Mesyuarat Tergempar PR Pulau Pinang “Guan Eng gantikan Agong”

KENYATAAN BERSAMA PAKATAN RAKYAT PULAU PINANG DALAM MESYUARAT TERGEMPAR
PADA 22.8.2010 DI KOMTAR, GEORGE TOWN.


Mesyuarat tergempar PR dipanggil hari ini berikutan permainan isu “Guan Eng gantikan Agong” yang digembar-gemburkan oleh UMNO dan media massa. Permainan politik oleh UMNO ini adalah begitu karut kerana hanya orang tak siuman dan berniat jahat baru berani menggantikan nama DYMM YDP Agong dengan nama lain.

Dalam mesyuarat tersebut Ahli EXCO Negeri Pulau Pinang portfolio agama Islam YB Abdul Malik Kassim telah menjelaskan teks khutbah yang disediakan oleh MAINPP dan JAIPP.

10 usul telah diluluskan dalam mesyuarat tergempar PR Pulau Pinang yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang dan Pengerusi Pakatan Rakyat Lim Guan Eng:-

1. Melafazkan ikrar taat setia kepada DYMM Yang di Pertuan Agung sebagai pemimpin terunggul negara atau Kepala Utama bagi Persekutuan menurut Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan dan juga sebagai Ketua agama Islam bagi Negeri Pulau Pinang menurut Perkara 5(2) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.

2. Melafazkan ikrar taat setia kepada Yang di Pertua Negeri Pulau Pinang mengikut Perkara 1 Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.

3. Menegakkan Islam sebagai agama rasmi negeri; tetapi agama lain boleh diamalkan dengan aman dan harmoni menurut Perkara 5(1) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.

4. Mengulangi sokongan ke atas dasar kerajaan negeri Pulau Pinang yang diumumkan oleh Ketua Menteri mengharamkan judi bola yang pada awalnya diluluskan oleh UMNO.

5. Menyokong pemberian kewangan khas Hari Raya Aidilfitri yang diumumkan oleh YAB Ketua Menteri Pulau Pinang sebanyak RM 400 kepada semua ahli pentadbiran kerajaan negeri, MPPP, MPSP dan agensi kerajaan negeri yang dibuat pertama kalinya dalam sejarah Malaysia.

6. Mengutuk amalan politik kotor dan jahat UMNO dan media massa yang dikuasai ini yang memainkan isu “Guan Eng gantikan Agong” dalam doa khutbah kedua solat Jumaat yang merupakan satu fitnah jahat yang dilakukan terhadap kerajaan negeri Pulau Pinang dalam bulan Ramadan yang mulia ini.

7. Menafikan dengan keras dakwaan UMNO kerana teks khutbah Jumaat yang disediakan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP) tidak pernah menggunakan nama Ketua Menteri bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong serta Kerajaan negeri, JHEAIPP atau YAB Ketua Menteri sendiri juga tidak pernah menerima atau mengeluarkan arahan secara lisan mahupun bertulis kepada mana-mana pihak untuk menggunakan nama Ketua Menteri.

8. Mendesak UMNO mengambil tindakan terhadap mana-mana khatib/imam mesjid yang dapat dibuktikan telah terpesong atau lari daripada teks khutbah yang disediakan dengan menggantikan nama DYMM YDP Agung dengan nama YAB Ketua Menteri Pulau Pinang.

9. Mendesak BN dan UMNO hentikan permainan politik kebencian di kalangan orang ramai yang menimbulkan ketegangan kaum dengan cuba mengaitkan imam/khatib yang tidak mengikut teks khutbah yang disediakan, kalau ada, dengan fitnah penggunaan nama YAB Lim Guan Eng diarahkan oleh kerajaan negeri.

10. Menyeru rakyat and penyokong PR bersikap tenang dan tidak masuk perangkap UMNO untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada program baik kerajaan negeri meluluskan program pemberian kewangan khas Hari Raya Aidilfitri sebanyak RM 400 kepada semua ahli pentadbiran dan agensi kerajaan negeri, pemberian tahunan RM 100 wang penghargaan warga emas, menambahkan peruntukan hal ehwal Islam sebanyak 100% kepada RM 24.3 juta pada 2010 berbanding dengan RM12.5 juta pada 2008 dengan sumbangan Ihya Ramadan dan bantuan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR), serta mengharamkan perjudian bola selaras dengan prinsip amar maaruf nahi mungkar.

YB Dato Mansor Othman
Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang
Pengerusi PKR Pulau Pinang

YB Chow Kon Yeow
Pengerusi DAP Pulau Pinang

Ustaz Rosidi Hussain
Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang

Pengerusi Felda Dah Terkena Tempias Anak

Yusuf (kiri) berkata Felda kian diserang kerana ia semakin berkembang. — gambar fail
KUALA TERENGGANU, 22 Ogos — Cubaan Pakatan Rakyat untuk masuk ke Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) adalah satu gangguan yang tidak diingini oleh warga komuniti itu, kata Pengerusinya Tan Sri Dr Mohd Yusof Nor.

Menurut beliau pihak-pihak terlibat sebenarnya mahu melihat peneroka dan pentadbiran dalam organisasi itu berpecah-belah untuk memudahkan mereka menyusup masuk.

“Mereka serang dan fitnah Felda kerana nampak Felda semakin berkembang, sebab itu mereka nak masuk dalam Felda,” katanya kepada pemberita di sini semalam selepas menyampaikan saguhati kepada 19 Pengerusi Masjid dalam Rancangan Felda Terengganu dengan setiap seorang menerima sebanyak RM300.

Mengulas lanjut beliau berkata pihak pengurusan Felda tidak akan terikut-ikut dengan perkara itu sebaliknya akan terus memberi tumpuan kepada peningkatan prestasi Felda yang sebelum ini telah menerima pengiktirafan dunia.

“Peneroka terutamanya tidak perlu bimbang kerana Felda tidak terjejas dan tidak mengalami kekangan daripada segi kewangan. Pengurusan Felda adalah profesional,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Felda merancang membina masjid contoh seperti yang disarankan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini.

“Lokasinya akan ditetapkan kemudian, masjid ini bakal menjadi institusi penting dalam Felda. Kita sedang memperhalusi dari segi rekabentuk yang bersesuaian.

“Ia nanti bukan sahaja ada kemudahan beribadat tetapi juga kemudahan lain seperti tadika, klinik, perpustakaan dan sebagainya,” kata beliau.

Yusof berkata kos untuk masjid itu akan ditentukan kemudian.

“Satu jawatankuasa khas juga akan melihat kemungkinan ia dilaksanakan di 400 masjid yang sedia ada di kawasan-kawasan Felda seluruh negara kerana kita tidak boleh sewenang-wenangnya buat masjid di tapak baru,” katanya.

Masjid itu juga akan mengadakan program bersesuaian bagi menarik minat golongan muda dan juga kanak-kanak ke masjid, tambah beliau.

— Bernama

Budak Tahun Dua SK Nawa Cedera Ditangan Bahana Mercun

ALOR SETAR: Seorang pelajar tahun dua cedera di tapak tangan kanan apabila mercun bola meletup dalam tangannya, ketika bermain bahan api itu di rumah rakannya di Kampung Kubang Besar, Pokok Sena, dekat sini.

Menurut bapa saudara mangsa yang enggan dikenali, ia berlaku kira-kira jam 9 pagi semalam ketika mangsa yang berusia 8 tahun bermain bersama rakan-rakannya.

"Mangsa mengambil semula mercun yang dibalingnya kerana tidak meletup, tapi mercun itu kemudiannya meletup dalam tangannya secara tiba-tiba," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, pelajar Sekolah Kebangsaan Nawa itu pulang ke rumah sambil menangis dan memberitahu ibunya tentang kejadian itu sebelum dia dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah oleh jirannya untuk mendapatkan rawatan.

Bapa saudaranya berkata, anak saudaranya itu kini berada dalam keadaan stabil dan masih dirawat di hospital berkenaan.

- BERNAMA

Kenapa Kita Harus Diperbodohkan???




Gudang Mercun Di Terengganu Meletup Budak 6 Tahun Maut Tersangkut Di Pokok, 2 Lelaki Cedera Parah


KUALA TERENGGANU: Seorang kanak-kanak berusia enam tahun terbunuh dan dua lelaki cedera parah apabila sebuah rumah tinggal yang dipercayai menjadi gudang mercun di Kampung Kubang Buyung, Cabang Tiga di sini, meletup pada jam 12.30 tengahari tadi.

Mayat kanak-kanak lelaki itu ditemui tersangkut pada pokok yang terletak 15 meter dari rumah berkenaan dengan kepalanya pecah.

Jurucakap bomba yang ditemui di tempat kejadian berkata letupan kuat itu menyebabkan bahagian depan rumah itu musnah sama sekali.

Cermin-Cermin La Diri, Renung-Renung La Peribadi...

Oleh rahimothman



Layakkah UMNO kata MCA kurang ajar ? hanya semata-mata kerana menyatakan ,,.. kami bersetuju dengan resolusi kami....

Cermin diri sendiri dulu.. lihat di cermin tu lama-lama.. Rasanya UMNO dah terlalu banyak menunjukkan sikap kurang ajar, bukan MCA. Tak kiralah sama ada kurang ajarnya kepada MCA atau kepada orang Melayu sendiri atau rajanya sendiri, malah yang amat menyedihkan lagi ialah sikap kurang ajar mereka kepada agama yang kita sama-sama anuti, Islam.

Sikap yang UMNO dah tunjukkan selama ini .. seperti membelakangkan agama, mengkhianati bangsa sendiri, adalah 10 kali lebih dari kurang ajar. Jadi memang tak kena kalau UMNO menuduh MCA kurang ajar.

Mari kita lihat sebahagian yang dipaparkan di bawah ini;
  • Siapa yang kata Sultan Terengganu binatang ?
  • Siapa yang cuba mengguling dan menukar takhta sultan Kelantan ?
  • Siapa yang membuat fitnah liwat terhadap bangsa seagamanya sendiri ?
  • Siapa yang membelasah bangsanya sendiri semasa dalam penjara ?
  • Siapa menghentikan pelajaran jawi disekolah ?
  • Siapa yang arah tutup sekolah agama?
  • Siapa yang tarik balik bantuan untuk sekolah agama ?
  • Siapa yang luluskan lesen judi dan arak di negara ini?
  • Siapa yang membiarkan kes murtad berleluasa ?
  • Siapa yang mendorong anak-anak remaja Melayu berzina?
  • Siapa yang mengkhianati hak-hak istimewa orang Melayu?
  • Siapa yang merogol gadis remaja Melayu yang masih dibangku sekolah?
  • Siapa pemimpin yang suka songlap atau menggelapkan duit rakyat?
  • Siapa pemimpin yang sewenang-wenang menghina nabi kita?
  • Siapa pemimpin yang bunuh bangsanya sendiri semata-mata kerana politik?

PAS Pulau Pinang Dakwa Umno ‘Besarkan’ Isu Khutbah

August 22, 2010
KUALA LUMPUR, 22 Ogos — Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Mohd Salleh Man turut menyifatkan isu khutbah kononnya menggunakan nama Ketua Menteri Lim Guan Eng untuk menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin sengaja diperbesarkan oleh Umno.
Bagaimanapun Umno menafikan pihaknya mereka isu berkenaan.

Bagaimanapun Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Permatang Pasir ini berkata beliau masih menunggu laporan siasatan Majlis Agama Islam Pulau Pinang mengenai perkara tersebut.

“Bagi saya isu ini dibesarkan... bukannya tindakan itu membatalkan solat.
“Kadangkala orang tak perasaan sebab khatib baca doa dalam bahasa Arab. Bila dia sebut ‘Wa Zaqna’ maksudnya untuk menteri dan pemimpinlah,” kata beliau ketika dihubungi
The Malaysian Insider lewat malam tadi.

Salleh berkata beliau akan memberi kenyataan rasmi berhubung pendirian PAS Pulau Pinang selepas mesyuarat antara Pakatan Rakyat Pulau Pinang dan sesama PAS sendiri hari ini.

“Saya tak boleh bagi kenyataan rasmi kerana tidak bermesyuarat lagi. Jadi kena tunggu,” kata beliau lagi.

Beliau yang juga Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) turut menyatakan agensi itu akan mengadakan mesyuarat pada 26 Ogos ini berkenaan hal itu.

Khamis lepas, Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang memprotes penggunaan nama Ketua Menteri dalam doa khutbah kedua solat Jumaat bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong.

Pengerusinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penggunaan nama Ketua
Menteri itu dalam khutbah Jumaat dikesan sejak minggu lepas di beberapa buah masjid sekitar Tasek Gelugor, Permatang Pauh dan Jelutong.

Beliau berkata tindakan menggunakan nama Ketua Menteri bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong dalam khutbah Jumaat adalah di luar daripada keputusan Majlis Raja-Raja.

Bagaimanapun pemimpin-pemimpin kerajaan negeri Pulau Pinang menafikan perkara tersebut berdasarkan siasatan awal.

“Biar siasatan dijalankan untuk menentukan khatib atau imam masjid mana yang terlibat dan kalau benar tindakan tegas akan diambil,” kata Timbalan Ketua Menteri I Dr Mansor Othman dan Exco Kerajaan Negeri Abdul Malik Kassim dalam satu kenyataan bersama semalam.

“Hanya khatib atau imam yang tak siuman berani menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong dengan nama Lim Guan Eng. Sekiranya dakwaan ini benar, kami tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas,” kata pemimpin itu.

Dalam kenyataan itu juga, Abdul Malik dan Mansor menambah, dakwaan yang lebih merupakan fitnah terhadap kerajaan negeri adalah sangat serius kerana boleh mencetuskan kemarahan, kebencian dan ketegangan kaum dan agama dan membawa insiden yang tidak diingini.

“Lim Guan Eng, yang tidak pernah campur tangan dalam hal ehwal pentadbiran Islam, pun dianiayai,” kata mereka.

Umno Pulau Pinang mempertahankan pendirian mereka dengan menafikan dakwaan bahawa parti itu sengaja mencipta isu kononnya nama Ketua Menteri digunakan dalam khutbah untuk menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong.

Ketika menjelaskan kepada
The Malaysian Insider, Timbalan Pengerusi Umno Pulau Pinang Datuk Zainal Abidin Osman mendakwa perkara itu benar-benar berlaku di beberapa masjid, sejak awal tahun ini.

Beliau menamakan enam masjid yang menurut parti itu telah menggunakan nama sama ada “Ketua Menteri ataupun Lim Guan Eng” dalam khutbah, yang dikesan sejak Februari lalu.

MalaysiaTurut Dilanda Gempa Bumi Lemah 4.0 Skala Richter

Satu gempa bumi lemah berskala 4.0 Richter telah berlaku di 19 km dari utara Lahad Datu, Sabah, pada pukul 3.43 pagi ini, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia.

Keadaan tersebut boleh menyebabkan kemungkinan gegaran lemah dirasai di sekitar kawasan Lahad Datu, menurut jabatan itu dalam kenyataan hari ini.

Jabatan itu sedang memantau perkembangan tersebut, kata kenyataan berkenaan.

- Bernama

DAP Anjur Majlis Berbuka Puasa di Khatijah's Kitchen Rai Penggiat Media Alternatif

Oleh Ahmad Tajdid

BUKAN sesuatu yang biasa bagi DAP menganjurkan majlis berbuka puasa untuk penggiat media alternatif. Sepanjang bertugas di Harakah, inilah pertama kali majlis seumpama itu diadakan DAP apatah lagi atas jemputan Setiausaha Agungnya Lim Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.

Suasana di Khatijah's Kitchen, Jalan Bukit, Petaling Jaya, restoran milik Dato' Khatijah Ibrahim itu agak meriah petang 19 Ogos lalu apabila seorang demi seorang pemimpin utama DAP muncul untuk turut sama berbuka puasa.

(Penulis menikmati juadah berbuka di majlis berbuka puasa anjuran Lim Guan Eng)

Selain Guan Eng, turut hadir Penasihat DAP Lim Kit Siang, Naib Pengerusi DAP Kebangsaan Tengku Abdul Aziz Abdul Rahman (yang sajak bersongkok hitam), Ketua Pemuda Anthony Loke, Ahli Exco Kerajaan Negeri Selangor Teresa Kok dan Ean Yong Hian Wah, Ahli Parlimen PJ Utara Tony Pua dan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong.

Walaupun tidak berpuasa, tiada seorang pun para pemimpin DAP yang hadir menjamah makanan sehingga azan Maghrib dilaungkan. Guan Eng sendiri mengakui tidak menjamah makanan sejak pukul 11.00 malam sebelumnya kerana ingin merasai nikmat berbuka puasa.

"Saya tak bersahur," katanya berseloroh.

Dia juga bercerita bagaimana pada awal menghadiri majlis berbuka di masjid, beliau hanya menjamah makanan kerana sudah kenyang. Oleh kerana merasakan tindakan itu tidak wajar, beliau memastikan untuk 'berpuasa' setiap kali ada jemputan berbuka. Dengan berpuasa, beliau dapat makan dengan berselera apatah lagi jika menu yang disajikan itu kari kambing!

Masa yang ada sementara menunggu masa berbuka puasa digunakan oleh Guan Eng untuk menjelaskan isu-isu berbangkit berhubung pentadbiran kerajaan negeri pimpinannya.

Beliau mengakui kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang kerap menerima serangan daripada media massa pro-BN sejak mengambil alih pemerintahan negeri.

BN ujarnya, terpaksa meniupkan isu-isu perkauman kerana tidak dapat mencari kelemahan DAP dan Pakatan Rakyat dalam isu-isu 'real' menyentuh pentadbiran negeri.

Beliau memberi contoh isu bazar Ramadan di Komtar apabila kerajaan negeri didakwa mahu menghalang para peniaga Melayu berniaga di bazar tersebut sedangkan isu sebenar adalah kegagalan syarikat penganjur menjelaskan sewa kepada pentadbiran Komtar.

Walaupun tidak menerima satu sen pun bayaran sewa daripada syarikat tersebut, pihak pengurusan Komtar membenarkan para peniaga meneruskan perniagaan kerana dimaklumkan sewa telah dibayar oleh para peniaga kepada syarikat penganjur bazar Ramadan itu.

Isu perkauman ini sengaja dimainkan untuk menutup kelemahan syarikat terbabit.

Satu lagi isu perkauman yang dijaja Umno adalah dakwaan kononnya kerajaan negeri pimpinan DAP bertindak merobohkan perkampungan Melayu di Pulau Pinang untuk melaksanakan projek-projek pembangunan.

"Ini tidak benar. Sepanjang menjadi Ketua Menteri saya tidak pernah mengarahkan walaupun satu rumah Melayu pun dirobohkan," kata Guan Eng.

Apa yang berlaku sebenarnya melibatkan tanah-tanah milik persendirian yang diduduki penduduk yang kemudiannya hendak dimajukan syarikat swasta. Ini, katanya membabitkan perintah mahkamah dan kerajaan negeri pimpinannya tidak mempunyai kuasa untuk campur tangan.

Bagaimanapun kerajaan negeri, katanya berusaha berunding dengan syarikat pemaju. Dalam satu kes di Kampung Pokok Asam, kerajaan negeri telah meminta pemaju menangguhkan operasi merobohkan rumah penduduk selama tiga bulan bagi membolehkan langkah penyelesaian terbaik dicapai.

Kerajaan Pakatan Rakyat negeri juga, tegasnya berusaha sedaya mungkin untuk membantu penduduk yang terlibat dan ini tidak pernah dilakukan kerajaan BN negeri sebelum ini.

Perbualan terhenti ketika azan Maghrib kedengaran.

"Silalah dahulu, kamu berpuasa," kata seorang aktivis DAP kepada saya ketika melangkah ke meja buffet.

Ketika pengunjung beragama Islam mengambil hidangan untuk berbuka, para pemimpin dan aktivis DAP yang hadir tidak sama-sama menyesakkan meja buffet. Jelas mereka menghormati rakan-rakan media beragama Islam untuk berbuka puasa.

Ini jauh berbeza di beberapa hotel yang pernah saya hadiri untuk buffet Ramadan apabila para pengunjung bukan Islam turut sama berebut-rebut mendapatkan makanan. Sesetengahnya pula makan dan minum sebelum waktu berbuka.

Hairan juga bila mendengar khabar dari seorang tokoh agama pro-Umno kononnya pemimpin DAP tidak menghormati Islam.

Khatijah Kitchens tidaklah seluas restoran-restoran hotel-hotel besar di Kuala Lumpur, tetapi ia tetap diuruskan dengan baik. Makanan yang pelbagai bukan sahaja mencukupi untuk pelanggan yang melimpah ruah hingga ke luar, malah layanan para pekerjanya juga mesra.

Bagi mereka yang ingin menunaikan solat Maghrib, dua khemah sementara di pasang di belakang restoran.

Di akhir majlis berbuka puasa itu, Guan Eng selaku tuan rumah dijemput berucap. Tanpa menggunakan pembesar suara, pemimpin DAP itu berucap ringkas.

Dalam ucapannya, Guan Eng melahirkan rasa kesal dengan tindak-tanduk pemimpin Umno yang terus berbohong dan meniupkan isu agama dan perkauman bagi menyerang kerajaan negeri pimpinannya. Semua ini berlaku di bulan Ramadan yang mulia.

"Pemimpin Umno negeri juga menjadikan kehadiran saya dalam acara-acara agama sebagai isu," katanya.

Guan Eng mengakui tidak wajar hadir di majlis-majlis agama yang diadakan di masjid-masjid. Tetapi apa yang dikesali, kehadiran beliau dalam majlis penyampaian sumbangan Ihya Ramadan di luar kawasan masjid juga cuba dipolitikkan pemimpin Umno.

"Sumbangan diserahkan oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim (Ketua Pembangkang dan Ahli Parlimen Permatang Pauh), saya hanya mengiringi. Adakah itu juga salah?" soal beliau.


Menurutnya, sumbangan Ihya Ramadan itu pertama kali disalurkan kerajaan negeri dan tidak pernah diberikan oleh kerajaan BN negeri sebelumnya.

Pembohongan terbaru yang disebarkan Umno terhadap kerajaan Pakatan Rakyat negeri amat menyentuh sensitiviti agama.

(Lim Guan Eng memberikan ucapan ringkas selepas berbuka)

Pengerusi Perhubungan Umno negeri yang juga Menteri Pertahanan, Dato' Seri Ahmad Zahid Hamidi mendakwa kononnya kerajaan negeri mengarahkan nama Ketua Menteri dimasukkan dalam doa khutbah kedua Jumaat bagi menggantikan Yang di-Pertuan Agong.

"Ini tidak masuk akal. Saya bertanya Abdul Malik (Abul Hassan, Exco Agama negeri) adakah perkara itu benar-benar berlaku. Beliau menjawab ia sesuatu yang mustahil," ujarnya.

Berdasarkan siasatan awal, tidak terdapat sebuah masjid pun di Pulau Pinang berbuat demikian, katanya.

"Saya juga cuba menghubungi Dato' Ahmad Zahid untuk mendapat penjelasan tapi gagal," katanya.

Beliau berharap pemimpin Pusat itu lebih bertanggung jawab dalam mengeluarkan tuduhan apatah lagi di bulan Ramadan.

Kerajaan negeri pimpinannya sedia bertindak jika dakwaan itu benar.

Akhirnya Guan Eng mengingatkan tentang peri pentingnya media yang bebas dalam sebuah negara demokrasi. Sistem demokrasi yang diamalkan negara, jelasnya mempunyai tiga tunggak utama iaitu eksekutif, parlimen dan kehakiman. Tetapi ada kuasa keempat yang juga penting iaitu media.

Media ujarnya bertanggung jawab mewarnakan demokrasi dan media yang bebas dari kongkongan sesungguhnya penting bagi menghidupkan demokrasi yang sihat.

Sebaik sahaja Guan Eng tamat berucap, majlis dikejutkan pula dengan sapaan Dato' Khatijah Ibrahim yang tiba-tiba muncul memberikan ucapan ringkas. Beliau berterima kasih kepada hadirin kerana memilih Khatijah's Kitchen untuk berbuka puasa.

"Datanglah lagi di lain masa," katanya ceria.

Beliau turut memohon izin untuk bergambar dengan Guan Eng sebagai kenang-kenangan. Dan permintaan itu ditunaikan Guan Eng selepas doa dibacakan wartawan Harakahdaily, Dzulfikar Mashoor.

Umno Nafi Reka Cerita, Dakwa 6 Masjid Gugur Nama Agong : Isu Khutbah

KUALA LUMPUR, 22 Ogos — Umno Pulau Pinang mempertahankan pendirian mereka dengan menafikan dakwaan bahawa parti itu sengaja mencipta isu kononnya nama Ketua Menteri Lim Guan Eng digunakan dalam khutbah untuk menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Sebaliknya, Umno Pulau Pinang mempertahankan bahawa perkara itu benar-benar berlaku di beberapa masjid, sejak awal tahun ini.

Ketika menjelaskan kepada The Malaysian Insider, Timbalan Pengerusi Umno Pulau Pinang Datuk Zainal Abidin Osman menamakan enam masjid yang menurut parti itu telah menggunakan nama sama ada “Ketua Menteri ataupun Lim Guan Eng” dalam khutbah, yang dikesan sejak Februari lalu.

Masjid-masjid itu ialah Masjid Jalan Baru di Seberang Prai Tengah didakwa menyebut nama Guan Eng pada 13 Ogos lalu, Masjid Padang Menora, Seberang Prai Utara (25 Jun), Masjid Pengkalan Tambang Permatang Pasir (sekitar Mei), Masjid Jamek Jelutong, George Town (sekitar April) dan Masjid Permatang Binjai Kepala Batas (26 Februari).

“Dan, semalam (kelmarin), nama Lim Guan Eng disebutkan lagi di Masjid Kubang Buaya, Butterworth oleh imam Ustaz Zakaria Ahmad... terus digunakan walaupun ada laporan media mengenai isu ini,” kata beliau.

“(Oleh itu) ini bukan satu isu yang dibuat-buat (oleh Umno), ia sebenarnya berlaku,” kata Zainal Abidin yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno.

Zainal Abidin memberitahu pandangan Penasihat DAP Lim Kit Siang dan Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim mengatakan bahawa Umno dan Utusan Malaysia sengaja mereka cerita dan mewujudkan sentiment perkauman terhadap kerajaan negeri diterajui Guan Eng.

“Tidak baik bagi Lim Kit Siang untuk mengatakan kami yang sengaja mengadakan perkara ini,” katanya.

“Sekarang ada bukti, apa mereka hendak kata?” kata Zainal Abidin sambil meminta Kit Siang dan Anwar menarik balik kenyataan mereka.

Zainal Abidin pula mendakwa Anwar sengaja membuat fitnah terhadap Umno.

Dalam kenyataan kelmarin, Anwar menegaskan beliau mendapati tuduhan Pengerusi Umno Pulau Pinang Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid Khamis lalu tidak berasas kerana ada membaca teks khutbah yang diedarkan menerusi rakan-rakannya di Pulau Pinang.

“Kit Siang seharusnya menarik balik kenyataannya, ini sesuatu yang berlaku di akar umbi,” kata Zainal Abidin dengan menambah, amalan tidak menyebut nama Yang di-Pertuan Agong sebenarnya berlaku sejak sebelum pilihan raya umum Mac 2008.

“Sebelum pilihan raya umum 2008, beberapa masjid yang dikuasai PAS tidak menyebut nama Yang di-Pertuan Agong dan Yang Dipertua Negeri, tetapi selepas pilihan raya umum 2008 ia sudah jadi satu fenomena biasa di Pulau Pinang,” kata beliau lagi.

Oleh itu kata beliau, ia satu perkara jahat yang boleh memecahbelahkan masyarakat di negeri itu khususnya kalangan umat Islam.

“Kita seolah-olah tidak mengiktiraf kewujudan institusi diraja dan Yang di-Pertuan Agong. Ini sesuatu yang tidak baik,” kata Zainal Abidin lagi.

Ketika ditanya sama ada nama Ketua Menteri disebut dengan pengetahuan Guang Eng, Zainal berkata, beliau tidak pasti.

“Saya masih percaya... Umno berharap Majlis Agama Islam Negeri, segala arahan diputuskan oleh Yang Dipertua Majlis Agama Negeri, bukannya dipengaruhi atau dikawal secara langsung ataupun tidak langsung oleh Ketua Menteri Pulau Pinang,” katanya.

“Kami memandang berat... Majlis Agama Islam mesti kawal dan memastikan teks khutbah dibaca dengan penuh,” katanya lagi.

“Mereka seharusnya kawal sepenuhnya,” kata beliau sambil meminta agar mengetepikan apa yang telah berlaku sebelum ini dengan mematuhi keputusan yang diambil oleh Majlis Agama Islam Pulau Pinang.

Jawatankuasa Penulisan Khutbah dipengerusikan oleh Mufti Pulau Pinang Datuk Hassan Ahmad.

Ditanya kejadian tidak menyebut nama Yang di-Pertuan Agong wujud disebabkan tindakan khatib jemputan, Zainal menjelaskan, siapa yang hendak memberi khutbah tidak kisah tetapi mesti mendapat kelulusan Majlis Agama Islam Pulau Pinang untuk berbuat demikian.

Laporan Utusan Malaysia semalam memetik Imam Masjid Jamek Padang Menora, Ibrahim Ishak yang mengakui khatib ada menyebut nama Ketua Menteri dalam bacaan doa khutbah solat Jumaat baru-baru ini.

Bagaimanapun katanya, ia bermaksud semoga Allah membukakan hati Guan Eng untuk menerima Islam.

Ibrahim juga mengakui nama Yang di-Pertuan Agong tidak disebut dan beliau telah menegur khatib terbabit dan mengakui kesilapan yang dilakukannya.

Menurut Ibrahim, pada setiap bulan pihak masjid akan menjemput khatib luar untuk membacakan khutbah di majlis berkenaan.

Katanya, adalah perlu bagi khatib dan jemaah mendoakan pemimpin negara dalam setiap doa yang dibaca mereka.

“Saya amat kesal dengan apa yang berlaku dan kami akan buat siasatan siapa yang menyebarkan berita tak betul ini,” katanya lagi.

Sinar Harian pula memetik Ketua Umno Cawangan Jelutong Abu Kassim Ismail berkata, isu khutbah menyebut nama Guan Eng bukan baru tetapi berlaku kira-kira dua hingga tiga bulan lalu.

Katanya, khatib yang membaca khutbah jemputan kerana bukan yang biasa bertugas di masjid berkenaan.

Mengulas lanjut, Zainal berkata, khatib jemputan mesti mendapat kebenaran Majlis Agama Islam Negeri.

“Kalau tidak mendapat kebenaran, tidak boleh dibenarkan,” kata beliau sambil menegaskan, nama Ketua Menteri tidak wajar disebutkan sama sekali dalam khutbah untuk mengelakkan salah faham.

“Jangan gunakan untuk berdoa, kalau baik OK tetapi bagaimana jika digunakan doa dengan tidak niat, mahu mengkritik... ini sudah pasti akan menimbulkan rasa tidak senang.

“Jadi tidak mahu nama Ketua Menteri disebutkan dalam khutbah,” kata lagi.

Tidak Salah Kelantan Guna Mata Wang Syariah Dinar : Tengku Razaleigh

KUALA LUMPUR, 21 Ogos — Bekas Menteri Kewangan Tengku Razaleigh Hamzah menyokong langkah Kelantan yang memperkenalkan mata wang syariah dua minggu lalu sebagai kaedah tambahan pertukaran walaupun pusat menganggap ia bercanggah dengan undang-undang negara.

“Saya merasakan kerajaan negeri Kelantan yang percaya pada potensi (dina dan dirham) seharusnya bertindak (ke arah itu) dan berusaha agar ia dapat digunakan,” kata pemimpin veteran Umno ini.

Tengku Razaleigh (gambar) ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran Persatuan Anak Darul Naim Selangor dan Wilayah Persekutuan (Persada) di sini hari ini.

Sambil mengakui bahawa hanya Bank Negara yang boleh mengeluarkan mata wang sah tiada halangan bagi menggunakan dinar dan dirham sebagai saluran pertukaran tambahan.

Sambil menarik sekeping piring kecil ketika bercakap kepada pemberita, Ketua Umno Gua Musang ini menambah, “ini bermakna kita boleh menggunakan piring kecil ini dengan apa sahaja yang kita mahukan dengan syarat orang yang terlibat mahu menerima piring ini (sebagai nilai pertukaran).”

“Dinar dan dirham diperkenalkan oleh Kelantan... boleh diterima oleh semua, jika kita memilih untuk berbuat demikian,” katanya.

“Undang-undang menekankan bahawa hanya ringgit sahaja boleh digunakan untuk mengelakkan kekeliruan tetapi jika seseorang memutuskan untuk menerima dinar, itu adalah hak mereka,” katanya.

Tengku Razaleigh menambah beliau tidak melihat penggunaan dinar dan dirham sebagai sesuatu yang salah selagi mata wang syariah tidak menggantikan ringgit yang kini merupakan mata wang yang sah.

“Jika orang hendak menggunakan piring ini sebagai sumber (pertukaran) mereka boleh lakukan,” kata beliau sambil menambah, ia tidak boleh digunakan di peringkat nasional.

Pada 12 Ogos lalu, selepas empat tahun Dinar Kelantan dilancarkan, kerajaan negeri itu memperkenalkan mata wang syariah dinar emas dan dirham perak.

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata adalah menjadi hasratnya untuk melihat Kelantan mempelopori penggunaan mata wang syariah dalam semua urus niaga, termasuk membayar gaji kakitangan kerajaan negeri satu hari nanti.

Bagaimanapun, kata beliau masih banyak soal teknikal yang perlu diatasi oleh kerajaan negeri sebelum dapat melaksanakannya.

Dinar emas dan dirham itu dikendalikan oleh Kelantan Gold Trade (KGT) iaitu anak syarikat Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

Pada 2006 kerajaan negeri melancarkan Dinar Kelantan dalam tiga bentuk iaitu satu dinar penuh berukuran 23mm dengan berat 4.25 gram bernilai RM332.25.

Selain itu separuh dinar bersaiz 20mm (1.06 gram) bernilai RM176.76) dan suku dinar bersaiz 21mm (0.5 gram) bernilai RM99.38.

Dinar tersebut mendapat sambutan menggalakkan untuk simpanan nilai dan mas kahwin.

Nik Aziz yang juga Pengerusi PMBK berkata, sehingga ini lebih 1,000 peniaga bersetuju menggunakan emas dinar dan dirham sebagai mata wang alternatif untuk berurus niaga di premis mereka.

Selain itu, Tabung Haji dan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) bersetuju menjadi ejen dan menerima mata wang syariah itu untuk berurus niaga.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.