Nama Abdul Rahman Palil, ADUN Sementa Turut Dikaitkan Oleh Perbicaraan Kes Pembunuhan Pengasas Produk Kecantikan Nouvelles Vissages... Kenapa??


SHAH ALAM: Jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya telah menerima sekeping cek tunda bernilai RM1 juta daripada seorang peguam, N. Pathmanabhan yang kini sedang dibicarakan atas tuduhan membunuh pengasas produk kecantikan Nouvelles Vissages berkenaan.

Kawan baik kepada Sosilawati, Junaidah Ismail, 52, memberitahu, cek itu diterima mangsa semasa mereka berdua ke pejabat guaman tertuduh di Banting pada pukul 5.30 petang, 3 Ogos 2010, sebelum mereka bertolak ke Pelabuhan Klang, dekat sini bagi meraikan ulang tahun kelahiran saksi yang jatuh sehari sebelumnya.

Katanya lagi, mereka dan pemandu peribadi Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin atau dikenali sebagai Kamal menunggu selama setengah jam di dalam kereta berhadapan dengan pejabat Pathmanabhan sebelum tertuduh tiba dengan menaiki kereta mewah jenis Brabus.

Junaidah yang menjalankan perniagaan pengurusan acara juga memberitahu, Sosilawati yang dikenalinya sejak 28 tahun lalu telah keluar daripada kereta dan dilihat seperti mengambil sesuatu daripada Pathmanabhan.

"Wati (gelaran Sosilawati) masuk semula ke dalam kereta dan pegang cek dan serahkan kepada saya sambil kata 'Nah Kak Jun (nama panggilan saksi) aku dapat bayaran RM1 juta'," katanya di Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu.

Cek tersebut dikeluarkan atas nama sebuah syarikat yang dipercayai milik Sosilawati, Sounthern Symphony Sdn Bhd.

Saksi pendakwaan ke-13 yang sedang disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Idham Abd Ghani seterusnya memberitahu, beliau melihat tarikh cek itu lebih awal berbanding tarikh hari tersebut semasa memulangkan cek itu kepada Sosilawati.

"Saya tanya kenapa cek bertarikh September sedangkan ia baru Ogos dan Wati jawab 'tak apa, itu kita orang dah bincang. Saya agak nak ketawa kerana tulisannya macam kanak-kanak tadika dan bila saya tanya, Wati jawab 'Alah, Kak Jun ni," katanya.

Junaidah menambah, beliau dan Sosilawati seterusnya bertolak ke Pelabuhan Klang dan dalam pertemuan itu, mereka banyak membincangkan tentang persiapan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Pada keterangannya, Junaidah memberitahu, beliau sememangnya mengenali Pathmanabhan, kerana pernah menerima ajakan Sosilawati yang meminta agar ditemankan untuk berjumpa Pathmanabhan bersama dua lelaki bernama Suhaimi dan Sabri pada tiga tahun lalu di Hotel Pan Pacific di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi berbincang mengenai urusan jual beli tanah di Pulau Pinang.

Sementara itu, Junaidah yang memakai jubah berwarna merah jambu dan bertudung hitam juga memberitahu, beliau dipelawa oleh Sosilawati untuk bersama ke Banting pada hari ahli perniagaan wanita itu dilaporkan hilang dan dibunuh.

"Pada 29 Ogos 2010, Wati ada telefon dan kami bersembang tentang puasa dan sembahyang terawih. Wati beritahu dia mahu ke Banting esok (30 Ogos 2010) dan jika saya mahu ikut sama. Saya tidak sihat dan mahu berehat di rumah," katanya.

Bagaimanapun, saksi mengakui bahawa beliau tidak pernah dimaklumkan tujuan Sosilawati ke sana.

Sementara itu, semasa disoal balas oleh peguam Manjeet Singh Dhillon yang mewakili Pathmanabhan, Junaidah mengakui bahawa beliau tidak pernah mengetahui bahawa syarikat Sosilawati mempunyai hutang sebanyak RM10 juta dengan bank.

Beliau juga memberitahu, tidak mengetahui bahawa Syarikat Southern Symphony hanya bernilai RM2.

Junaidah hanya mengetahui bahawa Sosilawati mempunyai kebiasaan untuk membeli dan menjual tanah bagi mendapatkan keuntungan.

Manjeet: Saya katakan Sosilawati ialah orang yang apabila dia sudah menjual tanah kepada sesuatu individu, akan membatalkan perjanjian sekiranya dia mendapat pembeli yang boleh menawarkan harga yang lebih tinggi terhadap tanah tersebut?

Junaidah: Saya tidak tahu, Wati tidak pernah beritahu.

Majeet: Kamu kenal dengan Abdul Rahman Palil (Ahli Dewan Undangan Negeri Sementa)?

Junaidah: Saya pernah dengar namanya.

Manjeet: Adakah Sosilawati beritahu kamu bahawa Abdul Rahman terlibat dalam urusan pembelian tanah dengannya?

Junaidah: Ya. Projek terakhir adalah kira-kira sebulan sebelum kehilangan Sosilawati.

Ketika menjawab soalan peguam Amer Hamzah Arshad, saksi mengakui bahawa adalah menjadi kebiasaan Sosilawati untuk menunjukkan cek yang diterimanya kepada beliau.

Cubaan Amer Hamzah untuk membangkitkan isu perkahwinan Sosilawati dengan vokalis kumpulan Lefthanded, Nash atau nama sebenarnya Jamaludin Elias kepada saksi mendapat bantahan daripada Idham atas alasan soalan itu tidak relevan dengan kes yang sedang dibicarakan.

Idham: Saya rasa ia lebih bersifat kepada skandal. Ini tidak wajar dibenarkan. Tadi peguam Majeet telah menyoal saksi tentang hubungan Sosilawati dengan Kamal. Di mahkamah, kita tahu Kamal adalah pemandu kepada Sosilawati.

Amer Hamzah: Pada masa ini, soalan saya adalah bersifat tidak matang, tetapi ia adalah relevan.

Hakim Datuk Akhtar Tahir membenarkan Amer Hamzah menyoal saksi hanya untuk mengesahkan memastikan hubungan tersebut, tetapi tidak boleh melibatkan masalah dalam perkahwinan pasangan yang telah bercerai itu.

Amer Hamzah: Setuju jika saya katakan masalah antara Nash dan Sosilawati disebabkan oleh hubungannya dengan Kamal?

Junaidah: Mereka tidak sependapat dan selalu bergaduh.

Amer Hamzah: Salah satu sebabnya adalah kerana hubungan Sosilawati dan Kamal?

Junaidah: Tidak setuju.

Dalam kes ini, Pathmanabhan dan tiga pekerja ladang, T. Thilaiyagan, R. Matan dan R. Khatavarayan didakwa membunuh Sosilawati, 47; pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38; peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan Kamaruddin Shamsuddin, 44, pada antara 8.30 dan 9.40 malam, 30 Ogos 2010.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting.

Perbicaraan akan bersambung Khamis.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.