TPM Lari Dari Tanggungjawab Pengarah PRK... Lantik Ku Li Sebagai Pengarah PRK Galas, Sangat Luar Biasa...

Jawatan pengarah pilihan raya Umno biasanya dipegang oleh Muhyiddin, kata Salahuddin. — Gambar fail

KUALA LUMPUR, 30 Sept — Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub menyifatkan Umno keluar daripada norma biasa apabila melantik Ketua Umno Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah sebagai pengarah pilihan raya kecil DUN Galas.
Katanya, sebelum ini jawatan itu dipegang oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Timbalan Presiden Umno dan Timbalan Pengerusi BN.

Salahuddin berkata persoalan sekarang mengapa Muhyiddin lari daripada tanggungjawab tersebut.

“Kenapa Umno lari daripada norma biasa di mana Tan Sri Muhyiddin Yassin yang setiap kali berlaku pilihan raya kecil mesti timbalan perdana menteri yang jadi pengarah pilihan raya.

“Kenapa kali ini beliau lari?” kata beliau di sini hari ini.

Beliau turut menimbulkan persoalan mengenai janji-janji pilihan raya kecil kerusi Manek Urai Julai 2009.

“Mana janji beliau satu jambatan di Manek Urai, mana janji untuk memberi sumbangan RM1,000 sebulan kepada warga tua, mana janji beliau di Manek Urai,” katanya.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu bagaimanapun enggan menyentuh tentang pelantikan Tengku Razaleigh.

“Saya tidak mahu sentuh pasal Tengku Razaleigh tapi kenapa kali ini Timbalan Perdana Menteri lari daripada tangunggjawab.

“Itu persoalannya, lagi pun PAS tiada masalah dengan Ku Li, malah kita bersama dalam beberapa itu sebelum ini termasuk royalti minyak,” katanya.

Semalam, Muhyiddin mengumumkan bahawa Tengku Razaleigh telah dilantik sebagai pengarah pilihan raya Umno-BN di Galas.

Ia salah satu kerusi DUN dalam bahagian Parlimen yang diterajui Tengku Razaleigh.

Muhyiddin berkata keputusan itu diambil dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Umno semalam. Pengerusi Perhubungan Umno negeri Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed pula dilantik timbalan pengarah dengan dibantu jentera parti di peringkat negeri dan pusat.

Muhyiddin berkata, beliau yakin dengan kepimpinan Razaleigh yang amat berpengalaman, berpengaruh lagi amat dihormati pengundi di DUN Galas.

Kerusi Galas kosong berikutan kematian wakil rakyatnya Che Hashim Sulaima dari PAS akibat barah usus, Isnin lalu. Kekosongan kerusi itu membuka laluan kepada pilihan raya kecil ke-12 sejak Mac 2008.

DUN Galas selama ini dikuasai Umno, namun dalam pilihan raya lalu Che Hashim berjaya menawan kerusi itu dengan menewaskan calon Umno, Mohamad Saufi Deraman dengan majoriti 646 undi.

Menurut Salahuddin, PAS memandang serius pilihan raya kecil DUN Galas dan menyifatkan cabaran yang bakal dihadapi nanti perlu ditangani dengan bijak.

“PAS anggap ini satu cabaran besar, jentera PAS perlu bersiap sedia jangan ‘terlalu over confident’, jangan rasa selesa yang penting PAS akan meningkatkan keupayaan dan komitmen.

“Cabaran PAS untuk menghadapi rintangan ini dengan bijak,” katanya.
Tambahnya satu mesyuarat khas pemimpin PAS akan diadakan pada 3 Oktober ini dan isu DUN Galas akan menjadi agenda utama.

“Mungkin pada hari itu Presiden PAS akan mengumumkan siapa yang akan menjadi pengarah pilihan raya bagi PAS,” katanya.

SPR Umumkan Tarikh PRK Galas pada 6 Oktober 2010 Ini ... Kita Tunggu..

KUALA LUMPUR, 30 Sept – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengumumkan tarikh pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas yang kosong sejak Isnin lalu pada 6 Oktober ini.

“SPR sudah putuskan, kami akan adakan mesyuarat khas pada 6 Oktober, Rabu depan,” kata Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar ketika dihubungi The Malaysian Insider hari ini.

“Pegawai pengurus pilihan raya yang dilantik juga akan diperkenalkan pada hari tersebut, dan juga makluman mengenai writ pilihan raya, saya akan umumkan selepas mesyuarat khas pukul 11 pagi (Rabu depan),” kata beliau lagi.

SPR dimaklumkan mengenai kekosongan kerusi DUN Galas, Kelantan kelmarin.

Suruhanjaya itu ada masa sehingga 7 Oktober untuk menetapkan tarikh pilihan raya kecil kerusi itu yang kosong ekoran kematian penyandang Che Hashim Sulaima Isnin lalu.

Semalam beliau berkata bahawa penetapan tarikh pilihan raya kecil ini, yang kali ke-12 akan mengambil kira semua aktiviti parti termasuk Perhimpunan Agung Tahunan Umno bulan depan.

Selain itu kata beliau, SPR juga akan mengambil kira hari-hari kebesaran seperti sambutan Deepavali dan Aidiladha, jatuh sebelum pertengahan November, dalam menentukan tarikh pilihan raya.

Kerusi itu dimenangi Che Hashim pada pilihan raya umum 2008 setelah menewaskan calon Umno, Saufi Deraman dengan majoriti 646 undi.

Tindakan Sekumpulan Warga Emas Pulangkan Bantuan RM100 Seorang Kepada Kerajaan PP Hanyalah Satu Sandiwara

GEORGE TOWN, 30 Sept — Tindakan sekumpulan warga emas yang memulangkan semula wang bantuan RM100 setiap seorang kepada kerajaan Pulau Pinang hanyalah satu sandiwara, kata Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Abdul Malik Abul Kassim (gambar).

Beliau berkata, ada kemungkinan warga emas yang memulangkan wang ehsan itu tidak mendaftar lagi dalam sistem yang disediakan oleh kerajaan negeri dan mereka mungkin dipengaruhi oleh sesetengah pihak.

“Mungkin ada pihak yang telah mendesak mereka,” katanya kepada pemberita bagi mengulas tindakan 40 warga emas memulangkan semula wang bantuan daripada kerajaan negeri itu kerana wang itu dikatakan daripada sumber judi lumba kuda.

Isu status wang itu didedahkan oleh sebuah blog yang mendakwa ia dari sumber judi, dan ini menimbulkan keresahan dalam kalangan penerima beragama Islam.

Dipetik Bernama, Abdul Malik sekali lagi mengulangi bahawa wang itu bukan daripada hasil judi, sebaliknya hasil yang diperoleh kerajaan negeri daripada amalan perbelanjaan berhemah sejak Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran negeri.

Kumpulan itu menyerahkan wang berkenaan kepada Setiausaha Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Azhar Ibrahim untuk dikembalikan kepada kerajaan negeri, semalam.

Azhar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Penaga berkata, pihaknya menganjurkan majlis tersebut selepas diminta oleh warga emas sekitar kawasan Parlimen Kepala Batas yang mahu memulangkan wang ihsan berkenaan.

“Bukan Umno yang suruh mereka (warga emas) bagi balik duit berkenaan, sebaliknya mereka yang hubungi saya untuk minta pulangkan wang itu kerana tidak sanggup guna wang dari sumber haram,” katanya yang juga Ketua Pembangkang di DUN Pulau Pinang.

Azhar juga berkata lebih ramai warga emas akan berbuat demikian dalam masa terdekat dan pihaknya akan mengumpulkan semua wang tersebut sebelum menyerahkan kepada Pemuda Umno Pulau Pinang untuk dikembalikan kepada Ketua Menteri Lim Guan Eng.

Pemuda Umno negeri mendakwa kerajaan Pulau Pinang menggunakan sumbangan sebuah syarikat perjudian sebagai wang ihsan kepada warga emas negeri itu.

Dakwaan itu berdasarkan sepucuk surat yang dikeluarkan Pejabat Ketua Menteri kepada Pengurus Besar Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang, Leow Khin Ming berhubung baki sumbangan cek bernilai RM500,000 untuk program tersebut.

Dalam kenyataannya selepas itu, Lim yang mengakui menerima sumbangan tersebut berkata ia digunakan bagi program membasmi kemiskinan tegar dengan menerimanya adalah bukan Islam, bukan untuk penghargaan warga emas.

Sebelum ini, Abdul Malik menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Pemuda Umno bahawa kerajaan negeri menggunakan hasil sumber judi untuk tujuan pembayaran wang ihsan melalui program penghargaan warga emas.

Katanya, dakwaan sebuah blog dan Pemuda Umno pusat awal bulan ini adalah berdasarkan kepada imaginasi, berniat jahat serta fitnah yang tidak berlandaskan fakta dan kebenaran.

Menurut beliau lagi kerajaan negeri yang mengamalkan amalan berjimat cermat melalui konsep cekap, akauntabiliti dan telus telah berjaya menjimatkan jumlah peruntukkan dalam bajet kerajaan negeri sebanyak RM20 juta bagi program tersebut.

“Daripada peruntukkan yang diberikan kita telah membelanjakan sebanyak RM10.7 juta dan masih mempunyai lebihan RM9.3 juta untuk meneruskan program penghargaan warga emas.

“Suka ditegaskan di sini bahawa wang ihsan tersebut bukan hasil dari sumber judi. Ia adalah hasil dari pungutan cukai tanah serta sumber selain dari judi.

“Kerajaan negeri juga tidak mempunyai kuasa mutlak untuk meluluskan lesen judi sedangkan kerajaan pusat sahaja yang mempunyai kuasa untuk meluluskan semua lesen judi yang ada dalam negara kini,” katanya beliau kepada The Malaysian Insider.

Kembalinya Ayahanda Tercinta Menghadap Ilahi - Al Fatihah

SEDAKA, 29 September 2010: Tepat jam 12.20 pagi ayahanda tercinta, Haji Abdul Azit bin Ibrahim kembali mengadap Penciptanya di Hospital Yan.

Ayah yang dimasukkan ke hospital Yan pada 28 September 2010, jam 11.30 pagi kerana mengalami masalah jantung dan penat. Sesampainya di bahagian kecemasan Hospital Yan ayah diberi rawatan segera dan kembali stabil. Pada jam 2.30 petang ayah dipindahkan ke wad Melor 4 untuk menjalani rawatan lanjut.

Alhamdulillah, ayah pergi mengadap Ilahi dengan tenang di samping emak dan anak-anak tepat jam 12.20 pagi.

Ayah meninggal dunia dalam usia 73 tahun. Meninggalkan seorang isteri Hajjah Aishah dan tujuh orang anak. Anak-anak allahyarham ialah Rashidah, Sabri, Ahmad Shukri, Abdul Halim, Rokiah, Halmi dan Zulkifli.

Jenazah ayah di bawa pulang ke rumah di Simpang Tiga Sedaka dengan kenderaan jenazah pada jam 1.20 pagi. Jenazah ayah dimandikan. Semua ahli keluarga berkumpul dan membaca ayat suci al-Quran.

Setelah ahli keluarga berbincang bersama tuan imam, Haji Ali Bashah Othman jenazah akan disembahyangkan pada jam 11.30 pagi.

Ramainya saudara mara dan sahabat handainya yang datang menziarahi jenazah ayah. Turut menziarahi pimpinan peringkat cawangan, kawasan dan negeri, antaranya ahli parlimen Yan, Ustaz Firdaus Jaafar dan Adun Jeneri Cikgu Yahya Abdullah.

Sembahyang jenazah diimamkan oleh abang sulung, Ustaz Sabri di masjid at Thohiriah Sungai Lentang. Hampir sebahagian masjid dipenuhi saudara mara dan sahabat serta kenalan. Jenazah ayah selamat dikebumikan berselahan makam adik Ahmad yang meninggal pada 14 Oktober 2000 di Tanah Perkuburan yang terletak berhadapan dengan masjid.

Urusan pengebumian jenazah selesai jam 12.30 tengahari. Semoga roh ayah di cucuri rahmat Allah dan di tempatkan bersama orang yang solehin.

Al Fatihah



Malaysia Di Tempat 131 daripada 175 Negara Laporan Indeks Kebebasan Media - Kawalan Ketat Atas Media Cetak dan Elektronik

Pengasas bersama ensiklopedia online - Wikipedia yang dalam lawatan ke Malaysia berkata negara ini mesti menyingkirkan penapisan yang membantutkan pertumbuhan ekonomi, lapor AFP.

Menurut Jimmy Wales, penapisan adalah tidak produktif bagi Malaysia yang berada pada senarai 131 daripada 175 negara dalam laporan indeks kebebasan media yang dikeluarkan oleh Wartawan Tanpa Sempadan pada 2009. Ini kerana Malaysia mengenakan kawalan ketat yang dikenakan ke atas media cetak dan elektronik.

"Ini adalah negara yang mempunyai rekod campuran...masih ada penapisan di negara ini dan saya berfikir kita mula melihat bahawa ia tidak lagi mempunyai stategi efektif apabila kita memikirkan pertumbuhan ekonomi,” katanya.

"Apabila anda berkata untuk memastikan orang ramai mempunyai maklumat yang mereka perlukan bagi membuat keputusan yang betul dalam kehidupan mereka , adalah penting bagi memastikan pengaliran maklumat terbuka,” katanya pada persidangan kewangan.

Penerjun Warga Australia Maut Terhempas Di Ketinggian 165 Meter - Terjunan Di Menara Alor Setar

ANGGOTA Polis dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) mengangkat mayat penerjun wanita warga Australia, Tantikey Lie Marion, 42, yang maut ketika membuat latihan terjunan di Menara Alor Setar, hari ini. - Foto Syaharim Abidin

ALOR SETAR: Seorang penerjun wanita warga Australia maut selepas jatuh terhempas apabila payung terjun yang digunakan ketika menjalani latihan `base jump' di Menara Alor Setar di sini gagal berfungsi, petang tadi.

Ketika kejadian pada kira-kira jam 4.20 petang itu, mangsa yang berusia 42 tahun sedang menjalani latihan bersama beberapa lagi penerjun `base jump' sebagai persiapan untuk menyertai pertandingan Terjun Antarabangsa Malaysia Menara KL tidak lama lagi.
Mangsa, Tantiekey Lie Marion mati di tempat kejadian kerana cedera parah di kepala dan badan akibat terhempas di atas simen dari ketinggian kira-kira 165 meter.
Mayatnya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, untuk dibedah siasat.

Prof Madya Mohd Agus : Kekecohan Mesyuarat PKR Kerana Demokrasi Parti Belum Matang

agus2Oleh Muda Mohd Noor

PETALING JAYA: Seorang penganalisa politik tempatan berkata, kekecohan yang berlaku dalam mesyuarat pemilihan PKR menunjukkan ahli parti tidak mempunyai disiplin memilih pemimpin.

Prof Madya Mohd Agus Yusof dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, ia sekaligus memperlihatkan prinsip demokrasi di kalangan ahli belum matang.

"Kalau kekecohan disebabkan kekalahan dan tidak dapat menerimanya persepsi tidak elok akan muncul di kalangan parti lain.

"Tetapi kalau bantahan itu ada asas, maka parti perlu mengatasi dan menanganinya secara berhemah supaya keyakinan ahli dan penyokong kepada parti kekal," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas beberapa kekecohan yang berlaku dalam mesyuarat cabang PKR.

Antara yang paling kecoh ialah cabang Kota Raja, Selangor di mana beberapa individu telah membuat laporan polis.

Mohd Agus juga mengulas mengenai tindakan ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar bertanding jawatan naib presiden PKR November ini.

Menurutnya, tidak ada sebarang kesalahan walaupun ayahnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan ketua umum PKR manakala emaknya, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail adalah presiden PKR.

"Bukan Anwar dan Dr Wan Azizah yang memilih, tetapi ahli parti, Jika ahli parti mahu Nurul Izzah menjadfi naib presiden PKR tidak ada salahnya.

"Begitu juga dalam isu Khairy Jamaluddin, Datuk Mukhriz Mahathir, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

"Jangan kata ada nepotime tetapi kena ingat mereka semua berjaya kerana dipilih dan bukannya dilantik.

"Itu semua tidak perlu menjadi isu, kena terima semangat majoriti" katanya

Terjemahan Ucapan Presiden Iran - Ahmadinejad di PBB pada 23 Okt. 2010

Berikut adalah hasil terjemahan dari teks Arab Ucapan Ahmadinejad, Presiden Iran di PBB pada 23 Oktober 2010 yang lalu ke Bahasa Melayu yang diterjemah oleh Ustaz Mohd Yusof Awang, EXCO Dewan Pemuda PAS Kedah.

Terima kasih Ustaz: Masih ada sebahagian lagi yang belum diterjemah bacalah sepenuhnya Siri 1 ini.



DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENGASIHANI

Selawat dan Salam ke atas Junjungan, Penghulu dan Nabi kami MUHAMMAD SERTA KELUARGA DAN SAHABAT YANG TERPILIH disamping Para Anbiyak dan Para Rasul

"YA ALLAH, PERCEPATKANLAH KEMENANGAN BAGI PENOLONG AGAMAMU DAN JADIKANLAH KAMI GOLONGAN YG TERBAIK, PENOLONG AGAMAMU SERTA SEBAIK-BAIK SAKSI

Pengerusi dan seluruh rakan-rakan anggota,

Bersyukur kepada Allah yang Maha Berkuasa yang memberikan saya peluang untuk keberapa kalinya bagi menghadiri perhimpunan yang bertaraf dunia ini. Saya memulakan permulaan saya dengan PENGHORMATAN terhadap roh-roh mangsa banjir besar yang mutaakhir di Pakistan dan saya menyeru agar marilah kita sama-sama menghulurkan bantuan yang sudah menjadi kewajipan kita sebagai manusia yang bermaruah.

Pernah saya berucap beberapa tahun yang lepas mengenai harapan, krisis yang dihadapi oleh masyarakat dunia disamping keamanan, kemuliaan insani, ekonomi serta suasana bagi merealisasikan perdamaian dan keadilan sejagat .

Hari ini Sistem Kapitalis dan Sistem Pentadbiran yang sudah pun dimakan arus zaman sudah lemah dan tidak berdaya untuk menyahut kehendak-kehendak masyarakat Dunia. Melalui tinjauan terhadap kegagalan ini saya ingin mengemukakan ciri-ciri Sistem FUTURE ..MUSTAQBAL..AKAN DATANG yang diingini dunia !!!!

Semua yang berada di dalam dewan ini mengetahui bahawa seluruh para anbiyak dipertanggungjawabkan agar menyeru manusia supaya menyembah Allah yang Esa, mengeratkan hubungan kasih sayang dan memperkenalkan kepada manusia jalan sebenar menuju kebahagiaan...dalam masa yang sama mengajak manusia agar berfikir dan mendalami ilmu agar mereka mengenali hakikat sebenar serta menjauhkan SYIRIK.

Semua dakwah para Anbiyak adalah sama. Setiap nabi memperkuatkan perjuangan nabi sebelumnya, memberi khabar gembira dengan kedatangan nabi yang akan datang dan menyampaikan Islam secara keseluruhan sesuai dengan kemampuan manusia. Ini berterusan sehinggalah datangnya Muhammad saw. Nabi Akhir Zaman yang dianggap PENYEMPURNA RISALAH namun disebalik itu kami mendapati golongan DIKTATOR DAN MADDIYYAH tercegat di hadapan menghalang dakwah yang mulia ini berwajahkan NAMRUZ berhadapan dengan IBRAHIM..berwajahkan FIRAUN berhadapan MUSA dan MATERIALISTIK berhadapan ISA dan MUHAMMAD saw. !!!..begitulah kurun ini yang menyaksikan BARAT yang RAKUS dengan kekejaman dan kezaliman, sedangkan di kurun pertengahan telah muncul mereka yang berada di barat agar berpegang dan iltizam dengan ISLAM yang penuh dengan nilai-nilai murni serta akhlak insani dan lebih dari itu mereka sanggup berhadapan jahiliyyah semasa dengan penuh keilmuan dan akal yang waras

Terputusnya manusia dengan wahyu langit bermakna terputusnya manusia dengan rohnya sendiri. Manusia sememangnya sesuai untuk menggapai hakikat alam, menyerlahkan kebenaran, keadilan, kesempurnaan, kebahagiaan dan lebih dari itu amat sesuai menjadi khalifah di atas mukabumi. Malangnya manusia mengatasi kemampuannya dengan hanya sekadar menumpukan kepada alam kebendaan, kerja, perut dan naluri peribadi maka sebab itulah nafsu manusia sudah mengatasi keaslian hakikat dirinya !!!

Individu dan masyarakat sentiasa bertelagah dan kebahagiaan mereka hanyalah seumpama barang gadaian. Pertelagahan lebih terserlah berbanding pembangunan insan kerana ingin mengekalkan kuasa. MANUSIA MENYEMBAH KAPITALIS DAN BUKANNYA ALLAH MAHA ESA YANG MENJADI LAMBANG PERPADUAN DAN KASIH SAYANG. Justeru itu terbukalah pintu kehambaan sesama manusia, penjajahan sehinggakan banyak negara di dunia terpaksa mengemis kepada negara Barat dan kesempatan ini digunakan oleh Barat untuk memperhambakan jutaan manusia, meruntuhkan institusi kekeluargaan sehingga kekayaan bumi, hak asasi dan intelektual bangsa terhidang untuk diragut, diperangi, diceroboh dan dirampas dan penghapusan etnik yg menghinakan.

Namun kehidupan mereka kembali mulia dan bersinar setelah penjajah yang rakus itu berambus dari bumi mereka dan kemerdekaan mereka diiktiraf.

Di awal kurun yang lalu terdapat slogan-slogan yang cantik dan sedap didengar seperti BEBAS, HAK ASASI MANUSIA, DEMOKRASI sebagai pengharapan dan ubat yang mengubati bangsa luka-luka parah yang lalu, namun sekarang lenyap pengharapan itu dengan berlakunya tragedi-tragedi lebih dahsyat dari apa yang pernah dirakamkan sejarah perang dunia kedua dahulu seperti penjajahan Palestin, perang Korea, perang Vietnam, perang Iran Iraq, perang di Afghanistan dan peperangan di Afrika.. bunuh..dera..keganasan..dadah..kefaqiran..aparthied perbezaan warna kulit.. rampasan kuasa dan jangan lupa kerajaa
n diktator Amerika Selatan yang bertulang belakangkan Barat melariskan jenayah..menodai genjatan senjata..berleluasa penggunaan senjata nuklear dan kimia menyebabkan dunia lebih terdedah kepada bahaya.. Ya! ianya tidak mengapa.. asalkan kuasa Barat dapat mencapai matlamat mereka!!!.

Rakan-rakan anggota,

Terbaru kita menyaksikan perbuatan yang cukup BIADAB serta tidak bersifat dan berwajahkan manusia tatkala dibiarkan PEMBAKARAN TERHADAP ALQURAN.. kitab langit yang merupakan mukjizat yang kekal bagi NABI ISLAM, dialah yang menyeru manusia ke arah penyembahan Allah yang Esa, tegakkan keadilan, eratkan kasih sayang, makmurkan bumi, berfikir dan berakal, membela mereka yang dizalimi serta memerangi kezaliman. AlQuran menghidangkan cerita-cerita baik NABI-NABI ALLAH seperti Nuh, Ibrahim, Ishak, Yusof, Musa dan Isa Alaihimussalam menyampaikan RISALAH DENGAN PENUH AMANAH.. adakah mereka membakar agar terbakar segala kebenaran ???

SESUNGGUHNYA KEBENARAN TIDAK AKAN MUNGKIN DIBAKAR DAN ALQURAN TETAP AKAN KEKAL ABADI kerana ia adalah kalam ALLAH YANG KEKAL ABADI !!!

Perbuatan ini hanyalah lebih menambahkan jurang kebencian antara penduduk dunia dan inilah 'PERBUATAN SYAITAN' yang mesti ditumpukan perhatian agar kita tidak sama terjebak. Saya mewakili rakyat Iran menghulurkan penghormatan terhadap kesemua kitab-kitab SAMAWI langit dan beriman dengannya.. lagi-lagilah AlQuran..kitab yang suci yang cukup kami agungi.

Bersambung....

Semoga diberi kesihatan yang baik dan sentiasa dalam rahmat Allah untuk meneruskan terjemahan. Doa dari Abang Aris Untuk Ustaz Yusof.

Diambil dari bolg Pak Teh - Terima Kasih

"NGO Itu" Boleh Uji Kekuatan Di Galas - Terbuka Untuk Semua : PRK Galas

JENAZAH Adun Galas, Che Hashim Sulaima telah selamat dikebumikan di tanah perkuburan kampung kelahirannya di kampung Kerinting, Gua Musang lewat tengah malam tadi. Berakhirlah riyawat hidup seorang hamba Allah. Berakhir juga liku-liku perjuangan beliau atas muka bumi ini. Semoga Allah memberi kerahmatan kepada rohnya. Juga didoakan Allah memberi kekuatan iman kepada keluarganya dan penyokong partinya menghadapi takdir yang sudah ditentukan itu.

Kini kerusi Galas sudah terbuka untuk dipenuhi. Speaker Dun Kelantan akan memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai kekosongan itu. SPR pula akan bermesyuarat menentukan pilihan raya baru dalam tempoh 60 hari.

Sudah pasti Pas akan mempertahankan kerusi berkenaan. Dan sudah tentu juga BN akan meletakkan calonnya. Musuh tradisi itu akan bertarung sekali lagi. Diharapkan semoga perjalanan pilihan raya itu nanti berjalan dalam keadaan dan suasana penuh tertib. Tolonglah...

Di sini apa yang hendak disentuh, ekoran kekosongan kerusi itu ia juga memberi peluang kepada sebuah NGO yang kini sedang mempersiapkan diri untuk menjadi parti politik. Kononnya NGO itu kini mendapat sambutan kalangan Melayu. Keahliannya sudah sampai puluhan ribu. Ia juga mendakwa memperjuangkan Melayu. Walaupun kebanyakan ahlinya terdiri ahli Umno dan bekasannya, tetapi mereka sudah tidak mempercayai kepada Umno.

NGO ini mendakwa perjuangan mereka hendak membela Melayu. Dalam masa sama mengutuk perjuangan Pas dan PKR. Kononnya kedua parti itu tidak mempertahankan Melayu malahan mengkhianati perjuangan orang Melayu.

Nah sekarang ini dengan kekosongan kerusi Galas moleklah kalau NGO itu mencuba sejauh mana kekuatan mereka. Mereka boleh menguji apakah mereka diterima atau pun tidak. Orang ramai mahu tengok sejauh mana kekuatan mereka apakah suaranya sama lantang dengan suara yang dilaungkan.

NGO itu boleh letak calon mereka kalau benar mereka berani dan mendapat sokongan. Kalaupun mereka tidak dapat bertanding atas lambang NGO berkenaan kerana ianya masih belum didaftar sebagai parti politik, mereka boleh guna apa-apa lambang yang dibenarkan SPR. Mereka boleh guna lambang payung ataupun harimau ataupun beruk ekor pendek.

Begitu juga kalau mereka tidak ada calon kerana tidak ramai ahli NGO itu di Gua Musang, mereka boleh pinjaman mana-mana ahli Umno atau sesiapa yang mendaftar sebagai pengundi dalam Dun Galas. Rasanya tidak ada masalah untuk NGO berkenaan mendapatkan calon. Keluar sedikit wang tentu ramai yang kepingin menjadi calon. Orang Asli juga boleh dipinjam oleh NGO itu untuk menjadi calonnya. Lagipun perjuangan mereka untuk memperkasakan kaum peribumi. Orang Asli juga merupakan peribumi negara ini.

Sekiranya dalam pilihan raya ini NGO itu 'mengelip' dengan menyokong BN nampaklah ianya hipokrit. Nampak sangat ia penipu. Dan nampak sangat kemarahan kepada Umno kini adalah sadiwara sahaja. Kita mahu tengok apakah NGO berkenaan berani ataupun akan menjadi hidung tidak mancung pipi pula tersorong-sorong akan menyokong calon BN.

Semasa berucap di stesen kereta api dua tiga hari lalu pemimpin NGO itu mendakwa mereka juga mendapat sokongan dari Cina dan India dan semua kaum. (Anih juga kalau Cina dan India di Kelantan kalau boleh bersetuju dengan perjuangan rasis NGO berkenaan). Tidak mengapa, kita terima ianya sebagai benar. Kalau begitu NGO berkenaan tidak perlu gerun untuk meletak calon di Galas. Cina, India dan Orang Asli di sana akan menyokong mereka.

Taburan pengundi di Galas boleh dianggap sebagai terbuka dan tidak begitu berpihak kepada mana-mana kaum. Ia bukan monopoli Melayu sepenuhnya. Daripada 10,330 pengundi yang berdaftar pada tahun 2008 orang Melayu mewakili sebanyak 65.81%, China 22.03%, India 1.81% dan lain-lain 10.32%. Kedudukan ini masih terbuka.

Kalau NGO itu merasakan orang bukan Melayu juga menyokong mereka, mereka tidak perlu takut untuk turut sama bertanding di Galas. Galas akan menjadi petanda sejauh manakah NGO itu diterima rakyat. Sebaliknya kalau NGO itu tidak berani meletakkan calon maka jelas suara lantang yang dikeluarkan oleh pemimpin NGO berkenaan tidak ubah seperti suara dalam tempayan budu sahaja, di mana talunnya lebih kuasa suara sebenarnya!

Sama-sama kita memerhati tindak tanduk dan hipokrasi NGO berkenaan dalam pilihan raya kecil Galas nanti.

MSO- [wm.kl. 7:20 am 28/09/10]

LEGASI NOUVELLES VISAGES AKAN DITERUSKAN... Rita

LEGASI NOUVELLES VISAGES AKAN DITERUSKAN... Anak sulung jutawan kosmetik Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya Erni Dekritawati Yuliana Bukhari tenang menjawab soalan juruhebah Radio24 BERNAMA menerusi program 'Kerusi Panas' di Wisma Bernama di sini, Isnin. - M. Azhar Arif


KUALA LUMPUR: Anak sulung Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya iaitu Erni Dekritawati Yuliana Bukhari kecewa dengan sikap segelintir media yang membuat pelbagai andaian berkaitan tragedi pembunuhan ibunya termasuk pendedahan nilai aset syarikat kepada umum.

Dia yang lebih dikenali sebagai Rita berkata ada di antara spekulasi yang dibuat membuatkan dia berasa tidak selesa kerana bukan daripada sumber polis sebaliknya pihak lain.

“Saya telah memberitahu sesetengah media yang berjumpa saya secara individu. Apa yang nak mahu dikeluarkan mestilah rujuk dengan pihak polis untuk dapatkan fakta yang betul, bukan buat cerita atau dapatkan cerita dari pihak yang mereka-reka cerita,” katanya yang muncul sebagai tetamu eksklusif program ‘Kerusi Panas’ terbitan BERNAMA Radio24, di sini pada Isnin.

Rita mendakwa, terdapat juga laporan yang disifatkan tidak sesuai untuk dihebahkan kepada umum kerana sebab-sebab tertentu.

“Spekulasi yang saya maksudkan ialah spekulasi yang tak sesuai. Contohnya memberitahu latar belakang syarikat dan aset-aset yang dimiliki keluarga kami.

“Saya sendiri tak tahu tentang aset-aset syarikat, dan saya sendiri belum dapatkan pengesahan tentangnya.

“Bila membaca tentang berita itu saya rasa terkejut dan kecewa. Perlukah dalam keadaan sebegini perkara ini disiarkan,” tegasnya.

Menurut anak jutawan kosmetik itu, media tidak sepatutnya mendedahkan tentang keluarga dan perkara seperti itu kepada masyarakat di luar sana kerana bimbang sedikit-sebanyak akan menggugat keselamatan mereka.

Menafikan dakwaan beliau enggan bekerjasama dengan pihak media, Rita meminta pihak media supaya menjadikan polis sebagai rujukan.

“Setiap apa yang ingin dikeluarkan mestilah dirujuk dengan pihak polis terlebih dahulu. Itulah tempat rujukan terbaik daripada mendapat maklumat daripada sumber lain. Polis lebih arif tentang kes-kes ini,” katanya.

Mengulas keengganannya bertemu atau bekerjasama dengan pihak media terutama dalam tempoh dua minggu selepas laporan pembunuhan jutawan itu menjadi punca tersiarnya pelbagai spekulasi dan berita sensasi, Rita menolak dakwaan tersebut dengan alasan tersendiri.

“Bukan saya tak mahu kongsi maklumat, cuma saya tak mahu ganggu siasatan polis,” jelas beliau yang kini bergelar Pengarah Urusan Nouvelle Visage itu.

Dalam pada itu, dia turut menjawab soalan-soalan ‘nakal’ tentang diri beliau yang dikatakan tidak mempamerkan kesedihan di khalayak ramai sejak kematian ibunya.
Gadi berusia 25 tahun itu menjelaskan, dia dan adik-adiknya tidak perlu menunjukkan kesedihan mereka sebaliknya reda serta tenang menerima ujian tersebut.
“Kami sedang menerima kenyataan ini. Bukannya kami tak sedih, tetapi hidup perlu diteruskan dan kami perlu pandang ke hadapan.

“Saya juga tak perlu menangis dan perlu kuat. Saya perlu tunjukkan ketabahan dan sifat kental untuk meneruskan legasi ibu,” kata kakak kepada enam beradik itu.
Rita juga tidak menafikan yang beliau akan bertindak sebagai jurucakap bagi pihak keluarganya selepas ini.

“Saya tak bersendirian, saya masih ada sokongan adik-beradik yang lain. Begitu juga sokongan staf-staf syarikat walaupun mereka tak menonjol.

“Sebagai kakak sulung, biarlah apa yang keluar itu datangnya dari mulut saya sendiri dan biarlah saya yang bercakap bagi pihak keluarga,” katanya.

Ditanya mengenai tindakan yang akan diambil kepada pihak media sekiranya berterusan melaporkan kisah-kisah yang tidak sepatutnya didedahkan kepada umum beliau berkata:
“ Saya akan minta nasihat peguam saya. Tapi saya minta sangat-sangat supaya jangan membuka privasi yang kami ada.

“Bukannya kami tak nak bercerita. Cuma tak mahu ganggu siasatan. Apa yg kami cakap mungkin akan jadi akibat pada masa akan datang.

Dia berharap wartawan memahami keadaannya sekarang bagi mengelakkan tindakan undang-undang diambil jika keadaan masih berterusan.

Dalam temuramah kira-kira satu jam bersama hos Azlan Idris itu, Rita turut mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang tidak putus-putus memberi sokongan kepada beliau sekeluarga sejak pemergian arwah ibunya.

Kes muflis: Mahkamah ketepi hukuman terhadap bekas MP Labuan

KOTA KINABALU, 27 Sept – Mahkamah Tinggi hari ini mengetepikan hukuman denda RM10,000 atau penjara enam bulan terhadap bekas Ahli Parlimen Labuan Datuk Suhaili Abdul Rahman kerana gagal memaklumkan statusnya yang muflis kepada pihak bank 14 tahun lepas ketika menjadi penjamin dalam satu permohonan pinjaman perumahan.

Pesuruhjaya Kehakiman Stephen Chung membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan Suhaili, 49, terhadap sabitan dan hukuman terhadapnya yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen pada 10 Mac lepas.

Dalam penghakimannya, Chung berkata wakil rakyat itu dijadikan mangsa apabila didakwa setelah sekian lama dia bebas daripada status muflis iaitu pada 1997.

Hakim Mahkamah Sesyen Duncan Sikodol menjatuhkan hukuman itu selepas Suhaili mengaku bersalah terhadap pertuduhan alternatif iaitu gagal memaklumkan Malayan Banking Bhd bahawa dia seorang muflis pada 3 April 1996, ketika menjadi penjamin dalam borang permohonan pinjaman perumahan sebanyak RM110,000 dan kemudahan overdraf sebanyak RM50,000 oleh syarikat Saraequity Sdn Bhd, untuk membeli sebuah apartmen di Api-Api Centre di sini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 109 (1)(m)(ii) Akta Kebankrapan 1967 yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Peguam Rakbir Singh mewakili Suhaili manakala Timbalan Pendakwa Raya Fariza Hamzah bagi pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. – Bernama

Al Fatihah - Adun Galas Meninggal Dunia Di Pusat Rawatan Islam Kg. Baru

Setiap yang datang, pasti akan pergi. Al-Fatihah buat Adun Galas, Chek Hashim Sulaima yang kembali ke rahmatullah jam 4.30 petang tadi. Semoga ALLAH cucuri rahmat ke atas Allahyarham..

Adun Galas kembali ke rahmatullah

KUALA LUMPUR, 27 Sept: Adun Galas, Chek Hashim Sulaima, 47, kembali ke rahmatullah di Pusat Rawatan Islam Kampung Baru, di sini, kira-kira jam 4.30 petang ini.

Allahyarham yang mengidap penyakit barah di bahagian paru-paru menjalani rawatan di hospital berkenaan sejak hampir seminggu lalu.

Sebelum itu beliau menjalani rawatan perubatan tradisional Cina di Serdang.

Allahyarham dikesan menghidap penyakit berkenaan sejak dua tahun lalu dan pernah mendapat rawatan beberapa bulan di China.

Pada Ramadan tahun lepas, beliau menjalani rawatan di Orient Hospital Guanzhong. Sebelum itu Chek Hashim mendapat rawatan awal di The First People's Hospital juga di Guanzhong.

Keadaan kesihatannya agak serius sebelum itu. Kepulangannya daripada menjalani rawatan di China tahun lepas disambut wakil-wakil rakyat dan penduduk Gua Musang.

Pada persidangan Dewan Undangan Negeri Mac lalu beliau turut hadir. Bagaimanapun pada persidangan Jun lalu beliau mohon bercuti.

Dan pada Julai lalu, Adun Galas dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pakar Perdana, Kota Bharu.

Beliau dimasukkan ke hospital berkenaan petang 26 Julai lalu selepas tiga hari pulang dari menjalani rawatan kemoterapi di sebuah hospital di China.

Sementara itu, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mewakili seluruh kepimpinan dan ahli PAS seluruh negara merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Almarhum Che Hashim dan rakyat di Dun Galas di atas pemergian Almarhum.

"Sesungguhnya Almarhum adalah seorang yang gigih menjalankan tugas dan komited dengan perjuangan. Marilah sama-sama kita berdoa agar roh beliau dirahmati oleh Allah," ujarnya dalam kenyataan ringkas.

-harakahdaily

Reputasi Malaysia Yang Agak Baik Menjadi "Duri" Bila Berlaku Perbicaraan Kes Konspirasi Anwar Liwat II... Pengasas Virgin


KUALA LUMPUR 27 SEPT : Pengasas Virgin, Sir Richard Branson menyifatkan perbicaraan kes konspirasi kedua terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai "duri" dalam reputasi Malaysia yang boleh dianggap baik.

Beliau juga menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya segera campur tangan dalam hal tersebut.

"Sebagai pemimpin, beliau perlu menyingkirkan hal-hal seperti ini yang merosakkan reputasi beliau ," katanya di Persidangan "Dawn of The New Decade : Alternative Investments of di Asia" hari ini.

Anwar menghadapi pertuduhan konspirasi ke atas bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, di Unit 11-5-1 dari Desa Damansara Condominium di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini antara 3:01 dan 4.30 am pada tarikh 26 Jun 2008.

Bekas timbalan Perdana Menteri menafikan tuduhan tersebut dan menyifatkan ia sebagai berniat jahat oleh pihak yang dikatakan mempunyai ‘kuasa’ ketika tuduhan dibacakan kepadanya.

Beliau didakwa di bawah pasal 377B Kanun Keseksaan dan boleh dijatuhkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Dia dibebaskan pada bulan September 2004 dan kemudian bangkit dengan memenangi kerusi parlimen Permatang Pauh dalam pilihanraya pada tahun 2008.

Serpihan Tulang Ditemui, Petunjuk Baru Kes Kehilangan Ahli Perniagaan Dari Sg Petani

KUALA LANGAT 26 Sept. - Polis dipercayai menemui petunjuk baru dalam kes kehilangan ahli perniagaan dari Sungai Petani, Kedah, April lalu, apabila menemui sejumlah tulang manusia di ladang milik suspek utama pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi individu, di Ladang Gadong di sini hari ini.

Petunjuk baru itu diperoleh di dua lokasi mayat didakwa ditanam selepas kerja-kerja menggali menggunakan sebuah jentolak dijalankan selama lapan jam dengan dibantu jentera Bomba dan Penyelamat.

Sumber berkata, polis menemui tulang-tulang berkenaan di kedua-dua lokasi terbabit.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan sama ada polis turut menjumpai barang milik mangsa.

Sebelum ini isteri Mohd. Shafik Abdullah, 37, Samson Nahar Dali, 35, dimaklumkan oleh polis bahawa 95 peratus kemungkinan suaminya telah dibunuh.

Ia adalah berikutan pengesahan salah seorang suspek yang mengaku melakukan jenayah itu selain polis juga menemui seutas jam tangan berjenama Polo milik mangsa tersebut.

Semalam, dua lokasi berasingan dipercayai tempat dua mayat didakwa ditanam di kawasan Ladang Gadong, iaitu lokasi ladang milik suspek utama kes pembunuhan Sosilawati dikenal pasti polis.

Dua mayat individu terbabit termasuk salah seorang daripadanya dipercayai Mohd. Shafik yang dilaporkan hilang sejak April lalu.

Kedua-dua mayat itu dipercayai ada kaitan dengan suspek utama yang merupakan seorang peguam bergelar Datuk.

Salah satu daripada lokasi itu dikenal pasti berhampiran kuarters pekerja di belakang kawasan ladang manakala satu lagi dipercayai ditemui beberapa meter di luar ladang tersebut.

Mayat Mangsa Lemas Dua Minggu Lepas Ditemui Terapung

KUANTAN - Mayat pelajar Kolej Pahang Skills Development Centre (PSDC) yang hilang di Sungai Pahang berhampiran Kampung Serambi, Pekan sejak dua minggu lepas ditemui terapung berdekatan Kampung Padang Rumbia, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Pekan, Supt. Yahya Othman berkata, mangsa, Hasif Hariri, 20, dijumpai seorang lelaki yang menaiki sebuah bot di sungai berkenaan pada 9 pagi.

"Jenazah kemudian dibawa ke Hospital Pekan dan telah dituntut oleh ahli keluarga sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Serambi pada 2 petang tadi,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Katanya, mangsa dipercayai tersangkut di dasar sungai berikutan penemuan mayat itu hanya kira-kira lima kilometer dari tempat mangsa dilaporkan terjatuh.

- Bernama

Mesyuarat Agung PKR Cabang Kapar Ditangguhkan - Ahli Terlalu Ramai & Keraguan Kertas Undi

Mesyuarat agung cabang PKR Kapar yang dijadualkan hari ini terpaksa ditangguhkan atas beberapa sebab, termasuk kehadiran ahli yang terlalu ramai dan keraguan pada kertas mengundi.

Berikutan itu, naib ketua cabang berkenaan, S Manikavasagam berkata keadaan itu menimbulkan masalah kerana jumlah petugas dan pegawas pemilihan tidak mencukupi.

pkr pas tian chua saifuddin nasution manikavasagam permatang pauh pc 220808 02Katanya, sehingga tengahari tadi, lebih 3,000 ahli hadir untuk mengambil bahagian dalam pemilihan peringkat cabang dan pencalonan bagi pucuk pimpinan pusat.

Menurutnya, cabang tersebut mempunyai 5,600 ahli yang layak mengundi hari ini.

Di samping itu, katanya, wujud keraguan pada kertas mengundi untuk pemilihan cabang.

"Ada calon AMK yang nak bertanding, tapi namanya hilang dalam kertas undi.

"Manakala calon wanita yang tarik diri, namanya masih ada lagi kertas undi.

"Jadi, kita meragui kertas undi tersebut," katanya ketika dihubungi
Malaysiakini petang ini.

sehubungan itu, katanya, beliau telah berbincang dengan jawatankuasa pemilihan parti, yang bersetuju mesyuarat hari ini ditangguhkan.

Menurutnya, penangguhan mesyuarat tersebut diumumkan oleh pengerusi tetap pada jam 1.30 tengahari tadi.

"Ahli-ahli yang hadir juga setuju sebulat suara, tiada (ada) pergaduhan apa-apa," katanya.

Manikavasagam berkata, mesyuarat tersebut diadakan di Dewan Serbaguna Meru, yang mampu menampung kira-kira 1,000 orang.

Ditanya mengenainya, beliau berkata, mungkin pihak pusat tidak menyangka kehadiran ahli yang terlalu pada hari ini.

"Ada kelemahan (dalam mengendalikan mesyuarat). Suasana tadi panas macam suasana pilihan raya," katanya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Murah Giler: Sapa Nak Order Klik Image

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.