TERKINI DARI SEDAKASEJAHTERA.COM

Bagaimana kalau Umno yang bagi RM4 juta - Husam


Harakahdaily


KOTA BHARU, 1 Mei: Exco kerajaan negeri Kelantan, Datuk Husam Musa memberikan andaian, duit RM4 juta yang dinyatakan diterima oleh seorang blogger, Kickdefella adalah datang dari Umno untuk menjatuh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau juga berkata, wang itu masih ada RM4 juta lagi untuk dibelanjakan untuk jatuhkan PM yang ada sekarang (Datuk Seri Najib Razak) yang juga ditaja oleh orang Umno yang tidak puas hati kerana Pak Lah dijatuhkan.

Husam, ahli politik yang menjadi pusat tumpuan dalam isu ini berkata demikian dalam tulisannya melalui blog beliau, cetusan-hati.blogspot.com.

"Apa kata kalau saya kata empat juta itu memang ada dan empat juta itu ditaja oleh kumpulan Umno tertentu? Mereka nak jatuhkan Pak Lah kerana mereka sama tak suka.

"Untuk jatuhkan PM sekarang pun dah ada empat juta lagi yang juga ditaja oleh orang Umno yang tak puas hati Pak Lah dijatuhkan.

"Lepas saya kata, nak tahu betul tak betul kena siasat tapi yang penting saya dah kata. Nasib elok keluar muka depan Utusan esok lusa, tenggelam cerita telaga minyak berharga tak kurang RM 340 billion yang hilang, gara-gara empat juta!" tulis Husam dalam blognya.

Husam tidak menamakan mana-mana pemimpin Umno tetapi beliau turut mengaitkan serangan Tun Dr Mahathir terhadap Tun Abdullah dalam tulisannya.

Husam dikaitkan dengan penulis blog, Syed Azidi atau nama penanya Kickdefella yang membuat pelbagai jenis tulisan terhadap kerajaan negeri Kelantan. Khamis lepas, akhbar Umno, Utusan Malaysia menjadikan tulisan beliau laporan muka depan akhbar itu.

Tulisan itu mendakwa, beliau diamanahkan wang sebanyak RM4 juta untuk menjalankan operasi gerak saraf untuk menjatuhkan bekas Perdana Menteri, Pak Lah.

Ini adalah tulisan pertama Husam mengulas tulisan Kickdefella selepas sekian lama menyepi dari mengulasnya. Kickdefella yang dikaitkan dengan Husam dipecat dari Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) ekoran pertelagahan beliau dengan CEOnya, Ariffahmi, yang juga menantu Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz.

Ulasan Husam yang berkata RM4 juta itu dari orang Umno serentak dengan tulisan Tun Dr Mahathir dalam blognya yang mempertikaikan tindakan kerajaan di bawah Tun Abdullah yang menyerahkan dua telaga minyak bernilai RM340 bilion kepada Brunei. Ia dibuat untuk memujuk Brunei melepaskan tuntutannya ke atas Limbang.

Serangan yang dibuat oleh Mahathir terhadap Abdullah bukan sekarang tetapi sejak beliau menjadi PM lagi sehinggalah beliau jatuh.

Dalam tulisan kali ini juga Husam menulis, betapa mudahnya untuk menjatuhkan seorang PM jika hanya memerlukan RM4 juta sahaja untuk berbuat demikian sebagaimana yang didakwa Kickdefella, beliau diamanahkan RM4 juta untuk jatuhkan Pak Lah dan terbukti lepas itu Pak Lah jatuh dan digantikan denga Najib.

"Kalau ada seorang blogger yang hebat dan kita ada RM4 juta, kita sudah boleh jatuhkan seorang PM - nampaknya kerja menjatuhkan PM tidaklah begitu sukar.

"Setengah orang mungkin kata 4 juta terlalu mahal dan setengah pula akan kata, kalau 4 juta PM boleh jatuh, ia cukup murah," tulis Husam dalam memulakan tulisannya ini.

Beliau berkata, ada orang berkata RM4 juta itu mahal dan ada pula berkata, RM4 juta untuk menjatuhkan seorang PM itu murah.

"PM macam Pak Lah, adakah perlu lagi belanja sebesar empat juta untuk burukkan dia? Rasanya tak payah. Imej buruknya jadi sendiri atas kelemahan kepimpinannya.

"Ada sesetengah blogger buat kerja itu percuma saja. Gambar Pak Lah terlentok tertidur dan segala macam kelemahan dia dah ada dalam beratus blog sejak lama. Ada blogger yang meng-kartunkan karakter Pak Lah dalam blog-blog mereka. Sejuta pun tak payah, usahkan empat juta, kerana rasanya blogger-blogger itu semua buat kerja itu sebagai tindakan spontan mereka saja atas kelemahan Pak Lah yang begitu ketara.

"Seorang petugas tegar Umno seperti Sang Kelembai melanyak Pak Lah dalam blognya lama sebelum adanya cerita orang tertentu dapat empat juta untuk burukkan sesiapa.

"Kalau ada orang habiskan wang empat juta nak burukkan lagi Pak Lah yang dah pun buruk, rugi sakan lah rasanya orang itu," tulis Husam.

Beliau juga memberikan hint dalam tulisannya dengan mengaitkan serangan Mahathir terhadap Pak Lah.

"Sehari dua ini,Tun M masih membantai Pak Lah atas tergadainya medan minyak kita di Sarawak kepada Brunei. Bekal Tun M tak sampai sepuluh duit pun. Dia hanya petik laporan The Edge dan Brunei Times online saja. Bukan susah nak burukkan Pak Lah hatta dia dah tak jadi PM tapi tinggalan-tinggalan keputusannya yang merugikan negara terbongkar satu lepas satu.

"Kalau nak jatuhkan Pak Lah sampai berbelanja empat juta, rasanya terlebih bayar.

"Kalau boleh jatuhkan PM sekarang dengan belanja empat juta, rasanya itu tak mahal dan mana-mana pihak boleh mencuba nasib mereka. Ini kira bagus dan murah.

"Jadi saya tak tau tulisan blogger yang dibesarkan oleh Utusan itu boleh untungkan sapa?" tulis Husam.

Menurut beliau, Umno Kelantan ada ulas, bagaimana besarnya belanja yang digunakan untuk tewaskan Umno Kelantan. Empat juta.

"Kalau dengan empat juta rancangan Datuk Mustapha tawan Kelantan boleh dikuburkan dan itu dianggap mahal, saya tak tau nak kata. Untuk menang Hulu Selangor saja Umno belanja entah berapa ratusan juta. Tapi untuk tewaskan Umno satu negeri, belanja empat juta dah cukup kira jimat dan hebat.

"Rupanya tak susah sangat nak tewaskan Umno Kelantan dan kalau dengan empat juta Umno satu-satu negeri boleh ditewaskan, mana yang berminat boleh buka tabung untuk cukupkan empat juta satu negeri cuba tewaskan baki Umno seluruh Malaysia. Rasanya Umno akan kecut," tulis beliau lagi.

Bagi beliau, cerita yang dibuat akhbar Umno itu umpama cerita kek dan gandum. Gandumnya hanya sedikit tetapi selepas dimasukkan serbuk penaik ia meenjadi besar dan indah dilihat.

"Kadang-kadang kita boleh jadi tukang kek. Gandumnya tak sampai secawan tapi kalau kena campur dengan serbuk penaik, sebiji kek yang besar boleh kita buat. Campur pula majerin sama telur. Tengok kemahiran kita. Asalnya gandum secawan saja," tulis beliau.


Kickdefella (gambar) dalam tulisan terbarunya telah mengulas tulisan Husam ini dengan bertanya, "Adakah penulis cuba memberitahu bahawa RM4 juta itu adalah untuk membeli gandum, serbuk penaik, majerin dan telor? Kalau benar bererti penulis tahulah pasal RM4 juta itu. Adakah penulis tahu dari mana RM4 juta itu datang? Terserahlah kepada beliau untuk menjawabnya.

"Saya berhasrat untuk menulis berhubung dengan sumber datangnya separuh dari jumlah duit itu dengan tujuan memberi ruang pernafasan kepada penulis, terutama setelah saya dipanggil oleh SPRM, tetapi nampaknya penulis telah terlebih dahulu tercerut saraf lawannya dalam kancah politik Kelantan."

Husam dalam tulisannya juga juga mengulas, setahu beliau, gerak saraf tak burukkan orang. Itu perang saraf. "Gerak saraf ajak orang sokong kita atas kebaikan kita," katanya. Di sinilah, beliau mendakwa, Umno yang bayar RM4 juta itu dengan kenyataan:

"Apa kata kalau saya kata empat juta itu memang ada dan empat juta itu ditaja oleh kumpulan Umno tertentu? Mereka nak jatuhkan Pak Lah kerana mereka sama tak suka.

"Untuk jatuhkan PM sekarang pun dah ada empat juta lagi yang juga ditaja oleh orang Umno yang tak puas hati Pak Lah dijatuhkan.

"Lepas saya kata, nak tahu betul tak betul kena siasat tapi yang penting saya dah kata. Nasib elok keluar muka depan Utusan esok lusa, tenggelam cerita telaga minyak berharga tak kurang RM 340 billion yang hilang, gara-gara empat juta!" tulisnya.

Bagi beliau, cerita RM4 juta ini bertujuan untuk menutup kehilangan wang dari penyerahan dua telaga minya kepada Brunei itu.

"Empat juta kalahkan 340 billion..... Ini pun mungkin masuk dalam kategori saraf juga, samada gerak atau perang atau saraf mana satu, saya tak berapa tau kerana cabang saraf ada bermacam-macam...

"Maknanya, nak kata tak lah payah. Lepas itu kita minta lah mana badan yang patut siasat, menyiasat," katanya lagi.

Laporan Polis DPPP berkaitan Ugut Bunuh Tok Guru Nik Aziz Oleh PEMUDA UMNO di Balai Polis Chow Kit


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS hari ini membuat laporan polis berhubung kenyataan ugutan bunuh yang dipaparkan dalam sebuah laman web sosial milik seorang lelaki terhadap Mursyidul Am parti itu, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Laporan polis itu dibuat oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Nasrudin Hassan At-Tantawi di Balai Polis Chow Kit selepas membaca mengenai ugutan bunuh itu di laman Facebook lelaki berkenaan, Khamis lepas.

"Saya menyedari mengenai ugutan terbabit, selepas membaca komen seorang lelaki menggunakan nama Mohd Safuan Mohd Hilmi, yang ditulis pada malam Khamis lepas.

"Dalam laman webnya lelaki itu dikatakan sanggup dihukum gantung jika dapat membunuh Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan," katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan balai polis itu.

Beliau berkata PAS menganggap ancaman bunuh dalam laman sosial itu sebagai perkara yang sangat serius kerana ia membabitkan soal keselamatan dan secara tidak langsung memberi ancaman terhadap Nik Abdul Aziz.

"Sehubungan itu, kami menggesa pihak polis mengambil tindakan segera bagi menyiasat perkara ini agar dapat mengekang budaya mengugut dan mengancam keselamatan orang lain daripada berleluasa di negara ini.

"Semalam, saya juga ada memeriksa akaun terbabit namun ia tidak lagi aktif," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohd Zulkarnain Abdul Rahman ketika ditemui Bernama mengesahkan menerima laporan itu.

"Kita akan siasat dan akan menggunakan pelbagai kaedah dan cara bagi mengesan individu yang menyiarkan ugutan bunuh terbabit," katanya.

Zulkarnain berkata kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah. - BERNAMA

Nizar: BN menggunakan dana awam dalam bentuk hadiah pilihan raya


Pakatan Rakyat perlu masuk ke setiap pelosok kampung sekiranya mahu cita-citanya menuju ke Putrajaya pada pilihan raya umum ke-13 nanti menjadi kenyataan.

Bekas menteri besar Perak Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin berkata, BN berjaya mendapatkan sokongan Orang Asli, orang Melayu di kampung-kampung - termasuk peneroka Felda, pekerja estet India - lebih 53 tahun dengan mengawal dan memanipulasi media arus perdana.

Strategi ini dilhat berjaya dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor, di mana Nizar menuduh BN terlibat dalam politik wang dan taktik mengancam bagi memastikan kemenangan calon mereka P Kamalanathan.

"BN menggunakan dana awam dalam bentuk hadiah pilihan raya dalam setiap pilihan raya kecil di negara ini.

"Dan mereka rasis apabila berhadapan dengan pengundi dan apabila menyifatkan ucapan saya di Hulu Selangor sebagai hasutan," katanya.

Kerajaan Selangor hulur bantuan guaman pada Azlan : Mangsa Tembakan

(Gambar: Azlan menceritakan detik cemas beliau terkena tembakan rambang polis pada 16 April tahun lalu kepada Dr Halimah.)


Ismail Hashim
KLANG, 1 Mei: Mangsa tembakan rambang polis pada 16 April 2009, Shahril Azlan Ahmad Kamil mendapat berita gembira bila mana Kerajaan Selangor bersetuju menghulurkan bantuan guaman terhadap isu dirinya.

Keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri kelmarin itu disampaikan sendiri oleh Exco Kerajaan Selangor, Dr Halimah Ali kepada Shahril Azlan yang menemui beliau di Pejabat Dun Selat Klang, dekat sini petang semalam.

Dr Halimah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan negeri berkata, kerajaan negeri memandang berat kejadian yang berlaku kepada Azlan yang mengakibatkan kecederaan teruk.

“Kerajaan negeri memandang berat dengan apa yang berlaku tentang tembakan rambang ini termasuk yang menimpa pelajar Aminulrasyid Amzah, 15, yang meninggal akibat ditembak polis minggu lepas dan Shahril Azlan setahun lalu.

“Bantuan ini meliputi penyiasatan di mana silapnya dan kesan kejadian yang menurut laporan doktor menyatakan berlaku pendarahan besar dalam dada kiri dan terdapat peluru di tulang 8 dan seterusnya membawa isu ini ke peringkat Parlimen Malaysia,” tegas Dr Halimah.

Lebih lanjut, beliau meminta pihak polis mengkaji semula tahap kebolehgunaan senjata oleh pelatih polis yang muda dan baru tamat latihan kerana difahamkan dalam dua kejadian tersebut melibatkan anggota usia muda.

Ekoran kejadian malang yang menimpa Azlan menyebabkan paru-parunya bocor di mana sebutir peluru masih berada di tulang belakangnya, beliau sehingga kini masih dirundung trauma, sukar tidur malam, tidak boleh bernafas secara normal.

Selain itu, beliau juga sering batuk-batuk dan tidak boleh memandu jauh serta perlu mendapatkan rawatan susulan dan bekalan urat saraf dan tahan sakit.

Shahril Azlan, 25, ditembak di bahu kiri sehingga tembus ke paru-paru dan menerobos ke tulang belakang ketika berhenti 100 meter sebelum sekatan jalan raya yang diadakan di simpang Seksyen 7, Shah Alam kerana keretanya tidak mempunyai cukai jalan.

Tiba-tiba, katanya, datang tiga anggota polis berpakaian biasa dengan memegang kayu tanpa sebarang komunikasi jelas terus menembak badannya dan lebih malang, beliau dibiarkan sekitar dua jam di situ sementara ambulans datang.

Baru-baru ini, selepas mendapat berita tentang kematian pelajar Aminulrasyid yang mengalami peristiwa serupa seperti dirinya, Azlan terus menghubungi suami Dr Halimah, Dr Ahmad yang pernah melihat sejarah kejadian itu sebelum ini.

Beliau berkata, dengan perkembangan ini, jiwanya semakin bertambah kuat untuk ketengahkan kejadian yang menimpa dirinya setelah setahun berlalu tanpa sebarang pembelaan dari mana-mana pihak.

“Saya selama ini terasa lemah untuk ‘berlawan’ kerana siapa kita untuk memfailkan saman dan seumpamanya kepada pihak berkaitan termasuk mengalami masalah kewangan, jadi dengan kesudian kerajaan negeri ini, saya sangat bersyukur.

“Ucapan penghargaan setingginya dari saya dan keluarga kepada Kerajaan Selangor, kepada Exco dan semua yang mengambil berat termasuk kawan-kawan terhadap kejadian yang berlaku ke atas saya ini,” tegasnya.

KSM: Tuntutan Gaji Minumum Sedang dikaji.. Entah Sampai Bila...


Kementerian Sumber Manusia sedang melaksanakan kajian untuk menetapkan kadar gaji minimum pekerja terutama di sektor industri yang dilihat masih terlalu rendah.

Menterinya Datuk Dr S Subramaniam berkata kajian terperinci dari pelbagai aspek diperlukan kerana cadangan itu akan menimbulkan implikasi yang besar apabila dilaksanakan kelak.

"Kajian dibuat dalam semua aspek untuk menentukan gaji yang munasabah kepada pekerja-pekerja ini. Setakat ini kerajaan tidak menetapkan had masa untuk kajian itu dan bila masa perlaksanaannya," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Pekerja Sektor Awam 2010 anjuran Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) di Stadium Negeri Kuala Terengganu, hari ini.

Sambutan yang bertemakan '1Malaysia Kebajikan Cemerlang Negara Terbilang' turut dihadiri Presiden Cuepacs, Omar Osman.

Subramaniam berkata kajian yang dibuat kementerian itu hujung tahun lalu mendapati gaji pekerja sektor elektronik, tekstil, plastik dan pembuatan perabut hanya sekitar RM550 hingga RM600 sebulan, meletakkan pekerja sektor berkenaan dalam keadaan sukar.

"Sama ada gaji minima itu dilaksanakan mengikut zon atau mengikut sektor umpamanya, ia akan ditentukan kemudian," katanya.

Pada masa yang sama, katanya,pihaknya juga akan menstruktur semula kokurikulum, kursus dan latihan institusi kemahiran supaya ia dapat diselaras dengan pelaksanaan Model Ekonomi Baru (MEB).

"Kemahiran dan pendidikan setiap pekerja sektor awam atau juga swasta perlu ditingkatkan dalam usaha kerajaan untuk memastikan MEB tercapai," katanya.

Mengulas mengenai sambutan Hari Pekerja, beliau berkata pekerja perlu lebih berinovasi dan kreatif dalam menjayakan proses transformasi negara.

Kerajaan juga menghargai kematangan pemimpin Cuepacs kerana memahami kekangan dihadapi kerajaan terutamanya faktor kelembapan ekonomi negara dengan tidak terlalu menekan kerajaan dalam membuat tuntutan, katanya.

- Bernama

Hari Buruh: Dataran Merdeka Dikepung Polis - Enam ditahan polis


Pihak polis sejak awal pagi mengepung Dataran Merdeka - tempat acara bagi meraikan hari buruh sedunia dan membantah cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Pada jam 11 pagi, kira-kira 500 penunjuk perasaan berkumpul di luar bangunan Majlis Peguam Malaysia, kira-kira sebatu daripada Dataran Merdeka - tempat acara utama selalu dijalankan.

Penyelaran program S Arutchelvan dan Adun Kota Damansara Dr Nasir Hashim - kedua-duanya daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) - pada mulanya cuba berbincang dengan pihak polis supaya membenarkan kumpulan tersebut berkumpul.

Bagaimanapun, polis memberikan lima minit kepada penunjuk perasaan untuk bersurai. Lima trak polis kelihatan berada di tempat kejadian, tetapi meriam air tidak kelihatan.

Selepas lima minit, dipimpin kedua-dua pemimpin PSM, kumpulan tersebut - termasuk anak kecil - bergerak beramai-ramai daripada Dataran Merdeka ke arah Jalan Petaling dengan perasaan kecewa.

Kumpulan yang riuh itu kemudiannya melencong ke Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) dan menjadikan bangunan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sebagai tujuan akhir mereka.

Kira-kira sepuluh minit berarak, enam penunjuk perasaan ditahan polis, dipercaya kerana membawa kain rentang membantah cukai baru GST.

Kumpulan penunjuk perasaan itu - kebanyakannya memakai kemeja-t merah - berjalan melalui Jalan Petaling sehingga menarik perhatian peniaga dan pelancong di kawasan tersebut.

Mereka melaungkan slogan "Bantah, bantah, GST", "Hidup, hidup, rakyat" "Gaji, gaji minima" (minimum wage).

Turut hadir enam pemerhati daripada Majlis Peguam Malaysia.

Setibanya di tempat letak kereta KLSCH, penganjur memimpin kumpulan tersebut ke bangunan LHDN yang terletak tidak jauh daripada dewan itu.

[Berita penuh menyusul]

Pengawal peribadi pemangku Raja Kelantan ditembak

KOTA BHARU 1 Mei - Seorang pengawal peribadi kepada pemangku Raja Kelantan, Tengku Mohamad Faris Petra cedera parah ditembak di dada semasa berada di Palekpang pada pukul 12.25 tengah malam tadi.

Beliau kini sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II bagaimanapun dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Difahamkan pengawal peribadi tersebut adalah pesara tentera yang dilantik secara kontrak dan dalam perjalanan pulang ke rumahnya dari Kota Bharu ke Tumpat.

Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad ketika dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan kejadian tersebut. - Utusan

Tun M Kata Tun A Serah 2 Blok Minyak Kepada Brunei

Dr M: Pak Lah serah 'blok minyak RM320b' pada Brunei

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa penggantinya, Tun Abdullah Ahmad Badawi telah menyerahkan kepada Brunei dua blok pengeluaran minyak luar pantai, sebelum bersara awal tahun lalu.

Menurutnya, perkara itu dilaporkan oleh The Edge Financial Daily (22 April) dan Brunei Times di mana kawasan yang kaya simpanan minyak di Laut Cina Selatan - Block L dan Block M - tidak lagi menjadi sebahagian daripada Malaysia.

Menulis dalam blognya, Dr Mahathir mendakwa jumlah kerugian dalam bentuk perolehan berjumlah AS$100 bilion (RM320 bilion).

Menurutnya, Abdullah telah menyerahkan 'Blok L' dan Blok M' di Laut Cina Selatan, dikatakan sebagai pertukaran dengan Brunei supaya menggugurkan tuntutannya terhadap Limbang, Sarawak.

"Blok L dan Blok M dituntut oleh Malaysia berdasarkan kepada fakta sejarah. Menurutnya, Petronas menandatangani kotrak perkongsian pengeluaran dengan Murphy Oil (Corp) untuk memulakan pengeluaran minyak.Simpanan minyak di kawasan itu adalah hampir 1 bilion tong.

"Abdullah berunding dengan sultan (Brunei) untuk mengambil Limbang di Sarawak. Sebagai balasannya, beliau bersetuju untuk menyerahkan dua blog tersebut kepada Brunei.

"Tidak ada wakil Petronas yang hadir, hanya kakitangan pejabat luar dan pnasihat halehwal luar kepada PM," dakwa Mahathir.

Ini penjelasan Pak Lah...

Mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi menolak dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad yang beliau telah 'menyerahkan' 'dua kawasan yang kaya minyak' kepada Brunei.Dalam kenyataannya lewat petang ini, Abdullah berkata sumber di 'blok L dan M' di Laut China Selatan yang dirujuk oleh Dr Mahathir, kini dikongsi bersama oleh Malaysia dan Brunei di bawah perjanjian wilayah dan komersil yang ditandatangani pada 16 Mac tahun lalu.

Walaupun blok L dan M kini berada di bawah kedaulatan Brunei, tetapi katanya, Malaysia akan dibenarkan mengambil bahagian dalam usaha bersama untuk memajukan pengeluaran minyak dan gas di situ untuk tempoh 40 tahun.

Menurut Abdullah, ia bertujuan untuk menyelesaikan isu sempadan antara kedua negara.


Laporan Utusan Malaysia Hari ini

Blok L, M bukan lagi milik Petronas

KUALA LUMPUR 1 Mei – Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) hari ini mengesahkan kontrak perkongsian pengeluaran yang melibatkan Blok L dan Blok M yang dianugerahkan kepada Petronas Carigali Sdn. Bhd. dan Murphy Sabah Oil Co. Ltd telah dibatalkan pada 7 April lalu.

Pembatalan kontrak menerusi Surat Pertukaran yang bertarikh 16 Mac 2009 itu berikutan kedua-dua blok itu bukan lagi sebahagian dari Malaysia.

Blok L dan Blok M itu telah ditandakan semula sebagai CA1 dan CA2.

``Petronas juga mahu menjelaskan bahawa syarikat ini telah dijemput oleh Brunei untuk terlibat dalam membangunkan CA1 dan CA2 berdasarkan perjanjian komersial,’’ katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. - Utusan

Siling DUN Pulau Pinang Runtuh - Tiada Kecederaan Dilaporkan


Siling di bahagian galeri Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang runtuh semalam menjelang persidangan Dewan yang akan bermula Isnin ini.

Menurut Speaker Datuk Abdul Halim Hussain, kira-kira 70 peratus siling di ruang tempat duduk media, pemerhati dan penulis hansard dilaporkan runtuh kira-kira 3.30 petang tadi.

"Ketika kejadian, terdapat dua hingga tiga kakitangan berada di dalam bangunan. Bagaimanapun mereka tidak mengalamai sebarang kecederaan," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) telah diarahkan untuk menyiasat kejadian.

Abdul Halim berkata runtuhan itu tidak akan menjejaskan persidangan nanti.

"Pihak kami juga sedia dengan alternatif lain termasuk kemungkinan memindahkan lokasi persidangan ke tempat lain seperti Dewan Sri Pinang, Dewan Universiti Sains Malaysia dan Dewan Majlis Perbandaran Seberang Perai," katanya.

Semasa ditinjau, pekerja JKR sudah memulakan kerja baik pulih dengan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob dan beberapa pegawai polis turut mengunjungi bangunan berkenaan.

Pada 23 Julai 2008, plaster siling sepanjang empat meter di bahagian tengah lobi bangunan itu turut dilaporkan jatuh dan hampir menimpa orang ramai yang sedang berada di situ.

- Bernama

Kempen “Kenali Pemimpin Anda” Oleh Zaid Ibrahim


Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa, Prof fesor Dr. Aziz Bari mengalu-alukan kempen “Kenali Pemimpin Anda” sebagai selaras dengan pendemokrasian politik negara.

Ketika diminta mengulas hasrat bekas Menteri Undang-Undang Datuk Zaid Ibrahim melancarkan kempen ini, Aziz Bari berkata ia memberdayakan rakyat dengan pengetahuan tentang pemimpin mereka, lantas membuka perspektif baru ketika membuang undi di masa pilihanraya nanti.

“ Mudah sahaja, ini negara demokrasi, ia berhubung ketelusan dan siapa hendak jadi pemimpin perlulah dikenali. Perlu diketahui semua kehidupan mereka, tidak ada yang peribadi. Kalau pemimpin itu maknanya, orang yang menjadi tumpuan, semuanya akan menjadi harta rakyat, semudah itulah" katanya kepada Tv Selangor.

Tambah Aziz, apa yang lebih mustahak, seseorang yang bergelar pemimpin itu harus menerima hakikat bahawa sebagai seorang yang dikenali ramai, setiap tingkah laku dan perbuatan mereka akan menjadi perhatian awam.

“ Tidak ada benda lagi yang peribadi, tidak ada lagi benda yang kena sembunyi. Maknanya kalau anda anda hendak jadi pemipim anda kena sanggup diteliti oleh rakyat. Itu sahaja. Tidak kiralah Raja ke, siapa ke? Hakim ke, pegawai tinggi kerajaan ke? Tidak ada rahsia lagi" tambah beliau.

Mantan Menteri Undang-undang, Zaid Ibrahim dalam sidang media di kediamannya baru-baru ini berkata, sekiranya pilihanraya kecil Hulu Selangor memberi kesempatan kepada rakyat untuk lebih mengenali beliau, maka rakyat juga harus mengenali pemimpin-pemimpin lain di negara ini.

Hajat Minum Kopi Bersama Suami Tidak Kesampaian


ALOR SETAR- Hajat untuk menikmati minum petang bersama suami tidak kesampaian apabila seorang wanita maut dirempuh lori membawa pasir dan batu ketika hendak melintas jalan selepas pulang dari kedai berhampiran rumahnya, di Kampung Tanjung :Bendahara di sini, lewat petang kelmarin.

Mangsa, Hasnah Shaari, 58, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di beberapa bahagian badannya.

Cucu, Che Yum Tahar, 46, berkata, sebelum kejadian datuknya, Saad Morad, 84, memberi wang RM3 kepada mangsa pergi ke kedai untuk membeli rokok daun dan dua bungkus kopi ‘O’ untuk juadah minum petang.

Menurutnya, datuknya tidak pergi sendiri ke kedai kerana kebetulan menghadapi masalah pendengaran dan sakit kaki.

“Nenek pergi membeli semua barang yang diminta datuk malah dalam perjalanan pulang, dia sempat mengambil buah mangga dalam bungkusan yang diberikan jiran sekampung sebelum berhenti di tepi jalan untuk melintas pulang ke rumah,” katanya.

Mangsa mendirikan rumah tangga bersama Saad lebih setahun lalu selepas kematian isteri Saad dan tidak dikurniakan anak.

Saksi kejadian, Elias Ramli, 30, yang juga anak saudara mangsa berkata, masa kejadian dia ternampak ibu saudaranya dirempuh sebuah lori membawa muatan pasir dan batu selepas kenderaan itu cuba mengelak daripada melanggar sebuah motosikal dari arah bertentangan di selekoh tajam itu.

Menurutnya, dalam sekelip mata lori itu hilang kawalan lalu merempuh ibu saudaranya yang berada di tepi jalan yang ketika itu masih menunggu masa untuk melintas pulang ke rumah.

“Selekoh ini memang bahaya dan beberapa kali berlaku kemalangan yang meragut nyawa, dan penduduk kesal kerana permintaan supaya pihak berkuasa meletakkan papan tanda amaran berhati-hati ketika melalui jalan itu tidak mendapat maklum balas.

“Saya harap selepas ini pihak berkuasa dapat bertindak segera kerana ia penting bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya dan penduduk sekitar,” katanya.

Sementara itu, Ketua Trafik Kota Setar, Deputi Superintendan Mohd Sham Abdullah berkata, pemandu lori itu kini ditahan untuk membantu siasatan selain lori yang dipandunya juga ditahan dan dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk pemeriksaan bagi mengenal pasti punca kemalangan.

“Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sinar Harian
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Murah Giler: Sapa Nak Order Klik Image

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.