PR Perlu Tawan Putra Jaya! Inilah Jawapan Penyelesaian Segalanya

Bukan setakat Penasihat Undang-undang

- PROFESOR DR ABDUL AZIZ BARI

Meskipun Datuk Seri Mohd Nazri Tan Sri Aziz cuba menyerang keseluruhannya apa yang beliau buat dalam menangani gerak yang dimulakan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim nampak defensif.Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu sebenarnya tidak perlu membaca peruntukan perlembagaan kerana kita sudah tahu apa isinya. Bukan itu yang dibangkitkan oleh Ketua Pembangkang itu di Parlimen Selasa lalu.

Isu yang berbangkit dalam soal penasihat undang-undang negeri yang dihantar Jabatan Peguam ke Negara ke negeri-negeri itu ialah dakwaan sabotaj dan enggan menurut perintah. Meskipun gaji dibayar Kerajaan Negeri pegawai berkenaan – yang juga anggota Exco negeri – merujuk kepada Putrajaya dan bukan Menteri Besar. Inilah yang berlaku di Kelantan, Perak dan khabarnya di Selangor juga.

Kenyataan tegas Anwar itu sebenarnya telah lama saya suarakan; khususnya selepas timbulnya masalah antara Kerajaan Negeri di Kelantan dengan istana pada pertengahan 1996. Pada masa sama ia juga menghadapi tekanan daripada perkhidmatan tadbir negeri yang dipimpin setiausaha kerajaan. Ini pelik bunyinya tetapi di Malaysia hal-hal ganjil seperti ini boleh berlaku.

Di negara lain – sebagaimana yang kita lihat di United Kingdom April lalu – parti yang menang diberi laluan. Istana Buckingham tidak mengada-ngada atau kacau daun. Dalam pada itu para pegawai kerajaan dibenarkan menemui parti yang akan membentuk kerajaan baru.

Berbalik kepada Nazri, beliau sepatutnya ditanya mengapa Kerajaan Persekutuan yang UMNO terajui menubuhkan JPP di negeri-negeri yang ia jadi pembangkang. Soalan ini penting sebab Nazri mahu kita ikut perlembagaan sedangkan JPP itu bertentangan dengan konsep negara persekutuan yang ada di Malaysia dan di seluruh dunia. Saya tidak anti UMNO. Saya cuma mahu permainan yang baik; mengikut peraturan. Pemain hebat seperti Diego Maradona pun dikritik apabila dia menjaringkan gol dengan tangan! Kritikan itu masih kita dengar sampai sekarang meskipun yang salah ialah pengadil membenarkan gol curi itu. Bukan dia.

Apa yang didakwa dilakukan pegawai persekutuan di negeri yang Pakatan perintah itu sebenarnya tidak berbeza dengan sikap pasukan polis. Cuma ia tidaklah seteruk pada 1999-2004 di Terengganu apabila ketua mereka di situ, Datuk Othman Talib dengan selamba meremehkan penentangannya kepada kerajaan pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai Menteri Besar.

Sebenarnya ada masalah lebih besar dalam isu yang Anwar bangkitkan itu. Ia berkait dengan kedudukan tiga pegawai kerajaan dalam Exco. Tak kiralah pegawai PTD, pegawai Kamar Peguam Negara atau pegawai perkhidmatan tadbir negeri. Dalam konteks kerajaan bertanggungjawab yang menjadi tunjang dalam sistem demokrasi berparlimen atau Westminster, kerajaan – yakni Kabinet atau Exco negeri – perlu menjadi ahli Dewan. Pegawai bukan ahli Dewan sebab mereka tidak dipilih rakyat. Sebab itu mereka disebut sebagai ahli kerana jawatan; yakni ahli ex-officio.

Peruntukan itu adalah peninggalan sistem yang dibina Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 yang kita kekalkan. Ada banyak sebab kita boleh kemukakan mengapa peruntukan ini perlu dimansuhkan. Tetapi biarlah ini kita bincangkan pada ruangan lain.

Terlanjur membincangkan peruntukan mengenai Kerajaan Negeri sebenarnya di Sabah pun ada peruntukan yang ganjil. Peruntukan ini membenarkan pelantikan ahli DUN, dan peruntukan inilah menyebabkan berlakunya krisis di Sabah selepas pilihan raya negeri 1985 apabila pemimpin Usno Tun Datu Mustapha, menggunakan peruntukan itu, menyerbu masuk ke istana dan meminta Yang di-Pertua Negeri Tun Adnan Robert melantiknya sebagai Ketua Menteri.

Peruntukan-peruntukan yang sedemikian itu bukan sahaja ketinggalan zaman, tetapi bertentangan dengan demokrasi, dan kita sudah lihat bagaimana ia digunakan untuk membuat sabotaj. Rakyat perlu prihatin soal ini.

Apa pun Anwar tidak perlu bertindak sekarang kerana sebagaimana diduga, musuh mereka akan menyeret istana. Ini kita dapat hidu dalam sidang akhbar Nazri Rabu lalu. Apa yang Anwar perlu buat ialah pastikan Pakatan berada di Putrajaya terlebih dahulu. Tanpa kuasa persekutuan sukar untuk Pakatan membuat perubahan. Dengan kuasa itu saya rasa mudah sedikit untuk mereka berkira dengan istana. Tetapi sebenarnya kuasa tadi jarang digunakan, itu mungkin kerana UMNO tidak lupa membawa persembahan yang baik-baik. Ini hanya boleh Anwar sembahkan kalau beliau duduk di Putrajaya. -SH

Belum Apa2 Dah Kata Huru Hara : Sistem Komputer Boleh Laksanakan, Jika Betul2 Nak Buat.. Cuma Alasan Tak Mau Buat Saja...

PETALING JAYA: Cadangan pelaksanaan sistem pendaftaran pengundi secara automatik akan menimbulkan huru-hara dan mengganggu kelancaran proses pilihan raya pada hari pengundian.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, adalah mustahil melaksanakan sitem itu kerana maklumat yang dibekalkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kepada suruhanjaya berkenaan tidak dikemaskini.

“Kita ada masalah untuk dapatkan maklumat terkini daripada JPN, kerana waris si mati tidak mengambi sijil kematian daripada JPN.

“Ini menyebabkan maklumat mengenai orang yang telah meninggal dunia tidak dapat dikemaskini dan dibersihkan daripada daftar pemilih yang dikeluarkan oleh SPR. Jadi kami tidak boleh dipersalahkan 100 peratus dalam hal ini,” katanya kepada mStar Onlineketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan yang dikemukakan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menggesa SPR melaksanakan sistem daftar pemilih automatik bagi menggalakkan lebih ramai orang muda mendaftar sebagai pengundi pada PRU13.

Abdul Hadi berkata masalah tersebut dapat mengatasi masalah pengundi yang tidak seimbang mengikut pecahan kaum.

Mengulas lanjut Abdul Aziz berkata, SPR turut menghadapi kekangan untuk melaksakan sistem berkenaan kerana pihaknya menggunakan kad pengenalan sebagai dokumen rasmi untuk menentukan kawasan mana seorang pengundi itu layak mengundi.

“Jika pengundi tidak mengemaskini alamat tempat tinggal semasa mereka, bagaimana SPR hendak tentukan daerah mengundi yang sesuai.

“Apabila mereka tidak dapat mengundi kerana pusat mengundi jauh daripada tempat tinggal mereka ini sudah pasti akan menyalahkan SPR, sedangkan setiap kali kita bertukar alamat mereka perlu memaklumkan kepada JPN mengenainya,” katanya.

Oleh itu, beliau menyeru agar pengundi baru mendaftar awal dan mengemaskini alamat semasa mereka bagi mengelakkan keadaan huru-hara pada hari pengundian.

“Pihak kami sentiasa memberi peringatan melalui media elektronik, cetak mahupun secara atas talian untuk memaklumkan kepada orang ramai mengenai perlunya mereka mengemaskini alamat mereka.

"Namun masalah ini tetap berlaku, orang ramai masih lagi dengan sikap endah-tak endah dengan perkara ini. Jadi untuk mengatasi masalah ini SPR turut mendapatkan maklumat terkini pengundi daripada pihak polis, hospital dan pihak berkuasa tempatan,” ujarnya.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai tarikh PRU13, Abdul Aziz berkata masih terlalu awal untuk menentukan tarikh yang sesuai untuk melaksanannya.

“Kita ada lebih kurang tiga tahun lagi sebelum Parlimen boleh dibubarkan. Masih terlalu awal untuk membuat ramalan mengenainya.

“SPR juga akan membuat pengumuman rasmi mengenai urusan persempadanan semula kawasan pilihan raya bermula pada 21 Mac tahun hadapan,” katanya.

Sebelum ini, timbul desas-desus yang menyatakan bahawa pilihan raya umum akan datang akan diadakan lebih awal daripada tahun 2013.

Zaid 'belanja' Raja Petra, Bala ais kacang


Penyelaras Pakatan Rakyat, Datuk Seri Zaid Ibrahim mengesahkan bahawa beliau akan bertemu dengan penyiasat persendirian, P Balasubramaniam dan blogger Raja Petra Kamaruddin untuk makan dan minum bersamanya selepas polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) enggan berjumpa mereka.

“Nak ke Holiday VillaLondon dalam masa sejam lagi nak bertemu Bala. Bukan apa. Kerana polis dan SPRM tak mahu dan takut bertemu Bala dan Petra, saya dan kawan kawan akan belanja mereka ais kacang,” kata Zaid dalam blognya dari London, hari ini.

Menurut Zaid, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebenarnya takut kapada kedua-dua rakyat Malaysia itu.

“Mula-mula, kita dengar PM Najib kata beliau penuh yakin polis akan menangkap Raja Petra; tapi dah 12 bulan polis tak buat apa-apa. Dan betullah saperti kata Khairy, Raja Petra selalu ada di khalayak ramai, di London dan Manchester.

“Kalau saya dan ratusan rakyat Malaysia tahu dan dah pun bertemu dengan Raja Petra, takkan polis tak tahu. Mustahil,” katanya dalam tulisan terbarunya.

Ahli parlimen Rembau Khairy Jamaluddin hari ini di lobi parlimen bertanya apakah polis telah melakukan yang terbaik untuk menangkap Raja Petra yang bebas bergerak secara terbuka di kota London.

Beliau juga mempersoalkan kenyataan pemimpin BN seperti Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein serta akhbar Utusan Malaysia yang didakwa heboh memperkatakan hubungannya dengan Raja Petra.

“Soalan yang patut ditanya: mengapa tidak ada tindakan terhadap Raja Petra kalau dia ada membuat kesilapan? Beritahulah kepada rakyat apa dia kesalahan itu.

“Ada waran yang dikeluarkan untuk menangkapnya? Setahu saya, tidak ada. Jadi kalau Raja Petra tidak membuat apa-apa kesalahan, mengapa pula saya tak boleh tengok bolasepak dengannya?”

Menurut bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, perkara yang sama dengan kes yang membabitkan Balasubramaniam.

“Dia pun ada di London. Minggu depan, dia akan ke Paris untuk bertemu dengan pihak penyiasatan Perancis. Tapi polis Malaysia tak berminat bertemu dengan kedua-dua manusia ini. Persoalannya mengapa?” soal Zaid merujuk kepada tindakan polis Perancis yang menyerbu pejabat beberapa firma yang menjual kapal selam Scorpene kepada Malaysia, bulan lalu.

Menurut Zaid, polis sebenarnya, tahu di mana Raja Petra dan Balsubramaniam berada dan katanya, polis juga telah bertemu dengan penyiasat persendirian itu di Bangkok.

“PM Najib berkata kita tidak boleh percaya kepada Raja Petra; tetapi kita juga tak boleh percaya buta tuli kepada PM Najib. Jadi buatlah satu penyiasatan yang bebas dan terbuka, dan beri jaminan kepada kedua-dua mereka tentang keselamatan diri dan keluarga mereka, dan jaminan mereka tidak akan ditahan dibawah ISA.

“Saya percaya mereka akan pulang ke Malaysia untuk mempertahankan kenyataan mereka yang dibuat tempoh hari.

“Dan jika mereka benar-benar kaki penipu dan memalukan pemimpin negara, maka hukumlah mereka. Itu cara pemimpin yang reformis dan baik, bukan berlakon menggunakan polis dan akhbar menimbulkan buruk sangka setiap hari terhadap orang lain,” katanya.

Raja Petra menghadapi tuduhan menghasut dan fitnah, tetapi dilepaskan tanpa dibebaskan apabila waran tangkap gagal diserahkan kepadanya.

Beliau dituduh memfitnah Datin Seri Rosmah Mansor, semasa Najib menjadi timbalan perdana menteri serta pegawai pengiring Rosmah ketika itu, Lt Kol Norhayati Hassan dan suaminya Lt Kol Abdul Aziz Buyong, dalam satu akuan bersumpah yang dibuat di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur pada 10.25 pagi 18 Jun tahun lalu.

Ia juga ada kaitan dengan tulisannya 'Let's send the Altantuya murderers to hell' yang dimuatkan di blognya.

Dalam wawancaranya, seperti dimuatkan di Youtube dan blog Malaysia Today, Balasubramaniam pula pernah mendakwa Rosmah - melalui seorang ahli perniagaan Deepak Jaikishan - gembira dengan keputusannya menarik balik akuan bersumpah 3 Julai tahun lalu yang menuduh Najib ada hubungan intim dengan Altantuya Shaariibuu.

Akuan bersumpah itu, yang diumumkan 3 Julai tahun lalu, mengandungi dakwaan yang Najib mempunyai hubungan dengan Altantuya Shaariibuu - kenyataan yang dinafikan Najib kemudiannya.

Balasubramaniam kemudiannya menarik balik akuan bersumpah pertamanya itu dalam tempoh 24 jam dalam situasi yang meragukan dan meninggalkan negara bersama anggota keluarganya.

Perdana menteri dan isterinya sering menafikan pembabitan mereka dengan kes wanita Mongolia itu, yang mati dibunuh pada 2006.

Suara Keadilan Akan Diterbitkan Seperti Biasa..

PKR akan terus menerbitkan Suara Keadilan walaupun ketidak-tentuan terus menyelubungi pembaharuan permit penerbitannya.

"Kami tidak pasti apa yang diperkatakan oleh kerajaan apabila diberitahu bahawa permit kami tidak diperbaharui tetapi tidak digantung. Apakah kami boleh menerbitkan Suara Keadilan sementara keputusan dibuat,” soal pengarah strategi PKR, Tian Chua.

Menurut ahli parlimen Batu itu, ini satu lagi keputusan 'flip flop' kerajaan BN.

Permit akhbar tabloid itu yang dikeluarkan pada Julai 2009 tamat tempohnya pada 30 Jun lalu.

Sebelum ini, media melaporkan Kementerian Dalam Negeri yang bertanggungjawab mengeluarkan lesen penerbitan tidak berpuas hati dengan penjelasan ketua editor, Suara Keadilan, Dzulkarnain Taib berhubung penjelasannya mengenai sebuah artikel yang mendakwa Felda bankrap.

"Setakat 1 Julai, penernitan itu tidak lagi sah dan dengan demikian tidak lagi boleh dicetak atau diterbitkan...menurut Seksyen 5(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan,” kata setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran KDN, Datuk Zaitun Ab Samad.

Semalam dalam satu kenyataan media beliau menjelaskan bahawa KDN sedang meneliti dan mempertimbangkan permohonan pembaharuan permit penerbitan itu.

"Kementerian masih belum membuat sebarang keputusan mengenai permohonan tersebut," katanya.

Katanya kenyataan yang mengatakan kementerian telah menggantung permit penerbitan Suara Keadilan adalah tidak benar dan tidak berbangkit sama sekali.

Mengulas perkara itu, Chua berkata: “Pada asasnya, tiada perkembangan. Kerajaan masih tidak memberikan kedudukan sebenar. Justeru, kita akan meneruskan penerbitan dan tidak akan memberhentikannya.”

“Maksud saya, tiada sebab untuk berhenti, seperti yang diperkatakan sebelum ini, kita adalah akhbar yang dimiliki oleh pembangkang. Tiada sebab untuk memuja ataupun memuji kerajaan tetapi sebaliknya memberi pandangan yang kritikal - itu kerja kita.

"Jadi, kerajaan tidak boleh menggunakan alasan yang kita mencemarkan imej atau nama baik kerajaan sebagai sebab untuk menamatkan penerbitan kami,” katanya.

Katanya, kelewatan pembaharuan permit adalah 'kes lazim' dan ia berlaku kepada kebanyakan syarikat lain dan PKR akan menerbitkan edisi Suara Keadilan minggu ini.

"Biasanya, apabila lesen tamat, penerbitan belum memperbaharuinya. Tetapi ia tidak bermakna mereka (KDN) telah mengharamkannya,” kata Chua.

Naib presiden PKR, Lee Boon Chye sebelum ini pernah berkata dengan atau tanpa permit, mereka akan terus mencetak akhbar berkenaan.

Ada Video: Khairy Nak Bantu Polis Untuk Tangkap Raja Petra


Ahli parlimen Rembau Khairy Jamaluddin hari ini bertanya apakah polis telah melakukan yang terbaik untuk menangkap penulis blog Raja Petra Kamaruddin, yang bebas bergerak secara terbuka di kota London.

"Apakah mereka tidak sedar atau mereka memilih untuk tidak tahu pergerakan dan lokasi RPK?," tanya Khairy dalam sidang akhbar di lobi Parlimen.

"Minggu lalu, dia memberi ucapan di majlis pelancaran Friends for Pakatan Rakyat (FoPR) di London. Siaran akhbar mengenai acara tersebut dikeluarkan dua hari sebelumnya, yang menyenaraikannya sebagai penceramah," katanya.

Ini, tegasnya, diketahui umum dan oleh mereka yang melayari internet dan bukannya maklumat rahsia dari Interpol yang sukar untuk memperolehinya.

Raja Petra secara terbuka berucap di majlis Pakatan di London semalam yang dihadiri oleh kira-kira 200 orang.

"Mengapa mereka tidak boleh menangkapnya? Mengapa tidak ada tindakan dari polis?" soal Khairy, yang juga ketua Pemuda Umno.

Khairy berkata, beliau bingung dengan keadaan itu kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri telah meminta polis supaya menangkap Raja Petra.

Khairy juga bertanya-tanya mengapa ketua polis negara masih satu langkah di belakang dalam menyiasat tempat persembunyian Raja Petra dan siapa yang membantu menyembunyikannya, sedangkan penulis blog itu bebas bergerak di khalayak ramai.

Tambahnya, jika mereka tidak dapat menahan Raja Petra di London kerana kurangnya bidang kuasa, polis harus manfaatkan hubungan baik antara polis Malaysia dan Scotland Yard, ibupejabat polis metropolitan London, untuk membawanya kembali.

Raja Petra menghadapi tuduhan menghasut dan fitnah, tetapi dilepaskan tanpa dibebaskan apabila waran tangkap gagal diserahkan kepadanya.

Mimpi Ngeri Untuk BN Hadapi PRU 13 - PI Bala, Raja Petra Antara 'Friends for Pakatan'


Pakatan rakyat semalam menubuhkan kelab Friends for Pakatan Rakyat (FoPR) di London bagi menghadapi BN pada pilihan raya umum ke-13 yang bertiup kencang akan diadakan tidak lama lagi.

Pengerusi, FoPR, Brain Morais berkata beliau meramalkan antara 20,000-30,000 rakyat Malaysia yang menghuni di kota London akan menyertai kelab itu dan dengan menyalurkan sokongan dan sumber secara sistematik kepada Pakatan pada pilihan raya umum akan datang.

Bagi upacara perasmian, beberapa pemimpin Pakatan diterbangkan khas. Mereka termasuk ahli majlis tertinggi PKR, Datuk Zaid Ibrahim, bendahari PAS, Hatta Ramli, naib presiden DAP, Dr Tan Seng Giaw dan ahli parlimen Nurul Izzah Anwar.

Forum lima jam itu juga disusuli ucapan yang menyentuh pelbagai masalah yang melanda Malaysia sekarang ini.

Zaid memulakan ucapannya dengan menyentuh pengharaman buku kartun oleh Zulkiflee Anwar Ulhaque, atau lebih dikenali sebagai Zunar, dan usaha melabelkannya sebagai penjenayah hanya semata-mata beliau berjumpa dengan blogger Raja Petra Kamarudin di Manchester.

"(BN) dalam keadaan panik sekarang, mereka melihat musuh di mana-mana,” kata Zaihd yang begitu yakin Putrajaya akan tumbang kepada Pakatan.

"Suara Perkasa" Pencetak pun Takut? Menteri Hanya Beri Teguran Lembut...

KUALA LUMPUR, 5 Julai – Suara Perkasa hari ini diberi teguran oleh Kementerian Dalam Negeri berhubung artikel muka depan edisi sulungnya bertajuk “Tahan Ka Siong Bawah ISA”, dan sedang mencari pencetak pengganti bagi meneruskan penerbitan keluaran kedua, 15 Julai ini.

Akhbar dwibulanan terbitan Perkasa itu terpaksa mencari pencetak baru kerana syarikat pencetakan semasa, KLK Press Sdn Bhd tidak sanggup memikul risiko implikasi perundangan.

“Saya akan terbit macam biasa dengan pencetak baru... saya sedang mencari pencetak baru kerana pencetak sekarang tidak sanggup, takut kalau-kalau ada tindakan saman, jadi saya akan dapatkan pencetak baru,” kata Ketua Pengarangnya Daud Ibrahim kepada The Malaysian Insider hari ini.

Daud telah mengadakan pertemuan kira-kira 105 minit dengan Pemangku Timbalan Ketua Setiausaha Datuk Abdul Rahim Mohd Radzi dan beberapa pegawai kanan kementerian.

Setiausaha Bahagian Penerbitan, Teks & Al-Quran Datuk Zaitun Abd.Samad juga hadir pada pertemuan itu.

Pertemuan hari ini adalah susulan mesyuarat kementerian itu dengan Editor Suara Perkasa, Amirudin Mohamad Jumaat lalu.

Perkasa diwakili oleh setiausaha agung dan timbalan setiausaha agung Perkasa.

Edisi sulung Suara Perkasa, akhbar Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia muncul “garang” pada 1 Julai lalu dengan tajuk “Tahan Ka Siong di bawah ISA” – laporan yang merujuk kepada Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong yang menjadi sasaran kecaman NGO itu dua minggu lalu.

Perkasa dipimpin Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali.

Ibrahim sebelum ini memanggil Wee “biadap” dan menuduh beliau mempersoalkan kontrak sosial, yang menyebabkan pertengkaran antara dua pemimpin berkenaan.

“Perkasa mahu kerajaan menahan Wee Ka Siong di bawah ISA,” kata Timbalan Presiden Perkasa Datuk Abdul Rahman Abu Bakar ketika memperkenalkan edisi sulung Suara Perkasa kepada wartawan Rabu lalu.

Wee sebelum ini dilaporkan meminta supaya program biasiswa Mara kepada pelajar Bumiputera perlu dimasuhkan bersama dengan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam.

Wee merupakan antara pemimpin terbaru menjadi sasaran kecaman Perkasa, NGO yang ditubuhkan akhir 2008 susulan landskap politik negara selepas tsunami politik Mac 2008.

Dijual dengan harga RM2 senaskah, akhbar itu dibiayai Media Perkasa Sdn Bhd dan modal permulaan berjumlah RM500,000.

Mengulas lanjut, Daud berkata Kementerian Dalam Negeri telah menegur Suara Perkasa kerana tidak membantu usaha ke arah penyatuan negara yang terdiri daripada rakyat pelbagai kaum dengan penggunaan tajuk-tajuk sedemikian.

“Saya memberitahu Datuk Rahim bahawa tajuk-tajuk seperti ini pernah digunakan masa-masa lalu tetapi tiada masalah.

“Bagaimanapun Datuk Rahim berkata keadaan dulu lain, sekarang lain... peranan kementerian ialah menjaga keselamatan negara, mengelakkan situasi tidak senang,” katanya.

Kata Daud, pihaknya meminta maaf dengan kesilapan yang wujud dan memberi jaminan akan lebih berhati-hati dalam pemilihan tajuk dalam keluaran-keluaran akan datang.

Kelmarin, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, tindakan tegas termasuk menggantung penerbitan Suara Perkasa jika penerangan yang diberi berhubung artikel bertajuk “Tahan Ka Siong Bawah ISA” yang diberi editornya, didapati tidak memuaskan.

Hishammuddin berkata kementerian itu tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba menimbulkan fitnah dan polemik menyentuh isu perkauman dan agama.

Menurut beliau, Kementerian Dalam Negeri bertanggungjawab untuk mengambil tindakan terhadap apa sahaja yang boleh menjejaskan keselamatan negara.

Beliau juga menolak dakwaan bahawa kementeriannya memberi layanan berbeza kepada Suara Keadilan dan Suara Perkasa.

Model Zahnita Disaman Gulatis RM30 juta

Belumpun perbicaraan kes samannya terhadap syarikat tekstil Gulatis Exclusive Sdn Bhd didengar, kini model Zahnita pula disaman Gulatis kerana mengeluarkan pernyataan fitnah kepada syarikat itu.

Dalam saman fitnah yang difailkan Februari lalu, Gulatis menuntut gantirugi RM30 juta bagi gantirugi fitnah, teruk dan teladan, faedah, kos dan perintah injunksi bagi menghalang Zahnita sama ada secara sendiri atau melalui ejennya mengeluarkan semula perkataan fitnah itu.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Norhatini Abd Hamid, menetapkan 8 Oktober ini bagi pengurusan kes saman itu selepas kes berkenaan disebut di hadapannya hari ini.

Pada 11 Disember tahun lalu, Zahnita menyaman Gulatis kerana menggunakan gambarnya di poster dan iklan syarikat itu tanpa kebenarannya dan mendakwa beliau telah mengalami kerugian besar berikutan pembatalan usahasamanya dengan syarikat tekstil Jakel Trading kerana perkara itu.

Kes itu ditetapkan untuk pengurusan pada 17 Ogos ini.

Gulatis dalam pernyataan tuntutannya mendakwa Zahnita atau nama sebenarnya Zahnita Dorothy Hussein Wilson telah mengeluarkan perkataan fitnah dalam pernyataan tuntutannya itu.

Syarikat itu berkata, antara perkataan fitnah itu ialah bahawa Zahnita tahu gambar yang digunakan Gulatis itu bukan miliknya (Zahnita) dan dia bersetuju supaya gambar itu digunakan oleh Gulatis dengan bayaran RM5,000.

Gulatis berkata, selepas saman berjumlah RM2 juta itu difailkan oleh Zahnita, gambarnya (Zahnita) masih lagi digunakan oleh Jakel.

Gulatis berkata, kenyataan fitnah itu telah diterbitkan di akhbar tempatan pada keesokan harinya dan melalui televisyen pada hari yang sama.

Syarikat itu mendakwa perkataan itu membawa maksud antaranya syarikat itu penipu, tidak amanah, mengeksploitasi dirinya dan lanun cetak rompak.

Akibat itu, jualan barangan syarikat itu telah merosot malah pelanggan borong mula menangguhkan bayaran kepada syarikat itu.

- Bernama

Pengerusi UMNO Kedah Tuduh PAS Parti Ajaran Sesat: PAS Johor Buat Laporan Polis

PAS Johor hari ini membuat laporan polis terhadap Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berhubung ucapannya yang didakwa menuduh parti Islam itu sebagai parti ajaran sesat.

Laporan polis itu dibuat di balai polis Sentral Johor Bahru yang diketuai ketua penerangannya Mazlan Aliman, yang diiringi kira-kira 20 penyokong parti itu, pada jam 11.30 pagi tadi.

Bercakap kepada Malaysiakini pagi ini, Mazlan mendakwa Mohd Shafie yang juga naib presiden Umno, dalam ucapannya perasmian mesyuarat perwakilan Umno bahagian Kulaijaya kelmarin, telah menuduh PAS sebagai parti ajaran sesat.

"Itu kenyataan yang biadap, amat keterlaluan. Maka kami membuat laporan meminta pihak polis menyiasat kenyataan beliau itu dan kami mendesak agar beliau memohon maaf serta menarik balik kenyataan itu," katanya.

Mazlan yang juga ahli jawatankuasa PAS pusat berkata, kenyataan Mohd Shafie itu dilaporkan oleh akhbar Sinar Harian semalam

Laporan itu memetik Mohd Shafie menyifatkan PAS sebagai parti ajaran sesat kerana didakwanya hanya memperjuangkan kemenangan kerusi DUN dan Parlimen berbanding kepentingan rakyat.

Mengulas lanjut, Mazlan yang juga pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) berkata dakwaan yang dilemparkan kepada parti itu "tidak boleh diterima sama sekali".

"Ahli PAS kini berjumlah satu juta, adakah beliau berani menyatakan (mereka) sesat. PAS menguasai Kelantan, memimpin di kerajaan Kedah dan suatu ketika dahulu memerintah di Perak, adakah beliau menyatakan majoritinya sebagai sesat," tegasnya.

Sehubungan itu, beliau mencabar Mohd Shafie yang juga ahli parlimen Semporna untuk berdebat bagi membuktikan siapa yang sebenarnya sesat.

Katanya, jika Mohd Shafie tidak memohon maaf dan menarik balik kenyataan beliau itu, PAS Johor akan mengarahkan ahlinya di negeri itu untuk membuat laporan polis secara bersiri terhadap menteri itu.

Kerajaan Zionis Israel 'Tidak akan mohon maaf' : Insiden Serangan Konvoi Kemanusiaan

'Tidak akan mohon maaf'

TEL AVIV - Kerajaan Israel dengan angkuh menegaskan tidak akan membuat permohonan maaf kepada Turki berhubung insiden serangan terhadap konvoi kemanusiaan ke Gaza, bulan lalu.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, Tel Aviv juga tidak bercadang untuk membayar pampasan kepada keluarga sembilan aktivis warga Turki yang terbunuh semasa serangan rejim ganas itu, kelmarin.

Terdahulu, Ankara menuntut Israel memohon maaf, membayar pampasan kepada mangsa, menerima siasatan antarabangsa dan menamatkan sekatan ke atas Gaza dalam satu perjumpaan di antara menteri kedua-dua negara.

Menteri kanan Israel yang terlibat dalam perbincangan itu menggambarkan kemungkinan Tel Aviv akan mempertimbangkan bayaran pampasan kepada mangsa, Rabu lalu.

Bagaimanapun, Netanyahu menafikan kemungkinan itu dan sebaliknya mempertahankan serangan itu yang kononnya dilakukan sebagai 'mempertahankan diri'.

"Israel tidak boleh memohon maaf kerana askar kita terpaksa mempertahankan diri daripada sekumpulan aktivis yang hampir menyembelih mereka," katanya dalam satu wawancara dengan stesen televisyen Israel.

Menurutnya, Israel tetap mahu mengelakkan sebarang kerosakan lanjut dalam hubungan negara itu dengan Turki yang menjadi semakin tegang akibat serangan itu.

Turki, sekutu utama Israel di Timur Tengah, memanggil pulang dutanya di Israel dan membatalkan latihan ketenteraan bersama negara Zionis itu selepas serangan tersebut.

"Masih belum ada persetujuan antara Israel dan Turki tetapi langkah terbaik perlu diambil untuk mengelakkan hubungan kedua-dua negara terus merosot," katanya.

Pakatan lancar sayap global, yakin menang PRU tergempar

Blogger Raja Petra Kamarudin bersama pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat ketika
pelancaran sayap Sahabat Pakatan Rakyat di London semalam. - Gambar oleh Danny Lim

LONDON, 5 Julai — Pakatan Rakyat (PR) meneruskan langkah-langkah awal persiapan menghadapi pilihan raya umum tergempar dengan melancarkan sayap - Sahabat Pakatan sambil menegaskan, ia boleh menang besar dalam pilihan raya umum ke-13.

Pemimpin-pemimpin pakatan tiga komponen juga memperlekehkan kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan berkata Barisan Nasional (BN) kini semakin bimbang dengan kedudukannya sendiri.

“Umno berada dalam keadaan panik. Mereka melihat musuh di mana-mana,” kata ketua sekretariat PR Datuk Zaid Ibrahim ketika berucap pada majlis pelancaran sayap Sahabat Pakatan Rakyat (FoOR) di sini semalam.

PR memperlihatkan prestasi cemerlang dua tahun lalu dengan menafikan majoriti dua pertiga BN di Parlimen dan merampas lima negeri termasuk Perak yang kemudian diambil alih oleh BN.

Langkah pelancaran ini diambil beberapa hari selepas Ketua Umum PR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pihaknya bersedia jika BN mahu membubarkan Parlimen dan memanggil pilihan raya tergempar.

Difahamkan perkembangan beberapa minggu lalu termasuk tindakan kerajaan mengubah pendiriannya dan mengkaji semula beberapa keputusan dasar dilihat sebagai langkah awal Najib mula bersiap sedia untuk mengadakan pilihan raya tergempar.

Ada yang sudah mula membuat spekulasi ia akan diadakan bila-bila masa selepas September ini.

Selain itu, laporan terbaru yang disiarkan The Malaysian Insider menyebut ahli-ahli Parlimen BN akan menerima peruntukan tambahan RM500,000 berbanding RM1 juta sebelum ini, menyumbang kepada spekulasi pilihan raya awal.

“Saya diminta menjelaskan hubungan saya dengan Raja Petra Kamarudin oleh Kementerian Dalam Negeri.

“Adakah satu jenayah untuk mengenali beliau,” kata Zaid mengenai Raja Petra yang telah mencabar agar kerajaan membawa tuduhan hasutan dan jenayah fitnah ke atas di mahkamah United Kingdom.

“Sekarang mereka minta saya menjelaskan hubungan saya dengan Bala, sedangkan saya baru jumpa dia (di sini) semalam,” katanya.

P. Balasubramaniam, detektif persendirian itu mengeluarkan dua akuan bersumpah berkaitan dengan pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shariibuu yang dikaitkan dengan perdana menteri.

Beliau mengeluarkan maklumat terbaru akhir tahun lalu dan menyatakan kesediaan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

SPRM yang awalnya mahu menemui beliau di London hari ini telah mengubah fikirannya Rabu lalu.

Bendahari PAS Dr Mohd Hatta Ramli juga melahirkan kemungkinan pilihan raya tergempar kemungkinan dipanggil akhir tahun ini.

“Jika September, kami akan menang besar. Jika tahun depan, kami akan menang lebih besar,” kata Ahli Parlimen Kuala Krai ini.

Zaid menambah, menteri-menteri bercakap tidak tentu hala kerana mereka sudah mula panik berhubung pilihan raya umum datang.

Pandangan ini diberikan ketika Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein semalam memberitahu masa telah tiba bagi BN khususnya Umno, membuktikan bahawa kelemahan dan kesilapan mereka yang wujud sebelum ini telah berjaya diatasi.

Oleh itu, BN dan semua parti komponennya kini perlu bersiap sedia menghadapi pilihan raya umum ke-13 tanpa dolak-dalik, kata Menteri Dalam Negeri ini.

Menurut beliau, alasan-alasan klise dan remeh yang sering diguna pakai sebelum ini tidak boleh lagi digunakan sebagai faktor penyokong untuk ‘lari’ dari bertanding dalam pilihan raya.

Katanya, pindaan terhadap perlembagaan Ummo dan transformasi menyeluruh dalam Umno adalah langkah drastik yang diambil untuk kembali memperkasakan parti, sekaligus membolehkan Umno muncul sebagai parti komponen BN pertama yang berani bertindak sedemikian rupa.

Pemimpin-pemimin PR yang lain juga menegaskan, pihaknya akan menghadapi pilihan raya umum ke-13 dengan lebih mantap berbanding ketika Mac 2008.

Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah menjelaskan PR kini lebih baik berbanding BN, malah merupakan alternatif berdaya maju buat masa sekarang.

Anak Anwar ni menambah, PR telah merangka Dasar Bersama akhir tahun lalu manakala di Selangor telah diperkenalkan jawatankuasa pilihan bagi memastikan ketelusan pentadbiran dan akan menggubal Akta Kebebasan Maklumat.

“Satu-satunya inovasi BN ialah Perkasa,” kata beliau dengan merujuk kepada pertubuhan bukan kerajaan digerakkan oleh Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali.

“Perubahan akan datang dan pilihan raya umum akan datang akan menjadi sesuatu yang tidak boleh mudah dilupakan oleh BN,” katanya.

Hatta menambah, dalam pilihan-pilihan raya lalu DAP, PKR dan PAS hanya membentuk kerjasama pilihan raya untuk mengelakkan pertembungan tiga penjuru dan berkempen secara berasingan tetapi kali ini mereka akan berkempen bersama dan membuat pengorbanan demi kepentingan bersama.

“Pentadbiran sekarang ini sepatutnya sudah berakhir dalam pilihan raya umum lalu. Kemenangan dalam lingkungan kami,” katanya lagi.

Naib Pengerusi DAP Dr Tan Seng Giaw juga menekankan bahawa PR tidak akan menunggu sehingga menguasai kesemua kerajaan negeri terlebih dahulu tetapi akan mengambil alih kerajaan pusat dan negeri serentak.

“Sementara kami tidak boleh memastikan PR seratus peratus bersih (daripada rasuah) apabila kami berkuasa, kami berjanji kami tidak akan menunjukkan belas kasihan kepada mereka yang berasuah. Kita mesti ada integriti,” kata wakil rakyat Kepong ini.

Editor risau ejaan ‘bangkrap’ tapi saman Felda kunjung



July 05, 2010

Dzulkarnain Taib ketika ditemui selepas Suara Keadilan menerima notis permitnya
tidak diperbaharui, antara lain kerana laporan berjudul 'Felda Bankrap". - Gambar Choo Choy May
SHAH ALAM, 5 Julai — Operasi pejabat editorial Suara Keadilan di Seksyen 13 di sini berjalan macam biasa walaupun sejak beberapa hari lalu ia menjadi tumpuan banyak pihak untuk melahirkan rasa tidak puas hati.

Pemerhatian menunjukkan kakitangannya menjalankan tugas maisng-masing seperti biasa sementara mengejar ‘deadline’ hari Isnin (hari ini) untuk edisi minggu ini.

Bagaimanapun sama ada ia akan menemui pembacanya pada minggu ini dan minggu-minggu mendatang masih menjadi tanda tanya memandangkan Kementerian Dalam Negeri memutuskan untuk tidak memperbaharui permit Suara Keadilan yang tamat 30 Jun lalu.

Ia masih menjadi pertimbangan kementerian sementara menanti penjelasan memuaskan pengurusan Suara Keadilan.

Suara Keadilan merupakan antara akhbar terbitan parti politik Pakatan Rakyat yang berada dalam pasaran negara ini secara terbuka tetapi bukan dikeluarkan setiap hari.

Ketika ditemui The Malaysian Insider, Editor Suara Keadilan Dzulkarnain Taib membuka bicara dengan berkata, pada awalnya “yang saya khuatir adalah tentang kesilapan ejaan pada tajuk muka depan “Felda Bangkrap”.. itu yang saya bimbang.”

Sebaliknya kebimbangan itu tidak menjadi kenyataan, kata beliau. Tetapi yang menjadi tumpuan kontroversi sehingga membawa kepada tindakan pengurusan Felda dan Kementerian Dalam Negeri ialah kandungan laporan itu yang disiarkan akhir bulan lalu.

Menurut editor itu, Suara Keadilan telah mengemukakan permohonan untuk memperbaharui permit tahunannya tiga bulan yang lalu.

Suara Keadilan merupakan nama rasmi, dan yang terbaru bagi akhbar itu yang diterbitkan oleh PKR sejak sedekad lalu. Sebelum itu, akhbar tersebut terbit dalam pelbagai nama — Berita Keadilan dan Buletin Keadilan.

Kerajaan mengeluarkan permit kepada Suara Keadilan sejurus selepas pilihan raya umum ke-12. Pilihan raya umum lalu juga menyaksikan negara berhadapan dengan tsunami politik di mana lima negeri jatuh ke tangan Pakatan Rakyat.

Mengambil kira senario politik sejak PKR ditubuhkan akhbar cetak menjadi landasan penting buat parti tersebut.

“Suara Keadilan menjadi organ penting bagi kami (PKR) menjelaskan kepada ahli-ahli kami tentang program, dasar parti, rancangan masa depan untuk menubuhkan kerajaan masa depan — ke arah menubuhkan kerajaan persekutuan pimpinan Pakatan Rakyat,” Dzulkarnain. “Suara Keadilan bercetak ini bertindak sebagai wadah penting walaupun kita ada edisi online... tetapi kami berhadapan dengan kekangan, akses amat terhad khususnya di kawasan luar bandar.

“Edisi internet tidak sehebat (macam akhbar cetakan), masalah akses di kawasan luar bandar, jadi yang penting dan menjadi harapan kami ialah Suara Keadilan. Edisi online hanya bertindak sebagai pelengkap,” kata beliau sambil mengulangi Suara Keadilan ini “sangat penting...”

“Akhbar cetakan secara tradisi menjadi ruang penting untuk menyampaikan maklumat. Kami tiada radio, kami tiada TV.

“... satu-satunya ruang untuk mendekati ahli-ahli kami dengan akhbar bercetak ini, di seluruh negara,” kata Dzulkarnain dalam temu bual dengan The Malaysian Insider.

Mengenai pengalaman menghadap Kementerian Dalam Negeri, Dzulkarnain berkata sememangnya pihaknya telah dipanggil untuk bertemu dengan Kementerian Dalam Negeri pada hari Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan mengadakan sidang media mengatakan Felda akan mengambil tindakan undang-undang ke atas Suara Keadilan dan beberapa pemimpin Pakatan Rakyat.

Beliau mengaku tidak dapat berkunjung ke kementerian itu disebabkan mesyuarat editorial yang perlu diadakan. Pertemuan itu dilihat sebagai perbincangan tahap pertama dalam siri pertemuan yang ditetapkan pihak berkuasa tersebut.

“Nampaknya ada beberapa tahap menghadap Kementerian Dalam Negeri... di Tahap 1, saya dipanggil tetapi saya tidak pergi, sebab ada mesyuarat editorial. Tahap 1 dikatakn tahap minum teh (sesi berbincang).”

“Bila saya tak pergi (jumpa mereka) pada Tahap 1, maka saya dipanggil datang pada hari Isnin (berikutnya), (pertemuan) terus masuk ke Tahap 7.

“Saya merasakan (melangkah) terus ke Tahap 7 sebagai terlalu keras... dari Tahap 1 ke Tahap 7. Di Tahap 7, kami diberikan surat tunjuk sebab... berapa tahap kesemuanya? (saya tidak pasti), kita kena teliti.

“Saya merasakan tindakan ini terlalu keras, (diambil) tergesa-gesa dan seolah-olah terdesak,” kata Dzulkarnain sambil menambah, “dalam tempoh enam hari (dari Jumaat) perubahan yang begitu ketara, masuk ke tahap yang tinggi (tindakan keras),” katanya.

Khamis lalu Felda mengemukakan notis menuntut ganti rugi RM200 juta serta permohonan maaf daripada PKR berhubung laporan akhbar mingguan parti itu. Notis tuntutan menerusi syarikat guaman Hafarizam, Wan & Aisha Mubarak, turut dihantar kepada penerbit akhbar itu, Syarikat Pelita Koridor Sdn Bhd serta pencetaknya, Syarikat Percetakan NPK Sdn Bhd. Suara Keadilan dan PKR diberi masa tujuh hari untuk membayar ganti rugi berkenaan dan membuat permohonan maaf kepada Felda.

Pada hari yang sama Kementerian Dalam Negeri memutuskan ia tidak berpuas hati dengan penjelasan diberikan Suara Keadilan dan hari keesokan memutuskan tidak memperbaharui permitnya.

Dzulkarnain meraskaan Kementerian Dalam Negeri seharusnya memberikan ruang untuk berbincang.

Ini bukan kali pertama Suara Keadilan menjadi tumpuan pemantauan Kementerian Dalam Negeri kerana pernah diambil tindakan ekoran berita mengenai kesihatan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan pada 2008. Suara Keadilan diberikan surat tunjuk sebab kerana laporannya yang memetik sumber-sumber yang mendakwa Musa lumpuh setelah menjalani pembedahan pintasan jantung.

Ketua Penerangan PKR ketika itu Tian Chua berkata Suara Keadilan telah menjawab surat tunjuk sebab Kementerian Dalam Negeri dalam waktu yang telah ditetapkan.

Dalam tempoh itu, selain Suara Keadilan, Kementerian Dalam Negeri juga menghantar surat tunjuk sebab kepada The Sun yang didakwa memanipulasi dan memainkan banyak isu sensitif, manakala Sin Chew Daily pula dikatakan melaporkan kontroversi kenyataan berbaur perkauman membabitkan bekas ketua Umno bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail.

Mengulas lanjut tindakan Suara Keadilan kali ini, Dzulkarnain berkata beliau akan berusaha untuk menemui Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri dengan harapan untuk mencapai jalan penyelesaian dengan baik, dengan mengambil kira Suara Keadilan sebuah “akhbar parti yang muda, bertenaga dan prorgresif.”

“Kami (hanya) menyiarkan maklumat yang ada kepentingan rakyat... kemungkinan tidak semua orang akan menerima fikiran kami, tetapi Suara Keadilan menyajikan maklumat yang mereka (kumpulan sasaran) perlukan,” katanya.

“Rakyat mahukan maklumat dan diberikan peluang akses kepada maklumat,” katanya.

Dalam mempertahankan tindakan mereka, Dzulkarnain berpendapat bahawa maklumat tidak wajar diinstitusikan.

“... rakyat tidak boleh hanya diberi maklumat daripada satu sumber,” kata beliau.

Merujuk kepada pendirian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini bahawa media perlu memberikan maklumat dengan demi faedah rakyat, Dzulkarnain berkata, “kalau utamakan rakyat, maka perlu memberi peluang akses kepada kepada maklumat dengan tidak menghalang Suara Keadilan.”

Dzulkarnain memetik kata-kata Najib pada Mac lalu yang mempelawa media tempatan untuk menjadi rakan beliau dalam perjalanan untuk melakukan transformasi terhadap Malaysia agar menjadi negara yang lebih aman dan makmur. Perdana Menteri berkata kerajaan memerlukan media untuk berkomunikasi dengan rakyat dan mendidik mereka di seluruh negara.


Suara Keadilan juga mempertahankan artikel menyentuh soal kewangan Felda dengan mendakwa maklumat itu bukan sesuatu yang ‘baru’ memandangkan sebahagian besarnya sudah pun tersebar luar dalam ruang siber.

“Malah perkara ini juga dibangkitkan di Parlimen, kami hanya membuat susulan (laporan) berdasarkan kenyataan-kenyataan di Dewan Rakyat... jadi kami merasakan ada asas, (bagi kami) mereka yang bercakap itu adalah pihak-pihak yang berwibawa,” katanya lagi.

“Ini satu komen yang adil, kami tidak melihat adanya apa-apa elemen fitnah... kami akan berlawan demi kepentingan rakyat,” kata Dzulkarnain sambil menambah, “kami hanya mengetengahkan isu demi kepentingan rakyat.”

“Kami hanya melakukan perkara ini atas tanggungjawab media demi kepentingan pembaca kami,” katanya.

Semalam, Pengerusi Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF) Tan Sri Rozali Ismail berkata dakwaan tidak berasas dan usaha pihak tertentu terutama pembangkang yang cuba ‘‘meraih’’ kepentingan politik dengan memburuk-burukkan imej Felda tidak menjejaskan keyakinan masyarakat peneroka dan generasinya terhadap keutuhan agensi itu.

Maklum balas dan tinjauan mendapati isu “Felda bankrap” yang sengaja dicetuskan pembangkang itu tidak menjejaskan sedikitpun operasi agensi itu di peringkat tanah rancangan serta kehidupan warganya.

Suara Keadilan bertarikh 22-29 Jun lepas memaparkan laporan muka depan dengan “Felda Bankrap”.

Sehubungan itu, jelas Dzulkarnain, “jika mereka beranggapan bahawa dengan mengambil tindakan ke atas Suara Keadilan, mereka boleh melemahkan Anwar, mereka melakukan kesilapan besar.”

“Ini kerana ahli-ahli PKR bergantung kepada Suara Keadilan sebagai sumber maklumat, mereka tahu (keadaan sebenar)... mungkin sementara waktu ini mereka terpaksa bergantung pada edisi online tetapi (sekali lagi saya katakan) akses adalah terhad... saya yakin lepas ini kami akan menjadi semakin kuat.”

Malah semalam, Kementerian Dalam Negeri menegaskan masih belum membuat keputusan berhubung permohonan pembaharuan permit penerbitan Suara Keadilan.

Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran KDN, Datuk Zaitun Ab. Samad memberitah KDN sedang meneliti dan mempertimbangkan permohonan pembaharuan permit penerbitan itu.

“Kementerian masih belum membuat sebarang keputusan mengenai permohonan tersebut,” katanya.

Beliau berkata keputusan berhubung pembaharuan permit itu hanya akan dibuat setelah mendapat penjelasan yang memuaskan daripada pihak penerbitan Suara Keadilan.

Laporan sebelum ini menyebut bahawa KDN memutuskan untuk tidak memperbaharui permit penerbitan Suara Keadilan yang tamat akhir bulan lepas setelah tidak berpuas hati dengan penjelasan sidang redaksi penerbitan itu berhubung beberapa perkara.

Penganalisis-penganalisis berpendapat tindakan Kementerian Dalam Negeri ini ada kaitan dengan motif politik.

Ketua Komunikasi dan Kemanusiaan Pusat Kajian Asia Tenggara Dr Lokasundari Vikaya Sankar melihat tindakan Kementerian Dalam Negeri ini sebagai tidak adil dan pada masa yang sama “akan menjadi pembangkang (Pakatan Rakyat) semakin kuat.”

“Ini kelihatan satu lagi usaha kerajaan untuk menutup suara pembangkang,” katanya.

Dr Lokasundari dan editor Harakah Zulkifli Sulong juga menganggap kerajaan melihat Suara Keadilan “sebagai satu ancaman.”

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.