TERKINI DARI SEDAKASEJAHTERA.COM

Ku Li Setuju Perjuangkan Isu Felda Tersasar Dari Landasan Sebenar: Pengerusi ANAK

KUALA LUMPUR, 26 Julai: Persatuan Anak-Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), minggu lalu telahpun mengadakan pertemuan dengan pemimpin veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah.

Pertemuan itu sebagai usaha berterusan mereka mengangkat isu salahurus Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) sehingga mahu kepada penubuhan kaukus khas membawa isu Felda ke Parlimen.

Pengerusi Anak, Mazlan Aliman
(gambar) berkata, pertemuan hampir sejam di kediaman Ahli Parlimen Guang Musang di ibu negara itu antara lain memperlihatkan respons positif Tengku Razaleigh untuk bersama memperjuangkan dan mengangkat isu tersebut.

"Respons sangat positif. Dia (Tengku Razaleigh) bersetuju bahawa, Felda sudah tersasar dari matlamat asal dan bersedia menyuarakan isu tersebut ke Parlimen," katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Menurutnya, Tengku Razaleigh juga mahu melihat Felda dipacu mengikut hasrat asal penubuhannya dengan memberikan hak sepatutnya kepada peneroka.

Ianya termasuk isu hak milik, pemberian pendapatan dan beberapa perjanjian antara agensi kerajaan itu dengan peneroka yang dilihat selama ini seperti menekan warga peneroka.
Selain itu, Tengku Razaleigh juga membangkitkan isu pelaburan yang dibuat Felda tanpa pengetahuan peneroka yang sepatutnya tidak berlaku sedemikian.

Veteran Umno itu juga didakwa bersetuju bahawa Akta Penempatan Kawasan Berkelompok (GSA) 1960 perlu dipinda dalam usaha memberi hak tanah kepada peneroka.

Dalam pertemuan itu juga menurut Mazlan, Tengku Razaleigh turut melahirkan kebimbangan terhadap nasib peneroka jika kerajaan tidak dapat menangani isu tersebut dengan baik.

"Menurutnya, jika kerajaan tidak dapat tangani isu ini dengan baik, ia bukan sahaja memberi kesan kepada orang Melayu di Felda, malah masyarakat Felda itu sendiri," katanya yang juga AJK PAS Pusat.

Menurut Mazlan, pertemuan peringkat kedua dengan Ahli Parlimen Gua Musang itu akan dibuat selepas Hari Raya Aidilfitri nanti untuk membincangkan perkara-perkara yang perlu diberi keutamaan dalam mengenengahkan isu Felda tersebut.

Anak sebelum ini mengumumkan mahu berbincang dengan Tengku Razaleigh ke arah pembentukan kaukus khas di Parlimen berhubung isu Felda.

Mazlan juga sebelum ini telah membuat laporan ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan berlaku penyelewengan dalam urus tadbir Felda sehingga menyebabkan kemerosotan rizab tunai agensi kerajaan itu.

Zunar & Malaysiakini Fail Saman Cabar KDN

1 Zunar BookOleh Jamilah Kamarudin


KUALA LUMPUR: Kartunis politik Zunar dan portal web berita Malaysiakini hari ini memfailkan saman mencabar keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mengharamkan dua buku kompilasi karya kartun "1 Funny Malaysia" dan" Perak Darul Kartun".

Dua permohonan itu difailkan berasingan melalui Tetuan Azzat dan Izzat di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi disini kira-kira dua petang tadi.

Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Ulhaque, 43, dan Malaysiakini dalam saman itu menamakan KDN dan Timbalannya Datuk Wira Abu Seman Yusop sebagai responden.

Tindakan KDN yang mengharamkan buku tersebut pada 17 Jun lalu dicabar atas alasan pengharaman itu tidak sah dan bertentangan dengan hak kebebasan bersuara yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Pengharaman itu juga dicabar atas alasan tidak sah kerana bersifat ultra vires ( tidak terdapat dalam skop atau bidang kuasa) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (1984) memandangkan buku tersebut tidak mengancam ketenteraman awam.

Berikutan itu, Zunar dan Malaysiakini dalam samannya memohon agar mahkamah membatalkan pengharaman ke atas kedua-dua buku tersebut.

Mereka juga memohon pengisyhtiharan bahawa pengharaman tersebut adalah tidak boleh diterima pakai dan tidak sah serta tidak boleh dikuatkuasa.

Kos ganti rugi dan kerosakan juga dituntut kerana tidak dapat menjual buku tersebut dipasaran.

Mereka diwakili peguam Edmund Boon Tai Soon, Amer Hamzah Arshad, Edward Saw, K Shanmuga, Aston Paiva dan Fahri Azzat. Salah guna kuasa oleh kerajaan (tajuk kecil)

Sementara itu, Zunar dan Ketua Pengarah Eksekutif Malaysiakini Premesh Chandran ketika ditemui pemberita diluar mahkamah berkata, pengharaman ini adalah satu bentuk penyalahgunaan kuasa oleh kerajaan untuk membisukan kritikan terhadap polisi kerajaan dan Perdana Menteri sekarang.

"Kami berpendapat pengharaman tersebut adalah percubaan kerajaan untuk mengekang hak kebebasan bersuara dan bertukar pendapat, sedangkan hak itu dijamin dalam Artikel 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Zunar berkata, "kami juga tidak diberitahu sebarang alasan mengenai pengharaman tersebut melainkan melalui kenyataan media bahawa buku itu mengancam ketenteraman awam.

"Kami juga tidak diberi peluang untuk memberi penjelasan sebelum pengharaman dibuat," katanya.

1Funny Malaysia adalah koleksi karya pilihan kartun Zunar yang tersiar dalam ruangan Cartoonkini dalam Malaysiakini daripada tahun 2005 hingga 2009.

Manakala Perak Darul Kartun adalah buku terbitan syarikat yang dimiliki Zunar sendiri, Sepakat Efektif Sdn Bhd menampilkan karya Zunar bersama beberapa kartunis dan penulis tempatan.

"Oleh kerana kedua-dua buku tersebut adalah berbeza dan diterbitkan oleh dua syarikat yang berbeza, kami dinasihatkan untuk memfailkan dua semakan kehakiman yang berasingan," kata Zunar.

Sejauhmana Kebenaran Pegawai Kerajaan Boleh Sabotaj Kerajaan Kedah?


ALOR SETAR - Ada pegawai Kerajaan Negeri didakwa enggan bekerjasama dengan wakil rakyat Pakatan Rakyat (PR) kerana bersikap pro-UMNO dan cuba mensabotaj Kerajaan Pakatan Rakyat (PR).

Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kedah, Wan Salleh Wan Isa berkata, pegawai ini juga dikenal pasti aktif berpolitik secara senyap sekalipun menyedari tindakan itu melanggar etika penjawat awam.

Wan Salleh berkata, kerenah birokrasi yang dihadapinya sewaktu menjadi wakil Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) angkat kawasan Kuah, Langkawi sebelum ini, turut membelenggu wakil rakyat PR di negeri ini.

“Jika masalah ini tidak diberi perhatian, saya bimbang wakil rakyat PR akan terus menjadi mangsa sabotaj pegawai pro-UMNO ini kerana mereka seolah-olah ada agenda tertentu untuk menjatuhkan PR.

“Saya ada terima maklumat kumpulan ini menerima arahan daripada orang tertentu untuk memporak-perandakan PR,” katanya.

Wan Salleh berkata, pegawai kerajaan perlu mengenepikan sentimen politik untuk bekerjasama dengan Kerajaan Negeri bagi memastikan proses pentadbiran berjalan lancar dan berkesan.

Menurutnya, sekiranya masalah sentimen politik ini berlarutan, beliau bimbang rakyat yang akan menjadi mangsa.

“Sebagai contoh, sebelum ini saya menerima peruntukan wakil ADUN sebanyak RM200,000 daripada Kerajaan Negeri untuk menyelesaikan permasalahan kawasan Kuah, Langkawi.

“Bagaimanapun, saya hairan dengan sikap pegawai terlibat yang seakan cuba menyulitkan urusan saya untuk menggunakan peruntukan itu dengan pelbagai cara, sedangkan permohonan saya sebelum itu diluluskan Pejabat Menteri Besar Kedah dan Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN).

“Sikap seperti ini jika dibiarkan akan menganiaya rakyat kerana peruntukan itu digunakan untuk rakyat,” katanya.

Ditanya mengenai pelawaan Ketua UMNO Bahagian Langkawi, Datuk Ir Nawawi Ahmad supaya beliau masuk UMNO, Wan Salleh menolak.

“Saya letak jawatan wakil ADUN Angkat kerana tak tahan dengan kerenah pegawai pro-UMNO, bukan tidak puas hati dengan Kerajaan Negeri,” katanya.

-[Sinar Harian]

34 pelajar MRSM Pendang Disyaki H1N1 Beransur Pulih


ALOR SETAR: Seramai 34 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pendang yang disyaki dijangkiti Influenza A (H1N1) sejak minggu lepas kini dilaporkan beransur pulih dan keadaan mereka tidak membimbangkan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Kedah, Dr Marzukhi Mat Isa berkata keadaan pelajar berkenaan hampir kembali normal dan mereka dijangka bebas dari simpton tersebut tidak lama lagi.

"Pejabat Kesihatan Daerah Pendang bagaimanapun diarahkan untuk terus memantau perkembangan itu dan MRSM tersebut telah dibenarkan untuk beroperasi seperti biasa," katanya.

Para pelajar tersebut disyaki mengidap H1N1 selepas didapati mengalami demam panas yang kuat dan sakit tekak yang teruk dan hasil kajian sampel darah dan kahak yang diambil daripada keseluruhan 78 pelajar, 34 daripada mereka disyaki mempunyai simptom H1N1.

Pelajar terbabit dikuarantin di asrama sekolah manakala yang tinggal berdekatan dibenarkan pulang dan dikuarantin di rumah.

- BERNAMA

Umno Tetap Mahu Jalin Kerjasama Perpaduan Dengan PAS Meskipun Ditolak..Apa Pulak Muslihat Umno?? Bersungguh Sangat La Pulak....


KUALA LUMPUR, 26 Julai — Usaha Umno untuk menjalinkan perpaduan bersama PAS tidak akan dihentikan meskipun mendapat tentangan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Ketua Penerangannya Datuk Ahmad Maslan berkata ini kerana Umno yakin masih terdapat kumpulan tertentu dalam PAS yang menyokong usaha berkenaan.

“Nik Abdul Aziz boleh cakap apa saja tapi dalam PAS itu ada juga kumpulan-kumpulan tertentu. Sebagaimana orang maklum, PAS ini bukannya semua berkisar pada Nik Abdul Aziz saja,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar Pengurus Felda 2010 di Dewan Perdana Felda, di sini hari ini.

Ahmad (gambar) yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata PAS tidak bergantung kepada kepimpinan Nik Abdul Aziz semata-mata kerana masih ada pemimpin lain termasuk presiden, timbalan presiden dan jawatankuasa tertinggi parti.

“...tentunya mereka mempunyai pandangan tertentu yang saya kira mungkin menyokong cadangan kita,” katanya ketika mengulas kenyataan Nik Abdul Aziz yang sekali lagi menolak cadangan tersebut.

Malah Menteri Besar Kelantan itu juga dilapor berkata sekiranya perlu kepada perbincangan hanya beliau sahaja akan mewakili PAS.

Ahmad berkata pemimpin utama Umno sentiasa positif mengenai tujuan usaha itu kerana mereka meletakkan kebajikan umat Islam sebagai keutamaan.

Beliau bagaimanapun bersetuju dengan kenyataan Nik Abdul Aziz bahawa tidak perlu orang tengah dan sebarang syarat sekiranya pertemuan tersebut diadakan

“Daripada segi perjumpaan memang saya kira tak perlu ada syarat dan tak perlu ada orang tengah. Kalau perjumpaan antara pucuk pimpinan itu tak perlu kepada keduanya. Nak bincang apa sekalipun terpulanglah,” katanya.

— Bernama

Tak Perlu Saman Harussani : Pas Selangor


PAS Selangor berpendapat pihaknya tidak perlu menyaman mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria berhubung isu kerjasama PAS-Umno, kata ketua penerangannya.

Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, kontroversi pertemuan pesuruhjayanya Datuk Hasan Ali dengan Harussani tidak pernah menjadi isu bagi PAS dan gabungan pembangkang di negeri itu.

"Penjelasan Datuk Hassan itu dengan sendirinya membersihkan namanya. Saya rasa isu saman ini tidak relevan," katanya.

Semalam Hasan
diminta mengambil tindakan undang-undang terhadap Harussani ekoran dakwaannya bahawa pemimpin PAS itu telah menemuinya untuk membincangkan kerjasama politik PAS-Umno.

Perkara itu timbul dalam majlis
munaqasah (perbincangan) PAS negeri itu di dewan auditorium MBSA di Shah Alam semalam, demikian menurut ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

Pertikaian Antara SDO Dan Ketua Menteri P. Pinang: KM P. Pinang Failkan Saman Malu Terhadap Utusan

Lim Guan Eng akan memfailkan saman malu terhadap Utusan Malaysia atas laporan berhubung pertikaian di antara ketua menteri Pulau Pinang itu dengan pegawai kemajuan negerinya Nik Ali Mat Yunus.

Sehubungan iti, Lim melantik Karpal Singh yang juga ahli parlimen Bukit Gelugor untuk mewakilinya dalam tindakan saman malu bagi dua laporan yang disiarkan Utusan Malaysia pada 23 dan 24 Julai lalu.

Karpal dalam satu kenyataan hari ini menyifatkan laporan tersebut sebagai satu "kenyataan palsu dan pembohongan."

Berhubung aduan yang Nik Ali tidak menyediakan tempat duduk sewaktu satu majlis rasmi di Pulau Pinang pada Oktober 2009,
Utusan Malaysia dalam laporan tersebut menggambarkan ketua menteri itu berbohong - dengan menyiarkan satu foto yang menunjukkan Lim duduk di sebelah menteri di jabatan perdana menteri Datuk Nor Mohamed Yakcop di kerusi kenamaan di majlis tersebut.

Namun, Karpal berkata dakwaan bahawa Lim telah menggunakan perkataan "lidah biawak" dalam itu juga merupakan satu penipuan kerana isu berkaitan penyediaan kerusi itu tidak disebut oleh Lim, tetapi sengaja ditimbulkan oleh Nik Ali

"(Laporan itu) menyatakan bahawa Lim telah menggelarkan pegawai kemajuan negeri (SDO) Nik Ali Mat Yunus dengan panggilan biadap kerana mendakwa Nik Ali tidak menyediakan tempat duduk semasa Majlis Naik Taraf Perkhidmatan Bukit Benderea pada 20 Oktober 2009.

"Perkara tidak dapat tempat duduk ini tidak dibangkitkan oleh Lim. Sebaliknya ia dibangkitkan sendiri oleh Nik Ali, semata-mata untuk mengalihkan perhatian orang ramai tentang kegagalan Nik Ali menjalankan tugas dengan cekap dan professional," kata Karpal.

Jelasnya, isu yang cuba dielakkan oleh Nik Ali ialah berkaitan "kehilangan RM150,000" berpunca daripada pembinaan satu pintu gerbang di Taman Kebun Bunga yang akhirnya dirobohkan.

Karpal berkata, Nik Ali juga ingin mengalihkan perhatian daripada isu kecurian pasir di Politeknik Balik Pulau dengan menimbulkan isu penyediaan kerusi.

"Isu kecurian pasir di Politeknik Balik Pulau adalah tanggungjawab kerajaan Persekutuan kerana tapak tersebut merupakan tanah milikannya dan tiada tindakan pencegahan diambil sungguhpun kecurian bermula sejak tahun 2002.

Katanya lagi, Nik Ali juga bertindak tanpa menghormati kerajaan negeri apabila menjalankan projek kerajaan persekutuan tanpa memohon kebenaran daripada majlis kerajaan tempatan.

"Oleh kerana kegagalan menangani ketiga-tiga isu tersebut, Lim telah menyelar Nik Ali sebagai 'little napoleon' dan kesal (apabila) ketua setiausaha negara bersedia menyokong Nik Ali (dengan) menggunakan perkataan kesat seperti 'biadap' dan 'dayus' terhadap ketua menteri dalam sidang akhbar yang dianjurkan ADUN Umno," katanya lagi.

Karpal turut memberi ingatan kepada Nik Ali yang menikmati kadar sewa bagi banglo kerajaan negeri sebagai kediaman peribadinya dengan kadar serendah 10 peratus daripada kadar pasaran.

Namun, Karpal tidak menjelaskan sama ada kemudahan tersebut akan ditarik balik.

Pengambilan Minuman '3-in-1' Perlu Dikawal, Jika Berlebihan Mudarat Kesihatan

Penggunaan produk minuman '3-in-1' yang kini menjadi pilihan kebanyakan masyarakat perlu dikawal pengambilannya kerana ia boleh memudaratkan kesihatan jika diambil secara berlebihan.

Pensyarah Jabatan Pemakanan dan Dietetik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Roslee Rajikan berkata pengguna perlu bijak membuat pilihan dengan melihat label nutrien atau zat makanan pada produk berkenaan.

"Jika ambil produk ini sekali sekala tanpa berlebihan saya rasa tidak timbul masalah. Tetapi jika sehari lima hingga enam kali, mungkin boleh timbul masalah," katanya semasa ditemubual Zulkifli Bujang dalam program Kerusi Panas di Radio 24.

Dr Roslee berkata pengguna tidak boleh mengawal pengambilan gula dengan pengambilan minuman 3-in-1, berbanding jika menyediakan sendiri minuman.

Menurut kajian Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), rakyat negara ini mengambil secara purata 26 sudu teh gula setiap hari, iaitu tiga kali ganda lebih tinggi daripada saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Dr Roslee berkata untuk mendidik masyarakat mengurangkan pengambilan gula bukan satu perkara mudah meskipun pelbagai kempen diadakan untuk menyedarkan masyarakat.

"Tetapi ramai juga orang yang telah mempunyai kesedaran telah beralih kepada corak pengambilan yang lebih baik. Dulu tidak pernah dengar teh tarik kurang manis dan teh O kurang manis. Tetapi sekarang sudah jadi perkara biasa," katanya.

Dr Roslee berkata meskipun kerajaan menambah bekalan gula sebanyak 15 peratus daripada biasa sebagai persediaan menyambut perayaan, orang ramai perlu bijak mengawal penggunaannya.

Beliau juga menasihatkan individu yang mempunyai ibu bapa atau keluarga yang menghidap diabetis supaya mengawal pengambilan gula dan mengamalkan pemakanan sihat bagi mengurangkan risiko menghidap penyakit yang sama.

"Memang ada sedikit pengaruh genetik kepada perkembangan penyakit ini. Tetapi kita tidak boleh menyalahkan ibu bapa (yang menghidap diabetis) sedangkan kita mempunyai keupayaan untuk mengubah cara hidup terutama pengambilan makanan yang sihat serta bersenam," katanya.

- Bernama

RM15 juta Untuk 'Perang' Info Kerajaan Selangor

Untuk melawan porpaganda BN dan laporan media arus perdana yang didakwa memihak, kerajaan Selangor memutuskan untuk memperuntukkan RM15 juta untuk mempertingkat keperkesanan penyampaiaan maklumatnya.

"Jika kita mengambil kita populasi 5.2 juta rakyat Selangor, jumlah ini bersamaan RM3 untuk setiap seorang," kata Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim pagi ini dalam ucapan pembukaan dialog belanjawan 2010.

Katanya tindakan itu diambil bagi memberikan lebih maklumat supaya rakyat dapat membuat keputusan lebih bijaksana.

Dana itu akan digunakan untuk menyebarkan maklumat melalui portal
TVSelangor, Selangor Kini (termasuk versi cetak).

Tembalan Menteri Pelajaran II Bidas Cadangan KM Melaka Yang Amat Tidak Praktikal Wujudkan Sekolah Perempuan Zina

PONTIAN – Cadangan Ketua Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang ingin menubuhkan sebuah sekolah khas untuk pelajar perempuan yang mengandung akibat terlanjur disifatkan sebagai cadangan mengarut dan pelik.

Timbalan Menteri Pelajaran II, Mohd Puad Zarkashi berkata, cadangan tersebut sebenarnya amat tidak praktikal untuk dilaksanakan kerana ia seolah-olah menggalakkan lagi pelajar perempuan untuk mengandung pada usia muda.

“Saya hairan dan pelik bagaimana cadangan ini boleh dikeluarkan oleh beliau, sepatutnya untuk menyelesaikan masalah ini adalah dengan memberi motivasi, kaunseling dan kesedaran kepada semua pelajar.

“Bagi saya jalan penyelesaian yang terbaik adalah dengan mendidik pelajar-pelajar ini bermula dari rumah dan sekolah mengenai moral,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tan Sri Osman Mohd Saat di sini, semalam.

Mohd Puad turut menegur pemberian RM500 kepada pasangan muda untuk majlis perkahwinan kecil-kecilan yang dianggap tidak sesuai kerana golongan itu seharusnya dididik memahami dan mengenal dahulu hubungan rumah tangga sebelum bersedia untuk berkahwin.

Sementara itu, seorang lagi Timbalan Menteri Pelajaran I, Datuk Wee Ka Siong menyifatkan cadangan Mohd Ali sebagai tidak relevan kerana jumlah pelajar perempuan yang mengandung adalah tidak cukup besar sehingga mewujudkan sekolah khas bagi mereka..

“Keprihatinan Ketua Menteri Melaka memang cukup baik, tapi saya tidak fikir cadangan ini sesuai," katanya.

Orang tengah Perpaduan UMNO - PAS Ibarat 'Hidung Tak Mancung, Pipi Tersorong-sorong' - TGNA

KUALA TERENGGANU 25 Julai - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan sesiapa sahaja yang cuba menjadi orang tengah untuk parti itu mengadakan perbincangan dengan UMNO sebagai 'hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong'.

Tegas beliau, Pas tidak memerlukan peranan sesiapa untuk menjadi orang tengah sekiranya parti itu mahu berbuat demikian.

"Ada orang hendak menjadi orang tengah, (usah) mimpi.., kalau saya mahu, saya boleh jumpa Perdana Menteri sendiri, tak perlu orang tengah," katanya.

Namun katanya, tiada sebab untuk Pas berunding dan cadangan seumpama itu tidak pernah digerakkan oleh Pas tetapi oleh pihak lain.

Ketika menyampaikan ceramah dalam program anjuran Pas Kuala Terengganu di sini malam tadi beliau membayangkan usaha ke arah 'penyatuan Melayu' melalui kerjasama dengan UMNO tidak akan menjadi kenyataan kerana Pas tidak akan terus diperbodohkan lagi.

Sebelum ini Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, beliau mahu terus menyatupadukan orang Islam dan Melayu di negara ini walaupun terdapat pihak tidak menyenanginya.

Namun Harussani yang dikecam oleh pelbagai pihak dalam Pas dan penyokong parti itu berkata, beliau tidak pernah berputus asa demi mengekalkan kebaikan dan perpaduan umat Islam di negara ini.

Harussani dilaporkan berkata, terdapat pemimpin kedua-dua parti Melayu berkenaan yang datang berjumpa beliau baru-baru ini bagi membincang dan meminta pandangan beliau berhubung cara untuk menyatupadukan kedua-dua parti tersebut.

Susulan itu, Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali hari ini mengakui ada menemui Harussani tetapi menafikan pertemuan mereka ada menyentuh soal kerjasama politik antara Pas dan UMNO.

Menurut Nik Aziz, apa yang digembar-gemburkan semula kini lebih kepada menjaga kepentingan UMNO dan bukan menjaga kepentingan masa depan Melayu.

Bagi menjaga kepentingan Melayu, katanya, Pas lebih berkemampuan kerana ia merangkumi kehidupan di dunia dan akhirat.

Beliau terus dengan pendirian yang telah dicapai parti itu pada muktamar-muktamar tahunan mereka sejak 2008 bahawa Pas tidak akan menjalin kerjasama politik dengan UMNO.
Malah Nik Aziz tetap menolak sebarang perbincangan ke arah kerjasama dengan UMNO kerana menganggap parti itu telah menyimpang daripada perjuangan Islam.

Katanya, UMNO terus menunjukkan minat mahu membincangkan kerjasama dengan Pas selepas menyedari kedudukannya menjadi lemah pada Pilihan Raya Umum Ke-12 dua tahun lalu.

"Bila dah kalah baru cari kawan, selepas 13 Mei, (Allahyarham) Tun Abdul Razak panggil Datuk Asri (Presiden Pas) berunding, kami ingat ikhlas dan saya adalah orang yang paling kuat menyokong Pas masuk Barisan Nasional.

"Rupa-rupanya bila kenyang, bila sudah gemuk, dia gigit, tendang kita, dia orang (menulis) Pas keluar (BN). Tak betul, mengarutlah, bukan keluar tetapi ditendang," katanya.

Pas menyertai BN pada 1974 dan kerjasama itu berakhir empat tahun kemudian.

Ketua Pengarah JPA disebut bakal ganti KSN Mohd Sidek

Kontrak Sidek dijadualkan berakhir 23 Jun 2011. — gambar fail

KUALA LUMPUR, 26 Julai — Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam yang baru dilantik, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah disebut-sebut bakal menggantikan Tan Sri Mohd Sidek Hassan yang kontraknya sebagai Ketua Setiausaha Negara akan berakhir dalam 11 bulan lagi.

Mohd Sidek disambung kontrak setahun lagi sehingga 23 Jun 2011 selepas mencatatkan rekod keberkesanan perkhidmatan kerajaan sebagai “cap dagangan” sepanjang kepimpinannya selama empat tahun lalu.

Bagaimanapun difahamkan perang mulut dengan Ketua Menteri Lim Guan Eng berhubung kritikan pegawai persekutuan terhadap Setiausaha Agung DAP itu, mula menjejaskan keberkesanan kepimpinan ketua kakitangan awam ini.

Malah difahamkan, gesaan beliau berhubung inisiatif sistem penyampaian perkhidmatan awam telah menjadikannya sangat tidak popular di kalangan rakan-rakannya dalam tenaga kerja sektor awam sekarang yang jumlahnya kira-kira 1.2 juta orang.

Mohd Sidek, 59, yang menceburi perkhidmatan awam pada 1974, memiliki ijazah sarjana dalam jurusan Pentadbiran Perniagaan dari New Hampshire College, Amerika Syarikat, dan pernah berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti).

Beliau dilantik sebagai Ketua Setiausaha Negara pada 3 September 2006 dan memegang jawatan itu sehingga tempoh persaraan wajab 56 tahun pada 23 Jun 2007.

The Malaysian Insider difahamkan Mohd Sidek mahu Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Mohd Zain Mohd Dom menjadi penggantinya.

Mohd Zain merupakan setiausaha rendah dan penolong pengarah kanan di Bahagian Perdagangan Antarabangsa semasa Mohd Sidek merupakan Ketua Setiausaha MITI.

Bagaimanapun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dilihat memihak pemilihan Abu Bakar sebagai bakal pengganti tempat Mohd Sidek.

Abu Bakar, 55, dilantik sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam menggantikan Tan Sri Ismail Adam, 60, pada 1 Julai lalu.

Beliau merupakan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan ketika Najib menerajui kementerian itu.

Kepimpinan Najib menerajui kementerian itu telah diselubungi beberapa kontroversi termasuk tender pembelian Eurocopter dan kapal selam Scorpene serta kejadian kehilangan dua enjin jet pejuang TUDM.

Pesara-pesara pegawai kanan kerajaan lazimnya akan ditawarkan dengan jawatan tertinggi dalam syarikat berkaitan dengan kerajaan, selain dilantik mengetuai agensi-agensi kerajaan atau dilantik sebagai diplomat.

Video Ucapan Penuh: Kehebatan Ezam Memutarbelit Fakta di Taman Sri Andalas La Pula..

Bahagian 1

Bahagian 2

Bahagian 3

Bahagian 4


Bekas setiausaha politik Datuk Seri Anwar Ibrahim, Senator Ezam Mohd Nor mengajak rakyat Selangor "menyahkan" ketua umum PKR itu daripada menjadi penasihat ekonomi negeri Selangor.

Ezam mendakwa ketua pembangkang itu menjadi "pengkhianat" kepada negara kerana didakwa "menjadi alat dan perkakas kepada Yahudi".

ezam save selangor"Tidak pernah ada pemimpin di Malaysia yang buat kerja, sanggup jadi pengkhianat, alat dan perkakas Yahudi," katanya dalam ceramah "Gelombang Selamatkan Selangor" di Pelabuhan Kelang malam tadi.

Dalam ucapannya, Ezam mendakwa bekas bosnya itu "bersekongkol dengan Yahudi" apabila memohon maaf selepas mengetuai lebih 10 ribu rakyat Malaysia membantah serangan Israel ke atas flotila bantuan ke Gaza, pada Jun lalu.

"Di Malaysia, dia digambarkan hebat, lawan Yahudi. Di luar, dia tunduk dengan Yahudi.

"Di Kedutaan Amerika, dia serang Yahudi. Dia kata Amerika jangan bersekongkol dengan Yahudi.

"Dua minggu lepas itu, dia (Anwar) pergi ke Washington. Dia minta maaf, dia melutut... (Berita itu) keluar dalam
Washington Post. Ia akhbar Yahudi yang berpengaruh," katanya.

save selangor crowdKira-kira 500 orang menghadiri ceramah tersebut di padang bola berdekatan bilik gerakan Umno di Sri Pendamar, Pelabuhan Kelang.

Turut hadir ialah Ketua Umno bahagian Kelang Datuk Mazlinoor Abdul Latiff, Exco Pemuda Umno Lokman Adam dan pemimpin parti komponen BN bahagian Kelang.

Dalam ucapannya juga, Ezam mendakwa Anwar pernah menolong rakannya Paul Wolfowitz yang dikatakan mempunyai skandal dengan seorang pekerja wanita di Bank Dunia.

"Anwar tulis surat, dia (Anwar) kata, perempuan itu tidak kerja dengan Wolfowitz, tapi kerja dengan saya (Anwar).

"Inilah Anwar, manusia dan pengkhianat. Mana maruah (kita) sebagai rakyat Selangor," kata Ezam.

Sehubungan itu, Ezam yang juga bekas ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggesa rakyat Selangor bangkit dan menyerang Anwar habis-habisan.

"Kalau kita ada maruah, seharusnya kita bangkit mempertahankan kedaulatan (negari kita) dan menyahkan Anwar Ibrahim dari negeri Selangor," katanya.

Menurutnya lagi, beliau juga tidak akan berdiam diri dan akan berjuang habis-habisan untuk menyerang Anwar.

Dalam ucapannya juga, Ezam turut menafikan dakwaan beliau menyertai Umno kerana "habuan".

Sebaliknya, beliau meninggalkan PKR "hanya semata-mata kerana prinsipnya".

"Saya bukan pelacur politik. Orang kata, saya kena bayar untuk buat keputusan (sertai Umno). Bukan kerana duit. Saya tak dapat satu sen atau dua juta. Tak ada," katanya.

Sebelum mengakhiri ucapannya, beliau juga mengajak rakyat Selangor agar mempertahankan hasil-mahsul negeri itu daripada "dirobek-robek" oleh "orang yang tidak ada prinsip, yang rakus dan ada cita-cita politik".

lokman adam save selangor"BN ada rekod membina negara ini. Kita pertahankan apa yang dibina oleh pemimpin sebelum ini, bukan Pakatan Rakyat.

"Kita harus ada keberanian untuk mempertahankan negeri ini," katanya.

Dalam majlis yang sama, Lokman pula berkata kekalahan Umno dan BN dalam pilihan raya umum yang lalu adalah "satu teguran rakyat" kepada parti itu.

"Kalau rakyat tegur, ada yang kita buat salah. Selepas pilihan raya 2004, kita lalai dan alpa, mungkin tutur kata kita mengguris hati rakyat. Rakyat tak suka (apa) kita buat," katanya.

Menurutnya, teguran rakyat itu menyebabkan kekalahan BN di lima buah negeri pada pilihan raya 2008.

"Tapi kita tak kata rakyat tidak mengenang budi. Datuk Seri Najib memberi arahan supaya buat post mortem, kaji silap kita," katanya.

Sehubungan itu, katanya, perdana menteri menerapkan gagasan 1Malaysia dan lapan nilai murni bagi mengembalikan sokongan rakyat kepada BN.

save selangor campaign pampletManakala Mazlinoor pula memberikan ucapan ringkas bahawa majlis seumpama itu akan diteruskan di kawasan lain di bahagian tersebut dengan memanggil lebih ramai bekas pemimpin PKR berceramah bagi menerangkan "pengkhianatan dan penyelewengan" PKR.

Beliau juga menjelaskan Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar yang dijadual menyampaikan ceramah dalam majlis tersebut, tidak dapat hadir.

Ini kerana, kata Mazlinoor, menteri pertanian dan asas tani itu menghadiri "mesyuarat tergempar" dengan Najib yang juga pengerusi perhubungan Umno Selangor.

Selepas majlis itu berakhir, Malaysiakini mendapati petugas parti mengedarkan kepada orang ramai yang lalu lalang, satu risalah dua muka.

pamplet save selangorRisalah itu yang berupa karikatur berhubung dakwaan isu pasir yang berlaku di Selangor yang bertajuk "Kebas Sebelum Selangor Berubah" dan "Korek Selangor Sampai Berlubang" sebagai sindiran kepada Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB).

KSSB adalah sebuah syarikat di bawah perbadanan Menteri Besar yang menguruskan urusan pasir di negeri itu.

Manakala satu lagi muka, tertulis "PasiR: Rompakan Pasir di Dengkil", yang berlatarbelakangkan beberapa jentera pengorek sedang mengorek pasir.

Siapa Yang Hipokrit Salentia Atau Nik Aziz?

BANYAK orang yang minta Murai supaya tidak pedulikan Salentia. Kata mereka buat apa disebut-sebut lagi speacis busuk itu. Lebih baik Murai tulis dan bercerita hal lain. Buang masa saja. Tetapi Murai ingin sebutkan, Murai tetap berkicau selagi Salentia berkokok. Menjadi kewajiban Murai memantau ke mana Salentia dan menjelaskan erti kokokan sumbangnya itu.

Semalam Murai dengar lagi si Salentia ini berkokok. Kali ini dia berkokok di Bachok, Kelantan. Dia menyifatkan Nik Aziz Nik Mat sebagai hipokrit kerana menolak kerjasama Umno dengan Pas. Salentia juga kata Nik Aziz berdendam?

Murai tidak mahu cakap panjang-panjang. Cuma Murai nak tanya siapa sebenarnya yang hipokrit atau menjadi talam dua muka. Nik Aziz atau Salentia. Salentia kena ingat siapa yang memberi izin kepadanya menggunakan lambang Pas untuk bertanding dalam pilihan raya. Apakah Abdullah, Najib atau Mahathir. Bukankan Nik Aziz yang memberi keizinan itu.

Ketika itu Salentia berjanji hendak menyokong parti Nik Aziz. Salentia kalaupun tidak melutut tetapi hampir tercium lutut Nik Aziz pada saat merayu kepada MB itu. Salentia kalaupun tidak menangis tetapi hampir-hampir menangis. Salentia rai dan sanjung Nik Aziz macam penganut Budha rai dan sanjung Tok Pekong. Murai tidak tahu apakah Salentia sempat minta Nik Aziz ikat serban ataupun pilih jubah untuk dipakai ketika atas pentas Pas.

Tetapi lagaknya hampir-hampir begitulah. Murai tenguk dengan mata kepala sendiri. Tidak kurang 22 kali Salentia mencium tangan Nik Aziz, srupppp... macam hirup tea tarik.

Bila menang Salentia lari, lompat plup... ke dalam lubuk tahi semula. Percitakan air busuknya terkena di kain sembahyang banyak orang. Sambil berkokok menghina dan mengejek Nik Aziz. Malas Murai nak turunkan segala ejekan itu. Jadi di sini sipakah sebenarnya yang hipokrti. Siapa yang jadi talam dua muka. Siapa yang berak kemudian leset tahi di muka sendiri. Nik Aziz ke Salentia?

Bukan setakat beri lambang Pas saja, Nik Aziz juga beri projek kepada Salentia. Nik Aziz korbankan orang Pas sendiri kerana meraikan Salentia. Nik Aziz sanggup kena marah kerana pertahankan Salentia. Alih-alih Salentia buat tahi. Jadi siapa yang berakhlak tinggi dan berbudi bahasa di sini. Nik Azizkah atau Salentia. Siapa yang menjadi kacang lupakan kulit disini, yang tidak mengenang budi. Nik Azizkah atau Salentia?

Salentina juga semasa di Bachok kata Nik Aziz berdendam. Berdendam dengan siapa? Apakah kerana dia enggan kerjasama dengan Umno maka dia dikatakan berdendam. Nik Aziz ada alasan sendiri kalau dia enggan bawa partinya bekerjasama dengan Umno. Dia sudah serit, itulah alasannya.

Bagi Nik Aziz yang ada pegangan dan prnsip tidak akan mudah mengalih pegangan dan prinsipnya. Dia tidak macam Salentia yang boleh ubah janji dan prinsip 77 kali dalam seminggu, 17 kali dalam sebulan dan 7 kali dalam sehari. Mempertahankan prinsip bukan dendam namanya. Melanggar prinsip jahat dan jahil namanya. Nik Aziz bukan jenis ayam berbulu balik? Tahu berbuluh balik? Tak...

Berkata lagi Salentia yang Nik Aziz tidak mahu menyatukan Melayu. Kenapa Salentia nak susah kalau Nik Aziz tidak nak satukan Melayu. Bukankah dia sudah kata dia tidak yakin kepada Melayu tetapi yakin kepada Islam. Dia hanya menerima perpaduan itu menerusi Islam. Islam saja yang dapat menyatukan ummah. Salentia kena menghormat falsafah dan politiknya. Murai juga tidak setuju dengan pandangan Nik Aziz begitu, tetapi Murai hormat bila dia berbuat begitu. Kita kena hormat prinsip orang lain kalau kita mahu orang lain menghormati prinsip kita.

Apakah kisahnya kalau Nik Aziz tidak mahu satukan Melayu, kan Salentia sudah ada. Kalau kita rasa pandai, rasa bijak dan rasa hebat kitalah yang satukan Melayu? Jangan salahkan orang lain. Apakah kerana kita tidak mampu maka kita salahkan orang lain?

Murai nampak begitulah. Salentia cuba nak jadi hero, tetapi tidak pernah jadi, tetap juga jadi crook - penjahat dan pengacau. Dia cuba nak jadi macam Anwar Ibrahim tetapi tidak pernah jadi. Apa yang dilalui Anwar cuba dilakukan. Dia tengok orang ramai berdemostrasi menyokong Anwar dia juga mahukan orang Kelantan berdemontrasi menyokongnya. Alih yang hadir kira-kira 176 orang sahaja, termasuk seorang polis. Dia tengok keset dan VDC ceramah Anwar laku, dia juga buat begitu. Upah orang supaya buat keset ceramahnya, usahkan jual... bagi free pun orang tak ambil. Keset ceramah lakunya puluhan ribu.

Dia tengok orang mengusung Anwar, maka dia juga nak orang usung dia. Orang mengusung Anwar ribuan, yang usung dia hanya anak beranak dia sahaja. Ada dua tiga orang asing, pergi kerana selepas usung boleh makan nasi dagangan atau popia panas di stadium.

Kalau kita 'henelan' (gagah perkasa) kita jangan peduli orang. Kita buat, panggil dan kerah seluruh orang Melayu. Tetapi malangnya suara kita bukan suara keramat. Mulut kita bukan masin seperti Nik Aziz. Berkokok sampai air liur jadi basi pun hanya 360 orang saja yang hadir. Murai sudah bilang penyokong Salentia di Pasir Mas hanya tiga buah bas yang dipuungguh tiga kali sahaja. Ia tidak lebih dari 360 orang sahaja. Ke mana majlis Salentia orang ini saja yang hadir. Sebab itu masa bertanding calon bebas wang pertaruhan Salentia hilang melayang.

Yang dikatakan ramai hanya bayang-bayang sahaja. Bayang-bayangan itu dibayangi pula oleh perasaan hebat Salentia. Apa boleh dimanfaatkan dan digunakan bayang-bayang, ia hanya boleh ditenguk tetapi tidak boleh disentuh. Maka begitulah juga kehebatan Salentia dan rasa henelan Salentia itu hanyalah bayang-bayang saja.

Selamanya hidup dan dunia Salentia tidak lebih bayang-bayang saja. Laungannya untuk jadi juara perpaduan Melayu juga bayang-bayang saja. Sudah hampir 40 tahun Salentia berjuang untuk bangsa dan negara semuanya hanya bayang-bayang saja. Kalau dia hebat sekurang-kurangnya dia sudah boleh jadi Ali Baba yang memilik sebuah gua untuk menjadi tempat kumpul barang curian. Tetapi malang habuk pun tadak... kehebatan yang dirasai hari ini hanya retorika yang dituat (dihalakan) ke speaker maka gemanya bunyi hebat walhal di dalamnya kosong!

Murai: Walaupun dibungkus sepuluh lapis dengan kertas sinar, Murai masih kenal itu adalah najis Salentia.


-MSO.

Sejauhmana Keintiman Remy Ishak Dengan Maya Karin...?? Apakah Ini Punca Keretakan Rumahtangga Maya???



SIBUK... Remy (kanan) dan Tis Zaqiyah kini giat menjalani penggambaran filem Nur Kasih.


KEINTIMAN pelakon kacak, Remy Ishak, 28, dengan aktres popular, Maya Karin sebelum ini dikatakan menjadi punca penceraian aktres tersebut dengan suaminya, Muhammad Ali Abdullah.

Keakraban mereka itu sering diperkatakan pihak media mahupun para peminatnya.

Setelah penceraian Maya dan suaminya disahkan pada 16 Julai lalu, penggiat media mula mendapatkan komen Remy namun dia gagal dihubungi.

Ketika mengunjungi lokasi penggambaran filem Nur Kasihbaru-baru ini di Tanjung Karang, Kuala Selangor, media menemui Remy untuk mendapatkan reaksi pelakon yang pernah dinobatkan sebagai Pelakon TV Lelaki Popular itu.

Menurut Remy, sikapnya yang berhati-hati tatkala menjawab soalan wartawan ketika diajukan hal berkaitan Maya menyebabkan isu itu dipanjangkan oleh sesetengah pihak.

Katanya, dia bukannya ingin mengelak, cuma itu menunjukkan dia tidak tahu menahu atau terlibat dengan isu keretakan rumah tangga bintang Pontianak Harum Sundal Malam itu.

"Kami rapat pun disebabkan kami diuruskan oleh pengurusan artis yang sama.

"Hubungan kami hanya sebagai kawan dan tidak lebih dari itu. Kami berjumpa pun jika ada majlis yang melibatkan kami berdua.

"Selain itu, kami memang jarang berjumpa. Malahan selepas penceraiannya disahkan, khabar Maya pun saya tidak berkesempatan untuk tahu apatah lagi untuk bertemu dengannya," jelasnya yang sibuk dengan penggambaran filem Nur Kasih.

Remy dan Maya kini diuruskan oleh Satu Management Sdn. Bhd. Namun, menurutnya, ia tidak bermakna mereka berpeluang untuk selalu berjumpa.

"Sudahlah, saya tak mahu diri saya dikaitkan dengan Maya lagi. Saya berlakon hanya untuk mencari rezeki untuk diri dan keluarga saya," jawab Remy tegas.

Walaupun ada cerita kurang enak yang sampai di telinganya, jujur dia menjawab, semua itu adalah di luar jangkaan.

"Memang saya tidak boleh menjangkakan apa yang bakal berlaku dalam kehidupan saya.

"Tujuan saya berlakon hanyalah untuk cari makan. Saya tidak pernah bersedia untuk menghadapi gosip sebegini.

"Melainkan kalau saya benar-benar melakukan kesilapan. Barulah saya tahu nak jawab," luahnya.

Hubungan Remy dan Maya dikatakan telah mula akrab sejak sama-sama terbabit dalam pementasan teater Natrah arahan Erma Fatima, November tahun lalu.

Ia ditambah pula apabila kemesraan mereka dilihat ketika hadir memeriahkan Anugerah Bintang Popular di Genting Highlands April lalu.

Pengganti Rosyam Nor?

Adat menjadi pelakon popular dan diminati ramai, aktor tampan itu ketika ini tidak menang tangan menerima tawaran berlakon.

Terbaru, dia akan membintangi sebuah telemovie sempena Aidilfitri yang bakal diarahkan oleh sutradara Erma Fatima.

Tidak ketinggalan, Remy juga sedang mengadakan perbincangan lanjut berhubung tawaran membintangi sebuah filem epik.

Biarpun enggan menjelas lanjut mengenai tawaran yang sudah lama dinantikannya, Remy akan mengumumkannya andai keputusan dicapai.

Beruntungnya Remy pada usia 28 tahun, dia membina kemasyhuran yang bukan sedikit.

Apatah lagi dalam iklim industri perfileman tanah air yang ketandusan pelakon lelaki yang memiliki karisma, kemampuannya diyakini ramai.

Pendek kata, Remy boleh ditabal sebagai aktor muda yang berjaya dalam waktu singkat.

Namun, apa yang membuatkan dia bimbang dan gusar apabila ada yang berpendapat, dia sudah berada di kemuncak kerjaya.

"Saya tidak mahu dianggap berada di kemuncak kerjaya. Sebaliknya, saya harus mengakui, kehidupan saya hari ini amat stabil. Tidak ada sebarang rungutan.

"Apa yang penting saya mahu bekerja keras untuk mencapai banyak lagi keinginan saya dalam bidang seni," tegas Remy.

Remy pada perbualan itu juga hanya mampu terdiam seketika kala ditanya reaksinya mengenai pandangan sesetengah pihak yang dia bakal pengganti Rosyam Nor.

"Saya tidak tahu untuk memberi reaksi yang bagaimana pada pandangan itu. Saya hanya mampu mengucapkan terima kasih yang bercakap begitu. Pada saya, itu satu tanggungjawab yang besar, bukan satu perkara yang perlu dibanggakan," jelasnya mengakhir perbualan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Murah Giler: Sapa Nak Order Klik Image

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.