TERKINI DARI SEDAKASEJAHTERA.COM

Rais Yatim: Kami Sekadar Mengingati Jika Lupa


Dato'Seri Rais Yatim adalah salah seorang pelopor Semangat 46, iaitu musuh UMNO baru pada tahun 1988. Pada waktu itu, Rais, Ibrahim Ali, dan ramai lagi pemimpin Semangat 46 berkata bahawa jika mereka mati hidup semula sekalipun, mereka takkan kembali kepada UMNO.

Mereka kata bahawa mereka takkan jilat balik ludah mereka. Mereka juga kata bahawa apabila Tun Dr. Mahathir Mohamad meninggal dunia nanti, mereka akan kencing di atas kuburnya.

Rais adalah antara individu yang mengatakan semua ini. Tetapi dia kemudiannya menyertai semula UMNO di ketika Dr. Mahathir masih merupakan Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia. Nampaknya, si Rais menjilat kembali ludahnya sendiri dan dia tak pula perlu mati hidup semula sebelum kembali kepada UMNO. Rais mendapat ijazah kedoktorannya berasaskan tesis yang menentang Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Apabila dia kemudiannya ditanya tentang sebab dia menukar pendiriannya dan menyokong ISA sedangkan pada mulanya, dia menentangnya, malah mendapat ijazah kedoktoran berasaskan tesis yang menentang ISA, dia menjawab bahawa tesis itu hanyalah suatu ‘latihan akademik’ dan tidak menggambarkan pendiriannya. Sepanjang pembabitannya dalam Semangat 46, Rais dan gengnya pergi ke seluruh pelusuk negara dan menyampaikan ceramah yang menghentam UMNO dan Dr Mahathir. Mereka mengatakan bahawa UMNO dan Dr. Mahathir telah menghina Raja-raja Melayu dan menghakis kuasa mereka. Kata Rais, UMNO dan Dr. Mahathir adalah pengkhianat Raja-raja dan bangsa Melayu. Bapa Kemerdekaan dan Perdana Menteri pertama Malaysia, Tunku Abdul Rahman membenci UMNO. Dia enggan menyertai semula UMNO dan meninggal dunia sebagai ahli Semangat 46. Begitu juga dengan Tun Hussein Onn, Perdana Menteri ketiga Malaysia yang juga enggan menyertai semula UMNO dan tidak meninggal dunia sebagai ahli UMNO. Rais pun samalah, yang mana dia mengatakan bahawa dia lebih rela mati daripada kembali kepada UMNO. Walau bagaimanapun, hari ni, dia bukan saja ahli UMNO, tetapi juga adalah seorang menteri dan juga ‘jurucakap’ bagi parti itu. Terdapat ramai orang dahulunya dalam Semangat 46 ataupun Parti Keadilan Rakyat yang mendendangkan retorik yang sama. Contohnya, Ezam Mohd Nor yang pernah menjadi Ketua Pemuda Keadilan dan juga keseluruhan EXCO Pemudanya pergi ke seluruh negara dan melakukan sumpah yang dipanggil Sumpah Keramat.

Sumpah Keramat yang mereka ambil adalah sumpah atas nama Allah bahawa mereka TAKKAN menyertai semula UMNO dan bahawa misi mereka adalah menghapuskan UMNO. Mereka bersumpah dengan nama Tuhan bahawa mereka takkan menyertai semula UMNO. Misi mereka adalah menghancurkan UMNO. Tetapi hari ni, mereka semua dah kembali ke pangkuan UMNO.

Nampaknya, Sumpah Keramat mereka hanya sekadar sumpah kosong semata-mata. Saya pernah melakukan rakaman video ke atas ibu Ezam, di mana dia mengatakan bahawa dia akan mengutuk anaknya jika dia menyertai semula UMNO. Saya menghasilkan VCD temubual tu dan mengedarkannya ke seluruh Malaysia.

Bagi orang Melayu, sumpahan seorang ibu adalah perkara yang sangat serius kerana mereka percaya bahawa syurga terletak di bawah tapak kaki ibu. Tetapi Ezam dan sebahagian besar daripada EXCO Pemudanya yang melakukan Sumpah Keramat itu akhirnya menyertai semula UMNO. Nah, tulah kredibiliti dia orang semua. Asalnya, mereka dari UMNO. Mereka mengutuk UMNO. Mereka bersumpah atas nama Allah bahawa mereka takkan kembali menyertai UMNO.

Bahkan ibu mereka berjanji untuk mengutuk mereka jika mereka kembali ke pangkuan UMNO. Tetapi mereka kembali juga kepada UMNO. Bolehkah kita mempercayai kata-kata orang jenis macam ni? Penting sangatkah apa yang dia orang kata? Atau haruskah mereka diabaikan sebagai orang yang tidak berpendirian, yang mana kata-kata mereka tidak perlu diambil pusing?
Ambilan: http://gigitankerengga.blogspot.com/

MU Gantung Harap Pada Rooney


MILAN, Selasa – Pengurus Manchester United, Sir Alex Ferguson memuji kehebatan bintangnya, Wayne Rooney dan bergantung harap kepada pengaruh pemain itu untuk menghadapi AC Milan pada Liga Eropah di San Siro awal pagi esok.

Ferguson mengakui terasa kehilangan Cristiano Ronaldo, pemain terbaik Fifa 2008, kepada Real Madrid, musim panas lalu tapi yakin Rooney sebagai nadi baru MU.

"Saya rasa Manchester United cepat membentuk dan melahirkan bintang-bintang baru dan Rooney adalah satu di antaranya.

"Saya tahu, dia hadir ke Old Trafford sebagai pemain muda dari Everton tapi penyokong sentiasa menganggapnya sebagai anak watan.

"Dia dibimbing dan menjadi hebat di kelab ini sejak hadir ketika berusia 18 tahun. Begitulah MU. Kami menghargai mereka lebih daripada pemain yang dibeli.

"Hari ini dia menakjubkan. Prestasinya sejak beberapa bulan ini meletakkannya di puncak kerjaya, tiada keraguan mengenai itu dan dia begitu bersemangat serta bertenaga.

"Bila orang ramai berkata, pemain itu bertaraf dunia, ia sebenarnya disalahertikan tapi Wayne ke tahap itu di mana kita perlu akui dia adalah antara terbaik di dunia,” katanya.

Ketika United kehilangan Ronaldo, Milan juga kehilangan pemain terbaik dunia, Kaka, juga kepada Real, tapi Ferguson enggan meramalkan pasukan mana di antara mereka yang lebih terasa kehilangan wira-wira mereka.

"Kedua-duanya pemain yang hebat. Tapi hanya Milan yang boleh menjelaskan ketiadaan Kaka. Saya tidak boleh menjawab untuk mereka tapi saya boleh jelaskan mengenai Ronaldo, dia pemain yang hebat," kata Ferguson.

"Saya rasa dia yang terbaik di dunia tapi itu pandangan berat sebelah. Bila pemain terhebat berpindah, ia satu kehilangan besar tapi anda perlu mengatasinya dan bangkit dengan pendekatan yang berbeza untuk meneruskan perjuangan.

"Tiada apa yang boleh kami lakukan. Kita tidak boleh bising. Terlalu banyak tugas penting di kelab daripada memikirkan kehilangan seorang pemain.

"Kami perlu meneruskannya dan kami sudahpun meneruskannya tapi dia memang pemain yang cukup hebat.”

Seorang lagi bintang yang berpindah sebelum Ronaldo ialah David Beckham, yang menggantikan pemain sayap Portugal itu pada 2003 ketika berusia 18 tahun.

Beckham menikmati kejayaan hebat bersama United, termasuk menjuarai liga Eropah pada 1999 tapi Ferguson menyatakan banyak sudah berubah sejak Beckham pergi, juga menyertai Real.

"David berpindah tujuh tahun lalu. Hidup perlu diteruskan. Dia pemain yang berbeza dalam pasukan yang berbeza. Itulah yang berlaku.

"David memiliki pengalaman yang luas. Dia sudah mewakili England lebih 100 kali, dia bermain untuk Milan, Real Madrid dan Manchester United. Dia sama seperti pemain Milan yang lain termasuk Andrea Pirlo, Clarence Seedorf dan Filippo Inzaghi. Mereka semua memiliki pengalaman luas.”

Kali terakhir kedua-dua bertemu dalam kejohanan ini ialah di peringkat separuh akhir 2007. United mempamerkan prestasi bersemangat untuk menang 3-2 di Old Trafford tapi mereka diaibkan dengan kekalahan 3-0 di San Siro. Milan muncul juara mengalahkan Liverpool pada final untuk muncul juara Eropah kali ketujuh.

Tapi Ferguson menjanjikan kelainan dan tidak akan mengulangi keaiban dua tahun lalu kerana banyak faktor yang boleh mengubah kedudukan dalam petemuan pagi esok.

Robert Kuok kekal orang terkaya di Malaysia


KUALA LUMPUR: Kekayaan 40 orang terkaya di Malaysia terus mencatat peningkatan dengan kekayaan mereka yang terkumpul bernilai RM156.7 bilion pada 15 Januari atau 63 peratus lebih daripada RM96.3 bilion berikutan pemulihan dalam pasaran saham, demikian didedahkan hasil satu kaji selidik oleh Malaysian Business.

Bagaimanapun, menurut kenyataan hasil kaji selidik majalah itu yang dikeluarkan hari ini, kekayaan terkumpul mereka masih kurang daripada RM171.9 bilion yang direkodkan pada 2008.

Penanda aras FBM KLCI telah meningkat 44.3 peratus sejak kaji selidik terakhir ketika masyarakat dunia berusaha bangkit semula berikutan krisis kewangan global.

Senarai penuh 40 orang terkaya dan maklumat mengenai kekayaan mereka diterbitkan dalam majalah itu dalam keluaran hari ini.

Seperti tahun lalu, kekayaan 40 teratas itu dinilai berdasarkan kepada nilai saham mereka di dalam syarikat yang tersenarai pada 15 Januari tahun ini.

Kaji selidik itu juga menunjukkan hampir separuh daripada senarai yang tercatat tahun ini melonjak 50 peratus atau lebih.

Ada lebih jutawan tahun ini, iaitu 22 orang - lebih lapan orang berbanding tahun lalu.

Tan Sri Robert Kuok daripada Kumpulan Kuok yang melepaskan mahkota "Raja Gula" tahun lalu, masih mendahului senarai dengan kekayaan RM42.76 bilion, meningkat RM16.1 bilion daripada RM26.6 bilion, setahun lalu.

Hartawan telekomunikasi, Ananda Krishnan berada pada kedudukan kedua dengan kekayaan RM27 bilion.

Tan Sri Lee Shin Chen daripada IOI Corporation Bhd menduduki tempat ketiga dengan kekayaan RM11.92 bilion diikuti ahli perbankan terkemuka Tan Sri Teh Hong Piow dengan kekayaannya berjumlah RM10.86 bilion.

Tan Sri Lim Kok Thay daripada Kumpulan Genting dengan kekayaan bernilai RM10.38 bilion, melonjak kepada kedudukan kelima. Ini kerana beliau mewarisi sejumlah besar kekayaan daripada mendiang bapanya, Tan Sri Lim Goh Tong.

Tan Sri Quek Leng Chan daripada Kumpulan Hong Leong menduduki tempat keenam dengan RM7.09 bilion manakala Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary daripada Yayasan Albukhary dengan kekayaan bernilai RM6.01 bilion, menduduki tempat ketujuh.

Jutawan lain yang tersenarai dalam 10 teratas adalah balu Lim Goh Tong, Puan Sri Lee Kim Hua, Tan Sri Tiong Hiew King daripada Rimbunan Hijau Group dan Tan Sri Vincent Tan daripada Berjaya Group.

Lima muka baru dalam senarai itu ialah Lee Swee Eng daripada KNM Group, Datuk Shahril Shamsuddin dan Shahriman Shamsuddin daripada Sapura, Datuk Seri Nazir Razak daripada CIMB Group dan Ong Leong Huat daripada OSK Holdings yang muncul semula dalam senarai itu selepas tiada dalam tempoh setahun. - Bernama

Barang Dalam Kereta Dicuri Tanpa Kesan


JADI TANDA TANYA: Meskipun Encik Abdul Rahman sudah mengunci keretanya dengan menggunakan kunci kawalan jauh, keretanya itu masih dapat dimasuki pencuri tanpa memecahkan tingkap atau mengumpilnya. -- Foto KHALID BABA

16 Feb 2010 / SINGAPURA: KERETA milik Encik Abdul Rahman Majid yang dimasuki pencuri di Johor Bahru baru-baru ini tidak mempunyai tanda-tanda ia dipecah masuk atau diumpil.

Kehilangan barang-barang berharga daripada dalam MPV Honda Odysseynya itu menimbulkan tanda tanya bagaimana barangan dalam kereta tersebut boleh hilang.

Encik Abdul Rahman, 48 tahun, seorang ejen hartanah, berkata kejadian itu berlaku pada 24 Januari lalu sekitar 4.45 petang setelah beliau meletakkan keretanya selama 30 minit di hadapan pasar raya Tesco di Tebrau City.

'Saya sudah mengunci kereta menggunakan kunci kawalan jauh dan meletakkan barang seperti komputer riba milik anak saya di kerusi belakang.

'Apabila selesai membeli-belah, saya dapati kereta saya tidak berkunci. Kunci kawalan jauh tidak berbunyi dan sistem alat penggera tidak berfungsi lagi.

'Saya hairan bagaimana kereta saya boleh dimasuki. Setelah pulang, saya buat kajian sendiri dan saya rasa mereka menggunakan teknologi frekuensi atau RFID (Pengenalan Frekuensi Radio).'

Beliau kehilangan komputer riba ($2,000), telefon bimbit ($388), jam tangan, wang tunai $30, beg sekolah ($60), GPS ($499), cakera keras ($40) dan beberapa barangan lain.

Pakar automatif, Encik Mazlan Samad, yang juga mantan Ketua Editor majalah Wheels Asia berkata berdasarkan kajiannya, kemungkinan pintu kereta itu dibuka menerusi teknik membuat salinan kunci kawalan jauh kereta menerusi frekuensi radio.

'Pencuri akan menyalin frekuensi kunci kawalan jauh menggunakan alat elektronik imbasan (scanner).

'Setelah menyalin dan melihat pemilik kereta beredar, pencuri akan membuka kereta seolah-olah kereta itu miliknya,' kata beliau.

Seorang mekanik alat-alat aksesori di Johor Bahru, Encik Wong Ah Kim, berkata alat elektronik imbasan boleh dibeli di Eropah untuk menyalin semula frekuensi radio yang digunakan untuk kereta.

'Kerana itu apabila pemandu kereta mahu memasang kunci kawalan jauh, kami memintanya membeli yang paling mahal kerana ia tidak boleh disalin oleh alat elektronik imbasan,' kata Encik Wong.

Encik Abdul Rahman juga telah memasang sistem penggera yang baru berharga $540 di Singapura untuk mengelak perkara yang sama daripada berulang.

Namun apabila ditanya tentang cara terbaru menggunakan frekuensi radio untuk memecah masuk kereta, Timbalan II, Cawangan Jenayah Johor, Raja Shahrom Abdullah, berkata:

'Sejauh ini kami tidak menerima sebarang laporan mengenai kaedah terbaru menggunakan frekuensi radio itu.

'Kebanyakan kes pecah masuk yang tidak memecahkan cermin biasanya menggunakan kunci induk.'

Encik Abdul Rahman telah membuat laporan di Balai Polis Setia Indah.

Semasa dihubungi, jurucakap balai polis itu mengesahkan pihaknya masih menjalankan siasatan.
Oleh: Nizam Ismail

Terbakar: 15 buah rumah kedai musnah


selasa 16/2/2010 ..Sungai limau Dalam, Yan kedah.. Sebanyak 15 deretan rumah kedai, termasuk dua kedai emas musnah dalam kebakaran, kejadian dilapurkan bermula dari sebuah kedai makan. Punca kebakaran belum belum diketahui dan jumlah kerugian masih disiasat. Keadaan panas terik menyebabkan api marak dengan begitu cepat sekali. Jentera Bomba telah berkejar ke tempat kejadian. Kebakaran jam 1.15 tengah hari mengemparkan penduduk sekitar.
updated:
Antara premis terlibat adalah kedai runcit, kedai emas, kedai basikal, kedai kopi dan beberapa unit yang dijadikan tempat tinggal.

Seorang mangsa, Loh Choon Yean, 25, berkata, kebakaran berlaku kira-kira pukul 1 petang dan dipercayai bermula dari sebuah rumah kedai yang diduduki oleh sebuah keluarga.

Beliau yang juga peniaga kedai kopi berkata, seorang wanita yang mendiami premis itu cuba meminta bantuan orang ramai sebaik sahaja menyedari api mula marak di dalam rumahnya.

"Saya bersama beberapa jiran yang lain bergegas untuk membantu tetapi api marak dengan cepat," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.

Berikutan itu, penduduk telah menghubungi pasukan penyelamat untuk meminta bantuan.

Sebanyak enam buah kereta bomba sukarela dari Sungai Limau, Kuala Kedah, Merbok, Gurun, Guar Chempedak dan Yan bersama kira-kira 100 anggota sukarela bergegas ke tempat kejadian bagi memadamkan kebakaran.

Turut serta lima jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Guar Chempedak, Sungai Petani, Jalan Raja dan Alor Setar bersama 25 anggota.

Pegawai Bahagian Operasi Pasukan Bomba dan Penyelamat Alor Setar, Nor Ariffin Kamari berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 1.12 petang dan pasukan pertama tiba di lokasi 11 minit kemudian.

Katanya, api dapat dikawal dalam tempoh 30 minit.

"Sehingga kini punca kebakaran masih disiasat dan jumlah kerugian sedang ditaksirkan," katanya.

Turut berada di lokasi kebakaran ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang baru sahaja pulang dari satu majlis di Guar Chempedak.

Selain itu, Menteri Besar Datuk Seri Azizan Razak dan Ahli Dewan Undangan Negeri Guar Chempedak, Datuk Ku Abd. Rahman Ku Ismail turut hadir di tempat kejadian.

Wan Leh Maut : Terjatuh Semasa Bakar Jerami Padi


Warga emas yang melecur hampir seluruh badannya akibat terjatuh ke dalam jerami yang sedang terbakar di Batu 22, Jalan Guar Chempedak kelmarin, meninggal dunia hari ini.

Mangsa, Salleh Saad, 75, menghembuskan nafas terakhir di Unit Kebakaran, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, pada pukul 1.40 pagi ini.

Anak saudara mangsa, Suhuaimi Ali, 45, berkata, bapa saudaranya itu meninggal dunia kerana melecur teruk hampir 80 peratus di seluruh badan.

"Akibat kebakaran itu, buah pinggangnya tidak dapat berfungsi dan semalam mukanya juga bengkak," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 6.50 petang itu, Salleh sedang membakar jerami bersama-sama sepupunya.

Bagaimanapun, mangsa yang telah menjadi pesawah sejak 50 tahun lalu terjatuh ke dalam jerami tersebut setelah berasa pening akibat terhidu asap.

Menurut Suhuaimi, jenazah bapa saudaranya itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Guar Chempedak di sini, selepas solat Zuhur.

"Saya juga ingin menasihatkan pesawah-pesawah agar lebih berhati-hati ketika membakar jerami. Saya tidak mahu perkara yang menimpa bapa saudara saya terjadi kepada orang lain pula," katanya.

Seluruh kerabat Sedaka Sejahtera mengucapakan takziah kepada keluarga Wan Leh. Semoga rohnya diucuri rahmat Allah SWT. AL-FATIHAH.........
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Murah Giler: Sapa Nak Order Klik Image

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.