Kerajaan negeri Kedah menganjurkan Kem Anak Soleh di enam buah sekolah di Kedah. Hanya selepas dua hari pengumuman mengenainya dibuat, tempahan untuk 1240 peserta yang terdiri dari pelajar sekolah rendah itu habis diisi. Begitulah hebatnya sambutan yang diberikan ibu bapa terhadap program penghayatan Islam untuk anak-anak.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Badan-badan Bukan Kerajaan dan Pembangunan Insan, Sains dan Inovasi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Dr Ismail Salleh berkata, program tersebut akan dijadikan program wajib setiap kali cuti sekolah.
Menurutnya, keruntuhan akhlak remaja Islam hari ini bermula dari dalam rumah kerana anak-anak tidak mahu dan tidak tahu sembahyang.
Kem Anak Soleh adalah program biasa. Bukan projek bernilai berjuta-juta. Mengajar kanak-kanak bersembahyang dan patuh kepada perintah Allah. Tetapi akibat melupakan 'kerja kecil' inilah banyak kerosakan besar berlaku dalam masyarakat.
Ketua Pengarah Pendaftaran Negara (JPN), Dato' Alwi Ibrahim mendedahkan bahawa pada tahun 2009 seramai 17,303 anak luar nikah didaftarkan. Seramai 16,541 tahun 2008 dan 16,100 tahun 2007.
Dalam tempoh lima tahun lalu JPN mencatatkan 74,723 anak luar nikah dari kalangan umat Islam. Angka itu amat menakutkan bagi golongan beriman walaupun ia tidak menjadi apa-apa kudis terhadap konsep 1Malaysia.
Jika dalam isu-isu yang membabitkan wang ringgit atau kenikmatan duniawi yang tercalar manusia cepat-cepat melahirkan bantahan, demonstrasi, memorandum dan segala macam protes diluahkan terhadap pihak yang dianggap bertanggungjawab. Namun berbeza pula dengan isu keruntuhan moral.
Parti-parti politik boleh berhimpun di hadapan kompleks pentadbiran kerajaan untuk membantah isu keputusan bekalan air, kenaikan harga minyak atau menentang cubaan kerajaan guna ketegasan untuk mengutip tunggakan perumahan awam. Tetapi mereka tidak pula berhimpun untuk mendesak kerajaan mengambil tindakan segera terhadap kegawatan akhlak yang melanda rakyat negara ini. Isu perut kempis (kelaparan) menjadi lebih besar daripada isu 'perut besar' yang telah menjahanamkan zuriat keturunan manusia.
Hari ini jika kita menatap media maklumat, maka pelbagai jenis kehancuran akhlak dapat dibaca. Kejahatan yang tidak pernah didengari dulu, kini muncul. Seolah-olah dunia ini sudah lengkap dengan inovasi kejahatan.
Manusia yang melakukan kerja dakwah sejak zaman Rasululah SAW tidak pernah berkurang bahkan bertambah sejajar pertambahan manusia. Malangnya pertambahan kebatilan lebih cepat dan melebar. Jika dakwah hanya di masjid, surau serta premis yang munasabah dengan kerja penyebaran ilmu dan kesedaran; tetapi mesej maksiat dan mungkar masuk ke dalam setiap rumah melalui peti televisyen dan media kedua.
Kerja dakwah perlu permit dan tauliah tetapi penyebaran kebatilan dibenarkan kepada sesiapa sahaja. Ia semacam diizinkan kerana sebahagian besar mungkar hari ini tidak lagi dianggap mungkar jika masyarakat umum menerimanya.
Ia gabungan pemikiran sekular dan demokrasi. Misalnya homoseksual dan lesbian dibenarkan di Barat kerana majoriti menerimanya. Di negara kita walaupun belum ke tahap itu tetapi banyak sudah perkara-perkara yang dulunya haram tetapi sekarang 'nampak macam halal' apabila masyarakat umum tidak lagi membantah. Itu semua adalah bibit-bibit kehancuran akhlak dan agama.
Persoalannya, apakah isu-isu yang berkaitan dengan kemungkaran dan melakukan kerja-kerja pengislahan tidak lagi menjadi keutamaan kepada parti-parti politik sekarang? Tentulah yang dimaksudkan ialah parti Islam kerana parti sekular seperti Umno tiada agenda Islam dalam perjuangan justeru tiada apa-apa kesalahan bagi mereka jika tidak melakukan kerja amar makruf nahi mungkar.
Hanya satu parti Islam di Malaysia iaitu PAS. PAS kononnya lebih banyak mengatur program ceramah perihal isu duniawi dan kuasa daripada menyusun program menyedarkan masyarakat supaya menjauhi kemungkaran, menunaikan solat dan mengamalkan cara hidup Islam. Soal dakwaan itu betul atau tidak tidak perlu dijawab. Apa yang penting ialah memahami realiti tentang kehancuran moral masyarakat yang semakin parah hari ini, walhal langkah mengatasi kemelut itu terlalu sedikit.
Di kalangan masyarakat Islam yang belum kenal perjuangan Islam, mengajak mereka menjauhi mungkar dengan mengamalkan Islam tentulah lebih penting daripada mengajak mereka menjauhi Umno. Sebab apabila mereka sudah kenal Islam maka secara automatik mereka akan membenci perjuangan sekular yang berkiblatkan kebendaan.
Dalam pilihan raya kampus yang diadakan di IPTA di negara ini, kawasan fakulti pengajian Islam biasanya dimenangi dengan mudah oleh kumpulan pro-Islam. Dr Mahathir sewaktu menjadi Perdana Menteri telah menghentikan bantuan kepada sekolah agama rakyat. Tujuannya untuk mematikan terus sekolah agama rakyat. Dengan terus terang dia memberitahu bahawa sekolah agama rakyat adalah tempat melahirkan kader-kader PAS yang tentunya menjadi ancaman kepada Umno.
Dengan hujah tersebut, jelaslah mengatur program pengislahan terhadap masyarakat yang semakin menjauhi agama menjadi lebih penting dari menyedarkan mereka perihal isu semasa. Tiada perlu mengorbankan salah satu antara kedua-dua kerja tersebut tetapi mengetepikan kerja dakwah dan pengislahan sangatlah merugikan.
Program Kem Anak Soleh anjuran kerajaan negeri Kedah adalah antara agenda untuk mengislahkan masyakat. Perlu ada berpuluh-puluh lagi program seumpama itu dibuat, terutama oleh sayap-sayap parti politik Islam di samping yang dibuat oleh kerajaan yang dikuasai PAS.
Oleh: Haji Zulkifli Yahya (Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kedah)
0 comments:
Post a Comment