Editor risau ejaan ‘bangkrap’ tapi saman Felda kunjung



July 05, 2010

Dzulkarnain Taib ketika ditemui selepas Suara Keadilan menerima notis permitnya
tidak diperbaharui, antara lain kerana laporan berjudul 'Felda Bankrap". - Gambar Choo Choy May
SHAH ALAM, 5 Julai — Operasi pejabat editorial Suara Keadilan di Seksyen 13 di sini berjalan macam biasa walaupun sejak beberapa hari lalu ia menjadi tumpuan banyak pihak untuk melahirkan rasa tidak puas hati.

Pemerhatian menunjukkan kakitangannya menjalankan tugas maisng-masing seperti biasa sementara mengejar ‘deadline’ hari Isnin (hari ini) untuk edisi minggu ini.

Bagaimanapun sama ada ia akan menemui pembacanya pada minggu ini dan minggu-minggu mendatang masih menjadi tanda tanya memandangkan Kementerian Dalam Negeri memutuskan untuk tidak memperbaharui permit Suara Keadilan yang tamat 30 Jun lalu.

Ia masih menjadi pertimbangan kementerian sementara menanti penjelasan memuaskan pengurusan Suara Keadilan.

Suara Keadilan merupakan antara akhbar terbitan parti politik Pakatan Rakyat yang berada dalam pasaran negara ini secara terbuka tetapi bukan dikeluarkan setiap hari.

Ketika ditemui The Malaysian Insider, Editor Suara Keadilan Dzulkarnain Taib membuka bicara dengan berkata, pada awalnya “yang saya khuatir adalah tentang kesilapan ejaan pada tajuk muka depan “Felda Bangkrap”.. itu yang saya bimbang.”

Sebaliknya kebimbangan itu tidak menjadi kenyataan, kata beliau. Tetapi yang menjadi tumpuan kontroversi sehingga membawa kepada tindakan pengurusan Felda dan Kementerian Dalam Negeri ialah kandungan laporan itu yang disiarkan akhir bulan lalu.

Menurut editor itu, Suara Keadilan telah mengemukakan permohonan untuk memperbaharui permit tahunannya tiga bulan yang lalu.

Suara Keadilan merupakan nama rasmi, dan yang terbaru bagi akhbar itu yang diterbitkan oleh PKR sejak sedekad lalu. Sebelum itu, akhbar tersebut terbit dalam pelbagai nama — Berita Keadilan dan Buletin Keadilan.

Kerajaan mengeluarkan permit kepada Suara Keadilan sejurus selepas pilihan raya umum ke-12. Pilihan raya umum lalu juga menyaksikan negara berhadapan dengan tsunami politik di mana lima negeri jatuh ke tangan Pakatan Rakyat.

Mengambil kira senario politik sejak PKR ditubuhkan akhbar cetak menjadi landasan penting buat parti tersebut.

“Suara Keadilan menjadi organ penting bagi kami (PKR) menjelaskan kepada ahli-ahli kami tentang program, dasar parti, rancangan masa depan untuk menubuhkan kerajaan masa depan — ke arah menubuhkan kerajaan persekutuan pimpinan Pakatan Rakyat,” Dzulkarnain. “Suara Keadilan bercetak ini bertindak sebagai wadah penting walaupun kita ada edisi online... tetapi kami berhadapan dengan kekangan, akses amat terhad khususnya di kawasan luar bandar.

“Edisi internet tidak sehebat (macam akhbar cetakan), masalah akses di kawasan luar bandar, jadi yang penting dan menjadi harapan kami ialah Suara Keadilan. Edisi online hanya bertindak sebagai pelengkap,” kata beliau sambil mengulangi Suara Keadilan ini “sangat penting...”

“Akhbar cetakan secara tradisi menjadi ruang penting untuk menyampaikan maklumat. Kami tiada radio, kami tiada TV.

“... satu-satunya ruang untuk mendekati ahli-ahli kami dengan akhbar bercetak ini, di seluruh negara,” kata Dzulkarnain dalam temu bual dengan The Malaysian Insider.

Mengenai pengalaman menghadap Kementerian Dalam Negeri, Dzulkarnain berkata sememangnya pihaknya telah dipanggil untuk bertemu dengan Kementerian Dalam Negeri pada hari Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan mengadakan sidang media mengatakan Felda akan mengambil tindakan undang-undang ke atas Suara Keadilan dan beberapa pemimpin Pakatan Rakyat.

Beliau mengaku tidak dapat berkunjung ke kementerian itu disebabkan mesyuarat editorial yang perlu diadakan. Pertemuan itu dilihat sebagai perbincangan tahap pertama dalam siri pertemuan yang ditetapkan pihak berkuasa tersebut.

“Nampaknya ada beberapa tahap menghadap Kementerian Dalam Negeri... di Tahap 1, saya dipanggil tetapi saya tidak pergi, sebab ada mesyuarat editorial. Tahap 1 dikatakn tahap minum teh (sesi berbincang).”

“Bila saya tak pergi (jumpa mereka) pada Tahap 1, maka saya dipanggil datang pada hari Isnin (berikutnya), (pertemuan) terus masuk ke Tahap 7.

“Saya merasakan (melangkah) terus ke Tahap 7 sebagai terlalu keras... dari Tahap 1 ke Tahap 7. Di Tahap 7, kami diberikan surat tunjuk sebab... berapa tahap kesemuanya? (saya tidak pasti), kita kena teliti.

“Saya merasakan tindakan ini terlalu keras, (diambil) tergesa-gesa dan seolah-olah terdesak,” kata Dzulkarnain sambil menambah, “dalam tempoh enam hari (dari Jumaat) perubahan yang begitu ketara, masuk ke tahap yang tinggi (tindakan keras),” katanya.

Khamis lalu Felda mengemukakan notis menuntut ganti rugi RM200 juta serta permohonan maaf daripada PKR berhubung laporan akhbar mingguan parti itu. Notis tuntutan menerusi syarikat guaman Hafarizam, Wan & Aisha Mubarak, turut dihantar kepada penerbit akhbar itu, Syarikat Pelita Koridor Sdn Bhd serta pencetaknya, Syarikat Percetakan NPK Sdn Bhd. Suara Keadilan dan PKR diberi masa tujuh hari untuk membayar ganti rugi berkenaan dan membuat permohonan maaf kepada Felda.

Pada hari yang sama Kementerian Dalam Negeri memutuskan ia tidak berpuas hati dengan penjelasan diberikan Suara Keadilan dan hari keesokan memutuskan tidak memperbaharui permitnya.

Dzulkarnain meraskaan Kementerian Dalam Negeri seharusnya memberikan ruang untuk berbincang.

Ini bukan kali pertama Suara Keadilan menjadi tumpuan pemantauan Kementerian Dalam Negeri kerana pernah diambil tindakan ekoran berita mengenai kesihatan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan pada 2008. Suara Keadilan diberikan surat tunjuk sebab kerana laporannya yang memetik sumber-sumber yang mendakwa Musa lumpuh setelah menjalani pembedahan pintasan jantung.

Ketua Penerangan PKR ketika itu Tian Chua berkata Suara Keadilan telah menjawab surat tunjuk sebab Kementerian Dalam Negeri dalam waktu yang telah ditetapkan.

Dalam tempoh itu, selain Suara Keadilan, Kementerian Dalam Negeri juga menghantar surat tunjuk sebab kepada The Sun yang didakwa memanipulasi dan memainkan banyak isu sensitif, manakala Sin Chew Daily pula dikatakan melaporkan kontroversi kenyataan berbaur perkauman membabitkan bekas ketua Umno bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail.

Mengulas lanjut tindakan Suara Keadilan kali ini, Dzulkarnain berkata beliau akan berusaha untuk menemui Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri dengan harapan untuk mencapai jalan penyelesaian dengan baik, dengan mengambil kira Suara Keadilan sebuah “akhbar parti yang muda, bertenaga dan prorgresif.”

“Kami (hanya) menyiarkan maklumat yang ada kepentingan rakyat... kemungkinan tidak semua orang akan menerima fikiran kami, tetapi Suara Keadilan menyajikan maklumat yang mereka (kumpulan sasaran) perlukan,” katanya.

“Rakyat mahukan maklumat dan diberikan peluang akses kepada maklumat,” katanya.

Dalam mempertahankan tindakan mereka, Dzulkarnain berpendapat bahawa maklumat tidak wajar diinstitusikan.

“... rakyat tidak boleh hanya diberi maklumat daripada satu sumber,” kata beliau.

Merujuk kepada pendirian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini bahawa media perlu memberikan maklumat dengan demi faedah rakyat, Dzulkarnain berkata, “kalau utamakan rakyat, maka perlu memberi peluang akses kepada kepada maklumat dengan tidak menghalang Suara Keadilan.”

Dzulkarnain memetik kata-kata Najib pada Mac lalu yang mempelawa media tempatan untuk menjadi rakan beliau dalam perjalanan untuk melakukan transformasi terhadap Malaysia agar menjadi negara yang lebih aman dan makmur. Perdana Menteri berkata kerajaan memerlukan media untuk berkomunikasi dengan rakyat dan mendidik mereka di seluruh negara.


Suara Keadilan juga mempertahankan artikel menyentuh soal kewangan Felda dengan mendakwa maklumat itu bukan sesuatu yang ‘baru’ memandangkan sebahagian besarnya sudah pun tersebar luar dalam ruang siber.

“Malah perkara ini juga dibangkitkan di Parlimen, kami hanya membuat susulan (laporan) berdasarkan kenyataan-kenyataan di Dewan Rakyat... jadi kami merasakan ada asas, (bagi kami) mereka yang bercakap itu adalah pihak-pihak yang berwibawa,” katanya lagi.

“Ini satu komen yang adil, kami tidak melihat adanya apa-apa elemen fitnah... kami akan berlawan demi kepentingan rakyat,” kata Dzulkarnain sambil menambah, “kami hanya mengetengahkan isu demi kepentingan rakyat.”

“Kami hanya melakukan perkara ini atas tanggungjawab media demi kepentingan pembaca kami,” katanya.

Semalam, Pengerusi Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF) Tan Sri Rozali Ismail berkata dakwaan tidak berasas dan usaha pihak tertentu terutama pembangkang yang cuba ‘‘meraih’’ kepentingan politik dengan memburuk-burukkan imej Felda tidak menjejaskan keyakinan masyarakat peneroka dan generasinya terhadap keutuhan agensi itu.

Maklum balas dan tinjauan mendapati isu “Felda bankrap” yang sengaja dicetuskan pembangkang itu tidak menjejaskan sedikitpun operasi agensi itu di peringkat tanah rancangan serta kehidupan warganya.

Suara Keadilan bertarikh 22-29 Jun lepas memaparkan laporan muka depan dengan “Felda Bankrap”.

Sehubungan itu, jelas Dzulkarnain, “jika mereka beranggapan bahawa dengan mengambil tindakan ke atas Suara Keadilan, mereka boleh melemahkan Anwar, mereka melakukan kesilapan besar.”

“Ini kerana ahli-ahli PKR bergantung kepada Suara Keadilan sebagai sumber maklumat, mereka tahu (keadaan sebenar)... mungkin sementara waktu ini mereka terpaksa bergantung pada edisi online tetapi (sekali lagi saya katakan) akses adalah terhad... saya yakin lepas ini kami akan menjadi semakin kuat.”

Malah semalam, Kementerian Dalam Negeri menegaskan masih belum membuat keputusan berhubung permohonan pembaharuan permit penerbitan Suara Keadilan.

Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran KDN, Datuk Zaitun Ab. Samad memberitah KDN sedang meneliti dan mempertimbangkan permohonan pembaharuan permit penerbitan itu.

“Kementerian masih belum membuat sebarang keputusan mengenai permohonan tersebut,” katanya.

Beliau berkata keputusan berhubung pembaharuan permit itu hanya akan dibuat setelah mendapat penjelasan yang memuaskan daripada pihak penerbitan Suara Keadilan.

Laporan sebelum ini menyebut bahawa KDN memutuskan untuk tidak memperbaharui permit penerbitan Suara Keadilan yang tamat akhir bulan lepas setelah tidak berpuas hati dengan penjelasan sidang redaksi penerbitan itu berhubung beberapa perkara.

Penganalisis-penganalisis berpendapat tindakan Kementerian Dalam Negeri ini ada kaitan dengan motif politik.

Ketua Komunikasi dan Kemanusiaan Pusat Kajian Asia Tenggara Dr Lokasundari Vikaya Sankar melihat tindakan Kementerian Dalam Negeri ini sebagai tidak adil dan pada masa yang sama “akan menjadi pembangkang (Pakatan Rakyat) semakin kuat.”

“Ini kelihatan satu lagi usaha kerajaan untuk menutup suara pembangkang,” katanya.

Dr Lokasundari dan editor Harakah Zulkifli Sulong juga menganggap kerajaan melihat Suara Keadilan “sebagai satu ancaman.”

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.