Wang Hantaran Untuk Misha Omar RM1 Juta & Sebuah Rumah Untuk Jadi Isteri Ketiga Seorang Jutawan??




KALAU nak cerita hal kahwin Misha Omar ni, Joyah rasa ramai teman wartawan yang dah muak dengan khabar angin yang bertebaran sejak beberapa tahun lalu. Tiap-tiap kali keluar cerita kahwin, Misha akan menafikan perkara tersebut walaupun kepada teman wartawan yang agak rapat dengan dia.

Awal tahun ini pun heboh orang bercerita hal Misha nak kahwin. Bakal terima hantaran RM111,111 lah, nak kahwin 11 Januari 2011 dan macam-macam spekulasi yang keluar. Tapi nampaknya macam tak betul sebab Misha cakap tak kahwin.

Angin yang bertiup kencang dari Pantai Timur baru-baru ini membawa berita kepada Joyah yang Misha dah pun sah berkahwin dengan usahawan kereta yang hanya dikenali dengan nama Datuk K.

Popular sungguh nama Datuk K di kalangan orang industri hiburan kita ni. Tapi yang ini bukan Datuk Khalid suami kepada Siti Nurhaliza. Ini Datuk K yang lain okey.

Bapa saudara kepada Datuk K kawan baik kepada kawan ofis Joyah. Dia pun berceritalah kepada teman Joyah. Katanya, sudah sah Misha dah jadi isteri ketiga kepada anak saudaranya seorang usahawan yang cukup berjaya di Kelantan itu.

Tarikh kahwin tak pula diberitahu tapi apa yang membuatkan Joyah nak pitam, dengar khabarnya Misha menerima hadiah wang lebih kurang RM1 juta ringgit, rumah dan lain-lain aset yang cukup banyak.

Amboi, untung betul jadi Misha Omar, rezeki cukup murah sebab dapat hadiah begitu banyak. Untung badan orang cantik dan popular macam Misha.

Kalau benar seperti mana yang disampaikan, rasanya tak terlambat untuk Joyah ucap selamat pengantin baru.

Jangan Terkejut: Tukang Kasut Di Alor Setar Peroleh Pendapatan hingga RM5 ribu Sebulan...


Ahmad Mohtar Baharom, 54, (kanan) menerangkan kepada rakannya,
Ahmad Daud (tengah) apa yang perlu dibaiki. Turut sama ialah seorang
lagi rakan, Abdullah Ali yang membaiki menjahit kasut.
Foto: Asmahanim Amir

Oleh Asmahanim Amir


ALOR SETAR, 18 Feb (Bernama) -- Siapa sangka seorang tukang kasut boleh memperoleh pendapatan hampir sama dengan pegawai kerajaan, malah mungkin lebih tinggi daripada gaji seorang kakitangan yang berkelulusan ijazah.

Tinjauan Bernama di Jalan Selamat, di tengah-tengah bandaraya Alor Setar, mendapati rata-rata tukang kasut di situ memperoleh pendapatan antara RM2,000 dan RM5,000 sebulan.

Terdapat sekurang-kurangnya 12 tukang kasut mencari rezeki di situ dan setiap tukang kasut mempunyai pelanggan tetap.

PENDAPATAN

Seorang tukang kasut yang ditemui, Ahmad Mohtar Baharom, 54, berkata dia kini memperoleh pendapatan kira-kira RM5,000 sebulan hanya dengan mengambil upah membaiki kasut.

Dia berkata tidak ramai yang percaya dengan pendapatan yang mampu diperolehinya itu kerana masyarakat beranggapan pendapatan mereka hanyalah umpama 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang'.

"Sebelum ini saya bekerja dengan kerajaan tetapi disebabkan saya tidak boleh bekerja di bawah arahan orang, jadi saya berhenti kerja dan memulakan perniagaan ini secara serius.

"Berbekalkan kemahiran membaiki kasut yang ada semasa belajar di universiti dulu, saya memulakan perniagaan membaiki kasut, walaupun pada masa itu pendapatan yang saya terima hanya sekitar RM30 sehari.

"Saya sentiasa berfikiran positif dan berani menerima cabaran untuk memastikan kerjaya itu mencapai kejayaan. Saya tidak berputus asa dan meneruskan juga pekerjaan ini sehingga hari ini," katanya ketika ditemui di sini.

Ahmad Mokhtar yang merupakan graduan Diploma Seni Bina dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan memiliki Ijazah Seni Bina dari University of Melbourne, Australia berkata semasa belajar di UiTM, dia bekerja sementara sebagai tukang kasut bagi menampung kos belajar dan mengumpul wang untuk melanjutkan pelajaran di luar negara.

"Jadi apabila saya berhenti kerja, saya memulakan perniagaan ini dan sekarang ini saya boleh menarik nafas lega dengan perniagaan ini," katanya yang memperoleh pendapatan antara RM200 dan RM300 sehari.

PERKHIDMATAN

Ahmad Mokhtar berkata dia turut menaiktaraf perkhidmatan perniagaan itu dengan membuat kasut bagi orang kurang upaya (OKU) selain mengambil kontrak membaiki kasut untuk pasukan badan beruniform di sekolah-sekolah sekitar Alor Setar, jabatan kerajaan dan syarikat swasta.

Beliau yang telah bekerja sebagai tukang kasut selama 15 tahun berkata selain perkhidmatan membaiki, dia turut menyediakan perkhidmatan mengilat, menjual aksesori kasut dan kasut terpakai.

"Kini kami mahu dikenali dengan gelaran 'Shoes Master' atau pakar kasut dan tidak lagi 'tukang kasut' kerana mahu mengangkat martabat kerjaya ini di kalangan masyarakat," katanya.

PANDANGAN RAMAI

Ahmad Mokhtar berkata dia tidak peduli dengan pandangan orang ramai tentang pekerjaannya.

"Apa yang penting pendapatan saya ini halal di sisi agama dan saya tidak mengganggu hidup orang lain. Kalau asyik memikirkan tentang pandangan orang lain, tentu saya tidak boleh berjaya seperti hari ini," katanya.

Seorang lagi tukang kasut, Ahmad Daud, 45, berkata dia mula membaiki kasut sejak 20 tahun lepas dan memperoleh pendapatan kira-kira RM3,000 sebulan.

Walaupun sudah berumur 45 tahun, tetapi sehingga kini dia masih membujang kerana cintanya pernah ditolak dengan alasan pekerjaannya tidak mampu untuk membina sebuah keluarga.

"Menjadi tukang kasut perlu banyak bersabar kerana ada juga masyarakat berpendapat kami ini penagih dadah. Mungkin mereka beranggapan begitu kerana kami ini hanya seorang tukang kasut.

"Saya harap agar pekerjaan saya ini mendapat layanan yang sama rata dengan pekerjaan lain dan masyarakat dapat mengubah pemikiran mereka bahawa kerjaya membaiki kasut bukanlah pekerjaan yang hina," katanya.

PINJAMAN BANK

Ahmad berkata dia pernah memohon untuk membuat pinjaman bank bagi meluaskan perniagaannya, tetapi permohonannya tidak pernah diterima. Perkara itu turut diakui oleh kawannya, Ahmad Mokhtar.

Beliau berkata persaingan dalam industri membaiki kasut tidak banyak kerana rata-rata tukang kasut di kawasan itu sudah mempunyai pelanggan tetap.

"Mungkin juga disebabkan pandangan rendah orang ramai terhadap pekerjaan kami menyebabkan orang lain tidak memilih untuk menjadi tukang kasut," katanya yang memberitahu dia membuka kedai kasutnya setiap hari dari pukul 9 pagi hingga 7 malam.

-- BERNAMA

Kabinet Najib Belum Dirombak.. Kabinet TS Khalid Akan Dirombak Dalam Masa Terdekat

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengesahkan hari ini bahawa beliau telah mengadakan perbincangan dengan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat di negeri itu mengenai kemungkinan merombak barisan exco kerajaan negeri.

Bercakap kepada media di Bandar Tasek Selatan, Khalid berkata, perbincangan diadakan bagi "mengukuhkan lagi pentadbiran kerajaan Selangor".

Beliau bagaimanapun, enggan menyatakan butiran mengenai perbincangan yang diadakan itu.

"Tapi apa (yang kita) mahu lakukan atau tidak (lakukan), kita belum putuskan," katanya ketika ditanya mengenai laporan yang menyebut beliau telah menemui wakil rakyat Pakatan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor untuk membincangkan rombakan exco.

Khalid dilaporkan berdepan dengan tekanan untuk membuat rombakan tersebut kerana menghadapi masalah dengan anggota exco tertentu.

Ini adalah pertama Khalid membayangkan mengenai rombakan tersebut walaupun khabar angin mengenainya bertiup sejak awal tahun ini.

UMNO Dibidas : Ambil Iktibar Dengan Kejatuhan Pemmerintah Tunisia & Mesir - TG Haji Hadi

ALOR SETAR, 20 Feb: PAS mengingatkan Umno agar mengambil iktibar dengan kejatuhan pemerintah Tunisia dan Mesir akibat kebangkitan rakyat yang ditindas pemerintah.

Dengan nada memberi amaran, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, rakyat Malaysia juga boleh bangkit sedemikian jika pemimpin Umno BN terus menindas rakyat.

"Rakyat ni macam spring, bukan mati hidup, tapi ada perasaan.

"Kalau orang tekan spring ni, bila lama dia pedih tangan dia lepas, spring naik kemuka dia. Ha ingat-ingat..," katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan ceramah di hadapan lebih 30 ribu rakyat di perkarangan Kompleks PAS, Kota Sarang Semut di sini malam tadi.

Turut serta berceramah pada malam kemuncak Himpunan 30K Dewan Pemuda PAS itu adalah Timbalannya, Nasharuddin Mat Isa, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ustaz Azizan Abd Razak dan Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Azman Shapawi Abdul Rani.

Sehubungan itu tambahnya, sebelum Umno BN dimalukan dengan kejatuhan sebegitu, mereka perlu memberikan padang sama rata kepada parti-parti politik lain dalam pilihan raya, agar kejatuhan mereka lebih bermaruah.

"Kita mintak pemimpin Umno ni jaga maruah, jangan tipu pilihan raya.
"Jangan guna media untuk sebelah pihak sahaja," katanya lagi.

PAS ganti Umno

Dalam pada itu, beliau turut mengulangi pendirian bahawa PAS perlu menggantikan Umno.
Katanya, Umno telah terbukti tidak mampu membawa keadilan Islam untuk rakyat semua kaum dengan sistem penjajah yang diwarisi mereka, apatah lagi sistem sekular itu sendiri merosakkan Islam.

Sebagai bukti katanya, umat Islam negara ini masih lemah walaupun dipimpin orang Islam sendiri dari Umno BN sejak negara merdeka.

"Kenapa lemah? Kerana kepimpinan Malaysia ini mewarisi pemikiran penjajah barat, pemimpin negara tidak berperangai Islam, tak boleh tolong orang Islam, tak boleh tunjuk contoh baik kepada orang bukan Islam.

"Maaflah orang bukan Islam, pemimpin negara ini nama sahaja Islam tapi amalan pemerintahan dia, rasuah boleh, tipu rakyat boleh," katanya lagi.

Keadaan itu berlaku katanya kerana Islam dikurung di pejabat agama sahaja.
Skop Islam juga disempitkan hanya tertumpu kepada sembahyang, puasa, perkahwinan dan zakat sahaja.

Selain turut menghakis Bahasa Melayu, Umno BN juga didakwa gagal mengurus ekonomi negara sehingga berlaku kenaikan harga barangan yang membebankan rakyat.

Kekayaan negara katanya, hanya berpusing di kalangan pemimpin atasan mereka sahaja dan tauke-tauke yang berkepentingan.

"Orang Melayu kena sedar, bila pilihan raya, tauke-tauke besar bagi duit kepada Umno.

"Bila habis pilihan raya, harga barang dinaikan sebab nak tolong tauke dia yang tolong dalam pilihan raya," tambahnya.

Sehubungan itu beliau mahu rakyat khususnya ahli PAS bekerja kuat untuk memastikan Pakatan Rakyat menggantikan Umno pada Pilihan Raya Umum nanti.

"Pertahankan Kedah ini, kalau Kedah kamu tak perkuat, nak pergi Putrajaya macam mana.

"Jangan cakap sahaja nak putrajaya, kerja malas, daftar pengundi tak buat, ceramah datang berbatu-batu, tapi nama bila nak mengundi tak ade," tegasnya.

Bertindak Segera: PAS Kedah Akan Tewas Teruk PRU ke 13, Hanya Tinggal 5 Kerusi Dari 16 Kerusi Yang Ada Sekarang....

ALOR SETAR: Barisan Nasional (BN) Kedah berkemampuan untuk memperoleh kemenangan lebih dua pertiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN)pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, sekaligus merampas semula pentadbiran kerajaan negeri yang kini diterajui PAS.

Pengerusi BN Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah, berkata sasaran itu tidak mustahil pada PRU ke-13 kali ini memandangkan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Kita yakin boleh mencapai sasaran lebih 31 daripada 36 kerusi DUN," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Motivasi dan Kecemerlangan Kepimpinan Wanita UMNO Kedah, di sini, Sabtu.

Lebih 500 ketua wanita peringkat cawangan di negeri itu menyertai kursus tersebut.

Ketika ini, PAS menguasai 16 kerusi DUN Kedah diikuti BN dengan 14, Parti Keadilan Rakyat (PKR) 3 dan DAP (1) dan dua wakil rakyat Bebas, yang sebelum inimerupakan anggota DUN PKR.

Ahmad Bashah, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, berkata persiapan jentera pilihan raya negeri telah digerakkan sejak bulan lepas dan bilik gerakan bagi peti-peti undi akan dibuka bulan depan.

Beliau turut mensasarkan untuk menarik lebih 100,000 pengundi baru menyertai UMNO dan sekarang ini lebih 30,000 pengundi baru telah mendaftar sebagai ahli parti.

Sementara itu, Ketua Wanita UMNO Kedah, Datuk Maznah Abdul Hamid, berkata sayap itu telah melaksanakan strategi dari rumah ke rumah bagi menarik lebih ramai pengundi menyokong BN.

"Jadi kami lebih rapat dengan pengundi dan sasaran kami ialah setiap ketua cawangan perlu mendapatkan seorang pengundi baru setiap minggu," katanya.

Beliau berkata strategi mereka itu akan memberi kesan yang lebih untuk PRU-13 berbanding PRU yang lepas pada 2008.

-BERNAMA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.