Harakahdaily
KOTA BHARU, 3 Mei: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak digesa menjelasakan kepada rakyat berhubung bagaimana kabinet Malaysia pada 11 Februari 2009 bersetuju menyerahkan sempadan laut yang mempunyai medan minyak blok L dan M kepada negara Brunei.
Dalam surat terbuka yang penuh persoalan kepada Najib, Exco Kelantan, Datuk Husam Musa turut mempersoal, kenapa Malaysia terlalu mudah melepasakan dua blok minyak di kawasan bertindih itu.
"Jika kita tidak mempunyai hak ke atasnya sama sekali, bagaimana Brunei boleh mengizinkan kita terlibat sama dalam perkongsian pengeluaran bagi kedua-dua blok itu dalam tempoh empat puluh tahun?
"Mengapa pula sebelum ini kita telah menandatangani perjanjian konsesi dengan Murphy Oil jika kita tidak yakin ia adalah milik kita?
"Bukankah selama ini kawasan ini dalam perairan kita dan tiba-tiba kita tidak mempunyai asas yang kukuh untuk terus memilikinya?" soalnya dalam surat tersebut.
Dua blok minyak itu dulunya adalah milik Petronas dan Petronas telah pun menganugerahkan konsesi kawasan ini untuk pengeluaran kepada Petronas Carigali dan Murphy Oil sejak 2003 dan berkuatkuasa bulan April tahun ini, perjanjian konsesi berkenaan terpaksa ditamatkan.
Husam yang juga AJK PAS Pusat turu mempersoal, kenapa tiada penjelasan parlimen dibuat dan rakyat pula tidak dimaklumkan mengenai keputusan yang dibuat kerajaan itu.
Menurutnya, segalanya terbongkar hanya apabila Murphy Oil kepada NYSE membuat kenyataan selepas konsensinya dibatalkan.
"Rakyat berhak untuk tahu apakah sebab politik mendesak sehingga keputusan seperti itu dibuat.
"Adakah ia semata-mata untuk menyenangkan hati Perdana Menteri waktu itu dan seluruh Kabinet menerima keputusan ini walau pun ianya merugikan negara?" soalnya lagi.
Penyerahan itu juga jelas Husam menimbulkan keraguan terhadap tahap tanggungjawab pemimpin negara, bahkan tahap kemampuan mereka membuat keputusan untuk kepentingan negara dengan wajar dan tepat.
"Jika sebiji pulau kecil sebesar Batu Putih kita perjuangkan hingga saluran terakhir, mengapa wilayah sebesar dan sekaya itu kita lepaskan sebegitu mudah?
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir yang mendedahkan perkara itu mendakwa jumlah kerugian akibat penyerahan itu dalam bentuk perolehan adalah AS$100 bilion (RM320 bilion).
0 comments:
Post a Comment