Betoi Ka PAS dah lupa kerja dakwah?????

Kerajaan negeri Kedah menganjurkan Kem Anak Soleh di enam buah sekolah di Kedah. Hanya selepas dua hari pengumuman mengenainya dibuat, tempahan untuk 1240 peserta yang terdiri dari pelajar sekolah rendah itu habis diisi. Begitulah hebatnya sambutan yang diberikan ibu bapa terhadap program penghayatan Islam untuk anak-anak.


Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Badan-badan Bukan Kerajaan dan Pembangunan Insan, Sains dan Inovasi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Dr Ismail Salleh berkata, program tersebut akan dijadikan program wajib setiap kali cuti sekolah.

Menurutnya, keruntuhan akhlak remaja Islam hari ini bermula dari dalam rumah kerana anak-anak tidak mahu dan tidak tahu sembahyang.

Kem Anak Soleh adalah program biasa. Bukan projek bernilai berjuta-juta. Mengajar kanak-kanak bersembahyang dan patuh kepada perintah Allah. Tetapi akibat melupakan 'kerja kecil' inilah banyak kerosakan besar berlaku dalam masyarakat.




Ketua Pengarah Pendaftaran Negara (JPN), Dato' Alwi Ibrahim mendedahkan bahawa pada tahun 2009 seramai 17,303 anak luar nikah didaftarkan. Seramai 16,541 tahun 2008 dan 16,100 tahun 2007.

Dalam tempoh lima tahun lalu JPN mencatatkan 74,723 anak luar nikah dari kalangan umat Islam. Angka itu amat menakutkan bagi golongan beriman walaupun ia tidak menjadi apa-apa kudis terhadap konsep 1Malaysia.

Jika dalam isu-isu yang membabitkan wang ringgit atau kenikmatan duniawi yang tercalar manusia cepat-cepat melahirkan bantahan, demonstrasi, memorandum dan segala macam protes diluahkan terhadap pihak yang dianggap bertanggungjawab. Namun berbeza pula dengan isu keruntuhan moral.

Parti-parti politik boleh berhimpun di hadapan kompleks pentadbiran kerajaan untuk membantah isu keputusan bekalan air, kenaikan harga minyak atau menentang cubaan kerajaan guna ketegasan untuk mengutip tunggakan perumahan awam. Tetapi mereka tidak pula berhimpun untuk mendesak kerajaan mengambil tindakan segera terhadap kegawatan akhlak yang melanda rakyat negara ini. Isu perut kempis (kelaparan) menjadi lebih besar daripada isu 'perut besar' yang telah menjahanamkan zuriat keturunan manusia.

Hari ini jika kita menatap media maklumat, maka pelbagai jenis kehancuran akhlak dapat dibaca. Kejahatan yang tidak pernah didengari dulu, kini muncul. Seolah-olah dunia ini sudah lengkap dengan inovasi kejahatan.

Manusia yang melakukan kerja dakwah sejak zaman Rasululah SAW tidak pernah berkurang bahkan bertambah sejajar pertambahan manusia. Malangnya pertambahan kebatilan lebih cepat dan melebar. Jika dakwah hanya di masjid, surau serta premis yang munasabah dengan kerja penyebaran ilmu dan kesedaran; tetapi mesej maksiat dan mungkar masuk ke dalam setiap rumah melalui peti televisyen dan media kedua.

Kerja dakwah perlu permit dan tauliah tetapi penyebaran kebatilan dibenarkan kepada sesiapa sahaja. Ia semacam diizinkan kerana sebahagian besar mungkar hari ini tidak lagi dianggap mungkar jika masyarakat umum menerimanya.

Ia gabungan pemikiran sekular dan demokrasi. Misalnya homoseksual dan lesbian dibenarkan di Barat kerana majoriti menerimanya. Di negara kita walaupun belum ke tahap itu tetapi banyak sudah perkara-perkara yang dulunya haram tetapi sekarang 'nampak macam halal' apabila masyarakat umum tidak lagi membantah. Itu semua adalah bibit-bibit kehancuran akhlak dan agama.

Persoalannya, apakah isu-isu yang berkaitan dengan kemungkaran dan melakukan kerja-kerja pengislahan tidak lagi menjadi keutamaan kepada parti-parti politik sekarang? Tentulah yang dimaksudkan ialah parti Islam kerana parti sekular seperti Umno tiada agenda Islam dalam perjuangan justeru tiada apa-apa kesalahan bagi mereka jika tidak melakukan kerja amar makruf nahi mungkar.

Hanya satu parti Islam di Malaysia iaitu PAS. PAS kononnya lebih banyak mengatur program ceramah perihal isu duniawi dan kuasa daripada menyusun program menyedarkan masyarakat supaya menjauhi kemungkaran, menunaikan solat dan mengamalkan cara hidup Islam. Soal dakwaan itu betul atau tidak tidak perlu dijawab. Apa yang penting ialah memahami realiti tentang kehancuran moral masyarakat yang semakin parah hari ini, walhal langkah mengatasi kemelut itu terlalu sedikit.

Di kalangan masyarakat Islam yang belum kenal perjuangan Islam, mengajak mereka menjauhi mungkar dengan mengamalkan Islam tentulah lebih penting daripada mengajak mereka menjauhi Umno. Sebab apabila mereka sudah kenal Islam maka secara automatik mereka akan membenci perjuangan sekular yang berkiblatkan kebendaan.

Dalam pilihan raya kampus yang diadakan di IPTA di negara ini, kawasan fakulti pengajian Islam biasanya dimenangi dengan mudah oleh kumpulan pro-Islam. Dr Mahathir sewaktu menjadi Perdana Menteri telah menghentikan bantuan kepada sekolah agama rakyat. Tujuannya untuk mematikan terus sekolah agama rakyat. Dengan terus terang dia memberitahu bahawa sekolah agama rakyat adalah tempat melahirkan kader-kader PAS yang tentunya menjadi ancaman kepada Umno.

Dengan hujah tersebut, jelaslah mengatur program pengislahan terhadap masyarakat yang semakin menjauhi agama menjadi lebih penting dari menyedarkan mereka perihal isu semasa. Tiada perlu mengorbankan salah satu antara kedua-dua kerja tersebut tetapi mengetepikan kerja dakwah dan pengislahan sangatlah merugikan.

Program Kem Anak Soleh anjuran kerajaan negeri Kedah adalah antara agenda untuk mengislahkan masyakat. Perlu ada berpuluh-puluh lagi program seumpama itu dibuat, terutama oleh sayap-sayap parti politik Islam di samping yang dibuat oleh kerajaan yang dikuasai PAS.

Oleh: Haji Zulkifli Yahya (Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kedah)

Krisis Istana: Setiausaha Sulit Sultan Kelantan ditahan polis

Oleh Mohd Zuharman

KOTA BARU, 25 Mac — Setiausaha Sulit Sultan Kelantan, Datuk Wan Hashim Wan Daud yang pagi tadi mengumumkan mengenai pemecatan Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Pemangku Raja, malam ini ditahan polis dipercayai untuk siasatan.

Wan Hashim yang diumumkan pelantikan sebagai Setiausaha Sulit Sultan Kelantan minggu lalu dilihat dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini kira-kira pukul 8.40 malam.


The Malaysian Insider difahamkan Wan Hashim diambil di rumahnya sebelum di bawa ke IPK.

Pelantikan Wan Hashim dan kenyataan yang dibuat oleh beliau sejak seminggu dilihat merumitkan lagi krisis Istana Kelantan.

Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra (kanan) bersalaman dengan exco dan pegawai kerajaan negeri ketika tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa hari ini. – Foto Bernama

Dalam pada itu pihak polis didapati turut mengadakan kawalan di sekitar Masjid Muhammadi.

Malam ini pihak kerajaan negeri telah mengadakan solat hajat di masjid berkenaan.

Istana Pemangku Raja di Telipot juga difahamkan dikawal rapi pasukan kawalan keselamatan.

Sementara itu seorang yang mengiringi Wan Hashim dilihat keluar dari IPK kira-kira pukul 10.30 malam, namun Setiausaha Sulit tidak kelihatan.

Polis tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Sementara itu menurut sumber, satu mesyuarat tergempar Majlis Perajaan Negeri (MPN) diadakan di Istana Telipot malam ini.

Kira-kira pukul 11 malam beberapa anggota MPN dilihat memasuki kawasan istana.

Sepuluh minit sebelum itu Pengelola Istana Diraja Kelantan Datuk Abdul Halim Hamad Halim pula kelihatan memasuki istana.

Sumber memberitahu The Malaysian Insider bahawa mesyuarat itu diadakan bagi melantik pengerusi baru MPN ekoran perkembangan pagi tadi.

Dalam pada itu Bernama melaporkan Tengku Muhammad Faris Petra tenang dan mampu tersenyum walaupun dalam keadaan kemelut cubaan “merampas kuasa” melibatkan kerabat diraja Sultan Kelantan.

Baginda yang tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra pada 6 petang tadi dari Singapura, mampu melemparkan senyuman dan lambaian kepada rakyat dengan disambut pembesar Istana serta beberapa anggota exco Kerajaan Negeri Kelantan termasuk Timbalan Menteri Besar Datuk Ahmad Yakub.

Sewaktu berjalan menuju ke kenderaan rasminya, baginda dihampiri para wartawan yang ingin bertanyakan reaksi baginda mengenai pengumuman Wan Hashim bahawa Pengerusi MPN, Tengku Abdul Aziz Hamzah telah mendakwa Sultan Kelantan melantik beliau sebagai Pemangku Raja yang baru menggantikan baginda berkuat kuasa serta merta.

Tengku Muhammad Faris Petra hanya sempat menjawab sambil berjalan: “Tokleh (tidak boleh),Tokleh (tidak boleh), nanti biar sudah. Ginilah kirim salam kat semua orang,” katanya dengan tersenyum dan berlalu menaiki kenderaan baginda.

Laporan awal hari ini menyatakan bahawa Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra didakwa telah melucutkan jawatan anakandanya, Tengku Mahkota, Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Pemangku Raja berkuat kuasa serta-merta.

Titah tersebut didakwa disampaikan baginda kepada Tengku Abdul Aziz dan dibacakan oleh Wan Hashim di Istana Mahkota di sini hari ini.

Bagaimanapun, susulan daripada pengumuman itu yang dihebahkan di laman web media utama, Setiausaha Majlis Perajaan Negeri (MPN) Datuk Mohd Aiseri Alias berkata Tengku Muhammad Faris Petra Tengku Ismail Petra kekal sebagai Pemangku Raja kerana pelantikannya mengikut dua pertiga daripada 17 anggota majlis MPN pada 29 Mei tahun lalu.

Beliau, yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, berkata pengumuman Wan Hashim awal hari ini mengenai pemecatan Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Pemangku Raja dan digantikan Pengerusi MPN, Tengku Abdul Aziz Hamzah berkuatkuasa serta merta adalah tidak terpakai kerana ia tidak mewakili MPN.

“Ia adalah sama sekali tidak mewakili keputusan Majlis Perajaan Negeri Perkara 11 (1) Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan memperuntukkan mana-mana keputusan majlis (MPN) tidak akan sah dan terpakai kecuali sekurang-kurangnya dua pertiga daripada anggota yang hadir dan mengundi bersetuju dengan keputusan itu,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata Tengku Abdul Aziz, abang kepada Anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah telah bertindak secara berseorangan tanpa memanggil MPN bersidang.

Mohd Aiseri berkata oleh kerana Tengku Muhammad Faris Petra dilantik ekoran Sultan Kelantan tidak boleh menjalankan tugas hal ehwal negeri mengikut Perkara 22A (1) (b) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan Bahagian yang kedua, maka Tengku Muhammad Faris Petra akan terus menjalankan tugas-tugas sebagai Pemangku Raja yang sah sehingga MPN membuat keputusan seterusnya mengikut undang-undang.

Pada sidang media yang sama, Ahmad berkata pendirian kerajaan negeri adalah mengikut Perlembagaan negeri.

“Kita tetap dengan undang-undang dalam Perlembagaan. Apapun yang berlaku kita merujuk kepada Perlembagaan negeri iaitu Tengku Muhammad Faris Petra kekal sebagai Pemangku Raja. Pemangku Raja masih lagi pemangku walaupun ada pihak lain isytihar pemangku telah digugurkan,” katanya.

Beliau berkata perkara itu tidak perlu lagi dibincangkan dan tidak perlu dilakukan pindaan perlembagaan serta tidak perlu diadakan Sidang Dewan Undangan Negeri tergempar.

Ahmad berkata sebagai usaha kerajaan negeri menghentikan kemelut Istana, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Shafie Ismail telah membuat laporan polis berhubung kenyataan Wan Hashim berhubung mengenai pelantikan Tengku Abdul Aziz sebagai Pemangku Raja.

Takziah: Dr Zainal Abidin Hulu Selangor Meninggal



KAJANG, 25 Mac: Ahli Parlimen PKR Hulu Selangor, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad meninggal dunia jam 9.30 malam ini selepas mengalami barah otak sejak sekian lama.

Allahyarham menghembuskan nafasnya yang terakhir di rumahnya dekat Jalan Cheras, Kajang.

Beliau yang merupakan bekas Timbalan Menteri Besar Selangor di zaman BN meninggal ketika berumur 71 tahun dan meninggalkan seorang balu iaitu Datin Zaharah Mohd Zin serta empat orang anak.

Zainal Abidin menang dalam pilihan raya lalu atas tiket PKR di kerusi Parlimen Hulu Selangor selepas mengalahkan calon BN dari dari MIC, P Palanivel dengan hanya 198 undi.

Dengan kematian ini bermakna pilihan raya kecil ke 10 akan diadakan dalam masa 60 hari.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.