KUALA LUMPUR: Kartunis politik Zunar dan portal web berita Malaysiakini hari ini memfailkan saman mencabar keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mengharamkan dua buku kompilasi karya kartun "1 Funny Malaysia" dan" Perak Darul Kartun".
Dua permohonan itu difailkan berasingan melalui Tetuan Azzat dan Izzat di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi disini kira-kira dua petang tadi.
Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Ulhaque, 43, dan Malaysiakini dalam saman itu menamakan KDN dan Timbalannya Datuk Wira Abu Seman Yusop sebagai responden.
Tindakan KDN yang mengharamkan buku tersebut pada 17 Jun lalu dicabar atas alasan pengharaman itu tidak sah dan bertentangan dengan hak kebebasan bersuara yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.
Pengharaman itu juga dicabar atas alasan tidak sah kerana bersifat ultra vires ( tidak terdapat dalam skop atau bidang kuasa) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (1984) memandangkan buku tersebut tidak mengancam ketenteraman awam.
Berikutan itu, Zunar dan Malaysiakini dalam samannya memohon agar mahkamah membatalkan pengharaman ke atas kedua-dua buku tersebut.
Mereka juga memohon pengisyhtiharan bahawa pengharaman tersebut adalah tidak boleh diterima pakai dan tidak sah serta tidak boleh dikuatkuasa.
Kos ganti rugi dan kerosakan juga dituntut kerana tidak dapat menjual buku tersebut dipasaran.
Mereka diwakili peguam Edmund Boon Tai Soon, Amer Hamzah Arshad, Edward Saw, K Shanmuga, Aston Paiva dan Fahri Azzat. Salah guna kuasa oleh kerajaan (tajuk kecil)
Sementara itu, Zunar dan Ketua Pengarah Eksekutif Malaysiakini Premesh Chandran ketika ditemui pemberita diluar mahkamah berkata, pengharaman ini adalah satu bentuk penyalahgunaan kuasa oleh kerajaan untuk membisukan kritikan terhadap polisi kerajaan dan Perdana Menteri sekarang.
"Kami berpendapat pengharaman tersebut adalah percubaan kerajaan untuk mengekang hak kebebasan bersuara dan bertukar pendapat, sedangkan hak itu dijamin dalam Artikel 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan.
Zunar berkata, "kami juga tidak diberitahu sebarang alasan mengenai pengharaman tersebut melainkan melalui kenyataan media bahawa buku itu mengancam ketenteraman awam.
"Kami juga tidak diberi peluang untuk memberi penjelasan sebelum pengharaman dibuat," katanya.
1Funny Malaysia adalah koleksi karya pilihan kartun Zunar yang tersiar dalam ruangan Cartoonkini dalam Malaysiakini daripada tahun 2005 hingga 2009.
Manakala Perak Darul Kartun adalah buku terbitan syarikat yang dimiliki Zunar sendiri, Sepakat Efektif Sdn Bhd menampilkan karya Zunar bersama beberapa kartunis dan penulis tempatan.
"Oleh kerana kedua-dua buku tersebut adalah berbeza dan diterbitkan oleh dua syarikat yang berbeza, kami dinasihatkan untuk memfailkan dua semakan kehakiman yang berasingan," kata Zunar.
0 comments:
Post a Comment