





Ahmad Lutfi Othman
Tulisan ini mahu bermula dari mana, ya? Tentang rawatan dari pembedahan pintasan jantung yang kian pulih? Itu mungkin terlalu personal dan tidak ada elemen kepentingan umum. (Bagaimanapun saya kira banyak juga pengalaman, terutama menjelang subuh Isnin, 26 April, sebelum katil ditolak ke bilik bedah HUKM boleh dikongsi bersama nanti).
Mengenai politik yang tidak pernah reda suhu kepanasannya? Tentunya sudah banyak diulas oleh karyawan lain, lagipun saya sendiri jarang mengikuti dari dekat pergolakan semasa. Umpama tertinggal keretapi.
(Namun, isu berkaitan permit Suara Keadilan dan kuasa tanpa batasan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, yang mengetepikan sama sekali fungsi mahkamah, wajib disinggung. Harakah juga harus bingkas mempersiapkan diri sebagai media PRU13 yang paling ampuh).Sudah cukup lama saya meninggalkan kolum ini, Catatan Hujung, nama ruangan tetap yang dimulakan di majalah Dunia Islam pada awal 1990-an, kemudian berpindah ke majalah Tamadun, seterusnya Detik (hanya sempat setahun usianya sebelum majalah yang diterbitkan ketika gema reformasi memuncak itu diharamkan Kementerian Dalam Negeri), beralih menghiasi lembaran akhir akhbar Siasah. Kini menumpang di Harakah. Harapnya ia kekal lebih lama, dan konsisten.
Agak ramai kenalan merungut tentang 'kemalasan' saya menghidupkan kolum tersebut. Apabila sesekali keluar Kuala Lumpur, bertemu secara tidak sengaja pembaca Harakah, mereka kerap mengingatkan tentang Catatan Hujung. Sering kali saya berdaleh dengan kekangan kesihatan.
"Tak perlu tulis yang berat-berat. Apa saja saudara tulis, okey, terutama yang menyentuh jiwa," jawab pantas seorang yang mengaku 'peminat' ketika saya singgah minum di Dungun, empat bulan lalu. (Saya pun kurang mengerti apa maksud 'menyentuh jiwa' itu namun yang pasti ia membuatkan saya lebih terasa sukar untuk memulakannya).
Rasanya sejak menjalani operasi angioplasti, ekoran tiga salur darah jatung tersumbat, bermula Disember 2009, kolum ini tidak diisi. Sebenarnya ia satu kegagalan besar.
Bagi seorang kolumnis, apa pun hambatan menerpa, kolum mesti disiapkan, dengan apa jua cara. Pengalaman kolumnis besar, seperti Subky Abdul Latiff, cukup sukar untuk saya teladani.
Bagi Pak Subky, tiada alasan untuk mengetepikan deadline. Ketika beliau keluar negara, hatta semasa mengerjakan fardu haji (dan teknologi ICT belum cukup canggih lagi waktu itu), kolumnya untuk dua bulan disiapkan terlebih dahulu. Saya menjadi kerdil jika mahu dibandingkan dengan pengasas Harakah itu, juga kolumnis lain, misalnya A Shukur Harun dan Dinsman.
Keperitan menanggung penyakit kronik dan meniti episod 'hidup-mati' memang misteri yang 'cukup indah'.
Anda belajar mengenali diri setulusnya, menyerah sebulatnya kepada Yang Maha Pengasih, menyedari keterbatasan memaknakan kehidupan, dan mengkagumi bagaimana cantiknya ukhuwwah sesama Muslim. Mulanya memang sukar untuk menerima hakikat namun selepas 'dipelajari' (harus ada keinsafan dan kesungguhan untuk menekuninya), insya-Allah akan terbuka hijab dan lapis-lapis yang mendindingi selama ini.
Sebagai mukadimah, catatan ini terasa cacatnya jika tidak mengalungkan penghargaan buat seluruh team pembedahan saya tempoh hari, yang diketuai Dr Mohd Zamrin Dimon, Dr Mohd Ramzisham Abdul Rahman (kedua-duanya pakar perunding bedah jantung), pakar bius Dr Joanna, Dr Hairulfaizi Haron, Dr Ishamuddin Ismail dan dua perfusionist, Yusof Hambali dan Zulkifli Zain. Juga buat para jururawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) serta Wad Sutera, HUKM.
Saya sama sekali tidak dapat melupakan kunjungan, doa, bantuan dan sokongan begitu ramai pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat, khususnya Presiden Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Dato' Seri Anwar Ibrahim yang menghantar SMS pada malam pembedahan.
Begitu juga dengan majlis solat hajat yang diatur tanpa pengetahuan saya. Termasuk yang menawarkan bantuan rawatan secara percuma (termasuk Ustaz Ahmad Awang dan isteri yang hampir setiap minggu membawakan ubat homeopathy Dr Azmi Zainonabidin dari Kamunting, Perak).
Bantuan kewangan Dato' Husam Musa dan pihak Harakah (melalui perhatian serius Dato' Mustafa Ali dan Dato' Kamarudin Jaffar) cukup banyak membantu. Kenalan lama tiba-tiba menziarahi sekali gus menghulurkan bantuan yang tidak pernah terlintas. Maha Suci Allah ...
(Harakahdaily) - Penyiasat peribadi, Balasubramaniam kemungkinan mempunyai 'anak kunci peti rahsia' kes pembunuhan gadis Mongolia, Altantuya Shaariibuu, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.
"Ada sesuatu disembunyikan dari kita, seolah-olah Bala ini pegang ‘kunci peti rahsia’ tak kiralah kes Altantuya atau rahsia aktiviti isteri orang nombor satu negara," jelas beliau petang tadi di lobi Parlimen.
Sekiranya tidak, beliau berkata, takkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membatalkan niat menghantar tiga pegawai penyiasat (IO) ke London untuk bertemu Bala.
Dalam pada itu, beliau turut mempersoal keengganan SPRM itu kononnya atas nasihat Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patai.
"Tengah malam pun, SPRM sanggup buat rayuan di mahkamah supaya mereka boleh siasat, takkan dalam isu Bala ini, mereka ikut Peguam Negara dengan serah soalan pada peguam Bala saja," jelas beliau.
Beliau turut meminta pihak berwajib menyiasat 40 peratus pendedahan pemilik sesawang Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin (RPK) seperti yang diakui oleh Datuk Mukhriz Mahathir, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
"Kenapa tak siasat kebenaran dalam tulisan RPK ini sedangkan Mukhriz sendiri mengaku bahawa 40 peratus adalah benar," beliau menambah.
Disebabkan itu, beliau sekali lagi menyuarakan rasa hairan dengan tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan polis memburu 'Raja Blogger' terbabit semata-mata.
"Pergi siasat dulu siapa bunuh Altantuyaa, siapa jual kedaulatan negara pada Singapura dan Brunei, siapa bunuh Teoh Beng Hock kerana RPK dedah itu semua," tegas beliau.
Melihat tindakan kerajaan dalam menghadapi pendedahan RPK itu, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa 'Raja Blogger' itu mungkin mempunyai 'kunci pendua' peti rahsia yang melibatkan salah laku pemimpin tertinggi tertentu dalam kerajaan.
"Kalau tidak ada kunci peti rahsia seperti Bala pun, dia mungkin pernah lihat (peti rahsia) atau mungkin ada kunci pendua yang sangat ditakuti oleh kabinet Perdana Menteri kita," jelasnya lagi.
Tuntas dari itu, beliau menasihatkan kerajaan supaya turut menyiasat beberapa pendedahan Bala dan RPK berhubung pemimpin tertentu.
KUALA LUMPUR, 9 Julai: Suaram menggesa Peguam Negara supaya membayar pampasan ganti rugi yang berjumlah RM1.4 juta kepada kepada Puan Suzana Md Aris yang telah kematian suami semasa dalam tahanan polis.
Penyelaras Suaram, Yap Heng Lung berkata, pembayaran pampasan tersebut merupakan satu kemenangan rakyat dalam memperjuangkan hak asasi manusia dalam kes kematian dalam tahanan polis.
Puan Suzana merupakan isteri kepada mangsa Mohd Anuar Sharip, 31, yang telah meninggal dunia dalam tahanan polis di Balai Polis Rawang pada 19 Ogos 1999.
Pada 1 Julai 2010, Pesuruhjaya Kehakiman, Lee Swee Seng telah memerintahkan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Norian Mai dan kerajaan perlu bertanggungjawab membayar ganti rugi sebanyak RM1.4 juta kepada Puan Suzana ke atas kecuaian dan kegagalan pihak polis yang menyebabkan suaminya Mohd Anuar Sharip meninggal dunia dalam tahanan lokap.
“Isu kematian dalam tahanan selalu menjadi isu yang hangat sejak dahulu lagi dan kami memandang amat serius terhadap isu ini kerana perbuatan membunuh seseorang semasa dalam tahanan polis adalah perbuatan yang menyalahi undang-undang dan hak asasi manusia,” kata Heng Lung dalam kenyataan kepada Harakahdaily.
Malah, jelasnya, ia turut menyalahi dan mencabuli Artikel 5(1) seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu menghormati hak bernyawa setiap manusia terutamanya dalam menjalankan tugas tanpa mengira sama ada penjenayah atau orang biasa.
Katanya, mengikut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri di Parlimen baru-baru ini, menyatakan bahawa terdapat sebanyak 153 kes kematian dalam tahanan polis antara tahun 1999 hingga 2008.
“Kami berpendapat bahawa pihak polis perlu bertanggungjawab terhadap segala kes kematian dalam tahanan kerana adalah tanggugjawab polis untuk menjaga OKT (orang kena tahan) dalam keadaan sihat seperti yang dinyatakan dalam Akta Kaedah-Kaedah Lokap(L.N.3289/1958)(4).
“Oleh itu, kami berpendapat bahawa amat penting wujudkan Suruhanjaya Bebas Salahlaku dan Aduan Polis (IPCMC) yang bersifat bebas ,telus dan adil untuk menyelesaikan masalah sedemikian serta mengawal tindakan polis memandangkan terlalu banyak kes kematian dalam tahanan berlaku sekian hari,” ujarnya.
Justeru, katanya Suaram menyeru sekali lagi agar Peguam Negara menghormati keputusan mahkamah dan segera membayar pampasan kepada Puan Suzana kerana segala bukti dalam kes Mohd Anuar Sharip adalah jelas dan kini tiba masanya keluarga mangsa untuk mendapatkan keadilan.
Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.