Hakim Tak Benarkan SPR Adakan Mesyuarat Bincang Status Kekosongan DUN Pelabuhan Klang


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilarang mengadakan mesyuarat bagi membincangkan status ADUN Pelabuhan Klang Badrul Hisham Abdullah sehingga 17 Feb ini.

Perintah itu dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi hari ini selepas membenarkan permohonan Badrul Hisham untuk mendapatkan injunksi interim terhadap SPR, sementara menunggu saman pemulanya bagi satu deklarasi bahawa beliau masih ADUN kawasan berkenaan didengar.

NONEHakim Datuk Zaleha Yusof membuat keputusan itu dalam kamarnya selepas mendengar hujah Peguam Kanan Persekutuan Datuk Kamaludin Md Said yang mewakili SPR dan peguam Datuk Mohd Hafarizam (kanan) Harun untuk Badrul Hisham (kiri).

Badrul Hisham memfailkan permohonan pada 28 Jan lalu bagi menghalang SPR daripada mengadakan pilihan raya kecil di kawasan berkenaan, atau mengisytiharkan bahawa kerusi DUN Pelabuhan Klang kosong.

Sebelum itu, pada 24 Jan, Badrul Hisham memfailkan saman pemula untuk mendapatkan pengisytiharkan mahkamah bahawa beliau masih ADUN Pelabuhan Klang dan berhak menghadiri persidangan DUN Selangor.

NONEBeliau juga meminta mahkamah mengisytiharkan keputusan speaker DUN Selangor Datuk Teng Chang Khim pada 19 Jan lepas sebagai tidak sah dan batal kerana ia melangkaui perlembagaan Selangor.

Teng mengisytiharkan kerusi DUN Pelabuhan Klang kosong atas alasan Badrul Hisham tidak menghadiri persidangan DUN Selangor selama enam bulan tanpa sebarang sebab munasabah.

Badrul Hisham yang memenangi kerusi berkenaan atas tiket PKR pada pilihan raya umum 2008, meninggalkan parti itu pada Oktober 2009 untuk menjadi ADUN Bebas yang mesra BN.

Beliau menyertai Umno pada Mei tahun lalu.

- Bernama

Calon PRK DUN Merlimau Ditandingi PAS - Keputusan Muafakat & Sebulat Suara

KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat sebulat suara meletakkan calon daripada parti PAS bagi menghadapi pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, Melaka yang akan diadakan pada 6 Mac depan.

Keputusan itu diumumkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di ibu pejabat parti DAP di sini, sebentar tadi. Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) sebelum ini mengumumkan tarikh penaman calon adalah 26 Februari ini.
Sementara itu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata PAS akan bermesyuarat pada 13 Februari ini bagi membincangkan calon yang akan diketengahkan Pakatan Rakyat bagi DUN Merlimau.

Jom Tengok Arahan2 MB Selangor Kepada SUK Yang Baru

Tan Sri Khalid Ibrahim akhirnya mengadakan pertemuan sulung dengan Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri yang baru Datuk Khusrin Munawi di pejabatnya di Shah Alam pada jam 5 petang tadi.

Bagaimanapun, menurut kenyataan daripada Pejabat Menteri Besar sebentar tadi, kerajaan negeri masih berpendirian bahawa Sultan Selangor dan menteri besar seharusnya berperanan dalam pelantikan SUK.

NONE"...pertemuan ini diadakan demi memastikan keperluan rakyat Selangor diutamakan dan pentadbiran negeri terus berjalan dengan lancar," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, dalam pertemuan tersebut, Khalid juga mengarahkan Khusrin memberi keutamaan kepada hartanah milik kerajaan Selangor.

"Seterusnya, menteri besar mengarahkan Khusrin menyediakan laporan dari semasa ke semasa kepada kerajaan negeri mengenai maklumat terkini hartanah milik kerajaan Selangor, demi mengenal pasti nilai tanah yang terbiar dan bermasalah," kata kenyataan itu.

Arahan lain Khalid kepada Khusrin:
  • Menteri besar memberitahu Khusrin bahawa beliau perlu bekerjasama dengan pegawai daerah dan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan hartanah milikan Kerajaan Selangor ini dijaga dengan baik.
  • Khalid menyarankan supaya Khusrin mengadakan perjumpaan atau dialog dengan penduduk setinggan yang mendiami tanah milik kerajaan Selangor dan mencari jalan penyelesaian yang terbaik.
  • Khusrin diminta meneruskan usaha-usaha Selangor menangani masalah kecurian pasir yang boleh menggangu pendapatan kerajaan negeri.
Kenyataan itu bagaimanapun tidak menyebut langsung sama ada Khalid membenarkan Khusrin mengangkat sumpah simpan rahsia di hadapannya bagi membolehkan SUK yang dilantik secara kontroversi itu menghadiri meyuarat exco dan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor.

Langsung Dari Mahkamah: ADUN Sri Muda Tidak Mengaku Salah Atas Dakwaan Hasutan

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda, Shuhaimi Shafiei bercakap kepada media selepas memberi keterangan berhubung satu entri dalam blognya pada 12 Januari. — Foto Bernama

SHAH ALAM, 7 Feb — Adun Sri Muda dari PKR Shuhaimi Shafiei mengaku tidak bersalah atas tuduhan hasutan yang dibawa terhadapnya pagi ini. Wakil rakyat penggal pertama itu dikenakan tuduhan di bawah Akta Hasutan 1948 berhubung kenyataannya menyentuh kemelut pelantikan setiausaha kerajaan negeri Selangor menerusi blognya pada 30 Disember lalu.

Jika sabit kesalahan, Shuhaimi, 42, berhadapan dengan hukuman penjara maksimum tiga tahun, denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Pelajar KUIN Cedera Dalam Kebakaran Akibat Litar Pintas


ALOR SETAR - Lima sahabat terpaksa menangguhkan sesi ulang kaji pelajaran mereka apabila tiga rumah termasuk rumah yang disewa di Blok C, Taman Wira Mergong terbakar dipercayai akibat litar pintas, malam kelmarin.

Pelajar Kolej Universiti Insaniah (Kuin), Mohd Khairun Nazwan Mohd Nasir, 20, berkata, sewaktu kejadian seorang lagi rakan mereka yang berada di ruang tamu rumah mengalami kecederaan di bahagian lengan.

Menurutnya, kejadian itu mula disedari apabila dia terlihat kepulan asap di bahagian bawah pintu bilik yang ditutup dan mereka segera menyelamatkan diri dengan keluar menggunakan pintu belakang.

“Saya cuba untuk memadamkan api dengan mengambil air namun tidak sempat apabila bekalan elektrik di rumah tiba-tiba terputus.

“Kejadian ini berlaku begitu pantas sehinggakan kami tidak sempat untuk menyelamatkan segala peralatan dan dokumen peribadi kerana masing-masing mahu menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui.

Pelajar semester empat jurusan Syariah itu berkata, kejadian itu juga menyebabkan lima daripada tujuh motosikal di rumah itu rentung gara-gara tidak sempat diselamatkan.

Syarifah Hasna Syed Kechik, 56, berkata, dia yang berada di rumah anaknya di Seremban menerima panggilan daripada jiran yang memaklumkan kebakaran yang berlaku kira-kira jam 9 malam.

Menurutnya, selepas mendapat panggilan dia segera pulang dan tiba di rumah kira-kira jam empat pagi semalam dan mendapati kebakaran itu telah memusnahkan bahagian hadapan dan dapur.

“Kebakaran yang berlaku ini turut menyebabkan kereta jenis Proton Saga Aeroback yang ditinggalkan di rumah terbakar.

“Saya tinggal di sini sejak 23 tahun yang lalu dan kini saya terpaksa menetap di rumah kakak yang tinggal di kawasan berhampiran,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Bata, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah ketika meninjau mangsa kebakaran berkata, bantuan berupa kewangan, makanan dan selimut turut disampaikan kepada mangsa.

Beliau berkata, bantuan yang disampaikan itu bertujuan meringankan beban mangsa yang terpaksa menumpang di rumah saudara terdekat.

“Kita juga berharap Kerajaan Negeri dapat segera membina rumah baru kepada mangsa supaya mereka dapat tinggal di rumah sendiri selepas menumpang di rumah saudara,” katanya selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa.

Sementara itu, Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Tun Razak, Md Nor Daud berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 9.52 malam dan menghnatar tiga jentera iaitu dua dari Jalan Tun Razak dan satu dari Jalan Raja dengan kekuatan 24 anggota.

Beliau berkata, anggotanya berjaya mengawal dan memadamkan kebakaran dalam tempoh 12 minit.

-Sinar Harian

Pasport Ada Cop Masuk Ke Gaza Adik Bekas Ketua Polis Negara Ditahan Bersama 4 Yang Lain di Mesir

KAHERAH: Naib Pengerusi Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Malaysia dan adik bekas Ketua Polis Negara adalah antara lima warga Malaysia yang mengalami situasi mencemaskan dua hari lepas apabila ditahan selama lima jam oleh anggota pasukan keselamatan Mesir yang bersenjatakan senapang AK-47.

Penahanan itu berlarutan sekian lama gara-gara ada pasport milik dua orang daripada mereka mempunyai cop visa memasuki Gaza, Palestin.

Akibat marah, seorang anggota keselamatan lantas meludah pasport milik bendahari Kelab Putra 1Malalysia Abdul Mutalif Abdul Rahim.

Datuk Bahari Abu Mansor dan Mohd Taha Hassan, adik kepada Tan Sri Musa Hassan, yang mengikuti rombongan Kelab Putra 1Malaysia ditahan kira-kira 20 anggota keselamatan ketika dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah ke Dewan Malaysia Abbasiah di sini untuk menghantar bekalan makanan.

Kejadian itu berlaku pada 7.00 malam waktu tempatan (1.00 pagi waktu Malaysia) di Tahrir Square, pada hari yang sama 12 wakil media, empat anggota Kelab Putra 1Malaysia dan seorang pegawai imigresen Malaysia ditahan sekumpulan pemuda di sekatan jalan raya.

Bahari berkata beliau bersama empat yang lain ditahan pihak keselamatan Mesir setelah melalui tiga sekatan jalan.

"Saya bersama dua anggota Kelab Putra 1Malaysia dan dua pelajar Malaysia yang menuntut di Mesir termasuk Mohd Taha ditahan setelah melalui sekatan jalan raya ketiga.

"Pada mulanya, tidak ada masalah melalui sekatan jalan raya di situ kerana Dewan Malaysia Abbasiah telah mengeluarkan surat menyatakan ini merupakan misi rasmi, namun kami akhirnya ditahan di sekatan ketiga oleh mereka yang berpakaian polis dan tentera," katanya kepada pemberita di sini, Ahad.

Bahari berkata pihak keselamatan itu menyoal pelbagai soalan kepada mereka sebelum dibawa ke balai polis berhampiran. Menurutnya pihak keselamatan itu memeriksa pasport mereka dan mendapati beliau pernah pergi sebanyak dua kali ke Gaza, Palestin.

"Mereka bertanya kenapa saya pergi ke Palestin, dan saya kata adalah untuk misi kemanusiaan...mereka berusaha mencari bukti lain, namun mereka akhirnya melepaskan kami setelah lima jam ditahan," katanya.

Abdul Mutalif berkata pasportnya telah diludah oleh pihak keselamatan Mesir ketika melihat pasportnya ada cop masuk ke Gaza. Sementara itu, Ketua Unit Media Kelab Putra 1Malaysia Mohd Khairul Rizzuan Abu Hassan berkata beliau diacukan dengan senapang jenis AK-47 ketika itu.

"Saya cukup takut...namun saya tidak mengambil apa-apa tindakan untuk melawan. Saya bersyukur akhirnya saya dibebaskan," katanya.-BERNAMA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.