Kelantan Berhak Royalti 5 % - Tengku Razaleigh


KOTA BARU, Jan 28 — Sambil menegaskan kehadirannya pada sesi penerangan malam ini mendapat perkenan Istana Kelantan, Tengku Razaleigh Hamzah (gambar) berkata, negeri itu berhak menerima royalti petroleum lima peratus.

“Saya maklum kepada tuanku perkara ini, tuanku perkenan. Pemangku Raja kata bagus tok li, bagus,” kata beliau pada program penerangan isu tuntutan royalti di sini.

Justeru Pengasas Petronas itu mengesahkan Kelantan berhak menerima bayaran wang royalti sebanyak lima peratus. Pada masa yang sama Tengku Razaleigh juga berkata beliau tidak mempedulikan apa jua tomahan orang berhubung kehadirannya malam ini.

“Kalau ada orang kata, jawapan saya, peduli apa...,” kata beliau sambil menambah, kehadirannya adalah demi rakyat. Terdahulu Tengku Razaleigh tiba di Stadium Sultan Mohd IV di sini kira-kira 9.30 malam tadi dengan diarak 50 beca sebagai simbolik 'usaha' kerajaan negeri itu membawa pertikaian bayaran royalti.

Kehadiran beliau untuk memberi penerangan mengenai isu berkenaan diiringi oleh Exco Kerajaan Negeri Datuk Husam Musa. Difahamkan iringan beca adalah kehendak penarik beca Kelantan sendiri untuk membawa Tengku Razaleigh sebagai tanda sokongan penerangan beliau terhadap tuntutan royalti negeri.

Menjelang program penerangan isu tuntutan royalti malam ini, Stadium Sultan Mohd IV mula dibanjiri orang ramai sejak pukul 6 petang tadi. Tengku Razaleigh akan berucap memberi penerangan mengenai isu itu. Pengerusi bersama program Gegar ini, Dr Abdul Halim Yusof menjangkakan tidak kurang 50,000 orang akan mengikuti program tersebut.

“Tengok pada keadaan sekarang saya rasa lebih dari 50,000 akan hadir,” kata beliau ketika ditemui di kawasan stadium kira-kira 6.30 petang tadi.

Difahamkan program akan dimulakan dengan solat maghrib berjemaah, solat hajat dan kuliah royalti. Kira-kira 7 petang tadi, Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hadir dengan diiringi timbalannya dan exco-exco kerajaan, wakil rakyat serta pegawai kerajaan negeri.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.