Pampasan RM1.5 juta kerana 'hilang' dua kaki

29 Jan 2010, SINGAPURA
Kes kemalangan warga M'sia di tempat kerja tiga tahun lalu diselesai di luar mahkamah

TIGA tahun selepas kehilangan kededua kakinya akibat satu kemalangan di tempat kerja, Encik Abu Bakar Evos akhirnya menerima wang pampasan sebanyak $590,000 daripada bekas majikannya, Likok Pte Ltd.

Dalam satu penyelesaian di luar mahkamah semalam, Likok Pte Ltd bersetuju membayar 70 peratus daripada wang pampasan tersebut manakala 30 peratus lagi akan ditanggung syarikat insurans AXA.

Ketika dihubungi Berita Harian semalam, Encik Abu Bakar, 27 tahun, yang kini tinggal di Sarawak, begitu gembira dengan berita yang disampaikan peguamnya, Encik Pritam Singh Gill.

'Saya amat bersyukur dan berterima kasih atas kerja keras Encik Gill membantu saya mendapatkan keadilan,' ujar bapa tiga anak itu.

Warga Malaysia berkenaan terlibat dalam satu kemalangan di tempat kerjanya di kilang kertas pada 2007, mengakibatkan beliau kehilangan kedua-dua belah kakinya.

Mengikut kenyataan fakta kes, sebelum kemalangan itu, operasi kilang tempat Encik Abu Bakar bekerja ialah para pekerja mengitar kertas diperlukan memasukkan penyendat kertas (paper compactor) sebanyak 10 kali sehari ke dalam mesin untuk menukar kertas selain mengeluarkan kertas yang berlebihan dan tersendat.

Mereka diminta agar menggunakan sebatang paip PVC atau kaki bagi kerja-kerja tersebut.

Namun, setiap kali pintu mesin itu dibuka, satu sensor akan secara automatik mematikan bekalan elektrik ke mesin tersebut.

Masa yang panjang pula diperlukan untuk memulihkan semula bekalan elektrik setelah pintu ditutup. Ini menjejas daya pengeluaran dan membazir banyak kuasa elektrik.

Lantas pada April 2006, pengurus syarikat itu, Encik Haw Say Heng, mengarahkan pekerjanya memasang panel besi di atas sensor tersebut supaya mesin itu terus beroperasi walaupun setiap kali pintu dibuka.

Pekerja pula diberi arahan tanpa bertulis agar menukar suis mesin daripada automatik kepada manual sebelum mereka masuk ke dalam mesin tersebut.

Pada 13 November 2007, Encik Abu Bakar masuk ke dalam mesin itu. Beliau menggunakan kakinya untuk mengeluarkan kertas yang tersendat. Sekitar 1 petang pada hari yang sama, beliau terjatuh ke dalam mesin itu.

Apabila mesin itu hidup semula, Encik Abu Bakar, yang baru bekerja selama tiga bulan, cuba untuk keluar. Malangnya beliau tidak sempat berbuat demikian dan akibatnya kedua-dua kakinya 'terhentak' ke dinding.

Kaki kanan Encik Abu Bakar hampir putus daripada bahagian buku lalinya sementara kaki kiri beliau pula patah. Menurut kenyataan tuntutan pula, syarikat tersebut mengabaikan keselamatan dan gagal mengawasi pekerjanya semasa mesin tersebut sedang digunakan.

Bagi kegagalan mematuhi undang-undang keselamatan, syarikat itu dikenakan hukuman denda sebanyak $100,000, sementara Encik Haw dikenakan denda sebanyak $30,000 pada 31 Disember 2008.

Encik Abu Bakar berkata beliau akan menggunakan wang itu untuk memulakan perniagaan. 'Saya akan gunakan sedikit wang itu untuk membuka sebuah gerai makan dan bakinya akan saya simpan untuk masa depan anak- anak,' ujarnya melalui telefon.

RTM diberi hak siar 35 perlawanan Piala Dunia 2010


Radio Televisyen Malaysia (RTM) hari ini diberi hak sebagai penyiar berlesen Piala Dunia FIFA 2010 yang akan berlangsung di Afrika Selatan bermula 11 Jun hingga 12 Julai ini.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata menerusi hak itu RTM akan menyiarkan 35 perlawanan dengan 24 siaran secara langsung dan 11 siaran tertunda.

"RTM berjaya mendapatkan pakej tawaran rancangan percuma sebanyak 26 jam dan sepuluh minit untuk siaran di TV1 dan TV2. Hampir semua penjadualan siaran langsung perlawanan akan bermula pada 11 malam," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sebelum itu, Rais menyaksikan majlis menandatangani perjanjian RTM sebagai penyiar berlesen antara RTM yang diwakili Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Kamaruddin Siaraf dengan pemegang hak siaran teristrial eksklusif Piala Dunia FIFA 2010 yang diwakili Pengarah Urusan Esprit Media Sdn Bhd, Datuk Ahmad Zaharul Annuar.

Rais berkata, dianggarkan lebih 18 juta penonton akan menyaksikan siaran langsung dan tertunda itu. "RTM kali ini juga menerima undian yang baik apabila rata-rata perlawanan membabitkan pasukan dari negara terbaik di dunia seperti England, Portugal dan Brazil memihak kepada RTM," katanya.

Beliau berkata, sementara menanti perlawanan bermula penonton akan disajikan dengan siaran menarik lain. RTM telah menjadi penyiar utama sejak Piala Dunia 1974, 1978, 1986, 1990, 1994, 1998, 2002 dan 2006 dan tema untuk penyiaran rasmi tahun ini ialah "Sorakan 1Malaysia 1Dunia".

Khalid digantung jawatan, Hassan Ali diberi amaran


KUALA LUMPUR, 29 Jan: Jawatankuasa disiplin PAS memutuskan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad digantung enam bulan dari jawatan dalam Parti manakala Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali diberi amaran bertulis berkuat kuasa hari ini.

Kedua dua mereka didapati bersalah di bawah fasal 75 Perlembagaan PAS.

Khalid digantung daripada menjadi Yang Dipertua Shah Alam dan Pengerusi Lajnah Politik PAS Pusat.

Keputusan itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Disiplin, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pada sidang media selepas mesyuarat petang ini. Menurut Tuan Ibrahim, Khalid didapati bersalah kerana mendedahkan maklumat sulit parti dan mengkritik pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali.

Manakala Hasan pula didapati bersalah mengkritik prosedur tatacara pendengaran Selcat dan pelantikan pengurus besar PKNS, Liow Siew Moi.

"Jawatankuasa disiplin telah membuat keputusan penghakiman pada petang ini setelah mengikuti prosedur siasatan. "Kedua-duanya didapati bersalah di bawah fasal 75 Perlembagaan PAS Pusat," katanya.

Ekoran hukuman itu, kedua-duanya dilarang mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menjejaskan PAS dan Pakatan Rakyat.

Bagaimanapun kedua-duanya boleh membuat rayuan kepada ahli jawatankuasa kerja PAS Pusat dalam masa 30 hari bermula hari ini.

Turut hadir dalam sidang media itu dua lagi ahli jawatankuasa Datuk Abdul Muttalib Embong dan Mohd Baqi Osman.

Muttalib pula berkata, hukuman bagi kesalahan di bawah fasal 75 perlembagaan terbahagi kepada empat iaitu memberi amaran, melucutkan mana-mana hak dalam parti, menggantung keahlian dan dipecat daripada menjadi ahli parti.

"Kedua-duanya didapati bersalah jadi kalau lepas ini mereka buat juga,jawatankuasa disiplin boleh panggil balik dan kita boleh hukum mereka di bawah mana-mana hukuman yang ada pada kita,"katanya.

Khalid bagaimanapun hanya menghantar wakilnya pada pertemuan petang tadi kerana beliau berada di luar negara.

Tuan Ibrahim dalam pada itu berharap agar keputusan yang dibuat itu menjadi satu panduan dan iktibar kepada pimpinan parti yang lain.

"Kita harap keputusan hari ini dapat menjadi panduan dan iktibar kepada pendokong parti bukan sahaja dalam konteks PAS tapi juag dalam konteks Pakatan Rakyat,"katanya.

Sementara itu, bercakap dalam sidang media yang berlainan, Hasan berkata beliau menerima keptusan itu dengan hati yang terbuka dan menganggap ianya sebagai satu proses pendidikan kepada dirinya.

"Dalam pertemuan selama setengah jam tadi, saya sudah menerima hukuman daripada lembaga disiplin parti dan saya diberi amaran.

"Saya terima dengan hati yang terbuka dan anggap apa yang berlaku ini sebagai proses pendidikan bagi diri saya,"katanya.

5 SOALAN PERLUKAN JAWAPAN


Ketika Imam Al-Ghazali bersama anak2 muridnya....Imam Al-Ghazali bertanya 5 soalan kepada anak2 muridnya.

Imam Ghazali = ' Apakah yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini ?
Murid 1 = ' Orang tua '
Murid 2 = ' Guru '
Murid 3 = ' Teman '
Murid 4 = ' Kaum kerabat '
Imam Ghazali = ' Semua jawapan itu benar. Tetapi yang paling dekat dengan kita ialah MATI. Sebab itu janji Allah bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati ( Surah Ali-Imran :185).

Imam Ghazali = ' Apa yang paling jauh dari kita di dunia ini ?'
Murid 1 = ' Negeri Cina '
Murid 2 = ' Bulan '
Murid 3 = ' Matahari '
Murid 4 = ' Bintang-bintang '
Iman Ghazali = ' Semua jawaban itu benar. Tetapi yang paling benar adalah MASA LALU. Bagaimanapun kita, apapun kenderaan kita, tetap kita tidak akan dapat kembali ke masa yang lalu. Oleh sebab itu kita harus menjaga hari ini, hari esok dan hari-hari yang akan datang dengan perbuatan yang sesuai dengan ajaran Agama'.

Iman Ghazali = ' Apa yang paling besar didunia ini ?'
Murid 1 = ' Gunung '
Murid 2 = ' Matahari '
Murid 3 = ' Bumi '
Imam Ghazali = ' Semua jawaban itu benar, tapi yang besar sekali adalah HAWA NAFSU (Surah Al A'raf: 179). Maka kita harus hati-hati dengan nafsu kita, jangan sampai nafsu kita membawa ke neraka.'

IMAM GHAZALI' Apa yang paling berat didunia? '
Murid 1 = ' Baja '
Murid 2 = ' Besi '
Murid 3 = ' Gajah '
Imam Ghazali = ' Semua itu benar, tapi yang paling berat adalah MEMEGANG AMANAH (Surah Al-Azab : 72 ). Tumbuh-tumbuhan, binatang, gunung, dan malaikat semua tidak mampu ketika Allah SWT meminta mereka menjadi khalifah pemimpin) di dunia ini. Tetapi manusia dengan sombongnya berebut-rebut menyanggupi permintaan Allah SWT sehingga banyak manusia masuk ke neraka kerana gagal memegang amanah.'

Imam Ghazali = ' Apa yang paling ringan di dunia ini ?'
Murid 1 = ' Kapas'
Murid 2 = ' Angin '
Murid 3 = ' Debu '
Murid 4 = ' Daun-daun'
Imam Ghazali = ' Semua jawaban kamu itu benar, tapi yang paling ringan sekali didunia ini adalah MENINGGALKAN SOLAT. Gara-gara pekerjaan kita atau urusan dunia, kita tinggalkan solat '

Imam Ghazali = ' Apa yang paling tajam sekali di dunia ini? '
Murid- Murid dengan serentak menjawab = ' Pedang '
Imam Ghazali = ' Itu benar, tapi yang paling tajam sekali didunia ini adalah LIDAH MANUSIA. Kerana melalui lidah, manusia dengan mudahnya menyakiti hati dan melukai perasaan saudaranya sendiri '

Hina Raja: Penulis blog, Aduka Taruna Didakwa


Jan 29,
Seorang penulis blog, yang disiasat berhubung kesalahan menghina Sultan Johor, akan didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini.

Pemuda 29 tahun itu, yang dikenali dengan nama penanya Aduka Taruna, ditahan reman di Majistret Kota Bharu selama empat hari yang berakhir hari ini. Menurut peguammnya, Mohd Razlan Jalaludin, Aduka Taruna telah tiba di mahkamah berkenaan selepas solat Jumaat tadi dan sedang menunggu pendakwaan terhadapnya dimulakan.

Penulis berkenaan menyerah diri di ibu pejabat polis daerah (IPD) Kota Bharu Isnin lalu. Beliau akan didakwa bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, yang jika didapati bersalah boleh dikenakan hukuman denda RM50,000, satu tahun penjara atau kedua-duanya.

PAS - APA KEPUTUSAN PETANG INI???


Petang ini seluruh ahli PAS akan mengetahui keputusan siasatan Jawatankuasa Disiplin PAS terhadap exco Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Dato' Dr Hasan Mohd Ali dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

Selewat-lewatnya keputusan itu akan diketahui selepas jam 4 petang ini. Keputusan itu ditangguhkan minggu lalu disebabkan mereka tidak hadir.

“Pada hari ini (22 Januari 2010) Jawatankuasa telah menyambung persidangan untuk membuat penilaian dan rumusan berkait pendengaran tersebut.“Pihak jawatankuasa telah sampai ke tahap keputusan tetapi memerlukan kehadiran kedua-dua ahli yang terlibat untuk jawatankuasa menyampaikan keputusan kepada mereka.“Jawatankuasa merasakan adalah tidak wajar untuk mengumumkan keputusan sebelum ianya disampaikan kepada mereka terlebih dahulu,” - Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man.

Apa saja keputusan hari ini diharap dapat dijadikan pengajaran bukan saja kepada mereka tetapi seluruh ahli gerakan Islam (PAS). Moga keputusan petang ini dapat manfaat kepada semua pihak.

Jom Ke Karnival Penang Harmoni 1-7 Feb 2010


PENANG HARMONI MUHIBBAH DAN BERINTEGRITI Anjuran Lajnah Penerangan PAS Pulau Pinang.

Ketua Lajnah Penerangan Pas Pulau Pinang, Zulkifly Ishak berkata, program yang berlangsung selama tujuh hari bermula dari 1 hingga 7 Februari itu turut melibatkan agensi kerajaan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan parti politik dalam Pakatan Rakyat (PR).

Menurutnya,puluhan ribu angota masyarakat dijangka hadir pada program berkenaan sebagai pembuka lembaran baru Pas Pulau Pinang bagi tahun ini.

"Tujuan program ini diadakan selama tujuh hari adalah bagi membuka peluang kepada rakyat mendengar secara jelas berkenaan apa yang berlaku di dalam negara ini.

"Jesteru, saya mengalu-alukan kedatangan seluruh masyarakat ke Tapak Ekspo Seberang Jaya pada 1 hingga 7 Februari ini bagi mendengar perkembangan isu semasa di samping berhibur bersama otai rock 90an yang akan turut memeriahkan majlis" katanya.

Program berkenaan akan dirasmikan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 1 Februari. Yang akan turut bersama Ketua Penerangan Pas Pusat, Idris Ahmad, SpeakerDewan Undangan Negeri (DUN) Perak,V Sivakumar dan Pesuruhjaya Pas Negeri, Mohd Saleh Man.

Menurutnya,Forum Perdana akan mengisi jadual pada hari kedua dengan menampilkan ahli panel, Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Pusat, Nik Zawawi Nik Saleh Ahli Parlimen Baling Taib Azamudin Mohd Taib dan bekas Setiausaha Politik Menteri Besar Perak, Misbahul Munir Marduki.

3 Februari: Pentas akan dihangatkan dengan pidato yang disampaikan oleh Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang bersama Naib Presiden Pas Pusat, Datuk Mahfuz Omar dan seorang Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

4 Februari: Pidato oleh Speaker DUN Kelantan, Nasaruddin Daud, Setiausaha Agung Parti KeADILan Rakyat (PKR), Saifudin Nasution Ismail dan TKM2 Pulau Pinang, P Ramasamy akan diadakan.

5 FEbruari: Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Naib Presiden PKR Azmin Ali serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu, Phee Boon Poh akan memberikan ceramah pada malam itu.


6 Februari: Malam kemuncak, semua pengunjung akan dihiburkan dengan persembahan empat penyanyi Rock tahun 90an iaitu bekas vokalis Kumpulan Wing , Mel, Radhi Abdul Hamid dari Mellisa, Mael dari XPDC dan Renggo dari kumpulan Arrow. Mereka akan beraksi dalam program "Malam Kemanusian dan Kesenian Islam" yang dikendalikan oleh tokoh motivasi Ustaz Abdullah Khairi.


7 Februari: Malam terakhir, Ceramah oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, Naib Presiden Pas, Salahudin Ayup dan Naib Presiden PKR, Sivarasa akan diadakan.

Selain mendengar pidato dan ceramah dari pemimpin PR, pengunjung juga boleh menambah pengetahuan dengan mengunjungi gerai-gerai pameran di sampin membeli-belah di gerai jualan yang disediakan.

LIHATLAH SEKITAR ALAM


(Gambar: Puluhan ribu hadir mendengar penjelasan Bekas Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah berhubung hak Kelantan mendapat royalti minyak) dipadang Stadium Sultan Mohamad IV - 28 Jan 2010

Mahkamah Persekutuan Tolak Permohonan Anwar


Sebagaimana yang dijangka, Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mendapatkan dokumen dan bukti relevan bagi membolehkan peguam beliau menyediakan pembelaan tuntas untuk perbicaraan mantan Timbalan Perdana Menteri itu pada Selasa depan.

Anwar telah meminta salinan kenyataan penuduh Saiful Bukhari Azlan, laporan perubatan yang relevan dan salinan rakaman video di pintu masuk kondominium Jalan Setia kasih, Bukit Damansara di mana Saiful mendakwa tuduhan fitnah liwat itu berlaku pada Jun tahun 2008.

Peguam-peguam Anwar memohon untuk diberikan akses kepada bahan bukti itu bagi membolehkan mereka menyediakan soal balas yang bernas terhadap saksi yang dikemukakan oleh pendakwaraya, demi memastikan keadilan.

Hakim Abdul Hamid Embong bagaimanapun mengumumkan bahawa panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan memutuskan Anwar tidak berhak mendapatkan salinan bukti yang dipohon itu.

Keputusan itu selari dengan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Rayuan yang membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini membenarkan Anwar mendapatkan salinan bukti yang dipohon itu.

Hakim Mahkaman Tinggi Mohd Zabidin Mohd Diah telah membenarkan permohonan Anwar itu kerana berpendirian Ketua Pembangkang itu perlu diberikan ruang secukupnya untuk menyediakan pembelaan tuntas.

Namun keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini bermakna Anwar telah gagal dalam semua permohonan beliau di peringkat Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan bagi mendapatkan pembelaan daripada tindakan-tindakan yang diambil oleh Peguam Negara Gani Patail.

Saiful membuat tuduhan itu beberapa hari selepas beliau mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri Najib Razak dan sehari selepas beliau mengadakan pertemuan “sulit” dengan seorang pegawai polis kanan Rodwan Mohd Yusuf.

Rodwan adalah pegawai polis yang dilaporkan cuba memalsukan bukti DNA terhadap Anwar ketika perbicaraan beliau pada tahun 1999.

Tuduhan itu dibuat oleh Saiful ketika Najib sedang memimpin kempen Umno untuk menghalang Anwar daripada memenangi pilihanraya kecil Permatang Pauh dan sekali gus diangkat menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen.

Tuduhan fitnah itu gagal mengalihkan sokongan untuk Anwar yang menang dengan majoriti besar dan mantan Timbalan Perdana Menteri itu kini menjadi seteru politik utama Najib.

Kedah Catat Pelaburan ke-5 Tertinggi


ALOR SETAR, 28 Jan: Negeri Kedah telah berjaya mencapai pelaburan keseluruhan bagi tempoh Januari hingga September 2009 sebanyak RM839 juta.

Manakala pelaburan tempatan pula berjumlah RM279.4 juta serta pelaburan langsung asing (FDI) sebanyak RM559.8 juta.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Sains dan Inovasi Bioteknologi dan Pembangunan Usahawan, Datuk Ir Amiruddin Hamzah, sehingga tempoh tersebut juga Kedah berada pada tangga kelima bagi jumlah pelaburan terbanyak dalam negara ini.

"Walaupun jumlah pelaburan bagi tiga bulan terakhir belum dikemaskini oleh Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia, namun begitu statistik ini sudah dapat membuktikan bahawa dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa ekonomi Kedah tidak memberangsangkan di bawah pentadbiran kerajaan negeri yang ada sekarang adalah tidak benar sama sekali.

"Malahan pada bulan Disember 2009, terdapat penambahan pelaburan sebanyak RM1 bilion bagi pembesaran kilang panel solar di Taman Teknologi Tinggi Kulim yang memberi peluang pekerjaan kepada lebih daripada seribu orang.

"Kerajaan negeri juga sedang merangka program ekonomi yang berasaskan pertanian sebagai persediaan untuk menjadikan Kedah sebagai negeri pertanian utama," katanya lagi.

Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Anak Bukit berkata bagi tahun 2010, Kerajaan Negeri mensasarkan untuk menambahkan pelaburan dalam bidang pembuatan, industri minyak dan juga automotif.

Kelantan Berhak Royalti 5 % - Tengku Razaleigh


KOTA BARU, Jan 28 — Sambil menegaskan kehadirannya pada sesi penerangan malam ini mendapat perkenan Istana Kelantan, Tengku Razaleigh Hamzah (gambar) berkata, negeri itu berhak menerima royalti petroleum lima peratus.

“Saya maklum kepada tuanku perkara ini, tuanku perkenan. Pemangku Raja kata bagus tok li, bagus,” kata beliau pada program penerangan isu tuntutan royalti di sini.

Justeru Pengasas Petronas itu mengesahkan Kelantan berhak menerima bayaran wang royalti sebanyak lima peratus. Pada masa yang sama Tengku Razaleigh juga berkata beliau tidak mempedulikan apa jua tomahan orang berhubung kehadirannya malam ini.

“Kalau ada orang kata, jawapan saya, peduli apa...,” kata beliau sambil menambah, kehadirannya adalah demi rakyat. Terdahulu Tengku Razaleigh tiba di Stadium Sultan Mohd IV di sini kira-kira 9.30 malam tadi dengan diarak 50 beca sebagai simbolik 'usaha' kerajaan negeri itu membawa pertikaian bayaran royalti.

Kehadiran beliau untuk memberi penerangan mengenai isu berkenaan diiringi oleh Exco Kerajaan Negeri Datuk Husam Musa. Difahamkan iringan beca adalah kehendak penarik beca Kelantan sendiri untuk membawa Tengku Razaleigh sebagai tanda sokongan penerangan beliau terhadap tuntutan royalti negeri.

Menjelang program penerangan isu tuntutan royalti malam ini, Stadium Sultan Mohd IV mula dibanjiri orang ramai sejak pukul 6 petang tadi. Tengku Razaleigh akan berucap memberi penerangan mengenai isu itu. Pengerusi bersama program Gegar ini, Dr Abdul Halim Yusof menjangkakan tidak kurang 50,000 orang akan mengikuti program tersebut.

“Tengok pada keadaan sekarang saya rasa lebih dari 50,000 akan hadir,” kata beliau ketika ditemui di kawasan stadium kira-kira 6.30 petang tadi.

Difahamkan program akan dimulakan dengan solat maghrib berjemaah, solat hajat dan kuliah royalti. Kira-kira 7 petang tadi, Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hadir dengan diiringi timbalannya dan exco-exco kerajaan, wakil rakyat serta pegawai kerajaan negeri.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.