TPM Lari Dari Tanggungjawab Pengarah PRK... Lantik Ku Li Sebagai Pengarah PRK Galas, Sangat Luar Biasa...

Jawatan pengarah pilihan raya Umno biasanya dipegang oleh Muhyiddin, kata Salahuddin. — Gambar fail

KUALA LUMPUR, 30 Sept — Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub menyifatkan Umno keluar daripada norma biasa apabila melantik Ketua Umno Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah sebagai pengarah pilihan raya kecil DUN Galas.
Katanya, sebelum ini jawatan itu dipegang oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Timbalan Presiden Umno dan Timbalan Pengerusi BN.

Salahuddin berkata persoalan sekarang mengapa Muhyiddin lari daripada tanggungjawab tersebut.

“Kenapa Umno lari daripada norma biasa di mana Tan Sri Muhyiddin Yassin yang setiap kali berlaku pilihan raya kecil mesti timbalan perdana menteri yang jadi pengarah pilihan raya.

“Kenapa kali ini beliau lari?” kata beliau di sini hari ini.

Beliau turut menimbulkan persoalan mengenai janji-janji pilihan raya kecil kerusi Manek Urai Julai 2009.

“Mana janji beliau satu jambatan di Manek Urai, mana janji untuk memberi sumbangan RM1,000 sebulan kepada warga tua, mana janji beliau di Manek Urai,” katanya.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu bagaimanapun enggan menyentuh tentang pelantikan Tengku Razaleigh.

“Saya tidak mahu sentuh pasal Tengku Razaleigh tapi kenapa kali ini Timbalan Perdana Menteri lari daripada tangunggjawab.

“Itu persoalannya, lagi pun PAS tiada masalah dengan Ku Li, malah kita bersama dalam beberapa itu sebelum ini termasuk royalti minyak,” katanya.

Semalam, Muhyiddin mengumumkan bahawa Tengku Razaleigh telah dilantik sebagai pengarah pilihan raya Umno-BN di Galas.

Ia salah satu kerusi DUN dalam bahagian Parlimen yang diterajui Tengku Razaleigh.

Muhyiddin berkata keputusan itu diambil dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Umno semalam. Pengerusi Perhubungan Umno negeri Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed pula dilantik timbalan pengarah dengan dibantu jentera parti di peringkat negeri dan pusat.

Muhyiddin berkata, beliau yakin dengan kepimpinan Razaleigh yang amat berpengalaman, berpengaruh lagi amat dihormati pengundi di DUN Galas.

Kerusi Galas kosong berikutan kematian wakil rakyatnya Che Hashim Sulaima dari PAS akibat barah usus, Isnin lalu. Kekosongan kerusi itu membuka laluan kepada pilihan raya kecil ke-12 sejak Mac 2008.

DUN Galas selama ini dikuasai Umno, namun dalam pilihan raya lalu Che Hashim berjaya menawan kerusi itu dengan menewaskan calon Umno, Mohamad Saufi Deraman dengan majoriti 646 undi.

Menurut Salahuddin, PAS memandang serius pilihan raya kecil DUN Galas dan menyifatkan cabaran yang bakal dihadapi nanti perlu ditangani dengan bijak.

“PAS anggap ini satu cabaran besar, jentera PAS perlu bersiap sedia jangan ‘terlalu over confident’, jangan rasa selesa yang penting PAS akan meningkatkan keupayaan dan komitmen.

“Cabaran PAS untuk menghadapi rintangan ini dengan bijak,” katanya.
Tambahnya satu mesyuarat khas pemimpin PAS akan diadakan pada 3 Oktober ini dan isu DUN Galas akan menjadi agenda utama.

“Mungkin pada hari itu Presiden PAS akan mengumumkan siapa yang akan menjadi pengarah pilihan raya bagi PAS,” katanya.

SPR Umumkan Tarikh PRK Galas pada 6 Oktober 2010 Ini ... Kita Tunggu..

KUALA LUMPUR, 30 Sept – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengumumkan tarikh pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas yang kosong sejak Isnin lalu pada 6 Oktober ini.

“SPR sudah putuskan, kami akan adakan mesyuarat khas pada 6 Oktober, Rabu depan,” kata Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar ketika dihubungi The Malaysian Insider hari ini.

“Pegawai pengurus pilihan raya yang dilantik juga akan diperkenalkan pada hari tersebut, dan juga makluman mengenai writ pilihan raya, saya akan umumkan selepas mesyuarat khas pukul 11 pagi (Rabu depan),” kata beliau lagi.

SPR dimaklumkan mengenai kekosongan kerusi DUN Galas, Kelantan kelmarin.

Suruhanjaya itu ada masa sehingga 7 Oktober untuk menetapkan tarikh pilihan raya kecil kerusi itu yang kosong ekoran kematian penyandang Che Hashim Sulaima Isnin lalu.

Semalam beliau berkata bahawa penetapan tarikh pilihan raya kecil ini, yang kali ke-12 akan mengambil kira semua aktiviti parti termasuk Perhimpunan Agung Tahunan Umno bulan depan.

Selain itu kata beliau, SPR juga akan mengambil kira hari-hari kebesaran seperti sambutan Deepavali dan Aidiladha, jatuh sebelum pertengahan November, dalam menentukan tarikh pilihan raya.

Kerusi itu dimenangi Che Hashim pada pilihan raya umum 2008 setelah menewaskan calon Umno, Saufi Deraman dengan majoriti 646 undi.

Tindakan Sekumpulan Warga Emas Pulangkan Bantuan RM100 Seorang Kepada Kerajaan PP Hanyalah Satu Sandiwara

GEORGE TOWN, 30 Sept — Tindakan sekumpulan warga emas yang memulangkan semula wang bantuan RM100 setiap seorang kepada kerajaan Pulau Pinang hanyalah satu sandiwara, kata Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Abdul Malik Abul Kassim (gambar).

Beliau berkata, ada kemungkinan warga emas yang memulangkan wang ehsan itu tidak mendaftar lagi dalam sistem yang disediakan oleh kerajaan negeri dan mereka mungkin dipengaruhi oleh sesetengah pihak.

“Mungkin ada pihak yang telah mendesak mereka,” katanya kepada pemberita bagi mengulas tindakan 40 warga emas memulangkan semula wang bantuan daripada kerajaan negeri itu kerana wang itu dikatakan daripada sumber judi lumba kuda.

Isu status wang itu didedahkan oleh sebuah blog yang mendakwa ia dari sumber judi, dan ini menimbulkan keresahan dalam kalangan penerima beragama Islam.

Dipetik Bernama, Abdul Malik sekali lagi mengulangi bahawa wang itu bukan daripada hasil judi, sebaliknya hasil yang diperoleh kerajaan negeri daripada amalan perbelanjaan berhemah sejak Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran negeri.

Kumpulan itu menyerahkan wang berkenaan kepada Setiausaha Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Azhar Ibrahim untuk dikembalikan kepada kerajaan negeri, semalam.

Azhar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Penaga berkata, pihaknya menganjurkan majlis tersebut selepas diminta oleh warga emas sekitar kawasan Parlimen Kepala Batas yang mahu memulangkan wang ihsan berkenaan.

“Bukan Umno yang suruh mereka (warga emas) bagi balik duit berkenaan, sebaliknya mereka yang hubungi saya untuk minta pulangkan wang itu kerana tidak sanggup guna wang dari sumber haram,” katanya yang juga Ketua Pembangkang di DUN Pulau Pinang.

Azhar juga berkata lebih ramai warga emas akan berbuat demikian dalam masa terdekat dan pihaknya akan mengumpulkan semua wang tersebut sebelum menyerahkan kepada Pemuda Umno Pulau Pinang untuk dikembalikan kepada Ketua Menteri Lim Guan Eng.

Pemuda Umno negeri mendakwa kerajaan Pulau Pinang menggunakan sumbangan sebuah syarikat perjudian sebagai wang ihsan kepada warga emas negeri itu.

Dakwaan itu berdasarkan sepucuk surat yang dikeluarkan Pejabat Ketua Menteri kepada Pengurus Besar Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang, Leow Khin Ming berhubung baki sumbangan cek bernilai RM500,000 untuk program tersebut.

Dalam kenyataannya selepas itu, Lim yang mengakui menerima sumbangan tersebut berkata ia digunakan bagi program membasmi kemiskinan tegar dengan menerimanya adalah bukan Islam, bukan untuk penghargaan warga emas.

Sebelum ini, Abdul Malik menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Pemuda Umno bahawa kerajaan negeri menggunakan hasil sumber judi untuk tujuan pembayaran wang ihsan melalui program penghargaan warga emas.

Katanya, dakwaan sebuah blog dan Pemuda Umno pusat awal bulan ini adalah berdasarkan kepada imaginasi, berniat jahat serta fitnah yang tidak berlandaskan fakta dan kebenaran.

Menurut beliau lagi kerajaan negeri yang mengamalkan amalan berjimat cermat melalui konsep cekap, akauntabiliti dan telus telah berjaya menjimatkan jumlah peruntukkan dalam bajet kerajaan negeri sebanyak RM20 juta bagi program tersebut.

“Daripada peruntukkan yang diberikan kita telah membelanjakan sebanyak RM10.7 juta dan masih mempunyai lebihan RM9.3 juta untuk meneruskan program penghargaan warga emas.

“Suka ditegaskan di sini bahawa wang ihsan tersebut bukan hasil dari sumber judi. Ia adalah hasil dari pungutan cukai tanah serta sumber selain dari judi.

“Kerajaan negeri juga tidak mempunyai kuasa mutlak untuk meluluskan lesen judi sedangkan kerajaan pusat sahaja yang mempunyai kuasa untuk meluluskan semua lesen judi yang ada dalam negara kini,” katanya beliau kepada The Malaysian Insider.

Kembalinya Ayahanda Tercinta Menghadap Ilahi - Al Fatihah

SEDAKA, 29 September 2010: Tepat jam 12.20 pagi ayahanda tercinta, Haji Abdul Azit bin Ibrahim kembali mengadap Penciptanya di Hospital Yan.

Ayah yang dimasukkan ke hospital Yan pada 28 September 2010, jam 11.30 pagi kerana mengalami masalah jantung dan penat. Sesampainya di bahagian kecemasan Hospital Yan ayah diberi rawatan segera dan kembali stabil. Pada jam 2.30 petang ayah dipindahkan ke wad Melor 4 untuk menjalani rawatan lanjut.

Alhamdulillah, ayah pergi mengadap Ilahi dengan tenang di samping emak dan anak-anak tepat jam 12.20 pagi.

Ayah meninggal dunia dalam usia 73 tahun. Meninggalkan seorang isteri Hajjah Aishah dan tujuh orang anak. Anak-anak allahyarham ialah Rashidah, Sabri, Ahmad Shukri, Abdul Halim, Rokiah, Halmi dan Zulkifli.

Jenazah ayah di bawa pulang ke rumah di Simpang Tiga Sedaka dengan kenderaan jenazah pada jam 1.20 pagi. Jenazah ayah dimandikan. Semua ahli keluarga berkumpul dan membaca ayat suci al-Quran.

Setelah ahli keluarga berbincang bersama tuan imam, Haji Ali Bashah Othman jenazah akan disembahyangkan pada jam 11.30 pagi.

Ramainya saudara mara dan sahabat handainya yang datang menziarahi jenazah ayah. Turut menziarahi pimpinan peringkat cawangan, kawasan dan negeri, antaranya ahli parlimen Yan, Ustaz Firdaus Jaafar dan Adun Jeneri Cikgu Yahya Abdullah.

Sembahyang jenazah diimamkan oleh abang sulung, Ustaz Sabri di masjid at Thohiriah Sungai Lentang. Hampir sebahagian masjid dipenuhi saudara mara dan sahabat serta kenalan. Jenazah ayah selamat dikebumikan berselahan makam adik Ahmad yang meninggal pada 14 Oktober 2000 di Tanah Perkuburan yang terletak berhadapan dengan masjid.

Urusan pengebumian jenazah selesai jam 12.30 tengahari. Semoga roh ayah di cucuri rahmat Allah dan di tempatkan bersama orang yang solehin.

Al Fatihah



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.