TERKINI DARI SEDAKASEJAHTERA.COM

Jom Tengok Sapa Dalang Kamera Intip MB Selangor

Beberapa individu dikenal-pasti dalam rakaman video yang dijumpa dalam 'kamera intip' yang ditemui di pejabat menteri besar Selangor pada awal bulan lalu.

Pada sidang media di Shah Alam hari ini, setiausaha politik kepada menteri besar, Faekah Husin berkata mereka yang dikenalpasti itu bekerja di tingkat yang sama dengan pejabat menteri besar di bangunan setiausaha kerajaan negeri.

“Daripada siasatan dalaman, terdapat beberapa wajah dan suara yang dikenal-pasti dari rakaman video itu. (Tetapi) kita tidak bercadang mendedahkan butirannya (sekarang),” katanya.

“Sesetengah mereka sepatutnya berada di sana, tetapi ada juga yang tidak sepatutnya berada di sana.”

Pasukan khas yang ditubuhkan bagi menyiasat penemuan 'kamera intip' itu akan berbincang dengan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim esok untuk menentukan tindakan selanjutnya.

Faekah berkata pasukan petugas itu perlu mendapatkan kelulusan daripada Khalaid sebelum boleh menyoal-siasat mereka yang dikenal-pasti dalam rakaman video itu.

"Kami perlu menyiasat mereka bagi menentukan siapa di sebalik perkara itu,” katanya.

Menurut Faekah, rumusan awal siasatan mendapati mereka yang terbabit itu cuba menjadi “nakal dari segi politik.”

Beliau juga mendedahkan tiga pegawai polis berjumpa dengannya pagi ini tetapi mengesahkan belum ada laporan polis yang dibuat.

Sebelum ini, Khalid berkata pasukan petugas berkenaan akan diberi masa menyiasat terlebih dahulu sebelum menyerahkannya kepada polis.

Bendera Dibakar Lagi, Telur, Ikan Busuk Dilontar

Sekumpulan pelajar yang mendakwa mewakili Gerakan Mahasiswa Hukum Jakarta (Gerakan Mahasiswa Undang-undang Jakarta) semalam bertindak mengotorkan bendera Malaysia dengan telur sebelum membakar dan melontarkan Jalur Gemilang yang terbakar sebahagiannnya itu ke dalam kawasan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta.

Dalam demonstrasi membantah insiden di perbatasan perairan Malaysia-Indonesia dekat Kepulauan Riau baru-baru ini, mereka turut melontar telur dan ikan masin busuk ke dalam kawasan kedutaan besar itu selain mengotorkan plak nama Kedutaan Besar Malaysia itu dengan tepung gandum dan ikan masin busuk.

Mereka membawa beberapa sepanduk yang antara lainnya ditulis "diplomasi mati suri", "ganyang Malaysia", "bela harga diri bangsa" serta "malingsia serumpun yang durhaka".

Demonstrasi selama kira-kira setengah jam mulai jam 11.05 pagi itu diawasi oleh kira-kira 60 anggota polis Indonesia.

Dalam insiden di perbatasan perairan Malaysia-Indonesia pada 13 Ogos lalu, bahagian penguatkuasa Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia menahan tujuh nelayan Malaysia manakala Polis Marin Malaysia pula menahan tiga pegawai penguatkuasa kementerian dari Indonesia itu, masing-masing dengan alasan pencerobohan terhadap wilayah perairan masing-masing.

Sungguhpun semua mereka dibebaskan pihak berkuasa kedua-dua negara empat hari kemudian, perasaan marah rakyat Indonesia terhadap Malaysia tidak pernah padam kerana mereka mendakwa Malaysia bertindak merendahkan martabat Indonesia dan meminta Malaysia memohon maaf kepada republik itu.

Kumpulan-kumpulan masyarakat di sini turut mengkritik kerajaan Indonesia yang didakwa tidak tegas terhadap Malaysia berhubung insiden itu.

- Bernama

Anda Bijak Zauhi Zina - Risalah DPPNK Ajak Remaja Hayati Kemerdekaan


Edar risalah di ambang merdeka



ALOR SETAR - Walaupun sambutan malam kemerdekaan tidak diraikan dengan percikan bunga api namun, dataran yang dahulunya dikenali sebagai Dataran Paris dipenuhi dengan penduduk bandar raya ini sejak jam 11 malam, kelmarin.

Safuan Asraf Azmi, 20, berkata, sambutan malam ambang merdeka tetap meriah walaupun tidak ada kiraan detik jam 12 tengah malam secara beramai-ramai kerana masing-masing menyambutnya dengan cara tersendiri.

Menurutnya, sambutan kali ini diraikan mengikut cara masing-masing dan memberikan suasana baru pada malam ambang merdeka.

“Hari Kemerdekaan kali ini disambut pada bulan Ramadan, jadi tidak salah sekiranya tidak ada sambutan pada malam ambang merdeka termasuklah percikan bunga api.

“Bagi saya hal ini juga bagus sebagai tanda kita menghormati Ramadan sebagai bulan untuk kita beribadat,” katanya kepada Sinar Harian.

Safuan Asraf berkata, sambutan kemerdekaan tidak semestinya disambut dengan percikan bunga api malah ia perlu disambut dengan penuh penghayatan dan semangat merdeka oleh setiap individu.

Generasi terdahulu yang turut sama meraikan malam ambang merdeka, Ahmad Bidin, 57, berkata, sambutan yang diraikan zaman sekarang dan dahulu tidak jauh bezanya.

Menurutnya, pada masa dahulu juga sambutan kemerdekaan disambut di Dataran Paris dan diraikan anak muda pada masa itu sama seperti sekarang.

“Masa zaman saya muda dahulu, golongan muda sambut samalah seperti golongan muda sekarang, ada yang menunggang motosikal dan ada yang menaiki basikal serta memasang bendera di kenderaan masing-masing.

“Pada masa itu, percikan bunga api pun sudah ada tetapi tidak seperti bunga api zaman sekarang namun sambutannya tetap meriah,” katanya.

Namun, bagi Mohd Safuan Ibrahim, 20, berkata, kemeriahan sambutan ambang kemerdekaan tidak dapat dirasai apabila tidak ada percikan bunga api.

Mohd Safuan berkata, sambutan malam ambang merdeka yang disambut setiap tahun bersama rakannya seolah-olah tidak meriah apabila tiada percikan bunga api seperti tahun sebelum ini.

Sementara itu, bagi Dewan Pemuda Pas Negeri Kedah (DPPNK) malam ambang kemerdekaan itu dijadikan sebagai platform kepada ahli untuk menyampaikan mesej kepada masyarakat agar menjauhi gejala sosial antaranya zina.

Ketua Penerangan DPPNK, Mohd Nasir Zakaria berkata, sebanyak 2,000 risalah diedarkan kepada orang ramai yang hadir bagi menyambut ambang merdeka.

“Aktiviti yang diadakan ini bertujuan mendekatkan golongan muda dengan DPPNK kerana slogan aktiviti ini juga adalah Orang Muda, Geng Kita, jadi kita mahu sampaikan mesej kepada mereka agar jauhi perbuatan zina.

“Kita tidak marah sekiranya mereka mahu menyambut ambang merdeka, namun DPPNK mahu mereka lebih berhati-hati dan menyambut dengan cara yang betul,” katanya.

-SH

MP Serdang Perlukan Kebenaran Mais Untuk Masuki Ruang Solat .... Sudah Puashatikah Utusan?

Teo berkata akan mengambil peringatan amaran yang dikeluarkan oleh Mais. — gambar fail
KUALA LUMPUR, 2 Sept — Ahli Parlimen Serdang Teo Nie Ching berkata telah menerima surat amaran Majlis Agama Islam Selangor (Mais), yang meminta beliau tidak lagi memasuki ruang solat masjid dan surau di Selangor.

Dalam surat amaran itu Mais menekankan arahan tersebut dikeluarkan atas titah perintah Sultan Selangor.

Teo berkata surat amaran yang diterima melalui faks menjelaskan sekiranya mahu memasuki ruang solat beliau perlu mendapatkan kebenaran Mais terlebih dahulu.

“Ya, saya sudah terima surat amaran itu pada pukul 1.30 tengah hari (semalam).

“Dalam surat itu mengatakan bahawa saya dilarang memasuki ruang solat masjid dan surau di Selangor tanpa kebenaran Mais terlebih dahulu,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Ahli Parlimen DAP itu berkata beliau akan mengambil peringatan daripada surat tersebut dan akan merujuk kepada Mais terlebih dahulu sebelum ke masjid dan surau.

“Sudah tentu saya akan ambil peringatan, ini adalah titah Sultan Selangor.

“Apa lagi yang saya boleh buat?

“Saya kena patuh kepada titah Sultan Selangor kerana dalam surat itu Mais kata ia adalah titah daripada Sultan Selangor,” katanya lagi.

Teo sebelum ini dikatakan menyampaikan sumbangan dan memberikan ucapan di ruang solat Surau Al-Huda, Kajang Sentral pada 22 Ogos lalu.

Tindakan Teo itu dikritik Umno dan Perkasa sebelum ini dan turut dilaporkan menimbulkan kemurkaan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menitahkan Mais menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya ke atas pengurusan surau tersebut.

Namun Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mempertahankan tindakan Teo.

Menteri Besar Kelantan itu berkata tindakan anggota Dewan Rakyat tersebut tidak menyalahi hukum Islam, malah sebaik-baik cara untuk mendekatkan masyarakat bukan Islam kepada Islam.

Awas Golongan Putar Belit - MB Kedah

Menteri Besar YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak mengingatkan rakyat supaya berwaspada terhadap golongan yang memutarbelitkan isu-isu tertentu bertujuan merosakkan perpaduan kaum di negara ini.

Berucap di Perhimpunan Hari Kemerdekaan Ke-53 Peringkat Negeri Kedah yang diadakan di Dewan Sri Negeri, supaya rakyat meningkatkan kerjasama dan perpaduan serta sentiasa berhati-hati dengan golongan tersebut.

“Golongan ini sentiasa menunggu isu-isu tertentu untuk diputarbelitkan sehingga berlaku salah faham antara kaum yang ada. Mereka juga menyambut merdeka tetapi seperti kata pepatah rambut sama hitam hati lain-lain,” katanya.

Sebagai rakyat berbilang kaum di negara ini semua pihak hendaklah saling bersefahaman serta hormat-menghormati.

“Kita juga bernasib baik kerana tidak ada sengketa kaum atau agama seperti yang berlaku di sesetengah negara sehingga mengorbankan nyawa dan kerosakan harta benda awam,” ujarnya.

Menurutnya, dengan mengenang sejarah perjuangan menuntut kemerdekaan dan memahami erti perjuangan, terutama bagi rakyat yang lahir selepas kemerdekaan ianya menjadikan seseorang lebih menghargai erti kemerdekaaan kerana sedar betapa penting hidup bebas daripada belenggu penjajah .

“Pun begitu kita harus ingat penjajahan masih boleh berlaku dalam bentuk lain iaitu penjajahan pemikiran, budaya dan kita sebagai rakyat yang berperibadi mesti bijak menilainya,” katanya.

Walaupun sudah 53 tahun merdeka dan banyak kemajuan dicapai sepanjang tempoh itu, rakyat perlu berhati-hati dan berusaha bersungguh-sungguh menjaga maruah bangsa dan kedaulatan negara.

Ini kerana, katanya, negara yang miskin bukan sahaja membebankan rakyatnya malah kurang dihormati kerana tidak upaya bertindak dengan bebas dan terpaksa bergantung kepada bantuan dan belas kasihan negara lain.

Oleh rakyat mesti berusaha untuk maju kerana sekiranya masih kekal sebagai negara miskin, kemerdekaan yang selama ini dibanggakan tidak memberi makna.

“Apa guna negara merdeka jika rakyatnya hidup menderita serta merana sentiasa bergantung kepada belas kasihan orang lain,” katanya.

Sempena majlis itu beliau memberi ucapan penghargaan terhadap jasa-jasa kakitangan perkhidmatan awam, para pendidik dan guru, badan kehakiman dan perundangan yang telah melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

“Mereka telah memenuhi amanah dalam membantu negara mencapai tahap kejayaan hari ini,” katanya.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada sektor swasta, sektor industri, sektor perkhimatan, sektor perniagaan, kewangan yang sama-sama telah membantu menjana pertumbuhan ekonomi negara ini.

Katanya, negara menghargai peranan segenap lapisan masyarakat warga desa dan kota termasuklah peniaga kecil, nelayan, petani, peneroka dan penternak yang masing-masing ada sumbangan terhadap pembangunan negara.

Beliau turut melahirkan penghargaan terhadap angkatan tentera dan polis yang telah menjalankan tugas mereka dengan cemerlang dalam mempertahankan kemerdekaan dan mengawal keamanan negara walaupun ada di antara mereka yang terkorban.

Majlis ini diisi dengan bacaan Ikrar oleh pelajar Kolej Universiti Insaniah, nyanyian lagu puisi oleh artis Sani Sudin dan lagu-lahu patriotik oleh Koir Wisma Darul Aman.

Kenyataan Pengerusi UMNO Kelantan Menunjukkan Ketakutan UMNO Makin Ketara...

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 2 Ogos: PAS dapat merasai ketakutan pemimpin Umno BN selepas Kerajaan Kelantan nekad menyaman Petronas berhubung isu royalti minyak yang tidak dibayar kepada negeri itu.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, ketakutan itu terserlah dalam kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang mengatakan keputusan menukar wang royalti kepada wang ehsan itu adalah atas khidmat nasihat Peguam Negara.

Katanya, nampak sangat BN tidak mahu bertanggungjawab, sedangkan yang membuat keputusan adalah Kabinet BN sementara nasihat Peguam Negara itu kini sedang dicabar di mahkamah.

“Atas dasar apakah Peguam Negara tidak memberikan nasihat yang sama bagi pemberian royalti untuk negeri Sabah dan Sarawak?” soalnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily .

Di samping itu, soalnya lagi, apa pula indikator nasihat yang diberikan oleh Peguam Negara untuk Kerajaan BN memulangkan wang royalti Terengganu selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.

“Kenapa ada nasihat yang 'double standard' dalam agenda pentadbiran Peguam Negara. Apakah perundangan yang ditafsir oleh Peguam Negara sekarang dan dulu tidak sama?”

“Adakah mereka membaca dokumen perjanjian Petroleum Kelantan dengan Petronas dan akta berkenaan dengan cara yang berbeza?” tanya beliau lagi.

Yang pasti, katanya peraturan perjanjian dan akta itu tidak pernah berubah tetapi yang berubah adalah kerajaan yang memerintah.

Menurutnya, asalkan PAS memerintah sahaja, wang royalti bertukar jadi wang ehsan dan itulah yang ada dalam kamus Umno BN.

“Bila Kerajaan BN tumbang di Dun negeri, muncul pula kerajaan haram bernama Jabatan Pembangunan Persekutuan. Mana pula akta dan peraturan yang mereka guna untuk wujudkan jabatan ini,” ujarnya.

Justeru, tegasnya PAS kini yakin yang isu saman royalti itu akan dimenangi oleh Kerajaan Kelantan yang diperintah PAS.

Saman itu juga, tambahnya membuka mata rakyat dan menyampaikan kepada masyarakat dunia bahawa di Malaysia terdapat Kerajaan Persekutuan yang menzalimi rakyatnya lantaran dendam dan tidak tahan malu selepas tewas dalam pilihan raya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Murah Giler: Sapa Nak Order Klik Image

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.