Perlanggaran Kontrak : UiTM Disaman RM32.4 juta


SHAH ALAM 1 April - Sebuah syarikat yang mendakwa menanggung kerugian kira-kira RM32.4 juta kerana perlanggaran kontrak oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM) berhubung perkhidmatan sistem permohonan kemasukan penuntut secara dalam talian, hari ini memfailkan saman terhadap universiti itu.

Trius Computers Sdn. Bhd. selaku plaintif memfailkan saman itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini melalui firma guaman Tetuan Hazura Yusoff & Partners.

Dalam pernyataan tuntutannya, Trius Computer mendakwa pihaknya telah dilantik oleh UiTM bagi membangunkan satu sistem perisian komputer yang dikenali sebagai Aplikasi Elektronik UiTM melalui satu perjanjian bertarikh 15 Jan 2004.

Plaintif mendakwa sistem itu bertujuan memproses sistem permohonan kemasukan penuntut di peringkat Sijil, Pra Diploma, Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana dan Ph.D serta kursus-kursus profesional yang ditawarkan oleh defendan.

Trius Computer mendakwa rentetan daripada perjanjian itu pihaknya telah bersetuju untuk menjadi perunding dan membangun serta mengendalikan sistem permohonan kemasukan secara dalam talian itu bagi pihak UiTM selama 15 tahun bermula 21 Ogos 2001 sehingga 20 Ogos 2016.

Bagaimanapun plaintif mendakwa, pada 7 Mac lepas, UiTM didapati telah mengiklankan dalam akhbar Mingguan Malaysia berkaitan Permohonan Kemasukan Pelajar Baru Sesi Julai 2010 melalui alamat laman web http://www.online.uitm.edu.my dan tindakan universiti itu didakwa telah melanggar perjanjian mereka kerana alamat laman web yang diiklankan bukanlah seperti yang dikendalikan oleh plaintif iaitu www.uitmonline.edu.my.

Trius Computer mendakwa tindakan UiTM mengiklankan alamat laman web yang lain selain daripada apa yang dijalankan oleh plaintif telah secara tersiratnya menunjukkan bahawa universiti itu telah menamatkan perjanjian mereka. - Bernama

Simptom Influenza (ILI) : Dua sekolah di Langkawi ditutup


112 pelajar alami simptom demam, batuk dan selesema seperti influenza

ALOR SETAR: Dua sekolah di Langkawi diarah tutup, satu daripadanya sejak kelmarin oleh Jabatan Kesihatan negeri berikutan ramai pelajarnya terkena penyakit seperti influenza (ILI).

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Langkawi Pulau Tuba, ditutup selama lima hari bermula kelmarin berikutan 112 pelajarnya terkena jangkitan demam, batuk dan selesema, manakala Sekolah Kebangsaan Bagan Selat Nyiur diarah tutup semalam berikutan lebih 50 peratus pelajarnya terkena jangkitan sama.

Sementara itu, sebuah lagi sekolah, iaitu SM Teknik Langkawi diletakkan dalam pengawasan rapi oleh Jabatan Kesihatan dan dijangka dikenakan tindakan sama jika jangkitan terus merebak hari ini.

Difahamkan, Jabatan Kesihatan Daerah Langkawi menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi menangani kes itu dengan melakukan pemantauan dan memberi penerangan mengenai cara mencegah jangkitan daripada merebak.

Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Marzukhi Md Isa, berkata bagi kes di SMK Langkawi Pulau Tuba, pihaknya sudah menghantar empat sampel diambil daripada pelajar yang terkena jangkitan untuk diuji di makmal Hospital Sungai Buloh, Selangor, bagi menentukan sama ada ia berkaitan dengan jangkitan Influenza A (H1- N1).

“Buat masa ini kita belum dapat mengesahkan apa jenis jangkitan yang dihidapi pelajar kerana belum mendapat hasil ujian daripada Hospital Sungai Buloh disebabkan sampel dihantar semalam (kelmarin).
“Bagaimanapun kita terpaksa meminta supaya sekolah ini ditutup buat sementara kerana terdapat tanda bahawa rebakan jangkitan ini menular dengan cepat di kalangan pelajar.

“Selain itu ia juga dibuat atas tujuan berjaga-jaga untuk menyekat sebarang jangkitan daripada merebak,” katanya ketika dihubungi Berita Harian di sini, se-malam.

Selain itu, Dr Marzukhi berkata, setakat ini juga belum ada tanda jangkitan yang serius kepada mana-mana pelajar terbabit dan semua yang berkaitan sedang dirawat mengikut prosedur biasa.

Sementara itu, Pengarah Pelajaran Kedah, Shahidan Abdul Rahman berkata, pihaknya sedia memberi kerjasama jika terdapat beberapa lagi sekolah yang perlu dikenakan tindakan sama berdasarkan nasihat Jabatan Kesihatan.

“Bagi kes di SMK Langkawi Pulau Tuba pihak sekolah sebelum ini menyedari terdapat tanda jangkitan penyakit yang tidak diketahui dan memaklumkannya kepada Jabatan Kesihatan untuk tindakan lanjut.

“Selepas menjalankan pemeriksaan, kami diminta Jabatan Kesihatan supaya sekolah ini ditutup sementara ujian dan pengesahan dibuat.

“Buat masa ini kita menutup sekolah berkenaan dan semua pelajar termasuk yang menginap di asrama diarahkan pulang,” katanya ketika dihubungi.

Api... Api... Api... Stor Barangan Plastik Terbakar


ANGGOTA bomba bertungkus lumus memadam kebakaran sebuah stor menyimpan barangan plastik di Kawasan Perindustrian Menglembu dekat Ipoh, hari ini.

Datuk Zaid antara dipanggil Anwar : Calon Hulu S'gor




Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi telah menemui kira-kira 10 orang, termasuk penyelaras Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim, yang disebut-sebut bakal dipilih menjadi calon parti itu untuk bertanding dalam pilihan raya Hulu Selangor tidak lama lagi.

Menurut sumber-sumber, pertemuan tersebut diadakan di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya selepas tamatnya mesyuarat biro politik parti itu kira-kira jam 11 malam tadi.

“Mereka masuk (bertemu Anwar) secara berperingkat-peringkat, dimulakan dengan dua anggota biro politik, Datuk Zaid Ibrahim (kiri) dan Shamsul Iskandar Md Akin,” kata mereka ketika ditanya tentang pertemuan tersebut.

Kerusi parlimen Hulu Selangor kosong ekoran kematian penyandangnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad ada 25 Mac lalu akibat barah otak.

Berikutan itu spekulasi berhubung siapakah bakal dicalonkan bagi bertanding mempertahankan kerusi tersebut, berterusan dalam PKR.

Pelbagai nama disebut-sebut telah dikemukakan kepada parti. Selain Zaid dan Shamsul (kiri), turut disebut-sebut ialah penceramah popular, Badrul Amin; presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Syed Shahir Syed Mohamud; bekas setiausaha akhbar Anwar, Khalid Jaafar; dan aktivis peguam, N Surendran.

Manakala PKR cabang tersebut pula menamakan dua anak tempatan - Razali Mokhtar dan Datuk Dr Halili Rahmat.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, sumber-sumber memberitahu kesemua nama yang disebut-sebut itu dipanggil, termasuk beberapa nama lagi yang tidak diketahuinya.

“Jumlah kesemuanya kira-kira sepuluh orang,” kata sumber-sumber itu. Terdapat sumber lain memberitahu, jumlah keseluruhannya 11 orang.

Tambah mereka, pertemuan tersebut hanya sesi “sembang-sembang” dengan Anwar bagi mengenalpasti calon yang paling layak untuk dipilih.

Ditanya tentang perbincangan biro politik yang bersidang malam tadi, sumber-sumber memaklumkan bahawa soal pemilihan calon ditimbulkan tetapi “tidak dibincangkan sangat” kerana ia merupakan bidang kuasa presiden dan ketua umum.

“Presiden dan ketua umumlah yang akan memilihnya,” katanya yang menjangka pemilihan calon tidak akan dibuat tergesa-gesa, termasuk dalam mesyuarat majlis tertinggi PKR Ahad ini.

Ditanya tentang nama-nama yang dianggap selesa, sumber tersebut menamakan Syed Shahir dan Khalid.

“Yang lainnya masih 50-50,” katanya sambil menambah, kemungkinan terdapat di kalangan mereka yang dipanggil semalam tidak berminat dan akan memberikan laluan kepada pihak lain.

Muhyiddin akui Umno guna sekolah untuk tujuan politik



KUALA LUMPUR- Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui terdapat pihak tertentu yang menggunakan sekolah untuk tujuan politik.

Beliau berkata demikian sewaktu menjawab soalan yang dikemukakan Dr Lo'Lo' Mohd Ghazali (PAS- Tittiwangsa) sewaktu sesi penggulungan perbahasan menjunjung kasih titah Yang diPertuan Agung di Dewan Rakyat.


Dr Lo'Lo' sewaktu mencelah ucapan Muhyiddin menyatakan beliau berasa sukacita apabila Muhyiddin menyatakan pimpinan masyarakat boleh masuk ke sekolah-sekolah untuk bersama-sama membantu menjayakan program-program anjuran sekolah.

Bagaimanapun Lo'Lo' melahirkan kekecewaan kerana terdapat sekolah-sekolah yang mengambil peluang bagi tujuan politik di sekolah terbabit.

"Kita bercakap sebagai ahli parlimen yang matang dan bukan mengeluarkan kenyataan sembrono. Saya mendapat maklumat Umno dan Puteri Umno masuk ke sebuah sekolah menengah di Segambut. Ini jelas menunjukkan ia bertujuan untuk aktiviti politik.

"Begitu juga saya difahamkan bekas wakil rakyat Titiwangsa merasmikan sukan di salah sebuah sekolah di kawasan saya, sedangkan saya ahli parlimen kawasan tersebut di larang masuk. Jadi saya minta perkara seperti ini dapat difikirkan kembali," katanya.

Kenyataan beliau itu disokong Ahmad Kassim (PAS-Kuala Kedah) yang menyatakan sekiranya kerajaan membenarkan ahli politik masuk ke sekolah-sekolah, ia tidak harus membezakan parti-parti politik tertentu.

"Kalau kerajaan benarkan, benarkan semua. Kalau tidak benarkan, jangan benarkan semua,"katanya.

Sementara itu, Muhyiddin yang juga Timabalan Perdana Menteri memberi jaminan akan cuba memperbaiki segala kelemahan yang berlaku.

"Jika benar Puteri Umno masuk ke sekolah-sekolah untuk pendaftaran ahlinya, saya rasa ia memang tidak patut berlaku. Dan saya berharap kelemahan ini dapat diperbaiki,"katanya.

Tabloid politik terbaru -KABAR - Belum keluar dah kena kacau Dek KDN



Isu Apco: KDN 'ganggu' edisi sulung tabloid politik

Belum sempat berada dalam pasaran, tabloid politik terbaru -Kabar - mendakwa 'diganggu' oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN), dipercayai ekoran laporan muka depannya edisi sulungnya berhubung isu mengenai firma perhubungan antarabangsa, Apco Worldwide.

Ketua pengarang akhbar dengan slogan “Era Pakatan” - menggantikan Konsep yang gagal diperbaharui permit penerbitannya - Mohd Zahari Ali berkata, empat pegawai KDN datang ke kilang pencetaknya di Shah Alam pagi tadi dan melarang pencetakannya.

“Mereka kata tiada permit. Mereka tidak benar cetak,” katanya sambil menambah bahawa tabloid Kabar telah mendapatkan permit dari kerajaan pada Disembar tahun lalu.

“Mereka berada di situ kira-kira 30 minit. Lepas kita faks permit (penerbitan) ke kilang, mereka beredarlah,” katanya.

Kelmarin, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan di Parlimen mengenai perjanjian antara kerajaan Malaysia dengan Apco dan Apco dengan dengan kerajaan Israel, ketika Ehud Barak mengetuai angkatan tentera Israel.

Beliau dilaporkan berkata, kontrak Malaysia dengan Apco ditandatangani pada 4 Ogos 2009 dengan tugas khusus untuk memperbaiki imej Malaysia di luar negara.

Bercakap kepada Malaysiakini hari ini, Mohd Zahari mengesyaki 'gangguan' terhadap kilang pencetak akhbarnya itu disebabkan tindakan Khabar mengetengahkan isu Apco dan memuatkan teks ucapan penuh Anwar.

“Ia bukan sebab permit (mereka ganggu), tetapi isu Anwar dan Apco,” kata Mohd Zahari yang pernah berkhidmat dengan beberapa akhbar dan penerbitan pembangkang dan saluran TV arus perdana.

Akhbar 32 mukasurat itu berada dalam pasaran di sekitar Lembah Klang hari ini dan esok di lain-lain negeri. Memfokuskan isu-isu Pakatan Rakyat, ia diedarkan di seluruh negara dengan harga RM2 senashkah di Semenanjung dan RM3 di Sabah dan Sarawak.

Edisi sulung akhbar yang diterbitkan dua kali seminggu itu, buat permulaan dicetak 40,000 nashkah, memandangkan Konsep sebelum ini mendapatkan sambutan menggalakkan – dengan 30,000 nashkah terjual.

Mohd Zahari berkata, pihaknya - penerbit Damak Media - menerbitkan akhbar baru ekoran Konsep berkubur - keluaran terakhir 15 Mac - kerana gagal memperbaharui permit penerbitan “dengan pelbagai alasan” daripada KDN.

One Israel-1M'sia: BN heret Anwar ke JK khas



Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz hari ini berkata kerajaan akan mengheret Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jawatankuasa khas mengenai hak dan kebebasan Parlimen.


"Kerajaan mengambil keputusan membentangkan usul untuk membawa wakil Permatang Pauh ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen mengikut Peraturan 18(2)," katanya.
Menurut Nazri kerajaan telah mendengar penjelasan Anwar Selasa lalu dan memndapati hujah-hujahnya tidak mempunyai asas untuk menyokong dakwaannya.

"Anwar langsung tidak tunjukkan bukti untuk sokong dakwaan 1Malaysia diambil daripada 1Israel.

"Apa yang dijelaskan itu tidak beri bukti nyata, hanya kaitkan secara 'circumstantial' perkara lain, seolah-olah Apco diguna oleh operator-operator itu bukan bukti kukuh untuk kaitkan One Israel.

"Apco juga telah keluarkan kenyataan, disebarkan melalui akhbar, penafian terhadap dakwaan Anwar.

Katanya lagi, beliau bercadang untuk menghantar surat secepatnya esok kepada jawatankuasa berkenaan, yang akan dipengerusikan speaker dewan, untuk merujuk Anwar ke jawatankuasa berkenaan.
Anwar semasa ucapan lebih tiga jamnya ketika hujah penggulungan terima kasih ke atas titah Yang di-Pertuan Agong, mendakwa Apco Worldwide, sebuah agensi perunding dilantik oleh kerajaan Malaysia adalah syarikat yang sama melakarkan slogan "One Israel'.

Menurut beliau, Apco pada 1999 menasihatkan perdana menteri Israel ketika itu, Ehud Barak untuk memperkenalkan slogan 'One Israel'.

Nazri kemudiannya memberi ketua umum PKR itu tempoh seminggu untuk memberikan penjelasannya pada Selasa lalu.


Anwar kemudiannya menggunakan kesempatan itu untuk mendedahkan peranan Ethos Consulting, sebuah firma rundingan tempatan yang didakwa bertanggungjawab memperkenalkan Apco kepada perdana menteri.

Anwar dalam pada itu turut mendedahkan nama dan maklumat ringkas beberapa individu dalam Apco yang didakwa mempunyai hubungan secara langsung dengan kerajaan dan tokoh-tokoh Israel.

Apa-apa yang diluahkan oleh ahli parlimen ketika sidang Dewan Rakyat dilindungi oleh imuniti dan tiada tindakan yang boleh dikenakan, termasuk didakwa di mahkamah kecuali dihadapkan ke jawatankuasa khas itu.
Sekiranya Anwar didapati bersalah, beliau boleh digantung daripada menghadiri sidang parlimen untuk jangka masa yang ditetapkan oleh jawatankuasa berkenaan.

DS Nizar : Media dinafikan hak untuk buat laporan



IPOH : Liputan hanya dibuat oleh akhbar arus perdana, media yang lain dinafikan untuk masuk. Tv 3 dan sebagainya melapurkan sesuatu yang tidak baik dan songsang sahaja.Demikian antara kenyataan DS. Nizar Jamaluddin yang diadakan di Pejabat PR disini pagi ini.

Beliau juga mengatakan "kami nampak saudara-saudara macam ikan dalam akuarium, kami menyatakan simpati kepada saudara dan ini satu satu malapetaka dan tragedi kepada warga media.

Sidang Media yang dihadiri oleh Pimpinan Pakatan Rakyat dan ADUN PR Perak itu dihadiri oleh sekitar 40 orang rakan media dan blogger.

Nizar menegaskan apakah alasan sebenar ADUN Pakatan Rakyat keluar dewan dengan alasan dan gambaran seperti kanak-kanak , mengacau dan sebagai .kami tegaskan kami keluar kerana :

1. Seorang lelaki yang meyamar sebagai speaker menafikan hak kami selepas ADUN Pantai Remis menyatakan sesuatu sesuai dengan peraturan tetap tetapi dinafikan , sepatutnya macam di parlimen , speaker kena dengar dulu samada terima akan ditolak. Ganesan menolak peraturan tetap.

2. Kenapakah dalam agenda tidak mengikut ketetapan dalam perintah tetap, mengikut artikal 13 sebaik soalan dibuat, agenda yang kena beri keutamaan ialah junjung kasih kepada titah ucapan. sedangkan dalam agenda ada agenda pengesahan rang undang-undang. bila kami tanya kenapa tidak ada perbahasan, dia tidak jawab kerana dia tidak faham.

3. Kita merayu untuk 5 hari persidangan untuk waktu yang cukup kepada 59 wakil rakyat untuk kemukakan masalah rakyat.,mana cukup dengan 5 jam. memang dengan arahan Zambry tidak mahu mengadakan sidang yang panjang, cuma auntuk mengesahkan beberapa undang-undang tertentu , bukan untuk bahas masalah rakyat

4. Kita hanya bermula sesi soal jawab pada jam 10.12 dan berhenti sebelum jam 10. di parlimen soalan-soalan dijawab satu setengah jam. Soalan juga banyak dari ADUN BN, Tajol Rosli saja ada 3 soalan. kami menurut peraturan tetap 22/2 dimana kami dikehandaki hantar sebelum 14 hari, namun ganesan unumkan hanya terima 7 adun yang hantar dengan email sahaja.

5.Semua pembesar suara ADUN PR ditutup , ini satu deskrimanasi .

6. Kami diarahkan masuk selepas jam 9.45 ini satu deskriminasi. pada hari pertama kami di pintu E dihalang untuk masuk. Polis banyak diluar dan didalam dewan. dikiri kanan dalam dewan jugaada polis. kita persoalkan kenapa ganesan masih takut dan tidak benarkan sidang yang lebih bebas.

7. Internet dihalang dan disekat, zaman kami 4 hari kita ekses siaran langsung seluruh dunia.

8. Kalau zambry mengatakan kami budak-budak, apa pula dengan merampas kuasa sedangkan kami yang pertahankan hak rakyat, tentunya yang rampas lanun dan sebagainya.

9.Kita bantah menurut artikal 13 mengenai titah ucapan Tuanku kena dahulukan , bukanya mendahulukan lulus rang undang-unadang. Selepas itu zambry baru buat usul.

10. Kami nampak pada hari pertama saya 5 buah bas polis dan saya lihat dalam akuarium penuh dengan anggota polis dalam galeri. dalam dewan pun ramai polis, sebab itu saya akan hantar surat kepada ketua polis datuk zulkifli, kami ingin menyatakan hasrat kenapa polis membenarkan diarahkan oleh p[ihak yang tidak bertanggung jawab.

11. kita berhasrat untuk menghantar kepada Setiusaha DYYM Sultan Perak untuk mencerita keadaan sidang kelmarin, sekiranya kami dipanggil untuk mengadap kami akan hadir untuk menceritakan kepada tuanku dan kami akan akan hadir untuk menceritakan.

Kartika jalani hukuman khidmat masyarakat?



Bekas model Kartika Sari Dewi Shukarno diperintahkan ke Jabatan Agama Islam Pahang di Kuantan esok bagi menjalani hukuman terhadapanya kerana didapati bersalah minum arak, kata bapanya.

Shukarno Mutalib berkata, beliau dimaklumkan oleh peguam mereka bahawa anaknya diminta melaporkan diri ke jabatan tersebut pada jam 8.30 pagi esok.

“Esok saya akan serah dia (Kartika) pada Jabatan Agama. Katanya untuk jalani kerja-kerja (khidmat) masyarakat,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini pagi ini.

Shukarno bagaimanapun tidak pasti sama hukuman sebat terhadap anaknya dibatalkan.

“Saya pun tidak pasti. Ada ruang bincang, kita bincang. Esoklah kita tengok apa jadi,” katanya.

Ditanya perasaannya sekiranya hukuman kontroversiti itu dibatalkan dan digantikan dengan khidmat masyarakat, Shukarno secara berseloroh berkata:

“Kalau tidak gembira, saya tidak hantarlah (ke Kuantan). Tetapi yang penting, saya turut perintah.

"Sama ada gembira atau tidak kita tengok esoklah,” katanya yang kini sudah sampai di Kuala Lumpur dan dijadual bermalam di sini, sebelum bergerak ke Kuantan awal pagi esok.

Nurul Izzah lancar komik terbaru Zunar Jumaat ini



KUALA LUMPUR, 31 Mac: Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar akan melancarkan majalah terbaru Zunar berjudul Isu Dalam Katak. Majlis tersebut akan diadakan pada hari Jumaat 2 April, jam 11 pagi di restoran Pak Amjal, Pantai Baru, Kuala Lumpur.

Isu Dalam Katak adalah sebuah majalah kartun isu semasa yang dihasilkan oleh Zunar serta kartunis-kartunis seperti Jonos, Ronasina, Art, Lan dan Naza.

“Tempat tersebut dipilih kerana kami mahu venue pelancaran kali inilebih dekat kepada rakyat, iaitu di sebuah restoran tepi jalan berbanding hotel atau dewan,” kata Zunar dalam satu kenyataan medianya.

Restoran Pak Amjal terletak di tengah laluan ke Kuala Lumpur, dengan itu memudahkan orang ramai untuk hadir dan bertemu dengan mereka. Selain itu ia terletak berhadapan pintu masuk Universiti Malaya, dengan itu memberi kemudahahan kepada mahasiswa untuk hadir bersama.

Selain majlis pelancaran dan ramah mesra, juga diadakan sesi bertemu kartunis, karikatur dan bacaan puisi. Majlis akan bermula jam 10 pagi hingga 5 petang.

Antara yang menarik dalam Isu Dalam Katak ialah seksyen “wilayah katak”yang dipenuhi dengan karya-karya menyindir ahli politik yang melompat seperti ruangan “Wikipakdia” yang mengupas spesis-spesis katak di Malaysia.

Selain itu, ada kartun khas tentang kes fitnah kedua terhadap Anwar Ibrahim, dengan tajuk “6 Jahanam”, kisah dimulakan dengan membongkar kepincangan yang berlaku dalam konspirasi pertama pada 1998 membawa kepada kepincangan konspirasi kedua.

Juga komik “Dari Kerana Mata” yang menghimbau kembali tragedi 20 September 1998 di lokap Bukit Aman.

Kartunis penyumbang ialah Enot, Haili, Enot, Nur, Abdullah Jones, Roy, Rockafalas, Madsein, Kidol dan Ubilepih. Manakala penulis ialah Hishamuddin Rais, Pyanhabib, Pusparos, Benludin, Aki Lanang dan Tok Wan.

Buku setebal 84 muka surat dan dijual dengan harga RM10 setiap naskhah.

“Pada 20 Mac lepas, sepasukan polis dari IPD Jasin Melaka merampas majalah-majalah kartun kami — Gedung Kartun, Perak Darul Kartun, Isu Dalam Kartun dan 1Funny Malaysia,” kata Zunar.

Februari lepas, majalah sama juga dirampas di Seberang Jaya, Butterworth, Permatang Pauh serta beberapa kawasan lagi di Pulau Pinang.

“Ogos tahun lepas, pegawai-pegawai KDN merampas 408 naskah sulung majalah Gedung Kartun di pejabat saya di Brickfields, Kuala Lumpur. Juga dirampas ialah plat dari kilang percetakan.

Semua majalah ini boleh dibeli secara online di website www.cartoonkafe.com atau email kepada cartoonkafe@gmail.com This e-mail address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it atau hubungi pejabat Sepakat di 03 22744931 untuk keterangan lanjut. - Harakahdaily

Kes Insiden Penahanan Benjy: Majlis Peguam hantar memorandum kepada polis



Majlis Peguam hari ini menghantar memorandum bantahan kepada Polis Diraja Malaysia kerana mendakwa seorang peguam dihalang melakukan tugas dan ditahan dalam insiden penahanan semula pelakon Khaireyll Benjamin Ibrahim atau Benjy di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini pada 25 Mac lalu.

Peguam terbabit, Amer Hamzah Arshad, yang mewakili Benjy, mendakwa insiden itu berlaku di bahagian luar pejabat kaunter pembayaran sejurus sahaja ibu Benjy, dramatis dan pelakon terkenal Azean Irdawaty, selesai membayar wang ikat jamin berjumlah RM2,000.

"Kira-kira 10 orang berpakaian biasa mengerumuni saya dan anak guam saya dan mengarahkan beliau mengikut mereka.

"Mereka ini berkata mereka anggota polis tetapi tidak menunjukkan dokumen pengenalan atau bukti lain ketika menemui Benjy," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Amer Hamzah berkata, seorang lelaki kemudian menunjukkan satu kad menyerupai kad pengenalan polis sambil memberitahu bahawa dia akan menahan Benjy semula untuk siasatan mengikut Seksyen 3 Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan dan Kawalan Khas).

Amer Hamzah turut mendakwa beberapa orang lelaki kemudian memegang tangannya dan menahannya supaya diasingkan daripada Benjy dan selepas itu barulah beliau dilepaskan selepas lelaki terbabit membawa Benjy ke ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Katanya, ekoran itu beberapa orang lelaki terbabit telah menahan dan menghalangnya daripada melakukan tugas sebagai peguam.

Seramai 50 orang peguam serta adik Benjy, Elza Irdalyna, berhimpun di perkarangan masuk ke Bukit Aman selama satu jam sejak 12 tengah hari bagi menyerahkan memorandum bantahan itu.

Memorandum itu kemudian diterima oleh Pegawai Perhubungan Awam Bukit Aman, Asisten Superintendan Anuwal Abdul Wahab. -Bernama

Ntah Apa-apa: Dun Perak tidak hormati rakyat, Sidang cuma dua hari



Dewan Negeri Perak bersidang cuma dua hari. Ianya jelas tidak menghormati rakyat Perak yang mahu sidang DUN menjadi platform terbaik rakyat menyuarakan hak mereka melalui wakil-wakil rakyat yang dipilih oleh mereka.

Ia juga tidak menghormati Tuanku Raja Muda Perak yang bertitah pagi semalam. Titah Tuanku cukup bernas, penuh dan sarat dengan saranan yang cukup baik. Tetapi sayang sidang DUN Perak hanya bersidang dua hari sahaja.

Titah Tuanku tidak dibahas secukupnya oleh Adun PR dan BN. Malahan hari kedua sidang, titah Tuanku tidak dijadikan agenda utama, perbahasan titah Tuanku hanya selepas pembentangan Rang Undang-undang. Jelas ia bercanggah dengan Aturan Mesyuarat sebagaimana terkandung dalam Perintah-perintah Tetap Dewan Negeri 13 (1).

Sidang hari pertama hanya mendengar titah Tuanku. Hari-hari berikutnya adalah peluang terbaik untuk setiap Adun berbahas mengenai apa sahaja perkara mengikut Aturan Mesyuarat termasuk perbahasan titah Tuanku. Perbahasan titah Tuanku adalah perdebatan terbaik bagi semua Adun berhujjah dalam apa sahaja isu termasuk isu-isu berkaitan rampasan kuasa. Mereka boleh berucap dengan hujjah masing-masing.

Selain itu, Adun BN boleh mendedahkan apa sahaja kelemahan,kepincangan, salah guna kuasa atau apa sahaja yang sering didakwa oleh UMNO BN ketika PR memerintah negeri Perak. Adun-adun PR akan menjawab semuanya dalam ucapan perbahasa mereka,selain mendedahkan pula segala kepincangan dan salah guna kuasa UMNO BN. Walau bagaimanapun isu asas yang mesti menjadi fokus utama perbahasan ialah kebajikan dan kepentingan rakyat.

Adun PR memulakan sidang hari ini dengan cara yang betul. YB Pantai Remis mengambil kesempatan dengan menggunakan 'point of order' lalu membacakan beberapa perkara dalam Perintah-perintah Tetap Dewan Negeri. YB Pantai Remis berhujjah Ganesan bukan Speaker yang sah berdasarkan 6 hujjah yang dikemukakan. Tetapi Ganesan tidak memberi peluang supaya perdebatan dibuka dalam isu perlantikan Speaker. Dewan Negeri adalah platform kedua pihak berhujjah, sekiranya ia diberi liputan yang adil, rakyat akan menilai hujjah siapa yang tepat dan benar.

Begitu juga soalan-soalan lisan yang dikemukakan oleh Adun PR yang menyentuh isu-isu berkaitan perlantikan Speaker mengikut Perintah Tetap Dewan dan juga Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak. Sepatutnya soalan itu dijawab, bukan ditolak. Penasihat Undang-undang Negeri boleh menyediakan jawapan, berdasarkan jawapan yang diberikan, Adun PR boleh mencabar dengan menggunakan peluang mengajukan soalan tambahan.

Sidang DUN merupakan ruang terbaik bagi semua pihak bersuara di atas ketidak puashatian rakyat bagi menyuarakannya melalui Adun mereka. Peristiwa rampasan kuasa di Perak adalah antara yang rakyat tidak puashati. Adun PR boleh berhujjah mempertikaikan tindakan rampasan kuasa, pihak BN pula boleh berhujjah juga bagi mengesahkan tindakan mereka. Inilah demokrasi hiudp dan yang sebenar.

Namun demokrasi dimatikan oleh UMNO BN, mereka tidak berani menghidupkan demokrasi kerana mereka juga tahu, demokrasi melalui hujjah tidak akan mampu dipatahkan oleh mereka, justeru itu mereka tidak gunakan hujjah sebaliknya menyalahgunakan kuasa untuk mempertahankan tindakan mereka.

Sidang dewan ditangguhkan hari ini dengan tidak ada perbahasan menyeluruh titah Tuanku yang diambil bahagian oleh semua Adun. Tindakan ini memberi gambaran seolah-olah titah Tuanku tidak dihargai dan dihormati, apabila Tuanku menyarankan banyak perkara dalam titahnya semalam, sudah tentu ia perlu dibahaskan secara positif oleh semua pihak. Dasar dan polisi kerajaan juga disentuh oleh Tuanku, tetapi Adun-adun tidak diberi peluang bagi mengulas dan mengupas. Adun pembangkang sudah tentu akan berbahas mengikut perspektif pembangkang yang luas.

Inilah padahnya apabila kerajaan halal diambil dengan cara yang haram kemudian tindakannya minta dihalalkan melalui mahkamah. Ini seumpama perbuatan mencuri ayam, kemudian bila ayam yang dicuri itu mahu dimakan, ia disembelih mengikut hukum syarak supaya jadi halal.

Apabila perkara asas sudah tidak betul, maka ia mengundang seribu kepincangan. Lihat sahaja Aturan Mesyuarat dalam sidang dewan, Speaker haram Ganesan menyusun jadual perjalanan sidang juga tidak betul. Adun PR cuba memperbetulkannya, tetapi dengan bodoh sombong Ganesan menolak. Dalam Aturan Mesyuarat Perbahasan Titah Tuanku hendaklah didahulukan sebelum pembentangan Rang Undang-undang, tetapi itu berlaku. Persidangan pula tidak ditetapkan berapa hari, sedangkan PR mencadangkan supaya sidang DUN Perak diadakan 4 - 5 hari bagi membolehkan semua aspek dibincangkan dalam dewan.

Sebenarnya sidang yang dibuat hari ini diadakan dalam keadaan UMNO BN bimbang dan takut. Mereka tidak berani berdepan dengan Adun PR melalui hujjah. Polis pula diperkudakan oleh mereka. Sehari sebelum sidang diadakan, PR mengajak untuk berbincang dengan MB UMNO BN supaya persidangan yang akan berlangsung nanti dalam keadaan yang baik dan adil serta tidak berlaku kekecohan. Zambry menolak dengan sombong dan angkuh.

Sidang tamat dalam keadaan rakyat tidak tahu apa-apa.

Misbahul Munir Masduki,
Setiausaha Badan perhubungan PAS Perak.

Bayar RM 1.6 juta Untuk APCO Bagi Caj Khidmat Nasihat Untuk Tempoh 6 bulan



Najib Bayar A$420,000 Kepada APCO Untuk Khidmat Nasihat 6 Bulan
Kerajaan Umno-Barisan Nasional didakwa telah membayar A$420,000 (RM1.6 juta) kepada firma antarabangsa APCO Worldwide yang dikaitkan dengan rejim Zionis Israel untuk khidmat runding selama enam bulan.

Dalam surat yang bertarikh 15 Julai 2009 dengan menggunakan kepala surat rasmi Jabatan Perdana Menteri dan dialamatkan kepada Paul Stadlen, kerajaan Malaysia mengesahkan terma yang dipersetujui pada mesyuarat yang diadakan bersama APCO pada 10 Julai 2009.

Salinan surat tersebut yang dimuatnaikkan dalam blog dan internet didakwa telah ditandatangani oleh Samsuri Mohd Nor, Setiausaha Bahagian Kewangan dan Pembangunan di Jabatan Perdana Menteri.Surat Penerimaan setebal lima mukasurat itu menggariskan bidang kerja APCO kepada kerajaan Malaysia di bawah tajuk 'Public Affairs and Goverment Affairs Services' atau Perkhidmatan Perhubungan Awam dan Kerajaan.

"Dengan penerimaan kerajaan terhadap tender yang dikemukakan oleh pihak tuan, adalah dimaklumkan bahawa kini wujud ikatan kontrak antara kerajaan dan pihak tuan.

"Satu perjanjian yang lebih lengkap yang memasukkan semua terma dalam tender akan ditandatangani. Pihak tuan akan dimaklumkan apabila dokumen kontrak siap untuk ditandatangani," kata surat tersebut.

Surat itu yang juga ditandatangani oleh Paul Stadlen yang mewakili Mind Teams Sdn Bhd dan APCO Worldwide sebagai kontraktor serta Ronald Barnetto dari England sebagai saksi antara lain menggariskan empat bidang kerja utama berkaitan hubungan awam yang menjadi sasaran khidmat runding APCO kepada kerajaan Malaysia.

Mereka menandatangani surat penerimaan itu pada 21 Julai 2009.

Stadlen kini adalah Pengarah Urusan APCP Worldwide cawangan Malaysia.

Ini termasuk penyelidikan, pembangunan strategi dan mesej utama, pencapaian serta perundangan dan pematuhan.

Di bawah bidang penyelidikan, APCO dikehendaki mengenalpasti bidang kerjasama antara kerajaan Malaysia dan pemerintah Amerika Syarikat yang signifikan dan selari, membangunkan mesej komunikasi dengan pembuat dasar Amerika Syarikat dan tokoh penting masyarakat sivil serta mengenalpasti pegawai kerajaan, 'think tank', wartawan, NGO yang relevan kepada hubungan Malaysia-Amerika Syarikat.

Dalam sektor pembangunan strategi dan mesej utama pula, APCO akan memberi khidmat sokongan kepada Kedutaan Malaysia di Washington dan kerajaan Malaysia dalam melaksanakan program bagi mengukuhkan hubungan dan persefahaman antara Malaysia dan Amerika Syarikat.

Bagi khidmat pencapaian pula APCO akan membantu mengeratkan hubungan dengan 'think tank', melaksanakan kempen mempromosi Amerika Syarikat bersama sektor perniagaan penting di Malaysia dan melaksanakan kempen media bebas Amerika Syarikat. -SK

Adakah Najib Takut Dengan Anwar???




Mengapa Najib umum MEB di luar Parlimen?


Dzulfikar Mashoor
KUALA LUMPUR, 31 Mac: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mempersoalkan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan Model Ekonomi Baru (MEB) di luar Parlimen seolah-olah tidak mencerminkan konsep 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

"Pengumuman Najib itu bercanggah dengan konsep rakyat didahulukan kerana pengumuman tersebut dibuat di luar Dewan Rakyat," jelasnya.

Senada dengan Abdul Hadi, Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, tindakan Najib itu seperti menghina kemuliaan Dewan Rakyat.

Ini kerana, menurut beliau, Najib sanggup pergi mengumumkan MEB di luar Parlimen, sedangkan beliau berpeluang membentangkan di Dewan Rakyat sekarang.

Dalam pada itu, Majlis Pakatan Rakyat petang tadi menyifatkan MEB menyadur semangat Agenda Ekonomi Malaysia (AEM).

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Najib dilihat memuatkan prinsip-prinsip utama AEM dalam ucapannya, semalam.

"Seolah-olah prinsip utama yang diwar-warkan itu disadur dari AEM (apabila) Perdana Menteri bercakap mengenai keperluan mencapai pendapatan tinggi, membina ekonomi yang utuh secara berterusan dan menjamin kesaksamaan, peralihan bantuan berasaskan keperluan tanpa mengira kaum," jelas beliau di Parlimen.

Jelas Anwar, kesemua prinsip tersebut telahpun diperjuangkan Pakatan Rakyat sejak 2006 lagi, dan kemudiannya menjadi manifesto bersama-sama PKR, DAP dan PAS pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU 12) yang lalu.

Pun begitu, beliau yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, Najib yang juga Menteri Kewangan I turut dilihat gagal menjelaskan mekanisme lanjutan untuk mencapai kelapan-lapan inti utama MEB.

Bagi Pakatan Rakyat, katanya kerajaan seharusnya menyentuh kaedah-kaedah kerajaan menangani isu rasuah, ketirisan, pembaziran, ketidakbebasan mahkamah, polis dan PDRM tidak profesional sebelum memperkenalkan MEB.

Dengan tidak menyentuh beberapa mekanisme tersebut, menurut beliau, mengakibatkan ekonomi negara terus dilihat tidak menentu oleh para pelabur luar.

Akibatnya, menurut Anwar, dana dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangkakan akan disalahgunakan oleh kroni-kroni tertentu melalui aktiviti pengkorporatan badan tersebut kelak.

"Pengkorporatan akan dilakukan di mana (dana) KWSP akan dipinda pada satu badan tertentu sedangkan tanpa reformasi menyeluruh, bahaya pada (aktiviti) penswastaan," jelasnya.

Dalam perkembangan yang lain, Majlis Pakatan Rakyat mengumumkan bahawa PKR direstui untuk meletakkan calon dalam pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor kelak.

Turut menyertai Anwar, Lim dan Abdul Hadi di Pejabat Ketua Pembangkang adalah Dr. Syed Husin Ali (Timbalan Presiden PKR), Datuk Mahfuz Omar (Naib Presiden PAS), Datuk Mustafa Ali (Setiausaha Agung PAS), Saifuddin Nasution (Setiausaha Agung PKR) dan beberapa pemimpin tertinggi komponen PR.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.