Tian Chua Ziarah Keluarga Mohd Salleh (Mangsa Kemalangan)



SHAH ALAM 23 Mac - Ahli Parlimen Batu Tian Chua menziarahi keluarga Allahyarham Mohd Salleh Hamdan yang terbunuh dalam kemalangan yang membabitkan beliau dan Tian di Kilometer (KM) 49 Jalan Johor Baru-Mersing pada 12 Mac lalu.

Kejadian berlaku sekitar pukul 9.20 malam ketika Tian dalam perjalanan ke Mersing untuk menghadiri ceramah yang turut dihadiri Ketua Umum KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mohd Salleh, 23, seorang prebet di Kem Tentera Mersing yang menunggang motorsikal ketika kejadian meninggal dunia selepas dimasukkan ke Hospital Kota Tinggi, dua jam selepas kemalangan tersebut.

Kunjungan Tian semalam yang dituruti bersama Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Anuar Salleh serta pimpinan KEADILAN Johor dan Wilayah Persekutuan mengunjungi ayah mangsa, Hamdan Saim di Taman Putri, Kulaijaya.

Tian sekali melahirkan rasa kekesalan terhadap kemalangan tersebut dan berjanji untuk membantu keluarga Allahyarham untuk menuntut insuran dari pihak berkenaan.

Pada perjumpaan itu Tian Chua juga menyampaikan salam takziah daripada Datuk Seri Anwar, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail dan seluruh pimpinan KEADILAN.

Beliau juga menyampaikan sumbangan daripada parti kepada Hamdan pada pertemuan itu yang berlangsung dalam suasana penuh kemesraan.

Ketua Angkatan Muda KEADILAN Johor Zabidie Abas berkata kunjungan Tian dan pimpinan parti menyanggah tohmahan media milik Umno yang sebelum ini memburuk-burukkan Tian.

"Kedatangan kami amat dialu-alukan keluarga mangsa malah disambut dengan penuh rasa muhibbah. Kami rasa hairan mengapa Tian diserang walhal bukan beliau yang memandu kenbderaan semasa kemalangan. Ini hanya permainan politik kotor Umno yang mahu mengaitkan Ahli Parlimen KEADILAN kepada satu persepsi negatif," kata Zabidie.

Sebelum itu Tian telah pergi ke Balai Polis Kota Tinggi sekali lagi untuk mengetahui perkembangan lanjut hasil siasatan polis terhadap kemalangan tersebut tetapi diberitahu kes masih dalam siasatan.

Celaka : Pagar Dah Mula Makan Padi


Awang Selamat marah benar. Kepada orang Melayu yang tidak mahu bersekongkol dengan Ibrahim Ali dan Mahathir Mohamad dalam mesyuarat agung pertama Perkasa pada Sabtu ini, Awang yang kerdil itu berkata: “Usahlah menjadi Melayu di tanah air ini, jika kita terlalu takut dan mengikut telunjuk pihak yang sedang pun menghakis kedudukan Melayu”. Kalaulah saya Sultan Selangor, tentu terguris hati saya dengan sindiran yang biadab dan bodoh ini.

Awang naik berang kerana menurutnya, Perkasa patut di sanjung dan disokong kerana begitu lantang mempertahankan kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu yang dikatakan sedang dihina. Yang anehnya sejak bila pula institusi Raja-Raja Melayu kita dihina? Saya belum terbaca atau mendengar mana-mana pihak yang mencabar institusi Raja. Kalau pun Karpal Singh itu dikatakan mencabarnya, bukankah kes itu belum lagi selesai? Itu pun kes perundangan. Kenapa Awang, Ibrahim Ali dan Mahathir tak sabar-sabar hinggakan perlu memanggil 10,000 orang Melayu berhimpun. Kalau setakat nak beri orang ramai makan percuma dalam dewan yang empok, 20,000 orang pun boleh dicari. Tetapi Melayu sekarang tidaklah sebodoh yang difikirkan oleh Awang. Lebih baik Awang bagi contoh-contoh siapa dan apa yang mencabar Raja-Raja kita? Saya sangka orang akhbar ini bijak dan pintar, dan kenyataan pun biasanya berasas dan ada minat ke arah mencari kebenaran. Itu sepatutnya menjadi kriteria utama wartawan cemerlang.

Awang juga mendakwa kepentingan Melayu diasak begitu hebat selepas pilihanraya umum 2008 dan hanya Perkasa yang mempertahankan hak orang Melayu. Wah! Bila UMNO dan Barisan Nasional hilang banyak kerusi, maka itu bererti menghina Melayu? Ini rupanya punca kemarahan Awang dan Utusan Malaysia. Sebenarnya, iyu bukan menghina Melayu, cuma rakyat membuat pilihan mengikut selera mereka. Takkanlah kalah sikit, sudah nak marah. Itu gila kuasa namanya. Bagaimana nak ada demokrasi macam itu. Awang perlu sedar banyak juga orang Melayu yang mengundi Pakatan Rakyat? Bukan setakat pilihanraya umum 2008, malah dalam banyak pilihanraya kecil selepas itu pun orang Melayu memilih Pakatan Rakyat. Malah lebih ramai yang mengundi Pakatan daripada UMNO. Jadi Melayu mana yang Awang wakili?

Untuk pengetahuan Awang, biarlah dijelaskan di sini bahawa yang menghakis kedudukan Melayu ialah golongan Melayu atasan UMNO kerana merekalah yang memerintah. Tak ada kumpulan lain pun yang mentadbir negara ini kecuali mereka, sejak merdeka dahulu. Jika Awang kata kedudukan Melayu terhakis, maka kumpulan Melayu atasan inilah yang bertanggungjawab sepenuhnya. Tapi Awang berani kutuk Pakatan saja. Awang kecut perut dan takut nak berdepan dengan “political masters” dia. Kalau benar anak jantan, tanyalah kepada orang seperti Mahathir Mohamad, Muhyuddin Yassin dan Najib Razak mengapa Melayu masih ketinggalan, mengapa tanah rezab Melayu makin berkurangan, mengapa jurang di antara Melayu kaya dan Melayu miskin bertambah besar? Salah siapa?

Masalah Melayu dan bumiputra bukan kerana Melayu/ bumiputra tidak ada hak atau keistimewaan Melayu dicabar. Soal hak tak timbul. Masalah sebenar ialah orang Melayu selama ini telah mengharapkan pagar tapi pagar itu pula yang telah makan padi. Sampai hari ini pagar itu masih tak berhenti-henti makan padi milik orang Melayu. Itulah punca kemunduran Melayu sabenar. Tak kan lah ini pun tak faham.

http://myzaidibrahim.wordpress.com/

************************************************************************************ Petikan Utusan Malaysia

Perkasa, Ibrahim dan kedudukan Melayu
Majlis perasmian mesyuarat agung pertama Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang dijadualkan pada 27 Mac ini, tiba-tiba menjadi isu. Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Shah yang pada mulanya bersetuju untuk merasmikan mesyuarat tersebut, telah membatalkan hasrat baginda. Menurut kenyataan Istana Selangor, pembatalan tersebut bagi mengelak kontroversi dan manipulasi pihak tertentu. Perkembangan tersebut membuatkan Perkasa terutama Presidennya, Ibrahim Ali tersentak. Lebih menimbulkan rasa tidak senang Perkasa ialah laporan akhbar The Sun yang mendakwa Sultan Selangor telah menasihati Perkasa agar mengurangkan sikap ultra-Melayu. Dalam reaksinya, Ibrahim menafikan Sultan Selangor ada menyebut hal itu dalam pertemuan dengan baginda. Awang bersimpati dengan apa yang menimpa Perkasa. Kelantangannya memperjuangkan kepentingan Islam dan Melayu di bawah kerangka perlembagaan negara, mendapat tentangan daripada banyak pihak khususnya bukan Melayu. Pihak-pihak berkenaan dengan disokong secara halus oleh gerakan pembangkang memainkan sentimen kononnya Perkasa ultra-Melayu, rasis, cauvinis dan pelbagai label lagi. Malah dalam blog pemimpin DAP dan portal berita Malaysiakini, ada tulisan yang menyifatkan Perkasa sebagai kelahiran semula syaitan. Strategi mereka adalah untuk melemahkan Perkasa, yang kini mendapat sokongan meluas masyarakat Melayu. Sememangnya ada golongan yang tidak mahu NGO Melayu yang menjadi sekuat Perkasa. Pada mereka, tidak mengapa jika NGO bukan Melayu hebat tetapi NGO Melayu mesti lemah. Jika NGO bukan Melayu menjadi begitu berpengaruh dan rasis, itu adalah hal biasa yang menjadi tuntutan. Anehnya Perkasa yang baru setahun jagung usianya sudah dilihat sebagai ancaman. Awang ingin bertanya kepada semua, siapakah paling lantang dan ke hadapan mempertahankan kedaulatan institusi raja Melayu ketika dihina, jika bukan Perkasa. Di mana suara NGO bukan Melayu dan tauke-tauke kaya raya ketika Raja-Raja Melayu dicabar? Ketika ramai tunduk tidak yakin, siapakah yang tanpa gentar dan secara konsisten mempertahankan kepentingan Melayu sewaktu diasak pelbagai pihak selepas Pilihan Raya Umum ke-12, jika bukan Perkasa. Siapakah yang menjunjung martabat Islam daripada penghinaan banyak penjuru jika bukan Perkasa, beberapa NGO Islam serta Melayu yang lain. Siapakah yang menjadi perisai mempertahankan perlembagaan daripada dicabar dan ditulis semula, kalau bukan NGO seperti Perkasa. Ternyata Perkasa di bawah kepimpinan Ibrahim mencetuskan keyakinan baru di kalangan orang Melayu. Janganlah lupa jasa Perkasa. Usahlah terjebak dengan muslihat pihak yang mahu menggugat pertubuhan itu atas motif yang sebenarnya mudah difahami. Sesungguhnya Awang amat bersyukur dan berterima kasih kerana Perkasa dan beberapa NGO Melayu lain telah membantu menyelamatkan tunjang politik Melayu di negara ini daripada runtuh hasil satu konspirasi besar kesan pilihan raya umum lalu, yang hampir mencapai kemuncaknya. Itu yang menjadikan Perkasa amat istimewa. Maka majlis pada 27 Mac ini akan tetap bermakna buat orang Melayu. Lebih-lebih lagi kehadiran negarawan, Dr. Mahathir Mohamad yang akan merasmikannya menggantikan Sultan Selangor. Lebih 10,000 dijangka menghadiri majlis tersebut yang akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra dalam acara yang penuh istiadat Melayu. Sebagai tanda penghargaan atas pengorbanan Perkasa, Awang yang sekadar insan kerdil, membatalkan acara lain yang telah Awang beri komitmen lebih awal, semata-mata untuk hadir pada majlis Perkasa nanti biar sekalipun berdiri di luar dewan. Kalau Mahathir sanggup pulang awal dari misi lawatan ke luar negara hanya untuk bersama-sama Perkasa, mengapa tidak kita. Usahlah menjadi Melayu di tanah air ini, jika kita terlalu takut dan mengikut telunjuk pihak yang sedangpun menghakis kedudukan Melayu. Awang bukan jenis itu.

Betul Ka... Hubungan Hisham-Musa 'TEGANG'



Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyifatkan dakwaan kononnya hubungan beliau dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan sebagai tegang adalah tidak berasas langsung.

Sambil menyifatkan dakwaan itu sebagai "bersifat nakal", beliau berkata, ia adalah cubaan golongan yang tidak bertanggungjawab untuk melaga-lagakan pemimpin negara.

"Sekiranya sesuatu itu diulang beberapa kali, dan jika tidak ditangani, akhirnya masyarakat di luar sana akan mempercayainya.

"Oleh kerana perkara itu telah dibangkitkan di Parlimen pagi tadi, hari ini kami bertiga hadir untuk membuktikan apa yang digembar-gemburkan oleh mereka itu tidak berasas langsung," katanya pada satu sidang media yang turut dihadiri Musa dan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.

Beliau mengulas dakwaan kononnya hubungannya dengan Musa tidak baik akibat kenyataan Musa pada Ahad lalu bahawa ada pihak “ketiga” yang memberi tekanan kepada pasukan polis kebelakangan ini.

Hishammuddin berkata, beliau berasa sedih dengan dakwaan itu pada ketika maklumat balas daripada orang ramai terhadap pasukan polis pada masa ini adalah memberangsangkan kerana indeks jenayah telah menunjukkan penurunan.

Di lobi Parlimen kemudian, beliau turut menafikan tuduhan itu.

Sementara itu, Musa berkata, isu itu timbul berikutan laporan akhbar berbahasa Cina, China Press, baru-baru ini kononnya beliau telah menyerahkan surat meletak jawatan.

"Apabila pihak media jumpa saya dan bertanya mengenainya, saya jawab ia bukan daripada sumber rasmi.

"Jadi, jika tidak daripada sumber rasmi, maka ianya tidak betul. Saya beranggapan bahawa jika perkara ini boleh dijadikan bahan spekulasi dan ianya datang dari sumber bawah tanah, maka pasukan polis akan jadi kelam kabut.

"Maka, saya memetik Seksyen 4 Akta Polis, bahawa pentadbiran polis adalah di bawah kuasa dan kawalan Ketua Polis Negara dan juga pegawai-pegawainya.

"Jadi, janganlah ada pihak ketiga yang cuba membuat spekulasi mengenai perkara ini. Itu yang saya jelaskan," katanya.

Katanya, hubungan beliau dengan Hishammuddin adalah baik.

- Bernama

Royalti: Teliti Dokumen Wang Ehsan Parlimen Minta Seminggu


KUALA LUMPUR: Parlimen hari ini meminta tempoh seminggu untuk meneliti segala dokumen dan fakta yang dikemukakan seorang ahli Parlimen pembangkang mengenai wang ehsan yang perlu dibayar kepada rakyat Kelantan.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata beliau mahu melihat dulu dokumen tersebut kerana kurang jelas terhadap isu yang dibawa pembangkang.

"Saya tidak mahu memanjangkan cerita ini, saya kurang jelas soal latar belakang, saya belum lihat semua dokumen, saya minta beri peluang saya satu minggu untuk melihat semua dokumen ini," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini. Selepas selesai sesi soal jawab di Parlimen, Salahuddin Ayub (Pas-Kubang Kerian) membawa usul yang mendakwa bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membuat penyelewengan di dalam dewan mengenai isu wang ehsan.

Beliau berkata, penyelewengan itu berlaku ketika Najib menjawab soalan beliau pada 4 November 2009 mengenai bila tuntutan royalti minyak rakyat Kelantan akan dibuat oleh Petronas.

"Pada ketika itu, Perdana Menteri telah menjawab di dalam dewan yang mulia ini dengan mengatakan bahawa Kelantan termasuk Terengganu yang kawasan minyaknya terletak di luar pantai atau offshore tidak layak mendapat bayaran royalti dan dengan itu beliau menyatakan bahawa meskipun peruntukan itu jelas, kerajaan persekutuan telah memperuntukkan wang ehsan ke Terengganu dengan mengambil kira pengeluaran petroleum yang terletak di luar negeri tersebut," katanya.

Salahuddin berkata, jawapan Perdana Menteri itu dilihat bertentangan dengan kandungan sepucuk surat yang dikeluarkan oleh Petronas pada 16 September 1978 yang dialamatkan kepada Datuk Setiawangsa Pegawai Kewangan Negeri, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu mengenai anggaran pembayaran royalti minyak petroleum.
"Adakah jawapan yang diberikan Perdana Menteri dalam dewan yang mulia ini yang mengatakan itu adalah wang ehsan sama sekali bertentangan dengan surat yang dialamatkan dan dihantar Petronas yang jelas menunjukkan fakta wang itu dibayar dengan wang royalti bukannya wang ehsan," katanya.

Justeru, beliau memberi tempoh seminggu untuk Perdana Menteri membuat penjelasan berhubung perkara tersebut. - Bernama

YB KALABAKAN HENTAM ZAHRAIN AL-KATAKI


3.36pm: Sidang Dewan Rakyat digemparkan dengan riuh rendah apabila YB Ghafur Salleh menghentam YB Bayan Baru. Beliau meminta YB Bayan Baru memohon maaf secara terbuka.
Beliau menggelar YB Bayan Baru sebagai ular yang sudah kenyang dan makin gemuk.

Semasa perbahasan beliau turut diganggu oleh YB Pasir Salak, namun beliau mematahkan hujah dengan mudah.

Beliau juga meminta Berita Harian, TV 1, TV3 memberi liputan sepenuhnya ucapan beliau sama seperti yang diperolehi oleh YB Bayan Baru.

Beliau juga menyelar tindakan TNB Sabah membeli generator Secondhand untuk masyarakat Sabah. Padahal Perdana Menteri
telah memberi peruntukkan. Beliau minta kementerian berkenaan membeli generator elektrik yang baru, jika tidak dia akan menjerit lagi pada sidang yang akan datang.

Beliau turut menyentuh tentang jenayah di Sabah begitu besar.

HUKUM: Analisa Tarikh Lahir Tahu Masa Depan

SOALAN

Assalamualaikum, ustaz...... apakah hukum amalan menggunakan nombor-nombor pada tarikh lahir untuk tujuan mentafsir dan menganalisis kehidupan seseorg individu contohnya dapat mengetahui status kewangan, keharmonian keluarga, masalah bakal dihadapi dalam tahun-tahun yang dianalisis. Harap sangat dapat sertakan nas-nas naqli utk menangani isu ini. Wassalam terima kasih.

JAWAPAN
Perlu difahami bahawa, isu yang berkaitan dengan perkara ghaib seperti mengetahui perihal sejarah silam, ramalan bala, ramalan perkara yang akan datang seperti yang disebut dalam soalan di atas, mengetahui sesuatu tentang makhlus halus dan yang seumpama dengannya adalah satu keyakinan yang mesti di sumberkan kepada tiga sumber sahaja. Iaitu :-

a) Al-Quran

b) Hadith Sohih dan Hasan

c) Fitrah kejadian alam (sunnatullah)

Tanpa ketiga-tiga ini, kepercayaan tadi dengan mudah boleh membawa kepada gejala tilikan dan ramalan ghaib yang tidak diizinkan oleh Allah SWT dan RasulNya sebagainya firmanNya di dalam surah al-Naml ayat 65 : ertinya :

قُل لَّا يَعْلَمُ مَن فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ الْغَيْبَ إِلَّا اللَّهُ

Ertinya : " Katakan (wahai Muhammad kepada umatmu) tiada sesiapa di atas muka bumi atau di langit mengetahui perkara ghaib kecuali Allah SWT" .
SUNNATULLAH ( HUKUM ALAM) BOLEH DIPERCAYAI

Maksudnya adalah mempercayai sesuatu yang mempunyai ciri ghaib seperti meyakini esok akan berlaku hujan berdasarkan sunnatullah iaitu dilihat dari satelit maka di dapati kumpulan awan tebal di atas Malaysia. Ia adalah bentuk ramalan yang didasari oleh sunnatullah atau fitrah alam yang diharuskan.

Alah SWT menyatakan : Ertinya : "Andaikata kebenaran itu mengikuti hawa nafsu mereka, niscaya akan rusaklah langit dan bumi serta seluruh makhluk yang ada di dalamnya." (al-Mu'minun: 71)

Inilah yang perlu dimaklumi, bahwa alam ini dikendalikan dengan undang-undang dan hukum yang tetap, tidak pernah berubah dan berganti, sebagaimana telah dinyatakan oleh al-Quran dalam beberapa ayat, antara lain sebagai berikut:

Firman Allah ertinya : "Kamu tidak akan menjumpai sunnatullah itu berganti." (Fathir: 43)

Hasil dari kepercayaan ghaib tanpa didasari oleh tiga asas tadi, maka ramailah di kalangan umat Islam yang dihinggapi virus kerosakan aqidah.

Idea tilikan dan pengiraan tarikh lahir untuk mnegetahui hal yang akan datang termasuk status kewangan, keharmonian rumah tangga dan sebagai amat bercanggah dengan hukum Islam. Malah jika ingin digunakan hujah ‘sunnatullah' atau tajribah (percubaan dan analisa) pun ia tidak boleh sama sekali. Ini kerana analisa yang boleh diterima hanya analisa yang boleh dibuktikan melalui bukti-bukti saintifik dan fizikal, seperti ramalan cuaca melalui info lengkap dari kedudukan awan dan angin melalui alatan canggih moden dan visual dari satellite.

Begitu juga khasiat kayu-kayu tertentu untuk mengubati penyakit, menghalau binatang tertentu dan sebagainya. Ia juga bersifat fizikal iaitu kepada kayu tersebut dan bauan atau warnanya.

Namun kombinasi tarikh lahir dan kiraan matematik yang didakwa boleh mengetahui kejadian yang akan datang, masalah yang bakal menimpa, jodoh, sakit dan sihat, akan jadi kaya atau terus miskin dan yang sempamanya BUKAN dari sesuatu bersifat fizikal, tidak juga bersamaan dengan contoh yang kayu dan ramalan cuaca tadi. Hal seumpama ini tidak boleh sama sekali diramal menggunakan tarikh lahir.

NABI PUN TIDAK MENGETAHUI YANG GHAIB
Nabi Muhammad s.a.w. datang dan dijumpainya di tengah-tengah masyarakat ada sekelompok manusia tukang dusta yang disebut kuhhan (dukun) dan arraf (tukang ramal). Mereka mengaku dapat mengetahui perkara-perkara ghaib baik untuk masa yang telah lalu mahupun yang akan datang, dengan jalan mengadakan hubungan dengan jin dan sebagainya.

Justeru itu Rasulullah s.a.w. kemudian mengishtiharkan perang dengan sebarang dakwaan dusta yang tidak berlandaskan ilmu, petunjuk mahupun dalil syara'.

Rasulullah membacakan kepada mereka wahyu Allah yang berbunyi:

"Katakanlah! Tidak ada yang dapat mengetahui perkara ghaib di langit dan di bumi melainkan Allah semesta." (an-Naml: 65)

Bukan Malaikat, bukan jin dan bukan manusia yang mengetahui perkara-perkara ghaib. Rasulullah juga menegaskan tentang dirinya dengan perintah Allah s.w.t. sebagai berikut:

"Kalau aku dapat mengetahui perkara ghaib, niscaya aku dapat memperoleh kekayaan yang banyak dan aku tidak akan ditimpa suatu musibah; tidak lain aku hanyalah seorang (Nabi) yang membawa khabar duka dan membawa khabar gembira untuk kaum yang mau beriman." (al-A'raf: 188)

Oleh kerana itu, barangsiapa mengaku dapat mengetahui perkara ghaib, termasuk perkara akan datang dan lain-lain, bererti dia mendustakan Allah, mendustakan kenyataan dan mendustakan manusia banyak.

JANGAN JADI BOMOH SECARA TIDAK RASMI
Sebahagian utusan pernah datang ke tempat Nabi, mereka menganggap bahwa Nabi adalah salah seorang yang mengaku dapat mengetahui perkara ghaib. Kemudian mereka menyembunyikan sesuatu di tangannya dan berkata kepada Nabi: Tahukah tuan apakah ini? Maka Nabi menjawab dengan tegas:

"Aku bukan seorang tukang tenung, sebab sesungguhnya tukang tenung dan pekerjaan tenung serta seluruh tukang tenung di neraka."

Inilah yang dilakukan oleh bomoh-bomoh rasmi dan tidak rasmi hari ini, meramalkan perkara ghaib seperti meramal dimana boleh dijumpakan orang hilang, dan meramal melalui tarikh lahir, jumlah huruf pada nama seseorang malah adakalanya menyalahgunaan nombor surah al-Quran untuk tujuan ramalan mereka.

Memang tabiat bomoh atau dukun akan mendakwa mengetahui perkara ghaib seperti berita tentang perkara-perkara akan datang. Biasanya dakwaan tersebut bersandarkan perkhabaran yang dibisikkan oleh jin yang mencuri dengar ucapan para malaikat. Lalu dicampur-baurkan ucapan itu dengan ratusan kebohongan. Kemudian manusia mempercayai ramalan bomoh tersebut.

Masyarakat awam sepatutnya berwaspada dalam hal ini sebab bomoh kadang-kadang menzahirkan dirinya sebagai tukang ubat, peramal, ustaz, wali yang mampu melakukan beberapa perkara luar biasa seperti kebal dan lain-lain padahal mereka sebenarnya bukan wali Allah tetapi wali syaitan yang hanya akan merosak akidah umat.

Rasulullah s.a.w. bersabda :

مَنْ أَتَى عَرَّافًا فَسَأَلَهُ عَنْ شَيْئٍ فَصَدَّقَهُ بِمَا يَقُولُ ، لَمْ تُقْبَلْ لَهُ صَلاَةٌ أَرْبَعِيْنَ يَوْمًا

Barangsiapa yang mendatangi bomoh untuk bertanya tentang sesuatu perkara lalu dia membinarkan apa yang bomoh itu katakan, maka tidak diterima solatnya selama empat puluh hari. ( Riwayat Muslim )

Rasulullah s.a.w. bersabda lagi :

مَنَ أَتَى كَاهِنًا فَصَدَّقَهُ بِمَا يَقُوْلُ فَقَدْ كَفَرَ بِمَا أُنْزِلَ عَلَى مُحَمَّدٍ (صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ )

Barangsiapa yang mendatangi bomoh lalu ia mempercayai apa yang bomoh itu katakan maka kafirlah ia terhadap apa yang Allah turunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. ( Riwayat Al-Bazzar dengan sanad yang kuat ; berkata al-Haithami perawinya shohih kecuali ‘Uqbah bin Sinan 5/117 ; Muntaqa , 2/791 )

Semoga semua kita terselamat dari kesesatan dan kebahayaan syirik. Perlu diingat, perkara syirik sebegini, sengaja melihat dan menganalisa untuk tujuan ‘suka-suka' juga diharamkan. Ia perlu dijauhi sejauh-jauhnya.

www.zaharuddin.net

BEKAS EXCO Kecewa Letak Jawatan - Pilihanraya Pulak Di Perlis


KANGAR: Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Md Isa Sabu sahkan terima surat perletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Titi Tinggi, Yip Sun Onn, jam 3 petang semalam.
Menurutnya, pihaknya sedang merayu Adun berkenaan supaya menarik semula hasrat itu dan yakin tiada pilihan raya kecil akan diadakan.

Beliau dikatakan bertindak demikian selepas digugurkan daripada Exco Perlis.

Nazri Arah Ahli Panel SPRM 'TUTUP MULUT'



Ahli panel Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak lagi dibenarkan menamakan individu yang bakal disiasat atau membuat kenyataan terbuka di media mengenai kes yang sedang disiasat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz.

Nazri (kiri) yang juga wakil Padang Rengas berkata ahli panel berkenaan tertakluk di bawah akta khas yang menghalang mereka daripada membuat kenyataan sebegitu, tanpa menamakan akta berkenaan.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada wakil Tebrau, Teng Boon Soon.

Teng berkata ada di kalangan anggota panel penasihat SPRM yang membuat kenyataan terbuka berkenaan kononnya terdapat orang-orang tertentu akan disiasat.

Dalam pada itu, Nazri turut mengambil peluang untuk memuji wakil Kepong Dr Tan Seng Giaw, yang juga seorang ahli panel SPRM kerana menggunakan saluran betul untuk mendapatkan maklumat seperti mengajukan soalan.

"Saya akan tulis surat untuk sokongan untuk beliau sebagai ahli panel SPRM," katanya sambil tersenyum.

Tan (kanan) merupakan seorang daripada tujuh orang ahli parlimen yang dilantik mewakili jawatankuasa khas SPRM.

Mengulas lanjut, Nazri berkata ahli panel berkenaan mempunyai struktur tanggungjawab dan peranan tertentu.

"Maksud saya bukan Kepong, malangnya mereka itu bukan SPRM dan dia tidak boleh keluarkan kenyataan si anu-anu itu sedang disiasat.

"Perkara ini kita maklumkan kepada SPRM supaya maklumkan kepada ahli panel mereka tidak boleh bertindak demikian," katanya lagi.

Tan sebelum itu meminta Nazri menjelaskan tempoh masa yang diperlukan untuk penyelesaian kes di mahkamah koroner seperti inkues yang dijalankan ke atas kematian Teoh Beng Hock.

Tan berkata keputusan kes seperti itu perlu diumumkan secepat mungkin kerana ia boleh menjejaskan tanggapan masyarakat ke atas SPRM.

Al-Fatihah: Bekas Menteri Pertanian Kembali Ke Rahmatullah



KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Pertanian Tan Sri Dr Sulaiman Daud meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 8.10 pagi ini setelah lama uzur.

Pengarah HKL Datuk Dr Zaininah Mohd Zain berkata jenazah dibawa balik ke kediaman Allahyarham di 61, Lorong Lai Tet Lok Satu Off Jalan Gurney di sini.

Allahyarham yang baru sahaja menyambut ulang tahun ke-77 pada 4 Mac lepas, meninggalkan empat anak, iaitu Mahathir, Norshida, Zelda Raha dan Azman.

Isteri Allahyarham, Puan Sri Naemah Hasbi meninggal dunia pada 26 Mac 2005 akibat barah paru-paru.

Sulaiman, yang merupakan bekas Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak dan bekas anggota Parlimen Petra Jaya, Sarawak, pernah menjawat pelbagai jawatan sebagai menteri di peringkat persekutuan, bermula dengan Menteri Wilayah Persekutuan pada 19 Mac 1981.

Selain itu, Allahyarham juga pernah memegang jawatan Menteri Pelajaran (1981-84 dan juga 1995-99), Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan (1984-86), Menteri Tanah dan Pembangunan Wilayah (1986-89), Menteri di Jabatan Perdana Menteri (1989-1990), Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (1990-1991) dan jawatan terakhirnya sebagai Menteri Pertanian (1995-1999).

Anak kelahiran Kuching, Sarawak yang berkelulusan ijazah kedoktoran pergigian dari University of Otago, New Zealand, pernah bertugas sebagai doktor gigi di kerajaan negeri Sarawak dan Jabatan Perubatan Brunei pada tahun 1960-an. - BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Murah Giler: Sapa Nak Order Klik Image

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.