Slogan UIA 'Taman Ilmu dan Budi' Tidak Dipraktikan Dalam Isu Pengantungan Prof Aziz Bari.. Kenapa??

Ketua Pemuda PKR, Shamsul Iskandar Md Akin hari ini diheret daripada menunaikan solat Jumaat di masjid Universiti Islam Antarabangsa, sebelum perhimpunan membantah penggantungan tugas Profesor Dr Abdul Aziz Bari sebagai pensyarah bermula.

Bercakap kepada Malaysiakini selepas kejadian itu, Shamsul Iskandar berkata beliau diangkut dan ditarik ke dalam sebuah Proton Satria hitam dan dibawa keluar dari perkarangan universiti itu.

Beliau yang merupakan bekas pelajar UIA itu berkata kira-kira 15 orang - ada yang berpakaian seragam pengawal keselamatan dan ada juga yang tidak - menahannya sebaik sahaja beliau mengambil wuduk.

“Saya beritahu saya mahu solat dahulu kerana iqamat mula dibacakan, tetapi mereka kata tidak boleh dan malah mereka juga tidak boleh menunaikan solat,” katanya.

Shamsul Iskandar berkata mereka enggan bertolak-ansur dan kemudiannya bertindak mengheretnya ke kereta.

Beliau berkata mereka yang tidak berpakaian seragam itu juga tidak menunjukkan sebarang kad pengenalan diri dan bertindak dengan cara yang kasar.

“Apa yang menyedihkan, di UIA yang sewajarnya menjadi tempat menyuburkan ilmu Islami seperti slogan UIA 'Taman Ilmu dan Budi', saya ditahan di dalam Masjid dan langsung tidak dibenarkan solat meskipun solat Jumaat hampir dimulakan oleh Imam dan jemaah lainnya.

“Penahanan ini jelas membuktikan bahawa pentadbiran UIA begitu terdesak untuk mengekang keprihatinan massa di luar kelompok mahasiswa dan pensyarah lainnya, khusus dalam isu penggantungan Dr Aziz ini,” katanya.

Menurut Shamsul Iskandar beliau kemudiannya dibawa kira-kira enam kilometer jauh di kawasan sekitar Taman Melewar dan meminta dirinya diturunkan di sebuah masjid di sana agar beliau boleh menunaikan solat Jumaat.

Beliau percaya tindakan menahannya bertujuan menghalangnya yang pernah menjadi pemimpin pelajar di UIA daripada mengetuai bantahan di universiti tersebut.

Pintu Gerbang UIA Dikawal Ketat, Orang Awam Dihalang Masuk - Demo sokong Aziz Bari tegang

Beberapa orang pengawal keselamatan melakukan pemeriksaan ketat di pintu gerbang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) manakala orang awam dihalang daripada memasuki bangunan tersebut.

Menurut seorang pengawal keselamatan, selain orang awam, pihak media juga tidak dibenarkan masuk.

"Hanya sidang media jam 12 tengahari sahaja dibenarkan, selepas itu orang awam tak dibenarkan masuk, nak sembahyang Jumaat pun tak boleh.

"Kami terima arahan tak benarkan orang awam dan media masuk hari ini,” kata pengawal keselamatan itu.

Tindakan itu dipercayai bagi membantutkan usaha kumpulan mahasiswa yang mahu berdemonstrasi terhadap UIA yang menggantung tugas Profesor Dr Abdul Aziz Bari sebagai pensyarah.

Sementara itu, wartawan Abdul Rahim Sabri yang tiba di UIA sejak pagi tadi, melaporkan kira-kira 700 mahasiswa sedang berhimpun membantah penggantungan Abdul Aziz.

Perhimpunan itu berlansung di perkarangan masjid UIA selepas solat Jumaat.

Mereka melaungkan “Hidup Ilmu”, “Lawan Kezaliman”, “Bebas Aziz Bari” dan menuntut kebebasan akademik di universiti khususnya di kampus berkenaan.

Mereka berhimpun untuk menyokong dan mendokong Abdul Aziz dan mendesak universiti membatalkan hukuman penggantungan kepada pakar pelembagaan itu.

Sewaktu mereka hendak berarak menghantar memorandum, berlaku kekcohan apabila pengawal keselamatan universiti cuba menghalang mereka menghantar memorandum kepada rektor UIA, menyebabkan berlakunya tolak menolak berlaku.

Semalam UIA menggantung tugas Abdul Aziz sebagai pensyarah undang-undang sehingga notis selanjutnya dikeluarkan.

Beliau didakwa "memberikan kenyataan yang bertentangan dengan kepentingan universiti" dan diberi masa sehingga 25 Oktober depan untuk menjawabnya.

Tindakan terhadap pakar perlembagaan itu dipercayai berikutan reaksinya sebelum ini terhadap titah Sultan Selangor dalam isu Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC).

Beliau berkata, Sultan Selangor sebagai ketua agama negeri mempunyai hak campurtangan tetapi ia perlu selaras dengan ajaran Islam.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.