Semakin Sihat : Sultan Kelantan bersama anak-anak yatim

Buat pertama kali setelah hampir setahun gering, Sultan Kelantan Sultan Ismail Petra berkenan bertemu rakyat, dalam keadaan baginda yang seringkali tersenyum dan semakin sihat, pada satu majlis di Istana Mahkota di Kota Bharu hari ini.

Sultan Ismail, yang berpakaian kemeja hitam bercorak bunga putih, berkenan untuk bertemu rakyat jelata pada 5.20 petang dengan menaiki kerusi roda dan diiringi Raja Perempuan Kelantan Tengku Anis Tengku Abdul Hamid pada majlis meraikan 150 anak yatim Taman Sabariah dan pemberian sumbangan zakat.

Baginda turut berbual dengan kenalan lama, malahan Tengku Anis pula sempat berseloroh dengan bertanya sama ada baginda ingin menyanyi.

Sambil tersenyum baginda bertitah: "Dok... tok se nyanyi (Tidak... tidak mahu menyanyi). Payoh (susah)."

Biarpun suara baginda serak dan agak sukar untuk melafazkan kata-kata namun senyuman yang sentiasa terukir di bibir membuktikan keadaan kesihatan baginda yang semakin pulih.

Turut hadir pada majlis itu adalah Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra dan bekas pengerusi Majlis Perajaan Negeri, Tengku Abdul Aziz Tengku Hamzah di samping bekas setiausaha kerajaan negeri, Datuk Wan Hashim Wan Daud yang juga `setiausaha sulit' baginda.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.