TERKINI DARI SEDAKASEJAHTERA.COM

Siapa Tak Sayangkan Suami, Buruk Baiknya, Dia Tetap Suami... Raja Azura Tak Mahukan Perpisahan?



MAHKAMAH Syariah bukan sahaja tempat untuk bercerai tetapi rujukan terbaik tentang hukum-hakam perkahwinan. - Kak Engku


RAJA AZURA melangkah tenang masuk ke bilik sidang media di pejabat AMP Radio Networks, Bukit Jalil, Kuala Lumpur sambil melemparkan senyuman lebar.

Seperti biasa, matanya bersinar malah sempat berlawak dek kelucuan rakan setugasnya, Salih Yaacob yang masuk sambil menutup muka dengan sekeping sampul surat bersaiz A4. Konon-kononnya dialah artis yang menjadi tumpuan di mahkamah ketika itu.

"Ini pengantin," letus mulut Raja Azura atau lebih mesra dengan gelaran Kak Engku persis bergurau, barangkali sengaja cuba meredakan suasana tegang wakil media yang hadir menantikan pengakuan daripadanya.

Sejak spekulasi perceraiannya tersebar luas 4 Ogos lalu, satu kepastian tentang status perkahwinan Kak Engku, 38, dengan Adzmin Tan Sri Osman, 37, dituntut banyak pihak.

Semua itu gara-gara catatan kehadiran Kak Engku ke Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, Selangor pada 3 Ogos lalu disedari khalayak media. Mereka dikatakan telah memfailkan permohonan perceraian perkahwinan, bagaimanapun pengesahan Kak Engku atau pihak mahkamah gagal diperoleh.

Dua hari hilang daripada konti Sinar FM meninggalkan rakan trionya Khairil dan Salih Yaacob mengendalikan Sinar Pagi, Kak Engku tidak dapat dihubungi. Panggilan telefon serta SMS yang dilayang, tidak juga dibalas.

"Bukan niat saya mahu mengelak atau mendiamkan diri, saya cuma perlukan waktu, saya percaya kalau kalian berada di tempat saya, kalian akan lakukan perkara yang sama," luah Kak Engku.

Jelasnya juga, benar dia bersama suami ada menghadirkan diri ke mahkamah 3 Ogos lalu tetapi bukan atas memfailkan perceraian tetapi sekadar satu prosedur kaunseling bersama pihak hakim dan peguam syarie.

Ia bertujuan mendapatkan khidmat nasihat terhadap masalah perkahwinan yang sedang dialami mereka sejak sekian lama.

Perang dingin dan pergolakan mahligai perkahwinannya memang telah wujud sejak tujuh tahun lalu.

"Dalam rumah tangga masalah akan wujud, bohonglah kalau tiada masalah. Kami sudah banyak berbincang tetapi selalunya tergantung tanpa penyelesaian, bila sesama sendiri dan bersama keluarga juga tidak ada sebarang penyelesaian, saya pilih untuk bertemu pakar yang arif.

"Baru saya tahu, rupa-rupanya mahkamah adalah tempat terbaik untuk mendapatkan nasihat. Di situ ada pakar yang arif tentang hukum dan masalah dalam perkahwinan," katanya menafikan sekali lagi ada membuat permohonan cerai baru-baru ini.

Pasangan Kak Engku dan Adzim berkahwin pada Mac 2001 dan dikurniakan dua anak lelaki iaitu Megat Muhammad Raziq, 8, dan Megat Luqman Haqim, 7, serta seorang anak perempuan, Puteri Mia Maizura, 4. Akuinya lagi, anak-anak tidak pernah tahu masalah yang dihadapi mereka berdua. Selama diulit dilema, tidak pernah sekali pun dia bertikam lidah disaksikan oleh anak-anak.

Ditanya, bersediakah dia dengan sebarang kemungkinan, cerai seperti yang banyak berlaku di kalangan artis ketika ini, pengacara popular itu menjawab: "Saya tidak pernah terfikir ke arah itu. Saya tidak nampak perceraian akan berlaku dalam rumah tangga saya, saya kenal suami saya dan suami saya juga kenal saya.

"Sampai ke tahap ini, selepas pertama kali berkunjung ke mahkamah, rasanya seperti baru selesai menjalani kursus kahwin. Demi Allah, ketika ke mahkamah baru-baru ini, kami pergi bersama-sama, bukan berasingan."

Penuh sedar, penyampai radio serta pengacara yang terkenal dengan mulut becok itu bertutur merendahkan egonya. Dia sedar banyak bercerita dan membangkitkan emosi dalam soal suami isteri ketika bersiaran, bagaimanapun, pertuturan yang didengar semua itu bukan dibuat atas faktor peribadi.


RAJA AZURA dan Adzmin sedang berdepan dilema perkahwinan
namun mereka sedang memperbaikinya sebaik mungkin.


"Mungkin orang akan kata saya sedap-sedap bercakap pasal rumah tangga. Itu tanggungjawab saya, saya cuma menjadi watak yang dikehendaki oleh pendengar. Saya banyak membaca, bertanya kepada teman-teman serta golongan yang arif.

"Saya bangga dengan pengalaman yang ada sebab dari situ saya berfikiran matang dan waras dan buat keputusan yang betul untuk mencari penyelesaian masalah sendiri.

"Keputusan ke mahkamah dibuat atas perbincangan bersama walaupun tidak pernah terniat untuk ke situ," luahnya penuh emosi.

Ketika matanya sedikit berkaca, hatinya ditebak lagi, adakah masih tersimpan sayang buat suami di rumah?

"Mestilah sayang. Siapa tak sayangkan suami, buruk baiknya, dia tetap suami saya. Anak-anak pun masih kecil, masih banyak perlukan perhatian dan pembelaan," katanya.

Kak Engku menutup sidang media khasnya sambil mengharapkan yang baik-baik serta doa yang terbaik untuknya daripada semua peminat dan pendengar. Dia yakin, selagi keegoan mereka dapat diturun serendah-rendahnya, hubungan mereka boleh diperbetulkan.

Meninggalkan kegemparan spekulasi perceraian artis popular ini, saya teringatkan satu penyataan Kak Engku. Katanya, dia sangat menghormati Adzmin sebagai suami dan Adzmin juga menghormatinya sebagai isteri namun sikap hormat-menghormati suami itu ada batasan.

Jalan raya sudah berlubang jadi suami adalah kontraktor utama yang bertanggungjawab memperbaiki kerosakan itu.

Sokong PAS Kafir?

LEWAT malam tadi saya bersama Ahli Parlimen, Ketereh Abdul Aziz Kadir minum di sebuah kopitiam dekat rumah. Kami hanya minum saja tanpa mengambil apa-apa makanan. Status halal dan haram makanan di sajikan di kedai berkenaan masih meragui saya. Sijil halal yang diperagakan tidak sama dengan sijil halal yang disebutkan Jakim sebagai sahih.

Saya tidak tahu pula sejauh manakah sijil halal Jakim itu sahih dan sijil halal yang dikeluarkan oleh pihak lain tidak halal. Apakah ianya halal kerana ia dikeluarkan oleh institusi agama - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)? Padahal banyak juga hal-hal dilakukan Jakim meragukan.

Selalunya pihak pemantau Jakim akan membuat pemeriksaan dari masa ke semasa untuk memastikan apakah ia dipatuhi atau tidak. Soalnya apakah ada dibuat? Atau selepas keluar sijil halal dan dipamerkan Jakim lepas tangan. Selepas itu terserah kepada kedai berkenaan nak sajikan makanan suci atau pun kotor.

Sebelum ini saya memasuki ke sebuah kompleks beli belah, juga dekat rumah. (Katanya kompleks berkenaan ada kepentingan Zulhasnan Rafique) Teringin nak makan wantan mee - sejenis mee diperbuat dari tepung dan dimasukan inti ayam dan ikan. Saya panggil mee keriput.

Saya bertanya kepada jurujual, halal ke haram kedai ini, mana dia sijil halal? Katanya dalam proses. Dalam proses? Sedangkan kedai itu sudah beroperasi sejak lima bulan lalu. Sudah bercepuah mulut orang Melayu menghirup kueh mee di kedai berkenaan, tapi status halal haramnya belum diketahui. Aduhai Jakim?

Berbalik kepada pertemuan dengan Abdul Aziz Kadir malam tadi; beliau juga tak makan kerana baru lepas menghadiri majlis makan malam punggut derma untuk rampas Putrajaya, Tiram di Shah Alam Selangor. Katanya Nik Aziz Nik Mat dan Anwar Ibrahim yang menjadi tetamu istimewa tidak hadir. Banyak juga pemimpin Pas termasuk wakil rakyat Kelantan tak hadir. Kenapa tak sokong ke tabung berkenaan kerana penasihatnya Husam Musa?

Aziz ada menceritakan perihal Umno di tempatnya yang ligat mengatur program untuk tawan semula kerusi Ketereh yang dimenanginya dalam pilihan raya lalu. Aziz menang mengalahkan bekas bosnya Annuar Musa. Ramai tak sangka Aziz dapat menjatuhkan Annuar Musa secara KO?

Katanya dua tiga malam lepas, Umno Ketereh ada anjurkan ceramah. Yang
handlenya timbalan ketua bahagian, Alwi Che Amat yang kini hangat digosipkan telah berkawhin seorang lagi. Katanya Alwi menyembunyikan isteri di Bukit Antarabangsa. Moleklah kalau Alwi kahwin satu lagi boleh daftar jadi ahli Penshawat bersama wakil rakyat Pas. Jangan ambil alih jawatan presiden sudahlah. Sapa-sapa nak jadi presiden Penshawat mesti mempunyai isteri paling ramai.

Ketua Umno bahagian Ketereh, Annuar Musa sudah sibuk dengan bola sepak. Bukan sibuk... sedang membuat pelan untuk come back dalam politik. Penglibatan Annuar Musa dalam bola sepak ada serampang dua mata. Semalam juga ada seorang kawan baik Annuar Musa. Secara tak sengaja kawan Annuar ini menceritakan perihal Annuar semasa menjadi menteri belia dan sukan dulu. Kawan ini menceritakan bagaimana Annuar Musa bergaduh dengan isterinya si Ros, bukan Rosmah, tetapi Rosiah kerana Ros dapat kesan dalam bilik Annuar ada bau perempuan. Ah..

Annuar Musa aktif dalam politik kerana dia nak
build up imej politiknya yang kini pudar. Jadi dia kena cari wang. Kejayaan pasukan bola sepak Kelantan kini menaikkan imejnya. Tengok dia sudah jadi timbalan presiden FAM. Semua itu berkat kehebatan pasukan Kelantan dibawah pimpinannya. Di samping itu dia juga berjaya punggut duit. Bola sepak kalau ramai penonton akan dapat banyaklah duit.

Punggutan jualan tiket tidak berapa banyak. Yang banyak ialah apabila cadangannya untuk bina stadium di Kelantan diluluskan. Katanya stadium berharga RM100 juta itu akan dibina atas tanah miliknya yang dulu dibuat projek telor emas. Di sinilah Annuar akan kaut pitih. Bak cari duit ini memang Annuar bijak dan ligat. Orang lain berpolitik habis duit, Annuar himpunan duit. Macam Hussein Serama jugaklah.

Itu kepandaian dan kebijaksanaan Annuar dalam cari duit. Tetapi kelemahan Annuar ialah dalam politik. Dan jiwa jantannya juga mudah relai dan hancur dengan para dayang-dayang. Ini sudah menjadi sebutan di mana-mana saja. Satu
brand atau cap yang ditaboo kepada Annuar ialah BUDU. Bukan budu cap ketereh...

Berbalik kepada kisah Umno Ketereh tadi, kata Aziz, Umno panggil seorang ustaz pondok yang kini 'cas ligah' dalam Umno. Cakap dan kata-katanya sudah diterima pakai oleh
Utusan dan RTM. Kalu dulu bibirnya merah kerana sepah pinang dimulut.. kini sudah bersih. Iyalah bila banyak bercakap, mulut akan jadi bersih dari air sireh dan pinang. Tetapi timbul masalah lain pula, air liur basi banyak meleleh.

Menurut Aziz kata ulama pondok usang itu, sesiapa sokong Pas akan jadi kafir. Pulak? Jadi kafir bermakna tidak masuk syurga, akan masuk neraka! Orang Pas yang sokong Pas akan masuk neraka. Ulama ini marah sangat dengan Nik Aziz kerana Nik Aziz tolak untuk berbaik dengan Umno. Anihnya ulama pondok usang ini baru kini bercakap soal perpaduan Melayu. Mungkin sudah dapat sebungkus dua jabil dirham atau dinar. Lagaknya ilmu setampok pinang nak lawan pendekar Jembal, mana boleh.

Fatwa ulama pondok usang itu teruk sangat. Kata Aziz macam mana Umno nak pulihkan keadaannya kalau panggil orang macam itu. Lagi teruk Umno jadinya bukan tambah baik.

Saya terheran-heran mendengar hal itu. Takkan Alwi Che Amat yang lahir dan luruh pusat di Makkah tidak tahu bahasa poltik dan agama. Kalau nak peralatkan tok guru pondok usang pun janganlah sampai mengeluarkan kata-kata itu. Orang tidak boleh terima kata-kata tok guru pondok sebegitu kalaupun memang ada perangai orang Pas macam kafir.

Selamanya Umno tidak akan memang kalau menggunakan ustaz dan tok guru pondok usang untuk lawan Nik Aziz. Nik Aziz suka tak suka dah diterima sebagai agamawan. Dia mursyidul am Pas. Kejayaannya mengekalkan Kelantan ditangan Pas menambahkan nilai kehebatannya.

Umno patutnya taktik
reverse psikologi. Puji Nik Aziz melangit kemudian tunggu dia jatuh tergolek. Kan ada bidalan politik mengatakan kalau kamu tidak boleh lawan musuh kamu, kamu hendaklah menyertainya. Makan dalam baiklah.

Saya tidak marahkan kepada ulama pondok usang itu. Tetapi yang dikesalkan ialah orang yang jadi 'tolol (mediator) yang mengambil guru pondok berkenaan. Fikir dan selidiklah dulu macam kita nak ambil dahan kayu nak buat ulu kapak bagi tebang pokok. Jangan cari kayu yang berbulu dan gatal tetapi cari kayu yang lembut dan kukuh. Nanti belum apa-apa, belum tebang tangan dah gatal. Pokok tak tumbang, kapak pula dibuang dan kita akan dikatakan tolol.

Perjumpaan dengan Aziz Kadir semalam kerana kawan kepada kawan Annuar Musa itu ingin memberi zakat untuk diagihkan oleh Aziz Kadir di kawasan parlimen Ketereh.

[wm.kl. 12:00 t/hari 08/10/100] - MSO

Langkawi Akan Diberi Nafas Baru dalam RMK-10

LANGKAWI 8 Ogos — Kepulauan Langkawi akan menerima nafas baru dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) bagi mengembalikan semula kegemilangan pulau pelancongan ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcob.

Beliau berkata, terdapat banyak pandangan yang menyatakan bahawa pulau legenda ini sudah hilang daya penarik sejak beberapa tahun kebelakangan ini serta semakin suram.

Sehubungan itu kerajaan akan melakukan beberapa inisiatif untuk membangunkan pulau ini, katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar bertemakan Pembangunan Langkawi - Hala Tuju, di sini hari ini.

“Sepatutnya Langkawi jadi niche product untuk sektor pelancongan. Kalau Thailand boleh berbangga dengan Pulau Phuket, Koh Samui dan Krabi manakala Indonesia ada Bali, Malaysia juga ada pulau-pulau yang menarik.

"Di Malaysia, Langkawi dilihat lebih terkenal,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan telah berbelanja banyak untuk membangunkan Langkawi dalam Rancangan Malaysia sebelum ini bagi mengembangkan ekonominya dan keadaan sekarang jauh lebih baik daripada tahun 90-an dengan banyak perubahan besar telah berlaku di Langkawi.

“Tetapi sebenarnya kerajaan belum berpuas hati. Kita sudah banyak belanja dan kena belanja sikit lagi untuk bangunkan Langkawi menjadi pulau yang ada daya tarikan maksimum.

"Yang penting sekali, kita kena sediakan ejen-ejen pelancongan yang berkemahiran kerana kita kena tumpukan kepada pelancong yang berbelanja tinggi,” katanya.

Nor Mohamed berkata terdapat cadangan untuk Malaysia terutama Langkawi mewujudkan akademi pelancongan bagi melatih tenaga kerja berkemahiran dalam bidang pelancongan.

"Selain itu kita kena selesaikan masalah-masalah yang nampak kecil tetapi mampu memberikan impak yang cukup besar. Sebagai contoh masalah kereta sewa.

"Ada pemilik kereta sewa kena membayar insurans RM6,000 setahun untuk sebuah kereta. Kita kena lihat isu pemain industri pelancongan di Langkawi,” katanya.

- Bernama

1000 Netbook 1Malaysia Diterima Pelajar Kawasan DUN Kuala Nerang

KUALA NERANG: Seramai 1,000 pelajar dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Nerang menjadi kumpulan pertama di Kedah menerima netbook 1Malaysia dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Netbook dengan nilai keseluruhan RM1.3 juta itu diberi di bawah program Inisiatif Jalur Lebar Negara khusus untuk pelajar dari golongan miskin yang dilancarkan kerajaan pada Mac tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Kuala Nerang, Datuk Syed Sobri Syed Hasim menyampaikan netbook tersebut kepada pelajar berkenaan dalam satu majlis di dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Nerang, hari ini.

Pengarah SKMM Wilayah Utara, Mohd Hussin Ali, berkata SKMM telah menubuhkan dua Pusat Jalur Lebar Komuniti di Kampung Baru dan Masjid Aisyah, Kampung Tanjung di sini bagi memudahkan penerima netbook melayari internet.

"Kami juga akan memantau dan melatih mereka dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT)," katanya selepas majlis penyerahan netbook itu.

SKMM berharap ibu bapa dan orang ramai memanfaatkan Pusat Jalur Lebar Komuniti dengan menjadi ahli supaya dapat menikmati perkhidmatan secara percuma, katanya.

Dalam ucapannya, Syed Sobri berkata, masyarakat yang hendak maju dan bersaing dalam apa jua bidang sekalipun di zaman ini perlu menguasai bidang ICT.
"Kerajaan telah membuat langkah bijak melancarkan program pemberian netbook ini yang membantu masyarakat luar bandar," katanya dan menambah ramai usahawan terkaya dunia yang baru muncul adalah dalam bidang ICT.

- Bernama

Jom Kita Tengok Apa Awang Selamat Kata Kepada Dato' Mahfuz Dan PAS

Awang Selamat menyifatkan naib presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar sebagai pemimpin yang 'angkuh dan paling menjijikkan' kerana didakwanya suka menghina orang Islam.

PAS pula didakwanya sebagai parti yang 'paling dayus' meskipun menggunakan nama Islam kerana menolak permuafakatan dengan Umno tetapi sanggup bekerjasama dengan DAP

"Pedulikan golongan seperti itu, yang suatu hari akan menangis keinsaatan kerana merekalah sebenarnya yang mengkhianati perjuangan Islam," tulis Awang Selamat dalam ruangan
Bisik-Bisik Mingguan dalam Mingguan Malaysia hari ini.

Awang Selamat juga hairan mengapa ramai pengimpin PAS menolak idea permuafakatan dengan Umno "kononnya kerana parti itu kurang Islam dan meletakkan banyak syarat".

"Anehnya PAS tidak menetapkan sebarang batasan kepada DAP dalam kerjasama mereka, malah asyik tunduk kepada parti tersebut yang secara terbuka menentang gagasan negara Islam.

"Pada Awang PAS menjadi parti paling dayus meskipun menggunakan nama Islam.

"Paling menjijikkan apabila ada pemimpin angkuh seperti Mahfuz Omar yang suka menghina orang Islam," tulis Awang Selamat lagi.

Sebaliknya, Awang Selamat mendakwa Umno terlebih dahulu merintis kerjasama dengan parti-parti kaum dan agama lain berdekad-dekad lebih awal berbanding PAS yang didakwanya "yang baru setahun jagung".

"Umno konsisten memerangi ekstremisme agama dan menjadi pelindung terbaik kepada penganut agama lain," tulisnya lagi.

Tabung Impian Rakyat Malaysia (TIRAM) Dilancar, Lebih RM35 Ribu Disumbang Pada Majlis Makan Malam Mega..

Pemimpin Pakatan Rakyat (dari kiri) Mahfuz Omar, Husam Musa, Syed Husin dan Ngeh Koo Ham pada majlis pelancaran Tabung Impian Rakyat Malaysia di Stadium Malawati malam tadi. — Gambar oleh Choo Choy May
SHAH ALAM, 8 Ogos — Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Senator Dr Syed Husin Ali mendakwa kerjasama antara 13 komponen Barisan Nasional (BN) sebagai lemah dan tidak akan bertahan disebabkan status Umno yang terlalu mendominasi ikatan itu.

Sehubungan itu kata Syed Husin, cubaan memujuk PAS agar keluar daripada Pakatan Rakyat (PR) adalah langkah sia-sia kerana gabungan tiga komponen ini, yang ditubuhkan April 2008, jauh lebih kukuh berbanding BN.

“Majlis ini menghantar mesej jelas terutama kepada umno dan pemimpinnya, (Datuk Seri) Najib (Razak) bahawa Pakatan adalah satu badan kukuh dan kuat yang boleh menjatuhkan mereka,” kata Syed Husin ketika berucap pada Majlis Makan Malam Mega Tabung Impian Rakyat Malaysia (Tiram) di Stadium Malawati di sini malam tadi.

Tabung itu dilancarkan pada majlis itu.

Malah, Syed Husin mendakwa Umno bertanggungjawab dalam memecahbelahkan kaum dan agama di negara ini.

Beliau memberi contoh betapa Umno menggunakan media tajaan mereka untuk menggambarkan seolah-olah pemimpin PR sering berkelahi dan bertelagah.

“Mereka guna media tunjuk seolah Pakatan Rakyat sering bergaduh, dan pecah belah.

“Itu sebabnya ada beza antara hubungan PAS-DAP dan Umno-MCA,” jelas Syed Husin yang mewakili Ketua Umum PR dan Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan merujuk kepada masalah dalaman semasa BN.

Syed Husin juga berkata, Umno sanggup menggunakan agama dan hubungan kaum bagi mendapatkan undi rakyat.

“Mereka guna agama dan perhubungan kaum untuk menyubur (sikap) pecah belah di kalangan Pakatan Rakyat, itu sebabnya mereka cakap tentang agama untuk mempertahankan agama tetapi mereka yang bertanggungjawab memecahbelahkan institusi Melayu,” tegas beliau.

Dalam pada itu, Majlis Makan Malam Mega Tiram mengumpulkan lebih RM35,000 termasuk hasil sumbangan derma dan jualan tiga potret Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Aziz dan karikatur hasilan Zunar.

Jumlah ini melebihi sasaran asal penganjur iaitu dalam lingkungan RM20,000.

Nik Aziz yang sepatutnya melancarkan tabung itu tetapi tidak hadir kerana dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian kerana kepenatan.

“Dia letih... kalau biar rehat di rumah nanti orang datang melawat, tak dapat rehat dengan sempurna. Jadi dibawa ke hospital,” kata Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad kepada The Malaysian Insider.

Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan diwakili oleh Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar manakala Penasihat DAP Lim Kit Siang pula diwakili Datuk Ngeh Koo Ham iaitu pemimpin jawatankuasa eksekutif parti itu dan Ahli Parlimen Beruas.

Tiram ditubuhkan untuk menganjurkan aktiviti-aktiviti boleh membentuk kesedaran dan mendidik masyarakat tentang hak dan tanggungjawab mereka sebagai rakyat di negara yang mengamalkan demokratik.

Dalam pada itu, Penasihat Tiram, Datuk Husam Musa pula berkata, tabung ini mampu memberikan harapan dan menyampaikan maklumat benar kepada rakyat dengan mempertahankan prinsip demokrasi.

“Hasrat kami adalah untuk bergerak dengan lebih efektif untuk menyampaikan maklumat kepada rakyat, bukan saja untuk pilihan raya umum akan datang,” ujar Husam yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan dan ahli jawatankuasa kerja PAS pusat.

Tiram turut menyampaikan sumbangan kepada keluarga yang anggota mereka mati ditembak polis termasuk Aminulrasyid Amzah, 15 dan keluarga Ibrahim Libya yang terbunuh dalam peristiwa Memali.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena menganggap program Tiram berjaya dan permulaan kepada usaha menjadikan negara ini lebih bebas daripada amalan-amalan yang bertentangan dengan prinsip demokrasi.

“Ini merupakan usaha serius yang perlu dilakukan demi negara. Asas kita adalah prinsip keadilan yang menerangi semua,” ujar beliau.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Murah Giler: Sapa Nak Order Klik Image

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.