TERKINI DARI SEDAKASEJAHTERA.COM

Tahniah BIMB : Cawangan Baru Bank Islam di Persiaran Sultan Abdul Hamid Alor Setar..


ALOR SETAR 17 Mei - Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) membuka sebuah lagi cawangannya di bandar raya Alor Setar dengan cawangan terbaru terletak di Persiaran Sultan Abdul Hamid di sini.

Cawangan baru yang dibuka kepada umum Jumaat lalu itu merupakan cawangan Bank Islam yang ke-10 di Alor Setar dan 103 di seluruh negara.

Pengarah Urusan Bank Islam, Datuk Seri Zukri Samat berkata, pihaknya yakin pembukaan cawangan baru itu dapat membantu mengukuhkan hubungan bank berkenaan dengan komuniti tempatan.

"Pelaburan dan pengembangan jaringan Bank Islam akan meningkatkan pengeluaran dan kualiti perkhidmatan kepada pelanggan.

"Ini bersesuaian dengan anugerah yang dinobatkan kepada bank Islam sebagai jenama paling dipercayai dalam perbankan Islam," kata beliau baru-baru ini.

Menurutnya, cawangan tersebut dilengkapi dengan kemudahan kaunter perbankan, Pusat Perbankan Elektronik yang merangkumi Mesin Pengeluar Automatik, Mesin Deposit Tunai dan Mesin Deposit Tunai.

Selain itu katanya, ia turut menempatkan pusat perniagaan untuk unit pembiayaannya tersendiri.

"Lokasi cawangan baru juga strategik kerana ia merupakan kawasan perbandaran dan pusat perniagaan komersial yang sedang berkembang pesat.

"Bank Islam percaya kewujudan cawangan ini adalah relevan dan bertepatan dengan pembangunan perniagaan yang pesat di Alor Setar,'' ujarnya.

Cawangan Bank Islam itu dibuka lima hari seminggu (Isnin-Jumaat) dari jam 9.30 pagi hingga 4.30 petang.

Keputusan B/Sepak Liga Super - Syabas Kenari Mengikat Perlis

Berikut adalah keputusan Liga Super malam ini..

N. Sembilan 2 Johor 1

K. Lumpur 2 Selangor 4

KL PLUS 1 T-Team 0

Pahang 2 P. Pinang 0

Terengganu 2 Perak 0

Perlis 1 Kedah 1

Sumbangan RM100,000 Oleh Pemangku Raja Kelantan Kepada Pengawal Kritikal Ditembak


KOTA BAHARU: Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra hari ini menyampaikan sumbangan wang tunai berjumlah RM100,000 kepada pengawal istana Kelantan, Ramli Mohamad yang ditembak oleh individu tidak dikenali pada 1 Mei lalu.

Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad berkata sumbangan peribadi itu bertujuan meringankan bebanan keluarga Ramli, 50, yang mempunyai seorang isteri dan lima orang anak.

"Pemangku Raja Kelantan amat mengambil berat terhadap Ramli yang telah ditembak baru-baru ini dan masih dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini.

"Para doktor telah mengeluarkan peluru dari badan Ramli melalui pembedahan. Pada masa ini keadaan beliau agak kritikal dan mengikut maklumat yang saya terima terdapat jangkitan kuman kepada beberapa organ penting beliau," katanya kepada pemberita selepas melawat Ramli di HRPZ, di sini petang ini.

Ramli parah ditembak oleh individu yang tidak dikenali di Kampung Sungai Nyior, Palekbang, Tumpat pada kira-kira pukul 12.25 pagi 1 Mei lalu ketika mangsa sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Sungai Pinang selepas selesai bertugas di istana, Kubang Kerian.

Halim berkata polis masih menjalankan siasatan terhadap kes berkenaan dan Pemangku Raja berharap kes itu dapat diselesaikan dengan segera.

"Kita berserah kepada pihak berkuasa dan kehendak-kehendak dalam perlembagaan dan undang-undang untuk menyelesaikan sesuatu perkara. Janganlah kita meletakkan undang-undang di tangan kita," katanya. - BERNAMA

Sidang Selcat mulai 2-4 Jun Depan: Pendengaran Awam Kes KSSB

Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT) akan mengadakan pendengaran awam terhadap tuduhan penyelewengan dalam anak syarikat kerajaan Selangor, Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB), yang mengendalikan perlombongan pasir di negeri itu.

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT) Isnin lalu.

Menurut kenyataan pejabat Speaker Selangor, Teng Chang Khim, pendengaran awam itu akan diadakan di Bilikan Gerakan, Tingkat 2, Bangunan Annex, Dewan Negeri Selangor pada 2, 3 dan 4 Jun depan, dari jam 10 pagi hingga 1 tengahari.

'Semua pihak yang terlibat secara langsung akan disaman hadir untuk memberi keterangan kepada SELCAT.

'SELCAT berharap semua pihak memberi kerjasama sepenuh dalam pendengaran awam tersebut dengan membentangkan dokumen-dokumen berkaitan untuk melicinkan lagi siasatan melalui pendengaran awam tersebut," kata kenyataan tersebut.

Mesyuarat SELCAT semalam dihadiri oleh semua ahli jawatankuasa SELCAT yang dipengerusikan oleh Chang Khim yang juga pengerusi SELCAT.

Ahli Jawatankuasa SELCAT yang lain ialah Hanizah Talha, Azmin Ali, Saari Sungip, Edward Lee - semuanya dari Pakatan Rakyat - dan dua wakil rakyat dari BN - Ismail Sani dan Sulaiman Abdul Razak.

Pada 12 Mei lalu, Manikavasagam membuat laporan polis yang mengandungi tiga pegawai kanan KSSB yang didakwa terbabit dalam operasi pelombongan pasir secara haram.

Dalam laporan polisnya, ahli parlimen Kapar itu mendakwa, antara lain mereka bertanggungjawab terhadap kerugian RM10 juta kerana salahurus dan mendakwa mereka mengeluarkan permit kepada pengusaha lombong pasir haram.

Sidang DUN Sarawak Panas... 2 ADUN PKR & DAP Di Gantung Hadiri Dewan Setahun


KUCHING: Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) pembangkang digantung setahun, berkuat kuasa serta merta.

Adun Parti Keadilan Rakyat (PKR) Padungan, Dominic Ng Kim Ho, digantung kerana menghina Dewan manakala Adun DAP Kota Sentosa, Chong Chien Jen digantung kerana mendakwa Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) membohongi rakyat dalam isu banjir.

Penggantungan itu diumumkan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Datuk Seri Mohd Asfia Awang Nassar, selepas menerima undi ahli Dewan.

Umno-BN Langgar Syarak, Rosakkan Moral Rakyat - Luluskan Judi Bola



Oleh Sidiqin Omar

SHAH ALAM 18 Mei - Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din menyifatkan kelulusan lesen judi oleh pemimpin Umno-BN sebagai suatu keputusan yang amat malang bagi masyarakat Melayu dan Islam di negara ini.

"Apabila usaha yang dilakukan untuk mengajak ummah kepada nilai murni khususnya penerapan nilai Islam telah berkecai apabila kerajaan dengan rasa tidak bertanggunggjawab meluluskan lesen judi tersebut.

"Perkara sebegini ingin dipandang remeh oleh sebahagian orang, tetapi ianya amat besar kepada umat yang berjiwa besar, menghormati dan menjunjung hukum Allah," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.

Dr Haron menyifatkan tindakan tersebut merupakan simbol kehancuran nilai kehidupan yang paling asas, iaitu dengan meruntuhkan lambang ketaatan kepada Allah dan dengan sengaja mempamerkan keangkuhan terhadap hukum Allah.
Perlu difahami bahawa keruntuhan akhlak yang sepatutnya menjadi fokus pemerintah di saat gejala sosial dan perlakuan yang menunjukkan rendah moral manusia telah ditambah dengan perkara sebegini tambah beliau.

Tindakan tersebut akan menjadikan kehidupan manusia lebih parah.

"Judi adalah satu amalan yang ditolak oleh semua agama malah oleh seluruh masyarakat manusia yang menghormati nilai keharmonian hidup berumahtangga.

"Walau apa pun alasan, kita tetap tidak boleh lari daripada hukum Allah. Kita perlu memahami membiarkan perkara yang haram tinggal haram dengan memejamkan mata itu berbeza dengan menghalalkan yang haram".

"Menghalalkan perkara yang haram dengan sengaja boleh menjejaskan akidah dan keimanan kita. Seolah-olah manusia itu lebih pandai dari Allah," jelas Dr Haron Din.

Sementara itu, bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Hashim Yahaya ketika dihubungi menyifatkan tindakan kelulusan lesen judi tersebut tidak menggambarkan pentadbiran sebuah negara Islam.

"Tindakan tersebut bercanggah dengan hukum syarak. Dalam Al-Quran dan hadis jelas mencatitkan perkara yang jelas haram antara lain adalah judi, arak dan zina," katanya.

Hashim menyeru kepada NGO Islam dan pertubuhan tanpa mengira latar belakang politik dan pendirian untuk bangkit dan membantah kelulusan lesen judi tersebut.
Kata beliau ini jelas mencemarkan nama Malaysia yang dikenali sebagai negara Islam contoh.

"Jika kita tidak membantah, seolah-olah kita bersetuju dan bersekongkol dengan tindakan tersebut. Kalau unsur judi yang tersembunyi pun kita bantah, apatah lagi yang diadakan secara terang-terangan dan lesen diberikan secara rasmi" katanya lagi.
Beliau mencadangkan kepada Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan untuk mengeluarkan kenyataan dan pendirian mereka dalam isu ini.

Beliau turut memohon kepada Majlis Raja-Raja untuk bersidang dan membincangkan perkara ini kerana ia memberikan kesan langsung kepada kehidupan umat Islam.

"Sebagai penaung kepada orang Melayu dan ketua Islam, Majlis Raja-Raja diharap dapat memberikan pembelaan kepada orang Islam," kata Hashim.

Beliau optimims bahawa pembatalan lesen judi tersebut akan dipersetujui oleh ramai pihak.

"Bahkan ramai orang bukan Islam yang turut menentang cadangan usaha tersebut", katanya lagi.

JAG Mendesak Bung Mokhtar Kosongkan Kerusi Parlimen

Kumpulan bertindak untuk kesetaraan gender (JAG) mendesak supaya Bung Mokhtar Radin mengosongkan kerusi parlimennya kerana melanggar undang-undang ekoran berpoligami tanpa kebenaran.

Seorang jurucakapnya Maria Chin Abdullah berkata ahli parlimen Kinabatangan itu tidak sepatutnya melanggar undang-undang kerana ia memberi mesej yang tidak baik kepada masyarakat.

"Bung Mokhtar perlu meletak jawatan, dan tidak sepatutnya mewakili rakyat Malaysia lagi.

"Itu langkah terbaik," katanya ketika bercakap kepada wartawan di perkarangan Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur hari ini.

Katanya lagi, poligami tanpa kebenaran juga merupakan satu bentuk penghinaan kepada golongan wanita.

Tambahnya, Bung Mokhtar juga mempunyai reputasi tidak baik kerana sering menjadikan golongan wanita sebagai sasaran dalam ucapannya di Dewan Rakyat.

Bung Mokhtar sebelum ini mengaku bersalah kerana mengahwini isteri keduanya Zizie Ezette A Samad tanpa kebenaran mahkamah pada Disember 2009.

Esok, Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur akan menetapkan hukuman kepada kedua-dua mereka dan saksi-saksi.

Rampasan Kuasa di Kedah : 7 kali TIPU pun Masih Ada Yang Percaya?


7 kali tipu pun masih ada yang percaya?

Oleh: ZULKIFLI YAHAYA

Untuk kali yang ketujuh, pihak tertentu mencanangkan bahawa rampasan kuasa seperti yang terjadi di Perak akan berlaku pula di Kedah. Kali ini khabar angin yang disebarkan begitu ‘kemas dan menarik’. Kononnya pihak Badan Perhubungan Umno Kedah telah bermesyuarat di PWTC bersama pihak Pusat. Pelan pengambilalihan kuasa telah diperincikan dan Menteri Besar baru telah diputuskan iaitu Dr. Ku Abdul Rahman Ku Ismail ADUN Guar Chempedak. Dua ADUN KeADILan dan satu DAP telah bersetuju melompat untuk bersama dengan dua rakan mereka yang telah melompat lebih awal. Khabar angin itu dilanjutkan lagi dengan dakwaan bahawa Dato’ Shafie Afdhal selaku Pengerusi Perhubungan Umno Kedah akan mengadap Tuanku Sultan untuk memaklumkan bahawa BN mempunyai bilangan yang mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Jika rakyat jelata tertanya-tanya atau terkeliru dengan cerita tersebut maka mereka tidak boleh dipersalahkan. Rasa syak wasangka tidak boleh dilenyapkan begitu saja kerana hal seperti itu benar-benar pernah berlaku di Perak. Lompatan parti oleh wakil rakyat KeADILan akhir-akhir ini berlaku begitu ‘jujuh’ sekali. Bukan perkara pelik. Ia benar-benar terjadi, bukan lagi cobaan.
Walaupun beberapa ADUN yang dibabitkan menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut tetapi ia tetap belum meyakinkan. ADUN Lunas, Mohammad Radzhi Salleh juga pernah membuat penafian keras, berceramah hingga ke surau-surau tidak akan melompat. “Saya juga ada agama,” demikian Radzhi sering berkata dalam ceramahnya. Tapi dia yang ‘ada agama’ melompat juga. Apatah lagi, mereka yang tiada agama.

Untuk menjawab kepada rakyat dengan jujur bahawa perkara tersebut tidak berlaku, ia semacam menari mengikut paluan gendang musuh. Musuh suka jika kita melatah. Mahu tidak mahu jawapan diberikan juga kepada rakyat tetapi dalam bentuk sendaloka.

Saya mengubahsuai mesej asal yang disebarkan dengan memberitahu bahawa ’16 ADUN PAS akan melompat parti’ dan kerajaan katak yang akan ditubuhkan nanti akan melantik bekas ADUN KeADILan sebagai Menteri Besar. Begitu juga aktivis penerangan parti yang lain, ‘menjawab’ dengan pembohongan yang tidak masuk akal. Ramai yang tidak percaya dengan bermacam-macam mesej merapu yang disebarkan selepas itu. Sekurang-kurangnya ia dapat meredakan tekanan sebahagian rakyat yang prihatin dengan pergolakan politik tanahair.

Mujur sekonyong-konyong BN tersungkur di Sibu kepada DAP. Ia memberi kesan yang amat baik kepada Pakatan Rakyat. Maka khabar angin yang bertiup kencang perihal penubuhan kerajaan katak pun lenyap macam bara api disimbah air. Orang terfikir, masakan wakil tunggal DAP akan melompat di saat partinya menang di Sarawak dan di kala rakyat jelata sudah tidak berselera lagi memandang BN.

Dalam cerita kanak-kanak ‘Budak penipu dan serigala’ dia hanya sempat menipu dua kali kononnya ada serigala mahu membahamnya. Kali ketiga dia menipu orang kampung tidak percaya lagi menyebabkan dia benar-benar dibaham serigala. Tapi dalam cerita dongeng ‘BN dan kerajaan katak di Kedah’ mereka mampu menipu hingga tujuh kali, masih ada orang yang sudi mempercayainya.

Terdapat juga kalangan rakyat yang terlalu sayangkan kerajaan Pakatan serta tidak sanggup melihat berlaku rampasan kuasa macam di Perak, menasihatkan Menteri Besar supaya membubarkan DUN segera sebelum BN tubuh kerajaan katak.

Ketakutan itu sebenarnya tidak berasas di atas beberapa faktor. Berdasarkan pengalaman di Perak dan Terengganu (1959) kerajaan katak hanya berjaya ditubuhkan setelah mereka menculik ADUN parti yang berkuasa di negeri. Setakat ini penculikan belum berlaku.

Selepas duculik, mereka memerlukan masa selama beberapa hari untuk melakukan brainwashed terhadap ADUN-ADUN tersebut. ADUN-ADUN itu dikurung dan hubungan mereka dengan dunia luar diputuskan. Proses mengubah minda akan dilakukan oleh tenaga pakar melalui tekanan, ancaman, pujukan dan sogokan. Tidak mustahil jika kepakaran APCO digunakan. Mossad dan CIA sangat terlatih dalam melakukan kerja sulit begini.

Kejayaan melakukan kerja jahat itu ialah dengan mengenalpasti terlebih dahulu wakil rakyat yang mahu diubah minda itu mempunyai masalah atau kelemahan peribadi. Soalnya sekarang, kesemua ADUN yang mahu dijadikan sasaran itu tiada masalah dengan parti, kerajaan, undang-undang mahupun pertikaian dengan pemimpin tertentu. Dengan laluan mereka menjadi sukar di fasa pertama lagi.

Halangan seterusnya bagi BN ialah keperluan untuk menonjolkan imej positif untuk jangka masa panjang. Mereka tentu tidak mahu berkuasa sementara di negeri untuk suatu tempoh pendek (dua tahun) tetapi imej tercalar teruk untuk jangka masa panjang.

Masyarakat Cina berpihak kepada pembangkang pada PRU ke 12. Peratus sokongan mereka terhadap Pakatan meningkat selepas rampasan kuasa di Perak. Ia dibuktikan di hampir kesemua pilihanraya kecil yang berlaku selepas itu. Antara sebabnya ialah kerana imej BN sangat buruk di mata masyarakat Cina setelah mereka melakukan rampasan kuasa di Perak.

Kedah adalah negeri majoriti Melayu. Tiada masalah bagi rakyat yang bernaung di bawah kerajaan PAS sejak lebih dua tahun. Aman seaman amannya.

Kedah juga adalah negeri yang paling ramai ahli PAS di negara ini. Demonstrasi padi, peristiwa berdarah Lubuk Merbau dan Memali berlaku di Kedah, dilibatkan dengan PAS. Jika Perak yang hanya mempunyai enam kerusi DUN, bergegar juga negeri dibuatnya maka apakah jika berlaku rampasan kuasa di Kedah, ahli-ahli PAS akan menyaksikan dengan tenang dan putih mata?

Tan Sri Sanusi Junid pernah berkata, “Orang Kedah sanggup mandi darah.” Jika berlaku ‘mandi darah’ di Kedah (barang dijauhkan Allah) maka BNlah yang akan dipersalahkan oleh seluruh umat manusia kerana menjadi punca terhadap kekalutan yang berlaku. Sedangkan suasana yang ada sebelumnya begitu aman damai. Imejnya akan jadi kotor untuk jangka masa panjang terutama di kalangan orang Melayu. Sebab itulah pembentukan kerajaan katak melalui rampasan kuasa di Kedah tidak menjadi pilihan bagi golongan lebih cerdik di dalam Umno.

Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, BN akan memastikan setiap tindakan yang dilakukan sebelum mengambil semula negeri dikuasai pembangkang mendapat sokongan rakyat.

"Cara ini lebih bermaruah dan yang penting kita mendapat sokongan penuh dan mengembalikan keyakinan rakyat, cara lompat-lompat mungkin boleh ambil negeri tapi belum tentu dapat sokongan," katanya.

Jika pelan rampasan kuasa dibincang oleh Dato’ Bashah dan APCO, mungkin mereka akan melakukan. Tapi jika ianya dibincang oleh pakar strategi dalam BN, penganalis professional, pihak keselamatan, para ilmuan yang pro BN; maka pastinya penubuhan kerajaan katak tidak akan jadi pilihan. Berdasarkan alasan tersebut ramai penganalisis politik yakin bahawa pertukaran kerajaan di Kedah secara luar tabie seperti di Perak tidak akan berlaku. Apa yang mereka cuba lakukan cuma mahu mencetuskan suasana bercelaru di benak pemikiran rakyat. Itupun gagal.

Bolasepak Pila MB Kedah: Zon 4 - Sungai Tiang Tempah Tiket ke Suku Akhir

Disediakan oleh : Faiz Hj. Othman

SIK , 17 Mei 2010 – Perlawanan Akhir Zon 4 Kejohanan Liga Bola Sepak Piala YAB Menteri Besar Kedah berakhir dengan penuh gemilang apabila menyaksikan pasukan Sungai Tiang berjaya menempah tiket ke Suku Akhir Kejohanan yang bakal berlangsung pada Jun akan datang.

Perlawanan yang melibatkan pertembungan antara pasukan Sungai Tiang dan Gurun itu menyaksikan Sungai Tiang berjaya menewaskan pasukan Gurun dengan jaringan kemenangan 3 berbalas 1. Gol kemenangan pasukan Sungai Tiang berjaya dijaringkan oleh pemain berjersi 14, Hafizan Hanifa, Baharudin Awang Kechik (12) dan Nazrul Hafiz Daud (10) pada separuh masa pertama.

Perlawanan Akhir Zon 4 Kejohanan Liga Bola Sepak Piala YAB Menteri Besar yang telah berlangsung pada Sabtu lalu, 15 Mei 2010 dengan penuh semangat kesukanan telah diadakan di Padang Awam Sik. Selain orang ramai yang tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan perlawanan akhir melibatkan pasukan Sungai Tiang dan Gurun itu, YB Dato’ Haji Muhamed Taulan Mat Rasul, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah turut hadir menyaksikan perlawanan tersebut.

Pasukan Sungai Tiang selaku Johan Zon 4 membawa pulang wang tunai berjumlah RM 1500, piala iringan dan sijil penyertaan. Manakala pasukan Gurun selaku Naib Johan pula menerima wang tunai RM 1000, piala iringan dan sijil penyertaan.

Kejohanan Liga Bola Sepak Piala YAB Menteri Besar Kedah akan diteruskan dengan perlawanan Zon 5 pada 22 Mei 2010 bertempat di Padang Awam Guar Chempedak. Perlawanan Zon 5 bakal memperlihatkan aksi pasukan Bakar Arang, Bukit Selambau, Tanjung Dawai, Guar Chempedak, Pandai Merdeka dan Sungai Limau.

KEDAH COMMUNICATION & EVENTS SDN. BHD.

Cerita Sedih & Sayu Berpanjangan Menghantui Peniaga Di Sekitar Masjid India

Image
Image
Image
Mungkin yang perlu di betulkan adalah DBKL
Sejak kebelakangan ini saya sering melihat program-program UMNO di kawasan Masjid India. Program melibatkan program kesihatan dan beberapa program kemasyarakatan lain. Namun Masjid India – masih bergelumang dengan kisah lama.

Kisah yang tidak boleh diselesaikan oleh Dewan Bandar Raya ( DBKL) yang semakin lama semakin di katakan penuh dengan korupsi. Kawasan peniagaan yang nampak aman ini bergolak dengan masalah yang dihimpit ke atas peniaga di sana.

Peniaga-peniaga ini semuanya warga kota yang mahu menentukan nasib diri dan keluarganya. Mereka berhempas pulas berniaga – berusaha untuk membebaskan diri dari kemelut kemiskinan kota.

Namun dalam usaha itu, warga asing dengan ketiadaan tanggungjawab sosial lain terus menjadi saingan dengan bantuan beberapa kerat Melayu oportunis yang hidup bagai lintah darah – menghisap darah orang lain. Mereka ini turut dibantu oleh pegawai-pegawai penguatkuasa DBKL yang sama-sama hidup mungkin atas suapan rasuah kerana apa yang berlaku sering berlaku di hadapan mereka tanpa mereka menghiraukan. Media tempatan sering kali memaparkan berita mengenai kehadiran warga asing yang berniaga tanpa permit dan kelulusan tetapi ia setakat menghiasi surat khabar tanpa alasan yang konkrit.

Keadaan masih sama. Kepincangan berlaku, peniaga tertindas. Perniagaan merosot – along dan ceti menjadi talian hayat yang lebih menyusahkan. Apa yang berlaku adalah penundaan kesulitan yang akan lebih menyulitkan bila masa ceti dan along perlu dibayar.
Apa sebenarnya berlaku. Isu ini sudah hampir 4-5 tahun masih tidak dapat diselesaikan. Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur semakin tidak boleh diharapkan. Kesusahan peniaga bukan masalah mereka. Mereka berjalan, mundar-mandir seakan semuanya berjalan lancar. Keadilan tidak ditegakkan. Penulis seakan tidak mempercayai masalah seperti ini TIDAK DAPAT diselesaikan oleh Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur. Penyelesaian amat mudah sekiranya keadilan di tegakkan dan kemungkinan sekiranya rasuah di hapuskan.

Bayangkan dengan kedudukan DBKL yang begitu besar dan kakitangan yang cukup tetapi penerapan nilai kerja yang tidak mempunyai nilai untuk berkhidmat cemerlang dan cukup jiwa untuk membantu rakyat – maka segala-galanya menjadi kusut masai – tidak terurus, akhirnya keadilan tidak tercapai. Bayangkan betapa daifnya DBKL dalam menyelesaikan perkara-perkara yang mudah – yang boleh diselesaikan tetapi tidak juga dapat diselesaikan.

Apa sebenarnya masalah DBKL? Ini adalah persoalan yang perlu diutarakan, supaya masalah lain mengenai kemasyarakatan – kemanusiaan dan nilai kerja dapat diselesaikan selepas itu. Masalah mengubah struktur masyarakat kota – minda mereka – kedudukan ekonomi mereka – perancangan strategik – keadilan dan kemiskinan warga kota boleh diselesaikan dengan menyelesaikan masalah dalaman DBKL.

Akhirnya kita terlepas pandang. Masalah yang dihadapi oleh warga peniaga Masjid India tidak akan dapat di selesaikan. Masalah ini akan melimpah dan bahananya akan singgah untuk membentuk kepincangan struktur masyarakat kota – menjadikan kemiskinan melarat dan kedudukan sosioekonomi terjejas teruk BERPUNCA dari DBKL. Akhirnya kita perlu sedar – DBKL yang perlu diubah untuk mengubah dan menerapkan keadilan kepada peniaga – peniaga Masjid India.

Selagi ini tidak diselesaikan maka – masyarakat kota di Masjid India dan di kawasan lain yang mempunyai peniaga-peniaga seangkatan dengan Masjid India akan terus di rundung malang – malang yang tidak putus-putus.

UMNO-REFORM

Hebat Dan Menakjubkan : Program mengumpul dana guaman mangsa tangkapan bagi membela kebenaran dan keadilan


Haji Rahim selaku wakilPerak menerima sijil Dr Burhanudin dari Mat Sabu

Dalam dewan penuh sesak

Sungai Petani- Program mengumpul dana guaman mangsa tangkapan bagi membela kebenaran dan keadilan . Kehadiran amat menggalakkan sehingga meja yang dsediakan penuh. Program yang berlangsung di Cinta Sayang Sungai Petani turut dihadiri tetamu VVIP.

Antara yang hadir dan menyampaikan ucapan ialah YAB Lim Guan Engg Ketua Menteri Pulau Pinang, Mohamad Sabu JK Pas Pusat dan beberapa tetamu lain. Kehadiran dari Perak, Pulau Pinang dan Kedah adalah sesuatu yang diluar jangkaan. Dewan dan kawasan yang disediakan telah penuh luar dan dalam.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Murah Giler: Sapa Nak Order Klik Image

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.