Jom Infaq!!!

Jom Infaq!!!

TERKINI DARI SEDAKASEJAHTERA.COM

Semakin Sihat : Sultan Kelantan bersama anak-anak yatim

Buat pertama kali setelah hampir setahun gering, Sultan Kelantan Sultan Ismail Petra berkenan bertemu rakyat, dalam keadaan baginda yang seringkali tersenyum dan semakin sihat, pada satu majlis di Istana Mahkota di Kota Bharu hari ini.

Sultan Ismail, yang berpakaian kemeja hitam bercorak bunga putih, berkenan untuk bertemu rakyat jelata pada 5.20 petang dengan menaiki kerusi roda dan diiringi Raja Perempuan Kelantan Tengku Anis Tengku Abdul Hamid pada majlis meraikan 150 anak yatim Taman Sabariah dan pemberian sumbangan zakat.

Baginda turut berbual dengan kenalan lama, malahan Tengku Anis pula sempat berseloroh dengan bertanya sama ada baginda ingin menyanyi.

Sambil tersenyum baginda bertitah: "Dok... tok se nyanyi (Tidak... tidak mahu menyanyi). Payoh (susah)."

Biarpun suara baginda serak dan agak sukar untuk melafazkan kata-kata namun senyuman yang sentiasa terukir di bibir membuktikan keadaan kesihatan baginda yang semakin pulih.

Turut hadir pada majlis itu adalah Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra dan bekas pengerusi Majlis Perajaan Negeri, Tengku Abdul Aziz Tengku Hamzah di samping bekas setiausaha kerajaan negeri, Datuk Wan Hashim Wan Daud yang juga `setiausaha sulit' baginda.

Zamri Tak Yakin BN Boleh Menang Di Perak Penyebab Tak Bubar DUN

Zambry: Tiada pilihan raya walaupun kajian positif
Menteri Besar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir (bawah, kiri) berkata kerajaan negeri tidak berhasrat membubarkan dewan undangan negerinya (DUN) bagi mengadakan pilihan raya baru sekalipun hasil kajian menunjukkan Barisan Nasional (BN) berupaya untuk menang.

Beliau berkata, buat masa ini kerajaan negeri pimpinannya itu mahu menumpukan kepada agenda pembangunan Perak selain mengotakan janji kepada rakyat negeri berkenaan.

"Terima kasih atas hasil kajian itu dan yang pasti ada pihak yang tidak gembira dengannya. Apa yang lebih penting bagi kita ialah kerajaan BN di Perak kini melaksanakan perkara yang betul dan berada di landasan yang betul untuk memenuhi janji ke arah kebaikan rakyat," katanya kepada pemberita di Selama, hari ini.

Bagaimanapun, Zambry yang ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat Exco negeri berkata, hasil kajian itu mendorong BN Perak untuk bekerja keras dalam melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat.

Beliau diminta mengulas kajian oleh sebuah badan pemikir bebas, Ilham Center yang menunjukkan sokongan majoriti rakyat Perak telah beralih kepada BN dan parti itu boleh memenangi pilihan raya DUN jika ianya diadakan sekarang.

"Dalam penilaian saya, rakyat akan memberi mandat baru apabila tiba pilihan raya berdasarkan apa yang kita laksanakan untuk mereka," katanya.

TAHNIAH DI ATAS PELANCARAN KELAB BAHASA INGGERIS DI MTI DERANG

Pada 5.4.2010 Isnin malam yang lalu, saya bersama guru bahasa Inggeris , Mohd Firdaus Salleh ke MTI Derang bagi melancarkan Kelab Bahasa Inggeris di MTI Derang .Kelab yang julnug - julung kalinya diwujudkan ini diharapkan mampu menjadi perintis kepada para pelajar di MTI derang yang mendalami ilmu Islam menggunakan Bahasa Inggeris sebagai medan menyampaikan dakwah Islam kepada masyarakat sekaligus mampu menangkis segala tohmahan musiuh Islam . Saya mengharapkan para pelajar yang terlibat tekun dan sabar dalam mempelajari Bahasa Inggeris . Saya juga mengambil kesempatan ini mengucapkan syabas dan tahniah kepada Mudir Am MTI Ustaz Abd Majid Bakar kerana berjaya mewujudkan kelab ini dan juga kepada sahabat saya Mohd Firdaus salleh yang bertungkus lumus menjayakan kelab ini .


Mohd Firdaus sedang memberikan taklimat pada majlis pelancaran kelab tersebut.Nampak saja macam tu , tapi sebenarnya kelulusan dari Manchester . Jazakumullah.

Ejek UMNO-APCO : Mahfuz dirujuk ke JK Hak, Kebebasan Parlimen


Kedua-dua BN dan pembangkang hari ini berusaha sedaya upaya masing-masing untuk merujuk wakil seteru mereka ke jawatankuasa hak dan kebebasan parlimen.

Petang ini, seorang lagi wakil pembangkang Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) dirujuk ke jawatankuasa bekenaan.

Keputusan timbalan speaker Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar itu dibuat mengikut peraturan 26(1)(p).

Keputusan itu bagaimanapun menerima bantahan keras daripada wakil-wakil pembangkang, termasuk Mahfuz sendiri yang meminta penjelasan timbalan speaker berhubung keputusan berkenaan.

Usul untuk merujuk Mahfuz ke jawatankuasa itu pada asalnya dibawa oleh Datuk Ismail Mohamed Said (Umno-Kuala Krau) berikutan tindakan Mahfuz mengejek Umno dengan panggilan Umno-Apco berulang kali.

Mahfuz bertindak demikian ketika parlimen meluluskan bajet tambahan kerajaan secara belah bahagi petang ini.

Ternyata Noh Omar Hebat: Bukti Nyata SPR Alat Kepada UMNO BN


Selepas bertindak sebagai badan pemantau bebas dalam sembilan pilihan raya kecil sejak 2008, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan untuk tidak lagi mengiktiraf Badan Pemantau Pilihan Raya Bebas Malaysia (Mafrel) bagi memantau pilihan raya kecil Hulu Selangor.

SPR memutuskan untuk tidak lagi melantik Mafrel atas alasan ia telah melanggar syarat pelantikan — gagal mengemukakan laporan kerja pemantauan yang dilakukan semasa kesemua sembilan pilihan raya kecil sejak Ogos 2008.

Mafrel merupakan satu-satunya badan pemantau tempatan yang telah diiktiraf SPR untuk memantau perjalanan pilihan raya khususnya sejak enam tahun lalu.

“Kami tidak lagi melantik Mafrel sebagai badan pemantau bebas bagi SPR ketika pilihan raya kecil di Hulu Selangor,” kata Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Difahamkan Mafrel kemungkinan hilang pengiktirafan SPR selepas ini, tetapi boleh terus bertindak sebagai antara salah satu badan bukan kerajaan pilihan raya.

Penamaan calon pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor diadakan 17 April ini manakala hari pengundian pula dijadual 25 April.

Lazimnya pelantikan SPR membolehkan Mafrel diberi ‘lesen’ untuk memantau perjalanan pilihan raya bermula dari hari penamaan calon sehingga hari pengundian.

Sehubungan jelas Wan Ahmad, apa sahaja kenyataan yang dikeluarkan Mafrel adalah atas kapasitinya sebagai pertubuhan bukan kerajaan dan tiada kaitan dengan SPR.

“Itu kenyataan-kenyataan Mafrel (mengecam pengumuman kerajaan BN di Hulu Selangor), itu tiada kaitan dengan SPR,” katanya.

Menurut Wan Ahmad, keputusan untuk tidak melantik lagi Mafrel tiada kaitan dengan kenyataan Timbalan Pengerusi Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar kelmarin, yang mendakwa Mafrel tidak layak memantau pilihan raya kecil Hulu Selangor.

Noh mendakwa Mafrel bukan satu badan berwibawa kerana mengeluarkan kenyataan sebelah pihak semata-mata.

“Ini kerana kami telah membuat keputusan itu lebih awal lagi,” katanya.

Wan Ahmad berkata, SPR telah berulang kali meminta Mafrel supaya mengemukakan laporan kepada SPR selepas berakhirnya setiap pilihan raya kecil tetapi tidak diambil berat.

“Kita telah memberi peringatan demi peringatan kepada Mafrel supaya menghantar laporan tetapi sejak sembilan pilihan raya kecil, bermula dari Permatang Pauh tiada laporan yang diterima SPR,” katanya.

“Itu syarat pelantikan Mafrel oleh SPR, menghantar laporan pemantauan... sejak pilihan raya kecil Permatang Pauh (pada Ogos 2008) sehingga pilihan raya kecil Bagan Pinang tahun lalu, Mafrel tidak menghantar laporan walaupun diminta berbuat demikian,” tambah Wan Ahmad dengan menyifatkan Mafrel telah “mereka melanggar syarat pelantikan.”

Terdahulu dalam kenyataannya kepada The Malaysian Insider, Pengerusi Mafrel Syed Ibrahim Syed Noh menegaskan tiada mana-mana pihak sama ada SPR ataupun ahli politilk termasuk Noh berhak untuk menghalang daripada membuat pemantauan perjalanan pilihan raya.

Bagaimanapun Syed Ibrahim berkeyakinan kerjasama baik sedia terjalin antara pihaknya dengan SPR akan berterusan untuk melihat perjalanan pilihan raya bebas dan adil bagi semua.

“Apa yang dikatakan oleh Datuk Noh adalah hak beliau dan kami pun ada hak untuk memberikan pandangan,” kata beliau.

Semalam Noh menggesa SPR supaya mengkaji semula peranan Mafrel sebagai pemantau bebas pilihan raya atas alasan ia menjadi alat kepada parti pembangkang kerana didakwa tidak bersikap bebas dalam menyatakan pandangannya dan tidak layak dilihat sebagai sebuah badan yang benar-benar menyalankan peranannya.

Noh berkata Mafrel sepatutnya menegur kedua-dua sekali, bukan hanya BN kerana Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dari Pakatan Rakyat juga mengagihkan geran tanah kepada penduduk tetapi tidak ditegur.

Beliau mempertikaikan kredibiliti Mafrel yang menyelar tindakan kerajaan pusat meluluskan projek perumahan dan sekolah kepada penduduk di Hulu Selangor yang didakwanya menyalahi peraturan pilihan raya.

Jelas Syed Ibrahim, Mafrel telah menjalankan peranannya sejak 2001 termasuk pilihan raya negeri Sarawak pada 2006 dan siri pilihan raya kecil.

“Kami memantau dari luar dan dari dalam lingkungan hari pilihan raya. SPR mengiktiraf kami dan meminta kami memantau pada hari pengundian.

“Jadi kami membuat kerja sepanjang masa dan dari dalam ketika hari pengundian. Apa yang tidak betul kami tegur dan laporkan dan apa yang baik kami kata baik,” katanya.

Oleh itu tegas beliau, Mafrel tidak terikat dengan mana-mana pihak. -MI

Kuncu2 Samy Vellu Kaki Pukul, Pengundi India Tolak Gelagat Samseng MIC


Tindakan kuncu-kuncu Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu memukul seorang aktivis sosial semasa satu majlis di Bukit Sentosa, Rawang Ahad lalu telah menyebabkan penduduk hilang keyakinan kepada parti komponen Barisan Nasional itu.

Aktivis sosial itu, S.Nadarajah yang bekerja sebagai perunding pengurusan memberitahu sidang media di lobi Parlimen hari ini beliau telah dipukul oleh beberapa individu yang didakwa ada hubungan dengan bekas menteri itu sewaktu menghadiri program di kawasan tersebut.

"Pada 4 April lepas lebih kurang pukul 5 petang saya telah pergi ke Taman Bukit Teratai di Bukit Sentosa, Rawang dengan tujuan untuk memberi perkhidmatan sosial disana.

Bila tiba disitu saya dapat ada satu perhimpunan yang turut dihadiri oleh Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu.

"Pada masa tersebut saya telah bertanya pada Samy Vellu berkaitan dengan saham Maika Holding yang saya juga sebagai pemegang sahamnya. Sebelum sempat saya menerima apa-apa jawapan dari beliau, orang suruhan beliau seramai enam orang telah memukul saya termasuk seorang jurugambar dari akhbar Tamil Nesan.

"Mereka telah memukul anggota badan saya dengan menendang dan menumbuk selain mencubit. Tindakan pantas mereka menyebabkan saya tidak sempat mengelak dan melakukan apa-apa. Samy Vellu yang ada disitu tidak mengambil apa-apa tindakan menghalang selain berdiam diri, tindakan tersebut seolah-olah beliau bersubahat dengan kumpulan terbabit.

"Saya kesal pendirian seorang pemimpin parti yang menyokong kaum India hanya melihat sahaja bangsa yang sama dengannya dipukul dan ini adalah imej yang sebenar Samy Vellu dalam perjuangannya yang dikatakan membela kaum India negara ini," kata Nadarajah.

Nadarajah juga menjelaskan beliau telah membuat satu laporan polis di Balai Polis Petaling Jaya pada hari yang sama.

Sahabat blog: http://greenboc.blogspot.com/

Piala FA - Kenari diharap Ulangi kejuaraan : Timbalan Presiden Bola Sepak Melayu Kedah


SUNGAI PETANI - Ahli Parlimen Jerai merangkap Timbalan Presiden Bola Sepak Melayu Kedah, Mohd Firdaus Mohd Jaafar berharap agar pasukan bola sepak Kedah, Skuad Kenari terus mengungguli Kejohanan Bola Sepak TM Piala FA yang bakal berlangsung di Bukit Jalil tidak lama lagi.

Mohd Firdaus berkata, beliau memohon Skuad Kenari agar terus membawa harapan rakyat Kedah dan peminat pasukan hijau kuning untuk mengulangi kejuaraan di Piala FA seperti dua tahun berturut-turut sebelum ini.

Menurutnya, beliau berharap imbuhan bukan faktor utama kepada tuntutan kemenangan skuad terbabit namun perlu diberikan perhatian kepada sejarah mengulangi kemenangan dan kejuaraan Piala FA agar pasukan bola sepak Kedah terus gemilang dalam arena bola sepak negara.

“Dengan kejuaraan yang sangat diharapkan oleh peminat, pasukan Kedah ini juga akan dijadikan sebagai hadiah kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) sendiri iaitu Menteri Besar Kedah.

“Jadi saya berharap Skuad Kenari akan bermain secara bermati-matian untuk memastikan kejuaraan Piala FA terus kekal milik Kedah dan imbuhan yang diperoleh bukan satu ukuran namun kejuaraannya adalah yang paling penting,” katanya ketika menghubungi Sinar Harian dari sini.

Dalam perkembangan lain, Mohd Firdaus berkata, beliau menyeru peminat dan penyokong pasukan hijau kuning ini untuk turun beramai-ramai ke Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu ini untuk memberikan sokongan kepada Skuad Kenari yang bakal bertarung dengan pasukan daripada Negeri Sembilan.

Menurutnya, beliau berharap pasukan peminat dan penyokong hijau kuning dapat menjaga imej penyokong Kedah dan tidak menimbulkan kekecohan.

“Saya juga mengucapkan tahniah kepada Skuad Kenari yang telah berjaya ke peringkat akhir Piala FA dan berharap dapat menunaikan harapan penyokong Kedah untuk menjadi juara pada perlawanan itu,” katanya yang turut akan bersama peminat pasukan hijau kuning di Bukit Jalil pada hari berkenaan.

PENDEDAHAN HANGAT: Maklumat dicurigai - Kontrak Hostel RM77.8j

Lebih banyak kesilapan dan maklumat yang tidak lengkap dikesan dalam portal perolehan elektronik MyProcurement, kata wakil Petaling Jaya Utara Tony Pua.

Menurut beliau, maklumat di dalam portal itu juga tidak lengkap kerana hanya mengandungi maklumat kontrak daripada 16 buah kementerian.

"Kerajaan perlu menurunkan laman berkenaan segera, akui kesilapan mereka dan lancarkan semula," katanya.

Bercakap pada sidang media di parlimen hari ini, Pua berkata beliau juga menemui satu lagi maklumat yang dicurigai dalam portal berkenaan - satu kontrak untuk membina sebuah hostel 200 bilik dengan nilai RM77.8 juta.

"Lebih murah lagi kalau beri setiap orang pelajar itu sebuah banglo," katanya berseloroh.

Tambahnya, kementerian pelajaran perlu membuat penjelasan berhubung kontrak berkenaan.

Beliau juga mengaitkan kementerian pebangunan luar bandar dan wilayah yang menerima peruntukan sebanyak RM2.64 bilion melalui bajet 2009.

"Tap
i hanya RM15 juta (nilai kontrak) yang telah didedahkan di dalam portal ini.

Selain itu, beliau juga memetik maklumat kontrak daripada Jabatan Perdana Menteri yang memperoleh peruntukan sebanyak RM11.2 bilion sebelum ini.

Namun, kontrak yang dipaparkan di portal berkenaan bagi kementerian berkenaan hanyalah sebanyak 1.5% daripada jumlah peruntukan berkenaan.

"Ini akan meningkatkan kecurigaan bahawa kerajaan tidak mempunyai political will untuk membanteras rasuah," katanya lagi.

Portal MyProcurement merupakan pusat maklumat perolehan kerajaan yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

DIANAK TIRI : Konvensyen BN, Wakil MCA bertindak keluar dewan





Usaha Barisan Nasional untuk merampas Selangor dari Pakatan Rakyat dengan agenda konvensyennya di Shah Alam, hari ini menerima tamparan apabila 15 perwakilan MCA Kapar bertindak meninggalkan majlis itu.

Ketua MCA Kapar, Datuk Song Kee Chai yang dihubungi melalui telefon berkata antara punca tidak puas hati mereka ialah kerana MCA dianak-tirikan pada konvensyen berkenaan.

Antaranya, hanya lagu BN dan Umno dinyanyikan sedangkan lagu parti komponen lain tidak diendahkan.

“Konvesyen itu dianjurkan oleh BN, jadi menyanyikan lagu Umno tidak mencerminkan semangat BN dan juga 1Malaysia,” kata Song lagi.

Selain itu, katanya, hanya tetamu dan pemimpin utama dari Umno yang dijemput duduk di pentas utama. Mereka termasuk Datuk Mohd Zin, Datuk Seri Noh Omar, Shafei Abdullah dan seorang lagi.

Tiada tetamu ataupun pemimpin parti komponen lain yang dijemput ke pentas utama.

Menurut Song apa yang menghangatkan lagi suasana ialah ketika ucapannya, Noh Omar yang juga timbalan pengerusi perhubungan Umno Selangor berkata orang Melayu telah banyak berkorban demi rakan-rakan bukan Melayu.

Menurut Noh, rakyat bukan Melayu sepatutnya berterima-kasih kerana diberikan kerakyatan.

Noh Omar juga memetik ucapan daripada presiden keempat MCA, Tun Tan Siew Sin dan presiden kelima MIC, Tun VT Sambathan pada zaman era tahun 1960an yang memuji Umno kerana memberikan kerakyatan kepada bukan Melayu.

Song berkata bahagiannya menganggap ucapan Noh itu satu penghinaan kepada masyarakat Cina dan India di negara ini.

Di sebalik memulaukan sebahagian besar aktiviti konvensyen itu, Song dan ahli-ahlinya akan kembali petang ini untuk menghadiri pelancaran kempen 'BN Mampu Berubah, Sayangi Selangor Yakini BN dan Selangor Take Over Plan (STOP) PRU 13.

Sementara itu, setiausaha agung MIC, S Murugesan juga melahirkan rasa kurang senang kerana tiada pemimpinnya diletakkan di pentas utama.

"Nampaknya mereka seperti tidak menghormati kami,” katanya.

Bagaimanapun katanya, aduan sudah disampaikan oleh pengerusi penganjur, Mohd Zin yang berjanji memperbetulkan keadaan.

"Mereka telah meletakkan kerusi tambahan di pentas dan berjanji kepada saya bahawa lagu Umno tidak akan dinyanyikan pada sessi petang apabila Perdana Menteri, Najib Razak tiba.

"Jadi buat masa ini, saya tiada masalah,” katanya.

Mahkamah Tinggi Syariah jatuhkan Hukuman Penjara setahun & Sebatan kepada Pesalah Minum Arak


KUANTAN: Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan hari ini menjatuhkan hukuman penjara setahun dan enam sebatan ke atas seorang tukang masak Maahad Tahfiz, Kuantan yang mengaku bersalah meminum arak.

Mohd Sabri Zulkepli, 24, mengaku bersalah meminum arak di kompleks beli belah Kuantan Parade pada 13 Februari lalu, jam 5.30 petang dan didakwa mengikut Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1987.

Hakim Syarie, Datuk Abdul Rahman Md Yunos, ketika menjatuhkan hukuman itu berkata, hukuman penjara dan sebatan itu adalah sebagai pengajaran supaya tertuduh dapat menginsafi diri daripada perbuatan itu.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam sebelum itu memohon supaya hukuman ke atasnya diringankan memandangkan pendapatannya sebagai tukang masak hanyalah RM550 sebulan.

Tertuduh yang belum berkahwin, sebelum ini mengaku tidak bersalah pada 18 Februari lalu ketika mula didakwa, sebelum menukar pengakuan kepada bersalah pada 13 Mac dan mengekalkan pengakuan bersalah pada 24 Mac lalu.

Hakim menetapkan hukuman penjara itu berkuatkuasa bermula daripada tarikh tertuduh ditahan iaitu pada 13 Februari lalu.

"Hukuman sebat akan dilaksanakan ketika tertuduh menjalani hukuman penjara itu," kata Abdul Rahman.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Syarie Farhana Md Yusuf.

P094 : PM Sahkan MIC Bukan UMNO yang bertanding...

Persoalan parti mana dari komponen BN yang akan bertanding dalam pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor terjawab hari ini apabila perdana menteri berkata ia akan ditandingi oleh calon dari MIC.

"Kerusi (parlimen) Hulu Selangor akan ditandingi oleh seorang calon dari MIC, kerana itu kerusi MIC," kata Datuk Seri Najib Razak kepada pemberita di Shah Alam hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak mengumumkan siapakan calon dari MIC itu.

"Biar calon ditentukan oleh pengerusi BN (Najib) sebab saya nak kita menang," kata Najib yang juga pengerusi BN.

Sebelum ini, MIC telah mengemukakan timbalan presidennya, Datuk G Palanivel untuk bertanding sekali lagi di Hulu Selangor.

Umno bahagian juga mendesak supaya kerusi itu dikembalikan kepada Umno.

Bagaimanapun, semalam dilaporkan bahawa, Umno boleh menerima calon dari MIC tetapi bukan Palanivel.

'Makam kita tak sama'

Sementara itu, naib ketua Umno bahagian Hulu Selangor, Datuk Adnan Buyong, ketika diberitahu mengenai pengumuman najib itu berkata:

"Nak tanya apa? Pemimpin sudah umum. Dia pemimpin kita, apa dia cakap kita kena terimalah," katanya.

Ditanya sama ada ia akan memberi kesan negatif kepada pengundi, Adnan menjwab:

"Kita sebelum ini bagi pandangan sahaja. Dia mungkin ada kajian dia (yang tersendiri). Dia pemimpin, makam (kedudukan) kita tak sama.

"(Ketawa) Apa dia kata kita kena terimalah," kata Adnan.

Beliau bagaimanapun tidak mahu mengulas panjang kerana sedang sibuk berkonvenysen di Shah Alam.

Sementara itu, Najib berkata walaupun mungkin terdapat pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusannya memberikan laluan kepada MIC, ia hanya "merupakan adat biasa".

Batu loncatan pulihkan BN

"Kita ada beberapa perhitungan lain. Tetapi macam mana pun bila sampai kepada penentuan calon, mesti ada orang yang setuju dan ada yang tidak setuju.

"Itu merupakan adat biasa. Yang penting soal kepercayan dan kesetiaan. Setelah keputusan itu dibuat, mereka kena terima," katanya.

Ditanya sejauh mana pentingnya pilihan raya kecil di Hulu Selangor kepada BN, Najib berkata ia diharapkan menjadi "batu loncatan" ke arah pemulihan gabungan 13 parti pemerintah itu.

Perdana menteri juga yakin, berdasarkan kepada sentimen pengundi pada masa ini, sokongan memihak kepada BN.

"Bagaimanapun dalam pilihan raya kecil, ada faktor-faktor lain yang kita (perlu) ambil kira. Salah satu daripadanya, faktor calon. Sebab bila pilihan raya kecil, ia lebih fokus kepada calon.

"Kalau pilihan raya umum ia lebih kepada kepimpinan negara dan soal isu nasional," katanya.

Mangsa Tsunami di Kuala Muda Turut Merasai Gegaran Akibat Gempa Bumi Di Acheh


Gempa di Aceh: Gegaran dirasai di Kuala Muda, Kedah

ALOR SETAR: Gegaran akibat gempa bumi kuat berukuran 7.2 pada skala Richter di Sinabang, Aceh pagi ini turut dirasai di Kota Kuala Muda, kawasan nelayan yang dilanda tsunami pada Disember 2005.

Menurut saksi, kejadian itu tidak menyebabkan panik berikutan siren amaran tsunami yang dipasang oleh Jabatan Meteoroloji berdekatan pantai Kota Kuala Muda tidak dibunyikan.

Gempa berkenaan berlaku pada kedudukan 75 kilometer ke Tenggara Sinabang, berkedalaman 34 kilometer di bawah permukaan laut kira-kira 5.15 pagi ini waktu tempatan, dipercayai turut dirasai di beberapa tempat di Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

Pengerusi Taman Permatang Katong (penempatan mangsa tusnami 2005), Yusoof Awang berkata beliau turut merasai gegaran itu semasa bersiap untuk ke laut menangkap ikan.

"Beberapa rakan nelayan yang berada di tepi pantai merasai gegaran akibat gempa itu kira-kira 6.15 pagi dan menelefon memberitahu saya mengenai kejadian itu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Yusoof berkata beliau bergegas ke tepi pantai untuk mendapatkan pengesahan mengenai kejadian itu sebelum menelefon nelayan-nelayan yang telah pun turun ke laut supaya pulang sebagai langkah keselamatan jika berlaku ombak besar.

"Ada yang baru melabuh pukat terus mengarau pukat... yang telah melabuh pukat memperoleh sedikit tangkapan. Kira-kira pukul 9 pagi ramai antara mereka tiba di pantai," katanya.
Sementara itu, seorang penghuni Taman Permatang Katong, Salmah Ismail, 75, berkata beliau merasai gegaran semasa dalam perjalanan ke surau taman itu kira-kira 6.15 pagi.

"Gegaran dirasai di sekitar kawasan rumah. Mulanya saya rasa cemas namun menjadi tenang dalam beberapa saat apabila keadaan kembali normal," kata mangsa tsunami pada 2005 itu. - Bernama

Karpal Singh digantung 10 hari - Kata Speaker DIKTATOR

KUALA LUMPUR, 7 April: "(Tan Sri Pandikar Amin Mulia) duduk atas kerusi (Speaker Dewan Rakyat) dan jadi diktator," Pengerusi DAP Kebangsaan Karpal Singh bertegas di Dewan Rakyat.

Akibat kenyataannya itu, beliau digantung dari menghadiri sidang dewan selama 10 hari.

Bercakap dalam suatu sidang media di lobi Parimen, beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor berkata, kenyataannya itu adalah suatu hak sebagaimana menurut pada aturan mesyuarat 18.2, memandangkan Pandikar Amin acap kali mengetepikan usul-usul Ahli Parlimen Pakatan Rakyat.

Menganggap hukuman yang dialami itu sebagai sesuatu yang tidak adil, beliau turut menyindir Pandikar Amin.

"Barangkali Tuan Speaker perlu berehat," beliau menambah.

Bercakap pada sidang media yang sama, Datuk Mahfuz Omar, Naib Presiden PAS berkata, sekiranya Pandikar bersikap adil dan menunaikan hak sebagaimana termaktub dalam Aturan Mesyuarat, kritikan ke atas beliau tidak akan berlaku.

Beliau turut menyuarakan rasa simpati dengan hukuman yang dikenakan ke atas Karpal.

Sebelum pada itu, Ahli Parlimen Batu Tian Chua mempersoal kredibiliti Pandikar Amin kerana menolak suatu usulnya pagi tadi di Dewan Rakyat.

Ekoran itu, Dewan Rakyat menjadi kesoh.

Kekecohan tersebut kemudiannya mendorong Karpal melabelkan Pandikar Amin sebagai diktator.

Menyedari teguran itu, Pandikar Amin mencabar Karpal mengulangi kenyataannya itu.

Karpal secara jelas mengatakan Pandikar Amin cuba menjadi seorang diktator di Dewan Rakyat.

******************************************************************************
Dari sumber MalaysiaKini

Karpal diarah keluar Dewan, gantung 10 hari
Apr 7, 10 12:17pm

Karpal Singh (DAP-Gelugor) hari ini digantung daripada Dewan Rakyat selama 10 hari berikutan tindakannya menyalahkan speaker yang didakwanya tidak mengikut keputusan yang dibuat sebelum ini.

Drama bermula apabila Tian Chua (PKR-Batu) bangun untuk meminta penjelasan daripada speaker berhubung notisnya untuk merujuk Datuk Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) ke jawatankuasa hak dan kebebasan parlimen.

Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata beliau memutuskan untuk menolak notis berkenaan, yang mengundang Tian untuk bangun dan terus meminta penjelasan.

Pandikar kemudiannya mengarahkan Tian supaya duduk, namun Karpal pula menghidupkan mikrofonnya dan berkata speaker telah melanggar keputusan yang pernah dibuatnya sendiri sebelum ini.

Karpal mengulangi kata-katanya itu sebanyak enam kali dan juga menggelarkan speaker dengan sebagai 'diktator'.

Pandikar memintanya mengulangi gelaran itu yang dipatuhi Karpal.

Tindakan itu membawa padah apabila Pandikar mengarahkannya keluar dewan.

"Saya menggunakan kuasa menurut Peraturan 44(2). Bentara, tolong keluarkan Bukit Gelugor," kata speaker ketika mengarahkan bentara menolak kerusi roda Karpal keluar dari Dewan.

Pandikar juga memutuskan Karpal digantung daripada parlimen bagi tempoh 10 hari.

Tindakan itu kemudiannya menerima bantahan daripada wakil-wakil pembangkang.

Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) kemudiannya bangkit dan berkata keputusan speaker itu tidak adil.

Pandikar kemudiannya berkata, beliau akan berlaku adil dan memutuskan untuk membuka undian secara belah bahagi ke atas usul yang dibawa oleh Tian.

Usul itu bagaimanapun ditolak apabila hanya 56 ahli parlimen menyokong usul berkenaan, berbanding 82 yang menentang.

Ketua Menteri Tolong Tengok Sat Rakyat Bawahan Nie... Dah 20 tahun kempunan, Segalanya Hampa..


Harapan penduduk Sungai Nibong dapat air, elektrik hampa

KUCHING: Ketika mengambil keputusan untuk berpindah ke tanah besar kira-kira 20 tahun lalu, beberapa penduduk dari Pulau Salak, mengimpikan kediaman mereka dilengkapi kemudahan asas seperti penduduk lain di negeri ini yang sudah lama menikmati pembangunan.

Kampung asal mereka yang terletak di atas sebuah pulau kecil di luar pantai Santubong itu tidak menerima kemudahan asas terutama bekalan elektrik 24 jam dan air bersih.

Berbekalkan harapan untuk menikmati kemudahan asas itu, mereka nekad membuka sebuah penempatan di kawasan paya bakau di tepi Jalan Pasir Pandak, yang terletak hanya kira-kira 20 kilometer dari pusat bandar raya Kuching.

Selepas rumah didirikan dan mereka berpindah pada 1992, penduduk memberi nama penempatan yang baru mereka buka itu sebagai Kampung Sungai Daun dan memohon untuk mendapatkan bekalan elektrik dan air bersih.

Seorang penduduk, Abdul Wahab Abdul Latif, 55, berkata walaupun permohonan kali pertama ketika mula-mula menetap di Kampung Sungai Daun tidak mendapat perhatian, mereka bersabar kerana percaya kemudahan asas yang diimpikan akan menyusul.

Berbekalkan keyakinan itu, semakin ramai penduduk dari Pulau Salak berpindah untuk membina rumah di tepi jalan berkenaan dan sehingga kini lebih 20 rumah sudah didirikan.
Abdul Wahab berkata, apabila semakin ramai penduduk berpindah dan menetap di penempatan baru itu, lagi sekali permohonan dibuat, namun kesudahannya mereka tetap hampa sehingga kini.

“Kami berpindah ke sini hampir 20 tahun lalu dengan harapan akan menikmati kemudahan asas seperti orang lain kerana di kampung asal kami di Pulau Salak, bekalan elektrik hanya menggunakan dari jana kuasa, manakala air pula mengharapkan hujan selain perigi.

“Namun nampaknya harapan kami itu sekadar tinggal harapan dan kami terus kempunan, kerana hingga kini tidak ada tanda bekalan elektrik dan air akan disalurkan ke kampung kami ini yang namanya sudah diubah menjadi Kampung Sungai Nibong,” katanya.

Lebih malang lagi, kata Abdul Wahab, ada pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan atas kesulitan mereka dengan menjanjikan bantuan untuk mengatasi masalah mereka.

“Bukan sekali tetapi dua kali, penduduk kampung ditipu individu tidak bertanggungjawab dari Kuching yang mendakwa boleh membantu menyelesaikan masalah kami kerana katanya dia kenal ‘orang dalam’ di pejabat agensi berkaitan yang membekalkan kemudahan asas itu.

“Kejadian itu berlaku empat lima tahun lalu apabila individu terbabit datang ke kampung kami dan meminta wang cengkeram sebanyak RM50 bagi setiap rumah dan berjanji untuk memasang paip air dari jalan utama ke rumah kami. Namun paip air yang dijanjikan itu tidak kelihatan sehingga kini dan wang penduduk pula lesap entah ke mana,” katanya.

Ekoran ketiadaan bekalan elektrik, penduduk terbabit masih menggunakan jana kuasa dengan membelanjakan RM100 hingga RM200 sebulan untuk membeli bahan api bagi bekalan enam jam sehari.

“Penduduk yang menerima bekalan elektrik 24 jam pun tidak membayar bil sebanyak yang kami belanjakan untuk membeli diesel setiap bulan,” katanya.
Saniah Khalid, 51, pula berkata beliau tidak tahu sampai bila mereka perlu bergantung kepada air hujan dan perigi untuk kegunaan harian.

“Negara sudah lama merdeka dan orang lain sudah menikmati segala nikmat pembangunan, tetapi kami masih lagi menadah air hujan untuk makan minum. Apabila musim kemarau pula kami terpaksa menggunakan air payau dari perigi,” katanya.

Rakyat Bawahan Makin Tertekan: Mulai 1 Julai Harga Stem Pos Naik Sekali Ganda...



KUALA LUMPUR: Harga setem pos dalam negeri akan lebih tinggi berkuatkuasa Julai ini sebagai sebahagian daripada strategi Pos Malaysia Bhd untuk meningkatkan produktiviti dan kecekapannya.

Ini adalah kali pertama Pos Malaysia menyemak harga (setem) sejak pengkorporatannya pada 1992, menurut kenyataan syarikat itu di sini hari ini.

Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Syed Faisal Albar, berkata kenaikan itu akan memberikan dana tambahan bagi Pos Malaysia menyediakan perkhidmatan yang lebih berkualiti, setara dengan amalan terbaik antarabangsa.

"Dalam tempoh 18 tahun kebelakangan ini, kami telah menyaksikan penyusutan berterusan jumlah mel awam dan Pos Malaysia telah mengambil langkah untuk mengawal kos di samping mengekalkan produktiviti kami.

"Pada masa yang sama, ini telah menjejaskan keupayaan syarikat melaraskan gaji posmen dan kerani kaunternya yang 19 peratus lebih rendah daripada rakan sejawatan mereka dalam kerajaan.

"Penstrukturan semula gaji posmen dan kerani kaunter akan dilakukan serentak dengan kenaikan harga setem pos domestik," katanya.

Penstrukturan semula gaji akan menjadi satu rangsangan moral bagi kaki tangan operasi sejajar dengan langkahnya untuk meningkatkan prouktiviti dan komitmen mereka ke arah memberikan perkhidmatan yang lebih berkualiti.
Apabila dilaksanakan nanti, harga setem pos domestik bagi mel standard seberat hingga 20 gram akan dinaikkan daripada 30 sen kepada 60 sen dan mel seberat hingga 50 gram harga setem akan dinaikkan daripada 40 sen kepada 70 sen.

Kenaikan harga ini juga membabitkan mel standard yang beratnya kurang daripada 50 gram, mel bukan standard yang beratnya kurang daripada 100 gram, bahan cetak berkala, PosDokumen, mel berdaftar dan bungkusan kurang daripada dua kilogram.

Bagaimanapun, kenaikan ini tidak membabitkan mel bukan standard melebihi 100 gram hingga dua kilogram, Peti Surat, beg berkunci dan serahan tingkap.

Pada masa ini, setem pos domestik (30 sen bagi mel standard yang beratnya hingga 20 gram) adalah yang terendah dalam Asean selepas Thailand.

Dalam kalangan negara Asean, harga setem pos domestik Filipina (pada berat yang sama) adalah yang tertinggi iaitu 66 sen, diikuti oleh Singapura (62 sen), Indonesia (54 sen) dan Brunei (47 sen).

Sementara itu, sejajar dengan aspirasi 1Malaysia Kerajaan, Pos Malaysia akan memperkenalkan Mel Rakyat pada Mei untuk memenuhi keperluan orang yang masih memilih untuk menggunakan perkhidmatan pos pada harga yang lebih rendah.

Mel Rakyat yang bentuk dan fungsinya serupa dengan mel udara, akan dikenakan kadar tunggal 30 sen bagi penghantaran ke mana-mana alamat dalam Malaysia.

Dengan Mel Rakyat, pelanggan individu yang menyumbang sembilan peratus jumlah mel Pos Malaysia, masih mempunyai pilihan menikmati kadar pos yang lebih rendah bagi keperluan mel domestik mereka. - Bernama

Lihat Gambar Sapa Nak Kenal Lebih lanjut Ketua Wira PERKASA, Arman Azha Hj Abu Hanifah

Ketua Wira PERKASA, Arman bersama isterinya

Ketua Wira PERKASA, Arman Azha Hj Abu Hanifah

Arman ketika menghadiri Mesyuarat Perwakilan Umno PJU

Ceramah Pemuda Pakatan: Pentasnya Atas Lori Sahaja.. Awat Lekeh Sangat Nie..


HULU SELANGOR, 7 April: Walaupun Pakatan Rakyat memerintah negeri Selangor, namun ceramah pentas Pemuda Pakatan Rakyat malam tadi tetap diadakan di atas sebuah lori usang tanpa menggunakan jentera kerajaan negeri.

Pentas pemuda yang berlangsung di Dataran Bandar Baru Bukit Sentosa malam tadi menampilkan ketiga-tiga tokoh ketua pemuda daripada PAS, PKR dan DAP.

Menurut Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hasan, program malam itu sebagai permulaan gerak kerja pemuda Pakatan Rakyat bagi membantu kemenangan Pakatan Rakyat di dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor pada 25 April ini.

Beliau menyatakan bahawa para pengundi dan rakyat Hulu Selangor mesti bijak mendengar dan menilai sendiri kejayaan pentadbiran kerajaan negeri Pakatan Rakyat dan tidak mempercayai propaganda yang di sebarkan oleh Umno dan Barisan Nasional.

"Ini penting kerana berita-berita di dalam televisyen, terutamanya TV1, TV2 dan TV3 menyembunyikan fakta kejayaan ini.

"Apa yang mereka tunjukkan, sedikit percakapan pemimpin kita yang telah dipotong dan pemberita pula yang banyak mengulas," tambahnya sambil memberikan contoh bagaimana Ketua Audit Negara mengakui pengurusan kewangan di negeri-negeri Pakatan Rakyat adalah yang terbaik.

Ketua Angkatan Muda Keadilan, Samsul Iskandar pula di dalam ceramahnya menjelaskan bagaimana berjuta-juta ringgit duit rakyat telah dibelanjakan untuk membayar syarikat zionis Israel.

"Ini sebagai bukti bahawa Umno dan Barisan Nasionallah sebenarnya yang mengkhianati perjuangan agama, bangsa dan negara," katanya.

Terdapat sedikit gangguan apabila pihak polis berkali-kali cuba meminta ceramah itu dihentikan dan lima minit sebelum Anthony Luke menghabiskan ceramahnya bekalan elektrik diputuskan secara tiba-tiba.

Ini menyebabkan mikrofon tidak dapat berfungsi dan Anthony terpaksa menguatkan suara di dalam ceramah tersebut.

Walau bagaimanapun, program itu tetap berjalan lancar seperti yang dirancangkan dengan kehadiran hampir seribu orang audien.

Program tersebut dipengerusikan oleh Sany Hamzan dan turut meriah dengan kehadiran Yaakob Sapari, Exco Kerajaan Negeri Selangor.

Celcom pi Tengok Sat.. Betul Ka Dah Tukar Slogan Baru Pulak Nie.. 'Semakin luas @ Semakin PENIPU'



Papantanda ini adalah papantanda sebenar yang didirikan di bulatan Jalan Tengah Nipah off Kastam Baru Lahad Datu; tetapi cogankata asalnya, ‘Semakin Luas @ Wilayah Celcom Broadband’ ditukarkan kepada ‘Semakin Luas @ Semakin Penipu’ sebagai tanda protes penduduk Lahad Datu terhadap Sistem Jalur Lebar Celcom.

Keghairahan Celcom yang menerajui sistem jalur lebar negara untuk melebarkan sayapnya ke Sabah yang mempunyai masalah pancaran kurang jelas, akibat sistem yang belum dikemaskini; menimbulkan kemarahan para pengguna broadband di daerah ini.

Ambilan Blog Sahabat : http://sentiasa.blogspot.com/

Tergamaknya Ketua Wanita UMNO: Shahrizat Perlu Minta Maaf Pada Warga Emas Di Pulau Pinang


Oleh Qayum Rahman
Kenyataan yang dikeluarkan Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil hari ini dengan menyatakan nilai warga emas diPulau Pinang hanya RM10 jelas menghina dan menyinggung perasaan mereka.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu menghina para warga emas di Pulau Pinang berhubung pemberian kerajaan negeri sebanyak RM100 setahun kepada warga emas.

Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff menyifatkan tindakan Shahrizat menghina warga emas di Pulau Pinang amat tidak wajar berikutan Shahrizat sendiri adalah anak kelahiran Pulau Pinang tetapi gagal memberi sebarang bantuan pada warga emas negeri kelahirannya sendiri.

"Shahrizat perlu meminta maaf dengan kenyataan yang dikeluarkannya dan sepatutnya malu atas tindakan tidak bermoral beliau yang membuatkan warga emas tersinggung.
"Kalau nak serang kerajaan negeri, tak perlulah membabitkan masyarakat warga emas yang perlu dihormati dan janganlah lupa daratan bagaimana kewujudan kita tanpa orang yang lebih tua daripada kita," katanya.
Beliau berkata, kenyataan yang dikeluarkan jelas menunjukkan Shahrizat adalah seorang menteri yang tidak tahu menghormati orang lain dan lupa daratan setelah bergelar orang kenamaan.

Kerajaan PR hargai warga emas Yusmadi berkata, walaupun hanya sedikit sumbangan yang disalurkan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang terhadap warga emas, perlu diingatkan bahawa kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) tidak pernah menitik beratkan keadaan kemiskinan warga emas.

"Pada hal kerajaan BN mampu memberi sumbangan yang lebih tinggi berbanding kerajaan-kerajaan negeri," tambah beliau.

"Sepatutnya Shahrizat sedar penghinaan yang dilontarkan beliau menyifatkan golongan warga emas Pulau Pinang tidak bernilai adalah salah dan perlu tahu bahawa warga emas juga memerlukan pembelaan bukan sahaja golongan wanita mahupun kanak-kanak.

"Warga emas Pulau Pinang berterima kasih kepada kerajaan negeri Pakatan Rakyat (PR) kerana mampu memberi sumbangan berbanding kerajaan BN yang hanya mengaut keuntungan sendiri," katanya lagi.

Yusmadi menyatakan tindakan yang dilakukan BN untuk menjatuhkan PR amatlah keterlaluan kerana ia telah melibatkan golongan yang tidak perlu dipergunakan sebagai permainan politik kotor semasa.

Beliau berharap Shahrizat dapat memohon maaf kepada warga emas Pulau Pinang dan juga berharap perkara sedemikian tidak berulang lagi.

Shahrizat mengeluarkan kenyataan kepada media "Saya nak tawarkan ucapan takziah kepada warga emas di Pulau Pinang kerana nilai mereka kepada kerajaan pakatan pembangkang hanya kurang daripada RM10 sebulan.Itulah dia nilai warga emas di Pulau Pinang," katanya semasa hadir di taklimat program basmi kemiskinan dan kebajikan Negeri Sembilan di Bilik Gerakan, Wisma Negeri hari ini.

Perisik Israel dalam PDRM Calar Maruah Raja-Raja Melayu


KUALA LUMPUR, 7 April: Zionisasi dalam jentera kerajaan termasuk kewujudan perisik Israel dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencabar dan mencalar maruah Raja-Raja Melayu, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar).

"Pasukan polis dikurniakan gelaran diraja sejak tahun 1958 lagi, oleh sebab itu tindakan membawa perisik Israel ke dalam pasukan tersebut dengan sendirinya mencabar dan mencalar maruah Raja-Raja Melayu.

"Ancaman tersebut semakin menakutkan apabila perisik-perisik Israel berkenaan terlibat dalam sistem komunikasi polis," kata beliau.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu memohon agar diadakan segera Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu bagi membincangkan ancaman keselamatan ke atas negara ini.

"Kita memohon jasa baik Raja-Raja Melayu untuk bertindak segera kerana tidak mungkin Perdana Menteri akan mengambil inisiatif membincangkan ancaman keselamatan tersebut kerana perisik-perisik Israel tersebut dibawa masuk oleh pihak yang dilantik oleh kerajaannya sendiri untuk menaiktaraf sistem komunikasi analog PDRM kepada sistem digital," katanya.

Mahfuz melihat apa yang berlaku itu sebagai ancaman kepada negara ini kerana institusi keselamatan negara seperti polis telah ditentukan hala tuju mereka dan ia terdedah kepada penguasaan Israel yang disifatkannya sebagai entiti haram pengganas.

"Ini sangat merbahaya kepada masa depan negara. Sepatutnya kerajaan perlu menjelaskan hal tersebut bukannya mengambil tindakan mengheret (Datuk Seri) Anwar yang mendedahkan perkara itu ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen bila beliau mendedahkan penglibatan tersebut, mengheret Anwar bukannya satu penjelasan.

"Pendedahan yang dibuat oleh Anwar itu merentasi persoalan 1Malaysia ataupun One Israel tapi ini soal maruah dan kedaulatan negara yang dipelihara bukannya dijual kepada pihak luar, lebih-lebih lagi pihak zionis.

"Perdana Menteri perlu berani memberi penjelasan bukannya menjadi seorang yang penakut berhadapan kenyataan sebenar kerana perlantikan itu atas keputusannya sendiri," katanya lagi.

Beliau juga menyifatkan apa yang berlaku itu sebagai semakin rancaknya proses zionisasi ke atas negara ini melalui proses ‘mengIsraelkan’ jentera-jentera kerajaan di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang sudah pun bermula dalam bidang komunikasi melalui pengambilan Apco Worldwide dan juga di dalam pasukan polis.

Beliau juga meminta rakyat membuat penilaian sama ada ahli-ahli Umno akan memilih kesetiaan dan patriotisme kepada negara tercinta ini atau kepada pemimpin mereka ‘mengIsraelkan’ jentera-jentera kerajaan.

Anwar semalam mendedahkan di Dewan Rakyat tentang kewujudan perisik Israel dalam PDRM.

Katanya, perkara berkenaan sebelum ini telah disahkan sendiri oleh cawangan khas Bukit Aman.

Bercakap ketika membahaskan bajet tambahan Kementerian Dalam Negeri di Dewan Rakyat semalam, Anwar turut mengemukakan beberapa dokumen bagi menyokong dakwaannya itu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh menamakan syarikat terbabit, Asiasoft Global PLC yang berpangkalan di Israel.

Katanya lagi, ini membuktikan maklumat negara telahpun dijual kepada ejen asing.

Beliau menyifatkan apa yang berlaku itu menunjukkan sikap kerajaan yang bermuka-muka.

"Tak iktiraf Israel tapi bersekongkol dengan rejim zionis yang kejam," katanya.

Demi Menaikkan Populariti Pemimpin Kerajaan Ketepi Pandangan Rakyat : Isu APCO



SHAH ALAM, 7 April: Tindakan segelintir Ahli Parlimen Umno/BN mempertahankan perjanjian antara kerajaan Malaysia dengan firma perundingan antarabangsa Apco Worldwide menghairankan di samping mengetepikan pandangan rakyat, kata Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaffar (gambar).

Baginya, rasa hairan tersebut timbul kerana kerajaan seolah-olah mengetepikan pandangan rakyat umum yang mengatakan Apco itu pro zionis-Israel.

"Ini yang paling menghairankan kita (di kalangan) Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (dan) rakyat umumnya (kerana) dalam kes Apco yang dikaitkan dengan zionis-Israel antarabangsa.

"(Kerajaan) tidak bertolak ansur dengan bukti-bukti yang didedahkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, apatah lagi untuk tarik balik," kata beliau dalam suatu ceramah politik di sini, malam tadi.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Kewangan Negara (PAC) berkata, walhal kerajaan masih boleh bertolak-ansur dalam cadangan menarik semula subsidi minyak, isu royalti minyak di Kelantan dan Terengganu serta cadangan melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sebelum ini.

"Kerajaan boleh bertolak ansur dalam (dan) ditarik balik (tangguhkan) GST apabila kita (Ahli Parlimen Pakatan Rakyat) dan rakyat bantah, begitu juga dengan subsidi (minyak), tetapi isu Apco ini tidak.

"Begitu juga dalam tuntutan royalti minyak, walaupun kerajaan tetap menafikan hak kerajaan negeri untuk mendapatkan royalti, kerajaan tetap beri 'wang ehsan' walaupun kita (Pakatan Rakyat) tak iktiraf pemberian tersebut, supaya rakyat tidak anggap kerajaan mengetepikan tuntutan mereka," ujarnya.

Bercakap pada pentas yang sama di Dewan MBSA Syeksyen 17, Khalid Samad, Ahli Parlimen Shah Alam berkata, rakyat perlu mengambil iktibar daripada kuasa rakyat dalam mengkritik secara terbuka ke atas cadangan kerajaan untuk melaksanakan GST, tarik subsidi minyak dan penafian hak rakyat Kelantan untuk mendapatkan royalti minyak.

Tambahnya lagi, kerajaan sebenarnya sudah berana dalam keadaan paling lemah berdasarkan amalan 'flip-flop' dalam ketiga-tiga isu tersebut.

Sehubungan itu, rakyat, penyokong Pakatan Rakyat dan Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Rakyat diajak terus berpadu dan menterjemahkan kritikan terhadap kerajaan dalam isu Apco tersebut dalam pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor tidak lama lagi.

Turut menyertai Kamaruddin dan Khalid antaranya ialah Saifuddin Nasution Ismail (Ahli Parlimen Machang merangkap Setiausaha Agung PKR) dan Haji Azli Haji Yusof (Pemangku Yang Dipertua PAS Kawasan Shah Alam).
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Murah Giler: Sapa Nak Order Klik Image

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.