TERKINI DARI SEDAKASEJAHTERA.COM

Video Sidang Media PR - Pakatan Rakyat Gesa PM Najib "Patuhi Janji" Untuk Sediakan Stadium Kepada BERSIH 2.0

Pakatan Rakyat menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya "mematuhi janji" dengan menyediakan stadium kepada Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) dengan menyediakan sebuah stadium untuk perhimpunan Sabtu ini.



Sehubungan itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Pakatan Rakyat juga berdiri teguh dengan BERSIH 2.0 yang mahu mengadakan perhimpunan di Stadium Merdeka.
"Maklumat akhir, perdana menteri dan Kementerian Dalam Negeri sengaja memberi pelbagai alasan untuk tidak membenarkan stadium digunakan.

"Saya difahamkan BERSIH masih lagi merujuk kepada Najib supaya (beliau) mematuhi janji (dan) jaminan beliau untuk menyediakan stadium supaya BERSIH dapat menganjurkan majlis dengan teratur dan aman sepertimana semangat (ketika mengadap) dengan Yang di-Pertuan Agong.

"(Sebab itu) Kita menyokong tindakan keputusan BERSIH untuk meneruskan perhimpunan itu di Stadium Merdeka," kata Anwar yang juga ketua umum PKR.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas mesyuarat Majlis Pakatan Rakyat di Menara G di ibu negara petang ini.

Mengulas lanjut, Anwar berkata Pakatan Rakyat kesal dengan kenyataan dan "sikap keterlaluan" Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang didakwanya "nampak menyimpang dari semangat rundingan" BERSIH dengan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Anwar mendakwa Hishammuddin seolah-olah menganggap BERSIH sebagai pertubuhan haram walaupun selepas bertemu dengan Seri Paduka.

"Maknanya Yang di-Pertuan Agong memanggil pertubuhan haram, kemudian semangat rundingan diketepikan begitu sahaja," katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa Polis Diraja Malaysia supaya mengambilkira semangat pertemuan tersebut dan menasihati agar tidak mengeruhkan keadaan dengan membuat tangkapan khususnya terhadap ahli dan penyokong Pakatan Rakyat.

Turut hadir dalam sidang media itu, ialah timbalan presiden PAS Mohamad Sabu; setiausaha agung Datuk Mustafa Ali dan tokoh DAP, Lim Kit Siang.

Sementara itu, Lim berkata keputusan BERSIH untuk mengadakan perhimpunan di stadium merupakan "satu restu" daripada Seri Paduka dan dengan persetujuan daripada Najib.

"Kami berharap selepas pertemuan semalam, menteri dalam negeri dan polis mengambil inisiatif untuk mengawalselia perhimpunan itu," katanya.

Katanya, dengan tindakan tersebut, masyarakat dunia boleh melihat Malaysia sebagai sebuah demokrasi yang membenarkan rakyatnya mengamalkan hak asasi mereka.

Manakala Mohamad pula menyentuh tindakan polis yang didakwanya tidak mengambil tindakan terhadap kumpulan yang dikatakan "tidak dapat mengawal ahlinya" termasuk kejadian yang berlaku di Pulau Pinang baru-baru ini.

"Saya nampak polis tidak mengambil tindakan dan memberi amaran kepada kumpulan itu.

"Kita tidak nampak kenyataan pihak tertinggi polis, dan menteri dalam negeri untuk menghalang tindakan yang membuat kacau," katanya.

Sehubungan itu, katanya, beliau menggesa polis "menunjukkan kewibawaan dengan menjaga keselamatan rakyat, dan bukan menjaga pihak tertentu".

Ditanya sekiranya pihak Stadium Merdeka tidak membenar penggunaannya pada tarikh tersebut, Mohamad berkata pihak stadium mesti membenarkan kerana ia adalah "janji perdana menteri".

"Semangat rundingan BERSIH dengan Yang di-Pertuan Agong, pindah perarakan awal ke stadium. Disahkan oleh perdana menteri, apa alasan nak batal.

"Jaminan diberikan, ini dipersetujui BERSIH," katanya.

Ditanya bagaimana cara pemimpin Pakatan Rakyat untuk pergi ke stadium berkenaan, dengan kemungkinan wujudnya sekatan, Anwar dengan beseloroh berkata: "Kalau boleh dengan helikopter".

Lantas Mohamad mencelah: "Tiada sungai untuk kami renangi", menyebabkan kira-kira 25 wartawan dan jurugambar ketawa.

"Kita guna kebijaksanaan dan kemahiran masing-masing," kata Anwar meredakan keadaan.

Katanya, tempat terakhir pemimpin Pakatan Rakyat akan berhimpun adalah di dalam stadium pada tarikh tersebut.

Paparan Surat: Inilah Alasan Bila BERSIH akan Diadakan Di Stadium Merdeka


klik gambar untuk perbesar

KUALA LUMPUR, 6 Julai – Sekretariat Bersih 2.0 kecewa dengan alasan-alasan pengurusan Stadium Merdeka yang enggan menerima tempahan untuk pihaknya mengadakan himpunan di lokasi bersejarah itu hujung minggu ini.

Kenyataan yang diperoleh dari laman web Bersih 2.0 menyebut pegawai tempahan memberikan pelbagai alasan, antara lain akan diadakan acara sukan pengurusan dalaman dan kerja-kerja pengubahsuaian.

“Kami kecewa apabila mendapati pegawai tempahan mula memberikan beberapa alasan mengapa tempahan tidak boleh dibuat,” kata kenyataan itu.

Pagi tadi, kepimpinan Bersih 2.0 mengumumkan bahawa pihaknya akan mengadakan perhimpunan yang dirancang, berkaitan tuntutan pembaharuan sistem pilihan raya negara ini, Sabtu ini di Stadium Merderka di sini.

Kenyataan itu juga berkata sehingga pukul 12.30 tengah hari tadi, wakil Bersih 2.0 telah menghubungi pegawai tempahan Stadium Merdeka untuk membuat tindakan sepatutnya bagi menggunakan premis itu Sabtu ini.

“Ini dilakukan selaras dengan kesediaan tawaran Perdana Menteri (membenarkan stadium digunakan) dan disusuli dengan pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong (semalam),” kata kenyataan itu lagi.

Sehubungan itu kenyataan tersebut menambah, selari dengan aspirasi rakyat Bersih 2.0 berpendirian tegas bahawa, seiring sebahagian daripada perjanjian untuk mengadakan perhimpunan dalam stadium, satu lokasi yang menggambarkan skala dan kepusatan isu kepada rakyat Malaysia keseluruhan, mesti dipilih.

“Kami telah memutuskan bahawa Stadium Merdeka satu-satunya lokasi yang memenuhi krietria ini dan mengambil pendirian tegas bahawa untuk memperlihatkan keikhlasan dan kejujuran, perdana menteri sewajarnya menggunakan jasa baik beliau bagi kami menggunakan stadium ini dengan segera,” kata kenyataan itu lagi.

Malah tambah kenyataan itu, memandangkan hanya tinggal tiga hari lagi, satu keputusan segera berkenaan dengan lokasi perhimpunan adalah sangat penting.

Katanya, kelewatan dalam meluluskan pengguaan Stadium Merdeka akan dilihat sebagai sengaja melengah-lengahkan yang tidak boleh diterima dan “akan mengecewakan lagi gabungan” ini.

“Kami tidak ragu bahawa kepimpinan yang kuat di peringkat tinggi eksektif akan bertolak ansur dengan sebarang halangan prosedur dalam mempercepatkan kelulusan (menggunakan Stadium Merdeka),” kata kenyataan itu.

Inkues Kematian Ahmad Sarbaini : Saksi Beritahu Ada Orang Ganggu Rakaman CCTV, Kenapa Ini Berlaku?


KUALA LUMPUR, 6 Julai — Saksi ketiga inkues kematian Ahmad Sarbaini Mohamed memberitahu terdapat gangguan pada dua unit kamera litar tertutup (CCTV) pada hari penolong pengarah Kastam Diraja Malaysia itu ditemui mati di bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Juruanalisis bahagian audio dan video makmal forensik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras ASP Fauziah Che Ismail berkata, terdapat tiga perakam video digital (DVR) yang dianalisisnya, terdiri daripada rakaman antara pukul 8 hingga 11 pagi 6 April lalu.

“Hasil daripada analisis ketiga-tiga DVR ini, saya dapati DVR 1 dan DVR 2 pada tarikh 6 April tidak merakamkan apa-apa dari pukul 8 hingga 11 pagi.

“Bagaimanapun DVR 3, saya memperoleh rakaman imej si mati yang dirakamkan pada pukul 8.30 pagi,” kata beliau ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Nor Amalina Ismail.

Menurut Fauziah, tiga DVR tersebut merupakan alat perakam di tiga tempat berbeza iaitu DVR 1 dan 2 meliputi kamera dalam bangunan manakala DVR 3 memberi tumpuan ke atas kawasan luar bangunan SPRM.

Selain itu, Fauziah turut berkata, DVR 1 dan 2 tidak beroperasi secara normal dan rakaman turut “diganggu.”

“Terdapat dua gangguan terhadap DVR 1 dan 2 sehingga menyebabkan rakaman terhenti. Gangguan pertama pada DVR 1 pada 5 April pukul 14:17:52 (pukul 2.17 petang) sehingga 14:19:23 (2.19 petang) yang menyebabkan gangguan selama beberapa minit. Sama seperti DVR 2. Gangguan pertamanya hanya beberapa minit.

“Bagaimanapun bagi gangguan kedua, DVR 1 mula berhenti pada 5 April, pukul 14:47:15 (2.47 petang) hingga 6 April, 13:24:16 (1.24 tengah hari) iaitu selama 22 jam dan 33 minit. Sama seperti DVR 2 yang mengalami gangguan pada tarikh sama bermula pukul 14:37:54 (2.37 petang) hingga 13:26:17 (1.26 petang). Kesemuanya berpunca dari ‘record off manually’. Untuk DVR 3 tiada gangguan,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, DVR 3 hanya merakamkan imej Allahyarham Sarbaini memasuki bangunan SPRM dengan menunggang motosikal.

Turut dipaparkan beberapa minit rakaman video Allahyarham Sarbaini yang berhenti untuk membuat pendaftaran masuk di pondok pengawal SPRM dengan berbaju kemeja putih berseluar hitam.

Selepas itu, beliau dilihat memasukkan baju ke dalam seluar dan beredar dari pondok tersebut.

“Hanya dapat rakaman dia masuk. sahaja yang dapat dikesan,” katanya yang turut menambah rakaman video DVR 3 beroperasi secara manual antara 8 hingga 11 pagi pada 6 April.

Selain itu, ketika Fauziah ditanya oleh peguam pemerhati keluarga Sarbaini, Awtar Singh mengenai rakaman tersebut tidak beroperasi dengan sempurna, Fauziah menjawab: “Ya, ia diganggu oleh seseorang.”

Ahmad Sarbani, 56, yang bertugas di pejabat Kastam Pelabuhan Klang, ditemui mati di gelanggang badminton bangunan SPRM pada 6 April lalu.

Dia dilaporkan pergi ke pejabat itu secara sukarela untuk bertemu pegawai penyiasat SPRM berhubung siasatan kes rasuah yang membabitkan 62 pegawai kastam.

Turut hadir pada prosiding hari ini isteri Sarbani, Masiah Manap dan beberapa anggota keluarganya. IInkues yang bermula hari ini akan berlarutan sehingga 15 Julai ini.

Dalam pada itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur Mohamad Yusoff Akope berkata Allahyarham Sarbaini hadir di bangunan tersebut pada hari kejadian sebagai “tetamu.”

“Bagaimana dia dilayan pada hari kejadian? Adakah dia datang sebagai suspek atau seorang saksi,” soal Awtar.

“Pada hari kejadian, dia datang sebagai seorang tetamu,” kata Yusoff.

Yusoff merupakan saksi keempat inkues yang bermula Isnin lalu.

Dalam keterangannya Yusoff juga menafikan beliau ada menggunakan perkataan “rebah” ketika bercakap dengan Maziah.

“Saya tidak pernah menggunakan perkataan rebah. Saya memberitahu dia telah jatuh. Saya memberitahu dia apa yang saya katakan,” kata Yusoff lagi.

Maziah merupakan saksi pertama inkues dan telah memberikan keterangan pada Isnin lalu.


Bersih 2.0 : Inilah Kesan-kesannya Selepas Agong Sedia Jumpa Bersih Dan Himpunan Di Stadium

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Sekurang-kurangnya Buletin Utama TV3, malam 4 Julai lalu, tidak lagi dipenuhi momokan tentang "perhimpunan haram golongan pengacau" apabila wakil Bersih yang diketuai S Ambiga bersama A Samad Said dan Zaid Kamarudin diterima menghadap Yang di-Pertuan Agong pada sebelah petangnya, dan mereka bersedia mengadakan perhimpunan menuntut pilihan raya bersih dan adil di dalam stadium.

Kenyataan Perdana Menteri, Najib Razak pula dilihat lebih mendatar (berbanding malam sebelumnya di perhimpunan bulanan JPM), sambil menekankan: "Kita bersedia untuk berjumpa dengan pihak berkenaan bagi mengadakan (perhimpunan) di stadium dengan syarat bahawa mereka akan pergi dengan aman, berhimpun secara aman dan mereka akan balik dengan aman."

Bagaimanapun, siaran berita yang sama melaporkan sidang akhbar polis Selangor dan Kuala Lumpur tentang rampasan sejumlah besar senjata daripada pelbagai lokasi di sekitar Lembah Klang, termasuk 44 molotov *****tails, 23 parang dan 48 baju-T dengan logo Bersih. Polis tidak menolak kemungkinan ia ada kaitan dengan perhimpunan Bersih, 9 Julai. Ketua Polis Selangor, Tun Hisan Hamzah berkata, taktik digunakan dengan golongan komunis semasa zaman darurat.

Saya cuba membayangkan, jika tiada "campur tangan Agong" dan Bersih tetap bertegas mengadakan perarakan membelah kota raya ke Istana Negara, tentulah kes rampasan senjata bersama baju-T Bersih itu akan menjadi isu hangat-panas dan diperbesar-besarkan oleh RTM, TV3 dan pastinya Utusan Malaysia, berhari-hari lamanya. Mutakhir ini media di negara kita, khususnya TV, berulang kali menyiarkan propaganda memburukkan Bersih yang cukup memualkan. Rasanya propaganda pemerintah zaman komunis dulu pun tidak seteruk itu.

Lucu juga mengingatkan penegasan Tun Hisan yang seolah-olah mahu mengaitkan rampasan senjata di belakang tokong Cina di Batu 14, Jalan Gombak Lama Bentong, dengan taktik pengganas komunis. (Masakan tidak, "komunis" tahun 2011 ini begitu alpa dan naif sehingga meninggalkan kesan dan bukti, seperti baju-T Bersih! Kebetulan, ada blogger mengingatkan kemungkinan rampasan gelombang kuning di seluruh negara boleh menyediakan ruang untuk mensabotaj Bersih, terutama membabitkan baju-T kuning itu).

Serta-merta saya terkenang nasib Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr D Jeyakumar dan empat aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang ditangkap semula mengikut Ordinan Darurat (EO) selepas dibebaskan daripada tahanan reman pada 2 Julai. Sebelum itu, Jeyakumar bersama 30 yang lain, ditangkap di plaza tol Sungai Dua, Pulau Pinang. Polis mendakwa berdasarkan barangan yang dirampas, ahli-ahli PSM itu mempunyai kaitan dengan fahaman Parti Komunis Malaya (PKM). Mereka disiasat di bawah Seksyen 122 Kanun Keseksaan atas tuduhan melancarkan peperangan ke atas Yang di-Pertuan Agong.

Penggunaan EO adalah taktik halus polis mahu menahan tanpa bicara dengan tidak menggunakan akta drakonian ISA. Berbanding ISA, tidak wujud suara lantang terhadap EO disebabkan sasarannya bukan ahli politik, tetapi gangster atau penjenayah. Peruntukan penting dalam Ordinan Darurat adalah Seksyen 3(3), iaitu tempoh penahanan oleh polis selama 60 hari dan juga Seksyen 4(1), iaitu arahan menteri supaya ditahan tanpa bicara selama dua tahun.

Setelah tamat tempoh 60 hari tahanan pertama, menteri boleh memerintah perlanjutan tempoh tahanan tanpa bicara selama 2 tahun. Secara alternatifnya, menteri boleh mengeluarkan perintah sekatan untuk menyekat pergerakan tahanan. Menteri mempunyai kuasa melanjutkan perintah tahunan untuk satu jangkamasa berterusan tidak berakhir (undefinitely).

Selain itu, isu yang menjadi bualan ramai adalah sikap keterbukaan Seri Paduka yang bersedia menerima rombongan Bersih dan khabarnya pimpinan Pakatan Rakyat juga ke istana, ketika Timbalan Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar mengumumkan pintu rundingan sudah ditutup. Malah, Khalid dengan sombong memaklumkan kepada media bahawa perjumpaan ketuanya, Ismail Omar dengan pimpinan Bersih, termasuk Ambiga, bukannya satu rundingan, tetapi hanya untuk memaklumkan pendirian polis.
Dan bagaimana pula dengan status Bersih selepas menghadap Agong, khususnya merujuk kenyataan Abdul Rahman Othman, Pendaftar Pertubuhan Malaysia, bahawa Menteri Dalam Negeri telah mengisytiharkan bahawa Bersih 2.0 sebagai pertubuhan haram mengikut Seksyen 5 Akta Pertubuhan 1966 berkuatkuasa 1 Julai 2011? Masakan Agong sedia bertemu wakil pertubuhan haram, yang di dalamnya mungkin mengandungi anasir subversif, yang dikaitkan dengan komunis?

Bagaimanapun bagi saya, perkara yang jauh lebih penting adalah menonjolkan peranan istimewa Agong dalam dunia politik, khususnya membabitkan proses pilihan raya. Kedudukan baginda yang unik itu jarang diperkatakan sehinggalah muncul titah diraja, malam 3 Julai lalu. Antara petikan menarik: "Beta juga menyeru kepada pihak kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan kepada rakyat secara adil dan bijaksana ..."; "Setiap permasalahan yang timbul, kita sebagai masyarakat bertamadun hendaklah menyelesaikan secara rundingan ...."

Sememangnya penggubal Perlembagaan 1957 kita begitu cermat ketika memasukkan Perkara 114(2): "Pada melantik ahli-ahli Suruhanjaya Pilihan Raya, Yang di-Pertuan Agong hendaklah memandang kepada mustahaknya diadakan suatu SPR yang mendapat KEPERCAYAAN AWAM." Kedudukan Agong yang nuetral dari segi politik membolehkan baginda melaksanakan tugas strategik bagi memastikan SPR benar-benar berwibawa, diyakini rakyat, bertindak saksama dan tidak menyebelahi mana-mana parti politik

Menurut Tun Mohamed Suffian Hashim, bekas Ketua Hakim Negara dalam bukunya,Mengenai Perlembagaan Malaysia, "Untuk menentukan bahawa SPR bebas dari campur tangan kerajaan, Perlembagaan memperuntukkan bahawa seseorang ahli SPR tidak boleh dipecat dari jawatannya melainkan atas alasan yang sama dan dengan cara yang sama seperti seorang hakim.

Tiada perutukan lain dalam Perlembagaan yang begini istimewa walaupun terhadap perlantikan hakim, kecuali bagi SPR. Malangnya, pada hemat saya, peranan Agong seperti ditegaskan Perkara 114(2) itu seolah-olah tidak diberi perhatian serius, sedangkan ia kunci kepada masalah yang berbangkit hari ini. Belum nampak satu mekanisme yang jelas dan sistematik tentang perlantikan ahli-ahli SPR yang seharusnya mendapat KEPERCAYAAN AWAM itu, sehingga mereka yang dianggap boleh "diperbudakkan" oleh Umno yang sering dilantik dan ini menyebabkan kontroversi berlaku.

"Tugas politik" Agong yang begitu penting ini, seumpama seorang pengadil pertandingan yang tidak memihak, mesti dibahaskan secara tuntas. Bersih, dalam memorandum kepada baginda, bertarikh 10 November 2007 "menyuarakan kehendak rakyat menuntut pembaharuan pilihan raya termasuk mengutarakan cadangan untuk sebuah Suruhanjaya Diraja untuk mengkaji pembaharuan sistem dan proses pilihan raya".

Sebenarnya, daripada menuntut sebuah suruhanjaya bebas, lebih praktikal untuk mendahulukan peruntukan yang tersedia dalam Perlembagaan. Penubuhan SPR yang mendapat KEPERCAYAAN AWAM ini tidak boleh ditangguh lagi. Perarakan aman membelah Kuala Lumpur, yang dipindahkan ke stadium, tidak akan menyelesaikan isu sebenar sekiranya perkara pokok yang terkandung dalam tuntutan 8 perkara itu terbiar begitu sahaja.

Secara peribadi saya mengharapkan langkah awal Seri Paduka ini akan merintis usaha reformasi menyeluruh terhadap proses pilihan raya dan sistem demokrasi di negara kita. Ini bukan perkiraan siapa kalah atau menang; yang penting ada cahaya di hujung terowong ...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Murah Giler: Sapa Nak Order Klik Image

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.