnya Bakal Dibebas Esok..

KUALA LUMPUR, 7 Nov — Seorang pelakon lelaki dan tunangnya yang ditahan Jumaat lepas kerana disyaki terbabit dengan penyalahgunaan dadah dijangka dibebaskan esok.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Supt Amiruddin Jamaluddin berkata tempoh tahanan reman kedua-dua mereka akan berakhir esok dan berkemungkinan akan dibebaskan dengan jaminan polis selepas semua keterangan diambil.

“Polis telah mengambil keterangan daripada pelakon itu dan tunangnya, setakat ini kita berpuas hati dengan kerjasama yang diberikan.

“Siasatan diteruskan untuk mengetahui punca bekalan dadah diperolehi dan sejauh mana penglibatannya dalam aktiviti penyalahgunaan dadah,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Amiruddin berkata polis turut menyiasat sama ada kedua-dua suspek terbabit dalam pengedaran dadah.

Jumaat lepas, pelakon dan tunangnya itu ditahan ketika sedang menunggu bekalan dadah dari bekas teman lelaki wanita itu (tunang) di sebuah stesen minyak di Lebuhraya Lingkaran Tengah (MRR2) di Ampang Jaya.

Hasil ujian saringan air kencing polis mendapati kedua-dua mereka positif dadah.

Amiruddin berkata polis masih mengesan bekas teman lelaki wanita itu yang dipercayai masih lagi berada di sekitar Lembah Klang bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

— Bernama

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Masih Koma Serangan Angin Ahmar

GEORGETOWN 7 Nov.- Mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi sedih melihat keadaan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Tun Dr. Lim Chong Eu yang masih tidak sedar diri di wad Unit Rawatan Rapi Hospital Pulau Pinang (HPP).

Chong Eu, 91, dimasukkan ke HPP pada 26 Oktober lepas dipercayai akibat serangan angin ahmar.

"Saya berasa sedih dengan keadaan yang menimpa Dr Lim kerana beliau adalah seorang pemimpin yang amat disanjungi," katanya kepada pemberita selepas melawat Chong Eu yang juga merupakan salah seorang pengasas parti Gerakan, hari ini.

Abdullah menyifatkan Chong Eu sebagai seorang pemimpin yang aktif dan tabah dalam menempuhi segala rintangan dalam kariernya sebagai seorang ahli politik.

"Saya berharap penduduk Pulau Pinang akan berdoa untuk kesihatan Dr Lim Chong Eu supaya beliau akan pulih seperti biasa," katanya.

Chong Eu pernah menjadi Ketua Menteri kedua Pulau Pinang selepas Tan Sri Wong Pow Nee dan memegang jawatan itu selama 21 tahun dari 12 Mei 1969 hingga 25 Oktober 1990.

Beliau juga pernah menjadi presiden Gerakan selama sembilan tahun mulai 1971 dan di bawah kepimpinannya, Gerakan menyertai Barisan Nasional pada 1972. - Bernama

Video: Gemuruh Merapi Paling Dahsyat - Awan Panas "Wedhus Gembel" Merapi Kepanasannya 600 darjah celsius


Dari jarak 12km ke puncak Merapi, gelegar gunung berapi itu sudah kedengaran seperti helikopter di atas kepala pada Khamis malam, sebelum ia mengamuk dengan letusan paling dahsyat sejam
kemudian.

Gemuruh Merapi yang sangat luar biasa itu telah memeranjatkan seluruh penduduk kawasan penempatan Surowono menyebabkan mereka bergegas meninggalkan rumah masing-masing menyelamatkan diri pada dini hari Jumaat.

"Seumur hidup bapa saya yang sudah berusia 65 tahun pun, amukan Merapi pada malam itu belum pernah berlaku. Bunyinya seperti helikopter di atas kepala, kami semua dan masyarakat seluruhnya segera meninggalkan rumah masing-masing menyelamatkan diri," kata Maria Seger Rayahu, penduduk pekan Surowono, Klaten, Jawa Tengah.

Menceritakan saat yang mencemaskan itu, Maria berkata malam gelap gulita dan kabus tebal pada hari itu, menutupi pandangan beliau dan penduduk kampung dari Merapi pada malam itu, namun mereka dapat merasakan sesuatu yang aneh pada malam tersebut.

"Tingkap kaca dan bingkai besi yang bergoncang yang mengeluarkan bunyi yang menyeramkan menjadi amaran awal kepada kami. Tak lama kemudian pada kira-kira pukul 11.30 malam, gelegar Merapi yang sangat luar biasa itu terdengar dan bunyi itu berlarutan sampai sejam," katanya.

Kini pekan Surowono, yang biasanya sibuk dengan kegiatan masyarakat membeli barangan harian menjadi sepi bagai pekan mati kerana hampir semua 500 penduduk telah menyelamatkan diri dan tinggal di pusat pemindahan bencana Merapi.

Maria, 40, dan anak lelakinya Petrus Nugroho, 18, adalah antara lima keluarga yang tetap tinggal di rumah mereka di pekan itu, kerana mahu memastikan harta benda mereka tidak hilang.

Ada keluarga lain yang tetap tinggal di kawasan itu kerana tidak sampai hati meninggalkan seorang warga mas Ibu Wiroyo Sanem, 85, yang tetap enggan berpindah dari rumahnya.

Maria mengusahakan kedai butik pakaian dengan dibantu anaknya Petrus dan di hadapan kedai mereka ialah Pasar Surowono. Pada hari-hari biasa sebelum ini dalam keadaan cuaca baik, Gunung Merapi akan kelihatan tersergam gagah dari jalan utama pekan Surowono itu.

Beliau berkata pengamalan awal pagi Jumaat itu membuat hampir seluruh penduduk kawasan tersebut takut untuk tinggal di rumah masing- masing, walaupun mereka selama ini yakin lahar panas Merapi tidak akan sampai ke situ kerana ada Gunung Hijau di hadapan Merapi yang menjadi penghadang.

Kini mereka bimbang dengan keselamatannya apabila awan panas "wedhus gembel" Merapi yang berkepanasan 600 darjah celsius telah mengakibatkan lebih100 penduduk di lereng gunung berapi itu maut terpanggang dan sejumlah yang lain lagi cedera.

Sejumlah 26 kampung turut musnah dalam kejadian letusan Merapi, yang terus berlaku hampir setiap hari sejak letusan pertama pada 26 Oktober lalu.

--Bernama

Ada Motif Disebalik Apa Yang Berlaku Antara Rita Rudaini Dan Suaminya Aidil Zafuan??

PETALING JAYA: Pelakon Rita Rudaini Mokhtar,32, berkemungkinan akan memfailkan tuntutan nafkah anak dan isteri terhadap suaminya, Mohd. Aidil Zafuan Abd. Radzak,23, selepas mendakwa lelaki itu mengabaikan tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga.

Peguam syarie, Datuk Mohd Zaidi Md. Zain berkata, tuntutan itu mahu dibuat selepas meneliti tuduhan daripada Aidil yang menuntut Rita kembali taat kepadanya serta memohon hak penjagaan kekal anak mereka, Airit Rayyan Rizqin yang berusia setahun tiga bulan.

Kata Mohd Zaidi, perkara itu masih lagi dalam pertimbangan kerana Rita bersedia untuk berbincang dengan Aidil bagi menyelesaikan kes melibatkan rumah tangga mereka itun secara baik.

“Anak guam saya menimbangkan untuk mengemukakan tuntutan itu kepada Aidil selepas melihat tuduhan yang dikemukakan oleh Aidil melalui mahkamah sebelum ini adalah tidak berasas,” katanya.

Pada 26 Oktober lalu Aidil Zafuan yang juga ketua pasukan bola sepak Negeri Sembilan memfailkan permohonan sulh (perbincangan) di mahkamah Tinggi Syariah, Seremban, termasuk menuntut hak penjagaan anak secara kekal (hadhanah).

Rita Rudaini dan Aidil Zafuan

Aidil juga menuntut perintah isteri taat (nusyuz) terhadap Rita.

Dalam mStar online 28 Oktober lalu, Aidil menafikan membuat tuntutan berkenaan sebaliknya kunjungan dia ke mahkamah untuk menangguhkan perintah tersebut yang dibuat ketika mereka menghadapi masalah rumah tangga pada Hari Raya Aidilfitri lalu.

Notis yang dikemukakan Aidil itu tidak diterima Rita kerana ia dipercayai dialamatkan di kampung wanita itu di Utan Aji, Kangar, Perlis.

Sementara itu Rita berkata dia telah hadir ke Mahkamah Tinggi Syariah Seremban pada 2 November lalu bersama peguamnya untuk mendapatkan notis tuntutan yang dikemukakan Aidil.

Notis itu turut menuntut Rita menghadiri majlis sulh yang akan diadakan pada 16 Disember ini di mahkamah yang sama.

Kata Rita dia terkejut selepas mendapati Aidil membuat sepuluh tuntutan termasuklah memohon mendapatkan hak penjagaan kekal anak mereka serta memohon Rita kembali taat kepada suami.

Rita berpendapat jika Aidil membuat tuntutan sedemikian, ia bermakna suaminya itu sudah tidak menyayanginya lagi dan dia bersedia untuk diadili di mahkamah.

“Saya kena kuatkan semangat dan bersedia untuk dibicarakan di mahkamah selepas suami sanggup membuat tuntutan itu,” katanya yang sedang mengandung tiga bulan, anak kedua mereka.

Tindakan Aidil itu kata Rita amat memeranjatkan kerana hubungan mereka yang keruh sebelum ini sebenarnya telah kembali pulih dan dia tertanya-tanya apakah motif Aidil membuat tuntutan sedemikian.

Pasangan tersebut berkahwin secara rahsia di Songkhla, Thailand pada 25 Februari 2008 tanpa pengetahuan keluarga lelaki yang pada mulanya tidak merestui perkahwinan itu.

Banjir: Exco Kanan Kerajaan Kedah Jawab Kenyataan Shahrizat Jalil


ALOR SETAR, 6 Nov: Tatkala lebih 40,000 mangsa banjir perlu meninggalkan tempat tinggal mereka akibat krisis banjir yang paling teruk dalam sejarah negeri Kedah, ada juga pemimpin daripada Barisan Nasional yang cuba mengambil kesempatan untuk bermain politik.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar menyatakan rasa kesal terhadap sikap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang cuba mempolitikkan krisis banjir di Kedah dengan menyalahkan kerajaan PAS Kedah lembap dalam membantu mangsa banjir.

“Saya kesal dengan kenyataan Datuk Shahrizat, yang blame (mempersalahkan) kerajaan negeri (Kedah) tidak membuat apa-apa dan kerajaan negeri lembap – itu satu kenyataan yang sangat melampau,” ujar Mahfuz ketika dihubungi Harakahdaily.

Mahfuz yang juga Naib Presiden PAS berkata dalam keadaan semua agensi kerajaan negeri dan semua pihak tengah bersusah-payah dan bertungkus lumus untuk membantu mangsa-mangsa banjir di Kedah, kenyataan Shahrizat memperlihatkan kehadiran Ketua Wanita Umno itu bukan untuk membantu tapi untuk berpolitik.

Shahrizat, kelmarin dipetik menyalahkan kerajaan negeri Kedah tidak menyediakan pengangkutan untuk membantu untuk menghantar makanan kepada penduduk di kawasan yang terputus hubungan akibat banjir terutama di Padang Terap.

“Saya nak sebut bahawa beliau tak boleh blame (salahkan) kerajaan negeri, kerajaan negeri bukan memiliki kenderaan-kenderaan berat dan kenderaan yang sangat terhad yang nak digunakan untuk pengangkutan-pengangkutan yang lain.

“Jadi, sepatutnya beliau sebagai menteri boleh coordinate dengan jabatan kebajikan di bawahnya dengan tentera dan sebagainya untuk mendapat kenderaan-kenderaan berat, kenderaan pacu empat roda, trak dan sebagainya untuk mengharungi kawasan masuk air, dan juga mendapatkan bot-bot besar,” jawab Mahfuz terhadap kenyataan Shahrizat.

Mahfuz juga membandingkan sikap kesudian membantu Datuk Seri Nazri Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dengan Shahrizat apabila beliau memintanya untuk mendapatkan bantuan bot besar di kawasan parlimennya, Pokok Sena untuk mencapai kawasan penempatan banjir terputus.

“Kalau di kawasan saya, Datuk Seri Nazri datang, saya sebut masalah di sini ialah satu tempat kita tak dapat pergi kerana putus, kita tak boleh hantar bekalan makanan walaupun mereka ada penempatan banjir sebab arus air deras, dan bot-bot yang mereka hantar pula bot yang kecil, bomba sendiri pun tak berani pergi dengan bot yang kecil.

“Jadi, saya mintalah bot yang besar, bot tentera dan bot smart barulah beliau membantu mengarahkan perkhidmatan keselamatan negeri ini untuk menghantar bot smart,” katanya.

Situasi penempatan banjir

Mengenai situasi di pusat penempatan banjir, Mahfuz menyifatkan keadaannya sesak dan kurang selesa kerana terpaksa meletakkan hampir dua ke tiga ribu orang di sesebuah pusat penempatan banjir, dan ada pusat penempatan banjir yang terputus bekalan air dan juga elektrik.

“Cuma saya lihat koordinasi masalah penempatan ini – ini juga kelemahan jabatan kebajikan di bawah Shahrizat ini sebab satu-satu tempat pemindahan itu, kalau ia nak digazet ia perlu kebenaran daripada jabatan kebajikan.

“Jadi inilah masalahnya, kadang-kadang kreativiti dan inovasi jabatan kebajikan itu agak perlahan – dia hanya lihat tempat-tempat yang biasa – yang akhirnya kita terpaksa melambakkan 2,000 dan 3,000 orang di satu tempat,” ujarnya sambil menambah mangsa banjir semakin meningkat dengan air mula memasuki kawasan bandar Alor Setar dengan keadaan di kampung yang masih ditenggelami air.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.