Gambar2 Perkahwinan: Selamat Pengantin Baru Buat Aziz M. Osman, Beza Umur 27 Tahun Dengan Isteri

Aziz M. Osman dan Puteri Lily Lokman kini sah bergelar suami isteri. - Foto oleh RICKY LAI

KUALA LUMPUR: Dengan sekali lafaz, pengarah filem dan drama popular Aziz M. Osman, 48, kini sah bergelar suami kepada Puteri Lily Lokman, 21.

Aziz dinikahkan sendiri oleh bapa kepada pengantin perempuan yang juga aktivis teater, Lokman Ghani, 52, di hadapan Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Jabatan Agama Islam Wilayah (Jawi) Abdullah Hashim serta ahli keluarga dan kenalan.

Majlis akad nikah diadakan di Masjid Negara, di sini kira-kira pada pukul 10.10 pagi tadi.

Kekosongan hati Aziz selama hampir dua tahun kembali terisi dengan kehadiran Puteri Lily menjadi suri hatinya.

Pengantin perempuan menerima mas kahwin berjumlah RM1,000 beserta sembilan dulang hantaran termasuklah sejadah, Al-Quran, baju kemeja, tali pinggang, set minyak wangi jenama Bvlgari, coklat, sireh junjung dan sebentuk cincin.

Sementara pihak lelaki membalas tujuh dulang hantaran termasuk Al-Quran, sejadah, telekung, set alat solek, set minyak wangi Bvlgari dan sebentuk cincin.

Deretan dulang hantaran daripada kedua-dua belah pihak mempelai.

Kedua-dua mempelai kelihatan cukup berseri apabila mengenakan pakaian nikah berwarna kelabu rekaan butik De Casa Impiana.

Majlis resepsi Aziz dan Lily akan berlangsung pada malam ini di Restoran Seri Melayu, Jalan Conlay bermula pukul 8 malam ini.

Pernikahan Aziz dan Puteri Lily merupakan perkahwinan yang keempat selepas perkahwinannya terdahulu termasuk dengan aktres dan produser drama, Nur Aliah Lee.

Aziz mengucup dahi Puteri Lily selepas menyarungkan cincin di jari manis isterinya.

Sementara perkahwinannya dengan seorang ustazah, Nor Radhiah Ramli, 22, pada 16 Ogos 2008 dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah, Kuala Terengganu kerana wanita berkenaan masih dalam tempoh edah ketika majlis pernikahan dilakukan.

Hasil perkahwinannya yang lalu, Aziz dikurniakan enam cahaya mata iaitu Puteri Nurul Fatehah, 20, Puteri Nur Asyiqin, 15, Putera Mohd Aiman, 13, Puteri Nur Aisya, 9, Puteri Nur Ain, 7 dan Putera Mohd. Ameen, 5.


M-star

6 Sukarelawan Malaysia Dijangka Pulang Ke Tanah Air Pada 7 Petang Esok

PETALING JAYA: Enam sukarelawan Malaysia yang menaiki MV Rachel Corrie, kapal yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza yang dirampas Israel semalam dijangka pulang ke tanah air pada pukul 7 petang esok.

Ahli Parlimen Parit, Mohd Nizar Zakaria yang juga salah seorang daripada sukarelawan terbabit mengesahkan perkara itu kepada mStar Online ketika dihubungi di Amman, Jordan hari ini.

Menurut beliau, mereka kini ditempatkan di Hotel Crown Plaza di ibu kota negara itu.

“Kami semua dalam keadaan selamat dan sedang membuat persiapan untuk pulang ke Kuala Lumpur,” katanya.

Kesemua mereka telah dibebaskan di sempadan Israel-Jordan pada pukul 5.20 petang waktu Malaysia kini ditempatkan di hotel berkenaan yang disambut oleh Duta Malaysia ke Jordan, Datuk Abdul Malek Abdul Aziz.

Sementara itu, Abdul Malek berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan mengenai persiapan untuk membawa pulang kesemua sukarelawan itu ke Kuala Lumpur.

“Rakyat Malaysia serta ahli keluarga sukarelawan tidak perlu bimbang kerana mereka kini selamat di Amman dan usaha giat dijalankan untuk membawa mereka pulang,” katanya.

Selain Mohd Nizar, lima sukarelawan lain adalah anggota Pertubuhan Damai Perdana Global (PGPO), Shamsul Akmar Musa Kamal, Matthias Chang dan Ahmad Faizal Azumu, serta wartawan TV3, Halim Mohamed dan jurukameranya, Mohd Jufri Judin.

Almarhum Dato' Ust. Fadzil Noor Mempunyai Pemikiran dan Tindakan Bijak


KUALA LUMPUR: PAS merampas Kelantan dalam pilihanraya umum 1990 adalah hasil pemikiran dan tindakan bijak presidennya ketika itu, Datuk Fadzil Noor.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, pemikiran dan tindakan bijak yang dimaksudkan itu ialah kesediaannya berunding dengan Tengku Razaleigh Hamzah dan bergabung dengan Semangat 46.

"Walaupun tindakan itu dikecam sendiri oleh penyokong PAS, ia menguntungkan PAS dari segi jangka masa panjang.

"Walaupun Datuk Fadzil mengalah sedikit, Pas tetap memerintah Kelantan sejak tahun 1990 lagi," katanya dalam ucaputama wacana pemikiran Fadzil Noor di ibu negara hari ini.

Ia dihadiri oleh kira-kira 100 orang penyokong parti Islam itu.

Salahuddin berkata, Fadzil setuju dengan pemintaan Tengku Razaleigh yang mahu menjadi menteri besar Kelantan tetapi PAS bertanding di lebih banyak kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan
"Kata Datuk Fadzil, biarlah Tengku Razaleigh nak jadi menteri besar. Tetapi beliau mahu PAS bertanding lebih banyak kerusi DUN dan biarkan Semangat 46 bertanding lebih banyak kerusi parlimen.
"Akhirnya PAS menjadi menteri besar Kelantan sejak tahun 1990 lagi," katanya.
Salahuddin juga berkata, tindakan bijak Fadzil dapat dilihat dalam isu pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari jawatan timbalan perdana menteri pada tahun 1998.

Katanya, Fadzil terbang dari Alor Setar ke Kuala Lumpur untuk bertemu Anwar.
"Ramai penyokong PAS yang membantah dan menentang tindakannya itu," katanya.

Salahuddin berkata, Fadzil bertindak bijak dengan menubuhkan Gerak terlebih dahulu tanpa membawanya dalam mesyuarat PAS.

"Saya yakin jika dibawa ke mesyuarat PAS, ia tidak akan diluluskan dan Gerak tidak akan ditubuhkan," kata ahli parlimen Kubang Kerian itu.

Gerak merupakan petubuhan membabitkan parti poitik pembangkang dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk membela pemecatan Anwar oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, tindakan bijak bijak dan berpandangan jauh Fadzil itu nyata menguntungkan PAS.

"PAS menang 27 kerusi parlimen dalam pilihanraya umum 1999- yang terbanyak di kalangan parti politik pemabngkang.

"Hari ini pula, PAS memerintah dua negeri iaitu Kelantan dan Kedah," katanya.

5.20 petang: 6 Aktivis Malaysia Dibebaskan Israel

KUALA LUMPUR, 6 Jun — Enam aktivis keamanan Malaysia atas kapal MV Rachel Corrie yang ditawan ketika dalam pelayaran ke Gaza, telah dibebaskan hari ini oleh Israel di Jambatan Raja Hussein di sempadan Israel-Jordan pada kira-kira 5.20 petang waktu Malaysia.

Sukarelawan Malaysia itu yang berada atas kapal itu bagi misi bantuan kemanusiaan ke Gaza terdiri daripada anggota Parlimen Parit Mohd Nizar Zakaria, anggota Perdana Global Peace Organisation (PGPO) Shamsul Akmar Musa Kamal, Matthias Chang dan Ahmad Faizal Azumu, serta dua wakil media Halim Mohamed dan Mohd Jufri Judin dari stesen televisyen swasta TV3.

MV Rachel Corrie, kapal terakhir dalam flotila yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza yang dikepung Israel, telah ditawan oleh Pasukan Pertahanan Israel pada kira-kira 2.45 petang (waktu Malaysia) semalam dan diiring ke Pelabuhan Ashdod, Israel.

Turut berada atas kapal itu bersama aktivis keamanan Malaysia itu ialah bekas Penolong Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Dennis Halliday, pemenang anugerah Nobel Mairead Maguire, Derek dan Jenny Graham daripada Free Gaza Movement dan penerbit filem dokumentari Fiona Thompson.

Misi bantuan itu ditaja oleh PGPO, sebuah badan bukan kerajaan di Malaysia.

Kapal Rachel Corrie dinamakan sempena nama wanita Amerika yang terbunuh akibat dirempuh jentolak tentera Israel di Semenanjung Gaza pada 2003, semasa cuba membantah tindakan meroboh rumah. — Bernama

Hebat... Pengadil Negara Beraksi Pada Perlawanan Pembukaan Piala Dunia


IPOH, 6 Jun — Malaysia tidak bertanding pada kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 yang bermula 11 Jun ini tetapi wakil negara akan “beraksi” pada perlawanan pembukaan antara pasukan tuan rumah Afrika Selatan dan Mexico sebagai pengadil.

Pengadil Subkhidin Mohd Salleh, 44, bakal mengharumkan nama negara apabila terpilih sebagai pengadil keempat pada perlawanan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar berkata Subkhidin adalah wakil Malaysia yang pertama dipilih sebagai pengadil untuk perlawanan Piala Dunia.

“Baru tadi saya diberitahu oleh urusetia Persatuan Bola Sepak Malaysia bahawa Subkhidin mendapat penghormatan sebagai pengadil keempat pada perlawanan pembukaan Piala Dunia 2010 antara Mexico dan Afrika Selatan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

“Walaupun sebagai pengadil keempat, ia merupakan satu penghormatan kepada Malaysia kerana bukan senang untuk terpilih sebagai pengadil perlawanan pembukaan,” katanya.

Raja Ahmad Zainuddin berkata pemilihan Subkhidin, guru Sekolah Menengah Vokasional Nibong Tebal, Pulau Pinang, sebagai pengadil pada perlawanan pembukaan Piala Dunia 2010 itu merupakan satu penghormatan kepada Malaysia dan arena bola sepak negara.

Subkhidin yang mempunyai kelayakan sebagai pengadil Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pernah dipilih untuk Piala Dunia 2006 di Jerman tetapi tidak mengendalikan sebarang perlawanan.

Sebanyak 30 pengadil akan bertugas mengendalikan 64 perlawanan sepanjang kejohanan bola sepak empat tahun sekali itu.

Dua pengadil Malaysia lain pernah dipilih sebagai pembantu pengadil kejohanan itu iaitu Allahyarham Kapten Halim Abdul Hamid di Piala Dunia 1998 di Perancis dan Mat Lazim Awang Hamat pada Piala Dunia 2002 ketika Korea Selatan dan Jepun menjadi tuan rumah bersama.

Pada kejohanan kali ini, FAM akan mempunyai dua lagi pegawai yang turut terlibat iaitu Datuk Dell Akhbar Khan dalam aspek keselamatan dan Paul Windsor sebagai komisioner perlawanan dan penyelaras gelanggang. — Bernama

Syed Hamid: Tak Jadi Pengerusi Tabung Haji Akhirnya Dilantik Pengerusi SPAD


KUALA LUMPUR, 6 Jun — Bekas Menteri Dalam Negeri Tan Sri Syed Hamid Albar hari ini dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) suruhanjaya itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan berkata pelantikan Syed Hamid dan Mohd Nur Ismal itu berkuatkuasa pada Khamis lepas, iaitu tarikh suruhanjaya tersebut ditubuhkan.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri, Perdana Menteri juga akan melantik pesuruhjaya-pesuruhjaya lain bagi menganggotai suruhanjaya itu.

“Bagaimanapun pengumuman tentang pelantikan-pelantikan tersebut akan dibuat pada waktu yang akan ditentukan kemudian,” tambah kenyataan itu.

Suruhanjaya itu ditubuhkan setelah Akta Suruhanjaya Pengangkutan Awam 2010 dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 diluluskan dalam sesi Parlimen lepas.

SPAD akan memainkan peranan utama dalam meningkatkan sistem pengangkutan awam tanah air yang merupakan salah satu daripada Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) yang telah ditetapkan kerajaan.

Suruhanjaya itu yang terletak di bawah pemantauan Perdana Menteri akan membawa hampir semua aspek berkaitan pengangkutan darat di Malaysia, pentadbiran satu badan induk, bermula dengan pengangkutan awam di Semenanjung Malaysia pada peringkat permulaannya dan pengangkutan awam di Sarawak dan Sabah di peringkat berikutnya.

Kenyataan itu menyebut objektif utama penubuhan suruhanjaya itu adalah bagi membentuk dasar-dasar berkaitan pengangkutan awam, mengawal selia dan merancang perkhidmatan rel, bas dan teksi serta pengangkutan barangan melalui rel dan jalan raya.

Bagi menjayakan objektif itu, SPAD akan mengambil alih fungsi-fungsi beberapa agensi kerajaan seperti Jabatan Keretapi Malaysia, Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) serta fungsi Pesuruhjaya Pelancongan dalam urusan perlesenan bas-bas pelancongan.

“Paling utama, suruhanjaya ini dipertanggungjawabkan bagi merealisasikan inisiatif-inisiatif di bawah Bidang Keberhasilan Utama Nasional Tentang Pengangkutan Awam ke arah meningkatkan mutu pengangkutan awam bagi keselesaan dan kesenangan semua pengguna pengangkutan darat.

“Ini termasuklah sistem transit bas, integrasi pelbagai bentuk perkhidmatan pengangkutan awam, peningkatan kecekapan dan ketepatan serta penguatkuasaan peraturan dan undang-undang secara lebih berkesan,” menurut kenyataan itu.—Bernama

Kami Bukan Senarai Untuk Dibunuh: 'Tentera Israel memang berniat membunuh' - Ketua Misi LL4G


Ketua misi Life Line For Gaza (LL4G) Noorazman Mohd Samsuddin berkata penggunaan peluru getah adalah sebagai alasan semata-mata kerana terdapat bukti pihak Israel memang berniat membunuh pihak tertentu yang ada di atas Mavi Marmara.

Noorazman dan sebelas lagi sukarelawan Malaysia berada dalam kapal Mavi Marmara yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza ketika diserang tentera Israel Isnin lepas.

Katanya, beliau dan tiga rakan aktivis - Abdul Halim Mohd Redzuan, Hasanuddin Mohd Yunus dan Jamuliddin Elias - turut ditembak dengan peluru getah dan mengenai masing-masing di bahagian kepala, belakang dan paha.

"Saya ada bukti yang mereka mempunyai niat untuk membunuh. Menggunakan peluru getah hanya sebagai alasan sahaja," katanya dalam sidang akhbar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sejurus tiba di tanah air awal pagi ini.

"Mereka mempunyai senarai nama yang mereka mahu bunuh sebelum naik ke kapal.

"Kami telah menahan tiga anggota tentera dan apabila kami melakukan pemeriksaan, kami temui senarai nama berserta gambar orang yang mereka mahu bunuh.

"Sesetengah daripada mereka ialah tokoh Turki dan antarabangsa... tokoh-tokoh penting dunia. Kami tidak termasuk dalam senarai sebab itu kami tidak ditembak. Kami hanya orang biasa. Salah seorang media Turki yang ditembak memang ada di dalam senarai itu," katanya.

Beliau berkata ketika serangan pada waktu Subuh itu, wakil media telah menunjukkan keberanian dengan terus merakamkan kejadian itu tanpa menghiraukan keselamatan mereka walupun ketika itu dihujani peluru.

"Ketika kami diserang selepas waktu solat Subuh, rakan media telah menunjuk keberanian dan kekuatan mereka tanpa menghiraukan perkara membahayakan mereka dengan peluru ketika itu seperti hujan.

"Mereka cuba merakam sebanyak mungkin untuk tujuan memberikan kesedaran dan maklumat kepada seluruh dunia."

Malah katanya seorang wartawan Indonesia yang dikenali sebagai Suria telah ditembak peluru hidup di dada kanannya.

Namun dalam keadaan kritikal itu beliau masih cuba mendapatkan maklumat-maklumat yang ada walaupun selepas itu maklumat itu telah dirampas.

Noorazaman amat mengharapkan bantuan media untuk menekan Israel bagi menyerahkan bantuan kemanusiaan itu kepada penduduk Gaza melalui Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

"Kita harapkan rakan media yang ada dapat terus membantu usaha kita untuk membebaskan penderitaan yang dialami rakyat Palestin ini."

Sementara itu, Noorazman berkata mereka juga tidak menyangka dapat keluar dari Israel seawal ini.

"Kami rasa kami akan duduk di sana dalam sebulan, dua bulan atau mungkin setahun dua tahun lagi.

"Apatah lagi kami telah diputuskan hubungan (dengan dunia) luar dengan tidak dibenarkan menghubungi sesiapa. Kami hanya melihat kedutaan-kedutaan negara lain masuk ke dalam penjara.

"Kami tahu Kedutaan Malaysia tidak akan masuk kerana tidak ada hubungan diplomatik (dengan Israel)," kata ketua misi Life Line For Gaza (LL4G) Noorazman Mohd Samsuddin.

Kesemua 12 sukarelawan Malaysia yang selama pulang itu memanjatkan syukur kepada Tuhan dan berterima kasih kepada Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Jordan yang berusaha membawa mereka keluar dari Israel secepat mungkin.

"Saya bagi pihak rakan-rakan juga mengucapkan terima kasih kepada Wisma Putra dan Kedutaan Malaysia di Jordan. Kami tidak sangka dapat keluar awal.

"Hero sebenarnya bukan kami. Wira yang sebenar adalah mereka yang berdoa, bersolat hajat dan berusaha untuk keluarkan kami. Kamulah sebenarnya wira-wira itu," kata ketua biro Palestin Haluan Malaysia itu.

- Bernama

Video Penuh Semangat Teruskan Perjuangan: Pengalaman ditawan Israel

Dua puluh lapan jam berada di dalam penjara Israel dan diasak dengan deraan mental oleh tentera Zionis tidak mematahkan semangat wartawan penyiaran Ashwad Ismail untuk terus berjuang membuka mata dunia mengenai kekejaman rejim itu.

Anak muda berusia 25 tahun dan bertugas di stesen berita Astro Awani itu berkata walaupun pengalaman yang ditempuhnya amat perit namun tanggungjawab sebagai penyalur maklumat khususnya mengenai kekejaman rejim tersebut tetap akan diteruskan.

"Misi kita belum selesai. Misi untuk tegakkan realiti masih belum dapat dilakukan. Hanya secebis sahaja konflik di Asia Barat yang dapat diketengahkan dalam misi ini," katanya kepada pemberita di Sepang hari ini.

Ashwad tiba di tanahair jam 5.45 pagi tadi bersama 11 lagi rakyat Malaysia selepas dibebaskan oleh Israel pada Rabu lepas, dua hari setelah kapal 'Mavi Marmara' yang dinaiki mereka untuk menghantar bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin di Gaza, diserang tentera rejim itu.

Ketibaan mereka dari Istanbul, Turki disambut Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Walaupun kepenatan, pelukan sayang kaum keluarga yang sabar menunggu di kompleks itu jelas menceriakan mereka. Bacaan doa selamat, nyanyian nasyid dan laungan takbir daripada orang ramai yang menyambut ketibaan mereka menguatkan lagi semangat kumpulan itu.

Mengulas lanjut, Ashwad berkata walaupun secara fizikal mereka tidak diapa-apakan oleh tentera Israel, namun deraan mental adalah memeritkan.

"Israel memang pandai dengan deraan mental. Fizikal tidak diapa-apakan tetapi mental diasak dari pelbagai sudut. Kita di Malaysia jarang melawat penjara, tak pernah pun masuk penjara, tapi ini di Israel. Berada di situ sudah cukup terseksa, inikan pula menghadapi tindakan-tindakan kejam mereka," katanya.

Walaupun misi itu dianggap gagal dari satu aspek kerana tidak mencapai objektif untuk menghantar bekalan kepada penduduk Gaza, Ashwad berkata terdapat kejayaan lain di sebaliknya.

"Kejayaannya adalah sedikit sebanyak menjadi pencetus gelombang baru ke arah mengetepikan atau memulaukan Israel dalam lanskap geopolitik dunia. Sikap penjarahan dan dasar anti Islam mereka terhadap bumi Palestin sepanjang enam dekad nyata memberi kesan besar," katanya.

Selain itu insiden tersebut juga mencetuskan tekanan hebat daripada masyarakat antarabangsa ke atas rejim menyebabkan mereka terpaksa akur.

"Bukan sahaja dari Turki, tetapi pemimpin-pemimpin Yahudi di negara-negara Eropah turut mengecam kekejaman Israel. Kita dapat lihat kapal Rachel Corrie kini tidak dikenakan tindakan ganas walaupun situasi mereka sama seperti kami.

"Terdapat cubaan merampas kapal dan dibawa ke Pelabuhan Ashdod tetapi tiada pergelutan dan pertumpahan darah berlaku," katanya.

Bagi jurukamera Astro Awani yang turut serta dalam misi tersebut, Shamsul Kamal Abdul Latip, 43, pengalaman ketika berada dalam tahanan Israel adalah sangat memeritkan dan tidak pernah terjangkau di ingatannya akan melalui detik seperti itu.

"Kami terpaksa berjemur di tengah panas di atas kapal Israel selama 15 jam sebelum tiba ke Pelabuhan Ashdod. Pada masa itu nak minum pun susah...kawan-kawan cuba memberi minuman dalam keadaan tangan masing-masing terikat.

"Barang-barang pula seperti kamera dan peralatan lain turut dirampas. Kami ingat tak dapat balik tapi pejabat yang menguruskan barang rampasan kemudiannya memulangkannya semula kepada kami. Malangnya ada peralatan tersebut yang sudah rosak akibat dirampas dengan kasar oleh tentera Israel," katanya.

Ditanya sama ada dia akan mengikuti tugasan sedemikian pada masa akan datang, Shamsul berkata perkara itu akan hanya difikirkan selepas mendapat rehat yang cukup dan fikirannya kembali tenang.
- Bernama

Terbongkar, Israel Campak 4 Orang Aktivis Kemanusiaan Yang Tercedera ke Laut


Aktivis kemanusiaan Idris Simsek, yang berada di salah satu daripada enam kapal armada Kebebasan selama serangan Israel berlangsung, mendakwa bahawa empat aktivis kemanusiaan yang terluka dilemparkan ke laut oleh tentera Israel.

Pasukan Israel juga memberikan tekanan psikologi yang besar kepada para aktivis dari armada Kebebasan, lapor harian Turki Zaman Simsek mengatakan dalam sebuah artikel yang diterbitkan pada hari Sabtu terakhir (5 / 6).

Simsek mengatakan mereka sudah menjangkakan akan adanya gangguan dari tentera Israel, tetapi tidak menyangka akan adanya serangan bersenjata.

Dia melanjutkan dengan mengatakan bahawa ia menyaksikan sendiri bagaimana aktivis yang telah mengibarkan bendera putih untuk menyerah tetap ditembak oleh pasukan Israel.

Erol Demir, aktivis lain yang berada di kapal Turki Mavi Marmara, mengatakan mereka mempunyai cuplikan film kekacauan dan pembunuhan beramai-ramai di kapal dan menyatakan bahawa rakaman itu akan menunjukkan wajah sebenar tentera Israel ke seluruh dunia.

"Mereka bahkan menembak orang yang telah menyerah. Ramai sahabat yang melihat kejadian ini. Mereka berkata kepada saya bahawa ada orang yang dibogelkan kemudian ditembak," tambahnya.

Hakan Albayrak, seorang wartawan dari harian Turki Yeni Safak yang juga berada di atas kapal, berkata, "Ini adalah pembunuhan terang-terangan yang Israel lakukan di luar sana. Mereka menyerang kami di perairan antarabangsa. Kami tidak punya senjata. Saya kira kami kehilangan lebih banyak orang. "

Tentera Israel menyerang armada Kebebasan di perairan antarabangsa di Laut Mediterranean awal pada tarikh 31 Mei, membunuh sembilan warga Turki di salah satu enam kapal armada kebebasan dan melukai sekitar 50 orang lain.

Nasib tiga orang aktivis armada Kebebasan lain masih belum diketahui.

Israel juga menangkap hampir 700 aktivis dari 42 negara di kapal armada Kebebasan, yang berusaha memecahkan pengepungan Gaza dalam rangka untuk memberikan 10.000 tan bantuan kemanusiaan kepada orang-orang telah lama menderita di wilayah itu.

-(Fq / prtv)

Mavi Marmara: 28 Orang Anak Menjadi Yatim Angkara Serangan Zionis Israel

Dua puluh lapan anak-anak harus kehilangan bapa mereka sebagai hasil dari serangan brutal Israel terhadap armada Kebebasan.

Sembilan orang warga Turki ditembak mati pada tarikh 31 Mei oleh tentera Israel yang menyerang kapal Mavi Marmara, kerana cuba menghantar bantuan kemanusiaan ke Jalur Gaza.

Lapan daripada mereka adalah ayah yang anaknya sekarang menjadi yatim kerana serangan Israel pada armada Kebebasan.

Dalam bahasa Arab yatim ini biasanya diterjemahkan sebagai yatim piatu. Namun, dalam agama Islam, kata yatim sebenarnya bererti seorang anak yang ayahnya sudah mati atau yang ayah dan ibunya telah mati. Ini adalah sebab mengapa media Islam yang memanggil mereka anak-anak yatim.

Berikut adalah biografi singkat dari sembilan orang, seperti yang dilaporkan oleh Lawrenceofcyberia.blogs.com:

1.Ibrahim Bilgen

Ibrahim Bilgen (61 tahun) adalah seorang jurutera kuasa dari Siirt.Dia adalah anggota dari dewan Listrik Turki. Dia pernah maju sebagai calon Parti Saadet dalam pilihanraya Turki tahun 2007 dan pemilihan walikota Siirt tahun 2009. Ia berkahwin dengan 6 orang anak.

2.Ali Haydar Bengi

Ali Haydar Bengi (39 tahun) menguruskan sebuah kedai telefon perbaikan di Diyarbakir. Dia lulusan dari Universiti Al-Azhar, Kaherah (jurusan Sastera Arab). Dia berkahwin dengan mempunyai 4 orang anak.

3.Cevdet Kiliçlar

Cevdet Kiliçlar (38 tahun), berasal dari Kayseri. Lulusan dari Universiti Marmara Fakulti Komunikasi dan sebelumnya seorang wartawan surat khabar untuk Gazette Nasional dan Times Anatolia. Beberap tahun lalu, dia adalah seorang wartawan dan webmaster untuk agensi Kemanusiaan ihh. Ia berkahwin dengan Derya Kiliçlar, dan mempunyai satu putri, Gülhan, dan satu putra, Erdem.

4. Çetin Topçuoglu

Çetin Topçuoglu, 54 tahun, berasal dari Adana. Dia adalah bekas pemain bola sepak amatur dan juara taekwondo yang melatih pasukan taekwondo kebangsaan Turki. Ia berkahwin dan punya seorang putera, Aytek. Isterinya, Cigdem Topçuoglu, juga ikut dalam kapal Marmara Mavi, tetapi selamat.

5. Necdet Yildirim

Necdet Yıldırım, (32 tahun) adalah pekerja bantuan agensi ihh dari Malatya. Ia berkahwin dengan Refika Yıldırım dan punya satu putri, Melek, berusia tiga tahun.

6. Fahri Yaldiz

Fahri Yaldiz (43 tahun), adalah seorang pegawai pemadam kebakaran yang bekerja untuk Kota Adıyaman. Ia berkahwin dan mempunyai empat anak.

7. Cengiz Songür

Cengiz Songür (47 tahun), berasal dari Izmir. Ia berkahwin dengan Nurcan Songür dan mempunyai enam putri dan satu putra.

8. Cengiz Akyüz

Cengiz Akyüz (41 tahun) berasal dari Iskenderun. Ia berkahwin dengan Nimet Akyüz dan mempunyai tiga orang anak - Furkan (14), BEYZA (12), dan Erva Kardelen (sembilan tahun).

9. Dogan Furkan Dogan

Furkan Dogan (19 tahun), berada di tahun terakhirnya di SMAKayseri di mana dia sedang menunggu keputusan ujian kemasukan ke universiti. Ia bercita-cita untuk menjadi seorang doktor dan sangat menyukai permainan catur. Ia adalah putra dari Dr Ahmet Dogan, profesor di Universiti Erciyes. Dia adalah seorang Turki-Amerika mempunyai dua kebangsaan kebangsaan dan mempunyai dua saudara kandung.

Tentera Israel menyerang armada Kebebasan di perairan antarabangsa di Laut Mediterranean awal pada tarikh 31 Mei, membunuh sembilan warga Turki di papan enam kapal dan mencederakan sekitar 50 orang lain.

Nasib tiga lain armada Kebebasan aktivis masih belum diketahui. (Fq / prtv)

Bos Perkasa Nak Bagi RM2000 Untuk Dapatkan Pita... Sahabat2 Jom Cari


PASIR MAS: Presiden Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Datuk Ibrahim Ali menawarkan wang tunai RM2,000 kepada sesiapa yang menyerahkan pita rakaman mengenai tindakan PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengutuk beliau ketika berceramah.

Beliau berkata, pita rakaman berkenaan akan dijadikan bukti pada perbicaraan nanti, sekali gus menunjukkan kedua-dua parti berkenaan mempunyai niat jahat hendak menjatuhkan maruah serta kredibilitinya.

"Tindakan parti berkenaan ketika berceramah berniat jahat mahu menjatuhkan maruah serta kredibiliti saya sebagai seorang pejuang Melayu tulen yang mengaitkan saya dengan syarikat judi.

"Mereka (Pas dan PKR) iri hati, cemburu dan ingin memperlekehkan saya, oleh itu saya menawarkan RM2,000 bagi setiap pita yang menunjukkan pemimpin daripada kedua-dua parti itu mengutuk saya ketika dalam ceramah mereka," katanya.

Beliau memberitahu pemberita selepas majlis membakar bendera Israel sebagai membantah tindakan regim itu yang bertindak ganas terhadap konvoi kapal bantuan untuk rakyat Palestin, di sini, semalam.

Dalam perkembangan lain, Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas, melahirkan rasa kecewa dengan kerajaan PAS Kelantan yang gagal menyediakan kemudahan asas kepada rakyat negeri ini terutama membabitkan isu bekalan air bersih.

Katanya, PAS kini dilihat cuba mengalihkan perhatian rakyat negeri ini dengan membawa pelbagai isu semasa yang dilihat tidak memberi untung kepada masyarakat setempat, sedangkan isu penting diabaikan sehingga memberi kesan kepada rakyat.

Video Rampasan Kapal MV Rachel Corrie dan Senarai Sukarelawan Bantu Gaza


9.00 AM (GMT)...Buat kali kedua tentera rejim Israel menawan kapal MV Rachel Corrie yang membawa bekalan perubatan dan peralatan pembinaan ke Gaza...Buat kali kedua mereka menjadikan kapal yang ssarat dengan muatan bantuan yang tidak dilengkapi dengan peralatan peperangan...Walaupun begitu mereka secara paksa menjadikan penumpang-penumpang kapal MV Rachel Corrie sebagai tawanan dan membawa kapal tersebut ke Pelabuhan Ashdod...

Kapal yang membawa seramai 11 penumpang dan 9 krew dari 5 negara...termasuk dari Ireland dan juga Malaysia...Antara yang berada di atas kapal MV Rachel Corrie adalah :

1.Mairead Magiure, Nobel Prize winner
2.Nizar Zakaria, Ahli Parlimen Malaysia
3.Dennis Halliday, Former UN assistant secretary general

Kapal seberat 1200 ton ni telah dibeli oleh Tun Dr Mahathir...Kapal ni diberi nama bersempena dengan nama seorang aktivist kemanusiaan yang berasal dari Amerika apabila digilis bulldozer oleh pihak Israel pada tahun 2003....

Berikut adalah senarai penuh penumpang yang berada di atas MV Rachel Corrie

  1. Ahmed Faizal bin Azumu, human rights worker, Malaysia
  2. Matthias Chang, attorney, author & human rights worker, Malaysia
  3. Derek Graham, Free Gaza Ireland
  4. Jenny Graham, Free Gaza Ireland
  5. Denis Halliday, former UN Assistant Secretary General, Ireland
  6. Mohd Jufri Bin Mohd Judin, journalist, Malaysia
  7. Shamsul Akmar Musa Kamal, PGPO representative, Malaysia
  8. Mairead Maguire, Nobel Peace Prize laureate, Ireland
  9. Abdul Halim Bin Mohamed, journalist, Malaysia
  10. Fiona Thompson, film-maker, Ireland
  11. The Hon. Mohd Nizar Zakaria, Parit Member of Parliament, Malaysia

12 sukarelawan Malaysia Selamat Kembali Dengan Pesawat MAS


SEPANG 6 Jun – Kepulangan 12 sukarelawan Malaysia, yang berada dalam kapal Mavi Marmara yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza ketika diserang tentera Israel pada Isnin lepas, disambut oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, para pegawai dari Wisma Putra dan anggota keluarga masing-masing.

Mereka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada kira-kira 5.40 pagi ini.

Kumpulan sukarelawan itu yang turut disertai Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman serta pegawai kementerian yang lain, tiba dari Istanbul, Turki dengan menaiki pesawat Malaysia Airlines (MAS).

Mereka berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Ratu Alia, Jordan pada 11.20 pagi waktu tempatan (4.20 petang waktu Malaysia) kelmarin dan melakukan pertukaran penerbangan di Istanbul sebelum berlepas pulang ke tanah air petang semalam.

Dalam insiden Isnin lepas, kapal milik Turki, Mavi Marmara, yang membawa sukarelawan serta bantuan kemanusiaan seperti perubatan, diserang oleh tentera Israel menyebabkan sembilan sukarelawan, kebanyakannya rakyat Turki, terbunuh.

Bagaimanapun, kesemua sukarelawan negara di atas kapal tersebut selamat, tetapi ditahan oleh tentera Israel sebelum dibebaskan dan dibawa ke Amman, Jordan.

– Bernama

Pagi Ini...Wacana Memperingati Ustaz Fadzil Noor


Lajnah Dakwah dan Pembelaan Islam DPP Pusat akan mengadakan wacana Memperingati Mantan Presiden PAS, Almarhum Ustaz Fadzil Noor pagi ini bertempat di surau Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut.

Program itu adalah ajuran bersama Dewan Muslimat PAS Selangor.

Program akan bermula jam 8.30 pagi dan dijangka dihadiri seramai 200 orang peserta.

Antara pembentang kertas kerja adalah Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, Wan Hasrina Wan Hassan, Dewan Ulamak PAS Kedah, Ustaz Fauzi Husain.

Bagi mengetahui dan menyusuri sejarah perjuangan Ustaz Fadzil dengan lebih dekat, semua pencinta ilmu dijemput ke program tersebut.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.