Nazri Arah Ahli Panel SPRM 'TUTUP MULUT'



Ahli panel Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak lagi dibenarkan menamakan individu yang bakal disiasat atau membuat kenyataan terbuka di media mengenai kes yang sedang disiasat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz.

Nazri (kiri) yang juga wakil Padang Rengas berkata ahli panel berkenaan tertakluk di bawah akta khas yang menghalang mereka daripada membuat kenyataan sebegitu, tanpa menamakan akta berkenaan.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada wakil Tebrau, Teng Boon Soon.

Teng berkata ada di kalangan anggota panel penasihat SPRM yang membuat kenyataan terbuka berkenaan kononnya terdapat orang-orang tertentu akan disiasat.

Dalam pada itu, Nazri turut mengambil peluang untuk memuji wakil Kepong Dr Tan Seng Giaw, yang juga seorang ahli panel SPRM kerana menggunakan saluran betul untuk mendapatkan maklumat seperti mengajukan soalan.

"Saya akan tulis surat untuk sokongan untuk beliau sebagai ahli panel SPRM," katanya sambil tersenyum.

Tan (kanan) merupakan seorang daripada tujuh orang ahli parlimen yang dilantik mewakili jawatankuasa khas SPRM.

Mengulas lanjut, Nazri berkata ahli panel berkenaan mempunyai struktur tanggungjawab dan peranan tertentu.

"Maksud saya bukan Kepong, malangnya mereka itu bukan SPRM dan dia tidak boleh keluarkan kenyataan si anu-anu itu sedang disiasat.

"Perkara ini kita maklumkan kepada SPRM supaya maklumkan kepada ahli panel mereka tidak boleh bertindak demikian," katanya lagi.

Tan sebelum itu meminta Nazri menjelaskan tempoh masa yang diperlukan untuk penyelesaian kes di mahkamah koroner seperti inkues yang dijalankan ke atas kematian Teoh Beng Hock.

Tan berkata keputusan kes seperti itu perlu diumumkan secepat mungkin kerana ia boleh menjejaskan tanggapan masyarakat ke atas SPRM.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.