Celaka : Pagar Dah Mula Makan Padi


Awang Selamat marah benar. Kepada orang Melayu yang tidak mahu bersekongkol dengan Ibrahim Ali dan Mahathir Mohamad dalam mesyuarat agung pertama Perkasa pada Sabtu ini, Awang yang kerdil itu berkata: “Usahlah menjadi Melayu di tanah air ini, jika kita terlalu takut dan mengikut telunjuk pihak yang sedang pun menghakis kedudukan Melayu”. Kalaulah saya Sultan Selangor, tentu terguris hati saya dengan sindiran yang biadab dan bodoh ini.

Awang naik berang kerana menurutnya, Perkasa patut di sanjung dan disokong kerana begitu lantang mempertahankan kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu yang dikatakan sedang dihina. Yang anehnya sejak bila pula institusi Raja-Raja Melayu kita dihina? Saya belum terbaca atau mendengar mana-mana pihak yang mencabar institusi Raja. Kalau pun Karpal Singh itu dikatakan mencabarnya, bukankah kes itu belum lagi selesai? Itu pun kes perundangan. Kenapa Awang, Ibrahim Ali dan Mahathir tak sabar-sabar hinggakan perlu memanggil 10,000 orang Melayu berhimpun. Kalau setakat nak beri orang ramai makan percuma dalam dewan yang empok, 20,000 orang pun boleh dicari. Tetapi Melayu sekarang tidaklah sebodoh yang difikirkan oleh Awang. Lebih baik Awang bagi contoh-contoh siapa dan apa yang mencabar Raja-Raja kita? Saya sangka orang akhbar ini bijak dan pintar, dan kenyataan pun biasanya berasas dan ada minat ke arah mencari kebenaran. Itu sepatutnya menjadi kriteria utama wartawan cemerlang.

Awang juga mendakwa kepentingan Melayu diasak begitu hebat selepas pilihanraya umum 2008 dan hanya Perkasa yang mempertahankan hak orang Melayu. Wah! Bila UMNO dan Barisan Nasional hilang banyak kerusi, maka itu bererti menghina Melayu? Ini rupanya punca kemarahan Awang dan Utusan Malaysia. Sebenarnya, iyu bukan menghina Melayu, cuma rakyat membuat pilihan mengikut selera mereka. Takkanlah kalah sikit, sudah nak marah. Itu gila kuasa namanya. Bagaimana nak ada demokrasi macam itu. Awang perlu sedar banyak juga orang Melayu yang mengundi Pakatan Rakyat? Bukan setakat pilihanraya umum 2008, malah dalam banyak pilihanraya kecil selepas itu pun orang Melayu memilih Pakatan Rakyat. Malah lebih ramai yang mengundi Pakatan daripada UMNO. Jadi Melayu mana yang Awang wakili?

Untuk pengetahuan Awang, biarlah dijelaskan di sini bahawa yang menghakis kedudukan Melayu ialah golongan Melayu atasan UMNO kerana merekalah yang memerintah. Tak ada kumpulan lain pun yang mentadbir negara ini kecuali mereka, sejak merdeka dahulu. Jika Awang kata kedudukan Melayu terhakis, maka kumpulan Melayu atasan inilah yang bertanggungjawab sepenuhnya. Tapi Awang berani kutuk Pakatan saja. Awang kecut perut dan takut nak berdepan dengan “political masters” dia. Kalau benar anak jantan, tanyalah kepada orang seperti Mahathir Mohamad, Muhyuddin Yassin dan Najib Razak mengapa Melayu masih ketinggalan, mengapa tanah rezab Melayu makin berkurangan, mengapa jurang di antara Melayu kaya dan Melayu miskin bertambah besar? Salah siapa?

Masalah Melayu dan bumiputra bukan kerana Melayu/ bumiputra tidak ada hak atau keistimewaan Melayu dicabar. Soal hak tak timbul. Masalah sebenar ialah orang Melayu selama ini telah mengharapkan pagar tapi pagar itu pula yang telah makan padi. Sampai hari ini pagar itu masih tak berhenti-henti makan padi milik orang Melayu. Itulah punca kemunduran Melayu sabenar. Tak kan lah ini pun tak faham.

http://myzaidibrahim.wordpress.com/

************************************************************************************ Petikan Utusan Malaysia

Perkasa, Ibrahim dan kedudukan Melayu
Majlis perasmian mesyuarat agung pertama Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang dijadualkan pada 27 Mac ini, tiba-tiba menjadi isu. Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Shah yang pada mulanya bersetuju untuk merasmikan mesyuarat tersebut, telah membatalkan hasrat baginda. Menurut kenyataan Istana Selangor, pembatalan tersebut bagi mengelak kontroversi dan manipulasi pihak tertentu. Perkembangan tersebut membuatkan Perkasa terutama Presidennya, Ibrahim Ali tersentak. Lebih menimbulkan rasa tidak senang Perkasa ialah laporan akhbar The Sun yang mendakwa Sultan Selangor telah menasihati Perkasa agar mengurangkan sikap ultra-Melayu. Dalam reaksinya, Ibrahim menafikan Sultan Selangor ada menyebut hal itu dalam pertemuan dengan baginda. Awang bersimpati dengan apa yang menimpa Perkasa. Kelantangannya memperjuangkan kepentingan Islam dan Melayu di bawah kerangka perlembagaan negara, mendapat tentangan daripada banyak pihak khususnya bukan Melayu. Pihak-pihak berkenaan dengan disokong secara halus oleh gerakan pembangkang memainkan sentimen kononnya Perkasa ultra-Melayu, rasis, cauvinis dan pelbagai label lagi. Malah dalam blog pemimpin DAP dan portal berita Malaysiakini, ada tulisan yang menyifatkan Perkasa sebagai kelahiran semula syaitan. Strategi mereka adalah untuk melemahkan Perkasa, yang kini mendapat sokongan meluas masyarakat Melayu. Sememangnya ada golongan yang tidak mahu NGO Melayu yang menjadi sekuat Perkasa. Pada mereka, tidak mengapa jika NGO bukan Melayu hebat tetapi NGO Melayu mesti lemah. Jika NGO bukan Melayu menjadi begitu berpengaruh dan rasis, itu adalah hal biasa yang menjadi tuntutan. Anehnya Perkasa yang baru setahun jagung usianya sudah dilihat sebagai ancaman. Awang ingin bertanya kepada semua, siapakah paling lantang dan ke hadapan mempertahankan kedaulatan institusi raja Melayu ketika dihina, jika bukan Perkasa. Di mana suara NGO bukan Melayu dan tauke-tauke kaya raya ketika Raja-Raja Melayu dicabar? Ketika ramai tunduk tidak yakin, siapakah yang tanpa gentar dan secara konsisten mempertahankan kepentingan Melayu sewaktu diasak pelbagai pihak selepas Pilihan Raya Umum ke-12, jika bukan Perkasa. Siapakah yang menjunjung martabat Islam daripada penghinaan banyak penjuru jika bukan Perkasa, beberapa NGO Islam serta Melayu yang lain. Siapakah yang menjadi perisai mempertahankan perlembagaan daripada dicabar dan ditulis semula, kalau bukan NGO seperti Perkasa. Ternyata Perkasa di bawah kepimpinan Ibrahim mencetuskan keyakinan baru di kalangan orang Melayu. Janganlah lupa jasa Perkasa. Usahlah terjebak dengan muslihat pihak yang mahu menggugat pertubuhan itu atas motif yang sebenarnya mudah difahami. Sesungguhnya Awang amat bersyukur dan berterima kasih kerana Perkasa dan beberapa NGO Melayu lain telah membantu menyelamatkan tunjang politik Melayu di negara ini daripada runtuh hasil satu konspirasi besar kesan pilihan raya umum lalu, yang hampir mencapai kemuncaknya. Itu yang menjadikan Perkasa amat istimewa. Maka majlis pada 27 Mac ini akan tetap bermakna buat orang Melayu. Lebih-lebih lagi kehadiran negarawan, Dr. Mahathir Mohamad yang akan merasmikannya menggantikan Sultan Selangor. Lebih 10,000 dijangka menghadiri majlis tersebut yang akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra dalam acara yang penuh istiadat Melayu. Sebagai tanda penghargaan atas pengorbanan Perkasa, Awang yang sekadar insan kerdil, membatalkan acara lain yang telah Awang beri komitmen lebih awal, semata-mata untuk hadir pada majlis Perkasa nanti biar sekalipun berdiri di luar dewan. Kalau Mahathir sanggup pulang awal dari misi lawatan ke luar negara hanya untuk bersama-sama Perkasa, mengapa tidak kita. Usahlah menjadi Melayu di tanah air ini, jika kita terlalu takut dan mengikut telunjuk pihak yang sedangpun menghakis kedudukan Melayu. Awang bukan jenis itu.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.