Pengerusi Felda Dah Terkena Tempias Anak

Yusuf (kiri) berkata Felda kian diserang kerana ia semakin berkembang. — gambar fail
KUALA TERENGGANU, 22 Ogos — Cubaan Pakatan Rakyat untuk masuk ke Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) adalah satu gangguan yang tidak diingini oleh warga komuniti itu, kata Pengerusinya Tan Sri Dr Mohd Yusof Nor.

Menurut beliau pihak-pihak terlibat sebenarnya mahu melihat peneroka dan pentadbiran dalam organisasi itu berpecah-belah untuk memudahkan mereka menyusup masuk.

“Mereka serang dan fitnah Felda kerana nampak Felda semakin berkembang, sebab itu mereka nak masuk dalam Felda,” katanya kepada pemberita di sini semalam selepas menyampaikan saguhati kepada 19 Pengerusi Masjid dalam Rancangan Felda Terengganu dengan setiap seorang menerima sebanyak RM300.

Mengulas lanjut beliau berkata pihak pengurusan Felda tidak akan terikut-ikut dengan perkara itu sebaliknya akan terus memberi tumpuan kepada peningkatan prestasi Felda yang sebelum ini telah menerima pengiktirafan dunia.

“Peneroka terutamanya tidak perlu bimbang kerana Felda tidak terjejas dan tidak mengalami kekangan daripada segi kewangan. Pengurusan Felda adalah profesional,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Felda merancang membina masjid contoh seperti yang disarankan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini.

“Lokasinya akan ditetapkan kemudian, masjid ini bakal menjadi institusi penting dalam Felda. Kita sedang memperhalusi dari segi rekabentuk yang bersesuaian.

“Ia nanti bukan sahaja ada kemudahan beribadat tetapi juga kemudahan lain seperti tadika, klinik, perpustakaan dan sebagainya,” kata beliau.

Yusof berkata kos untuk masjid itu akan ditentukan kemudian.

“Satu jawatankuasa khas juga akan melihat kemungkinan ia dilaksanakan di 400 masjid yang sedia ada di kawasan-kawasan Felda seluruh negara kerana kita tidak boleh sewenang-wenangnya buat masjid di tapak baru,” katanya.

Masjid itu juga akan mengadakan program bersesuaian bagi menarik minat golongan muda dan juga kanak-kanak ke masjid, tambah beliau.

— Bernama

1 comments:

  1. pengerusi felda tu dah makan duit felda terlampau banyak dan terlampau lama. Elaun pengerusi felda makan tak habis dah, nafsu tamak ada didiri payah lah nak lepas. orang tua felda dok caya lagi kat dia tu.Teringat kisah lama waktu dia jadi menteri janji nak selesai masaalah kesatuan KPBS PTM, yang tak selesai masaalah skim perkhidmatan, janji nak selesai segera, lepas tu apa tu tak dak, hampeh. macam tu mulut menteri lidah bercabang. Apa pun selagi dia dok pegang felda kita sama-sama lihat, apa kesudahannya. sama-sama lah kita fikirkan.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.