Video Hot: Rakan Aminulrasyid Pertikai Versi Polis


SHAH ALAM, 3 Mei — Aminulrasyid Amzah tidak pernah merempuh kereta peronda tetapi mereka ditembak dari belakang oleh anggota polis pada hari kejadian minggu lalu, kata rakannya Azamuddin Omar (gambar, kiri) yang menemaninya pada hari kejadian.

Bercakap kepada pemberita di sini petang ini, Azamuddin berkata Aminulrasyid cuba melepasi beberapa motosikal yang mengejarnya selepas keretanya tergesel sebuah kereta lain di Seksyen 7 sebelum itu.

Selepas rakannya ditembak, menurut Azamuddin, dia ditendang dan ditumbuk berkali-kali oleh beberapa anggota polis selepas keluar dari kereta dipandu Aminulrasyid.

“Mereka tembak dia di kepala (dari belakang) dan dia rebah di riba saya. Tetapi kakinya kekal pada pedal minyak dan kereta pula terus bergerak,” katanya.

Kata Azamuddin, polis terus-menerus menembak kereta sehingga ia terlanggar tembok sebuah rumah di Seksyen 11.

Pelajar Tingkatan 3 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 11 itu berkata, sebelum insiden tersebut dia dan Aminulrasyid hendak berjumpa dengan seorang rakan di Seksyen 7 di sini kerana tayar motosikalnya pancit.

“Dalam perjalanan ke sana, kereta yang dipandu Amunulrasyid tergesel dengan sebuah kereta lain menyebabkannya menjadi panik lalu melarikan diri.

“Namun begitu ketika hendak keluar dari restoran Ali Corner, kami dikejar oleh beberapa motosikal kemungkinan besar rakan kepada pemandu kereta tadi.

“Ketika hendak melepasi Bulatan Kayangan Seksyen 12, salah seorang penunggang tersebut ingin memintas kami tetap terlanggar bahagian belakang kereta menyebabkannya terjatuh,” katanya ketika sidang media di pekarangan rumah Allahyarham Aminulrasyid.

“Aminulrasyid bertambah panik dan memandu dengan laju lalu memotong kereta peronda polis menyebabkan kenderaan itu terus mengejar kami.

“Kami dikejar sehingga ke Stesen Minyak Caltex Seksyen 11 dan sebaik sahaja memasuki simpang Jalan Tarian, saya terdengar bunyi tembakan bertubi-tubi mengenai tayar belakang.

“Walaupun dipandu terhoyong-hayang tetapi Amirulrasyid masih dapat mengawal pemanduan sebelum tembakan terakhir meragut nyawanya lalu terbabas melanggar tembok rumah dan berhenti,” katanya.

Azamuddin dikatakan telah membuat laporan polis kira-kira 9.40 malam hari kejadian.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Monalisa Mokthar berkata, Azamuddin masih lagi dalam keadaan trauma dan kini masih menerima rawatan ekoran kejadian tersebut.

“Azamuddin masih lagi trauma dan walaupun dia pergi ke sekolah seperti biasa tetapi rawatan tetap diberikan memandangkan tahun ini dia akan menghadapi Peperiksaan Menengah Rendah (PMR).

“Mungkin dia perlu masa lama untuk sembuh kerana saya pasti kejadian yang pasti akan dia ingat selama-lamanya,” katanya.

Turut hadir pada sidang media itu, peguam N. Surendran dan juga ahli keluarga Allahyarham Aminulrasyid

Malaysia Ditangga Corot Indeks Kebebasan Media- Ditangga 141 dari 196 Negara


SHAH ALAM 3 Mei - Media di Malaysia masih lagi tidak bergerak bebas dan berada dalam cengkaman kerajaan Umno-Barisan Nasional seperti mana yang terbukti oleh kajian Freedom House yang meletakkan Malaysia pada tangga ke-141 dari 196 buah negara.

Kedudukan Malaysia itu di bawah kategori 32 peratus negara yang tidak mempunyai media yang bebas dalam menyampaikan maklumat sebenar kepada rakyat.

Menurut kajian tersebut, Malaysia berkongsi tempat dengan dua negara Afrika, Algeria dan Zambia.

Di rantau Asia Pasifik pula kedudukan Malaysia masih ketinggalan di belakang negara terdekat seperti Filipina pada berada pada tangga ke-97, Indonesia - 107, Thailand - 124 dan Kemboja - 134.

Filipina, Indonesia dan Thailand diletakkan sebagai negara yang mengamalkan media sebahagian bebas.

Ketika mengulas kedudukan Malaysia yang menghampakan ini, Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff berkata selain kajian mengenai kebebasan media di negara ini ia juga menjadi kayu pengukur kepada pentadbiran sistem demokrasi.

"Kedudukan yang lemah ini membuktikan kegagalan kerajaan Umno-BN mengamalkan sistem demokrasi sihat walaupun berkokok kepada dunia luar bahawa negara ini bebas, telus dan adil.

"Kalau dibandingkan era pentadbiran Pak Lah dan Najib, pentadbiran najib diloihat lebih mencengkam kebebasan media dam amalan demokrasi negara. Setiap pengamal terpaksa menurut telunjuk kerajaan dan agensi kerajaan juga terikat dengan arahan yang bersifat 'draconian'," kata Yusmadi.

Yusmadi berkata kerajaan perlu sedar dan mengambil langkah yang sesuai bagi memperbaiki imej serta persepsi buruk masyarakat antarabangsa terhadap kebebasan media di negara ini.

Manakala sepuluh negara yang mengamalkan media paling bebas ialah Finland, Iceland, Norway, Sweden, Denmark, Belgium, Luxembourg, Andorra, Switzerland dan Liechtenstein.
Sempena Hari kebebasan Media Antarabangsa yang disambut setiap 3 Mei, Freedom House yang merupakan pejuang kebebasan demokrasi antarbangsa telah mengeluarkan senarai kedudukan negara bagi mengenalpasti negara yang mengamalkan kebebasan bermedia. SK

Peguam Perancis Tak Takut Ugutan : Membongkar Kes Kapal Selam

Peguam Perancis, Joseph Breham percaya akan wujudnya "tekanan dan ugutan" sepanjang usahanya menyiasat pembelian dua kapal selam buatan negaranya kepada Malaysia. Namun menurut Breham, beliau tidak gusar kerana tumpuan antarabangsa kepada kes berkenaan semacam memberikan perlindungan untuk beliau.

"Sebagai contoh, sekiranya berlaku sesuatu kepada saya di Malaysia, ia akan menarik perhatian media antarabangsa, tekanan politik dan sebagainya, ini akan menjadikan lebih produktif.

"Saya bukan penterjemah Mongolia. Sekiranya terdapat masalah, semua media berbahasa Perancis akan memaparkan tajuk seperti 'Peguam Perancis yang menyiasat dakwaan rasuah hilang di Malaysia'. Tiada siapa yang boleh terima perkara ini," kata Breham dalam satu wawancara baru-baru ini.

Breham dan dua lagi rakannya yang mewakili Suara Rakyat Malaysia (Suaram) - sebuah NGO hak asasi manusia - memfailkan aduan di sebuah mahkamah di Paris berhubung pembelian dua kapal selam Scorpene daripada firma pertahanan Perancis DCN.

Walaupun tujuan siasatan itu untuk mengenal-pasti sama ada berlaku perkara yang disangsikan berhubung penjualan kapal selam itu, namun ia juga secara tidak langsung merancakkkan kembali perbincangan terhadap pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Berikut adalah sedutan wawancara Malaysiakini dengan Joseph Breham:

Sila jelaskan kepada kami mengenai latar belakang anda dan bagaimana anda boleh terlibat dengan kegiatan hak asasi?

Joseph Breham:
Saya peguam dari Perancis yang mempunyai kepakaran dalam undang-undang jenayah antarabangsa dan hak asasi manusia. Saya juga merupakan pensyarah universiti dalam bidang undang-undang jenayah antarabangsa di Toulouse.

Saya mengajar tiga minggu setahun. Saya juga pakar dalam bidang kegiatan keganasan dan mengendalikan banyak kes yang berkaitan dengannya. Hakikatnya saya berkerja dengan kerajaan dalam bidang pencegahan penganas, melatih hakim dan pendakwa tentang terorisme termasuk menghormati hak asasi. Begitulah bagaimana saya boleh terlibat dengan kerja hak asasi manusia.

Saya amat tertarik dengan hak asasi manusia sejak saya dilahirkan pada 1978, dan sejak itu saya berusaha untuk memahaminya. Sebagai contoh (selepas) kejatuhan Tembuk Berlin, dunia menjadi semakin bercelaru dan timbul perkara baru yang tidak keruan, yang mana (ia adalah) keganasan dan keuntungan globalisasi.

Pekembangan baru ini menyebabkan banyak syarikat multi-nasional tidak menghormati apa sahaja bentuk peraturan. Mereka mempunyai kuasa bagi memaksa kerajaan mengikut telunjuk mereka. Mereka menjadi lebih korup dan kerajaan tidak boleh memaksa mereka (mematuhi) segala kewajipan. Itulah yang menyebabkan saya menceburi dalam kerja-kerja hak asasi.

Jelaskan kepada kami, pengalaman anda dalam mengedalikan kes berkaitan korupsi.

Joseph Breham: Kebanyakkan kes yang saya kendalikan lebih tertumpu kepada negara di benua Afrika. Setiap kes hak asasi yang berkait dengan syarikat multi-nasional juga dikaitkan dengan rasuah. Kami, di Sherpa (organisasi yang diwakilinya) pada mulanya tidak mengendalikan kes rasuah.

Tetapi sekiranya kami mahu lebih efisyen, kami perlu mendepani isu ini. 'Sherpa' bermaksud 'menolong rakyat di Selatan untuk menuntut keadilan'.

Saya mula bekerja di Sherpa pada 2006 dan baru-baru ini saya dilantik ahli lembaga pengarah. Ia ditubuhkan oleh William Bourdon, mantan setiausaha agung Pertubuhan Antarabangsa Hak Asasi Manusia (Fidh) pada 2001. Sejak Fidh tidak menyaman syarikat, lalu kami menubuhkan Sherpa.

Pakar forensik Amidon Anan Tawar Bantuan Untuk Kes Aminulrasyid

Pakar forensik Amidon Anan - yang pernah terlibat dalam kes berprofil tinggi seperti pembunuhan Canny Ong dan Altantuya Shaariibuu - menawarkan khidmatnya bagi membantu keluarga pelajar 14 tahun - Aminulrasyid Amzah yang mati ditembak polis, Isnin lalu.

Menurut bapa saudara dan jurucakap keluarga mangsa, Kamarudin Hasan, bekas polis berpangkat superitenden itu adalah satu-satunya pakar yang menawarkan khidmatnya di samping barisan peguam dari NGO dan parti politik.

Bercakap kepada pemberita selepas 20 minit berbincang dengan Amidon (kiri) di rumah keluarga Aminulrasyid, Kamarudin berkata pihaknya sedang menimbang tawaran pakar forensik itu.

"Kami sudah sampai ke tahap persefahaman dengan Amidon, tetapi kami mempunyai keluarga yang besar dan kami mahu mendapatkan nasihat daripada mereka terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan," katanya.

Amidon yang juga bekas ketua jabatan forensik unit Penyiasatan Jenayah Tempat Kejadian turut dilaporkan pernah terlibat dalam penyiasatan insiden bangunan Highlands Towers yang runtuh pada 1993.

Kamaruddin menambah sekiranya keluarga Aminulrasyid menerima tawaran Amidon, ia akan membolehkan mereka membuat perbandingan laporan kejadian itu dengan versi polis.

"Kami mahu pandangan kedua," katanya.

Mahukan Siasatan Diraja: Saksi Nafi Aminulrasyid Cuba Rempuh Polis


Penumpang yang juga rakan remaja 14 tahun yang ditembak mati oleh polis - Aminulrasyid Amzah menolak dakwaan polis bahawa mangsa cuba merempuh ke arah polis.

"Apabila ditembak, badannya terkulai di peha saya tetapi kakinya (Aminulrasyid) masih di accelerator yang menyebabkan kereta bergerak dan polis terus menembak,” katanya pada sidang media di rumah keluraga Aminulrasyid, hari ini.

Menceritakan kejadian Isnin lalu, Azamuddin Omar, 15 berkata, kereta berkenaan kemudian berlanggar dengan sebuah tembok dan polis terus menembak.

Azamuddin yang cedera pada bahagian lengan dan belakangnya juga mendakwa lima anggota polis kemudiannya membelasahnya selepas dia keluar dari kereta untuk menyerah diri.

Pelajar tingkatan tiga itu masih ketakutan kini menjalani rawatan untuk trauma.

Bapa saudara kepada mangsa, Kamaruddin Hassan yang berada pada sidang media itu berkata pihaknya tidak mahu inkues berhubung pembunuhan itu seperti yang dicadangkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

"Kami mahu siasatan diraja kerana hanya itu sahaja cara bagi mendapatkan siasatan yang telus dan adil,” katanya.

Panas Kepala Di Bawah Bulan Purnama - Hangat Sementara Menimpa Di Serambi Mekah



Kisah Beruk Peliharaan Terlepas Di Kelantan!

SEBENARNYA saya tidak bernafsu lagi untuk mengulas panjang-panjang mengenai isu yang bergeliwat dalam Pas Kelantan dewasa ini. Macam mana Tok Guru Nik Aziz enggan layan dan merasakan ianya tidak penting, begitu juga dengan saya. Tetapi sejak pagi tadi hingga ke saat-saat ini tidak habis-habis menerima panggilan dan pertanyaan dari orang itu dan orang ini tentang Kelantan maka saya kena jawab atau beri sedikit ulasan. Mereka mahu mengetahui bagaimana pandangan saya. (Saya tidak suka mengecewakan penjenguk blog saya!)

Jadi saya tidak dapat elak, kena ikut sama mengulas serba ringkas mengenai apa yang geger gegak di Kelantan dewasa ini.

Pagi tadi seorang Adun telefon memberi tahu mengenai berita berhubung dengan skandal dinamakan GMC - Global Media Centre SB dengan wang RM4 juta dan perihal seorang bloger yang turun minyak. Adun itu dengan nada lirih bertanyakan, macam mana nak selesaikan isu itu. Katanya isu itu semakin parah dan ia telah memakan diri kerajaan Kelantan. Isu itu sedikit sebanyak memberi gambaran buruk kepada kerajaan Kelantan kalau tidak diatasi segera. Katanya ia sudah pun sampai ke bilik SPRM?

Adun berkenaan sangat bersimpati dan sedih atas apa yang berlaku. Suaranya semacam nak menangis. Saya juga simpati apa lagi kalau isu itu akan memberi kesusahan jiwa kepada Tok Guru. Tetapi apa boleh buat, kalam hamba panjangnya hanya sejengkal, kalau menulis hitamnya tidak seberapa lagi! Tok Guru pun satu masa begitu syok mendengar dendangan retorik sehinggakan saya pun disuruh minta maaf dari pendendang itu.

Keadaan di Kelantan kini kalau boleh diibaratkan kepada perahu bocor, airnya sudah melimpah dan bakal karam dan tenggelam sikit masa lagi. Kalau perahu itu tenggelam yang akan kelemasannya dan menenggelamkan bukan saja penumpang jahil berenang, mereka yang bijak berenang juga akan turut sama terlingkup.

Di sini apa yang saya boleh katakan begini saja. Apa yang berlaku di Kelantan sekarang ini kerana salah individu dalam Pas juga. Saya dah perkatakan awal-awal lagi mengenai hal ini. Check dan semaklah apa yang saya 'belebelkan' di dalam blog saya sebelum ini. Tetapi sayang sesetengah orang Pas tidak pernah rasional dalam hal ini. Tidak mahu menerima apa yang diperkatakan sebaliknya kita dikatakan berniat jahat.
Apa lagi mereka yang mengkagumi dan mempercayai kepada seseorang lekas menghukum kita. Tindakan saman ke atas saya walaupun soal benar dan tidak terletak di mahkamah dijadikan alasan untuk mengatakan saya bersalah dan jahat. Saya berniat jahat untuk memburuk seseorang. Hari ini saya ingin memulangkan pertanyaan itu siapakah jahat dan menjadi lebih jahat?

Mulanya blogger yang turun minyak itu juga turut naik minyak dengan saya. Check lah apa yang beliau tulis dan perkatakan kepada saya dalam membela seseorang yang menjadi taukeh dan tuannya. Saya banyak mendiamkan diri. Hari ini bila hujan batu sudah menimpa kepalanya, (yang dilempar oleh tuannya) nescaya kesakitan saya disebabkan lontaran tanah kol olehnya akan dirasai olehnya pula. Selamat merasa!

Untuk memahami keadaan yang berlaku di Kelantan sehari dua ini boleh difahami dengan melihat kembali kepada tindakan saya membelasah seorang Exco Kelantan satu masa dulu. Tindakan saya itu boleh dijadikan iktibar dan dijadikan ukuran, paling jitu. Mungkin waktu itu semua orang mengatakan saya silap dan emosi, tetapi dengan apa yang berlaku ke atas orang lain hari ini boleh dijadikan sempadan untuk melihat di mana rasional dan keperluan saya membuat kritikan pada masa itu.

Saya belasah Exco berkenaan ialah kerana sikap tidak bertanggungjawab yang dilakukan olehnya. Sikap beliau yang melepas tangan dan lari dari mendepani masalah walaupun masalah itu terbit jelas dan nyata bagaikan baris dari perbuatannya. Sikap kucing timbus tahi itulah yang menjadi masalah menyebabkan saya tidak tahan dengan ruapan bau najis kucing itu.

Cuba perhatikan sebaik-baiknya kronologi kenapa isu yang berlaku sekarang ini timbul? Siapakah yang bersalah dalam hal ini. Siapa yang memulakannya. Kenapa blogger berkenaan mengamuk mengacau itu dan ini. Jadi mabuk tuak tengah hari mengucar apa saja yang ternampak olehnya.

Keadaan blogger berkenaan saya sifatkan tak ubah seperti beruk peliharaan terputus tali yang tidak dipedulikan oleh tuannya. Beruk ini mengacau dan menganggu orang bukan kerana apa, kerana tempias marahnya kepada tuan yang tidak menghiraukan nasibnya.

Pada saya apa yang dilakukan bukan atas tanggungjawab sosialnya kepada rakyat. Tetapi kerana membalas dendam apabila beliau tidak dipedulikan oleh tuannya. Beruk ini menjadi mangsa ketidakadilan dan kekejaman politik yang beliau tidak pernah terfikir sebelum ini yang dilakukan oleh tuannya. Al maklumlah beliau tidak pernah terlibat secara mendalam dalam politik sebelum ini. Jadi apa yang menimpa dirinya merupakan satu kejutan eletrik.

Asalnya beruk ini jinak, pandai buat apa yang disuruh oleh tuannya. Tuan dia suruh panjat kelapa dan turunkan yang tua, dia buat. Turunkan yang muda juga dia buat. Kalau disuruh puji tuan dia dia akan angkat hingga ke langit. Tidak cukup diangkat dengan tangan diangkat dengan menggunakan galah.

Bukan itu saja, beruk ini juga sedia untuk menungging ponggeknya kepada sesiapa yang disuruh oleh tuannya. Beruk ini sangat setia pada mulanya. Disuruh gigit juga dia akan gigit. Dia hanya tahu apa yang diarahkan oleh tuannya saja, tanpa mengira ianya betul atau sebaliknya. Dia sedia berdepan dengan sesiapa saja hatta tok guru tuannya sendiri. Begitulah hebatnya beruk ini.

Beruk peliharaan ini sangat baik dengan tuannya. Menjadikan kepercayaan oleh tuanya. Tuannya bukan saja letak diselongen, tetapi ada kalanya dibawa masuk ke dalam ke dapur tumah dan dalam bilik tidur. Jadi bagi beruk berkenaan tidak ada apa-apa rahsia lagi.
Ia juga diberi makan tiap-tiap hari-hari sebagai upah. Apa yang diperlukan beruk itu diberikan; belakang, ulat daun pisang, telor, semua diberikan. Hatta cermin untuk menilik juga diberikan. Masa itu beruk ini rajin dan tidak ada masalah. Dia duduk tenang di 'selongen'nya sambil mengunyah siang malam makanan yang disimpan dalam kedua belah pipinya. Sesekali dia akan hingguk selongennya sambil membunyi suara lelakinya tanda senang hati.

Fikiran beruk ini tidak ada yang lain macam mana nak mendatangkan hasil kepada tuannya. Nak jaga tuannya supaya mendapat untung besar. Dia menggunakan sepenuh daya kretivitinya untuk menaikan imej tuannya. Harapannya kalau tuannya jadi orang besar maka besarlah makanan dan habuan yang diterimanya kelak.

Namun malang masa damai itu tidak panjang. Angan-angan beruk ini untuk hidup mewah bersama tuannya tidak kesampaiannya. Ternyata perancangan Tuhan mengatasi perancangan manusia! Akhirnya tembelang masing-masing pecah juga. Tuan mengetahui beruk berkenaan bukan dari baka baik. Dia adalah beruk hutan yang dijinak dengan menggunakan umpan harta benda dan wang ringgit.

Kalau asal keturunan bukan dari benih yang baik, anak keluaran, maka akhirnya dia akan menatijahkan yang tidak baik juga. Mungkin kerana makan banyak menyebabkan tuan beruk tidak tahan lagi untuk membekal makanan. Dia bukan saja memilik beruk itu tetapi masih ada beberapa ternakan lain, kera dan kambing. Itu tidak menjadi masalah, perangai tuan yang tidak berterima kasih sewajarnya kepada beruk menyebabkan beruk itu mengamuk.

Bila beruk mengamuk tahulah akibatnya. Dia akan hingguk dan renyuk selongen tempat tinggalnya itu. Atau dia akan pulas-pulas rantai ditengkoknya. Bila selongen sudah patah maka dia akan terlepas dari ikatan itu. Bila terlepas, maka jadilah ia seperti hari ini. Beruk itu merayau ke mana saja. Dia melepaksan dirinya kerana lapar dan protes dalaman yang kuat. Semua ini berlaku kerana sikap perhambaan yang keterlaluan dilakukan terhadapnya.

Jadi bila ia sudah terlepas maka dia akan mengamuk. Amukan itu menjadikan dia tidak waras dan kehilangan kretiviti cerdik lagi. Dia akan buka dapur rumah sesiapa saja. Dia akan panjat ke sangkak ayam sesiapa saja untuk makan telor. Dia akan lembal almari dan meja untuk memenuhi nafsunya. Dia dia akan kejar sambil membuka mulutnya kepada sesiapa yang mengusik dan mencabarnya. Saya teringat semasa kecil dulu cerita mengenai beruk terlepas di sebuah kampung di Kubang Kual, Rantau Panjang. Beruk ini naik ke rumah seorang nenek dan menyelak kain nenek itu yang sedang nyenyek tidur petang. Apa lagi, terkejut dan bertempiklah nenek itu sampai pengsan.
Nah... begitulah perangai beruk kalau sudah terdesak dia akan lakukan apa saja.

Beruk terlepas sukar untuk ditangkap. Dia sudah menjadi 'celika' (bukan celaka), celika bermaksud liar dan culas atau perit. Keadaanya juga merbahaya, sebab dia akan menganggu sesiapa saja. Satu-satu tindakan terbaik tetapi kejam ialah dengan menembaknya saja. Dum.....!

Tetapi beruk adalah hamba Allah yang tidak berakal. Dalam konteks ini beruk itu tidak boleh dipersalahkan. Dia akan bertindak mengikut panduan akalnya. Pihak yang perlu dipersalahkan ialah tuannya itu. Jadi kalau beruk ini telah mengkucarkacirkan kampung dan menganggu ketenteraman penduduk, maka tuan beruk itulah harus bertanggungjawab. Tuan beruk harus mengambil risiko atas kesalahannya itu dengan beredar meninggalkan hampung halaman itu. Pergilah, kerana dia harus bertanggungjawab atas perangai beruk yang memalukan itu. Apa lagi beruk itu semua orang tahu adalah beruk peliharaanya. Kalau dia tidak buat sesuatu maka tuan beruk itu samalah dengan beruk itu.

Khurakkk..... khurakkkh... inyeh... inyeh... khurakkkkk.... harrrrrkkk! [wm.kl. 200 pm 03/04/10]

Ambilan: Sumber MSO

RM1,000.00 : Hukuman Denda MP Padang Serai Kekal


Hukuman denda RM1,000 yang dikenakan ke atas Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan oleh Mahkamah Sesyen dikekalkan selepas pihak pendakwaan gagal memfailkan petisyen rayuan dalam tempoh yang ditetapkan.

Hakim Mohd. Yazid Mustafa memutuskan demikian hari ini semasa menolak permohonan pihak pendakwa agar Mahkamah Tinggi di sini menggunakan budi bicara untuk membenarkan petisyen tersebut mengikut Seksyen 310 Kanun Tatacara Jenayah.

Pada prosiding hari ini, Gobalakrishnan diwakili peguam bela, Ahmad Nizam Hamid manakala pendakwaan dikendalikan oleh dua Timbalan Pendakwa Raya, Idham Abd. Ghani dan Mohd. Nordin Ismail.

Pada 16 Disember tahun lalu, Hakim Mahkamah Sesyen, Hasbi Hassan menjatuhkan hukuman denda RM1,000 atau penjara tujuh minggu selepas Gobalakrishnan mengaku bersalah atas tuduhan pilihan menakutkan pegawai polis dalam satu perhimpunan haram anjuran Hindraf.

Kesalahan itu didakwa dilakukan dalam satu perhimpunan haram di depan Kuil Sri Subramaniar, Batu Caves, Gombak dekat sini pada pukul 3 pagi, 25 November 2007.

Dakwaan terhadapnya mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda atau kedua-duanya.
-tvselangor-

Projek Logi Air Padang Sanai: Salah Guna Kuasa Oleh Kerajaan Dulu... Rugi Berjuta


Oleh Azman Ahmad

Alor Setar – “Kos anggaran pembinaan logi air sebenarnya lebih murah, ianya tidak sebagaimana dinyatakan oleh Ahli Yang Berhormat Pantai Merdeka. Kos yang sebenarnya hanya RM1 juta untuk loji yang kapasitinya dapat menampung 1 juta liter air,” kata YB Dato’ Amiruddin Hamzah semasa menjawab soalan tambahan dari ADUN Pantai Merdeka YB Haji Abdullah Jusoh (PAS – Pantai Merdeka).

Abdullah bangun untuk mendapatkan penjelasan berkenaan kos pembinaan loji pembersihan air Padang Sanai Baru. Kapasiti loji berkenaan yang dianggarkan mempunyai kapasiti 50 juta liter air sepatutnya berharga RM100 juta sebagaimana kos anggaran RM2 juta bagi setiap kapasiti 1 juta liter air, tetapi kos sebenar pembinaan loji Padang Sanai Baru yang memcecah lebih RM155 juta.

YB Dato’ Amiruddin kemudian menjelaskan bahawa kos anggaran sebenar bukanlah RM2 juta tetapi hanya RM1juta bagi loji yang mampu menampung kapasiti 1 juta liter air.

“Kerajaan tidak dapat memberi penjelasan kenapa kos pembinaan loji Padang Sanai Baru meningkat sehingga lebih RM155 juta. Mungkin pihak di sebelah sana (pembangkang) dapat menjelaskannya kerana dahulu mereka yang menjadi kerajaan.

"Peningkatan kos pembinaan Loji Padang Sanai kepada RM155 juta menjadikan kos asas menjadi RM3 juta untuk kapasiti 1 juta liter air."jelas YB Dato’ Amiruddin.

"Projek pembinaan Loji Padang Sanai ini adalah melalui tender rundingan terus oleh kerajaan terdahulu" jelasnya lagi

Loji berkenaan, katanya, sudah hampir siap dan dijangka akan beroperasi sekitar bulan Mei setelah selesai kerja-kerja elektrik di loji berkenaan.

YB Dato’ Seri Mahadzir Khalid sempat mencelah menyatakan ketua kerajaan yang sebelumnya yang terbabit membina loji tersebut

****************************************

Kalau kos asal RM50 juta, lagi RM100 juta sapa ambik? Tok Det kata ketua kerajaan dulu dah bersara dari politik.... hahahhaha

DARI BLOG SETPOL: SANUSI MOHD NOOR

Serah wilayah: Husam mahu penjelasan Najib


Harakahdaily

KOTA BHARU, 3 Mei: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak digesa menjelasakan kepada rakyat berhubung bagaimana kabinet Malaysia pada 11 Februari 2009 bersetuju menyerahkan sempadan laut yang mempunyai medan minyak blok L dan M kepada negara Brunei.

Dalam surat terbuka yang penuh persoalan kepada Najib, Exco Kelantan, Datuk Husam Musa turut mempersoal, kenapa Malaysia terlalu mudah melepasakan dua blok minyak di kawasan bertindih itu.

"Jika kita tidak mempunyai hak ke atasnya sama sekali, bagaimana Brunei boleh mengizinkan kita terlibat sama dalam perkongsian pengeluaran bagi kedua-dua blok itu dalam tempoh empat puluh tahun?

"Mengapa pula sebelum ini kita telah menandatangani perjanjian konsesi dengan Murphy Oil jika kita tidak yakin ia adalah milik kita?

"Bukankah selama ini kawasan ini dalam perairan kita dan tiba-tiba kita tidak mempunyai asas yang kukuh untuk terus memilikinya?" soalnya dalam surat tersebut.

Dua blok minyak itu dulunya adalah milik Petronas dan Petronas telah pun menganugerahkan konsesi kawasan ini untuk pengeluaran kepada Petronas Carigali dan Murphy Oil sejak 2003 dan berkuatkuasa bulan April tahun ini, perjanjian konsesi berkenaan terpaksa ditamatkan.

Husam yang juga AJK PAS Pusat turu mempersoal, kenapa tiada penjelasan parlimen dibuat dan rakyat pula tidak dimaklumkan mengenai keputusan yang dibuat kerajaan itu.

Menurutnya, segalanya terbongkar hanya apabila Murphy Oil kepada NYSE membuat kenyataan selepas konsensinya dibatalkan.

"Rakyat berhak untuk tahu apakah sebab politik mendesak sehingga keputusan seperti itu dibuat.

"Adakah ia semata-mata untuk menyenangkan hati Perdana Menteri waktu itu dan seluruh Kabinet menerima keputusan ini walau pun ianya merugikan negara?" soalnya lagi.

Penyerahan itu juga jelas Husam menimbulkan keraguan terhadap tahap tanggungjawab pemimpin negara, bahkan tahap kemampuan mereka membuat keputusan untuk kepentingan negara dengan wajar dan tepat.

"Jika sebiji pulau kecil sebesar Batu Putih kita perjuangkan hingga saluran terakhir, mengapa wilayah sebesar dan sekaya itu kita lepaskan sebegitu mudah?

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir yang mendedahkan perkara itu mendakwa jumlah kerugian akibat penyerahan itu dalam bentuk perolehan adalah AS$100 bilion (RM320 bilion).

Surat Yb Dato' Husam Kepada YAB PM Najib

Mereka Berjasa Buat BN: Terus Angkat Sumpah Sebagai Senator

Bekas ketua pemuda, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamad Ezam Mohd Noor dan Timbalan Presiden MIC, Datuk G Palanivel dan mengangkat sumpah sebagai senator di Dewan Negara, hari ini.

Dua lagi yang dilantik ialah Pengerusi Eksekutif Rahim and Co, Datuk Abdul Rahim Abdul Rahman dan Ketua Wanita Umno Bahagian Pagoh, Noriah Mahat.

Mereka mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang.

Ezam (kiri) yang keluar daripada PKR dan kembali ke pangkuan Umno pada 2008 juga adalah bekas Setiausaha Politik kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau mencuri tumpuan suatu ketika dahulu kerana pernah mengakui mempunyai enam kotak yang dikatakan mengandungi dokumen mengenai salah laku pemimpin kerajaan.

Dia bagaimanapun kemudian menafikan perkara itu sebaliknya mendakwa kotak itu suatu pembohongan dan dijaja sebagai modal politik sejak 1999 selepas Anwar dipecat daripada Umno dan kerajaan.

Selepas meninggalkan PKR dan menyertai Umno, Ezam bukan saja dikutuk kerana meninggalkan perjuangan PKR tetapi juga digelar ahli parti itu sebagai "Ezam Kotak".

Sementara itu, Palanivel (kanan, berbaju perang) ialah bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Ura-ura yang beliau akan dilantik sebagai senator bukan lagi rahsia, perlantikannya itu dikatakan sebagai menghargai pengorbanannya yang tidak dicalonkan pada pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor tetapi sebaliknya menyokong calon kompromi, P Kamalanathan.

Selain dilantik sebagai senator, Palanivel juga dijangka akan diberikan jawatan sebagai timbalan menteri.

Dakwa Dikasari Anggota Polis: Remaja Terlantar Di Hospital





SHAH ALAM 2 MEI: Seorang remaja lelaki terlantar di hospital berikutan kekasaran polis selepas menyertai program anjuran Exco Kerajaan Selangor dengan kerjasama Majlis Bandaraya Shah (MBSA) di Dataran Shah Alam, malam semalam.

Kejadian berlaku kurang seminggu dari kontroversi kes Aminulrashid Amzah yang mati ditembak polis.

Kali ini turut melibatkan golongan remaja, semata-mata reaksi spontan mereka yang melarikan diri apabila didatangi polis secara mendadak.

Kejadian berlaku ketika beberapa remaja sedang duduk di kawasan Dataran Shah Alam selepas menyertai program ‘Generasi Idaman Selangor’, sebelum peronda polis secara tiba-tiba muncul diiringi kebingitan siren.

Kumpulan remaja itu melarikan diri dengan motosikal tetapi seorang dari mereka dikatakan dikasari polis.

Mangsa yang cedera di kenali sebagai Mohd Nazmi Annuar Mohd Adil, 20, seorang pelajar Pusat Teknoloji dan Pengurusan Lanjutan (PTPL) di Shah Alam.

Pelajar jurusan elektrik dan elektronik ini mengalami kecederaan di muka termasuk bibir dan lulut.

Bercakap pada sidang media yang anjuran Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, seorang remaja, Mohd Saifullah Mohd Razali yang berada di lokasi kejadian menyatakan kekesalan dengan pelakuan polis.

“Memang tidak wajarlah. Kita orang datang niat baik, balik dengan kecelakaan. Memang tak sangka jadi macam ini, kena pada member pula. Tak taulah tindakan polis guna kuasa dengan tak sepatutnya," kata Mohd Saifullah.

Pada sidang media sama, bapa mangsa, Mohd Adil Baharom pula mengharapkan keadilan dan meminta polis menjaga keselamatan awam dan bersifat mesra kepada rakyat dan bukan sebaliknya.

"Kita harapkan kepada agensi yang menjaga keselamatan awam tetapi bertukar sebaliknya. Secara tak langsung, persepsi atau pandangan terhadap polis bertukar. Sepatutnya, ia lebih mesra penduduk dan jaga keselamatan jenayah," katanya.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad pula menyifatkan tindakan polis terhadap kumpulan remaja itu keterlaluan.

"Semasa kejadian, bukan semua remaja berada di motosikal mereka. Kebanyakan mereka duduk di astaka. Motosikal pun tersusun baik tapi polis datang macam hendak berperang.

"Ini yang menyebabkan budak-budak panik," kata Khalid lagi.

Khalid berkata insiden terbaru yang membabitkan dakwaan polis bertindak keterlaluan hanya menghakis kredibiliti polis ekoran tragedi remaja 15 tahun Aminulrashid Amzah yang mati ditembak polis minggu lalu.

"Tindakan polis seminggu kebelakangan ini nampak agak keterlanjuran. Mungkin sebelum ini pernah berlaku. Tapi kita tak dapat tahu. Sebagai ahli parlimen, bila berlaku macam ini, kita tidak boleh diamkan diri," katanya.

Apapun, Khalid berharap polis akan melakukan muhasabah diri dan berusaha untuk mencapai aspirasi rakyat.

"Kita mahukan satu pasukan polis mengikut cogan kata mesra, cekap dan tepat. Kita bukan mahu polis yang ditakuti oleh rakyat sendiri. Kita hendak penyamun yang takut, bukan rakyat," katanya.

TVselangor

Isu 4 Juta: Orang PAS Boleh Bezakan Antara Ular Dengan Belut Atau Babi Dengan Badak

PENDEDAHAN KICKDEFELLA : PAS TIDAK BANGSAT UNTUK KUMPUL WANG RM4 JUTA

ISU terbaru di Kelantan kini ialah mengenai pengakuan seorang bloger yang beliau ada menerima RM4 juta untuk belanja operasi perang saraf melanyak Umno dan bekas PM, Abdullah Badawi dalam masa tiga tahun. Perbelanjaan sebanyak itu ialah bagi menjamin kerajaan Pas Kelantan kekal.

Bagi saya isu itu isu terpencil yang tidak perlu diberikan perhatian besar. Akhbar yang memainkan isu berkenaan juga seolah tidak ada modal lain untuk memburukkan kerajaan Kelantan terpaksa mengutip sampah sarap dalam blog-blog tertentu untuk terus memburukkan Pas dan kepimpinan kerajaan Kelantan.

Kata orang kerana tak ada model besar dan konkrit, maka modal angin pun boleh digunakan. Kepada saya isu RM4 juta itu adaah modal angin yang tidak ada asasnya. Ia adalah pengakuan bloger tersebut saja dan tidak ada dokumen mengenai penyelewengan atau penggunaan wang haram dalam membelanjakan membelian peralatan operasi perang saraf itu dikemukakan.

Saya sedikit merasakan pelik apabila bloger itu membuat pendedahan dan beliau meminta orang lain menyiasat. Kenapa beliau tidak mendedahkan maklumat yang beliau ada. Apakah maknanya ini semua? Hanya beliau saja yang mengetahuinya.

Apabila bloger berkenaan mengakui dia tidak mempunyai wang sebanyak itu, (untuk membiayai operasi saraf itu) ia menjelaskan ada motif senyap di sebalik pengakuan itu. Bagi orang waras tentu tidak merasakan pengakuan itu pelik, kerana apabila beliau bekerja dengan sebuah kerajaan negeri, tentulah wang itu akan disediakan oleh pihak lain demi kepentingan dan kelangsungan kerajaan berkenaan. Masakan Pas mahukan beliau mencari wang sendiri untuk kepentingan Pas?

Sekiranya benarlah bloger berkenaan menerima peruntukan sebanyak RM4 juta, ia bukan menjadi kesalahan pun. Bahkan wajar kalau wang itu digunakan untuk tujuan yang betul untuk kepentingan Pas atau sesiapa saja yang berusaha untuk mengekalkan kerajaan Pas. Malahan orang Pas boleh angkat jempol kepada mana-mana individu atau pihak yang menyediakan wang berkenaan kerana ia adalah untuk kebaikan parti itu. Tepatlah menghabiskan wang seberapa banyak untuk mempertahankan sebuah kerajaan.

Menurut pengakuannya seperti mana dipetik akhbar, RM4 juta dibelanjakan dalam tempoh tiga tahun. Ooo... bukan tiga bulan! Ini bererti kira-kira RM1.3 juta setahun. Jumlah itu adalah hama dalam perbelanjaan untuk melawan sebuah parti gergasi seperti BN. Tentunya bloger itu bukan berkerja seorang diri. Tentulah ianya dibantu oleh beberapa orang staf. Jadi RM1.3 kalau dibahagikan kepada beberapa orang staf berapalah sangat untuk satu tahun. Itu belum termasuk untuk sewaan bangunan, pembelian peralatan dan kos-kos lain.

Saya sedikit pun tidak pelik kalau wang sebanyak itu digunakan. Kerana peruntukan untuk perang saraf di pihak Umno lebih besar daripada itu. Angkanya mungkin bernilai ribuan kali ganda dari jumlah itu. Apalah nak hebohkan peruntukan RM4 juta? Cara berfikir ini samalah dengan cara mempersoalkan pembelian sebutir kek kepada Tok Guru satu masa dulu.

Saya nak tanya apakah bagi sebuah parti yang mempunyai ahli lebih 1 juta, yang terdiri dari berbagai bidang dan profesional susah untuk mendapatkan wang sebanyak itu untuk dimanfaat bagi kepentingan mereka. Saya rasa kalau Pas Kelantan nak cari bukan saja RM4 juta, malahan RM40 juta pun boleh. Ahli Pas terkenal sebagai mereka yang ikhlas dan komited dengan parti dan dermawan.

Buka saja 'jabil' atau tadah kopiah duit akan melimpah masuk. Untuk jihad dan agama mereka sanggup menghulurkan seberapa banyak yang mampu sampai kering wang dalam poket. Pernah saya lihat sendiri dalam satu ceeramah perdana di stadium Sultan Muhammad ke-IV tahun 1990 (ketika itu bloger berkenaan belum pun lagi bergelewat di Kelantan) wang punggutan derma dari orang ramai malam itu dipikul dalam guni!

RM4 juta saya rasa kalau tadah guni dalam cermaha Pas di stadium atau di mana-mana pelusuk pun akan boleh dicari. Jadi janganlah cuba hendak memberi bayangan berlaku rasuah atau pengambilan wang haram oleh mana-mana pihak untuk tujuan perang saraf itu. Pas adalah berbeza dengan Umno dan parti lain. Walaupun Pas memerlukan wang untuk membiayai jentera partinya, saya yakin ia dari sumber yang sah dan halal. Ahli dan pemimpin Pas masih belum tergamak untuk melakukan rasuah untuk membiayai projek parti.

Kebanyakan ahli Pas masih dapat membezakan antara ular dengan belut atau babi dengan badak!

Jadi dalam hal ini tidak guna cabar mencabar. Kalau bloger berkenaan merasakan wang itu wang haram, kenapa beliau sedia mengambilnya? Kenapa beliau bersubahat selama tiga tahun menguruskannya? Kalau beliau juga sedia mengambilnya bermakna dia juga sedia bersubahat dengan wang gelap itu. Apa hukumanya bersubahat dengan kejahatan? Celakalah jawabnya.

Janganlah sesudah kita menelan buah yang pahit untuk mengalas perut yang kosong kita menyangka orang mengkhianati kita lalu kita mencercanya sebagai mengkhianati kita. Buruk sangatlah kalau kita menyerang orang yang memberikan kita rezeki untuk anak dan isteri kita.

Kalaupun kita tahu dia jahat tetapi kejahatan itu jangan di pamerkan di billborad untuk tontonan orang lain, cakaplah dengan baik. Juga kalau kita tahu wang itu rasuah tetapi kita tetap juga memakannya maka ternyata kita lebih hina dan bangsat dari orang yang memberi wang itu kepada kita.

Mengenai isu RM4 juta saya rasa bukan nawaitu bloger itu hendak dedahkan dan memburukan orang tertentu. Beliau sekadar menjelaskan keadaan apabila ada tuduhan buruk ke atasnya. Baginya wajar untuk membela diri, termasuklah membuat pengakuan yang meragukan itu.

Seperkara lagi orang yang membangkit dan menyentuh diri bloger berkenana juga kurang bijak. Janganlah kita mudah membuat tuduhan terehadap apa-apa yang didedahkan. Adakalanya ia sengaja membuat provokasi dengan tujuan yang tidak terlihat oleh kita. Dalam keadaan ini kalau kita memberi reaksi, maka buruklah padahnya dan dia hanya akan ketawa gembira. Itulah yang didingininya. Dalam hal ini semua pihak harus bijak.

Kepada Mustapa yang meminta Pas Kelantan mendedahkan dari mana sumber wang itu tidak payah dilayan. Yang pastinya RMN4 juta bukan dari royalti Petroleum Kelantan yang disembunyi dan disekat oleh Mustapa. Mustapa tidak payah risau tentang itu. Ia juga bukan dari wang kontraktor yang mendapat projek buat sekolah atau Maktab Sains Mara di Kelantan. Sesiapa juga jangan cuba meletakkan Pas Kelantan sebagai haprak untuk mengumpulkan dana sebanyak itu sehingga terpaksa melakukan rasuah. Jangan!

Perjuangan Pas perjuangan leluhur bagi ahli dan penyokongnya. Ahli Pas bukan seperti ahli Umno. Ia berbeza. Ahli Pas sedia mengimfakkan harta untuk perjuangan manakala ahli Umno senantiasa mencari peluang kebendaan dari partinya. Perbezaan ini hendaklah difahami sebaik-baiknya.

Dana RM4 juta itu kalau pun benar, ia adalah wang yang diambil dari sumber sah dan halal untuk manfaat perjuangan. Kalau ia dari sumber rasuah sudah lama ada pemimpin Kelantan didakwa oleh SPRM. Tidak salah kalau kita leburkan untuk perjuangan, sebaliknya salah kalau wang disimpan untuk kepentingan diri. Dan dalam politik sekular yang diamalkan di negara ini hari ini apalah salahnya kalau sehelai dua dari jumlah RM4 juta itu termasuk dari wang tumbuk.

Oleh : Mohd Sayuti Omar

Datuk Zaid: Berjuang Demi Selamatkan Sistem Pilihan Raya


Oleh Kim Quek

Akhirnya, kita mempunyai seorang pemimpin yang berani tampil ke depan mengambil tindakan undang-undang terhadap sistem pilihan raya yang tercemar di Malaysia, kini tidak terkawal lagi.

Kita lihat bagaimana pemimpin Pakatan Rakyat (PR), Zaid Ibrahim, tewas dengan majoriti yang kecil kepada calon Barisan Nasional (BN) dalam satu pertandingan yang paling korup dan paling kotor dalam sejarah pilihan raya di negara ini.
Zaid akan mengambil tindakan undang-undang bagi memulihkan sistem pilihan raya yang telah rosak seperti mana yang diperlihatkan dalam pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor baru-baru ini.

Selain menuntut untuk mengisytiharkan keputusan pilihan raya itu sebagai terbatal, beliau juga akan menyaman Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) kerana melanggar Perlembagaan dan kegagalan SPR untuk menjalankan tugas dengan adil tetapi sebaliknya memihak kepada politik BN.

Tambahan pula, beliau juga akan menyaman akhbar Utusan Malaysia, yang dikuasai oleh Umno kerana melancarkan kempen memburuk-burukkan peribadi beliau.
Pilihan raya kecil kali ini dicemari dengan ugutan, merubah senarai pengundi, serangan peribadi dan rasuah secara berleluasa manakala SPR dan pihak polis secara terang-terang memihak kepad BN.

Malahan gejala rasuah begitu teruk – membeli undi secara terbuka dengan menggunakan dana orang ramai berjumlah jutaan ringgit sehingga melibatkan projek-projek yang tidak terhitung jumlahnya.

Zaid menyifatkan Perdana Menteri Najib Tun Razak yang mengetuai kempen pilihan raya sebagai "sesuatu yang memalukan dan tidak pernah berlaku dalam sejarah."
Mengenai pencabulan yang melampaui batas terhadap peraturan dan undang-undang pilihan raya, SPR terus membisu.

Apabila berdepan dengan kritikan tanpa henti, Pengerusi SPR Abdul Aziz Mohd Yusof dilaporkan dalam sebuah akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Press bertarikh 29 April sebagai berkata:

"Membenteras rasuah adalah bukan bidang pengkhususan kami. Tugas kami ialah menyediakan sebuah padang permainan yang adil untuk pertandingan dalam pilihan raya. Bagaimanapun, kami tetap mengalu-alukan sebarang aduan daripada mereka yang mempunyai butiran lanjut.
"Jika sesebuah projek itu dirancang lebih awal dan secara kebetulan dilaksanakan dalam waktu kempen pilihan raya, ianya bukan rasuah.
Saat meluluskan peruntukan itu adalah penting di sini, sama ada para pengundi keluar keluar mengundi kerana projek-projek itu.

"Pakatan Rakyat telah memenangi tujuh dari 10 pilihan raya yang diadakan sejak pilihan raya umum lalu tetapi masih membuat aduan bahaw SPR memihak kepada BN.
Saya berharap para peserta yang terlibat dengan pilihan raya sedar bahawa memenangi pilihan raya adalah disebabkan sokongan orang ramai dan bukan "pertolongan" daripada SPR," demikian apa yang diucapkan oleh Abdul Aziz.

Ini adalah karut semata-mata. Kita tidak dapat menerima alasan kononnya kemungkinan projek-projek "dirancang lebih awal" dan "secara kebetulan" apabila melihat kepada bilangan, saiz projek dan geran yang diumumkan dalam tempuh masa yang singkat.
Meraih sokongan dalam pilihan raya dengan mengumumkan "gula-gula" secara terbuka dan disaksikan oleh ribuan manusia serta sama ada penerima "gula-gula" mengundi pihak yang memberi "gula-gula" adalah isu rasuah yang tidak relevan di sini.

Dan hakikat pada akhirnya, Pakatan memenangi lebih banyak kerusi pilihan raya kecil berbanding BN tidak bererti SPR tidak menyokong BN.

Adalah sesuatu yang memeranjatkan apabila pengerusi SPR memberi alasan yang tidak logik dan remeh semata-mata untuk menyembunyikan kesalahan dan kelemahan SPR.
Tetapi insiden rasuah yang mendapat publisiti paling meluas dilakukan oleh Najib sendiri ketika berdepan dengan para pengundi Rasa menjelang hari mengundi pada 25 April lalu.

Beliau memberitahu penduduk, jika BN menang, beliau sendiri akan menyerahkan geran sebanyak RM3 juta kepada Sekolah Rendah Kebangsaan Cina Rasa pada hari keesokannya dan wang itu akan disalurkan kepada akaun bank pihak lembaga sekolah.
Najib menambah, "jika kami kalah, tidak perlu datang." Berita ini dilaporkan dalam akhbar dan internet dan Najib tidak menafikannya.

Apa lagi bukti SPR mahu sebelum bertindak?

Insiden yang satu ini sudah cukup untuk mendakwa Najib melakukan rasuah di bawah Seksyen 10, Akta Kesalahan Pilihanraya 1954, dan jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 11, iaitu hukuman maksimum penjara dua tahun dan denda RM5,000. Selain itu, beliau boleh digantong dari bertanding dalam pilihan raya selama lima tahun.

SPR sering mengeluh ia tidak memiliki kuasa siasatan dan tidak ada kepakaran dalam membenteras rasuah, tapi saya ingin mengingatkan SPR bahawa ia memiliki tugas dan kuasa di bawah Seksyen 5, Akta Pilihanraya 1958.

Untuk tugas-tugasnya, Akta itu menyebut "SPR boleh mengawasi dan mengawal etika perjalanan pilihan raya dan boleh menguatkuasakan ke atas para pegawainya supaya berlaku adil, tidak berat sebelah dan mematuhi Bahagian VIII Perlembagaan dan Akta ini dan peraturan-peraturan yang tertakluk di bawahnya."

Sementara mengenai kuasa-kuasanya yang ada, Akta itu menyebut bahawa SPR "boleh mempunyai bidang kuasa untuk mengarah para pegawai pilihan raya seperti mana yang difikirkan perlu oleh Suruhanjaya untuk memastikan pelaksanaan pilihan raya menurut Bahagian VIII Perlembagaan dan Akta ini."

SPR juga mempunyai kuasa untuk mentadbir apa-apa peraturan dan melaksanakan apa-apa tugas yang diamanah dan dikuatkuasakan ke atasnya oleh Akta itu.
Umum mengetahui bahawa SPR tidak mempunyai kepakaran dan tenaga kerja yang sama seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bagi menangani gejala rasuah dan menahan mereka yang korup.

Tetapi ini tidak bermakna SPR boleh bersikap lebih tangan apabila berdepan dengan amalan rasuah yang berleluasa hingga menjejaskan peranannya sebagai orang tengah bagi mempastikan pilihan raya yang bebas dan adil.
Lebih memburukkan keadaan, apabila SPR didapati mengamalkan politik berpihak dengan mengubah tempat mengundi bagi sebahagian pengundi tanpa notis lebih awal.
Perbuatan memindahkan pengundi ke tempat mengundi yang lain telah menafikan sebilangan pengundi dari melaksanakan hak mereka untuk mengundi dengan secara tidak mengikut perlembagaan.

Parti pemerintah BN telah bermain politik kotor dalam setiap pilihan raya sejak lima dekad yang lampau. Ini menyebabkan sistem pilihan raya kita tercemar hingga mengucar-kacirkan asas ketetapan Perlembagaan kita – bahawa sesebuah kerajaan itu dibentuk mengikut kehendak rakyatnya secara bebas.

Tindakan SPR membiarkan petualang-petualang ini mencetuskan kacau beliau pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor tanpa diambil sebarang tindakan bermakna menggalakkan tindakan-tindakan jenayah dengan menggadai hak rakyat yang penting ini.
Adalah menjadi tugas setiap rakyat untuk bangkit dan menuntut hak mereka sekarang dengan memberi sokongan penuh kepada Zaid Ibrahim dalam usaha murni beliau untuk memulihkan proses pilihan raya yang telah sekian lama tercemar.

- Terjemahan oleh Zainal Abidin Nor

Mantan KM Sabah Gesa KPN Letak Jawatan Disebabkan Kenyataan Yang Tak Bertanggungjawab


KOTA KINABALU 2 Mei: Mantan Ketua Menteri Sabah Datuk Yong Teck Lee menggesa Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan meletak jawatan memandangkan beliau tidak lagi layak memegang jawatan tersebut.

Gesaan itu dibuat berhubung kenyataan Musa yang menggugut untuk menarik balik anggota polis daripada berkawal di jalan raya selepas insiden remaja berusia 14 tahun, Aminulrasyid Amzah yang mati ditembak polis di Shah Alam pada Isnin lepas.

Yong yang juga merupakan Presiden Parti Progresif Rakyat Sabah (SAPP) turut menyelar kenyataan Musa yang dianggap sebagai tidak bertangungjawab.

Menurut laman portal berita freemalaysiatoday, Yong dipetik sebagai berkata sikap angkuh Musa akan memberikan nama buruk erhadap pasukan polis.

"Ianya selepas beliau mengancam untuk tidak menguatkuasa undang-undang dan tindakan beliau itu boleh menyebabkan rakyat akan hilang keyakinan terhadap keseluruhan pasukan polis,

"Beliau harus meletak jawatan dengan secepat mungkin dan jika beliau masih kekal di dalam pejabat, ini akan menyebabkan ketakutan di kalangan rakyat,

"Kenyataan beliau itu telah menyakitkan hati rakyat dan telah merosakkan reputasi pasukan polis," kata Yong dalam kenyataannya kepada media.

Dalam pada itu Yong juga turut menambah, kenyataan Musa itu tidak adil kepada anggota polis yang lain yang telah bekerja keras dan menggadai nyawa dalam menjalankan tugas mereka. -SK
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.