Abang Bangladesh dicekup khalawat
AMPANG - Berperwatakan menarik, hidung pula mancung bak pelakon ternama Bollywood! Mungkin itulah personaliti dimiliki seorang lelaki warga Bangladesh sehingga membuatkan wanita tidak keruan.

Berbekalkan kelebihan yang ada, daya penarik itulah digunakan untuk memikat kaum hawa tanpa mengira status mangsa sama ada bujang atau isteri orang.


Malangnya, hubungan terlarang pastinya tidak berpanjangan dan itulah yang berlaku kepada pasangan kekasih di sebuah hotel bajet di sini, awal pagi semalam.


Hubungan intim seorang wanita warga Indonesia berstatus isteri orang dengan seorang warga Bangladesh sejak enam bulan lalu hingga terlanjur ke bilir tidur berakhir selepas dicekup penguat kuasa agama.


Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, wanita berusia 34 tahun dan teman lelakinya berusia 30 tahun itu hanya memakai tuala ketika penguat kuasa Jabatan Agama Islam (Jais) dan Pegawai Masjid Al-Azim Pandan Indah menyerbu bilik hotel berkenaan.


Pegawai Masjid Al-Azim, Ahmad Nawi Osman berkata, wanita yang bekerja sebagai pembantu rumah itu berkenalan dengan lelaki terbabit yang bekerja sebagai kontraktor mengubah suai rumah majikan wanita berkenaan.


“Difahamkan wanita yang mempunyai empat anak itu lari daripada majikannya, manakala suaminya tinggal di Indonesia bersama anak mereka,” katanya.


Di hotel berasingan, seorang ahli perniagaan dicekup bersama seorang pelajar yang menuntut di salah sebuah kolej di Ipoh, Perak.


Ahmad Nawi berkata, duda berusia 42 tahun bersama wanita yang berusia 28 tahun itu berpakaian lengkap ketika ditahan.


Kedua-dua pasangan terbabit ditahan mengikut Seksyen 29, Enakmen Jenayah Syariah Jais 1995, jika disabit kesalahan boleh di denda sebanyak RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.