PETALING JAYA: Alat bantuan pernafasan yang digunakan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan ditanggalkan jika keadaan kesihatannya menunjukkan perkembangan yang lebih positif.
Anaknya, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz bagaimanapun berkata, Mursyidul Am PAS itu diserang batuk dipercayai akibat jangkitan.
"Oleh kerana semalam ramai tetamu yang masuk ziarah, ayahanda batuk sedikit. Justeru doktor menasihati agar pelawat hanya diizinkan untuk melihat dari luar bilik sahaja untuk mengelak jangkitan.
"Jika keadaan bertambah baik, petang ini doktor mungkin akan menanggalkan alat bantuan pernafasan," katanya menerusi kenyataan pada petang Khamis.