KSM: Tuntutan Gaji Minumum Sedang dikaji.. Entah Sampai Bila...


Kementerian Sumber Manusia sedang melaksanakan kajian untuk menetapkan kadar gaji minimum pekerja terutama di sektor industri yang dilihat masih terlalu rendah.

Menterinya Datuk Dr S Subramaniam berkata kajian terperinci dari pelbagai aspek diperlukan kerana cadangan itu akan menimbulkan implikasi yang besar apabila dilaksanakan kelak.

"Kajian dibuat dalam semua aspek untuk menentukan gaji yang munasabah kepada pekerja-pekerja ini. Setakat ini kerajaan tidak menetapkan had masa untuk kajian itu dan bila masa perlaksanaannya," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Pekerja Sektor Awam 2010 anjuran Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) di Stadium Negeri Kuala Terengganu, hari ini.

Sambutan yang bertemakan '1Malaysia Kebajikan Cemerlang Negara Terbilang' turut dihadiri Presiden Cuepacs, Omar Osman.

Subramaniam berkata kajian yang dibuat kementerian itu hujung tahun lalu mendapati gaji pekerja sektor elektronik, tekstil, plastik dan pembuatan perabut hanya sekitar RM550 hingga RM600 sebulan, meletakkan pekerja sektor berkenaan dalam keadaan sukar.

"Sama ada gaji minima itu dilaksanakan mengikut zon atau mengikut sektor umpamanya, ia akan ditentukan kemudian," katanya.

Pada masa yang sama, katanya,pihaknya juga akan menstruktur semula kokurikulum, kursus dan latihan institusi kemahiran supaya ia dapat diselaras dengan pelaksanaan Model Ekonomi Baru (MEB).

"Kemahiran dan pendidikan setiap pekerja sektor awam atau juga swasta perlu ditingkatkan dalam usaha kerajaan untuk memastikan MEB tercapai," katanya.

Mengulas mengenai sambutan Hari Pekerja, beliau berkata pekerja perlu lebih berinovasi dan kreatif dalam menjayakan proses transformasi negara.

Kerajaan juga menghargai kematangan pemimpin Cuepacs kerana memahami kekangan dihadapi kerajaan terutamanya faktor kelembapan ekonomi negara dengan tidak terlalu menekan kerajaan dalam membuat tuntutan, katanya.

- Bernama

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.