Abil membacakan Sinar Harian Edisi Isnin kepada isterinya, semalam. - Foto Sarinah Mat Kasim
Abil membaca kisah hidupnya dengan isteri yang disiarkan Sinar Harian Edisi Isnin, semalam. - Foto Sarinah Mat Kasim
Abil mencium isterinya sebagai tanda kasih yang tidak berbelah bagi. Foto Sarinah Mat Kasim
SEREMBAN – “Saya bukan cari publisiti.” Demikian kata Abil Fikri Ahmad, 43, yang kesal dengan tanggapan sesetengah pihak yang menuduhnya cuba mengambil kesempatan atas penderitaan isterinya, Fauziah Muhamad. Perkara ini timbul apabila dia mula melakarkan perjalanan hidupnya menjaga Fauziah, 38, yang menderita akibat kerosakan saraf pada otak, menerusi blog sejak April lalu.
Abil menjadikan laman blog yang didaftarkan atas nama ‘abil4fauziah’ sebagai diari.
Abil berkata, satu kiriman pesanan ringkas diterimanya sebelum ini cukup meruntun hatinya apabila ada pihak menuduhnya mencari publisiti atas kesengsaraan dialami isterinya.
“Saya kecewa. Saya tak sangka ada pihak sanggup menuduh saya sedemikian rupa,” katanya yang tidak pernah terfikir untuk mengambil kesempatan atas keadaan isterinya.
Dia berkata, SMS yang diterima lebih kurang berbunyi, “Encik Abil saja reka cerita nak cari publisiti ke? Buat blog untuk ‘promote’ diri? Nak tunggu dapat anugerah suami mithali? Supaya dapat gelaran Datuk?”
“Saya terkilan apabila ada pihak yang menuduh saya sebegitu,” katanya dengan nada penuh kesal sambil beristighfar panjang.
Ceritanya, SMS itu diterima Jun lalu daripada insan yang tidak dikenali dan dia cuba menerangkan dengan cara baik, namun gagal.