12 sukarelawan Malaysia Selamat Kembali Dengan Pesawat MAS


SEPANG 6 Jun – Kepulangan 12 sukarelawan Malaysia, yang berada dalam kapal Mavi Marmara yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza ketika diserang tentera Israel pada Isnin lepas, disambut oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, para pegawai dari Wisma Putra dan anggota keluarga masing-masing.

Mereka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada kira-kira 5.40 pagi ini.

Kumpulan sukarelawan itu yang turut disertai Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman serta pegawai kementerian yang lain, tiba dari Istanbul, Turki dengan menaiki pesawat Malaysia Airlines (MAS).

Mereka berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Ratu Alia, Jordan pada 11.20 pagi waktu tempatan (4.20 petang waktu Malaysia) kelmarin dan melakukan pertukaran penerbangan di Istanbul sebelum berlepas pulang ke tanah air petang semalam.

Dalam insiden Isnin lepas, kapal milik Turki, Mavi Marmara, yang membawa sukarelawan serta bantuan kemanusiaan seperti perubatan, diserang oleh tentera Israel menyebabkan sembilan sukarelawan, kebanyakannya rakyat Turki, terbunuh.

Bagaimanapun, kesemua sukarelawan negara di atas kapal tersebut selamat, tetapi ditahan oleh tentera Israel sebelum dibebaskan dan dibawa ke Amman, Jordan.

– Bernama

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.